Anda di halaman 1dari 24

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/344648799

MASA DEPAN PERADABAN MANUSIA

Chapter · October 2014

CITATIONS READS
0 958

1 author:

Amini Amir Abdullah


Universiti Putra Malaysia
47 PUBLICATIONS   87 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Daesh and Terrorism in Malaysia: Ideology and Modus Operandi View project

Islam Yang Dinamik View project

All content following this page was uploaded by Amini Amir Abdullah on 14 October 2020.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


BAB 15 – Amini Amir Abdullah.2014. Islam Yang Dinamik. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

MASA DEPAN PERADABAN MANUSIA

Pengenalan

Dalam peradaban manusia, kita seringkali akan melihat perkembangan dan kemajuan
individu, keluarga, komuniti, masyarakat dan negara. Apa yang dibincangkan dalam
pengajian peradaban adalah demi kebaikan dan kebahagiaan manusia serta perubahan
ke arah kehidupan yang lebih baik. Masa depan peradaban manusia bergantung kepada
ketinggian ilmu yang ada pada seseorang individu, masyarakat atau sesuatu peradaban.

Semestinya ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu yang bermanfaat dan dipraktikkan.
Ilmu yang tidak dipraktikkan akan lesu dan mati. Peradaban yang menjulang ilmu akan
menjadi peradaban yang terkehadapan manakala peradaban yang meremeh-temehkan
ilmu akan menjadi peradaban yang terkebelakang. Peradaban yang mementingkan ilmu
akan menang manakala peradaban yang meminggirkan ilmu akan kalah. Dalam
peradaban Islam, keperluan duniawi dilihat sebagai cara untuk mencapai keperluan
ukhrawi dan mendapatkan keredaan Allah.

Perkembangan Ilmu Dalam Peradaban Manusia

Musuh kita adalah kejahilan kita sendiri, bukannya Amerika, sekutunya, barat ataupun
timur. Manusia akan berfikir apabila ingin menyelesaikan masalah atau rasa ingin tahu.
Dua pengetahuan asas yang muncul dalam peradaban manusia ialah pengetahuan
tentang penulisan dan matematik. Manusia telah menggunakan piktografi (bahasa
simbol) yang menerangkan sesuatu maksud. Maklumat mudah direkodkan apabila
manusia menguasai sistem tulisan. Apabila huruf diperkenalkan, manusia mula
melakukan usaha-usaha penterjemahan. Usaha penterjemahan dan kepentingan
matematik tetap akan relevan untuk masa depan tamadun manusia.

Orang-orang Islam terpaksa belajar Bahasa Greek dan Latin dalam usaha mempelajari
berbagai disiplin yang telah dimulakan pencariannya oleh orang-orang dalam tamadun
Greek. Akhirnya orang-orang Islam telah berjaya menterjemahkan karya-karya Greek
dan Latin dan mem”bumi”kan ilmu falsafah dan ilmu yang dipelajari daripada orang-orang
Greek mengikut acuan epistomologi Islam. Orang-orang Barat terpaksa mempelajari
bahasa Arab dalam usaha mereka untuk memahami ilmu-ilmu yang dikuasai oleh orang
Islam untuk dibawa balik ke Eropah dan negara-negara Barat yang lain. Proses ini tetap
akan berlaku dalam tamadun manusia masa hadapan.

Peradaban Ilmu dan Perkembangan Ilmu Pengetahuan

Rasa ingin menyelesaikan masalah menyebabkan manusia berfikir. Manusia beroleh


ilmu dan pengetahuan apabila manusia berfikir dan mencari ilmu pengetahuan. Sebelum
tulisan tercipta, manusia menggunakan tanda, rajah ataupun simbol-simbol. Dengan cara
itu, manusia mula merekodkan segala pengalaman mereka walaupun begitu terhad.
Apabila terciptanya tulisan, manusia mula merekodkan segala pengetahuan dan
pengalaman mereka tanpa sebarang limitasi.

Asas kepada pembangunan zaman moden bertitik tolak daripada pemerolehan ilmu
pengetahuan dan kemajuannya. Membaca untuk meraih ilmu pengetahuan adalah aktiviti
pertama yang mencetuskan kemodenan. Justeru, Islamlah yang pertama mencetuskan
tabiat membaca dan kelahiran Islam merupakan titik tolak kepada permulaan kemodenan
sebenarnya. Persoalan sikap pula merupakan perkara yang sama penting dengan
persoalan ilmu. Orang yang berilmu perlu mengubah sikap untuk memajukan
kehidupannya. Masa depan peradaban manusia bergantung kepada dua perkara ini; iaitu
sejauhmana tabiat membaca dan memperbetulkan sikap negatif menjadi budaya dan
amalan dalam kehidupan manusia?

Terdapat ungkapan Arab lama “Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China”. Pada zaman
Rasulullah s.a.w., barangkali orang-orang Yathrib masih belum mengetahui kewujudan
tamadun China. Terdapat delegasi Arab yang mengunjungi China ketika zaman Saidina
Umar Al-Khattab r.a.. Dalam banyak negara-negara Timur, negara China menjadi
sebutan di kalangan orang Arab dan dikaitkan pula dengan kepentingan menuntut ilmu
pengetahuan. Justeru, dalam peradaban Islam, persoalan interaksi peradaban sudah
bermula sejak zaman awal perkembangan Islam lagi. Kedua, perkembangan dan
kemajuan peradaban Islam membuktikan ilmu pengetahuan penting dalam
pembangunan dan kemajuan peradaban.

Melalui ilmu, manusia dapat memperolehi dan menyerlahkan hakikat keadilan serta
kebenaran. Masa depan peradaban manusia bergantung kepada sejauh mana manusia
belajar mengenai manusia dan kehidupannya yang mencakupi individu dan masyarakat
serta kehidupan mereka yang berbagai warna kulit, bangsa, keturunan, asal-usul, darjat,
martabat, pangkat, kuasa, kedudukan dan seumpamanya. Peradaban akan
berkelangsungan sekiranya manusia menggunakan ilmu untuk menyelesaikan masalah
manusia dan kehidupannya.

Dalam pengajian peradaban, kita akan bertemu pelbagai paparan sejarah dan
pengajaran tentang kepatuhan kepada manusia kepada sistem kepercayaan dan sistem
nilai masing-masing, kejujuran dan keikhlasan, kesopanan, keluhuran budi pekerti, tradisi
dan adat resam, inisiatif, penciptaan, inovasi, usaha manusia dan ikhtiar. Semua ini
menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan peradaban. Semuanya adalah ilmu
dan budaya yang penting bagi masa depan peradaban.

