Anda di halaman 1dari 97

JUZUK 1

1. Dinamakan Surah Al-Fatihah kerana menjadi pembuka kepada Al-Quran dan


merupakan teras kepada 113 Surah selepasnya.

2. Terdapat 2 bahagian iaitu: Pujian kepada ALLAH, dan pengakuan seorang hamba yang
lemah yang perlu bergantung kepada ALLAH.

3. Dinamakan Surah Al-Baqarah kerana di dalam surah ini berkait dengan kerenah Bani
Israil yang tidak mahu beriman dan taat kepada Nabi Musa A.S.

4. ALLAH S.W.T menceritakan sifat orang beriman di dalam 5 ayat pertama Surah Al-
Baqarah, kemudian sifat orang kafir (6-7) dan orang munafiq (ayat 8 dan seterusnya).

5. Dalam Juz 1 ini juga ALLAH S.W.T menceritakan tentang pertembungan di antara 2
golongan yang disebut di dalam surah Al-Fatihah (Golongan yang diberi Nikmat vs
Golongan yang dimurkai)

6. Pertembungan berlaku dalam 2 bentuk; Individu (Nabi Adam vs Iblis), Generasi (Nabi
Musa vs Bani Israil) dan hampir keseluruhan Juz 1, ALLAH S.W.T menceritakan tentang
jenayah orang-orang Yahudi yang bermula dari ayat 40 sehingga ayat 120.

7. Antara yang menarik adalah kisah permusuhan orang Yahudi dengan Malaikat Jibril
A.S. Mereka menolak untuk menerima ISLAM kerana mereka beranggapan
RASULULLAH SAW dibimbing oleh Jibril A.S. dan mereka menganggap Jibril sebagai
musuh.

8. Pada ayat 102 surah ini diceritakan tentang asal usul sihir yang mana orang Yahudi
beranggapan bahawa Nabi Sulaiman A.S. berkuasa kerana adanya sihir, bukan kerana
Mukjizat yang dikurniakan kepada Baginda. Dalam ayat ini ALLAH S.W.T memberitahu
bahawa sihir berasal dari Harut & Marut, 2 Malaikat yang dihantar ke Babil (Babylon),
bukan berasal dari Nabi Sulaiman A.S.

9. Di bahagian akhir Juz 1 ini ALLAH S.W.T menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim A.S.
diuji dengan pelbagai ujian dan akhirnya baginda berjaya melepasi kesemua ujian
tersebut. Di sana juga ada kisah pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim A.S. bersama
dengan anaknya, Nabi Ismail A.S.

10. Di bahagian akhir Juz 1 juga diceritakan tentang wasiat Nabi Yaakub A.S. kepada anak-
anak Baginda, iaitu supaya berTUHANkan ALLAH SWT.
JUZUK 2
1. Antara isu yang disentuh di dalam Juzuk 2 adalah berkaitan peralihan Kiblat dari Baitul
Maqdis ke arah Kaabah di Mekah (Ayat 142-150).

2. Ini bagi membuka mata orang kafir Quraisy bahawa ISLAM tidak menafikan kehebatan
& kemuliaan Mekah.

3. Ia juga membina cara fikir baru kerana masyarakat Mekah memandang tinggi
terhadap orang Yahudi sehingga menjadikan mereka tempat rujukan. Dan pertukaran
kiblat ini memalingkan fokus mereka dari Bani Yahudi kepada Bani Ismail.

4. Antara perkara lain yang popular dalam Juzuk ini adalah ayat berkenaan kepentingan
Solat, Sabar dan Lafaz Istirja’ (Ayat 153-157).

5. Juzuk 2 banyak menceritakan tentang hukum-hakam. Antaranya berkenaan dengan


hukum Qisas dan kepentingan wasiat (Ayat 178-182), kepentingan berpuasa dan
hukum berkaitannya (Ayat 183-187), hukum hakam berkaitan Haji (Ayat 196-203), dan
antara isu besar yang dibincangkan adalah berkaitan nikah, cerai, Iddah wanita yang
bercerai dan kematian suami, adab-adab meminang wanita yang kematian suami,
tidak boleh secara terang, tetapi mesti bersyarat atau menggunakan bahasa kiasan
(Ayat 221-242).

6. Di dalam ayat 201, ALLAH S.W.T memberitahu tentang doa yang terbaik untuk
diamalkan dan dibaca, iaitu doa yang bukan sahaja meminta kebaikan di dunia, bahkan
kebaikan di akhirat.

7. Bahagian akhir Juzuk 2 adalah berkaitan kisah selepas zaman Nabi Musa A.S. yang
mana Bani Israil ditindas oleh seorang raja (Jalut). Lalu Bani Israil meminta pertolongan
seorang Nabi untuk membantu mereka.

8. Disebut oleh para Ulama’ tafsir bahawa Nabi itu adalah Nabi Samuel yang mendapat
petunjuk dari ALLAH S.W.T untuk memilih orang yang selayaknya (berilmu
pengetahuan dan gagah perkasa) menjadi pemimpin dan raja iaitu Talut, walaupun
pada awalnya beliau ditolak oleh kaumnya kerana tidak memiliki harta dan kuasa.

9. Maka Talut memimpin Bani Israil untuk mengalahkan Raja Jalut. Dan pada waktu inilah
munculnya watak Nabi Daud A.S. yang berjaya membunuh Raja Jalut, dan
kemenangan berpihak kepada Bani Israil.

10. Mesej utama di dalam kisah terakhir pada Juzuk 2 ini menekankan bahawa ISLAM lebih
mementingkan kualiti berbanding kuantiti.
JUZUK 3
1. Mengandungi 2 Surah, iaitu bahagian akhir Surah Al-Baqarah dan bahagian awal
Surah Ali-Imran. Ayat Kursi yang selalu dibaca berada di dalam Juzuk ini (Ayat 255).
Ayat ini diiktiraf sebagai ayat yang paling agung di dalam Al-Quran kerana di dalam
ayat ini sahaja, mengandungi 17 kali pengulangan nama ALLAH SWT.

2. Di dalam Juzuk ini terdapat 2 kisah berkenaan orang yang mati dan dihidupkan
semula iaitu; i) seorang lelaki yang tidur selama 100 tahun (Ayat 259), ii) Eksperimen
yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim untuk diyakini bahawa ALLAH mampu
menghidupkan kembali makhluk yang dah mati.

3. Juzuk 3 juga menceritakan berkenaan Sedekah (Ayat 261-274). Antaranya ialah satu
sedekah digandakan pahalanya sehingga 700 kali ganda, siapa yang selayaknya
menerima sedekah dan sedekah perlu diberikan dalam keadaan terbaik.

4. Seterusnya, hukum berkaitan riba dan hutang dibincangkan pada Ayat 275-282. Yang
menariknya, mengikut kebanyakan ulama’ Tafsir, ayat 281 merupakan ayat yang
terakhir diturunkan manakala ayat 282 adalah ayat yang terpanjang di dalam Quran
yang menceritakan perihal hutang dan bagaimana mendokumentasinya (Perjanjian,
Saksi dsb).

5. Di dalam Surah Ali-Imran banyak diceritakan tentang keluarga dan makhluq pilihan
ALLAH S.W.T seperti keluarga Imran, Maryam, Nabi Isa, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya
(Ayat 35-55) manakala ALLAH S.W.T mengajar doa bagi pasangan berkahwin yang
masih belum dikurniakan cahaya mata untuk mengamalkan doa Nabi Zakaria (Ayat
38).

6. Pada Ayat 55 dinyatakan dalil yang mengatakan bahawa Nabi Isa A.S. diangkat oleh
ALLAH SWT ke langit.

7. Terdapat juga kisah berkenaan Mubahalah di antara NABI SAW dengan kaum Nasrani
dari Najran (Ayat 61-62). Mubahalah adalah perdebatan di antara 2 pihak yang
masing-masing mendakwa benar, dan masing-masing berdoa kepada ALLAH untuk
tunjukkan mana yang benar dan mana yang salah. Tetapi Mubahalah ini tak jadi
kerana pihak Nasrani menarik diri kerana hakikatnya mereka tahu RASULULLAH SAW
berada di pihak yang benar.

8. Ayat 63 mengisahkan perintah ALLAH SWT kepada NABI SAW untuk mengajak Ahli
Kitab agar bersatu dengan kalimah Tauhid yang sama iaitu menyembah ALLAH yang
SATU manakala pada Ayat 69-79 diberitahu tentang sifat Ahli Kitab, ada yang positif
dan banyak yang negatif. Mesej utama di dalam kisah ini adalah orang yang diberikan
agama (ISLAM), sepatutnya menjadi orang yang Rabbani (Orang yang paling
berakhlaq dan menjadi pendidik untuk diri, keluarga dan masyarakat).
JUZUK 4
1. Juzuk 4 mengandungi sebahagian besar bahagian kedua Surah Ali-Imran dan
bahagian awal Surah An-Nisa’.

2. Ayat 92 ALLAH S.W.T menceritakan tentang sedekah yang paling baik iaitu sedekah
sesuatu yang paling kita sukai. Antara kisah di sebalik ayat ini adalah kisah sedekah
kebun kurma oleh Abu Talhah R.A. yang mana kebun ini adalah kebun yang paling
disayangi dan kebun ini adalah antara kebun yang paling mahal nilainya yang ada di
Madinah pada ketika itu.

3. Dalam Ayat 93 ALLAH S.W.T menceritakan tentang asal-usul makanan haram bagi
Bani Israil, bagaimana pengharaman daging unta bagi mereka disebabkan Nazar yang
dibuat oleh Nabi Yaakub A.S.

4. Ayat 96-97 adalah mengenai rumah ibadat yang pertama dibina dalam sejarah
peradaban manusia, iaitu Kaabah dan ayat ini juga berkenaan dengan pensyariatan
Haji.

5. Ayat 103 pula ALLAH S.W.T memberitahu kepentingan berpegang dengan tali ALLAH
(Agama ALLAH S.W.T) manakala di dalam ayat 110 umat ISLAM dinobatkan sebagai
Umat Terbaik dengan syarat mestilah melaksanakan Amar Makruf Nahi Munkar dan
beriman kepada ALLAH SWT.

6. Menariknya, Perang Uhud diceritakan secara terperinci di dalam Juzuk ini (Ayat 121-
158). Antaranya berkenaan punca kekalahan, post-mortem Perang Uhud, teguran
ALLAH S.W.T kepada Umat ISLAM dsb.

7. Apa yang paling menarik adalah berkenaan ayat 144 yang turun ketika Perang Uhud,
memberitahu bahawa RASULULLAH SAW adalah manusia biasa yang pasti akan
menemui ajalnya pada suatu hari nanti. Ayat ini juga dibaca oleh Khalifah Abu Bakar
As-Siddiq ketika kewafatan NABI SAW sebagai teguran kepada para sahabat yang
pada waktu itu tidak dapat menerima hakikat tersebut.

8. Di dalam ayat 154 dibincangkan bagaimana ALLAH S.W.T menghantar rasa


mengantuk kepada tentera ISLAM sebagai satu ketenangan apabila mereka kalah di
dalam Perang Uhud dan ketika rasa mengantuk itu hilang, semangat mereka kembali
pulih.

9. ALLAH S.W.T juga menceritakan mengenai kelebihan orang yang mati syahid, di
mana mereka sebenarnya kekal hidup di sisi ALLAH (Ayat 169-171).
10. Kisah di sebalik ayat 173 adalah berkenaan Perang Hamraul Asad, yang mana tentera
ISLAM terus menyusuri tentera Abu Sufyan setelah Peperangan Uhud. Ketika Abu
Sufyan melihat tentera ISLAM masih mampu menyusuri mereka walaupun setelah
luka parah, beliau mengupah satu rombongan yang sedang lalu di kawasan itu untuk
menakutkan tentera ISLAM, namun Tentera ISLAM tetap nekad untuk menggempur
musuh dengan lafaz “Cukuplah bagi kami, ALLAH sebagai pembantu”.

11. ALLAH S.W.T menekankan perihal kepentingan berfikir (Ayat 190-194) yang mana
setiap penciptaan ALLAH di alam semesta ini mempunyai sebab dan musabbab
tersendiri.

12. Di dalam Ayat 199, ALLAH S.W.T memuji sebahagian Ahli Kitab yang beriman kepada
ALLAH S.W.T. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan berita kemangkatan Raja
Habsyah (An-Najashi) yang beriman kepada ALLAH, lalu NABI SAW terus melakukan
Solat Jenazah Ghaib. Dan inilah Solat Ghaib pertama yang dilakukan dalam sejarah
umat ISLAM.

13. Di dalam ayat pertama Surah An-Nisa’ diceritakan asal-usul manusia yang berasal
dari Nabi Adam A.S. dan juga Hawwa’, kemudian berkembang sehingga hari ini.

14. Bermula ayat 2 sehingga 23 diceritakan berkenaan anak yatim, poligami,


pembahagian Faraidh dan juga mahram perkahwinan (Orang yang diharamkan
berkahwin).

15. Ayat berkenaan Mahram Perkahwinan disebut secara khusus di dalam Ayat 22-23. Ia
boleh dibahagikan kepada 3 kategori iaitu; i) Haram kerana hubungan darah, ii)
Haram kerana susuan, iii) Haram kerana perkahwinan.
JUZUK 5
1. ALLAH SWT melarang memakan harta orang lain secara salah (Ayat 29) manakala di
dalam ayat 31-32 diceritakan tentang kelebihan meninggalkan dosa besar, antaranya
ialah diampunkan segala dosa kecil dan larangan untuk kita berhasad dengki dengan
kelebihan yang diberikan kepada orang lain, bahkan ALLAH S.W.T menggalakkan kita
meminta dari NYA agar dikurniakan kelebihan tersebut.

2. Ayat 34-35 membincangkan tentang lelaki sebagai pemimpin di dalam rumahtangga.


Dan ALLAH S.W.T memberi panduan kehidupan berumahtangga dan cara
mendamaikan pasangan yang berkelahi.

3. Ayat 43 pula adalah fasa kedua pengharaman arak sebelum ianya diharamkan secara
mutlak dalam fasa ketiga. Tambahan pula, di dalam ayat ini juga diceritakan tentang
hukum berkaitan tayammum.

4. Apa yang menarik di dalam ayat 56 adalah ALLAH S.W.T menceritakan tentang fungsi
kulit yang padanya terdapat elemen yang menyebabkan kita boleh merasa kesakitan
bila mana diberitakan tentang balasan neraka bagi orang kafir dan ganjaran syurga
bagi orang beriman (Ayat 56-57).

5. Ayat 58 berkaitan amanah yang mesti diserahkan kepada ahlinya. Ayat ini diturunkan
di dalam Kaabah ketika NABI SAW ingin memasuki Kaabah pada Hari Pembukaan
Kota Mekah. Kunci Kaabah dipegang oleh Uthman bin Talhah dari Bani Syaibah. Dan
NABI SAW meminta kunci daripada beliau, lantas ALLAH S.W.T menurunkan ayat ini
supaya diserahkan kembali kunci Kaabah kepada beliau. Sehingga ke hari ini. Kunci
Kaabah dipegang oleh Bani Syaibah.

6. ALLAH SWT mengajar kita agar sentiasa kembali kepada ALLAH S.W.T dan
RASULULLAH S.A.W dalam apa jua perselisihan yang berlaku dalam kalangan kita
(Ayat 59) manakala pada ayat 69 dikisahkan tentang kelebihan orang yang mentaati
ALLAH S.W.T dan RASUL-NYA akan ditempatkan di Akhirat nanti bersama para Nabi,
orang yang benar, para syuhada dan orang soleh, yang mana tempatnya adalah yang
tertinggi di Alam Barzakh (Rafiqul A’la). Dan ayat 69 merupakan ayat yang terakhir
dibaca oleh NABI SAW sebelum baginda wafat.

7. Ayat 74-78 adalah berkenaan dengan jihad dan kenapa perlu berjihad. ALLAH SWT
menegur segelintir kaum muslimin di dalam ayat 77 kerana mereka dahulunya
bersungguh melawan kafir ketika ditindas di Mekah, tetapi menjadi pengecut selepas
berada di zon selesa di Madinah.

8. ALLAH SWT mengajar cara yang sebaiknya untuk menjawab salam dan membalas
penghormatan yang diberikan kepada kita (Ayat 86). Sama ada kita membalas
dengan cara yang lebih baik atau yang setara dengannya.
9. Ayat 95-96 menceritakan perbezaan di antara orang mukmin yang keluar berjihad
dan yang tidak keluar berjihad tanpa keuzuran yang dibenarkan (keuzuran ini
ditujukan pada orang seperti Abdullah Bin Ummi Maktum, yang buta matanya).

10. Ayat 97-100 mengisahkan berkenaan hijrah, menceritakan tentang segelintir Umat
ISLAM di Mekah yang tidak mahu keluar berhijrah walaupun mereka mampu, dan
akhirnya mereka mati terbunuh kerana dipaksa untuk berada di pihak musyrikin di
dalam Perang Badar. Kelak mereka akan dihumban ke neraka.

11. Dalam juzuk ini diceritakan berkenaan solat Qasar yang asalnya dibenarkan ketika
perang (Ayat 101) dan Solat Khouf (Solat ketika berasa takut dan gentar) yang
dibuat secara berjemaah ketika perang (Ayat 102). Berdasarkan ayat ini, para
ulama’ meletakkan kewajipan solat berjemaah ketika aman.

