Anda di halaman 1dari 6

Adakah ‘Renaissance’ Benar-benar Wujud?

Leonardo Da Vinci (1452M – 1519M) dan Galileo Galilei (1564M – 1642M) adalah
dua nama yang sering muncul dalam kotak fikiran saya apabila Renaissance disebut. Buku-
buku teks sejarah di sekolah pun memaparkan nama-nama ini pada topik Renaissance.
Renaissance sangat popular dalam kalangan masyarakat. Dikenali sebagai sebuah permulaan
era kemajuan dan pembaharuan di Barat. Kita tidak nafikan berlakunya transisi zaman di
Barat lebih kurang pada kurun ke-16 M. Tetapi hakikat wujudnya era Renaissance itu
menjadi polemik dalam kalangan sejarawan. Adakah ia benar-benar wujud? Adakah ia benar-
benar berlaku seperti yang selalu kita baca? Kita tidak akan selesaikan perbezaan pendapat
ini, tetapi kita akan menjelaskan mengapa berlakunya perbezaan ini dalam konteks
historiografi (penulisan sejarah).

Evolusi Renaissance

Pada pengenalan dalam karya ‘The Renaissance in Europe’ oleh Margaret L. King
menyatakan, menulis sejarah Renaissance yang kompleks dan sentiasa berubah-berubah
memang sukar. Ia tidak sama seperti menulis sejarah Soviet Union ataupun sejarah tradisi
Platonic, memandangkan sejarah-sejarah tersebut hampir jarang orang meragui
kewujudannya ataupun kejadiannya pada tempat dan waktu tertentu. Keraguan muncul
apabila membincangkan perihal Renaissance. Para sarjana tidak pasti bilakah tarikh tepat,
tempat berlaku atau adakah ia benar-benar berlaku.

Mungkin penjelasan Margaret L. King belum cukup memuaskan dan boleh


menimbulkan kekeliruan. Mari kita berbalik kepada terminologi ‘Renaissance’ itu sendiri.

Perkataan ‘Renaissance’ berasal dari Perancis yang bermaksud ‘kelahiran semula’


atau ‘pembaharuan’. Segalanya bermula daripada seorang individu Itali yang bernama
Francesco Petrarch (1304M – 1364M) yang dianggap sebagai pencetus Renaissance. Petrarch
merupakan seorang Humanis. Aliran Humanism berperanan dalam membawa kembali
kegemilangan paling tinggi yang pernah dicapai oleh manusia. Kebanyakan sejarah awal
Barat ditulis oleh kelompok Humanis. Pada kurun ke-17 hingga ke-19, barulah sejarah
tersebut ditulis oleh kelompok-kelompok lain seperti Rasionalis, Protestan, dan ahli falsafah.

Tradisi awal Humanis di Itali dalam menulis sejarah adalah secara umum.
Kebiasaannya mereka menulis sejarah manusia bermula pada permulaan masa menurut
tafsiran mereka sendiri. Pada waktu itu, ajaran Kristian sangat berpengaruh, maka sejarah
manusia ditulis seawal penciptaan Nabi Adam a.s. Kandungan penulisannya juga dipengaruhi
teks-teks yang tekandung dalam Bible dan lebih bercirikan keagamaan. Tujuan penulisan ini
adalah untuk menjelaskan kerja Tuhan ke atas manusia sepanjang zaman.
Spesifikasi ‘Itali’ yang merujuk Humanis pada perenggan sebelum ini adalah kerana
aliran Humanism pertama kalinya muncul di Itali. Tambahan lagi, para pengikutnya juga
pada peringkat awal adalah dalam kalangan rakyat Itali.

Peringkat seterusnya, Humanis telah berevolusi dalam historiografi sehingga


menimbulkan jurang antara penulis dari kelompok Humanis dan penulis umum. Kini,
Humanis lebih menumpukan peranan mereka dalam menulis sejarah politik dan ketenteraan.
Mereka juga telah mengecilkan skop dengan hanya menulis mengenai sejarah negara mereka
yang bermula sejak kejatuhan Rom pada 410 M. Mereka telah mula mewujudkan konsep
pemabahagian zaman seperti istilah ‘Zaman Kuno’ dan ‘Zaman Moden’. Tentulah kita
faham, tempoh yang ditetapkan untuk ‘Zaman Moden’ oleh mereka tentu tidak sama dengan
tempoh ‘Zaman Moden’ yang ditetapkan oleh sejarawan kontemporari.