Sekularisme, Globalisasi dan Ilmu

Sekularisme akan terus bermaharajalela di dalam pemikiran dan tindakan umat manusia
kerana apabila wujud pemisahan kehidupan dengan keagamaan, maka selagi itulah ia
akan terus berkembang mekar hasil daripada warisan lampau dan masakini. Kesannya
telah nyata kepada masyarakat Barat. Bagi mereka, nilaian agama hanya pada unsur-
unsur keagamaan dan spirituil malah situasi mutakhir ini menunjukkan bahawa nilai
agama hanya tinggal sebagai lambang dan ceremonial. Tidak mustahil agama di Barat
juga akan musnah. Masyarakat Barat telah jauh terpesong bukan sahaja dari sudut
keagamaan mereka malah mereka juga telah mencemarkan etika dan moral
kemanusiaan. Pejuang-pejuang homoseksual dan lesbian menjadi ‘juara’ yang mampu
mempengaruhi para pemimpin mereka sekaligus membuktikan betapa pencemaran etika
dan moral ini semakin berleluasa. Di beberapa negara Barat, aktiviti-aktiviti ini tidak
menyalahi undang-undang. Inilah kesan nyata apabila sekularisme bermaharajalela.

Dalam situasi umat dan negara Islam pula, kesan seperti inilah juga yang akan menimpa
seandainya sekularisme tidak segera dibendung. Apabila agama dipandang anutan
ataupun warisan ataupun amalan-amalan spirituil semata-mata yang tidak menjadi teras
dan akar segala tindakan, implikasinya tetap akan serupa seperti yang dialami oleh Barat.
Contoh yang lain ialah penggunaan kondom dianggap lebih baik sebagai pencegah HIV
Aids daripada ajaran agama yang telah lama mengharamkan perlakuan-perlakuan
negatif sosial ini.

Modenisme pula, yang berasaskan falsafah materialisme yang menjadi dominan di dunia
sekarang ini bukan sahaja dipertuhankan (mungkin tidak kelihatan seperti dipertuhankan)
tetapi ia dijelmakan sebagai suatu bentuk yang diagung-agungkan. Sememangnya Barat
boleh dianggap maju dan moden apabila moden dan maju itu dirujuk kepada
pembangunan material, kebendaan dan lahiriah. Namun, begitu jika dilihat sebaliknya,
mereka amat mundur dalam kemajuan moral dan akhlak. Cathie Madsen (Disember
2006) melaporkan empat negara teratas daripada segi kekerapan berlakunya kejadian
jenayah (secara keseluruhan) di dunia didahului oleh Amerika Syarikat, Germany, United
Kingdom dan Perancis. Semua negara ini merupakan negara industri dan negara maju
daripada segi kebendaan.

Sejarah modenisme telah mencatatkan bahawa ianya bermula dengan sekularisme. Jadi,
kaitan antara kedua-duanya amatlah erat. Sikap terlalu menonjolkan nilai-nilai moden
ditakuti akan menyemarakkan sekularisme sebab modenisme di Barat bertitik-tolak
daripada pengingkaran dan pengasingan terhadap nilai-nilai agama Barat itu sendiri di
dalam kehidupan mereka. Pada mulanya para modenis mereka bersetuju bahawa
doktrin-doktrin keagamaan mereka perlu diulangkaji dan disemak semula untuk
menghadapi cabaran perubahan zaman dan perkembangan ilmu pengetahuan tetapi
kemudiannya mereka menjadikan asas dan unsur pemodenan itu sebagai dasar utama
dan matlamat. Ini menunjukkan mereka telah mengenepikan fungsi agama sebagai
neraca dan dasar untuk menghadapi perubahan zaman.

Dalam era globalisasi dan kepesatan teknologi maklumat, nilai-nilai Barat yang negatif
dan bertentangan dengan Islam dengan senang dapat menular dan mempengaruhi umat
Islam. Ditambah pula dengan lemahnya iman dan kekurangan kekuatan jatidiri, individu
Islam dengan mudah akan terpikat dan terikut-ikut dengan godaan syaitan dan runtunan
nafsu syahwat. Sikap yang memandang remeh kepada masalah besar seperti jenayah
dan gejala sosial boleh mengundang padah. Budaya berhibur yang keterlaluan (extreme
entertainment culture) dan budaya hedonisme (berseronok yang melampau) yang
merupakan di antara faktor kejatuhan peradaban Greek boleh meruntuhkan peradaban
Melayu Islam. Maka masa depan peradaban manusia bergantung kepada sejauh mana
manusia meletakkan pengagungan terhadap ilmu serta praktiknya, kepesatan aktiviti
keilmuan dan keaktifan para intelektual.

Proses globalisasi negatif telah merobah nilai dan budaya hidup umat Islam. Kebebasan
yang keterlaluan yang diberikan kepada anak-anak muda kita telah disalahgunakan.
Hiburan terlalu dipentingkan dan dibudayakan hingga hilangnya pengagungan terhadap
budaya pembelajaran (learning culture) dan budaya ilmu (knowledge culture). Anak-anak
muda sanggup mencari wang berpuluh ringgit untuk berhibur, akan tetapi berapa ramai
yang sanggup menghabiskan wang untuk tujuan pengajian dan pembelajaran?

Masa Depan Peradaban Manusia: Masalah Akibat Penyalahgunaan Dadah Narkotik


dan Kes Jangkitan HIV AIDS

Pada masa hadapan, dadah akan menjadi masalah manusia dan negara di seluruh dunia
yang sangat serius. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu menunjukkan bahawa terdapat 190 juta manusia yang terlibat dalam masalah
penyalahgunaan dadah.

Dadah yang pada asalnya mempunyai banyak kebaikan untuk tujuan perubatan dan
kesihatan telah menjadi masalah besar kepada umat dan tamadun manusia apabila
manusia mula tahu menyalahgunakannya sama ada untuk tujuan komersial,
keseronokan, menyelesaikan masalah dengan cara mudah atau berkhayal. Angka
mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah meningkat dari masa ke masa
terutamanya di kalangan belia. Kebanyakan penagih dadah berumur di bawah 30 tahun.

Pada tahun 1999, jumlah negara yang melaporkan penyalahgunaan dadah melalui jarum
suntikan ialah sebanyak 136 negara dan merupakan satu peningkatan berbanding 80
negara sahaja pada tahun 1992. Daripada jumlah ini, 93 negara telah mengenalpasti
kewujudan HIV di kalangan penagih-penagih dadah melalui jarum suntikan. Walau
bagaimanapun, ganja dan kanabis dikenalpasti sebagai jenis dadah yang paling banyak
disalahgunakan di seluruh dunia. Kos penyalahgunaan dadah di Amerika Syarikat sahaja
dianggarkan berjumlah 70 billion dolar Amerika setahun. Industri dadah yang tidak sah
dianggarkan berjumlah lebih 400 billion dolar setahun bagi seluruh dunia.