12. Terdapat 3 bisikan yang dibenarkan di dalam ISLAM kerana secara umumnya
bisikan itu negatif (Ayat 114) manakala diceritakan juga berkenaan peranan syaitan
dan bentuk godaannya seperti menghasut manusia untuk mengubah ciptaan
ALLAH S.W.T (Ayat 116-121).

13. Ayat 128 menceritakan tentang nusyuz si suami ketika mana dilihat seorang suami
itu semakin tidak menyukai isterinya, si isteri dibolehkan meminta untuk
mengurangkan haknya di dalam rumahtangga seperti gilirannya dilepaskan (bagi
yang berpoligami) dan sebagainya.

14. Ayat 129 pula memberitahu tentang sukarnya seorang suami untuk berlaku adil
apabila berpoligami kerana ianya di luar kawalan manusia. Adil di sini merujuk
kepada hati & perasaan, bukan fizikal kerana secara fizikalnya, suami wajib berlaku
adil.

15. Akhir sekali, diceritakan tentang celaan ALLAH SWT kepada orang munafiq. Kerana
Munafiq juga cuba untuk menipu ALLAH S.W.T dan ALLAH S.W.T akan membalas
tipu daya mereka di Akhirat kelak (Ayat 137-147).
JUZUK 6
1. Juzuk ini mengandungi bahagian hujung Surah An-Nisa’ dan sebahagian besar Surah
Al-Maidah.

2. Pada ayat pertama Juzuk ini, ALLAH SWT tidak menyukai apabila kita bercerita
mengenai orang lain secara terang-terangan melainkan apabila kita dizalimi untuk
mendapatkan keadilan (Ayat 148).

3. Pada ayat terakhir Surah An-Nisa’ dibincangkan berkenaan Hukum Faraidh bagi Al-
Kalalah (iaitu Faraidh bagi orang yang tiada ibu bapa dan anak-anak), jadi ke mana
hartanya akan pergi (Ayat 176).

4. Dinamakan Surah Al-Maidah yang bermaksud Hidangan Makanan kerana ini adalah
mukjizat yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada Nabi Isa A.S. Hidangan diturunkan
dari langit untuk Bani Israil selepas mereka memintanya dari Baginda.

5. Khalifah Umar Al-Khattab ada mengatakan, ‘Ajarkanlah lelaki di kalanganmu Surah


Al-Maidah dan perempuan di kalanganmu Surah An-Nur’. Ini kerana terdapat
banyak hukum yang relevan dengan orang lelaki di dalam Surah Al-Maidah seperti
menyempurnakan sumpah dengan berjanji, tidak menganiaya orang lain dan
sebagainya (Ayat 1-2).

6. Ayat 3 menjadi kebanggaan kita sebagai umat ISLAM. Di awal ayat disebut tentang
makanan haram bagi umat ISLAM manakala di bahagian akhir ayat ini adalah
berkenaan penyempurnaan pensyariatan agama ISLAM. Ayat ini diturunkan ketika
NABI SAW berada di Padang Arafah tahun ke 10 Hijri. Dengan turunnya ayat ini,
maka ISLAM telah sempurna. Tidak boleh dikurangkan atau ditokok tambah isi
kandungannya.

7. Ayat 8 Surah Al-Maidah seiring dengan Ayat 135 Surah An-Nisa’ yang mana ALLAH
SWT mengajar kita supaya berlaku adil dan jangan disebabkan kebencian kita
kepada sesuatu pihak menyebabkan kita tidak berlaku adil.

8. Kisah berkaitan Bani Israil dan Nabi Musa A.S. banyak diceritakan pada ayat 12-26.
Contohnya kisah Nabi Musa A.S. melantik 12 orang dalam kalangan mereka sebagai
Naqib bagi memudahkan urusan Baginda (Ayat 12).

9. Kisah sedih Nabi Musa A.S. diceritakan pada ayat 20-26 ketika mana Baginda
mengarahkan Bani Israil memasuki Palestin, tetapi 10 kaum dalam kalangan
mereka mengingkarinya. Bukan itu sahaja, bahkan mereka bersikap biadap
terhadap Baginda dengan melemparkan kata-kata penghinaan (Ayat 24).
10. Kisah pembunuhan pertama dalam sejarah manusia (Ayat 27-31) iaitu melibatkan
2 anak Nabi Adam A.S. Pada ayat ini tidak disebutkan nama anak Baginda.

11. ALLAH SWT menggalakkan kita bertawasul (menggunakan sesuatu sebagai


perantara) dengan amal ibadat kita yang baik (Ayat 35).

12. Ayat 41-50 diceritakan berkenaan Bani Israil, bagaimana mereka diberikan Kitab
Taurat. Dan padanya diulang sebanyak 3 kali dengan 3 akibat bagi sesiapa yang
tidak berhukum dengan hukum ALLAH SWT. Akibatnya adalah termasuk dalam
golongan yang kafir (Ayat 44), golongan zalim (Ayat 45) dan golongan yang fasiq
(Ayat 47).

13. ALLAH SWT menceritakan berkenaan dengan segolongan umat ISLAM yang murtad,
dan akan digantikan oleh ALLAH SWT dengan kumpulan lain yang mempunyai 6
kriteria (Ayat 54).

14. ALLAH SWT mengarahkan NABI SAW menyampaikan ISLAM dan Baginda tidak
boleh menyembunyikannya (Ayat 67).

15. Ayat 72-81 adalah berkenaan celaan ALLAH SWT kepada Ahli Kitab terutamanya
Nasrani. Contohnya Bani Israil dicela oleh Nabi Isa A.S. dan Nabi Daud A.S. kerana
mereka tidak mencegah perkara mungkar yang berlaku dalam kalangan mereka.
JUZUK 7
1. Juzuk ini mengandungi bahagian hujung Surah Al-Maidah dan sebahagian besarnya
adalah Surah Al-An’am.

2. ALLAH SWT menceritakan tentang perbezaan Nasrani, Yahudi dan Musyrikin di awal
Juzuk ini (Ayat 82-85) yang mana Yahudi dan Musyrikin sangat kuat permusuhannya
dengan umat ISLAM manakala Nasrani lebih erat hubungannya. Antara sebab
turunnya ayat ini adalah ketika mana para pendeta dan An-Najasyi mendengar ayat
Quran yang dibacakan oleh Ja’far bin Abi Talib lalu mereka menangis terharu kerana
dapat merasakan kebenaran pada ayat Al-Quran.

3. Ayat 87-88 adalah teguran kepada umat ISLAM supaya tidak mengharamkan apa yang
dihalalkan oleh ALLAH SWT. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan 3 orang sahabat
yang ingin melakukan sesuatu yang di luar normal manusia iaitu tidak berkahwin, tidak
tidur dan berpuasa tanpa berbuka.

4. Kaffarah (denda) bagi orang yang melanggar sumpah disebut di dalam ayat 89
manakala ayat 90-91 adalah merupakan fasa akhir yang mengharamkan arak dan judi
secara mutlak. Disebut juga bahawa syaitan sangat menyukai perkara yang ALLAH
S.W.T haramkan berdasarkan ayat ini.

5. Mukjizat Nabi Isa A.S. diceritakan di dalam ayat 110-120 surah Al-Maidah. Di sini juga
terdapat kisah golongan Hawariyyun meminta Nabi Isa A.S. berdoa agar diturunkan
makanan daripada langit lalu doa tersebut dimakbulkan.

6. Dinamakan Surah Al-An’am (Binatang Ternak) kerana di dalam surah ini diceritakan
mengenai 4 jenis binatang ternak dan zakat berkaitan dengannya. Dikatakan surah
yang mempunyai 165 ayat ini diturunkan sekaligus kepada NABI SAW di Mekah.

7. Ayat 19 menceritakan tentang persaksian yang paling besar iaitu persaksian ALLAH
SWT terhadap kebenaran RASULULLAH SAW manakala di dalam ayat 20 diceritakan
bahawa ahli kitab mengenali Baginda melalui kitab mereka melebihi mereka
mengenali anak-anak mereka sendiri.

8. Ayat 27-30 adalah kisah Akhirat mengenai ahli Neraka yang meminta agar mereka
dikembalikan ke dunia dan sudah pasti ianya ditolak oleh ALLAH SWT kerana tempoh
mereka telah pun tamat. Ini juga boleh dijadikan dalil bahawa roh manusia tidak boleh
kembali ke dunia pada bila-bila masa sekalipun samada bulan Ramadhan, malam
Jumaat dan sebagainya.
9. Apa yang menarik, ayat 38 berkaitan dengan ilmu zoologi (Alam Haiwan) di mana para
haiwan turut mempunyai kelompok-kelompok struktur sosial, kehidupan, bahasa dan
budaya seperti manusia tetapi dicipta bersesuaian dengan alam haiwan. Bahkan
kesemua haiwan juga akan dibangkitkan di Mahsyar nanti untuk mendapatkan
keadilan, cumanya tiada pengakhiran samada di Syurga ataupun Neraka kerana di
akhirnya mereka akan menjadi tanah.

10. Di dalam surah ini juga dibincangkan berkenaan larangan meminggirkan orang miskin
(Ayat 52-54). Kisah di sebalik ayat ini adalah ketika mana musyrikin Mekah meletakkan
syarat kepada RASULULLAH SAW, untuk mereka beriman, Baginda mestilah
meminggirkan para sahabat yang miskin kerana mereka tidak tahan dengan situasi
para sahabat yang miskin.

11. Ayat 59 menceritakan tentang ilmu pengetahuan ALLAH SWT yang sangat luar biasa.
Hanya DIA yang memegang kunci kepada 5 perkara ghaib yang disebut di akhir Surah
Luqman. Betapa hebatnya ilmu ALLAH SWT apabila diumpamakan tiada sehelai daun
yang gugur di bumi melainkan kesemuanya di dalam pengetahuan-NYA.

12. Larangan untuk bersama dengan mereka yang mempersendakan Al-Quran


dibincangkan di dalam ayat 68.

13. Kisah dakwah Nabi Ibrahim A.S. juga diceritakan di dalam surah ini (Ayat 74-87) seperti
bagaimana Baginda berdakwah kepada ayah sendiri dan kepada kaum Baginda yang
menyembah bulan, bintang dan matahari. Antara keistimewaan Nabi Ibrahim A.S.
adalah mempunyai keturunan yang terdiri dari para Anbiya’ (Ayat 84-87).

14. ALLAH SWT mencela orang-orang seperti Musailamah Al-Kazzab yang berdusta di atas
nama ALLAH dan NABI (Ayat 93). Ini termasuk mereka yang suka menyebarkan sesuatu
di atas nama ALLAH dan RASULNYA tanpa disemak kesahihannya terlebih dahulu.

15. ALLAH SWT juga melarang kita menimbulkan provokasi agama (Ayat 108) kerana
mereka yang diprovok akan bertindak balas dan mencela ALLAH SWT sedangkan
mereka tidak mengenali siapakah ALLAH SWT. Kita sebagai umat ISLAM perlulah
berdakwah secara tenang dan ilmiah.
JUZUK 8
1. Di dalam ayat 112 Surah Al-An'am, ALLAH SWT menceritakan tentang musuh para
Nabi terdiri daripada Syaitan Manusia & Jin. Mereka bersatu untuk menipu dengan
cara halus iaitu membisikkan kata-kata yang indah dengan tujuan menipu dan
menghasut untuk melakukan perkara terlarang.

2. ALLAH SWT memberitahu bahawa memakan binatang sembelihan yang disembelih


secara sah adalah sebahagian daripada iman (Ayat 118-120).

3. Pada ayat 122, ALLAH SWT menceritakan berkenaan 2 keadaan manusia iaitu orang
yang mati jiwanya kemudian dihidupkan dengan ISLAM dan orang yang berkekalan
dalam kesesatan. Para ulama’ tafsir mengatakan bahawa ayat ini mengisahkan
tentang Khalifah Umar Al-Khattab R.A. Di dalam ayat 125 pula ALLAH SWT
menceritakan tentang 2 keadaan lain iaitu orang yang dilapangkan dada untuk
menerima ISLAM dan orang yang sempit dadanya serta menolak ISLAM. Menariknya,
teori Altitude bertepatan dengan ayat ini.

4. ALLAH SWT mengatakan bahawa manusia diutuskan Rasul dalam kalangan mereka
untuk memberikan peringatan. Sementelah itu, dalam kalangan jin terdapat
pendakwah yang melakukan kerja amar makruf nahi mungkar (Ayat 130). Perincian
kisah ini boleh didapati di dalam Surah Al-Ahqaf dan Surah Al-Jin.

5. Ayat 138-140 menceritakan tentang amalan rekaan yang ditambah dan diada-adakan
oleh masyarakat Arab Jahiliah manakala ALLAH SWT menceritakan tentang makanan
yang haram dimakan oleh umat ISLAM (Ayat 145) dan Ahli Kitab, khusus kepada orang
Yahudi (Ayat 146).

6. ALLAH SWT menyatakan tentang 5 suruhan dan 5 larangan di dalam ayat 151-152 dan
para ulama’ tafsir berpandangan inilah Ten Commitments yang dinyatakan di dalam
Kitab Taurat.

7. Ayat 160 memberitahu berkenaan satu kebajikan yang dibalas dengan 10 kali ganda
pahala, manakala pengisytiharan tauhid terdapat pada ayat 162-163. Inilah yang kita
selalu baca di dalam Doa Iftitah pada setiap rakaat pertama Solat Fardhu.

8. Al-A’raf bermaksud Tempat Yang Tertinggi yang mana ALLAH SWT meletakkan
sementara orang beriman yang mempunyai timbangan amal baik dan buruk yang
sama berat. Kemudian takdir mereka akan ditentukan oleh ALLAH selepas itu.

9. Kisah Nabi Adam A.S. ditipu oleh syaitan diceritakan di dalam permulaan surah ini
(Ayat 11-25). ALLAH SWT mengajar doa yang dibaca oleh Nabi Adam A.S. dan Hawwa’
setelah mereka melakukan kesilapan (Ayat 23).
10. ALLAH SWT memuliakan kita dengan 3 bentuk pakaian yang mana kita perlulah
memenuhi ketiga-tiganya (Ayat 26). Pakaian pertama adalah pakaian yang menutup
aurat. Kedua, adalah tidak salah memakai pakaian yang cantik asalkan berpada-pada
dan ketiganya adalah yang paling penting dan paling baik, iaitu pakaian Taqwa
(Akhlaq).

11. ALLAH SWT memberi peringatan agar kita tidak tertipu dengan hasutan syaitan dan
iblis lagi dan DIA memberitahu bahawa syaitan dan kaumnya boleh melihat manusia
manakala manusia tidak boleh melihat mereka (Ayat 27). Ini adalah dalil yang jelas
bahawa manusia yang sihat tidak akan mampu melihat jin dan syaitan dalam rupa yang
zahir manakala jika ada seseorang mendakwa boleh melihat makhluq ini, terdapat 3
andaian padanya; i) Dia mengalami gangguan jin, ii) Dia mengalami sakit yang
memerlukan rawatan dan, iii) Dia berbohong. Maka rujuklah Al-Quran dan Sunnah.

12. Ayat 31 adalah pesanan ALLAH SWT supaya kita tidak berlebihan dalam makanan dan
minuman kita manakala ayat 38-39 menceritakan tentang pergaduhan di dalam
Neraka di antara para pengikut dan ketua mereka.

13. ALLAH SWT memberikan perumpamaan kepada orang yang berdusta dan sombong
dengan ayat-ayat ALLAH SWT yang mana pintu langit tidak akan dibuka untuk amal
kebaikan mereka dan mereka tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga sehinggalah
unta dapat memasuki jarum, yang mana ianya adalah mustahil untuk berlaku (Ayat
40).

14. Ayat 43 menceritakan tentang dendam sesama ahli Syurga yang dicabut dan betapa
bersyukurnya mereka diberikan hidayah oleh ALLAH SWT manakala pada ayat 44-50
menceritakan berkenaan dialog di antara ahli Syurga dan ahli Neraka. Ia juga
menceritakan tentang dialog penghuni Al-A’raf yang dapat melihat nikmat Syurga dan
balasan neraka lalu timbul di hati mereka perasaan rindu untuk ke Syurga dan takut
dihumban ke Neraka.

15. Bermula ayat 59 sehingga ke akhir Juzuk, diceritakan berkenaan kisah-kisah Nabi A.S.
bersama dengan kaum mereka.
JUZUK 9
1. Sebahagian besar Juzuk ini adalah Surah Al-A’raf manakala bahagian kedua adalah
permulaan Surah Al-Anfal (Harta Rampasan Perang).

2. Kisah para Nabi A.S. diceritakan di permulaan Juzuk ini (Ayat 88-169) dan sebahagian
besarnya adalah kisah Nabi Musa A.S. Apa yang menarik, ALLAH SWT mengatakan
bahawa jika penduduk di sesuatu negeri beriman dengan ALLAH SWT, nescaya akan
dibuka pada negeri tersebut rezeki yang melimpah-ruah dan keberkatan pada langit
serta buminya (Ayat 96). Jadi bagi memastikan kita mempunyai ekonomi yang kuat,
pertamanya adalah menjaga hubungan dengan Sang Pencipta.