Antara contoh sejarawan awal bercirikan sedemikan pada zaman tersebut adalah
Giovanni Villani (1276M – 1348M) yang menulis mengenai sejarah bandarnya dan cuba
untuk membina era-era yang betul untuk sejarah bandarnya. Walau bagaimanapun, Villani
masih mempunyai konsep teologi dalam penulisannya. Beliau menulis sejarah bermula
dengan peristiwa Kota Babel.

Petrarch memulakan gerakan mengumpulkan semula karya-karya klasik yang pernah


ditinggalkan oleh Rom sejak kejatuhannya. Pengikut-pengikut Petrarch telah menjejak
kembali manuskrip-manuskrip dan teks klasik. Mereka telah pergi ke perpustakaan-
perpustakaan dan biara-biara yang telah lama ditinggalkan. Mereka telah menuju ke
Konstantinopel untuk mendapatkan kembali serpihan-serpihan karya ilmuan Yunani. Karya-
karya tersebut merangkumi pelbagai bidang yang pernah dicapai oleh Rom dan Yunani
seperti sains, falsafah, sastera, muzik, seni dan lain-lain. Ketika Konstantinopel ditakluk pada
tahun 1453M oleh Empayar Uthmaniyyah, terdapat warga Byzantine yang lari membawa
karya-karya klasik tersebut ke Itali.

Manuskrip-manuskrip tersebut telah disalin semula, diterjemah, disyarah dan


ditunjukkan kepada rakan-rakan terdekat, lalu disebarkan kepada orang awam. Kemunculan
teknologi percetakan tidak lama selepas itu, telah meningkatkan kadar sebaran dengan lebih
luas dalam tempoh masa yang singkat. Mereka telah menubuhkan akademi untuk mengajar
karya-karya itu. Mereka menghidupkan kembali suasana klasik yang pernah dicapai oleh
Rom.

Dalam Historiografi, Pertrarch berperanan memperkenalkan istilah era ‘antiqua’ dan


era ‘nova’. Era Antiqua lebih kita kenali sebagai Era Kuno yang didefinisikan oleh Pertrarch
pada waktu sebelum kejatuhan Rom. Era Nova pula bermaksud ‘Zaman Moden’, tetapi
Pertrarch sering memanggilnya sebagai ‘tenebra’ yang bermaksud ‘gelap’ dan
‘dibayangkan’. Beliau mula menukar idea historiografi yang berkonsepkan teologi kepada
konsep kebudayaan. Penukaran ini merupakan sebuah tafsiran sekular dalam penulisan
sejarah.

Leonardo Bruni (1370M – 1444 M) merupakan salah seorang Humanis pertama yang
membahagikan sejarah kepada tiga zaman dalam penulisannya, iaitu Zaman Kuno, Zaman
Pertengahan dan Zaman Moden. Tarikh yang didefinisikan oleh Bruni untuk ketiga-tiga
zaman tersebut tidak seperti biasa yang digunakan oleh sejarawan moden. Tetapi beliau telah
mendirikan asas tersebut dalam historiografi.

Selain Bruni, Humanis lain seperti Flavio Biondo (1392M – 1463M), Giovanni
Boccaccio (1313M – 1375M), dan Filippo Villani juga telah mula meletakkan garisan
tertentu sebagai pembahagian era-era dalam sejarah manusia. Biondo menandakan zaman
sebelum kejatuhan Rom sebagai Zaman Kuno. Beliau melihat pembaharuan mula berlaku di
Itali bermula pada tahun 1412M. Maka, bermula dari 412M hingga 1412M menandakan
Zaman Pertengahan menurut Biondo.