35 tahun tahun dahulu, hanya ada sebilangan kecil jenis dadah; antaranya ganja, morfin,
heroin, candu dan dadah lain yang kurang terkenal. Berbeza dengan sekarang, dadah
terbahagi kepada narkotik, halusinogenik, stimulant (ecstasy dan syabu) dan depressant
(seperti painkiller dan ubat penenang). Manusia akan berusaha membuat keuntungan
dengan cepat walaupun bertentangan dengan undang-undang. Kita akan menyaksikan
pada masa hadapan kemunculan lebih banyak kes penyalahgunaan dadah dalam
kategori stimulant dan depressant. Di Malaysia, permasalahan dadah dianggap sebagai
musuh nombor satu negara. Dalam tempoh 30 tahun, rakyat Malaysia yang terlibat
dengan gejala dadah berjumlah 235,495 orang. Ini adalah kes yang dilaporkan. Jumlah
sebenar adalah sebanyak dua kali ganda atau mungkin tiga kali ganda. Pada tahun 2003
sahaja, seramai 113 orang penagih dilaporkan meningkat setiap hari. Dikaporkan juga
daripada bulan Januari hingga April 2003, penagih baru berjumlah 6940 orang manakala
penagih berulang ialah seramai 6579 orang. Majoriti penagih dadah di Malaysia ialah
lelaki dan berbangsa Melayu yang berumur di antara 20 hingga 44 tahun.

Kita menjangkakan masalah dadah akan menjadi semakin serius di dunia. Kewujudan
jenis dadah sedia ada seperti dadah jenis Heroin, Morfin, candu, ganja, pil psikotropik,
Ecstasy, Gam, Syabu, Methamphetamine, Amphetamine, Kodein atau ubat batuk akan
di”ubahsuai” untuk memenuhi citarasa penagih dadah.

Permasalahan HIV AIDS juga merupakan masalah Negara. Ia mula dikesan di Malaysia
pada tahun 1986. Bilangan kanak-kanak berumur 19 tahun ke bawah yang dijangkiti HIV
ialah seramai 513 orang pada tahun 1986. Pada sembilan bulan pertama tahun 1997
sahaja seramai 66 orang yang berumur 19 tahun ke bawah telah dijangkiti HIV. Pada
pengakhir tahun 2000, jumlah keseluruhan jangkitan HIV yang dilaporkan kepada
Kementerian Kesihatan Malaysia ialah sebanyak 38,340 kes. Daripada jumlah ini,
sebanyak 2722 adalah merupakan kes AIDS. Pada tahun 2003 terdapat 90,000 orang
menghidap HIV/AIDS akibat daripada gejala penagihan dadah dan berlaku pertambahan
19 penghidap setiap hari.

Masa depan peradaban manusia boleh mengalami kehancuran sekiranya wabak HIV-
AIDS tidak dibendung segera. Dianggarkan seramai 33 juta manusia dijangkiti HIV di
seluruh dunia pada tahun 2007 sahaja. 2 juta jiwa telah terkorban akibat AIDS dan 2.7
juta kes jangkitan HIV berlaku setiap tahun. Beberapa negara mencatatkan penurunan
kes-kes jangkitan HIV baharu tetapi beberapa negara lain pula menunjukkan beberapa
peningkatan dari segi angka dan jumlah. Di semua negara, wanita lebih banyak dijangkiti
berbanding lelaki. Kalau kita mahu menyelamatkan tamadun manusia, kita perlu
menyekat aktiviti perkongsian suntikan, pergaulan dan seks bebas serta penagihan
dadah.

Pengukur Peradaban Dan Impak Sains Serta Teknologi

Masa depan peradaban manusia bergantung kepada sejauh mana pencapaian dan
pembangunan manusia dalam segala bidang termasuklah dalam bentuk fizikal mahupun
spirituil. Maju mundurnya peradaban manusia boleh diukur melalui pencapaian ini.
Pengukur pembangunan ialah pencapaian-pencapaian manusia dalam segala aspek
kehidupan untuk meningkat maju dan berkembang yang memberi manfaat kepada
individu, keluarga, komuniti ataupun masyarakat yang mencakupi perkembangan dalam
bidang industri, kraftangan, sains dan teknologi, ICT, pertanian, ekonomi, peningkatan
taraf hidup, kesusasteraan, kebudayaan, kesenian dan sistem kepercayaan. Pengukur
pembangunan rohani dan spirituil pula ialah jumlah ibadah yang dilakukan dengan penuh
ketulusan dan keikhlasan.

Masyarakat atau peradaban yang paling banyak menguasai ilmu, pengetahuan dan
maklumat akan menguasai dunia. Richard Hunter (2002) telah meramalkan tamadun
masa depan akan berlakunya kebocoran maklumat-maklumat sulit, rahsia dan privasi
kerana ia mudah untuk diperolehi dengan menggunakan teknologi-teknologi
pemerolehan informasi yang semakin canggih. Semua maklumat ini kemungkinan akan
berguna untuk tamadun manusia ataupun berpotensi untuk disalahguna secara serius.
Teknologi-teknologi baru ini akan memberikan impak yang besar kepada cara kita hidup
dan bekerja.

Interaksi Ilmu, Masa Depan Peradaban Dan Penjanaan Kemajuan Ilmu

Peradaban Islam mewakili semua peradaban dunia dari sudut integrasi komponen-
komponen utama peradaban ditambah dengan pembangunan dan kemajuan spirituil
yang menonjolkan keunikan Islam itu sendiri. Masa depan peradaban bergantung kepada
sejauh mana manusia menjana satu kekuatan dan kemantapan yang komprehensif dan
berintegrasi yang menggabungkan kemajuan dan pembangunan ilmu, fizikal, emosi,
spirituil, kesejahteraan jasmani dan rohani. Tamadun Mesopotamia, Greek, Yunani,
Parsi, Tamadun Lembah Sungai Indus dan tamadun Lembah Hwang Ho mengandungi
sekurang-kurangnya salah satu elemen di atas.

Dilema peradaban manusia kontemporari berkisar dalam soal sikap dan penguasaan
ilmu pengetahuan. Masa depan peradaban manusia bergantung kepada sejauh mana
ekstensifnya interaksi peradaban dan pemindahan kemajuan sains dan teknologi
daripada satu peradaban ke peradaban yang lain. Interaksi dan transmisi peradaban
tidaklah berlaku secara efisien tanpa adanya sikap mengagungkan ilmu pengetahuan,
para agamawan dan intelektual. Pembangunan peradaban akan terbantut jika manusia
membelakangkan ilmu pengetahuan.