3. Pada ayat 138-145 diceritakan berkenaan kisah Bani Israil. Kisah ini berlaku selepas
mereka selamat menyeberangi lautan dan Firaun. Lalu mereka menemui satu kaum
yang sedang menyembah berhala. Jadi Bani Israil menampakkan kedegilan mereka
apabila meminta Nabi Musa A.S. mencipta satu tuhan seperti kaum tersebut. Ternyata
permintaan ini telah menimbulkan kemarahan Baginda.

4. Nabi Musa A.S. dipanggil oleh ALLAH SWT untuk bermunajat dan mengambil Kitab
Taurat (Ayat 142-143). Pada mulanya Baginda berpuasa selama 30 malam, kemudian
ditambah lagi 10 malam. Ketika bermunajat dan berdialog dengan ALLAH SWT, Nabi
Musa A.S. memohon untuk melihat ALLAH SWT, lalu ALLAH SWT menjawab kamu
tidak akan mampu melihat-KU ketika di dunia. ALLAH SWT menunjukkan
kebesaranNYA pada gunung yang berdekatan dengan Bukit Tursina, tempat Baginda
bermunajat, lalu gunung tersebut hancur berkecai kerana gentarkan kekuasaan ALLAH
SWT. Setelah itu, Nabi Musa A.S. pengsan.

5. Sepeninggalan Nabi Musa A.S. untuk bermunajat, Bani Israil telah menyembah
berhala, iaitu patung anak lembu. Apabila Baginda mengetahui akan hal ini, lantas
Baginda turun dengan perasaan yang marah dan mengambil tindakan ke atas mereka.
Perincian kisah ini akan diulas pada Juzuk 16 nanti.

6. Pada ayat 160, diceritakan bahawa Bani Israil berpecah kepada 12 kumpulan.
Diceritakan juga kisah berkenaan penduduk di sebuah perkampungan nelayan yang
melanggar arahan ALLAH SWT untuk beribadat pada hari Sabtu (Ayat 163-166). Lalu
mereka disumpah bertukar menjadi kera.

7. Ayat 172 Surah Al-A’raf adalah merupakan perjanjian awal kita dengan ALLAH SWT
yang mana kesemua anak Adam A.S. pernah dikumpulkan di Alam Roh dan bersaksi
bahawa ALLAH adalah satu-satunya TUHAN. Ayat ini selari dengan Hadis NABI SAW
yang mengatakan setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (ISLAM).
8. ALLAH SWT menyuruh kita berdoa dengan nama-namaNYA (Ayat 180). Kita boleh
bertawasul dan menggunakan nama ALLAH sebagai perantaraan untuk memohon
hajat pada-NYA manakala ALLAH SWT menyuruh NABI SAW bertegas mengatakan
bahawa Baginda tidak mengetahui apa pun berkaitan Alam Ghaib (Ayat 188). Hanya
ALLAH SWT yang tahu berkenaan Alam Ghaib dan DIA akan mendedahkannya hanya
kepada Malaikat dan para Nabi untuk tujuan tertentu melalui wahyu. Justeru itu, tiada
manusia yang boleh mengetahuinya.

9. Ayat 204 menceritakan tentang adab kita dengan Al-Quran. Apabila mendengar Al-
Quran dibacakan, kita diajar supaya dengar dengan penuh perhatian dan senyap.
Kesilapan yang sering berlaku dalam masyarakat adalah bilamana Al-Quran di pasang
di restoran dan premis perniagaan untuk tujuan tarikan. Ini bercanggah dengan Adab
dengan Al-Quran yang diajar di dalam ayat ini.

10. Keseluruhan Surah Al-Anfal di dalam Juzuk ini menceritakan tentang Perang Badar.
Menariknya, ALLAH SWT seolah-olah ‘memakbulkan’ doa Abu Jahal (Ayat 19).
Sebelum keluar berperang, beliau berdoa di hadapan Kaabah supaya ALLAH SWT
memenangkan pihak yang benar. Ternyata, RASULULLAH SAW dan tentera ISLAM
yang mencapai kemenangan.

11. Ayat 24 adalah berkaitan panggilan untuk orang beriman untuk menyahut seruan
ALLAH SWT dan Rasul-NYA, bila mana keduanya memanggil ke arah sesuatu yang
menghidupkan. Ayat ini menjadi moto utama kepada penulisan kitab Tafsir Al-Munir
karangan Profesor Wahbah Zuhaili.

12. Tambahan kepada ayat ini, ALLAH SWT yang membatasi dan merupakan pemilik hati
manusia biarpun ianya berada di dalam tubuh badan manusia.

13. Ayat 32-33 menceritakan kebiadaban musyrikin Mekah yang mendoakan supaya
RASULULLAH SAW ditimpakan bala jika Baginda membawa kebenaran. Lantas ALLAH
SWT menjawab, bala tidak akan diturunkan di sesuatu tempat jika padanya terdapat
salah satu dari 2 perkara; i) Padanya ada RASULULLAH SAW, ii) Terdapat orang yang
sentiasa beristighfar memohon keampunan ALLAH.
JUZUK 10
1. Juzuk ini mengandungi bahagian akhir Surah Al-Anfal dan sebahagian besarnya adalah
Surah At-Taubah.

2. Ayat 41 adalah kisah mengenai ghanimah dan khumus. Khumus adalah 1/5 harta
rampasan perang yang dikhususkan untuk RASULULLAH SAW. Di dalam ayat ini juga
terdapat kisah Al-Quran diturunkan ketika berlakunya Perang Badar, iaitu bersamaan
17 Ramadhan. Walaupun begitu, terdapat juga beberapa pandangan lain berkaitan hal
ini. Pada ayat 42-43 pula diceritakan berkenaan mimpi RASULULLAH SAW pada malam
sebelum berlakunya Perang Badar.

3. Ayat 47-48 adalah berkenaan hasutan iblis kepada orang Mekah. Iblis menjelma dalam
bentuk seorang lelaki bernama Suraqah bin Malik, yang turut bersama membakar
semangat musyrikin Mekah untuk melawan Baginda SAW. Namun, ketika Perang
Badar berlaku, iblis melarikan diri. Ramai ulama’ menjadikan ayat ini sebagai dalil
bahawa jin, syaitan dan iblis boleh menjelma di dalam bentuk manusia jika diizinkan
ALLAH SWT.

4. ALLAH SWT menyuruh kita supaya sentiasa mempunyai persiapan ketenteraan yang
baik dan mengikut kemampuan kita (Ayat 60). Ayat ini sangat relevan dengan
kekuatan ketenteraan dari dulu sehingga sekarang. Di dalam ayat 67-69 adalah
teguran ALLAH SWT kepada RASULULLAH SAW disebabkan Baginda SAW bersikap
lemah lembut terhadap musuh dan menerima cadangan Abu Bakar As-Siddiq R.A.
supaya tawanan Perang Badar diambil sebagai tebusan, sedangkan Umar Al-Khattab
mencadangkan supaya kesemua tawanan tersebut dibunuh.

5. Dinamakan sebagai Surah At-Taubah kerana ALLAH SWT menerima taubat


sekumpulan sahabat NABI SAW yang tidak menghadirkan diri di dalam Perang Tabuk.
Terdapat 2 isu besar yang dibincangkan di dalam surah ini iaitu, i) pekung orang
munafiq yang dibuka oleh ALLAH SWT satu persatu dan, ii) kisah berkenaan Perang
Tabuk yang berlaku pada 9 Hijri.

6. Perang Tabuk berlaku ketika mana NABI SAW mengerahkan umat ISLAM sekitar
Madinah untuk pergi ke sempadan Tabuk kerana Baginda SAW mendapat berita
bahawa Tentera Rom ingin menyerang Kota Madinah. Peperangan ini sangat
mencabar kerana ia berlaku pada musim panas dan ramai orang ISLAM yang
berkemampuan cuba memberi alasan untuk tidak hadir, terutamanya golongan
munafiq.
7. Sekembalinya RASULULLAH SAW dari Tabuk, Baginda SAW berhasrat untuk
menunaikan Haji tetapi terhalang. Tujuannya adalah kerana masih ramai masyarakat
Arab Jahiliah menunaikan Haji selepas Pembukaan Kota Mekah pada tahun ke-8 Hijri.
Lalu Baginda SAW menghantar satu rombongan Haji diketuai oleh Abu Bakar As-Siddiq
untuk membacakan Surah At-Taubah kepada orang Arab Jahiliah dan melarang
mereka yang masih belum memeluk ISLAM untuk memasuki Masjidil Haram.

8. Haji Akbar (Besar) diceritakan di dalam ayat ke-3. Terdapat banyak pandangan
berkenaan hal ini. Pendapat yang paling tepat adalah Haji Akbar adalah Haji manakala
Haji Asghar (Kecil) adalah Umrah. Ada juga pendapat yang mengatakan dinamakan
Haji Akbar kerana rombongan Haji yang dihantar oleh NABI SAW dipimpin oleh
sahabat yang agung. Adapun pandangan bahawa Haji Akbar adalah Haji yang Hari
Wuqufnya jatuh pada Hari Jumaat adalah pandangan yang paling lemah.

9. Ayat 18 menceritakan tentang orang beriman adalah orang selayaknya


mengimarahkan masjid manakala ayat 23-24 ALLAH SWT melarang kita mengambil
saudara-mara yang jelas menentang ISLAM sebagai teman dan sekutu. Di dalam ayat
25-26 pula adalah berkenaan kisah Perang Hunain di mana umat ISLAM terpedaya
dengan jumlah mereka yang besar, lalu mereka telah diserang hendap.

10. Menariknya, kisah Hijrah RASULULLAH SAW ketika bersembunyi di Gua Tsur
diceritakan di dalam ayat 40 surah ini. Di dalam ayat ini lah terdapatnya kata-kata yang
hebat, “Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya ALLAH bersama kita”. Ayat 46-47
adalah kisah berkenaan orang munafiq yang berdolak dalih dan merasa berat hati
untuk bersama NABI SAW menyertai Perang Tabuk manakala ayat 60 menyebut secara
khusus berkenaan 8 golongan asnaf yang layak menerima zakat, dan ianya adalah
ketetapan yang ditentukan oleh ALLAH SWT.

11. Ayat 75-77 adalah berkenaan orang munafiq yang mungkir janji seperti berjanji akan
bersedekah jika diberikan harta yang banyak. Malangnya, dalam kebanyakan tafsir
dimasukkan kisah Sa’labah yang dikatakan menjadi Munafiq selepas diberikan
kekayaan. Kisah ini adalah kisah yang tidak benar sama sekali. Ianya sangat
bercanggah dengan fakta sejarah kerana Sa’labah telah syahid di medan Uhud
manakala di dalam kisah tidak sahih tersebut adalah sehingga zaman Khalifah Uthman
bin ‘Affan.

12. Ayat 80-93 surah ini menceritakan berkenaan orang munafiq, seperti; i) hasutan
mereka terhadap umat ISLAM supaya tidak keluar ke Perang Badar (Ayat 81) dan, ii)
kisah kematian Ketua Munafiq iaitu Abdullah bin Ubay. ALLAH SWT melarang Baginda
SAW menunaikan Solat Jenazah di atas kematiannya (Ayat 84). ALLAH SWT juga
memberi peringatan kepada kita semua agar memperbanyakkan menangis dan
mengurangkan ketawa kerana banyak ketawa boleh mematikan hati (Ayat 82).
13. ALLAH SWT menceritakan tentang kualiti para sahabat (Ayat 91-92) yang mana
mereka tidak dapat menyertai RASULULLAH SAW di dalam Perang Tabuk kerana
kemiskinan mereka, lalu mereka menangis teresak-esak. Mereka (dikatakan 7 orang)
digelar sebagai Al-Bakka’ kerana menangis tidak dapat menyumbang untuk ISLAM.
Namun mereka dipuji oleh ALLAH SWT di dalam ayat ini.
JUZUK 11
1. Juzuk ini mengandungi bahagian akhir Surah At-Taubah, keseluruhan Surah Yunus dan
awal Surah Hud. Ayat 107-110 Surah AT-Taubah adalah berkaitan peristiwa Masjid
Dhirar yang mana ianya dibina oleh orang munafiq untuk tujuan memecah-belahkan
umat ISLAM. Mereka meminta NABI SAW solat di sana sebagai upacara perasmian,
lalu ALLAH SWT memberitahu Baginda SAW bahawa masjid itu asasnya adalah
munafiq. Kemudian NABI SAW mengarahkan para sahabat untuk membakar masjid
tersebut.

2. ALLAH SWT melarang orang beriman untuk mendoakan pengampunan bagi mereka
yang telah mati dalam keadaan kafir (Ayat 113-114). Dikatakan ayat 113 diturunkan
untuk menegur NABI SAW yang mendoakan ayah saudara Baginda SAW, Abu Talib
yang mati dalam keadaan kafir.

3. Di akhir surah ini disebut mengenai kisah penerimaan taubat segolongan sahabat NABI
SAW yang gagal menyertai Perang Tabuk. Peperangan ini sangat menguji minda dan
fizikal yang mana Baginda SAW telah mengerahkan para sahabat dan penduduk
Madinah untuk keluar berjalan kaki sejauh 960 km ke sempadan Tabuk untuk
menghalang kemaraan tentera Rom. Di dalam kesibukan ini, terdapat sekumpulan
sahabat yang terlepas dari menyertai peperangan walaupun mereka berkemampuan.
Lalu mereka bertaubat dan ALLAH SWT menerima taubat mereka (Ayat 117-118).

4. Dinamakan Surah Yunus kerana di akhir surah ini diceritakan berkenaan kisah Nabi
Yunus A.S. Ayat 57-58 menerangkan tentang intipati utama penurunan Al-Quran.
ALLAH SWT menggunakan frasa wahai manusia di awal ayat ini bagi merujuk kepada
keseluruhan manusia tanpa mengira agama. Tiga tujuan Al-Quran diturunkan adalah
sebagai peringatan dari Tuhan, ubat kepada hati dan menjadi petunjuk serta rahmat
bagi orang beriman.

5. Ayat 62-63 menceritakan tentang wali ALLAH SWT. Berdasarkan ayat ini, sesiapa
sahaja boleh menjadi Wali ALLAH SWT, asalkan memenuhi 2 karakter, iaitu i) orang
yang beriman dan, ii) sentiasa bertaqwa. Janganlah kita menyempitkan makna wali itu
hanya kepada orang yang diberikan karamah dan kelebihan luar biasa oleh ALLAH
SWT.
6. ALLAH SWT merakamkan doa Nabi Musa A.S. agar dihancurkan firaun dan sekutunya
(Ayat 88). Doa tersebut dimakbulkan ALLAH SWT (Ayat 90). Di dalam ayat ini juga
diceritakan bagaimana Firaun telah bertaubat sebanyak 3 kali apabila ditimpakan azab
kepadanya (ditenggelamkan air di tengah lautan), namun ALLAH SWT tidak menerima
taubat tersebut kerana ketika itu Firaun baru hendak bertaubat sedangkan
sebelumnya dia adalah orang yang membuat kerosakan (Ayat 91) manakala ayat 92
pula ALLAH SWT menceritakan bagaimana jasad Firaun diselamatkan-NYA sebagai
pengajaran kepada kita semua. Sehingga ke hari ni jasad tersebut masih disimpan di
sebuah muzium di Mesir. Allahu a’lam.
JUZUK 12
1. Juzuk ini mengandungi keseluruhan Surah Hud dan bahagian awal Surah Yusuf.
Dinamakan sebagai Surah Hud kerana di dalamnya terdapat banyak kisah para Nabi
A.S. termasuk kisah Nabi Hud A.S.

2. Pada ayat 13, ALLAH SWT mencabar para penentang RASULULLAH SAW untuk
mencipta 10 surah yang setaraf dengan surah di dalam AL-Quran. Pada mulanya ALLAH
SWT mencabar mereka mencipta satu Al-Quran (Ayat 88 Surah Al-Isra’) dan mereka
gagal.

3. Lalu ALLAH SWT menurunkan tahap cabaran menjadi 10 surah seperti di dalam ayat
ini, tetapi mereka tetap gagal. Kemudian ALLAH menurunkan cabaran agar mereka
mencipta hanya satu surah (Surah Al-Baqarah & Yunus), tetapi mereka masih gagal. Ini
adalah bukti bahawa Al-Quran benar-benar datang dari ALLAH SWT, bukan rekaan
NABI SAW.

4. Kisah Nabi Nuh A.S. dirakam di dalam surah ini (Ayat 25-49). Nabi Nuh A.S. menyatakan
bahawa Baginda tidak memiliki kekayaan ALLAH SWT dan tidak mengetahui perkara
ghaib (Ayat 31). Ini adalah petunjuk mudah bagi kita, para Nabi pun tidak mengetahui
kisah ghaib, apatah lagi kita. Manakala ayat 41-43 mengisahkan bagaimana Nabi Nuh
A.S. mula naik ke atas bahtera dan anak Baginda enggan mengikutinya, lalu mati
lemas.

5. Ayat 50-60 adalah berkenaan Kisah Nabi Hud A.S. Diceritakan juga berkenaan
kepentingan istighfar dan taubat di mana ianya boleh membuka pintu langit, hujan
dan memurahkan rezeki (Ayat 52).