Merekalah sejarawan awal yang membahagikan zaman-zaman tersebut. Pandangan


mereka mengenai Renaissance hanyalah terbatas pada peringkat kebangkitan intelektual dan
seni budaya, bukanlah sebuah era yang mempunyai ciri unik.

Pada kurun-kurun berikutnya, idea pembaharuan dan humanism semakin tersebar luas
ke negara-negara jiran seperti Perancis dan Jerman. Historiografi tidak mempunyai perbezaan
ketara di negara-negara luar Itali kecuali Jerman yang tidak gemar membahagikan sejarah
mengikut zaman. Idea Renaissance sebagai sebuah era tidak pernah berputik dalam kalangan
sejarawan Humanis kerana ia hanyalah sebahagian daripada Zaman Moden.

Idea Renaissance

Kelompok Humanis merupakan kelompok awal yang menggerakkan idea


Renaissance. Namun begitu, objektif gerakan mereka bukanlah menumpu ke arah
pembaharuan sosio-budaya secara keseluruhan. Mereka hanyalah peminat karya-karya klasik.
Mereka mencari dan mungumpulkan karya-karya tersebut. Mereka lebih kepada
individualism daripada bersifat gerakan kelompok.

Aktiviti mereka dapat dijejak lebih awal daripada era Pertrarch, tetapi ia tidak meluas.
Selalunya yang masih mengekalkan dan menjaga teks-teks Rom dan Yunani adalah Gereja,
itu pun tidak terlalu aktif. Aktiviti Humanis ini memberikan kesan pada pendidikan, sastera,
kesenian, seni bina dan intelektual setempat di Itali. Maka, Renaissance dipanggil hanyalah
merujuk kepada perubahan ciri-ciri tersebut.

Pada abad ke-19, ahli sejarah dalam kalangan artis merupakan kelompok pertama
yang mempopularkan Renaissance. Merekalah yang telah melihat Renaissance sebagai
sebuah era yang mempunyai ciri tersendiri. Ini tidak hairan kerana budaya seni mengalami
sebuah kebangkitan dan pembaharuan yang pesat. Keadannya tidak sama pada waktu-waktu
ketika Zaman Gelap. Dalam sejarah politik, Renaissance masih belum lagi wujud.

Sejarawan Perancis, Jules Michelet (1798M – 1874M) adalah sejarawan pertama yang
melihat Renaissance sebagai era yang mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan manusia,
bukan sekadar era kesenian mahupun intelektual. Dalam karyanya ‘Le France’, menyatakan
bahawa ‘Renaissance’ mempunyai definisi yang luas sebagai titik tolak dalam sejarah Barat.
Walaupun begitu, Michelet hanya menumpukan pada sejarah Perancis pada kurun ke-16,
bukan seluruh sejarah Barat. Selepas Michelet, John Addington Symonds (1840M – 1893M)
meneruskan tradisi Michelet dengan menulis karya sejarah Renaissance yang berpengaruh
seperti The Renaissance. An Essay (1863) dan Renaissance in Italy (1886).

Sejarawan Swiss, Jacob Burckhardt (1818M – 1897M), ahli historiografi berpengaruh


dalam seni dan budaya, menghuraikan dan menyatakan bahawa Renaissance merupakan
kunci era dalam sejarah Eropah yang bermula dari Itali. Renaissance seperti yang dipaparkan
oleh Burckhardt dalam karyanya, ‘The Civilization of the Renaissance in Italy’ merupakan
pivot penting di mana budaya Eropah berubah menjadi budaya baru. Aspek penting mengenai
perubahan ini, adalah kebangkitan pengajian teks dan budaya kehidupan klasik, lalu
melahirkan Renaissance dan permulaan Zaman Moden. Kebangkitan di Itali pada waktu itu
menjadi prototaip yang membentuk budaya moden di Barat.

Karya Burckhardt sangat berpengaruh dan memberikan kesan terutamanya dalam


subjek sejarah Barat. Penyambung tradisi Burckhardtian meneruskan idea Renaissance
sebagai era yang unik. Walaupun sebahagiannya mengubah konsep yang diketengahkan oleh
Burckhardt sendiri, tetapi idea Renaissance sebagai era pivot perubahan sejarah di Barat tetap
menjadi asas dalam historiografi. Penulis sejarah dalam bidang-bidang lain seperti ekonomi,
politik, sosiologi, psikologi dan falsafah yang bersetuju dengan aliran Burckhardtian
mendorong perkembangan idea Renaissance yang mencapah pelbagai aspek kehidupan
manusia.

