Anda di halaman 1dari 4

Fakta: Cara-cara membasmi pembiakan nyamuk Aedes

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang sangat berbahaya. Demam
denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya. Peyakit ini sudah
menjadi masalah utama di negara kita kerana kematian akibat nyamuk Aedes di negara ini
terus meningkat dari tahun ke tahun.
Kita perlulah bekerjasama untuk membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Antara cara untuk
membasmi nyamuk Aedes ialah memastikan tiada takungan air yang dibiarkan yang boleh
membiakkan nyamuk. Tempat-tempat tersebut seperti di dalam tempayan, pasu-pasu bunga,
dan kolam mandi. Pastikan nyamuk tidak membiak di dalam tempat-tempat ini dengan
menyalinkan airnya pada setiap minggu dan dibasuh sehingga bersih untuk memusnahkan
telur nyamuk.
Selain itu, tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada
bertelur. Bekas yang tidak digunakan pula hendaklah dikumpulkan dan dibuang ke dalam
tong sampah atau ditanam.
Saluran bumbung juga boleh menakungkan air yang akan menjadi tempat pembiakan
nyamuk. Oleh itu, periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali untuk membersihkan
daun yang menyekat air daripada mengalir.
Di samping itu, jika menggunakan takungan air untuk memerangkap semut daripada naik ke
meja atau almari, air takungan itu perlulah dimasukkan garam sebanyak 2 sudu teh untuk
mencegah pembiakan nyamuk.
Ikan peliharan juga boleh membantu membasmi nyamuk Aedes kerana ikan seperti ikan gapi
dan puyu akan memakan jentik-jentik. Oleh itu, peliharalah ikan-ikan ini dalam tangki-tangki
besar bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes ini. Jika tidak, masukkan ubat pembunuh
jentik-jentik dengan mengikut sukatan yang betul ke dalam semua bekas menyimpan air, tiga
bulan sekali.
Kesimpulannya, kita mestilah bekerjasama bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes.
Justeru, setiap orang mestilah prihatin akan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat
pembiakan nyamuk. Ambillah tindakan yang sewajarnya jika mendapati tempat tersebut
boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Contoh Karangan : Langkah - Langkah Mengatasi Kegiatan Jenayah dalam


Kalangan Remaja
Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan masalah
dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan jenayah yang
acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupun percakapan orang ramai.
Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif dan secara langsung
mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak dan ingin mencuba sesuatu yang
mencabar. Mungkinkah ini salah satu cara pergaulan remaja sekarang? Tegasnya, gejala
jenayah ini sememangnya perlu dibanteras dengan segera agar tidak leluasa seterusnya
pelbagai tindakan perlu diambil untuk mengekang gejala ini daripada kehidupan seharian.
Usaha yang paling utama dan efisien untuk mengatasi masalah jenayah dalam kalangan
remaja di negara ini adalah dengan cara ibu bapa perlu bijak mendidik anak-anak mereka
agar tidak terjerumus dalam kebejatan sosial seperti gejala jenayah ini. Melentur buluh
biarlah dari rebungnya merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu
bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi
pendidikan agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari setiap perkara yang dilakukan
sama ada salah atau betul. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa
kelam kabut untuk mengambil tindakan yang sememangnya amat susah diterima oleh para
remaja yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya, ibu bapa pula tidak
seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan bekerja
dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah. Tegasnya, ibu bapa harus memberi
perhatian yang secukupnya kepada remaja dan anak-anak supaya mereka menganggap ibu
bapa sering menjadi tempat tinggal dan tempat mengadu masalah.
Selain ini, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah dalam
kalangan remaja yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah pihak berkuasa perlu
mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop yang
sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam proses
mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Antara langkah untuk mewujudkan konsep
bandar dan pekan selamat adalah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti
Rela, Rukun Tetangga, polis dan sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebut
bebas daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan
daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan remaja yang
ingin melakukan jenayah. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai langkah
berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan
tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa waswas kepada si penjenayah daripada melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara
ini, konsep bandar dan pekan selamat jelas sekali merupakan usaha yang efektif bagi
mencegah jenayah dalam kalangan remaja.
Seterusnya, pengenalan semula matapelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK)
kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga merupakan salah satu cara untuk
menbanteras kes jenayah dalam kalangan remaja. Seandainya, Pendidikan Sivik dan

Kewarganegaraan (PSK) menjadi pelajaran teras sudah pasti masalah jenayah dalam
kalangan remaja dapat diatasi. Matapelajaran PSK ini merupakan satu langkah kearah
mambentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai
murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula matapelajaran ini, seseorang
individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan,
memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan
negara. Sudah terang lagi bersuluh, kes-kes jenayah boleh ditangani dengan adanya
pengenalan semula matapelajaran khas yang boleh dipelajari oleh para remaja.
Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah dalam kalangan remaja juga boleh
diadakan di setiap sekolah. Pada hari ini banyak kempen yang diadakan di sekolah seperti
cendawan tumbuh selepas hujan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja
terutamanya peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini demikian kerana para pelajar pada tahap
ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Seandainya para pelajar diberi
pendedahan awal tentang kes-kes jenayah, sudah tentu masalah jenayah dalam kalangan
remaja dapat diatasi. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah
terlibat dalam kempen-kempen kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen
pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran
berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir
memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada kepada pesalah.
Tegasnya, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran para
remaja yang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.
Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus operandi
untuk menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja yang semakin leluasa. Kelab
Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Antidadah (SLAD) merupakan antara kelab
bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja
mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan remaja untuk sentiasa
melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan
ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial didefinisikan
sebagai pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada berlaku dan menjadi
lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubat.
Sekiranya langkah ini tidak dilaksanakan, sudah pasti kegiatan jenayah dalan kalangan
remaja akan semakin leluasa. Oleh itu, kelab-kelab bersifat antijenayah sosial haruslah lebih
giat dilaksanakan bagi membanteras gejala jenayah di negara ini. Tegasnya, penubuhan kelab
bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan salah satu langkah prakmatik dan dogmatik
dalam menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja.
Konklusinya, kegiatan jenayah dalam kalangan remaja mendatangkan impak negatif kepada
diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidimik yang akan menjatuhkan imej
negara di mata seantero dunia. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya setiap orang menyedari
peranan mereka dalam membanteras jenayah dalam kalangan remaja. Sebelum nasi menjadi
bubur, masyarakat perlulah menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah yang semakin
membarah di Malaysia. Hal ini sekali gus dapat meminimumkan statistik jenayah sosial
dalam kalangan remaja seterusnya negara Malaysia dapat melahirkan remaja yang bersahsiah
tinggi dan berbudi pekerti.

Anda mungkin juga menyukai