Mengambil Iktibar, Belajar Daripada Yang Pakar Dan Tidak Mengulangi Kesilapan

Ilmu ketamadunan Barat jarang-jarang membincangkan mengenai permulaan


penciptaan manusia. Penciptaan manusia telah dibincangkan dalam al-Qur’an dengan
detail yang menerangkan tentang maksud akhirnya ialah kekuasaan dan keagungan
Tuhan dan kekerdilan manusia. Maka masa depan peradaban bergantung kepada
bagaimana kita ”mengenal” manusia dan diri sendiri dan bagaimana kita memenuhi
keperluan hidup manusia, keperluan bermasyarakat dan keperluan bernegara. Dalam
tradisi Islam juga kita akan dapati bahawa al-Qur’an telah menerangkan pencapaian
peradaban-peradaban terdahulu seperti Kaum ‘Ad, Thamud dan Lut. Begitu juga kita
akan dapati beberapa pemerintahan besar dalam peradaban mereka seperti Fir’aun,
Namrud, Balqis dan seumpamanya. Saya percaya, masa depan peradaban manusia
bergantung kepada sejauh mana kita mengambil iktibar daripada peradaban-peradaban
terdahulu dan memperbaiki kesilapan-kesilapan dan tidak mengulangi peradaban
terdahulu. Kita juga perlukan lebih ramai pakar yang mengajar dan membimbing dalam
pelbagai bidang ilmu untuk memajukan peradaban.

Kita perlukan historical engineering (pemerkeyasaan sejarah) untuk menghadapi zaman


mendatang iaitu zaman angkasa (space age) seperti yang diungkapkan oleh Baron Von
Volsung (2003) agar kita dapat mengaplikasikan prinsip-prinsip saintifik, matematik, fizik,
penkomputeran dan kejuruteraan untuk mengumpulkan data, menganalisa, memproses
dan merancang maklumat-maklumat sejarah masa lampau dan masa kini untuk
merancang, membina, menghadapi dan memajukan masa hadapan. Historical
Engineering adalah satu aspek penting yang melebihi kepentingan pembelajaran
sejarah. Kemajuan peradaban masa hadapan akan berkisar dalam konteks penciptaan-
penciptaan yang up to date, kecanggihan komputer, mesin, jentera, sains dan teknologi,
keunikan nanoteknologi, kemajuan pesat dalam bioteknologi, kejuruteraan, perubatan
dan perawatan. Kesemuanya adalah gabungan inovasi dan kreativiti, pembangunan dan
pencapaian manusia dari sudut fizikal, emosi, intelektual dan spirituil. Ini akan merobah
hampir keseluruhan cara hidup manusia kerana zaman dan keperluan manusia turut
berubah. Umat masa hadapan akan mengambil iktibar daripada umat masa kini. Umat
masakini pula mengambil banyak iktibar daripada apa yang berlaku kepada manusia
dalam peradaban terdahulu.

Dalam Al-Quran, Allah s.w.t. menjelaskan bahawa ruang angkasa tidak akan dapat
ditembusi dan dilepasi oleh manusia melainkan dengan kekuasaan (sultan). Kekuasaan
yang dimaksudkan ialah kekuatan ilmu, kekuatan kejuruteraan angkasa, pengetahuan
dan maklumat, kekuatan fizikal, persediaan dan berbagai disiplin ilmu-ilmu lain.
Peradaban manusia masa hadapan kemungkinan akan menyaksikan penempatan
manusia di beberapa planet. Percubaan-percubaan telah dilakukan untuk mencari planet
yang sesuai didiami oleh makhluk dan eksperimen masih lagi dijalankan oleh para saintis.
Ianya tidak akan dapat dicapai tanpa penyelidikan dan pembangunan yang bermutu
tinggi. Pelaburan kewangan dan kepakaran merupakan dua perkara penting untuk terus
meneroka angkasa lepas.

Islam, Masa Depan Peradaban dan Ilmu Pengetahuan

Islam mewajibkan umatnya mencari ilmu konvensional, ilmu keagamaan dan keakhiratan
agar perjalanan kehidupan di dunia terarah dan mengikut keredaan Allah s.w.t. dan
beroleh kejayaan juga di Hari Akhirat. Adalah menjadi tugas jihad kita juga
memperlengkapkan diri dengan ilmu konvensional dan ilmu keagamaan agar nilai
kehidupan mempunyai erti di sisi Allah s.w.t. seperti dalam sabda Nabi Muhammad s.a.w.
yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membenci orang yang berhati kasar (kejam dan
keras), sombong, angkuh, bersuara keras di pasar (tempat umum) pada malam hari
serupa bangkai dan pada siang hari serupa keldai, mengetahui urusan dunia tetapi jahil
(bodoh dan tidak mengetahui) urusan akhirat.” (Hadis riwayat Ahmad).

Bukankah menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu itu merupakan suatu jihad? Manusia
Islam tidak akan berjaya membina peradaban yang cemerlang tanpa mengungguli ilmu
pengetahuan, sebab itu tugas penggalian dan penyebaran ilmu itu merupakan satu jihad
kerana ia mempunyai signifikan yang cukup besar dalam pembinaan peradaban
manusia. Begitu juga bagi penganut agama lain, penguasaan ilmu bukanlah satu
pengecualian untuk maju dan terkehadapan.

Dalam Islam, tiada ibadah yang lebih afdal melainkan menuntut ilmu. Beribadah dengan
ilmu adalah lebih baik berbanding ibadah tanpa ilmu. Mencari ilmu dan menuntut ilmu
adalah jihad kerana orang yang berilmu dan cemerlang keilmuannya mampu
membangunkan agama, Negara dan masyarakat dan orang yang tidak berilmu dan yang
tidak cemerlang dalam ilmunya menunjukkan kelemahan agama. Rasulullah s.a.w.
bersabda:

‫ض ُل الْ ُم ْؤِم ِن الْ َع ِاِل َعلَى الْ ُم ْؤِم ِن الْ َعابِ ِد َسْب عُ ْو َن َد َر َجة‬
ْ َ‫ف‬
Yang bermaksud: “Kelebihan mukmin yang berilmu berbanding mukmin yang sekadar
‘abid iaitu yang sekadar beribadah tanpa ilmu adalah 70 darjat”.

Hadith ini menjelaskan bahawa dalam melakukan amal ibadah kita perlukan ilmu
pengetahuan sebagai persediaan. Jika tidak, ditakuti amalan kita itu sia-sia dan tertolak
kerana tidak sempurna atau tidak menepati spesifikasi rukun atau prosedur amalan
tersebut.

Impak Ilmu Pada Masa Depan Peradaban Manusia

Saya percaya ilmu dalam peradaban manusia ialah apa yang dapat dimanifestasikan
dalam perbuatan, perlakuan dan tingkahlaku manusia. Dalam Islam, nilai ilmu dan
pemikiran merupakan unsur terpenting yang menentukan tindakan dan perilaku manusia.
Kekalutan dan kecelaruan nilai seperti apa yang betul, salah atau memuaskan akan
berlaku. Ia berlaku kerana tiga sebab; pertama, manusia menerima ilmu yang tidak
sebenarnya ilmu, kedua, manusia salah memahami ilmu; ketiga, manusia meletakkan
akal melebihi nilai wahyu. Nilai tetap akan menjadi perbahasan dalam peradaban
manusia. Manusia akan menggerakkan maklumat dan pengetahuan baru mengenai
dunia seharian dan membentuk kerangka rujukan yang membolehkan mereka melihat
diri, persekitaran, hubungan sesama makhluk dan Tuhan dengan cara baru.

