Anda di halaman 1dari 1

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempertimbangkan siasatan

antarabangsa berhubung konflik Israel-Palestin.

Usul dikemukakan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) itu antara lain
bagi menyiasat pelanggaran undang-undang dalam keganasan terbaru di Gaza
termasuk pencabulan sistematik di wilayah Palestin dan Israel.

Ia turut mengesyorkan siasatan dijalankan terhadap pencabulan yang berlaku bagi


mengenal pasti punca kepada konflik sejak puluhan tahun itu.

Deraf resolusi dikemukakan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu akan


dibincangkan dalam sesi sehari yang memberi tumpuan terhadap keganasan antara
Palestin dan Israel bulan ini.

Sesi membabitkan 47 anggota majlis itu diusulkan oleh Pakistan yang mewakili OIC
dan Pihak Berkuasa Palestin akan bermula dengan kenyataan oleh Ketua majlis itu,
Michelle Bachelet.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki serta Duta Israel ke PBB, Meirav Eilon, antara
individu yang akan berucap pada sesi terbabit.

Terdahulu, Eilon mengecam sesi dan deraf resolusi terbabit dengan mendakwa
tujuan penganjurannya hanya untuk menyalahkan Israel dan cuba membersihkan
jenayah dilakukan Hamas.

Berdasarkan kenyataan, usul terbabit akan diundi pada petang ini dengan
menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan antarabangsa mengenai pelanggaran
dan pencabulan di wilayah Palestin, termasuk di timur Baitulmaqdis serta Israel.

Pasukan itu juga perlu menyiasat semua dakwaan pelanggaran dan pencabulan
undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan ketegangan sehingga
mencetuskan keganasan.

Jika resolusi itu diluluskan, sebuah suruhanjaya inkuiri bakal ditubuhkan buat
pertama kali bagi melakukan siasatan tahap tertinggi seperti diarahkan majlis
berkenaan. - AFP