Idea Renaissance dalam historiografi selepas itu, tidak hanya mejadi tumpuan dalam
sejarah Itali semata-mata, malah telah wujudnya istilah ‘Northern Renaissance’ bagi merujuk
Renaissance yang berlaku di negara-negara jiran seperti Perancis, Jerman dan England.
Negara-negara tersebut mempunyai tafsiran yang tersendiri mengenai Renaissance, tetapi
tidak lari dari tiga asas utama. Pertamanya, Renaissance bermula dari Itali dan seterusnya
tersebar ke utara lalu membawa perubahan kepada negara tersebut. Keduanya, kebangkitan
budaya klasik yang menjadi faktor dominan. Ketiganya, Renaissance sebagai penanda
pengakhiran tamadun zaman pertengahan dan permulaan dunia moden.

Mengapa Idea Renaissance Diragui?

Pada seksyen ini, hujah yang mahu saya jelaskan kebanyakannya telah disebut
sebelumnya. Renaissance merupakan sebuah kebangkitan, tetapi ia bukanlah kebangkitan
yang ramai antara kita faham. Ia bukan seperti Revolusi Perancis dan Kejatuhan Tembok
Berlin yang didorong oleh pelbagai faktor dalam kerangka masyarakat yang luas.

Sejarawan kontemporari dari Amerika, John Green menyatakan Renaissance tidak


sebenarnya berlaku. Beliau bersetuju tentang perubahan yang berlaku di Itali dari sudut seni,
intelektual, pendidikan dan sastera. Tetapi itu hanyalah berlaku pada kelompok kecil di Itali
terutamanya golongan sarjana, aristokrat, pembesar dan Gereja. Kebanyakan masyarakat
Barat pada masa itu masih hidup seperti kehidupan zaman pertengahan. Mereka tidak sedar
Renaissance berlaku di sekeliling mereka, kecuali sekelompok kecil tadi.

Perkataan ‘Renaissance’ pertama sekali digunakan oleh seorang artis Itali bernama
Giorgio Vassari (1511M – 1574M) dalam karyanya, Lives of the Most Excellent Painters,
Sculptors, and Architect (1550) dalam mendefinisikan perbezaan antara kesenian zaman
pertengahan dan perubahan seni yang berlaku di Itali pada masa itu. Vassari mendakwa
bahawa, unsur kesenian seperti aspek seni bina, seni cat, dan reka bentuk telah musnah sejak
kejatuhan Rom. Kesenian yang dirujuk oleh Vassari adalah kesenian Rom dan Yunani. Pada
Zaman Pertengahan, keseniannya berunsur barbarik dari bangsa Gotik Jerman yang
menguasai Barat. Kemunculan semula kesenian klasik memberikan gambaran kepada Vassari
bahawa kesenian sedang bangkit.

Tambahan lagi, ‘kebangkitan’ dalam bahasa Itali bukanlah ‘Renaissance’, tetapi


‘Rinascita’. ‘Renaissance’ adalah bahasa Perancis yang digunakan oleh Jules Michelet dalam
mendefinisikan idea ‘kebangkitan’ itu dalam kerangka yang luas.

Seperti yang dibicarakan pada topik sebelum ini, Renaissance menumpu pada
kebangkitan seni dan intelektual yang digerakkan oleh kelompok Humanis. Perubahan dapat
dilihat pada seni bina, pendidikan dan kehidupan golongan seperti sarjana dan Gereja.
Pengaruh montastik dalam pelbagai fahaman Kristian membawa masyarakat beralih dari
kejayaan dunia. Nilai tertinggi pada Zaman Pertengahan adalah ketataan kepada agama,
maka, masyarakat lebih mengikuti nilai tersebut. Tetapi Humanis mentafsir nilai tersebut
dengan bersifat aktif dalam perkara dunia, tetapi tidaklah bermaksud mereka tidak beragama.

