Anda di halaman 1dari 6

Cerpen: Rinduku Ke Syurga

Oleh Md Nizar Parman

2010/05/08
BEGITULAh kesudahannya; aku hanya sempat mengenali lelaki itu lima tahun lapan bulan. Aku
tahu dia telah pergi. Linangan air mata ibu yang menuruni cerun pipinya yang putih dan gebu
ketika bersimpuh di sebelah sesusuk tubuh yang terbujur kaku berbalut kain kapan cukup untuk
menggambarkan kedukaannya.

Kancapuri rumahku seolah-olah sebuah perkuburan sepi. Aku yang duduk di ribanya didakap
erat. Entah berapa kali ibu mendaratkan bibirnya ke dahi, pipi dan ubun-ubunku. Antara dengar
atau tidak, berulang kali ibu berbisik ke telingaku, “Abah Firdaus telah pergi … Abah Firdaus
telah pergi.”
Saat sekujur tubuh abah diangkat pergi oleh beberapa orang penduduk kariah dan dimasukkan ke
dalam van jenazah berwarna putih, ibu rebah - beberapa kali ibu rebah. Mujur sempat disambut
oleh beberapa orang penduduk kariah wanita.
Aku membuntuti van jenazah yang membawa tubuh kaku ayah hingga ke tanah perkuburan –
malah aku turut berdiri betul-betul di bibir lubang kuburnya.
Tubuh abah disambut oleh penggali kubur lalu dibaringkan di liang lahad. Sebaik sahaja keranda
menutupi jasadnya dan dikambus dengan tanah oleh para penggali kubur, air mataku tiba-tiba
berlinangan. Baharu aku tahu ertinya mati.

Aku sempat menjeling ke arah ibu yang duduk di sebuah pondok yang terletak agak jauh dari
tempat ayah disemadikan. Dia duduk bersimpuh sambil tunduk – tidak henti-henti menyeka air
matanya. Beberapa orang saudara-mara terdekat mendakap erat tubuhnya. Dan, di situ entah
berapa kali ibu rebah lagi.

Hari-hari yang berlalu benar-benar membuahkan sepi. Saban petang, aku masih duduk di muka
pintu menanti kepulangannya walaupun aku tahu dia tidak akan menjelma. Tiada lagi kelibat
lelaki yang bertubuh sasa itu merangkul lalu mendukung tubuhku dan menghadiahkan ciuman
yang bertubi-tubi ke pipiku sehingga aku ketawa kegelian.
“Fir, sudah hampir senja. Pergi mandi. Selepas itu solat Maghrib dengan ibu,” tegur ibu lembut.

“Kalau kita selalu solat dan berdoa, ayah akan pulang? Kita akan jumpa ayah?”

Ibu diam. Masih ada mendung hiba yang terlukis di wajahnya. Belakangan ini juga, ibu lebih
banyak menitiskan air mata berbanding senyum dan tawanya. Dia merapati tubuhku lalu
mendakapku; lembut jari-jemarinya mengusap-usap ubun-ubunku.

“Abah tidak akan pulang lagi, Fir. Tapi kalau kita selalu berdoa, kita akan berjumpa dengan abah
suatu hari nanti,” balas ibu.

“Jumpa di mana?”

“Di syurga.”

“Syurga? Di mana? Jauh?”

Ibu angguk. “Jauh … Kalau Fir jadi anak yang baik dan selalu berdoa untuk abah, Fir juga akan
ke sana, berjumpa dengan abah.”
“Di syurga?”

Ibu angguk lagi.

Malam terus melagukan senandung pilu. Tiada lagi suara merdu abah meninabobokkan aku di
kamar ini. Tiada lagi hangat dakapannya. Malam ini dan malam-malam seterusnya aku hanya
mendakap sunyi.

2
SEJAK ketiadaan abah, ibu terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan kami. Seminggu ibu
bekerja pada sebelah siang, seminggu lagi ibu bekerja pada sebelah malam; kerja kilang. Kata
ibu, abah tidak meninggalkan wang simpanan yang banyak untuk kami. Abah hanya kerani.

Entah sampai bila aku harus melalui hidup seperti ini – lebih banyak menghabiskan masa di
rumah pengasuhku berbanding di rumahku sendiri. Aku tidak menyalahkan ibu. Ibu punya
tanggungjawab yang amat berat. Aku mesti memahaminya walaupun aku mula berasakan ada
kerenggangan dalam hubungan kami berdua.

Setiap kali pulang dari kerja, ibu sering mengadu keletihan. Sudahnya aku sering terbiar;
kesepian. Jika abah masih ada, tentu ruang-ruang kosong ini diisi oleh gurau senda dan gelak
ketawanya. Seletih mana pun ayah, kemahuanku seboleh-bolehnya akan dipenuhi.

Dunia kecilku yang sepatutnya dipenuhi rona-rona indah bertukar menjadi kelam sejak ketiadaan
abah. Kubilang-bilang, sudah hampir lima purnama abah bersemadi di sana. Kali terakhir aku
menziarahi pusaranya kira-kira tiga bulan lalu; menemani ibu mencacakkan batu nisan yang
bertulis nama ayah, tarikh lahir dan tarikh kematiannya. Di situ, ibu menangis lagi.

