Anda di halaman 1dari 4

SPI1233- Prinsip Dakwah Islamiah

Kuliah 2: KEWAJIPAN MENJALANKAN TUGAS DAKWAH

Pensyarah :DR. SHAFWAN ISMAIL1

1. PENDAHULUAN

Perkembangan dakwah islamiah di Malaysia boleh dikatakan berada di tahap yang membanggakan.
Namun masih banyak aspek yang perlu ditambahbaik untuk membawa masyarakat negara ini ke
tahap yang lebih komited dengan ajaran Islam. Seterusnya membentuk negara yang mejadikan al
Quran sebagai rujukan yang tertinggi. Untuk mencapai matlamat tersebut para pendakwah
mestilah berusaha keras membentuk angkatan pelapis yang kuat yang memahami tugas dakwah
sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW. Para pelajar yang mestilah didedahkan dengan
kefahaman yang sebenar berkaitan tugas dakwah ini kerana masa depan dakwah di negara ini
terletak di tangan mereka.

Kertas yang ringkas ini cuba memfokuskan perbincangan tentang kewajipan berdakwah bertujuan
menanam kesedaran mendalam dalam kalangan pelajar yang mengikuti kursus KIAS 2360 di Kolej
Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra(KIAS). Semuga dengan kefahaman dan kesedaran ini, mereka
berupaya menjadi pendakwah yang berjaya dan mencapai kedudukan yang mulia di sisi Allah
sebagaimana firmanNya ( Surah Fussilat: 33) :

‫ومن أحسن قوال ممن دعا إلى هللا وعمل صالحا وقال إنني من المسلمين‬

Maksudnya: Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah,
mengerjakan amal yang soleh dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orng yang berserah
diri.

Umat ini tidak mulia tanpa menjalankan tugas dakwah. Mereka telah mendapat pujian daripada
Allah di dalam ayat tersebut kerana menjalan tugas dakwah. Sebaliknya mereka yang mengabaikan
dakwah menerima seksaan disebabkan kecuaian tersebut. Dalam hadis riwayat Imam Tirmizi
(katanya hadis ini Hasan), Nabi SAW bersabda: Demi Allah, hendaklah kamu mengajak kepada ma’ruf
dan hendaklah kamu mencegah kemungkaran dan jika ini tidak dilakukan akan datanglah
kepadamu balasan berbentuk seksaan daripada Allah dalam masa yang terdekat dan ketika itu kamu
berdoa sedangkan Allah tidak akan mengabulkan doa-doa kamu.

2. TUGAS DAKWAH MERUPAKAN TUGAS NABI DAN RASUL(AS)

Tugas menyeru manusia ke jalan Allah merupakan tugas para nabi dan rasul (AS). Semua mereka
diperintah menyeru umat masing-masing supaya beriman kepada Allah dan mengesakanNya di
dalam pengabdian. Hal tersebut dinyatakan Allah fimanNya ( Surah an- Nahl: 36) :

1
Pensyarah di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan
‫ولقد بعثنا في كل أمة رسوال أن اعبدوا هللا واجتنبوا الطاغوت‬

Maksudnya: Dan sesungguhnya kami telah mengutusi rasul pada tiap-tiap umat ( untuk menyeru)
Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.

Berdasarkan ayat tersebut , rasul-rasul Allah merupakan pendakwah ke jalan Allah. Mereka telah
dipilih Allah untuk menanggung bebanan dakwah dengan berusaha menyebarkannya kepada
manusia. Walaupun perintah Allah itu ditujukan kepada para rasul, sebagaimana yang dilihat,
namun umat ini juga termasuk di dalam perintah tersebut, selama ia tiada pengecualian. Dan apa
yang jelas, bahawa tiada pengecualian dalam tugas menjalankan dakwah . Ini bermakna Allah telah
memuliakan umat ini dengan melibatkan mereka di dalam tugas para rasul, iaitu berdakwah kepada
Allah. Kemuliaan umat ini, bukan sahaja dapat dilihat di dalam ayat-ayat Al Quran yang memeritah
rasulNya supaya berdakwah, tetapi juga dapat dilihat di dalam ayat-ayat lain yang banyak di dalam
al Quran. Antaranya firman Allah( Surah Ali Imran:110 ):