Maka, adakah kebangkitan ini boleh digambarkan sebagai sebuah era dan zaman? Era
dan zaman yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia seperti politik, ekonomi dan
agama?

Konsep ‘Zaman Moden Awal’

Sebahagian sejarawan menerima konsep ‘Renaissance’ dalam mendefinisikan


perubahan dan kebangkitan sosio-budaya dan agama. Tetapi tidak sebahagian yang lain.
Mereka menolak konsep ‘Renaissance’ yang didefinisikan sebagai kerangka yang luas kerana
ia hanyalah pada seni dan gerakan intelektual yang hanya terlibat oleh sebahagian kelompok.
Era lebih menumpu pada gerakan masyarakat, struktur politik dan arus ideologi semasa.
Mereka membawa istilah ‘Moden Awal’ untuk merujuk era antara Zaman Pertengahan dan
Zaman Moden.

Penggunaan istilah ‘Moden Awal’ dapat difahami apabila melihat pada sudut
perkembangan dengan kerangka yang lebih meluas pada masa itu seperti perkembangan
peranan wanita dalam kerangka sosial, teknologi percetakan, gerakan keagamaan, serta
perkembangan sekolah dan universiti, yang semua ini mempunyai sedikit perkaitannya
dengan Renaissance. Selain itu, gerakan politik dalam pembentukan negara bangsa dan
monarki telah memisahkan pembaharuan Renaissance. Begitu juga dengan perkembangan
ekonomi dalam aktiviti perdagangan dan pelayaran pada Era Columbian.

Humanis adalah penulis awal sejarah Barat menggunkan konsep ini dalam penulisan
mereka walaupun tempoh waktu yang dikenakan berbeza dengan sejarawan moden. Hal ini
telah dibicarakan pada topik sebelumnya.

Renaissance dalam Sejarah Moden Awal

Kita tidak menafikan Renaissance, tetapi menggambarkan ia sebagai pusat perubahan


dan era adalah pendapat yang dipersetujui oleh sesetengah pihak. Renaissance merupakan
salah satu penyumbang yang membawa dunia Barat ke dunia moden.

Perkembangan teknologi percetakan tidak hadir daripada cetusan Renaissance, tetapi


ia digunakan untuk mencetak karya-karya klasik dari Rom dan Yunani. Renaissance juga
tidak mencetuskan peranan dan kedudukan wanita, tetapi isu tersebut dimuatkan dalam
karya-karya sastera Renaissance. Walaupun gerakan dan revolusi keagamaan tidak
dicetuskan oleh Renaissance, tetapi tokoh-tokoh utama dalam gerakan tersebut merupakan
tokoh Renaissance. Absolutism tidak didorong oleh Renaissance, tetapi penyokong gerakan
tersebut telah membaca karya-karya Renaissance.

Peristiwa sejarah dan proses dalam era Moden Awal tidak mampu manifestasi tanpa
tamadun elit Renaissance. Renaissance berkembang dari Scandinavia hingga Balkan,
Bordeaux hingga Buda dan Pest, sehinggalah ke seluruh penempatan Eropah di Dunia Baru,
meneduh kepalbagaian budaya serantau. Hujahnya kembali kepada Renaissance sebagai
sebuah konstruk yang sah, dirangsang oleh inovasi dunia seni dan pemikiran, tetapi telah
memeluk dan menyentuh hampir kesemua peristiwa dan perkembangan dari tahun 1300M –
1700M (Margaret L. King, 2003).

Terdapat banyak faktor yang membawa tamadun Barat menuju ke arah pemodenan
seperti revolusi saintifik, reformasi agama, perubahan struktur politik, perkembangan aktiviti
perdagangan dan penemuan pelbagai perkara baru. Kita akan pergi satu persatu faktor-faktor
ini. Kita akan lebih banyak membincangkan aktiviti pelayaran yang menyumbang kepada
pelbagai perubahan, tetapi pencetusnya adalah faktor ekonomi itu sendiri.

Anda mungkin juga menyukai