Anda di halaman 1dari 3

Semua wanita ingin normal dan sihat ketika hamil serta melahirkan anak tanpa sebarang masalah.

Namun begitu, wanita yang sedia ada mengalami penyakit jantung sebelum berkahwin seringkali
mendapat tekanan daripada saudara-mara dan keluarga untuk mempunyai anak. Hal ini boleh
memberi tekanan kepada pesakit dalam golongan ini. Dengan pembacaan rencana ini, diharap anda
akan memahami kesan-kesan tertentu yang mungkin dialami ibu-ibu berpenyakit jantung semasa
kehamilan.

Penyakit jantung ketika kehamilan bukanlah kontraindikasi (larangan) untuk hamil tetapi bergantung
sepenuhnya pada keadaan penyakit jantung itu. Pakar kardiologi (jantung) akan menentukan sama
ada seseorang pesakit itu termasuk dalam kategori penyakit jantung teruk atau ringan berdasarkan
penilaian aktiviti seharian menggunakan panduan daripada Persatuan Jantung New York (NYHA).
Sesetengah pesakit mungkin memerlukan ekokardiogram untuk melihatkan kerosakan dan
mengesahkan diagnosis. Biasanya, pesakit yang mengalami masalah jantung yang ringan dan tidak
mengambil sebarang ubat untuk merawat kegagalan jantung atau antibiotik pencegah boleh hamil
dengan selamat.

Apa yang berlaku kepada jantung ketika kehamilan?

Dalam trimester pertama, isipadu plasma akan meningkat dalam badan. Ini bermaksud isipadu
darah akan bertambah sehingga 40 peratus sehingga minggu ke-28 kehamilan. Kesannya, jantung
perlu bekerja lebih keras dengan meningkatkan kadar pengepaman darah dan pengeluaran.
Jantung juga perlu bekerja pada daya maksimum ketika tahap kedua kelahiran bayi, iaitu ketika
bersalin atau meneran. Jantung seorang wanita yang sihat boleh menampung stres dalam keadaan
tersebut. Tetapi bagi pesakit yang mempunyai penyakit jantung, jantung yang bekerja terlalu kuat
mungkin gagal pulih semula. Pesakit mungkin menjadi tidak sedarkan diri.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya anda hamil?

Sebaik sahaja kehamilan disahkan, pemeriksaan penuh akan dilakukan ketika pendaftaran di Klinik
Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) untuk menilai keadaan anda. Hemoglobin hendaklah padai paras
optimum, sebaiknya melebihi 10gm/dl untuk mengelakkan tekanan terlalu tinggi kepada jantung
disebabkan anemia. Kad antenatal anda akan dilabel kod MERAH. Ini bermaksud anda perlu
berjumpa dengan ahli obsterik (sakit puan) di hospital tertiari di klinik gabungan bersama pakar
kardiologi. Ini adalah bagi memastikan sebarang tanda dan simptom kegagalan jantung seperti
sesak nafas, sakit dada pada waktu malam, bengkak kedua belah kaki atau kulit kebiruan (sianosis)
dikesan awal. Ekokardiografi akan dilakukan setiap trimester untuk memastikan jantung berupaya
menahan stres perubahan ketika kehamilan. Di samping itu, anda akan perlu berjumpa dengan
pakar anestesia (bius) untuk memeriksa jika anda perlukan sokongan ICU selepas bersalin.

Adakan bayi saya terkesan?

Terdapat risiko sekatan disebabkan ketumbuhan dalam rahim atau saiz bayi yang kecil ketika
kehamilan disebabkan kekurangan bekalan oksigen sekiranya jantung anda tidak mengepam
dengan baik. Dalam penyakit jantung yang serius, bayi mungkin mengalami kematian dalam rahim
disebabkan kekurangan oksigen dan perfusi plasenta yang rendah (kurangnya bekalan oksigen
kepada plasenta) kepada bayi dalam kandungan. Sekiranya anda mewarisi atau mengalami
penyakit jantung kongenital (sejak lahir) dari kecil, bayi anda mempunyai risiko 1 hingga 3 peratus
untuk mewarisi penyakit ini daripada anda. Dalam kes ini, rujukan awal ke unit fetomaternal untuk
imbasan di minggu 18 ke 22 kehamilan adalah perlu bagi menyaring sebarang kemungkinan
penyakit jantung kongenital pada bayi. Sesetengah penyakit jantung mungkin memerlukan ubat
pencair darah (antikoagulan) atau warfarin semasa kehamilan. Ubat-ubat ini boleh melepasi
plasenta dan imbasan teliti diperlukan ketika kehamilan kerana bayi mungkin terjejas.
Bolehkah saya bersalin secara normal sekiranya saya berpenyakit jantung?

Keadaan jantung anda akan diperiksa oleh pakar kardiologi sepanjang kehamilan. Oleh itu, adalah
penting untuk tidak terlepas sebarang janji temu lanjut. Mereka (pakar kardiologi dan ahli obsterik)
akan menentukan masa yang sesuai untuk kelahiran bayi, sebolehnya dalam situasi terkawal dan
terancang di mana ketersediaan pakar terjamin ketika proses bersalin. Dalam kes di mana keadaan
jantung semakin teruk, pesakit mungkin perlu melahirkan anak lebih awal untuk mengelakkan
kemerosotan kesihatan ibu. Kaedah kelahiran akan ditentukan oleh doktor bergantung pada jenis
penyakit jantung. Pada penyakit jantung yang lebih teruk, pembedahan Caesarean elektif adalah
pilihan utama bersama sokongan ICU untuk bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan. Bagi ibu-
ibu yang dirasakan sesuai untuk kelahiran melalui vagina, epidural analgesia disyorkan untuk
mengelakkan sebarang stres tambahan ketika bersalin. Bersalin menggunakan instrumen perlu
dilakukan dalam kes-kes tertentu untuk mengelakkan tekanan berlebihan pada jantung ketika
meneran sewaktu bersalin.