Peradaban manusia masa hadapan terpaksa mennghasilkan produk-produk sains dan


teknologi yang mampu bertahan zaman berzaman kerana ia akan cepat menjadi
“ketinggalan zaman” seperti automobil, kapal terbang, barangan elektrik, televisyen dan
lain-lain lagi. Apakah ia tetap akan relevan pada masa hadapan walaupun ianya cukup
berharga kerana keantikannya?

Pemajuan Ilmu

Masa depan peradaban manusia bergantung kepada inisiatif dalam memajukan ilmu
pengetahuan melalui pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan yang
boleh membawa manfaat kepada kesejahteraan agama, bangsa dan negara ataupun
peradaban. Faktor lain yang penting ialah kekuatan semangat, motivasi diri dan inspirasi
untuk cemerlang. Di samping itu, warga peradaban mestilah bersungguh-sungguh,
berdedikasi dan berkualiti dalam kerja ke arah pencapaian terbaik dalam misi, wawasan
dan matlamat yang ditetapkan dalam peradaban. Peradaban tidak akan berkembang
tanpa tekad, kesungguhan, komitmen, ketrampilan diri dan disiplin yang tinggi warga
peradaban untuk mengisi dada dengan kemahiran dan kebolehan dalam pelbagai aspek
pembangunan diri dan ilmu pengetahuan yang konvensional maupun ukhrawi.

Kita perlulah mempertingkatkan ilmu kita dalam semua aspek dari masa ke semasa.
Dalam Islam, proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat dan sentiasa berterusan dan
tidak terhenti setakat memperolehi sijil ataupun kelulusan. Sabda junjungan besar Nabi
Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Tuntutlah ilmu daripada buaian sampai ke liang
lahad”.

Kita perlu tanamkan dalam generasi kita sikap dan semangat untuk unggul dan berjaya
dalam semua jenis ilmu pengetahuan. Bangsa yang terkehadapan di dunia sekarang ini
dan untuk masa hadapan, adalah bangsa yang mengungguli semua jenis ilmu
pengetahuan. Islam telah lama menyarankan soal ini. Kita perlu prihatin tentang sikap
dan mentaliti kita tentang soal ilmu pengetahuan sekiranya kita ingin menjadi bangsa
yang dihormati di dunia. Sabda junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. yang
bermaksud: “Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang
hendakkan akhirat, maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang hendakkan kedua-dua nya
maka hendaklah ia berilmu.”

Pendekatan ilmu dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara sesuatu tamadun
boleh membawa tamadun itu ke satu tahap yang membanggakan. Negara akan
dipandang tinggi dan dihormati sekiranya rakyatnya berilmu pengetahuan dan ramai
cendekiawannya, membuat penemuan dalam bidang sains, teknologi, sains sosial dan
kemanusiaan. Negara akan dipandang tinggi dan dihormati sekiranya rakyatnya bekerja
kuat, bersabar, mempunyai integriti dan sinergi, berkualiti dan sling bekerjasama dalam
segala aspek kehidupan.

Masa Depan Peradaban, Identiti Ilmu dan Pendidikan

Pembinaan peradaban dan kemajuannya perlukan penguasaan ilmu pengetahuan.


Penguasaan ilmu pengetahuan perlu dititikberatkan melalui pendidikan menurut syarat-
syarat dan tatacara agar seseorang dengan mudah dapat membezakan antara yang
benar dan yang palsu pada kata-kata, antara kebenaran dan kebatilan di bidang iktikad
dan antara yang baik dan yang buruk dalam perbuatan dan tingkah laku. Jika kekuatan
ini baik dan luhur, maka daripadanya diperolehi hasil ‘hikmah’ iaitu mengetahui
kebenaran melalui ilmu pengetahuan dan amalan.

Tujuan pendidikan menurut al-Ghazali adalah kesempurnaan manusia di dunia dan


akhirat. Manusia itu akan sampai kepada kesempurnaan sebab manusia itu
mendapatkan keutamaan melalui ilmu pengetahuan. Keutamaan itulah yang
membuatkan manusia itu bahagia di dunianya dan dekatnya diri dan rohaninya kepada
Allah yang menyebabkan dia bahagia di akhiratnya. Al-Ghazali berpendapat ilmu itu
sendiri secara mutlak adalah kemuliaan yang tertinggi. Oleh kerana itu dia memandang,
menghasilkan ilmu merupakan sasaran pendidikan kerana ilmu mempunyai nilai tertentu
kerana kedapatan di dalamnya kelazatan dan sesuatu yang mengenyangkan.

Apabila memperkatakan kepentingan ilmu bagi masa depan peradaban, kita tidak boleh
mengenepikan aspek pendidikan. Barbara Giles (2003) mencadangkan keperluan para
pendidik untuk melengkapkan generasi muda dengan persediaan sepanjang hayat
bukannya pada zaman persekolahan sahaja. Dua perkara yang ditekankan oleh beliau
ialah pembangunan dan kemahiran insaniah (pembentukan nilai-nilai moral) dan sikap
kerjasama serta bertanggungjawab yang membawa kepada pembinaan karekter
komuniti. Walaupun Giles menfokuskan kepada pendidikan menengah, saya melihat
pendidikan tinggi perlulah meneruskan dan memajukan pendidikan seterusnya
melengkapkan mahasiswa sebagai ”pemegang kunci khazanah ilmu”. Masa depan
peradaban bergantung kepada sejauh mana universiti menjalankan fungsi utamanya
bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama, berpersonaliti unggul dan bermutu
tinggi yang menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan juga negara. Saya percaya,
universitilah yang melahirkan genius, intelektual, cendekiawan dan para pakar walaupun
ia tidak selalunya benar.

Daniel Quinn (2000) mengenengahkan dua mindset (perubahan minda) yang saya
percaya perlu bagi kita untuk menggunakan ilmu dengan sebaiknya bagi menghadapi
masa hadapan, Pertama, setting minda kita perlu kepada menjawab persoalan
“bagaimanakah kita boleh menghentikan perkara buruk daripada berlaku?”. Kedua,
“bagaimanakah kita melakukan sesuatu agar ia mengikut dan bertepatan dengan apa
yang kita kehendaki?”. Kunci kepada persoalan-persoalan ini ialah perubahan sikap,
usaha bersungguh-sungguh dan persediaan ilmu yang mencukupi.