Sepi dan derita yang menghunjam hidup ibu rupa-rupanya tidak lama. Taman sepi dalam hati itu
rupa-rupanya kembali dihiasi bebunga harum aneka warna dan rupa. Ibu sudah bisa tersenyum
dan ketawa ceria.
“Esok Fir pakai baju yang cantik-cantik. Ikut ibu jalan-jalan. Sudah lama Fir tidak bersiar-siar di
kota,” ujar ibu. Di bibirnya sentiasa menguntum senyuman.
“Jalan-jalan?” Tentu sahaja aku agak kaget. Lazimnya ibu terlalu sibuk dan akhirnya kepenatan
mengurusi aku dan rumah. Dunianya hanya aku, rumah dan kilang. “Dengan siapa?”

Ibu tidak menjawab – tersenyum lagi. Senyuman yang lebih panjang dan pastinya mengandung
makna yang sangat mendalam. Ibu lebih senang membiarkan aku terpinga-pinga. Dan, akhirnya
keseronokan bersiar-siar di kota lebih mengujakan daripada keanehan sikap ibu. Dan, inilah detik
yang terbaik untuk mengimbas kenangan bersama abah semasa hayatnya. Setiap awal bulan,
pasti ayah akan membawa aku dan ibu ke kota.

3
MASIH terlalu awal. Meskipun dia meladeni aku dengan baik, namun dalam hati ini masih ada
sekelumit rasa curiga. Aku tidak tahu, apakah kebaikan yang dilakukannya hanya untuk membeli
hatiku?

Pesan ibu, jangan buruk sangka. Seboleh-bolehnya, ibu berusaha meyakinkan aku bahawa lelaki
itulah calon yang terbaik untuk menggantikan arwah abahku.
“Fir masih terlalu mentah untuk mengerti. Tapi Fir percayalah, apa yang ibu lakukan adalah
untuk kebaikan Fir juga,” ujar ibu pada suatu malam ketika aku sedang menonton rancangan
kanak-kanak kegemaranku di televisyen.

“Ibu sudah lupa pada abah?” Entah mengapa tiba-tiba pertanyaan itu terpacul dari mulutku. Ibu
sedikit tersentak. Apabila ibu mengerling tajam ke arahku, aku segera tunduk. Betapa cabulnya
mulutku. Aku segera masuk ke kamar. Tidak sanggup untuk bertentangan mata dengan ibu.

Akhirnya ibu telah diijabkabulkan dengan lelaki itu. Lelaki yang kata ibu mampu menjadi abah
yang terbaik buatku walaupun statusnya hanya abah tiri. Saban pagi, lelaki itulah yang
menghantarku ke sekolah tadika dan menjemputku beberapa jam kemudiannya. Kadang-kadang,
dia mengajak aku minum di sebuah warung yang letaknya tidak jauh dari rumahku. Memang ada
kesungguhannya untuk memenangi hatiku. Malah, setiap masa seolah-olah dia tidak mahu
berenggang denganku; lebih-lebih lagi apabila ibu ada di rumah.

Curiga. Ah, entah mengapa perasaan itu berterusan mengasak jiwaku! Aku tidak pandai
berbohong. Setiap kali aku meluahkan perasaanku, ibu tetap meyakinkan dialah lelaki terbaik
untuk menggantikan tempat abah. Akhirnya aku diam.

4.
SETELAH hampir sebulan dia menikahi ibuku, aku mula menghidu perubahan pada dirinya. Jika
sebelum ini dia akan menjemput aku tepat pada waktunya, tapi kali ini acap kali dia lewat. Mujur
guru prasekolah membenarkan aku berada di dalam kelas sehingga abah tiriku tiba.
“Budak kecil seperti kamu, apakah perlu bertanya ke mana abah pergi?” jerkahnya pada suatu
hari apabila aku bertanya mengapa dia kerap lewat menjemputku. Sejak itu, aku diam sahaja –
tidak lagi bertanya-tanya.

Entah. Tiba-tiba aku berasa asing di rumahku sendiri – rumah ini satu-satunya pusaka abah yang
begitu banyak menyimpan kenangan yang cukup sentimental; seolah-olah di segenap ruang di
dalam rumah ini ada dia.

Sedikit demi sedikit ibu mula membuang kenangan itu. Gambar abah tidak lagi tersangkut di
ruang tamu atau di kamar. Disorokkan entah di mana. Malah, semua pakaian abah dibungkus –
ada yang dihantar ke kampung dan ada yang diberikan kepada orang.

Bersuara? Cukuplah sekali peritnya pipiku menerima sentuhan pertama abah tiriku kerana
pernah bertanya kepada ibu tentang soal itu pada suatu ketika. Rupa-rupanya abah tiriku tidak
menyenangi sikapku.