Saya mempunyai penyakit jantung yang teruk dan hamil tanpa sengaja. Apa perlu saya
lakukan?

Hal ini antara perkara biasa tetapi menyukarkan keadaan yang diperiksa di hospital. Sekiranya
kandungan masih dalam trimester awal, pakar kardiologi akan memeriksa ibu bersama si bapa.
Kaunseling yang wajar dan teliti akan dilakukan bersama ahli obsterik tentang prognosis. Mereka
perlu sedar bahawa melambatkan kehamilan mungkin merisikokan hidup pesakit dan membawa
kepada mortaliti ibu (kematian). Dalam keadaan tertentu, sekiranya pasangan masih berhasrat
mengambil risiko setelah kaunseling teliti, pesakit akan membuat lawatan lanjutan bersama ahli
obsterik dan pakar kardiologi secara bulanan. Kelahiran awal dicadangkan sekiranya pesakit
menunjukkan sebarang kemerosotan keadaan jantung yang boleh membahayakan kedua-dua
nyawa pesakit serta bayi.

Bolehkah pesakit berpenyakit jantung ringan hamil lagi?

Perkara ini bergantung kepada keadaan jantung mereka. Penjarakan selang 2 tahun adalah penting
untuk memberi masa untuk badan kembali ke fungsi normalnya. Biasanya ahli obsterik akan
menasihati kumpulan pesakit ini untuk mempunyai jumlah anak yang kecil kerana keadaan jantung
pada kehamilan masa depan sukar dijangka. Pil hormon gabungan hendaklah dielakkan.
Penggunaan alat kontraseptif dalam rahim (IUCD) masih dibahaskan bergantung kepada jenis
penyakit jantung. Pil, suntikan, atau implan yang mengandungi progestron antara pilihan yang
sesuai. Namun begitu, sila rujuk kepada ahli obsterik terlebih dahulu mengenai pencegah kehamilan
terbaik yang sesuai dengan keadaan jantung anda.

Bagaimana pula jika saya mempunyai penyakit jantung yang teruk?

Dalam sesetengah keadaan jantung yang mengancam nyawa seperti kardiomiopati, mitral stenosis
yang teruk, penyakit Eisenmengger atau hipertensi pulmonari, kehamilan perlu dielakkan kerana
kehamilan itu sendiri meningkatkan risiko mortaliti ibu (kematian) sebanyak 50 peratus. Biasanya
untuk pesakit dalam golongan ini, pakar kardiologi akan merujuk mereka kepada ahli ginekologi
untuk nasihat mencegah kehamilan. Bagi mereka yang telah melengkapkan keluarga, pengikatan
tiub pada kedua-dua belah antara pilihan yang ada. Tetapi perlu diingati bahawa ketika prosedur
pengikatan tiub, anestesia (bius) itu sendiri merupakan risiko yang boleh membahayakan nyawa. Pil
kontraseptif campuran hormon juga tidak sesuai disebabkan kesan sampingan yang menyebabkan
pembekuan darah (trombogenik). Vasektomi bagi suami adalah pilihan terbaik.

Opppss…saya terdengar desiran!


Desiran jantung (heart murmur) adalah bunyi bergelora yang boleh didengar menggunakan
stetoskop. Ini adalah pemeriksaan rutin yang perlu dilakukan oleh doktor di mana-mana klinik ketika
tempahan atau lawatan lanjut. Sekiranya doktor anda terdengar desiran, beliau tidak boleh lupa
memeriksa untuk sebarang tanda-tanda penyakit jantung lain pada pesakit. Desiran ketika
kehamilan kemungkinannya normal (fisiologikal), tetapi desiran abnormal (patologikal) perlu
diasingkan juga. Oleh itu, bagi para doktor di luar sana, pastikan anda menjalankan auskultasi pada
jantung pesakit dengan baik supaya dapat mengesan sebarang penyakit jantung yang tidak
didiagnos sebelum itu. Anda pasti terkejut mengetahui ramai wanita sihat yang tidak mengetahui
mereka mempunyai masalah jantung. Sebaik sahaja anda mengesan perkara ini, jangan teragak-
agak untuk merujuk kepada pakar untuk pemeriksaan lanjut. Jangan lupa menepuk belakang sendiri
kerana anda telah mengambil langkah pertama dalam menyelamatkan nyawa pesakit dan
mengelakkan mortaliti ibu disebabkan penyakit jantung.

Dr. Mardiana Kipli M.D (UNIMAS) merupakan seorang pakar Obsterik dan Ginekologi yang bertugas
di Kuching. Rencana ini diterjemahkan ke Bahasa Malaysia dari rencana asal
di http://www.mmgazette.com/heart-diseases-in-pregnancy-should-we-take-it-lightly-dr-mardiana-
kipli/ oleh Nur Nadhirah.

Rujukan:

 ThorneSA, Nelson-Piercy. Risks of contraception and pregnancy in heart disease. Heart


2006; 922:1520-525.
 Nelson Piercy C. handbook of obstetric medicine. Informa healthcare 2010; 4:19-39
 Sarris I, Bewley S. Training in obstetrics and gynaecology, the essential curriculum. Oxford
2009;148-156
 David ML, Philip NB. An evidence based text for MRCOG. Hodder Arnold 2010; 2:59-64

Anda mungkin juga menyukai