Seperti yang telah dijelaskan, identiti negara atau peradaban dengan nilai-nilai moral dan
budayanya akan terus berkembang seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan
dan zaman. Identiti ilmu sesuatu peradaban akan menjadi landmark bagi peradaban
masa hadapan kerana tanpa ilmu, peradaban tidak akan maju dan berkembang.
Kelangsungan peradaban akan berterusan selama mana proses pembelajaran antara
peradaban sentiasa berlaku. Seandainya ia berhenti, peradaban akan terbantut dan tidak
maju.

Perkongsian pintar melalui kerjasama dan persefahaman akan membawa kemajuan


kepada peradaban masa hadapan. Jika warga antara peradaban memperlekehkan
antara satu sama lain, maka dominasi dan permusuhan akan berpanjangan.
Perkembangan ilmu akan terbantut dan tidak membawa manfaat yang diperlukan. Jika
kita tinjau kepada tulisan-tulisan Orientalis pada kurun ke 18 dan 19, mereka
menekankan kepada kemunduran manusia-manusia Timur dan keagungan manusia-
manusia Barat atau ketololan manusia-manusia Timur dan kecerdikan manusia-manusia
Barat. Hal ini boleh dilihat dalam kebanyakan buku-buku sejarah pengajian sains dan
ketamadunan. Cuba kita senaraikan berapa banyak ilmuan Muslim ataupun Timur yang
disebut atau diiktiraf di dalam karya-karya tersebut. Penemuan-penemuan sains yang
dilakukan oleh orang-orang Islam disembunyikan dan di”hilang”kan daripada sejarah.
Disebarkan peranan para saintis Barat dan sumbangan para intelek Muslim dinafikan.
Justeru, masa depan peradaban bergantung kepada bagaimana peradaban Timur dan
Barat melihat dan melayani antara satu sama lain.

Masa depan peradaban juga bergantung kepada bagaimana kita melihat agama dan
penganut agama lain. Masalah akan timbul apabila kita melihat penganut agama lain
dengan sikap prejudis, bias dan berat sebelah. Kita melihat secara negatif dan bukan
secara positif peradaban lain. Kita perlu melihat peradaban lain dengan perspektif ilmu,
bukannya emosi.

Sebenarnya, apa yang dikatakan sebagai zaman kebangkitan intelektual Barat


(Renaissance) bermula apabila orang-orang Barat dapat berhubung dengan orang-orang
Islam menerusi Sepanyol dan Sicily. Apabila mereka mula berkenal dengan nilai-nilai
Islam dalam aspek pemikiran dan sains mereka mula mengorak langkah. Perkara
pertama yang paling mempengaruhi Barat hasil daripada perhubungan Barat dan Islam
di Sepanyol ini ialah kebolehan umat Islam mengintegrasikan antara iman dan akal
(minda dan rasional). Mereka belajar cara Islam mendamaikan antara teologi dengan
pemikiran atau dengan lain perkataan, akal disesuaikan dengan ilmu-ilmu wahyu.
Malangnya, apabila Barat menjadi kuasa besar dunia, mereka telah menggunakan
kedudukan dan kuasa mereka untuk menekan umat Islam dan negara-negara Islam.
Bahkan sebahagian besar sarjana Barat mengabaikan sumbangan Muslim kepada
tamadun dunia kerana mereka lihat Islam dan orang Islam adalah musuh mereka dan
orang asing dalam semua aspek kehidupan mereka.

Joseph Tainter (1988) dalam bukunya The Collapse of Complex Societies mengenalpasti
kejatuhan peradaban manusia adalah kerana kegagalan untuk “menguasai keuntungan
marginal” melalui “pelaburan” dalam organisasi untuk menyelesaikan masalah-masalah
sosio-ekonomi. Justeru, seandainya manusia ingin memajukan peradaban masa
hadapan, maka manusia perlukan penguasaan pelbagai ilmu berkaitan sosio-ekonomi
untuk menyelesaikan masalah-masalah sosio-ekonomi. Bukan sahaja manusia perlukan
ilmu untuk menyelesaikan masalah sosio-ekonomi, manusia juga perlukan ilmu untuk
menyelesaikan masalah-masalah kehidupan lain dalam suasana masyarakat yang
semakin kompleks.

Ilmu Perpaduan Dan Kelangsungan Perpaduan

Masa depan peradaban manusia bergantung kepada sejauh mana manusia mengubah
sikap untuk bersatu padu melalui ilmu perpaduan. Sejak 50an lagi penggubal polisi
Amerika Syarikat telah menyalahtafsir dunia Islam. Propaganda seperti “pertembungan
tamadun-tamadun” (the clash of civilizations) dan “apakah yang tersalah?” (what went
wrong?) sebenarnya merupakan kesinambungan kesalahtafsiran itu dan terbawa-bawa
ke zaman sekarang. Hal ini menyukarkan pembinaan keamanan yang berterusan
berdasarkan perkara yang boleh disepakati untuk peradaban masa hadapan. Kita
perlukan ilmu perpaduan untuk membezakan di antara kebenaran dan kepalsuan.
Kenapa kita masih bersengketa, bercakaran dan bermusuhan? Kenapa kita masih
prejudis di antara satu sama lain? Jawapannya mudah, kita tidak memahami perdamaian,
perpaduan, perundingan, toleransi, integrasi melalui pendekatan ilmu! Tamadun akan
musnah kalau manusia gagal bersatu. Bersatu perlulah melalui ilmu untuk kelangsungan
tamadun masa hadapan.

Richard W. Bulliet (2004) melihat kesalahan Barat dalam melayani dunia Islam dan politik
Islam sehingga berlakunya perbalahan berterusan yang merugikan kedua pihak.
Malahan beliau optimis bahawa masa depan hubungan dunia Islam dengan Amerikalah
yang bakal menentukan geopolitik dan keamanan dunia di masa hadapan.

Masa Depan Peradaban Manusia: Impak Kehidupan dan Sosial

Pada masa hadapan manusia akan lebih bersikap individualistik. Jalinan sosial
masyarakat pada masa sekarang mungkin kelihatan erat seperti kunjung mengunjungi,
berkomunikasi dan berinteraksi. Akan tetapi manusia pada masa hadapan mungkin
hanya mengenali dirinya dan keluarganya sendiri kerana manusia secara sosial hanya
terhubung melalui jaringan internet dan terpisah daripada komuniti sekitarnya.

Sudah ada penyelidik yang gusar mengenai tabiat dan kesibukan kerja manusia
hinggakan manusia tidak mempunyai masa yang banyak untuk bersama keluarga hatta
untuk bersarapan bersama atau bersantai bersama.