6. Kisah Nabi Soleh A.S. diceritakan di dalam ayat 61-68 manakala ayat 69-76 adalah
kisah Nabi Ibrahim A.S. yang didatangi sekumpulan malaikat yang membawa 2 berita
gembira iaitu; i) Nabi Ibrahim A.S. akan dikurniakan anak bernama Ishak, ii) Malaikat
akan berjumpa dengan Nabi Lut A.S. dan mengarahkan Baginda A.S. untuk keluar dari
Negeri Sadom kerana penduduk di situ akan dimusnahkan ALLAH SWT kerana
mengamalkan seks songsang.

7. Ayat 84-95 menceritakan kisah Nabi Syuaib A.S. dan kaumnya yang suka menipu di
dalam urusan perniagaan manakala kisah Nabi Musa A.S. dan firaun diceritakan pada
ayat 96-99.

8. Penurunan ayat 112 Surah Hud telah menyebabkan RASULULLAH SAW beruban
rambutnya kerana beratnya suruhan ALLAH SWT pada ayat tersebut iaitu untuk terus
ISTIQAMAH di dalam suruhan ALLAH SWT dan tidak melampau.
9. Ayat 118-119 menceritakan bagaimana manusia dicipta mempunyai perbezaan
pendapat. Ayat inilah menjadi asas di dalam perbincangan perbezaan mazhab. Ianya
adalah fitrah manusia.

10. Surah Yusuf secara ringkasnya menceritakan bagaimana Nabi Yusuf A.S. diuji dengan
hasad dengki 10 saudara Baginda, kemudian dibuang di dalam perigi dan dijual di
Mesir. Baginda A.S. juga digoda oleh isteri Al-Aziz (Pembesar) yang akhirnya
menyebabkan Baginda dimasukkan ke dalam penjara.

11. Pengajaran pertama dari kisah Nabi Yusuf A.S. yang digoda oleh isteri Al-Aziz, Baginda
diberi 2 pilihan samada dimasukkan ke dalam penjara atau melakukan perkara tak baik
bersama perempuan tersebut. Sudah tentu Baginda memilih untuk dimasukkan ke
dalam penjara.

12. Ayat ini difahami oleh para ulama’, bahawa musibah terdiri daripada 2 jenis,i) Musibah
dunia (mendapat kesusahan seperti dipenjarakan), ii) Musibah agama (agama kita
rosak kerana melanggar perintah ALLAH SWT). Di dalam kisah ini, Nabi Yusuf A.S.
memilih untuk menjaga agamanya walaupun ditimpa musibah dunia.

13. Pengajaran kedua adalah kisah Nabi Yusuf A.S. bersama dua orang teman sepenjara
yang mana Baginda menafsirkan mimpi salah seorang dari keduanya akan dibebaskan.
Nabi Yusuf A.S. meminta agar beliau menceritakan kisah Baginda yang dianiaya kepada
Raja supaya Baginda dibebaskan.

14. Setelah dibebaskan, kawan tersebut dilupakan ALLAH SWT untuk menceritakan
perihal tersebut, lalu Baginda kekal berada di penjara selama beberapa tahun. Ulama’
menafsirkan bahawa ALLAH SWT menegur Baginda kerana bergantung kepada
pertolongan manusia kerana sebelum ini ALLAH SWT yang menyelematkan Baginda
dari bahaya perigi dan terjebak dengan zina dsb.

15. Pengajaran terakhir adalah berkaitan kisah tafsiran mimpi Raja oleh Nabi Yusuf A.S.
untuk bercucuk tanam selama 7 tahun dan tidak diasingkan hasil tanaman dari
tangkainya untuk digunakan pada 7 tahun berikutnya. Ini adalah berkaitan dengan
kitaran ekonomi yang mempunyai pasang surutnya.
JUZUK 13
1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian akhir Surah Yusuf, Surah Ar-Ra’d
(Guruh) dan Surah Ibrahim.

2. Juzuk 13 Surah Yusuf adalah Fasa Bahagia Nabi Yusuf A.S. yang mana Baginda
dikeluarkan dari penjara dan menjadi Menteri Kewangan Mesir. ALLAH SWT mengajar
kita doa yang baik untuk diamalkan (Ayat 64). Ketika kemarau berlaku, Nabi Yusuf A.S.
didatangi oleh 10 saudara Baginda yang pernah membuang Baginda ke dalam perigi.
Nabi Yusuf A.S. mengatur strategi dengan meletakkan syarat bahawa kedatangan
mereka kali kedua mestilah dengan membawa bersama adik mereka iaitu Bunyamin.
Apabila disampaikan perkara ini kepada ayah mereka iaitu Nabi Yaakub A.S., Baginda
terus teringat akan nasib anaknya Nabi Yusuf, lalu Baginda menyerahkan segalanya
kepada ALLAH SWT. Bahagian akhir ayat ini boleh dijadikan doa, “Maka ALLAH adalah
sebaik-baik penjaga, dan DIA lah yang Pengasih antara yang pengasih”.

3. Sebelum mereka bertolak untuk bertemu dengan Menteri Kewangan Mesir dan
membawa bersama Bunyamin, Nabi Yaakub A.S. meminta mereka bersumpah dan
memberi pesanan supaya mereka tidak memasuki Mesir melalui satu pintu, bahkan
masuklah melalui beberapa pintu (Ayat 67). Sesetengah ulama’ menafsirkan perkara
ini agar anak-anak Baginda tidak terkena penyakit ‘ain (panahan mata yang jahat yang
boleh menyebabkan sakit). Ini kerana kesemua saudara Nabi Yusuf memiliki rupa
paras yang menarik dan sedikit berlainan dengan wajah orang Mesir.

4. Ayat 88-89 menceritakan tentang perjumpaan kali ketiga saudara-saudara Nabi Yusuf
A.S. dan rayuan mereka agar menyerahkan Bunyamin yang diarahkan untuk ditinggal
ketika perjumpaan kedua, lalu pada ketika inilah Baginda mendedahkan identiti
Baginda iaitu adik kepada mereka semua. Mereka terkejut lantas memohon kemaafan
berkaitan perbuatan mereka suatu ketika dahulu.

5. Di dalam ayat 92 pula menunjukkan bagaimana Nabi Yusuf A.S. mengajar kita agar
memberi kemaafan walaupun ketika mampu membalasnya. Baginda A.S. memaafkan
mereka semua di atas apa yang telah mereka lakukan. Ayat ini juga dibacakan oleh
RASULULLAH SAW kepada penduduk Mekah ketika Pembukaan Kota Mekah. NABI
SAW mencontohi akhlaq mulia Nabi Yusuf A.S.

6. Apabila pulang ke rumah, saudara-saudara Nabi Yusuf A.S. menceritakan kisah yang
berlaku kepada ayahanda mereka dan memohon kemaafan di atas kesalahan mereka
pada suatu ketika dahulu (Ayat 97). Mereka juga meminta Nabi Yaakub A.S. memohon
agar ALLAH SWT mengampunkan dosa mereka. Baginda menangguhkan doa tersebut
sehingga pada waktu sahur (Ayat 98). Ini antara dalil bahawa waktu Sahur adalah
waktu ketuhanan di mana banyaknya rahmat ALLAH SWT pada masa ini.
7. Ayat 11 Surah Ar-Ra’d menceritakan tentang Malaikat yang menjaga manusia di depan
dan belakang. Pada manusia itu terdapat 4 malaikat iaitu kanan dan kiri sebagai
pencatat amalan manakala yang menjaga manusia secara berganti-ganti berada di
depan dan belakang. Malaikat yang berganti ini bertukar waktu ketika 2 waktu solat
iaitu Solat Subuh dan Asar.

8. Pada ayat 11 ini juga terdapat ayat yang sentiasa dibaca ketika program motivasi agar
peserta program tersebut mengubah keadaan diri mereka ke arah yang lebih baik. Ini
adalah tafsiran yang tidak tepat untuk ayat ini. Tafsiran sebenarnya adalah ALLAH SWT
tidak akan mengubah kejayaan, kecemerlangan dan kehebatan sesuatu kaum yang
berpegang teguh dengan ISLAM, sehinggalah mereka memilih ideologi selain ISLAM,
lalu mereka jatuh merudum selepas meninggalkan ISLAM. Ini bermakna ayat ini
menceritakan perubahan dari yang baik kepada yang buruk.

9. Contoh mudah ayat 11 ini adalah kisah Perang Uhud di mana ketika para pemanah
mendengar arahan NABI SAW agar terus berada di atas bukit, mereka mencapai
kemenangan. Lalu ketika mana harta ghanimah menjadi tumpuan mereka dan
mengingkari arahan NABI SAW, mereka tewas di dalam perang tersebut.

10. Di dalam surah Ibrahim, ALLAH SWT menggambarkan situasi di Akhirat. Ayat 21 surah
ini menceritakan tentang para pengikut yang memarahi pemimpin mereka kerana
diazab di dalam Neraka. Lalu para pemimpin itu menempelak kembali pengikut
mereka dengan berkata, kenapa dahulunya kalian mengikut kami?

11. Kemudian para pengikut ini berjumpa dan menyalahkan syaitan yang menyebabkan
mereka dimasukkan ke Neraka (Ayat 22). Lalu syaitan membalas, ALLAH SWT dahulu
telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar. Aku juga berjanji tetapi aku tidak
akan tunaikan janjiku. Aku juga tidak berkuasa ke atas kalian melainkan aku hanya
mengajak kalian dengan seruanku, lantas kalian mengikutiku. Jadi, jangan salahkan
aku tetapi salahkan dirimu sendiri.

12. Berdasarkan ayat 22 ini, sebenarnya tipu daya hasutan syaitan adalah lemah. Jika kita
tidak melawan hasutan tersebut, maka kita akan terjerumus ke dalamnya. Ayat ini juga
ditafsirkan oleh ulama’ bahawa jin dan syaitan sebenarnya tidak boleh merasuk tubuh
dan akal manusia. Mereka sekadar boleh membisikkan hasutan-hasutan jahat. Namun
terdapat juga pendapat lain berkenaan hal ini.

13. Ayat 35-41 menceritakan kisah Nabi Ibrahim A.S. selepas pembinaan Kaabah. Baginda
berdoa dengan beberapa doa. Antara mukjizat yang kekal sehingga hari ini adalah doa
pada ayat 37. Doa ini dibacakan ketika Baginda diarahkan ALLAH SWT meninggalkan
Hajar dan Nabi Ismail A.S. yang masih kecil di Mekah. Di dalam doa ini terdapat ayat
“Jadikanlah hati SEBAHAGIAN manusia cenderung ke Mekah”. Ibnu Abbas
menafsirkan ‘sebahagian’ di sini bermaksud orang ISLAM.
14. Jika tiada perkataan ini di dalam doa Baginda A.S., nescaya Mekah & Kaabah akan
menjadi rebutan kesemua manusia. Dan kerana itulah umat ISLAM yang telah pergi ke
Mekah akan berasa untuk ke sana lagi dek kerana makbulnya doa Nabi Ibrahim A.S.
yang menjadikan hati orang ISLAM cenderung ke arah sana. Allahu a’lam
JUZUK 14
1. Juzuk ini mengandungi dua surah secara keseluruhan iaitu Surah Al-Hijr (Kawasan
Berbatu tempat tinggal Nabi Soleh A.S. di utara Madinah) dan Surah An-Nahl (Lebah).

2. Ayat 9 Surah Al-Hijr adalah merupakan jaminan ALLAH SWT untuk menjaga Al-Quran.
Ini merupakan bukti mukjizat dan kehebatan Al-Quran yang masih mengekalkan
keasliannya walaupun sudah 1400 tahun diturunkan. Hujung ayat ini merujuk kepada
para penghafaz Al-Quran serta para ulama’ yang berterusan mengkaji Al-Quran yang
mana ianya adalah salah satu cara ALLAH SWT menjaganya.

3. Kedegilan kaum musyrikin Quraisy untuk menerima ISLAM diceritakan di dalam ayat
14, yang mana jika dibuka pintu langit untuk ditunjukkan kebenaran sekalipun, mereka
tetap akan ingkar kepada seruan NABI SAW. Prof. Wahbah Zuhaili mengatakan
kemungkinan teori black hole ada kaitan dengan ayat ini bila mana ALLAH SWT
menyebut berkenaan Pintu Langit. Allahu a’lam.

4. ALLAH SWT menceritakan pelbagai nikmat yang diberikan, antaranya tentang fungsi
angin pada ayat 22 yang mana disebut bahawa angin itu sebagai ejen pembawa hujan,
debunga awan dan sebagainya.

5. Ayat 26-42 adalah kisah berkenaan permusuhan Iblis dengan Nabi Adam A.S., sama
seperti kisah di dalam Surah Al-Baqarah. Pada ayat 51-75 pula adalah kisah berkenaan
Malaikat yang datang sebagai tetamu Nabi Ibrahim A.S. yang membawa 2 misi, i) Nabi
Ibrahim A.S. akan mendapat anak bernama Ishak, ii) Mengarahkan Nabi Lut A.S.
meninggalkan negeri Baginda kerana ianya akan dimusnahkan akibat maksiat yang
dilakukan oleh kaum Baginda.

6. ALLAH SWT menyebut perihal firasat di dalam ayat 75. Ini bermakna ilmu firasat ada
disebut di dalam Al-Quran dan kisah firasat yang benar ada diceritakan di dalam Surah
Al-Qasas (Juzuk 20). Selain itu, Surah Al-Hijr juga ada menceritakan tentang Surah Al-
Fatihah (Ayat 87) manakala ALLAH SWT mengajar NABI SAW untuk menunaikan solat
bagi mengatasi keresahan jiwa apabila berhadapan dengan kaum musyrikin (Ayat 97-
99). Perkataan ‘Al-Yaqin’ pada ayat 99 adalah kematian, bukan ‘keyakinan’ seperti
yang difahami oleh sesetengah orang.

7. Surah An-Nahl ada menceritakan berkenaan ilham secara fitrah diberikan kepada
lebah dalam mencari makanan. Surah ini juga digelar sebagai Surah An-Ni’am (Nikmat
yang banyak) kerana di dalamnya banyak diceritakan tentang nikmat-nikmat NYA yang
dianggap kecil, tetapi disebut secara terperinci.
8. Ayat 43 menceritakan tentang lantikan sebagai utusan ALLAH SWT kepada laki-laki
yang diberikan wahyu. Bahagian kedua ayat ini mengatakan bahawa ‘Tanyalah orang
yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui’. Orang yang berpengetahuan
dalam konteks ayat ini merujuk kepada ahli kitab yahudi dan nasrani di Madinah. Ini
kerana pertikaian yang sering ditimbulkan oleh musyrikin Mekah adalah NABI SAW itu
manusia biasa, bukan malaikat. Sedangkan di dalam kitab para ahli kitab tersebut
dinyatakan kesemua Rasul yang diutuskan sebelum ini adalah dari kalangan manusia.

9. Faedah asas berkaitan Hukum Istihalah boleh didapati melalui ayat 66. Istihalah ialah
perubahan sifat pada sesuatu perkara yang boleh membawa kepada perubahan
hukum. Ayat 68-69 pula menceritakan tentang bagaimana ALLAH SWT memberi ilham
kepada lebah untuk mengumpul madu. Tambahan pula, disebut di dalam ayat ini,
madu tersebut menjadi ubat kepada manusia.

10. Ayat yang paling lengkap menceritakan tentang suruhan dan larangan ALLAH SWT di
dalam Al-Quran berada pada ayat 90. Dikatakan juga ayat ini menceritakan secara
lengkap isi tentang ISLAM manakala ALLAH SWT mengajar kita agar sentiasa mematuhi
janji di dalam ayat 91-92.

11. Suruhan agar memulakan bacaan Al-Quran dengan Lafaz Isti’azah disebut di dalam
ayat 98 manakala ayat 106 menceritakan kepentingan menjaga nyawa apabila berada
di dalam keadaan terpaksa. Kisah di sebalik ayat 106 ini adalah berkenaan Ammar bin
Yasir yang dibunuh seluruh keluarganya dan beliau diseksa serta dipaksa untuk
murtad. Lalu Ammar mengisytiharkannya. Kemudian beliau berjumpa NABI SAW
dalam keadaan menangis dan Baginda SAW mengatakan bahawa menjaga nyawa pada
ketika itu lebih utama.

12. Ayat 125 menceritakan tentang kepentingan berdakwah yang diajar melalui 3 kaedah;
i) Dengan bijaksana, ii) Peringatan yang baik, iii) jika perlu berdebat, berdebat dengan
cara yang terbaik (menjaga akhlaq, tidak beremosi dan tidak menyerang peribadi
pihak lawan). ALLAH SWT mengingatkan pada bahagian akhir ayat tersebut bahawa
hanya DIA yang mengetahui siapakah yang sesat dan mendapat petunjuk. Allahu
a’lam.
JUZUK 15
1. Juzuk ini mengandungi dua surah iaitu Surah Al-Isra’ dan Surah Al-Kahfi. Kedua-dua
surah ini saling berkait antara satu sama lain. Musyrikin Mekah berjumpa dengan
Yahudi Madinah untuk memberitahu tentang NABI SAW dan bertanyakan padanya
tentang soalan yang tidak akan diketahui jawapannya oleh Baginda SAW.

2. Yahudi tersebut memberitahu tiga soalan; i) Pertanyaan tentang roh, ii) Siapakah lelaki
penakluk dunia, iii) Kisah pemuda yang tidur lama di dalam gua. Apabila ditanyakan
hal ini kepada NABI SAW, Baginda memberitahu akan menjawabnya pada keesokan
hari tanpa mengucapkan ‘InsyaALLAH’. Kemudian wahyu terputus selama beberapa
hari dan ALLAH SWT akhirnya memberi jawapan kepada Baginda SAW berkenaan tiga
soalan tersebut.