‫)كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكروتؤمنون باهلل‬

Bermakud: Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kerana kamu
menyuruh berbuat perkara yng baik dan melarang perkara yang mungkar serta kamu beriman
kepada Allah.2

3. APAKAH HUKUM BERDAKWAH?

Persoalan yang sentiasa berlegar di dalam pemikiran umat Islam dari dahulu hingga sekarang adalah
persoalan yang berhubung dengan hukum menjalankan tugas dakwah, adakah ia fardhu ain atau
fardhu kifayah. Oleh itu, sebelum perbincangan tentang hukum berdakwah dilanjutkan, adalah
terlebih dahulu akan diterangkan pengertian fardhu ain dan fardhu kifayah, agar satu gambaran
tentang kedua bentuk kefardhuan tersebut dapat dihasilkan. Pengertian Fardhu Ain tidak perlu
diperjelaskan secara panjang lebar di sini, kerana ia sudah dimaklumi oleh semua orang Islam,
kerana ia adalah fardhu yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang mukallaf seperti solat lima waktu,
zakat, haji dan sebagainya. Perbincangan yang penting dalam konteks ini adalah berkaitan fardu
kifayah.

Perkataan kifayah dari segi bahasa adalah (‫د الحاجة‬--‫ا يكفي لس‬--‫) م‬, iaitu suatu yang cukup untuk
memenuhi keperluan. Manakala dari segi istilahnya pula adalah ( ‫ من غير نظر بالذات‬، ‫أمر مهم يقصد حصوله‬
‫) إلى فاعله‬, iaitu perkara yang penting yang diusahakan untuk mencapainya, tanpa melihat kepada
pelakunya3. Oleh itu dapatlah dikatakan, fardu Kifayah adalah fardhu yang hanya cukup dilakukan
oleh sebahagian orang Islam untuk memenuhi keperluan dalam tanggungjawab tertentu dan ia akan
melepaskan kewajipan atau tanggungjawab tersebut ke atas orang Islam yang lain. Contohnya
dalam tanggungjawab menunaikan solat jenazah jika ada seorang Islam meninggal dunia di satu
tempat dan telah menunaikan solat jenazah sebahagian orang Islam di tempat tersebut maka
terlepaslah tanggungjawab itu ke atas orang Islam yang lain.

2
Abdul Karim Zaidan(t.t).Usul Dakwah. Beirut Lubnan.h 28.
3
Abdul Khalil Abu Ied. Jurnal al Adl. Bil: 25 tahun 2003. Kuwait. H.191.
Namun jika diperhalusi, berkaitan fardu kifayah ini para ulama’ terbahagi kepada dua kumpulan.
Jumhur ulama’ berpandangan bahawa kewajipan fardhu kifayah ditujukan kepada setiap individu
orang Islam yang mukallaf. Manakala kumpulan kedua( mazhab Mu’tazilah dan sebahagian yang
lain) pula berpandangan bahawa golongan yang ditujukan fardhu kifayah ini adalah sebahagian
orang Islam yang mukallaf sahaja.

Berbalik kepada perbincangan tentang hukum berdakwah, para ulama’ berbeza pendapat dalam hal
ini. Sebahagian berpendapat bahawa ia fardhu kifayah dan sebahagian yang lain berpendapat ia
fardhu ain.

Punca perbezaan pendapat ini antaranya kerana penafsiran yang berbeza terhadap firman
Allah(Surah Ali Imran : 104) :

‫ولتكن منكم أمة يدعون إلى الخير ويأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر‬
Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan
dan menyuruh berbuat baik serta melarang daripada perkara yang salah. Dan mereka yang
bersifat demikian adalah orang=orang yang berjaya.