Struktur bilik dalam rumah pada masa hadapan memungkinkan juga sukarnya sesama
ahli keluarga untuk berkomunikasi apatah lagi untuk berinteraksi sosial. Rumah-rumah
mewah seperti banglo dengan gated dan guarded security sudah menjadi semacam satu
halangan dalam usaha mempraktikkan amalan ziarah-menziarahi. Budaya gotong-
royong dalam kenduri-kendara juga sudah semakin terhakis. Tanah-tanah untuk tujuan
pembinaan perumahan akan menjadi semakin berkurangan. Oleh yang demikian,
manusia akan menimbus paya, laut dan tanah gambut untuk membina rumah. Akan
wujud juga kecenderungan untuk tinggal di apartment dan kondominium. Persoalannya,
apakah manusia akan mampu memiliki rumah pada masa yang akan datang dengan
kenaikan harga rumah di antara 15% hingga 25% setahun?
Richard Watson (2010) dalam bukunya yang berjudul “The Next 50 Years” meramalkan
akan berlakunya perubahan dalam pola keanggotaan parti politik dan perubahan dalam
kepercayaan kepada parti politik. Beliau memberi contoh, di England keanggotaan dalam
parti politik menurun sebanyak 50% sejak tahun 1980, dan begitu juga tahap komitmen
para pengundi dan kepercayaan masyarakat terhadap parti politik dan ahli politik.
Kelompok pengundi meletakkan harapan yang tinggi kepada ahli politik untuk
menghadapi ancaman terorisme, membawa negara bersaing di peringkat global dan
menyuarakan aspirasi nasional di forum antarabangsa dan kebolehan mempengaruhi
agenda politik global. Apa yang lebih penting ialah kebolehan ahli politik menyelesaikan
masalah sosio-ekonomi rakyat jelata adalah impian rakyat mana-mana negara.
Watson juga melahirkan kebimbangan mengenai perhatian yang diberikan oleh setiap
warga negara kepada kepentingan-kepentingan nasional dengan lunturnya semangat
negara bangsa terutamanya apabila berlaku penghijrahan pekerja-pekerja mahir dan
profesional ke negara-negara bukan asal.

Kebangkitan China dan India dalam sektor ekonomi juga menunjukkan peningkatan yang
ketara dalam konteks globalisasi. Penguasaan Barat ke atas Timur tidak lagi menjadi
selalunya benar. China dan India sekarang ini sedang menuju ke arah penguasaan
pasaran Amerika dan Eropah. Teori globalisasi ekonomi juga menjadi semakin goyah
dengan kebangkitan kuasa ekonomi Asia. Kekuatan perdagangan regional semakin
memuncak dengan meningkatnya lima kali ganda perjanjian perdagangan regional.

Watson juga meramalkan pada tahun 2030 komputer akan menjadi lebih pintar daripada
manusia. Mesin pula akan berfungsi tanpa dikendalikan manusia. Gabungan teknologi
komputer, robotik dan teknologi nano akan memungkinkan penciptaan “benda” yang
meniru diri mereka sendiri. Oleh yang demikian, kita tidak dapat membayangkan jika
penciptaan tersebut menghasilkan sesuatu yang luar biasa di luar daripada jangkauan
akal manusia. Komputer riba Asus sudah boleh mengecam raut wajah pemiliknya untuk
tujuan keselamatan dan mengaktifkannya. Jika ia dicuri, sukar orang untuk
menghidupkannya kerana ia boleh mengecam wajah pemiliknya yang telah disetkan
sebelumnya.
Media pula akan semakin mempengaruhi manusia dengan revolusi maklumat. Lebih
banyak inovasi dan kreativiti akan berlaku dalam bidang media. Akhbar The Times dan
The Independent dicetak dalam dua bentuk ukuran agar mudah dibaca. Hegemoni Barat
dalam konteks pengaruh media akan semakin kukuh sebagai faktor dominan penjajahan
pemikiran dan kemajuan budaya kuning.

Dalam bidang kewangan, penggunaan wang tunai akan menjadi semakin tidak perlu.
Manusia akan beralih kepada urus niaga maya dan digital. Sekarang, perkara ini sudah
berlaku dengan amat pantas. Kita membayar bil telefon, kad kredit, Astro, sewa beli dan
seumpamanya melalui pembayaran atas talian tanpa menggunakan wang tunai. Dengan
satu klik sahaja segalanya beres. Membeli-belah secara atas talian juga semakin
berleluasa. Agensi penyelidikan komersial AC Nielsen mengandaikan pada tahun 2020,
transaksi yang melibatkan tunai dalam semua urusan hanya berlaku pada kadar 10%
sahaja berbanding keseluruhan transaksi. Ada juga yang mengandaikan bahawa pada
tahun 2050 kita akan memiliki hanya satu matawang global digital.

Semua ramalan dalam filem yang berunsur sains fiksyen boleh berlaku. Jika ramalan itu
digabungkan dengan data dan fakta empirikal, tidak mustahil sesuatu yang diramalkan
itu akan berlaku pada masa hadapan. Setidak-tidaknya kita boleh mengenalpasti trend
dan kecenderungan sains dan teknologi pada masa hadapan. Dunia sedang bergerak
dengan pantas dan transformasi kehidupan akan berlaku secara mendadak.

Cabaran kepada Peradaban Islam: Pluralisme Agama

Terdapat dua perkara penting yang perlu kita ketahui apabila membincangkan persoalan
pluralisme. Pertama pluralisme dalam pengajian etnik dan kedua pluralisme dalam
konteks agama. Pluralisme dalam konteks agama atau pluralisme agama adalah
fahaman yang sangat merbahaya dan menjadi fokus perbincangan kita pada hari ini.
Manakala pluralisme dalam pengajian hubungan etnik adalah perbahasan berkaitan
kepelbagaian dalam masyarakat. Sebelum kita pergi lebih jauh, eloklah kita bincangkan
dahulu pluralisme dalam pengajian etnik atau pengajian hubungan etnik.

Pluralisme dalam konteks ini adalah suatu keadaan masyarakat berbilang bangsa atau
kemajmukan masyarakat. Disiplin ilmu pluralisme dalam hubungan etnik mencakupi
sebab-sebab berlaku kemajmukan, ciri-ciri kemajmukan, asal-usul bangsa, polisi dan
dasar berkaitan etnik dan implikasi daripada kemajmukan. Pluralisme dalam konteks ini
juga menimbulkan persoalan-persoalan kenegaraan di dunia dan sering mengundang
berbagai penyelesaian. Akibat daripada kemaraan globalisasi, masyarakat berbilang
kaum menjadi semakin rencam dari segi budaya dan heterogeneous.

Situasi semasa juga menjadi semakin kompleks dengan berlakunya migrasi dan
pembangunan. Dilema bagi setiap negara ialah sama ada kepelbagaian etnik dikekalkan
atau pendekatan-pendekatan menangani kepelbagaian etnik dilakukan pengubahsuaian.
Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa kepelbagaian atau pluralisme etnik
merupakan satu keunikan dan kekuatan bagi sesebuah negara. Terdapat juga kerajaan
di dunia yang menghargai kepelbagaian agama, persaingan antara etnik dan berusaha
menyelesaikan masalah-masalah berkaitan hubungan etnik. Semua ini termasuk dalam
perbahasan mengenai pluralisme dalam hubungan etnik.