3. Ayat pertama Surah Al-Isra’ adalah berkenaan kisah perjalanan malam Baginda SAW
(Isra’) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin manakala ayat 13-15
menceritakan peristiwa Akhirat yang mana akaun amalan kita semua akan diaudit dan
kita sendiri yang akan membacanya. Ayat 15 menerangkan secara jelas tiada orang
yang akan menanggung dosa orang lain seperti suami tidak menanggung dosa isteri
dan sebagainya.

4. Ayat 23-37 adalah merupakan beberapa contoh akhlaq mulia dan suruhan serta
larangan yang diberikan oleh ALLAH SWT secara jelas seperti doa yang terbaik untuk
ibu bapa (Ayat 24). Di dalam ayat 44 pula mengatakan bahawa semua makhluk di alam
ini bertasbih memuji ALLAH SWT mengikut bahasa masing-masing.

5. Ayat 53 penting untuk kita fahami bagi menjaga hubungan sesama manusia.
Antaranya bercakap dengan kata-kata yang terbaik sama ada pada lidah yang
bercakap ataupun tangan yang menulis. Sekali lagi diceritakan berkenaan peristiwa
pertama permusuhan di antara Nabi Adam A.S. dan iblis (Ayat 60-65) manakala
beberapa arahan ALLAH SWT kepada NABI SAW diceritakan di dalam ayat 78-84
seperti suruhan solat dan sebagainya. Solat Subuh yang disebut di dalam ayat 78
adalah sangat istimewa kerana ia disaksikan oleh para malaikat.

6. Al-Quran diturunkan sebagai ubat dan penyembuh kepada orang beriman (Ayat 82).
Penyakit yang dirujuk di dalam ayat ini adalah penyakit batin yang ada di dalam hati
dan jiwa manusia.

7. Ayat 85 adalah jawapan kepada soalan pertama musyrikin Mekah. Roh adalah urusan
ALLAH SWT dan kita tidak boleh mengatakan selain apa yang disampaikan oleh ALLAH
SWT. Roh yang sudah memasuki Alam Barzakh tidak akan kembali lagi ke dunia.
8. Ayat 111 adalah merupakan ayat yang sering dibaca oleh imam seusai memberikan
salam di dalam Solat Fardhu. Ayat ini adalah Ayat Keagungan yang menceritakan
tentang keagungan ALLAH SWT. Ibnu Katsir mengatakan bahawa NABI SAW mengajar
ayat ini kepada kanak-kanak Bani Hasyim yang baru boleh bercakap agar mereka
dibiasakan dengan kalimah Tauhid.

9. Terdapat 4 kisah yang diceritakan di dalam Surah Al-Kahfi. Pertama, kisah pemuda
yang tertidur di dalam gua selama 309 tahun (Ayat 9-26). Ayat 22-23 adalah teguran
ALLAH SWT kepada NABI SAW kerana Baginda tidak menyebut Insya-ALLAH dan
menyebabkan wahyu terputus selama beberapa hari. Jadi kita perlu menjiwai sebutan
Insya-ALLAH ini kerana ia banyak digunakan oleh para Nabi di dalam kisah mereka.
Bukan menggunakan perkataan ini sebagai alasan untuk tak buat apa yang kita
janjikan.

10. Keduanya adalah kisah 2 orang lelaki, iaitu seorang kafir yang sombong dan kaya dan
seorang lelaki soleh dan merupakan wali ALLAH SWT (Ayat 32-44). Si kaya berbangga
dengan harta kepunyaannya dan beranggapan ianya adalah hasil titik peluhnya
sendiri. Lalu lelaki soleh itu menegurnya supaya beliau banyak memuji ALLAH SWT
kerana semuanya hanya berlaku dengan izin-NYA (Ayat 39).

11. Ayat 50 adalah merupakan kisah permusuhan di antara Iblis dan Nabi Adam A.S. buat
kesekian kalinya. Dua perkara yang disebut di dalam ayat ini ialah; i) Iblis yang tidak
sujud adalah termasuk dalam kalangan jin, ii) Iblis juga mempunyai zuriat keturunan.

12. Kisah ketiga adalah kisah pengembaraan Nabi Musa A.S. dan muridnya mencari
seorang lelaki (Ayat 60-74). Di dalam Al-Quran tidak disebut siapakah nama lelaki
tersebut, tetapi nama Nabi Khidir disebut di dalam Hadis Sohih Bukhari. Matlamat
utama kisah pengembaraan ini adalah bertujuan untuk mengajar kita tentang adab
menuntut ilmu dan ujian bagi penuntut ilmu. Allahu a’lam.
JUZUK 16
1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian akhir Surah Al-Kahfi, Surah Maryam
dan Surah Toha.

2. Sambungan dari kisah ketiga Surah Al-Kahfi, sebelum berpisah, Nabi Khidir
memberitahu Nabi Musa hikmah di sebalik tiga tindakannya yang menimbulkan
persoalan pada hemat Nabi Musa.

3. Menariknya, pada ayat 82 Nabi Khidir menceritakan sebab Baginda menegakkan


dinding yang runtuh adalah kerana ianya milik anak yatim yang di bawahnya terdapat
harta peninggalan bapa mereka yang soleh. Ulama’ menafsirkan bahawa ALLAH SWT
menghantar Nabi Khidir dan Nabi Musa A.S. untuk menyelamatkan harta anak yatim
tersebut kerana solehnya bapa mereka. Ini menjadi bukti, kesolehan kita akan
memberikan manfaat kepada anak, cucu, cicit dan generasi kita pada masa akan
datang.

4. Kisah terakhir di dalam Surah Al-Kahfi adalah berkenaan Zulqarnain dan


pengembaraan beliau. Secara umumnya, ALLAH SWT menyampaikan mesej bahawa
empat ujian besar akan dihadapi oleh umat ISLAM di akhir zaman iaitu i) Ujian
Kepercayaan (Aqidah), ii) Ujian Harta, iii) Ujian Ilmu dan iv) Ujian Kekuasaan.

5. Bermula ayat pertama sehingga ayat 58 Surah Maryam menceritakan kisah-kisah para
Nabi A.S. Ia dimulakan dengan kisah Nabi Zakaria A.S.dengan doanya, Nabi Yahya A.S.,
Maryam yang melahirkan Nabi Isa A.S., Nabi Isa A.S. yang boleh bercakap ketika bayi
dan Nabi Ibrahim A.S. bersama ayahnya. Menariknya, ayat 31 menceritakan
bagaimana Nabi Isa A.S. diperintahkan untuk solat. Ini membuktikan bahawa para
Nabi pun diwajibkan untuk solat, apatah lagi kita semua.

6. Bahagian akhir Surah Maryam menceritakan perihal peristiwa Akhirat dan penegasan
bahawa ALLAH SWT tidak mempunyai anak.

7. Ayat 1-5 Surah Toha menceritakan bahawa Al-Quran diturunkan untuk memberi
manfaat kepada manusia dan bukan untuk menyusahkan. Dikatakan juga bahawa
Umar Al-Khattab menjadi lembut hatinya setelah adiknya, Fatimah membacakan ayat
1-5 surah ini. Namun, terdapat banyak perbincangan mengenai riwayat kisah ini.

8. Bermula ayat 9-98 menceritakan kisah Nabi Musa A.S. Baginda diperintahkan untuk
membuka selipar ketika berada di Lembah Suci Tuwa (Ayat 12). Para ulama’
membahaskan kenapa arahan tersebut diberikan, antaranya kerana selipar Baginda
A.S. pada ketika itu diperbuat daripada kulit yang mempunyai najis. Lalu diperintahkan
Nabi Musa A.S. untuk membukanya bagi menjaga kesucian Lembah Tuwa.
9. Ayat 17 merupakan soalan ALLAH SWT kepada Nabi Musa A.S. iaitu “apakah yang
berada di tanganmu wahai Musa?” dan Baginda A.S. memberikan jawapan yang
panjang (Ayat 18). Terdapat dua hikmah di sini iaitu, i) Ini menunjukkan bahawa Nabi
Musa A.S. sentiasa bertangan kanan dan ia merupakan Sunnah para Nabi, ii) Nabi
Musa A.S. memberikan jawapan yang panjang kerana Baginda ingin memanjangkan
tempoh bersama ALLAH SWT.

10. Nabi Musa A.S. diarahkan untuk bertemu dengan Firaun, seorang maharaja dunia yang
kejam (Ayat 24), lalu timbul rasa takut di hati Baginda. Berkat doa Baginda A.S. (Ayat
25-28), Nabi Musa dapat menjalankan tugas ALLAH SWT dengan jayanya. Tambahan
pula, ketika Baginda dan Nabi Harun A.S. diperintahkan untuk bertemu Firaun, mereka
juga diarahkan untuk menggunakan bahasa yang baik (Ayat 42-44). Ini menunjukkan
bahawa penggunaan bahasa yang kasar dan sentap walaupun kepada musuh adalah
kurang manfaatnya kerana bahasa yang lembut lebih membekas pada jiwa manusia.

11. Ayat 83-98 adalah kisah Bani Israil yang disesatkan oleh Samiri ketika Nabi Musa
bermunajat di Bukit Tursina dan diserahkan urusan pemerintahan kepada Nabi Harun
A.S. Namun Nabi Harun tidak mampu mengawal lagi Bani Israil yang dihasut oleh
Samiri. Samiri membuat patung anak lembu dari emas yang dicuri dan dicairkan, lalu
diletakkan di dalam mulut patung tersebut segenggam tanah dari tapak kaki kuda Jibril
A.S (Ayat 96). Lalu patung tersebut mengeluarkan bunyi seperti lembu. Dikatakan
bahawa Nabi Jibril muncul sebagai lelaki berkuda ketika Nabi Musa A.S. membelah
lautan dalam misi menyelamatkan diri dan Bani Israil dari cengkaman Firaun.

12. Seterusnya, ayat 115-123 menceritakan kisah Nabi Adam A.S. DI dalam Syurga,
Baginda diarahkan untuk menjauhi sebatang pokok. ALLAH SWT tidak pernah
menamakan pokok tersebut sebagai pokok khuldi (Kekal), namun ianya adalah nama
yang dicipta oleh iblis untuk menipu Baginda A.S., bahawa dengan memakannya,
Baginda akan kekal di dalam Syurga dan menjadi malaikat. Kita boleh lihat bagaimana
iblis menghasut manusia untuk mencipta produk palsu untuk menyesatkan manusia
yang lain.

13. Bahagian akhir Surah Toha adalah berkenaan suruhan ALLAH SWT kepada NABI SAW
agar menyuruh keluarga Baginda SAW menunaikan solat dan sabar menunaikannya
(Ayat 132). ALLAH SWT menegaskan pada sambungan ayat ini bahawa DIA tidak perlu
pun kepada solat kita, bahkan kita yang memerlukan ALLAH kerana DIA yang memberi
rezeki.

14. Melalui ayat 132 ini, ulama menafsirkan bahawa dikira sebagai dosa besar pada orang
yang sibuk bekerja sehingga lupa menunaikan solat kerana orang tersebut menjadikan
majikan dan dunia ini sebagai tuhan. Allahu a’lam.
JUZUK 17
1. Ayat 7 Surah Al-Anbiya’ adalah pemberitahuan oleh ALLAH SWT bahawa sekalian Rasul
adalah terdiri dalam kalangan manusia, bukan malaikat. Kisah di sebalik ayat ini apabila
timbulnya ketidakpuasan hati musyrikin Mekah ketika mana mengetahui NABI SAW
dilantik menjadi Rasul. Apa yang mereka mahukan adalah Rasul itu daripada malaikat.
Lantas ALLAH menyuruh mereka bertanyakan kepada ahli kitab di Madinah (Ahlaz
Zikri) adakah ada Rasul sebelum ini dari kalangan malaikat? Sudah tentu tiada.

2. Ayat 30 pula menceritakan perihal kejadian langit dan bumi yang asalnya adalah satu,
kemudian dipisahkannya dan terjadilah alam semesta. Menariknya, teori Big Bang
sangat berkaitan dengan ayat ini.

3. Pihak musyrikin Mekah tidak berpuas hati dengan perkembangan dakwah


RASULULLAH SAW, lalu mereka mengharapkan agar Baginda SAW dimatikan
secepatnya agar dakwah ISLAM terhenti. Lalu ALLAH SWT memberikan respon bahawa
tiada manusia yang akan hidup kekal, dan jika NABI SAW wafat, takkanlah musyrikin
itu akan kekal? (Ayat 34).

4. Ayat 50-91 adalah kisah para Nabi yang bermula dengan kisah Nabi Ibrahim A.S.
bersama kaumnya sehingga Baginda dihukum untuk dibakar. Lalu ALLAH SWT
memerintahkan api tersebut menjadi sejuk, selamat dan nyaman untuk Baginda A.S.
(Ayat 69).

5. Seterusnya adalah kisah pergaduhan di antara pemilik kebun dengan pengembala biri-
biri yang mana hasil tanaman kebun dirosakkan oleh biri-biri (Ayat 78-79). Kemudian
mereka meminta Nabi Daud A.S. agar mengadili kes mereka, lalu Nabi Daud A.S.
memutuskan bahawa biri-biri pengembala dirampas dan diberikan kepada pemilik
kebun sebagai ganti rugi.

6. Namun begitu, Nabi Sulaiman A.S. menegur keputusan tersebut dan mencadangkan
agar ditukar hak milik secara sementara. i) Baginda mencadangkan agar hasil tanaman
yang rosak diganti dengan hasil ternakan biri-biri dan, ii) Pengembala perlu menanam
semula tanaman yang baru dan bila ianya sempurna, ditukar kembali hak milik.
Hikmah di sebalik kisah ini adalah berkaitan dengan konsep pemindahan teknologi. Di
akhirnya, pengembala tahu cara untuk bercucuk tanam dan pemilik kebun sedar
banyak sumber rezeki datang dari binatang ternak.

7. Ayat 83 adalah doa Nabi Ayub A.S. yang baik untuk diamalkan ketika kita ditimpa
kesakitan manakala ayat 87-88 adalah merupakan tasbih Nabi Yunus A.S. ketika berada
di dalam kesusahan. Seterusnya adalah doa Nabi Zakaria A.S. agar dikurniakan zuriat
(Ayat 89-90). Sedikit kekeliruan dalam kalangan masyarakat apabila menjadikan doa
Nabi Zakaria ini untuk mencari jodoh. Ianya kurang tepat berdasarkan konteks ayat
tersebut.
8. Ayat 96 menceritakan kisah pecahnya benteng yang mengurung yakjuj dan makjuj
apabila dunia hampir mendekati kiamat. Lalu mereka keluar dan membuat kerosakan
serta bermaharajalela di segenap penjuru dunia. Pada bahagian akhir Surah Al-
Anbiya’, ALLAH SWT mengatakan bahawa NABI SAW diutuskan sebagai rahmat dan
kasih sayang-NYA untuk sekalian alam (Ayat 107).

9. ALLAH SWT memberitahu di awal Surah Al-Hajj bahawa Hari Kebangkitan boleh
berlaku kerana ALLAH SWT jualah yang mencipta manusia secara berperingkat dan
melalui fasa yang kompleks, takkanlah DIA tidak mampu untuk membangkitkan
kembali manusia (Ayat 5). Ayat ini juga secara tidak langsung menyentuh perihal ilmu
embriologi.

10. Semua makhluq sujud dan tunduk patuh kepada ALLAH SWT dalam sistem alam
termasuk termasuklah pokok-pokok, gunung-ganang, binatang dan sebagainya (Ayat
18) manakala ayat 19 pula menceritakan tentang dua pihak yang bertelagah tentang
tuhan mereka. Ayat 19 ini diturunkan sebelum bermulanya Perang Badar yang mana
sebelum peperangan bermula, adanya Perang Tanding yang setiap pihak menghantar
3 wakil untuk berlawan. Inilah yang dimaksudkan dengan ayat 19 Surah Al-Hajj.

11. Ayat 26-37 menceritakan tentang Haji dengan bermulanya kisah Nabi Ibrahim A.S.
diberikan tempat oleh ALLAH SWT untuk membina Kaabah. Ayat 27 adalah seruan
yang dibuat oleh Baginda A.S. yang memanggil manusia dari segenap penjuru untuk
menunaikan haji.

12. Prinsip utama di dalam berpolitik dinyatakan di dalam ayat 41 Surah Al-Hajj yang mana
apabila seseorang diberikan kuasa, dia perlulah melakukan 4 perkara, i) Mendirikan
solat, ii) Menunaikan zakat, iii) Menyuruh kepada kebaikan, iv) Mencegah
kemungkaran. Bagi sesiapa yang terlibat di dalam politik, jadikanlah empat perkara ini
sebagai matlamat utama.

13. ALLAH SWT menceritakan logik kenapa berhala tidak boleh disembah (Ayat 73).
Berhala itu tidak mampu untuk mencipta walaupun seekor lalat sekalipun mereka
bergabung. Namun jika lalat tersebut memudaratkan berhala, ianya tidak mampu
untuk berbuat apa-apa. Jadi tersangat lemah lah orang yang meminta (penyembah
berhala) dan dipinta (berhala).