“Abah kamu sudah mati! Kamu faham? Buat apa menyimpan barang orang yang sudah mati?”
tengking abah tiriku sebaik sahaja ibu melangkah keluar dari rumah untuk pergi kerja.

Pada saat aku mengenal kehidupan, aku juga mengenal penderitaan. Tuhan sahaja yang tahu
bagaimana rasanya diperlakukan begitu. Hanya jerit kesakitan dan tangisan yang dapat
kuluahkan.

Rupa-rupanya dendam abah tiriku tidak pernah tiris dari hatinya. Sekecil mana pun kesalahan
yang aku lakukan, pasti aku akan dihukum dengan sekeras-kerasnya. Lebih-lebih lagi selepas dia
keluar dari kamar dengan mata yang merah dan terhoyong-hayang.

Ibu? Cinta dan kepercayaannya kepada ayah tiriku melebihi kebenaran kata-kataku.
“Sejak bila Fir pandai berbohong? Abah tiri Fir baik. Kenapa Fir selalu cerita yang buruk-buruk
tentang dia? Ibu lebih mengenali dia,” kata ibu tegas.

Aku diam seperti seperti seorang penjenayah yang berada di kandang pesalah dan dibela oleh
seorang peguam bela yang berpaling tadah.

Abah tiriku semakin bertindak buas dan ganas sejak dia mengetahui aku mengadukan perihal
perlakuannya terhadap diriku kepada ibu.

“Kecil-kecil sudah pandai mengadu domba! Bikin cerita yang bukan-bukan.”


Serentak itu kepalan penumbuknya singgah di perutku. Senak yang teramat sehingga aku tidak
mampu untuk mengeluarkan suara. Tidak cukup itu, belakang badanku dilibas dengan tali
pinggang kulitnya – melelas kulitku. Aku merayu kepadanya agar tidak diperlakukan begitu,
tetapi dia benar-benar sudah dirasuk syaitan – syaitan dadah!

Saat aku terkulai tidak bermaya, dia lesap entah ke mana. Meskipun badanku lebam-lebam, aku
tidak berani membuka mulut. Dia terlebih dahulu memberitahu ibuku bahawa belakangan ini aku
terlalu nakal dan lasak bermain dengan anak-anak jiran. Ibu percaya.

5
KERINDUANKU terhadap abah membuak-buak sejak akhir-akhir ini. Dalam mimpi, dia sering
datang dengan wajahnya yang jernih dan bersih. Dia sering mengajak aku mengikutnya.
Katanya, di sana lebih tenteram dan damai.

Sudah hampir seminggu aku tidak ke sekolah. Aku benar-benar sakit. Perutku berasa sangat
pedih seperti usus-ususku telah putus. Ada juga ibuku mengusulkan kepada abah tiriku agar
membawaku ke klinik.

“Salah makan tu. Budak-budak, pantang nampak makanan sedap, semua hendak ditelannya,”
kata abah tiriku yang duduk sambil menyandarkan tubuh kurus keringnya di dinding. Namun
matanya menjeling tajam ke arahku.

“Kalau teruk sangat, esok abang bawa ke klinik, ya,” ujar ibuku yang sedang duduk sambil
melipat kain. Abah tiriku hanya mengangguk malas.

Malam itu, abah datang lagi dalam mimpiku. Kali ini aku dapat merasakan dia menyentuh
tubuhku – lembut jari-jemarinya membelai-belai rambutku. Ah, betapa rindunya! Sekali lagi dia
mengajakku ke sana. Kali ini, aku angguk.

Aku terjaga daripada tidur apabila terdengar suara abah tiriku merungut-rungut sambil
menyelongkar almari pakaianku.

“Abah cari apa?” soalku lalu perlahan-lahan bangkit. Dia langsung mencekak leherku dan
mengoncang-goncang tubuhku.

“Mana tabung kamu, ha? Mana?” jerkah ayah. Matanya membulat – merah.
“Tak boleh! Itu tabung peninggalan abah, Fir,” ujarku dengan suara yang tersekat-sekat.

Dia semakin menguatkan cengkamannya. Entah berapa kali dia menghantukkan kepalaku ke
lantai. Kepalaku berasa sakit dan pening. Dia melepaskanku dan terus menyelongkar almari
pakaianku. Bertaburan isi perut almari itu. Akhirnya dia menemui tabung yang hampir penuh itu.
Aku merayu kepadanya agar tidak mengambil tabung itu kerana duit syiling di dalam tabung itu
adalah pemberian daripada abahku. Dia tidak mempedulikan. Ketika aku cuba menghalang, dia
menghentak kepalaku dengan tabung yang diperbuat daripada seramik itu.

Aku terjelepuk. Mataku memandang ke atas. Aku dapat merasakan ada cecair hangat mengalir
keluar dari kepalaku; membuak-buak. Pandanganku mula berpinar-pinar. Dalam keadaan yang
semakin berbalam-balam, sekonyong-konyong muncul wajah bersih abahku. Semakin lama
semakin dekat. Semakin hampir.

Anda mungkin juga menyukai