Kita beralih pula kepada pluralisme agama. Isu pluralisme agama menimbulkan
fenomena baru dalam pemikiran Islam. Ia mencetuskan pelbagai kontroversi dalam dunia
Islam dan antarabangsa serta menggugat akidah umat Islam. Di antara ciri pluralisme
agama ialah:
1. Ia mempunyai satu gerakan yang terancang yang berlindung di bawah gerakan-
gerakan seperti global ethics, human rights dan interfaith dialogue atau dialogue of faith
dan civilizational dialogue.
2. Ia mempunyai jaringan luas hampir di seluruh dunia termasuklah Malaysia dan telah
lama berakar umbi di Indonesia.
3. Ideologi dan fahaman pluralisme agama merupakan suatu serangan mental dan
penjajahan pemikiran yang berbahaya terhadap Islam serta penganutnya. Ia dilakukan
secara halus untuk mengelirukan pemikiran umat Islam atas nama rasional, toleransi dan
perpaduan.
4. Ia mempunyai elemen-elemen fahaman Islam Liberal, sekularisme, rasionalisme,
penolakan terhadap autoriti keagamaan, longgar dalam perbahasan mengenai hakikat
kebenaran sesuatu agama dan sentiasa cuba menyamaratakan ajaran-ajaran agama
yang berbagai.
5. Ia mempromosi nilai-nilai Barat dengan berselindung di sebalik slogan dan penekanan
kepada terminologi universal values, good values, shared-values, positive values, noble
values dan istilah-istilah yang lunak didengari.
6. Ia menanam bibit kekeliruan dan ketidakpastian dengan menggunakan moto yang
kelihatan baik dan muluk seperti “One God Different Ways”, “Unity in Diversity”, dan lain-
lain lagi.
7. Ia memisahkan nilai daripada agama dengan menyatakan nilai sejagat atau universal
mengatasi kebaikan nilai agama dan ini menidakkan peranan agama dalam kehidupan
seseorang.
8. Apabila fahaman ini menyatakan nilai-nilai yang diterima majoriti itu adalah suatu
kebaikan, maka ia sebenarnya menolak autoriti agama, kesahihan agama dan
keabsahan agama.
9. Ia memperjuangkan kebebasan mengeluarkan pendapat dalam beragama kononnya
setiap orang berhak untuk memberikan pandangan walaupun pandangan itu sebenarnya
bertentangan dengan agama atau pandangan itu boleh menyakiti penganut-penganut
agama lain.
10. Metodologi yang digunakan mereka iaitu relativisme iaitu dengan menyatakan
bahawa kebenaran adalah relatif dan tidak boleh didakwa mana-mana pihak, yang
bertujuan kononnya memberi kebebasan yang mutlak dalam mengeluarkan pendapat
dalam agama masing-masing. Jika kebenaran adalah relatif, maka agama juga bermakna
bukanlah sesuatu yang benar dan tidak mutlak.
11. Pluralisme agama lebih cenderung meletakkan neraca akal melebihi neraca agama
kerana akal dianggap sebagai berautonomi dan mampu memikirkan segala-galanya.
Sebagai orang Islam, kita perlu berhati-hati, berwaspada dan berawas dengan gerakan
fahaman pluralisme agama kerana matlamat akhir gerakan ini ialah menghapuskan
semua agama. Apabila nilai akal diletakkan diletakkan lebih tinggi daripada agama, maka
agama tidak lagi mempunyai sebarang signifikan dan peranan. Apa yang penting ialah
kita perlu berpegang teguh dengan agama Allah agar kita tidak terpesong. Allah s.w.t
telah berfirman dalam surah al-An’am, ayat 153:

               

   


Bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus,
maka hendaklah kamu menurutinya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain
dari Islam), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan
demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya bertakwa.”

Kesimpulan

Masa lepas dan masa depan peradaban manusia tidak akan sempurna tanpa apresiasi
tentang interaksi, proses transmisi, pinjam-meminjam dan pengayaan antara peradaban
Timur dan Barat. Semestinya, kesemua elemen ini cukup-cukup berkait rapat dengan hal
ehwal ilmu pengetahuan. Barat terhutang budi kepada Islam hasil dari interaksi
peradaban yang berlaku hampir 14 abad. Islam juga terhutang budi kepada tamadun-
tamadun agung dunia.

Buku ini telah membincangkan dengan panjang lebar mengenai Islam yang dinamik.
Jelaslah bahawa sesungguhnya jalan Allah iaitu agama Islam yang betul lurus mestilah
diikuti oleh semua umat manusia dan Allah juga telah memperingatkan kita agar
janganlah kita menurut menurut jalan-jalan yang lain dari Islam) kerana jalan-jalan yang
lain itu mencerai-beraikan insane dari jalan Allah.
Rujukan

Amini Amir Abdullah (2011), “Masa Depan Peradaban Manusia: Impak Kehidupan dan
Sosial”, Suara Pusat Islam Universiti Putra Malaysia, 8 April.

Amini Amir Abdullah (2011), “Ciri-Ciri Pluralisme Agama”, Suara Pusat Islam Universiti
Putra Malaysia, 25 Mac.

Amini Amir Abdullah (2009), “Masa Depan Peradaban Manusia: Masalah Akibat
Penyalahgunaan Dadah Dan Kes Jangkitan HIV AIDS”, Suara Pusat Islam Universiti
Putra Malaysia, 29 Mei.

Bulliet, Richard W. (2004), The Case For Islamo-Christian Civilization 2004, Columbia
University Press, Columbia, US.

Gilles, Barbara Ray dan Kirby, Richard S., (2004), Nurturing Civilization Builders: Birthing
The Best Schools in the World, Oak Forest Press and Ideal Profit Inc., Milford, USA.

Hunter, Richard (2002), World Without Secrets: Business, Crime and Privacy in the Age
of Ubiquitous Computing, John Wiley and Sons Inc., New York.

Madsen, Cathie, (Disember 2006), “Crime Rates Around The World”,


http://nationmaster.com/article/Crime-Rates-Around-The-World.

Tainter, Joseph (1988) The Collapse of Complex Societies. Cambridge: Cambridge


University Press.

Volsung, Baron Von (2003), Engineering The Future of Civilization, First Edition, March
2003, Great UNpublished, LLC, North Charleston, USA.

Quinn, Daniel (2000), Beyond Civilization: Humanities Next Great Adventure, Harmony
Books, New York.

Wallahu A’lam

View publication stats

Anda mungkin juga menyukai