14. Ini adalah kiasan ALLAH SWT yang sangat menarik untuk diperhatikan. Oleh kerana
berhala tidak mampu untuk berbuat apa-apa kepada lalat, lebih baik mereka
menyembah lalat yang sudah pastinya mereka menolaknya keran beranggapan
bahawa lalat adalah seekor binatang yang lemah. Jadi, selemah-lemah lalat pun
berhala tidak mampu untuk memberi kesan, alangkah ruginya mereka. Allahu a’lam.
JUZUK 18
1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu Surah Al-Mukminun (Orang Beriman), Surah An-
Nur (Cahaya) dan bahagian awal Surah Al-Furqan (Pembeza).

2. Ayat 1-11 Surah Al-Mukminun menceritakan berkenaan sifat orang beriman dan
kesudahan akhir mereka yang mendapat Syurga Firdaus. Berdasarkan ayat-ayat ini,
dapat difahami bahawa beriman adalah syarat minimum untuk ke syurga.

3. Ayat 13-16 adalah kisah mengenai keadaan manusia yang bermula dari persenyawaan
di dalam rahim seorang ibu, memasuki alam dunia sehinggalah dibangkitkan semula
di alam barzakh nanti manakala ayat 14 sama seperti ayat di dalam Surah Al-Hajj iaitu
berkenaan ilmu embriologi (Peringkat Kejadian Manusia).

4. Kisah para Nabi juga disebut di dalam Surah Al-Mukminun (Ayat 23-53), yang bermula
dengan kisah Nabi Nuh A.S. Nabi Hud A.S. dan sebagainya. Ayat 53 mengatakan
bahawa semua orang dari semua agama merasakan dirinya berada di pihak yang
benar. Sebagai seorang pendakwah, perkara ini perlu difahami sebaiknya dan menjaga
sensitiviti semua orang. Sampaikan lah ISLAM dengan cara yang paling baik, logik dan
tidak menyerang secara semberono.

5. ALLAH SWT memberitahu berkenaan sifat ahli syurga (Ayat 57-61). Di dalam ayat 60
dinyatakan bahawa salah satu sifat ahli syurga adalah hatinya merasa bimbang, tidak
selesa dan resah tentang amalannya diterima ALLAH SWT atau tidak. Ayat 71 pula
menyatakan tentang bahayanya nafsu manusia. Jika kebenaran perlu mengikut nafsu
manusia, sudah pasti akan musnah lah alam semesta.

6. Ayat 91 menegaskan bahawa alam ini tidak boleh mempunyai lebih dari satu tuhan
kerana setiap tuhan akan membawa cara masing-masing dan pastinya alam semesta
ini akan hancur binasa manakala ayat 96-98 adalah berkenaan cara untuk menghindari
gangguan dan kehadiran syaitan manusia serta syaitan jin.

7. Di dalam ayat 99-100 jelas menyatakan bahawa manusia yang telah mati tidak akan
kembali ke dunia. Ayat ini menceritakan tentang rayuan mereka yang telah mati untuk
dikembalikan ke dunia tetapi ditolak oleh ALLAH SWT kerana masa mereka telah pun
tamat.

8. Ayat 115-118 adalah antara ayat yang popular digunakan untuk merawat orang yang
terkena sihir jin. Melalui satu riwayat, diceritakan bahawa Abdullah bin Mas’ud
membacakan ayat ini untuk menyembuhkan penyakit sihir seorang lelaki. Lalu kisah
ini sampai kepada RASULULLAH SAW dan Baginda bertanya kepada Ibnu Mas’ud ayat
apakah yang dibaca. Setelah menceritakan perihal tersebut, Baginda SAW bersabda
dengan mafhumnya apabila ayat Al-Quran dibacakan oleh orang beriman dengan
penuh keyakinan kepada gunung, nescaya gunung pun akan hancur berkecai.
9. Terdapat di dalam satu riwayat yang menukilkan kata-kata Umar Al-
Khattab,”Ajarkanlah perempuan dalam kalangan kamu Surah An-Nur” kerana sangat
berkaitan dengan mereka. Ayat 1-10 surah ini menceritakan tentang hukum hudud
seperti zina dan li’an (menuduh orang berzina tanpa saksi) manakala ayat 11-26 adalah
berkenaan kisah ‘Aisyah R.A. difitnah. Antara pengajaran dari kisah ‘Aisyah R.A. adalah
sentiasa mendahulukan bersangka baik apabila mendengar berita yang tidak baik
(Ayat 12) dan bijak dalam mengurus berita dan serta memberikan komen terhadap
sesuatu isu yang berlaku (Ayat 16). Sikap-sikap seperti ini adalah perangkap syaitan
untuk menipu manusia.

10. Ayat 22 menceritakan tentang kelebihan Abu Bakar As-Siddiq R.A. kerana beliau
seringkali membantu sepupunya yang bernama Mistoh bin Uthathah yang miskin sejak
berada di Mekah lagi. Namun, apabila beliau mendapat tahu Mistoh terlibat dalam
menyebarkan fitnah ke atas ‘Aisyah R.A., beliau menghentikan bantuan ke atas
Mistoh. Lalu ALLAH SWT meminta Abu Bakar R.A. memaafkan Mistoh dan memberi
jaminan pengampunan. Lalu Abu Bakar R.A. kembali menyambung bantuan dan
silaturrahim dengan Mistoh.

11. Adab untuk memasuki rumah orang diceritakan di dalam ayat 27-29 yang mana perlu
mendapatkan keizinan tuan rumah terlebih dahulu manakala ayat 30-31 berkaitan
dengan menjaga mata, menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Ayat 31
khusus menceritakan berkaitan aurat seorang perempuan.

12. Di antara kesilapan yang biasa dilakukan oleh kaum perempuan adalah memakai
tudung dengan tidak menutup bahagian dada kerana jelas di dalam ayat ini
mengatakan bahawa tudung kepala mesti menutup dada. Pada bahagian akhir ayat ini
adalah berkenaan larangan menghentakkan kaki untuk membunyikan gelang kaki. Ini
menjadi prinsip asas ke atas sebarang tindakan perempuan yang boleh mengundang
fitnah.

13. Ayat 58 pula menceritakan tentang adab untuk memasuki bilik suami isteri. Keizinan
perlulah diminta terlebih dahulu terutamanya pada 3 waktu, i) Sebelum subuh, ii) Pada
waktu tengahari dan, iii) Selepas Isya’, ini kerana ketiga-tiga waktu ini adalah waktu
berehat dan aurat terdedah. Menariknya, ALLAH SWT menyebut tiga waktu yang
diiktiraf sebagai waktu untuk manusia berehat dan tidur.

14. Ayat 62-63 menceritakan berkenaan adab dengan RASULULLAH SAW seperti tidak
dibenarkan memanggil NABI dengan panggilan biasa.

15. Ayat 14 Surah Al-Furqan menceritakan tentang ahli neraka yang menjerit dan meminta
agar dicepatkan kematian apabila diazab di neraka. Lalu ALLAH SWT mengatakan
bahawa minta mati sekali, bahkan minta lah agar dimatikan beberapa kali kerana
dahsyatnya azab neraka.
JUZUK 19
1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian kedua Surah Al-Furqan (Pembeza
antara Kebenaran & Kebatilan), Surah As-Syu’ara’ (Para Penyair) secara lengkap dan
bahagian awal Surah An-Naml (Semut).

2. Ayat 27-29 Surah Al-Furqan menceritakan tentang penyesalan ahli neraka kerana
tersilap memilih teman. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan dengan seorang
lelaki bernama Uqbah Bin Abi Mu’aid yang awalnya memeluk Islam tetapi
kemudiannya meninggalkan Islam kerana ingin menjaga hubungan dengan kawannya.

3. Ayat 45-46 pula menceritakan tentang fungsi bayang matahari di mana ALLAH SWT
menjadikan matahari itu sebagai petunjuk iaitu petunjuk kepada waktu solat dan
sebagainya.

4. ALLAH SWT juga menceritakan tentang sifat hamba-NYA yang dipuji (Ayat 63-77),
seperti tidak melayan kerenah si jahil, berbelanja secara sederhana, berdoa agar
dikurniakan isteri dan zuriat yang menjadi penyejuk mata dan penenang hati dan
sebagainya.

5. Kisah para Nabi banyak diceritakan di dalam Surah As-Syu’ara’ seperti kisah Nabi Musa
A.S. dan Firaun serta Nabi Ibrahim A.S. dan kaumnya. Ayat 80 mengisahkan perihal Nabi
Ibrahim A.S. ketika menentang kaumnya yang mana Baginda mengisytiharkan bahawa
ALLAH itu adalah Tuhannya dan antara fungsi ALLAH SWT adalah sebagai Tuhan yang
menyembuhkan penyakit.

6. Antara kisah lain yang disebut adalah kisah Nabi Nuh dan kaumnya (Ayat 105-122) dan
Nabi Hud A.S. (Ayat 123-140). Pada ayat 130 diceritakan mengenai kejahatan Kaum
A’ad yang suka memukul tawanan mereka. Terdapat sesetengah masyarakat yang
menjadikan ayat ini sebagai penyembuh untuk sakit pinggang, sakit urat dan
sebagainya.

7. Antara mukjizat Al-Quran adalah sebagai penyembuh penyakit, namun kita perlulah
memahami Al-Quran mengikut konteks yang dikehendaki oleh ALLAH SWT kerana ia
adalah adab yang perlu dijaga. Mesej sebenar yang ingin disampaikan di dalam ayat
130 Surah As-Syu’ara’ ini adalah apabila kita diberikan kekuatan, maka janganlah
kekuatan itu digunakan pada jalan yang salah seperti membuli orang dan sebagainya.

8. Ayat 214 merupakan antara ayat terawal diturunkan kepada NABI SAW yang mana
diarahkan kepada Baginda untuk berdakwah kepada kaum keluarga yang terdekat.
Selepas ayat ini diturunkan, RASULULLAH SAW naik ke Bukit Sofa dan Baginda SAW
memanggil semua ahli keluarganya dan bertanya jika dibelakang Baginda itu ada
sekumpulan tentera yang ingin menyerang kota Mekah, adakah mereka akan percaya?
Mereka mengatakan bahawa mereka tahu RASULULLAH SAW tidak pernah menipu.
9. Dinamakan sebagai Surah An-Naml yang membawa maksud semut kerana Nabi
Sulaiman A.S. mendengar kata-kata Ratu Semut yang sedang memberi arahan kepada
rakyatnya supaya masuk ke dalam sarang mereka agar tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman
dan tentera Baginda A.S. (Ayat 18).

10. Mengikut kebiasaan, apabila Nabi Sulaiman A.S. keluar mengembara bersama para
tentera Baginda A.S., antara keperluan asasi yang perlu dipenuhi adalah bekalan air.
Hal ini berkaitan dengan ayat 20 di mana Baginda mencari Burung Hudhud.

11. Berdasarkan tafsiran ulama’, persoalan berkaitan kenapa Nabi Sulaiman A.S. mencari
Burung Hudhud adalah kerana Hudhud merupakan sejenis haiwan yang mempunyai
kelebihan yang boleh mengesan lokasi air di dalam bumi. Tafsiran ini diambil
berdasarkan ayat 25. Burung Hudhud menjelaskan bahawa kelewatannya adalah
kerana ia singgah di sebuah tempat (Saba’) yang mana penduduknya menyembah
matahari (Ayat 23-24).

12. Ayat 40 menceritakan kisah seorang lelaki yang diberikan ilmu pengetahuan yang
mampu membawa istana Balqis dengan sekelip mata sahaja dan dikatakan bahawa
lelaki ini adalah seorang wali ALLAH SWT. Berdasarkan ayat ini, wali ALLAH SWT
mestilah menjadi seorang yang berilmu pengetahuan. Jika kita berjumpa dengan orang
yang mempunyai kelebihan tetapi dia adalah seorang yang jahil dan tidak
mengamalkan Sunnah NABI SAW, janganlah kita tersalah anggap bahawa itu adalah
wali ALLAH SWT. Ini kerana jelas berdasarkan ayat ini, wali ALLAH SWT mestilah
berilmu pengetahuan. Allahu a’lam.
JUZUK 20
1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian kedua Surah An-Naml (Semut), Surah
Al-Qasas (Kisah) secara lengkap dan bahagian awal Surah Al-‘Ankabut (Labah-labah).

2. Ayat 65 Surah An-Naml menjadi prinsip utama dalam ISLAM yang mana semua perkara
ghaib mestilah berdasarkan dalil jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah. Jika ada orang
menceritakan perihal perkara ghaib tanpa mendatangkan dalil dan hujah yang nyata
dari Al-Quran dan Hadith, maka tolaklah ia. Di dalam ayat 82 pula menceritakan kisah
akan keluarnya sejenis binatang dari perut bumi yang boleh bercakap apabila dunia
sudah menghampiri Kiamat.

3. Ayat 88 mengisahkan tentang gunung-ganang yang bergerak. Ramai saintis


mengatakan bahawa ayat ini bertepatan dengan Teori Pergerakan Plat Tektonik di
dalam Ilmu Geologi. Namun begitu, ‘pergerakan’ di dalam ayat ini sebenarnya
bermaksud pergerakan ketika berlakunya kiamat nanti yang mana gunung-ganang ini
akan bergerak seperti kapas (Ayat 5 Surah Al-Qari’ah). Jadi sangat tidak tepat
menjadikan ayat ini sebagai sokongan kepada Teori Pergerakan Plat Tektonik.

4. Surah Al-Qasas banyak menceritakan tentang kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun yang
bermula dari ayat 4 sehingga ayat 48. Antara kisah di dalam surah ini adalah kisah
bagaimana Nabi Musa A.S. tertumbuk orang tanpa sengaja sehingga menyebabkan
kematian, lalu Baginda diburu dan lantas melarikan diri sehingga ke Madyan yang
mana di sana Baginda terus menghulurkan bantuan kepada dua orang perempuan
yang memerlukan pertolongan pada ketika itu (Ayat 15-23). Sikap itsar
(mendahulukan orang lain) ini adalah akhlaq mulia yang ditunjukkan oleh Baginda
biarpun masih dalam keletihan.

5. ALLAH SWT merakamkan doa Nabi Musa A.S. di dalam ayat 24 ketika mana Baginda
merasa berada di dalam kesulitan. Doa ini sangat baik untuk diamalkan dan ia
membawa maksud, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan
kebaikan-kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”. Selepas Baginda berdoa, ALLAH
SWT menghantar bantuan kepada Nabi Musa satu persatu. Antaranya ialah Baginda
dipanggil oleh bapa kepada dua perempuan yang dibantu tadi, kemudian diberikan
kerja dan dijodohkan dengan salah seorang perempuan tersebut (Ayat 25-27).

6. Ayat 26 memberitahu bahawa benarnya firasat isteri Nabi Musa A.S. yang meminta
ayahnya mengambil Baginda untuk bekerja kerana melihat dua karakter yang baik
pada diri Baginda iaitu seorang yang kuat dan bertanggungjawab. Abdullah bin Mas’ud
R.A. ketika menghuraikan ayat ini mengatakan jika ingin melihat firasat yang betul,
maka lihatlah pada ayat 26 Surah Al-Qasas.
7. Ayat 29-35 pula menceritakan kisah Nabi Musa A.S. yang pulang semula ke Mesir dan
ketika di dalam perjalanannya, Baginda melihat terdapat cahaya api yang jauh di
padang pasir yang sejuk. Di dalam ayat 29, Nabi Musa A.S. menunjukkan akhlaq
budiman yang menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan meminta
keluarganya menunggu di situ dan beliau pergi melihat api tersebut secara lebih dekat.

8. Di situlah Nabi Musa A.S. diberikan wahyu oleh ALLAH SWT yang didahului dengan
pelbagai suruhan dari ALLAH SWT seperti mencampakkan tongkat dan menyeluk
tangan sehingga keluar cahaya (Ayat 32). Sebagai manusia biasa, Baginda akan
ketakutan menghadapi situasi ini. Lantas di dalam ayat ini ALLAH SWT mengajar
Baginda agar memekap tangan ke dada untuk menghilangkan ketakutan tersebut.

9. ALLAH SWT memuji Ahli Kitab di dalam ayat 52-55 yang mana mereka beriman dengan
Nabi Musa A.S. dan Nabi Isa A.S. Kemudian para Ahli Kitab ini menyambung keimanan
mereka kepada Kenabian RASULULLAH SAW lalu diberikan kepada mereka dengan
ganjaran pahala sebanyak dua kali ganda (Ayat 54) manakala di dalam ayat 56
memberitahu bahawa hidayah itu secara mutlaknya adalah milik ALLAH SWT.
Dikatakan oleh para ulama’ tafsir bahawa ayat ini ditujukan kepada RASULULLAH SAW
kerana Baginda SAW sangat berharap ayah saudara Baginda, Abu Talib memeluk
ISLAM dan meninggal dunia dalam keadaan beriman.

10. Ayat 71-73 menceritakan nikmat yang jarang disyukuri iaitu nikmat siang dan malam.
ALLAH SWT memberikan dua Persoalan; i) Apakah akan terjadi sekiranya malam
berterusan sehingga Kiamat dan siapakah yang mampu membawa cahaya? ii) Apa
akan terjadi sekiranya siang berterusan sehingga Kiamat dan siapa yang mampu
membawa malam untuk berehat? Semoga dengan persoalan ini mampu menerbitkan
rasa syukur kepada ALLAH SWT di atas dua nikmat ini.