Pendapat yang mengatakan dakwah adalah fardhu kifayah telah menafsirkan perkataan ( ‫ ) منكم‬di
dalam ayat ini dengan makna sebahagian daripada kamu, atau dengan erti kata lain mereka
menafsirkan ( ‫ ) من‬itu berfungsi sebagai ( ‫)للتبعيض‬, iaitu untuk menunjukkan makna setengah.
Manakala pendapat yang mengatakan dakwah adalah fardhu ain telah menafsirkan perkataan(‫)منكم‬
bukan menunjukkan makna setengah, tetapi berfungsi sebagai (‫يين‬--‫)للتب‬, iaitu untuk menafsirkan
sesuatu. Pendapat ini bersandarkan pandangan Ibn Kathir yang menafsirkan ayat ini dengan katanya:
hendaklah ada satu kumpulan daripada umat ini bangkit melaksanakan tugas dakwah, sekalipun
tugas ini menjadi kewajipan ke atas setiap individu masing-masing. Selain itu, pendapat ini juga
disandarkan kepada Imam ar Razi yang menyebut : berkaitan ayat ini ( ‫ ) منكم‬terdapat dua
pandangan:

1- Pertama : sesungguhnya( ‫ )من‬di dalam ayat ini tidak menunjukkan makna setengah kerana
dua sebab. Pertama : Allah telah mewajibkan amar ma’ruf dan nahi mungkar ke atas setiap
umat menerusi firman ( Surah Ali Imran:110) :

‫كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون باهلل‬

Kedua : seorang muslim itu apabila menjadi seorang yang mukallaf ia diwajibkan
melahsanakan tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar, samada dengan tangannya atau
dengan lidahnya atau dengan hatinya. Dia wajib juga ke atas setiap individu menolak
kemudharatan ke atas dirinya.

2- Kedua: perkataan (‫ )من‬menunjukkan makna setengah(‫ )للتبعيض‬kerana terdapat dalam


kalangan orang Islam yang tidak berupaya berdakwah, amar ma’ruf dan nahi mungkar. 4

4
Lihat Abdul Karim Zaidan. Usul Dakwah. H. 201-202. Beliau memetik daripada Tafsir Ar Razi. Jilid 7. H 177-
178.
4. KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan yang telah ditunjukkan itu dapat disimpulkan bahawa hukum
melaksanakan tugas dakwah adalah fardhu ain, kerana maksud fardhu kifayah seperti dijelaskan
adalah fardhu yang cukup dilaksanakan oleh sebahagian orang Islam sahaja untuk memenuhi
keperluan dakwah. Sedangkan tenaga dakwah hari ini belum sampai ke tahap kifayah atau
cukup. Dengan ini, dakwah memerlukan tenaga yang lebih besar untuk membenteras
kejahilan,kesesatan dan kemungkaran yang berleluasa di dalam dunia. Umat Islam lelaki
mahupun perempuan perlu mengembelingkan tenaga untuk menyebarkan dakwah islamiah
pada hari ini.

Tugas ini menjadi farhu ain ke atas setiap individu yang mukallaf , ia hendaklah dilaksanakan
mengikut keupayaan masing-masing. Dan dalam masa yang sama kewajipan umat ini
membentuk satu kumpulan atau Jemaah yang menjalankan tugas dakwah melalui Jemaah.
Menurut Abdul Karim Zaidan kewajipan dakwah dilaksanakan di dalam dua cara. Pertama
secara individu, di mana ia melaksanakan tugas dakwah di atas sifat seorang individu muslim.
Kedua secara Jemaah, di mana ia melaksanakan tugas tersebut sebagai seorang individu muslim
yang melibatkan diri di dalam Jemaah yang melakukan tugas dakwah.Menurut beliau, inilah
maksud perkataan Ibn Kathir sewaktu menafsirkan ayat 104 Surah Ali Imran dengan katanya:
Hendaklah ada satu kumpulan daripada umat ini bangkit melaksanakan tugas dakwah, sekalipun
tugas ini menjadi kewajipan ke atas setiap individu masing-masing. 5

Berdasarkan realiti umat Islam hari ini keperluan membentuk satu Jemaah dakwah adalah
sangat mustahak kerana dakwah masa kini menghadapi cabaran yang terlalu besar. Cabaran
tersebut tidak mampu dihadapi secara individu bahkan ia perlu dihadapi dan ditanggani secara
berkumpulan.

5
Abdul Karim Zaidan.Ibid. h. 200.

Anda mungkin juga menyukai