Anda di halaman 1dari 2

Langkah-langkah Mengatasi Kegiatan Jenayah dalam Kalangan Remaja

Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan
masalah dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan
jenayah yang acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupun
percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif
dan secara langsung mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak dan ingin
mencuba sesuatu yang mencabar. Mungkinkah ini salah satu cara pergaulan remaja
sekarang? Tegasnya, gejala jenayah ini sememangnya perlu dibanteras dengan segera
agar tidak leluasa seterusnya pelbagai tindakan perlu diambil untuk mengekang gejala ini
daripada kehidupan seharian.

Usaha yang paling utama dan efisien untuk mengatasi masalah jenayah dalam
kalangan remaja di negara ini adalah dengan cara ibu bapa perlu bijak mendidik anak-anak
mereka agar tidak terjerumus dalam kebejatan sosial seperti gejala jenayah ini. “Melentur
buluh biarlah dari rebungnya” merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh
setiap ibu bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa
perlu memberi pendidikan agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari setiap perkara
yang dilakukan sama ada salah atau betul. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur,
barulah ibu bapa kelam kabut untuk mengambil tindakan yang sememangnya amat susah
diterima oleh para remaja yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya, ibu bapa
pula tidak seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan
kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah. Tegasnya,
ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada remaja dan anak-anak supaya
mereka menganggap ibu bapa sering menjadi tempat tinggal dan tempat mengadu
masalah.

Selain ini, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah
dalam kalangan remaja yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah pihak berkuasa
perlu mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop
yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam proses
mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Antara langkah untuk mewujudkan
konsep bandar dan pekan selamat adalah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak
tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, polis dan sebagainya dalam usaha memastikan
kawasan tersebut bebas daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan
sebagainya. Dengan pengawalan daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-
kurangnya dapat menakutkan remaja yang ingin melakukan jenayah. Kamera-kamera litar
tertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti
apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan
pekan selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada
melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara ini, konsep bandar dan pekan
selamat jelas sekali merupakan usaha yang efektif bagi mencegah jenayah dalam kalangan
remaja.

Seterusnya, pengenalan semula matapelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan


(PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga merupakan salah satu cara
untuk menbanteras kes jenayah dalam kalangan remaja. Seandainya, Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan (PSK) menjadi pelajaran teras sudah pasti masalah jenayah dalam
kalangan remaja dapat diatasi. Matapelajaran PSK ini merupakan satu langkah kearah
mambentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai
murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula matapelajaran ini, seseorang
individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur
keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada
pembangunan negara. Sudah terang lagi bersuluh, kes-kes jenayah boleh ditangani
dengan adanya pengenalan semula matapelajaran khas yang boleh dipelajari oleh para
remaja.

Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah dalam kalangan remaja juga


boleh diadakan di setiap sekolah. Pada hari ini banyak kempen yang diadakan di sekolah
seperti cendawan tumbuh selepas hujan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan
remaja terutamanya peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini demikian kerana para pelajar
pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Seandainya para
pelajar diberi pendedahan awal tentang kes-kes jenayah, sudah tentu masalah jenayah
dalam kalangan remaja dapat diatasi. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk
melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kempen kesedaran yang diadakan di
sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah
seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan
kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan
hukuman kepada kepada pesalah. Tegasnya, kempen kesedaran sepatutnya diadakan
untuk meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan ini amat
membimbangkan.

PEnubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus


operandi untuk menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja yang semakin leluasa.
Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Antidadah (SLAD) merupakan antara
kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja
mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan remaja untuk
sentiasa melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-
menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah
sosial didefinisikan sebagai pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada
berlaku dan menjadi lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, “mencegah lebih
baik daripada mengubat”. Sekiranya langkah ini tidak dilaksanakan, sudah pasti kegiatan
jenayah dalan kalangan remaja akan semakin leluasa. Oleh itu, kelab-kelab bersifat
antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi membanteras gejala jenayah di
negara ini. Tegasnya, penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan
salah satu langkah prakmatik dan dogmatik dalam menangani masalah jenayah dalam
kalangan remaja.

Konklusinya, kegiatan jenayah dalam kalangan remaja mendatangkan impak negatif


kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidimik yang akan
menjatuhkan imej negara di mata seantero dunia. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya setiap
orang menyedari peranan mereka dalam membanteras jenayah dalam kalangan remaja.
Sebelum nasi menjadi bubur, masyarakat perlulah menggembleng tenaga untuk
membanteras jenayah yang semakin membarah di Malaysia. Hal ini sekali gus dapat
meminimumkan statistik jenayah sosial dalam kalangan remaja seterusnya negara
Malaysia dapat melahirkan remaja yang bersahsiah tinggi dan berbudi pekerti.

Anda mungkin juga menyukai