11. Kisah Qarun dan keangkuhannya diceritakan di dalam ayat 76-82. ALLAH SWT
memberikan mesej bahawa pentingnya menjadi orang berilmu kerana tatkala orang
awam sangat kagum dan mengharapkan agar memiliki kekayaan seperti Qarun, orang
berilmu melihat perkara itu hanya perkara yang kecil jika dibandingkan dengan
Akhirat. Ayat 82 menceritakan penyesalan dan kesedaran orang jahil tentang apa yang
dikatakan oleh orang berilmu selepas kematian Qarun. Jelas berdasarkan ayat ini
bahawa orang berilmu akan sentiasa melihat sesuatu itu beberapa langkah ke
hadapan. Maka, berusahalah kita agar menjadi orang yang berilmu.

12. Ayat 85 pula merupakan motivasi dan janji yang diberikan kepada RASULULLAH SAW
ketika mana Baginda berhijrah keluar dari Mekah dan menyebabkan timbul rasa rindu
yang teramat kepada tanah kelahiran Baginda SAW.
13. Dinamakan Surah Al-‘Ankabut kerana di dalamnya ALLAH SWT memberi
perumpamaan pegangan (Aqidah) orang yang menyembah selain-NYA sangat rapuh
seperti rapuhnya sarang labah-labah. Surah ini juga dikenali sebagai Surah Ujian
kerana di dalamnya terdapat dua kisah Nabi yang menerima ujian yang lebih berat
berbanding ujian terhadap RASULULLAH SAW.

14. Ayat 2-4 Surah Al-‘Ankabut memberitahu bahawa ujian itu pasti akan dirasai oleh
setiap dari kita semua. Kisah pertama adalah ujian yang dihadapi oleh Nabi Nuh A.S.
yang dihantar untuk bersama kaumnya selama 950 tahun (Ayat 14). Ini sangat banyak
jumlahnya jika dibandingkan dengan 23 tahun NABI SAW diuji untuk
menyempurnakan tugasan Baginda SAW. Kisah kedua adalah ujian yang menimpa
Nabi Ibrahim A.S. yang dibakar lalu diselamatkan oleh ALLAH SWT (Ayat 24).

15. Ayat 45 merupakan suruhan ALLAH SWT supaya kita membaca Al-Quran dan
mendirikan solat. Dua perkara ini perlulah bergerak seiring kerana solat itu mencegah
perkara yang keji dan mungkar. Jika kita menjaga solat kita, insyaALLAH ia akan
menjaga diri kita dari perbuatan mungkar. Allahu a’lam.
JUZUK 21
1. Juzuk ini mengandungi lima surah iaitu bahagian kedua Surah Al-‘Ankabut, Surah Al-
Rum, Surah Luqman, Surah As-Sajdah dan bahagian awal Surah Al-Ahzab.

2. Ayat 46 Surah Al-‘Ankabut menceritakan adab-adab berinteraksi dengan ahli kitab


manakala ayat 48 ALLAH SWT membuktikan bahawa NABI SAW tidak mencipta Al-
Quran, tidak pernah membaca mana-mana kitab dan tidak menulis dengan tangan
kanannya. Daripada ayat 48 ini, boleh juga difahami bahawa NABI SAW sentiasa
mengutamakan yang kanan berbanding kiri. Begitu juga yang diamalkan oleh Nabi-
Nabi yang lain seperti Nabi Musa A.S., Nabi Ibrahim A.S. dan sebagainya.

3. ALLAH SWT menceritakan di dalam Surah Ar-Rum berkenaan Pasukan Rom yang pada
awalnya tewas kepada Parsi tetapi selepas beberapa tahun Rom akan kembali menang
menewaskan Parsi. Kisah di sebalik surah ini, sewaktu NABI SAW berada di Mekah,
Parsi telah mengalahkan Rom dan kekalahan Rom itu menyebabkan umat Islam
bersedih manakala musyrikin Quraisy bergembira kerana Parsi merupakan sekutu
mereka manakala Rom pula memiliki Aqidah seakan-akan sama seperti umat Islam
iaitu aqidah Tauhid yang bersandarkan kitab dari langit.

4. Perkataan “beberapa tahun” di dalam ayat 4 bermaksud antara 3-9 tahun. Diceritakan
bahawa ketika Abu Bakar As-Siddiq mendengar ayat ini, beliau bertaruh dengan
seorang lelaki Quraisy, iaitu Ubai Bin Khalaf bahawa Rom akan kembali menang
selepas beberapa tahun. Ternyata selepas 7 tahun, Rom benar-benar berjaya
mengalahkan Parsi dan ini membuktikan kebenaran Al-Quran.

5. Ayat 20-23 menceritakan tentang kuasa ALLAH SWT pada alam, manusia, dan semua
makhluq di alam dunia ini. ALLAH SWT memberitahu bahawa perbezaan bahasa,
bangsa dan warna kulit juga adalah di antara tanda-tanda kekuasaan ALLAH SWT (Ayat
22). Ayat 41 pula menceritakan bahawa alam ini musnah disebabkan oleh tangan-
tangan manusia manakala tahap kejadian manusia diceritakan di dalam ayat 54, yang
mana manusia diciptakan pada awalnya bersifat lemah, kemudian menjadi kuat, dan
kembali menjadi lemah kembali dan beruban. Itulah fitrah kejadian manusia.

6. Di dalam Surah Luqman terdapat dua perkara utama. Pertamanya, pada ayat 12-15
adalah nasihat Luqman kepada anaknya yang mengandungi aspek Aqidah, Akhlaq dan
sosial. Keduanya, pada ayat terakhir surah ini, terdapat lima perkara ghaib yang tiada
siapa pun boleh mengetahuinya (Ayat 34) iaitu i) Pengetahuan yang tepat tentang Hari
Kiamat, ii) Bila diturunkan hujan, iii) Apa yang terjadi di dalam Rahim ibu yang
mengandung, iv) Apakah hari esok kita akan melakukan perkara baik atau buruk, v) Di
manakah kita akan mati.
7. Seterusnya, Surah As-Sajdah dinamakan begitu kerana terdapat satu ayat di dalam
surah ini yang menceritakan tentang orang beriman bilamana mendengar ayat-ayat
Tuhan, mereka akan sujud kepada ALLAH SWT (Ayat 15) manakala di dalam ayat 17
pula ALLAH SWT menceritakan sifat Syurga sebagai balasan bagi mereka yang
mengerjakan amal soleh.

8. Ayat 23 memberitahu NABI SAW agar tidak timbul keraguan di dalam hati Baginda
kerana Baginda akan diberikan Al-Kitab (Al-Quran) sama seperti yang diberikan kepada
Nabi Musa A.S. (Taurat) sebagai petunjuk dan panduan.

9. Surah Al-Ahzab bermaksud Pasukan Bersekutu. Surah ini menceritakan tentang


Perang Ahzab yang mana Baginda SAW berhadapan dengan saat genting. Tentera
Islam dikepung oleh musyrikin Quraisy dan pengkhianat dari Yahudi Bani Quraizah.

10. Ayat 4-5 surah ini menceritakan perihal anak angkat yang mana diharamkan bagi anak
angkat untuk ber’bin’kan dengan nama ayah angkat kerana itu adalah hak nasab yang
ALLAH SWT peruntukkan untuk ibu bapa mereka. Di dalam ayat 4, ALLAH SWT
memberitahu bahawa DIA tidak menjadikan lelaki mempunyai dua jantung. Ini sebagai
sindiran kepada seorang lelaki yang sangat bijak di Mekah yang mengaku kebijakannya
adalah kerana mempunyai dua jantung. Persoalan lain yang timbul, kenapa hanya
disebut lelaki di dalam ayat ini? Hal ini kerana kaum lelaki tidak akan pernah
mengandung. Kaum perempuan akan mempunyai lebih dari satu jantung apabila
mereka mengandung. Subhanallah, inilah mukjizat kehebatan Al-Quran.

11. Kisah Perang Ahzab diceritakan di dalam ayat 9-25. Menariknya, di dalam lingkungan
ayat ini, terdapat satu ayat yang memberitahu bahawa diri RASULULLAH SAW itu
contoh teladan yang baik (Ayat 21). Ayat ini turun semasa di dalam peperangan yang
mana Baginda SAW pada ketika itu bersikap tenang dan mampu menghadapi situasi
tekanan yang kuat dari pihak musuh.

12. Ayat 26-27 menceritakan tentang Perang Yahudi Bani Quraizah. Selepas tentera
bersekutu Ahzab lari pulang ke Mekah kerana dipukul ribut, ALLAH SWT mengarahkan
NABI SAW memerangi Yahudi Bani Quraizah kerana mengkhianati perjanjian dengan
Baginda SAW dan bergabung dengan tentera musyrikin Quraisy. Allahu a’lam.
JUZUK 22
1. Juzuk ini mengandungi empat surah iaitu bahagian kedua Surah Al-Ahzab, Surah Saba’,
Surah Faathir dan permulaan awal Surah Yasin.

2. Bahagian kedua Surah Al-Ahzab menceritakan perihal rumahtangga NABI SAW. Pada
ayat 31-34, ALLAH SWT memberi teguran dan peringatan kepada para isteri Baginda
SAW seperti tidak dibenarkan keluar rumah tanpa sebab, tidak dibenarkan berhias
berlebih-lebihan dan sebagainya.

3. Ayat 37 menceritakan mengenai perkahwinan Zaid Bin Harithah dengan Zainab Binti
Jahsh. Apabila tiada sekufu di antara keduanya, Zainab telah diceraikan oleh Zaid dan
ALLAH SWT mengarahkan Baginda SAW berkahwin dengan Zainab Binti Jahsh.
Terdapat dua keistimewaan pada ayat ini. Pertama, apabila turunnya ayat ini, ALLAH
SWT sendiri yang mengahwinkan Zainab dengan NABI SAW setelah habisnya tempoh
‘iddah Zainab (Bahagian kedua ayat 37). Keduanya ialah nama Zaid merupakan satu-
satunya nama sahabat yang disebut di dalam Al-Quran.

4. Antara sebab ALLAH memasukkan nama Zaid Bin Harithah adalah kerana sebelum itu,
beliau telah diambil menjadi anak angkat NABI SAW dan dinamakan sebagai Zaid Bin
Muhammad. Lalu turunnya awal Surah Al-Ahzab yang melarang menamakan anak
angkat dengan nama bapa angkat tetapi mesti memanggilnya dengan nama ayah
mereka sendiri (Ayat 5). Dikatakan oleh ulama’ tafsir, bagi menggantikan kesedihan
Zaid yang perlu ditukar namanya dari bernasabkan NABI SAW kepada nasab yang asal,
ALLAH SWT meletakkan nama beliau di dalam Surah Al-Ahzab. Ini adalah keistimewaan
Zaid R.A. yang tiada pada sahabat lain.

5. Pada ayat 50 diceritakan mengenai empat jenis wanita yang boleh dikahwini oleh NABI
SAW iaitu; i) dikahwinkan secara normal seperti mempunyai mahar, wali dan
sebagainya, ii) bekas hamba, iii) sepupu-sepupu Baginda SAW, tetapi dengan syarat
mereka mesti berhijrah dan iv) wanita yang datang menyerah diri kepada NABI SAW.
Ini hanya dikhususkan untuk NABI SAW sahaja. Walaupun begitu, daripada empat jenis
wanita yang disebut, NABI SAW hanya menggunakan dua sahaja iaitu perkahwinan
secara normal dan hamba abdi seperti Sofiyyah Binti Huyay dan Maryatul Qibtiyah.

6. Ayat 51 memberitahu bahawa NABI SAW tidak terikat dengan keadilan dalam
rumahtangga poligami. Ini bermaksud Baginda SAW boleh memilih dengan siapapun
baginda nak tinggal dan bermalam tanpa perlu ada giliran. Namun begitu, walaupun
mempunyai kelebihan ini, Baginda SAW tidak menggunakannya malah berlaku adil
terhadap isteri-isteri Baginda SAW.
7. ALLAH SWT melarang NABI SAW menambah isteri yang lain setelah turunnya ayat 52
manakala ayat 53 menceritakan tentang adab-adab apabila dijemput ke rumah NABI
SAW setelah Baginda SAW membuat sedikit kenduri di atas perkahwinan dengan
Zainab Al-Jahsh. Ayat 56 pula adalah arahan agar kita berselawat kepada NABI
MUHAMMAD SAW.

8. Dinamakan dengan Surah Saba’ kerana ALLAH SWT menceritakan mengenai sebuah
empayar di selatan Tanah Arab yang dikenali sebagai Empayar Saba’ yang mana
pernah muncul sebagai empayar dunia tetapi dimusnahkan oleh ALLAH SWT dek
kerana kedegilan mereka sendiri.

9. Ayat 10-14 menceritakan tentang kisah Nabi Sulaiman dan Nabi Daud A.S. yang mana
mereka mempunyai mukjizat yang tidak diberikan kepada orang lain. Antara
kehebatan Nabi Sulaiman yang tidak disebut pada surah lain ialah Baginda A.S.
meninggal dunia ketika sedang memerhatikan para jin yang sedang bekerja (Ayat 14).
Ayat ini juga boleh dijadikan dalil bahawa jin pun tidak tahu tentang perkara ghaib.
Jadi manusia yang bertanya kepada jin mengenai alam ghaib adalah orang bodoh yang
diperbodohkan oleh jin. Ayat 31-33 Surah Saba’ pula adalah dialog di antara pengikut
dan pemimpin di dalam Neraka di akhirat kelak.

10. Surah Faathir membawa maksud ‘Pencipta Tanpa Contoh’ di mana ALLAH SWT
mencipta alam semesta tanpa ada sesiapa pun yang pernah menciptanya sebelum ini.
Surah ini juga dinamakan sebagai Surah Al-Malaikat kerana pada ayat pertama surah
ini, ALLAH SWT menceritakan sifat malaikat yang bersayap dua, tiga dan empat. DIA
juga boleh menambah pada ciptaan-NYA apa yang dikehendaki-NYA samada
membuat sayap malaikat, menjadikan manusia mempunyai akal yang tinggi dan
rendah, fizikal yang berbeza dan sebagainya. Ayat 2 pula menceritakan tentang kuasa
mutlak ALLAH SWT yang memberi manfaat dan mudarat hanya pada DIA sahaja. Apa
sahaja rahmat yang dibuka oleh ALLAH SWT, tiada sesiapa pun boleh menghalangnya
manakala apa sahaja yang ditahan-NYA, tiada sesiapa pun boleh melepaskan halangan
tersebut.

11. Ayat 6 Surah Faathir merupakan suruhan ALLAH SWT supaya kita berperang dengan
syaitan dan iblis. Kita juga tidak boleh menganggap syaitan dan iblis sebagai kawan
malah mesti melawan mereka. ALLAH SWT menceritakan mengenai biji kurma pada
ayat 13 yang mana ALLAH SWT mengatakan orang-orang yang menyembah selain
ALLAH tidak ada kuasa sedikit pun walaupun sekadar selaput putih pada biji kurma
yang disebut sebagai qitmir.
12. Pada ayat ke 18, ALLAH SWT menyebut seseorang itu tidak akan menanggung dosa
orang lain manakala ALLAH menceritakan pada ayat 36-37 bagaimana Ahli Neraka
diseksa tanpa mati. Di akhirat nanti, kematian tidak lagi wujud kerana ianya sudah
dimatikan oleh ALLAH. Apabila diseksa tanpa mati, Ahli Neraka meraung-raung dan
mengharapkan agar dapat kembali semula ke dunia. Lalu ALLAH SWT menempelak
mereka kerana tidak menggunakan umur yang diberikan di dunia untuk mengambil
peringatan yang disampaikan oleh pemberi peringatan (para Nabi, Ulama’, uban di
kepala dan sebagainya).

13. Ayat terakhir Surah Faathir menceritakan jika ALLAH SWT ingin menghukum manusia
di atas segala kejahatan yang dilakukan mereka, sudah pasti DIA akan menghancurkan
alam yang tidak akan ada satu pun makhluk yang boleh hidup lagi. Ayat ini
menunjukkan betapa luasnya rahmat ALLAH SWT berbanding dengan azab-NYA (Ayat
45).

14. Ayat 13-27 Surah Yasin menceritakan tentang sebuah negeri di mana telah diutuskan
kepada penduduk negeri ini tiga Rasul dan mereka tidak menerimanya. Kemudian
mereka didatangi seorang lelaki lain yang diberi gelaran Habibunnajar (Ayat 20) yang
menyokong tiga Rasul tersebut, lalu beliau dibunuh dan dikira sebagai syahid. Selepas
beliau syahid, ALLAH memerintahkan beliau agar masuk ke dalam syurga (Ayat 26-27).

15. Menurut tafsiran beberapa ulama’, Habibunnajar adalah seorang yang sangat bagus
kerana beliau menasihati kaumnya ketika hidup (Ayat 21-25) dan selepas beliau
meninggal dunia (Ayat 26-27). Itulah yang dilakukan oleh para ulama’ yang mana
ketika mereka hidup dan selepas mereka meninggal dunia, masih tetap menasihati
manusia dengan meninggalkan legasi keilmuan mereka melalui karya dan tulisan
mereka. Oleh sebab itu, kita harus membina legasi ilmu supaya kita boleh menasihati
umat Islam ketika masih hidup dan juga selepas mati. Allahu a’lam.
JUZUK 23
1. Juzuk ini mengandungi empat surah iaitu bahagian kedua Surah Yaasin, Surah As-
Saffat, Surah Sodd dan Surah Az-Zumar.

2. Ayat 28-31 Surah Yaasin menceritakan tentang kesudahan penduduk sebuah negeri
(dikatakan sebagai Antoqiah, Turki) yang mengingkari arahan Rasul yang diutus
kepada mereka lalu mereka dimusnahkan oleh ALLAH SWT dengan satu jeritan kuat
oleh Jibril A.S. Di dalam surah ini juga ALLAH SWT menceritakan tentang kuasa-NYA
pada bumi, tanaman, kapal di lautan dan sebagainya.

3. Ayat 51-54 ALLAH SWT menceritakan mengenai peristiwa Akhirat seperti berlakunya
tiupan sangkakala lalu manusia terkejut dan mereka mempersoalkan siapa yang
mengejutkan mereka daripada tidur yang lama (Ayat 52). Ayat 55-58 pula adalah
mengenai dialog Ahli Syurga yang menyatakan kegembiraan mereka berada di dalam
syurga kerana mendapat buah-buahan dan semua hajat yang mereka kehendaki. Dan
ALLAH SWT juga mengatakan ucapan kesejahteraan daripada Tuhan Yang Maha
Pengasih. Ini berlaku ketika para Ahli Syurga sedang menikmati pelbagai nikmat di
Syurga, lalu ALLAH SWT datang kepada mereka dengan memperlihatkan wajah-NYA
kepada mereka. Sesungguhnya ini adalah nikmat yang paling tingggi di dalam Syurga.

4. Di akhir Surah Yaasin ini ALLAH SWT menceritakan tentang seorang lelaki biadap pada
zaman NABI SAW (dikatakan namanya adalah Ubai Bin Khalaf) yang membawa tulang
hancur berjumpa dengan NABI SAW. Baginda ditanyakan siapa yang mampu
menghidupkan tulang tersebut sedangkan ianya sudah hancur berkecai di dalam tanah
lalu ALLAH SWT menjawab bahawa jika ALLAH SWT mampu mencipta tulang yang
pada asalnya tiada, maka tidak mustahil bagi-NYA untuk menghidupkan kembali
tulang yang sudah hancur itu (Ayat 77-83).

5. Dinamakan dengan Surah As-Saffat sebagai merujuk kepada para malaikat yang
berada di dalam sof yang teratur kerana melaksanakan arahan ALLAH SWT. Ayat 1- 10
menceritakan mengenai sifat para malaikat dan langit yang dekat dihiasi dengan
bintang-bintang sebagai perhiasan langit kepada manusia. Ia juga menjadi penjaga
daripada pencerobohan jin dan syaitan. Disebabkan itulah kebanyakan orang yang
mempelajari Ruqyah membaca 10 ayat ini kerana disebut di dalamnya bagaimana jin
dan syaitan yang cuba mencuri khabar dari langit akan dikejar tahi bintang.
6. Pada ayat 11-74 diceritakan mengenai peristiwa Akhirat di mana para Ahli Neraka
saling menyalahi antara satu sama lain manakala diceritakan juga mengenai nikmat
Ahli Syurga. Perkara yang menarik di dalam ayat ini adalah bagaimana ahli syurga
bersosial sesama mereka dan mereka cuba mencari teman mereka yang dahulu
sewaktu di dunia kufur kepada ALLAH SWT. Lalu ALLAH menawarkan kepada mereka
untuk mencari teman-teman mereka yang berada di tengah-tengah neraka Jahannam
(Ayat 54).

7. Bermula ayat ke 76 hingga akhir surah ini diceritakan mengenai kisah para Nabi seperti
Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ilyas dan sebagainya. Ayat 79 merupakan
pujian kepada Nabi Nuh A.S. oleh semua makhluk di alam semesta kerana Baginda
merupakan bapa kedua manusia yang bertanggungjawab menyelamatkan zuriat
manusia.

8. Ada yang menggunakan ayat ini untuk mengelakkan bahaya dari binatang berbisa
seperti ular dan kala jengking. Namun, di sana terdapat doa yang lebih sahih daripada
NABI SAW yang terlebih dahulu sepatutnya diamalkan untuk mengelakkan diri dari
bahaya makhluq jahat termasuk binatang berbisa.

9. Ayat 83 menceritakan mengenai Nabi Ibrahim A.S. yang memusnahkan berhala,


kemudian Baginda dibakar oleh musuh dan diselamatkan ALLAH SWT. Lalu Baginda
lari menyelamatkan diri dan berdoa agar dikurniakan zuriat yang soleh (Ayat 100).
Kemudian, Nabi Ibrahim A.S. diberikan arahan untuk menyembelih anaknya sendiri
yang akhirnya digantikan dengan sembelihan yang lain (Ayat 102-107).

10. Ayat 139-148 adalah cerita berkenaan Nabi Yunus A.S. yang mana terdapat dua
perkara menarik di dalam kisah ini; i) ALLAH SWT memberitahu kenapa doa Nabi Yunus
A.S. ketika berada di dalam perut ikan dimakbulkan (Ayat 143). Ayat ini bermaksud
sejauh mana ALLAH SWT akan memakbulkan doa ketika di dalam kesusahan adalah
bergantung sebanyak mana ingatnya kita kepada ALLAH SWT ketika di dalam
kesenangan. ii) Selepas Nabi Yunus A.S. dimuntahkan oleh ikan, Baginda jatuh sakit,
kemudian ditumbuhkan sejenis pokok untuk melindungi Baginda (Ayat 145-146).
Timbul persoalan di sini kenapa ALLAH SWT menurunkan dua ayat tersebut secara
berturutan.

11. DI dalam Surah Sodd juga terdapat kisah para Nabi, antaranya Nabi Daud A.S. yang
menyelesaikan pertikaian antara dua pihak yang bertelagah (Ayat 21-26). Nasihat Nabi
Daud A.S. pada ayat 24 relevan sehingga sekarang terutama sebagai peringatan
kepada mereka yang membuat perkongsian perniagaan yang boleh melakukan
kezaliman sesama mereka kecuali orang yang beriman dan saling menjaga amanah.
12. Kisah Nabi Sulaiman A.S. juga disebut di dalam surah ini, bagaimana Baginda diuji dan
Baginda berdoa agar diberikan kerajaan dan kelebihan yang tidak akan diberikan
kepada mana-mana manusia lain selepasnya (Ayat 35). Ketika menafsirkan ayat ini,
para ulama’ mengaitkannya dengan kisah di mana NABI SAW diganggu oleh iblis
(dikatakan Jin Ifrit), lalu Baginda menangkapnya dengan izin ALLAH SWT dan
bercadang untuk mengikatnya pada tiang Masjid Nabawi agar semua manusia boleh
mengenali bagaimanakah rupa iblis. Namun Baginda SAW bersabda, kalau bukan
kerana doa Nabi Sulaiman pada ayat 35 Surah Sodd ini, pastinya manusia boleh
mengenali rupa jin dan syaitan.

13. Surah Az-Zumar yang bermaksud rombongan-rombongan merujuk kepada Ahli Syurga
dan Ahli Neraka yang berada di dalam rombongan masing-masing untuk ke destinasi
mereka (disebut di akhir surah ini). Ayat 17-18 surah ini menceritakan bagaimana
ALLAH SWT memberikan khabar gembira kepada mereka yang mendengar percakapan
manusia, lalu memilih apa yang terbaik darinya. Mereka ini adalah golongan yang
mendapat hidayah ALLAH SWT dan diberikan akal yang bijak. Berdasarkan ayat ini, kita
mesti menjadi orang yang pandai memilih yang terbaik dan ayat ini boleh dijadikan
doa untuk kita semua amalkan. Allahu a’lam.
JUZUK 24
1. Juzuk ini mengandungi tiga surah iaitu bahagian akhir Surah Az-Zumar, Surah Ghafir
(Allah Maha Pengampun) dan Surah Fussilat (Dijelaskan Segala-galanya).

2. Ayat 42 Surah Az-Zumar adalah mengenai keajaiban jiwa dan roh manusia. ALLAH SWT
memberitahu bahawa DIA yang memegang jiwa manusia ketika manusia tidur dan
mati. Oleh sebab itu, NABI SAW mengajar kita doa sebelum tidur dan selepas bangun
dari tidur ada kaitannya dengan hidup dan mati. Ayat ini juga sangat luas
perbincangannya terutama berkaitan dengan roh dan otak manusia.

3. Ayat 53-55 memberitahu kita supaya tidak berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT.
Ayat 53 merupakan ayat yang mempunyai harapan paling tinggi kerana padanya
terdapat panggilan ALLAH SWT terhadap hamba-hamba yang melampaui batas supaya
tidak berputus asa dengan rahmat-NYA. Ayat ini boleh digunakan sebagai memberi
harapan kepada hamba yang melakukan dosa dan kesalahan agar kembali bertaubat
kerana pintu taubat sentiasa terbuka.

4. Kisah berkenaan Ahli Neraka dan Ahli Syurga yang dikumpulkan bersama rombongan
masing-masing diceritakan pada bahagian akhir Surah Az-Zumar (Ayat 71-75).
Rombongan Syurga mendapat penghormatan daripada malaikat dan dibawa ke Syurga
manakala rombongan Neraka menerima penghinaan dan dibawa ke Neraka.

5. Surah Ghafir mempunyai dua maksud iaitu; i) Maha Pengampun (Ayat 3), ii) Dikenali
juga sebagai Surah Mukmin kerana padanya terdapat kisah orang beriman yang
menyembunyikan imannya (Ayat 28).

6. Ayat 7-9 menceritakan tentang Malaikat Pemikul ‘Arash yang sentiasa bertasbih
kepada ALLAH SWT dan mendoakan keampunan bagi orang beriman. Antara doa para
malaikat adalah kita dimasukkan ke dalam Syurga bersama ahli keluarga kita yang
soleh dan dijauhkan dari azab Neraka. Inilah kelebihan orang beriman yang sentiasa
didoakan oleh para malaikat walaupun ketika tidur. Semoga kita semua tergolong di
dalamnya.

7. Ayat 23-46 pula adalah berkenaan kisah Nabi Musa A.S. dan Firaun. Menariknya, di
dalam kisah ini, terdapat cerita mengenai seorang lelaki beriman yang
menyembunyikan imannya dalam kalangan bangsa Firaun, yang cuba
mempertahankan Nabi Musa A.S. daripada dibunuh (Ayat 28). Namun, nyawa beliau
juga turut terancam dan ALLAH SWT menyelamatkannya dari kejahatan bangsa Firaun
(Ayat 45).
8. Namun, keberanian Abu Bakar As-Siddiq lebih hebat dari lelaki ini. Pada suatu ketika,
Ali R.A. pernah menceritakan bahawa NABI SAW diganggu ketika berada di Kaabah.
Tiada siapa yang berani mempertahankan NABI SAW pada waktu itu melainkan Abu
Bakar As-Siddiq. Beliau mendekati NABI SAW dan melindungi Baginda SAW daripada
dipukul oleh kaum musyrikin Quraisy. Abu Bakar As-Siddiq menggunakan dialog sama
yang digunakan oleh lelaki beriman di dalam ayat 28 Surah Ghafir, “Patutkah kamu
membunuh lelaki ini semata-mata kerana dia mengatakan Tuhannya adalah ALLAH?”
Namun, Abu Bakar As-Siddiq lebih berani dari lelaki beriman tersebut kerana Abu
Bakar As-Siddiq mengisytiharkan imannya manakala lelaki tersebut menyembunyikan
imannya.

9. Ayat 47-52 menceritakan tentang peristiwa Akhirat yang mana ahli keluarga Firaun
dipertontonkan dengan azab pagi dan petang.

10. Dinamakan sebagai Surah Fussilat kerana di dalam Al-Quran dijelaskan semua perkara
sebagai panduan kepada umat manusia. Pada ayat 9-12 diceritakan mengenai
peringkat penciptaan alam semesta seperti diciptakan bumi dalam tempoh dua masa,
diciptakan gunung padanya dan diberikan keberkatan, diciptakan langit sebanyak
tujuh lapisan dalam tempoh dua masa yang lain dan sebagainya.

11. Ayat 13-18 menceritakan tentang kisah dua umat manusia yang pernah wujud di dunia
iaitu kaum ‘Aad dan kaum Tsamud manakala ayat 30 adalah mengenai kelebihan orang
yang Istiqamah dan konsisten dalam keimanannya. Mereka mendapat khabar gembira
dalam beberapa ketika iaitu; i) ketika meninggal dunia, ii) ketika berada di Alam
Barzakh, iii) ketika berada di Akhirat.

12. ALLAH SWT mengajar kita tentang cara menghindari kejahatan syaitan manusia yang
sentiasa ingin melakukan kejahatan (Ayat 34-35). Caranya adalah dengan membalas
kejahatan tersebut dengan kebaikan walaupun sukar untuk dilakukan, namun ianya
amat berkesan. Kejahatan untuk menghindari kejahatan syaitan jin adalah dengan
meminta perlindungan dari ALLAH SWT (Ayat 36).

13. Pada ayat 37 terdapat prinsip saintifik yang perlu jelas pada diri orang beriman, iaitu
walaupun terdapat kehebatan pada penciptaan malam, siang, langit dan bumi, ALLAH
SWT jualah yang selayaknya disembah. Janganlah kita terlalu kagum pada kanvas alam
ini yang menakjubkan, kerana ALLAH SWT adalah pelukis dan penciptannya. Allahu
a’lam.
JUZUK 25
1. Juzuk ini mengandungi lima surah iaitu muka surat terakhir Surah Fussilat, Surah As-
Syura (Mesyuarat), Surah Az-Zukhruf (Perhiasan), Surah Ad-Dukhan (Asap) dan Surah
Al-Jatsiah (Oang yang berlutut).

2. Ayat 53 Surah Fussilat menceritakan tentang tanda-tanda kebesaran ALLAH SWT yang
akan didedahkan sedikit demi sedikit pada tubuh badan manusia dan di ufuk alam
maya (gelombang, wifi dsb) bersesuaian dengan perkembangan ilmu manusia. Ayat ini
memberikan galakan untuk membuat kajian-kajian ilmiah yang boleh memberikan
manfaat kepada manusia dan membuktikan kebesaran ALLAH SWT.

3. Dinamakan As-Syura bersempena dengan ayat 38 surah ini yang menyatakan bahawa
antara sifat orang beriman adalah sentiasa melakukan syura (mesyuarat) untuk
mencari keputusan yang terbaik. Pada bahagian hujung ayat 11, ALLAH SWT
menyatakan bahawa tiada suatu pun yang boleh menyerupai ALLAH SWT. Justeru itu,
kita sangat dilarang untuk menyamakan ALLAH SWT dengan apa jua makhluk yang ada
di alam ini.

4. Ayat 21 Surah As-Syura menyatakan larangan mencipta syariat baru di dalam agama.
Orang yang mencipta syariat baru ini sedang mencabar kuasa ALLAH SWT kerana
seolah-olah DIA telah mewahyukan kepada orang tersebut untuk mencipta sebarang
syariat baru. Di dalam ayat 23, kita disuruh supaya berlaku baik kepada Ahlil Bait
RASULULLAH SAW manakala di dalam ayat 27-28 diceritakan mengenai rahsia rezeki
yang mana ada manusia yang dilapangkan rezeki dan ada yang disempitkan rezeki.
Kesemua itu berlaku dengan hikmahnya yang tersendiri. Ayat ini juga merupakan dalil
jelas yang memberitahu bahawa hujan adalah rahmat dari ALLAH SWT (Ayat 28). Di
atas sebab itu jugalah, antara doa yang mustajab adalah ketika turunnya hujan.

5. Ayat 29 menceritakan tentang adanya makhluq yang melata di langit dan bumi. Prof.
Dr. Wahbah Zuhaili mengatakan bahawa terdapat makhluq selain manusia manakala
malaikat tidak termasuk di dalam kategori ini kerana ALLAH menggunakan perkataan
‘Ad-Dabbah’ yang mana ianya merupakan spiesis seperti manusia dan haiwan. Justeru,
ia menjadi persoalan kepada kita untuk membuat kajian selanjutnya yang lebih
mendalam, adakah terdapat makhluq lain (yang kita namakan sebagai makhluq asing),
di planet selain Bumi? Allahu a’lam.

6. ALLAH SWT memberitahu bahawa segala musibah yang menimpa diri manusia itu
adalah disebabkan kesalahan manusia itu sendiri seperti masalah kesihatan yang
berpunca dari kelalaian kita yang tidak menjaganya dengan baik. Namun begitu,
menurut seorang Tabiin yang bernama Adhaq, seorang penghafaz Quran ditimpa
musibah melupai Al-Quran disebabkan oleh diri sendiri yang tidak mengulangkaji
hafazan yang telah dihafaz (Ayat 30).
7. Di dalam ayat 49-50 dinyatakan mengenai ujian ALLAH SWT kepada hamba-NYA. Ada
yang diberikan anak yang berbeza jantina seperti yang diinginkan dan ALLAH lah yang
menentukan jantina tersebut mengikut kehendak-NYA. Ada yang sudah ditentukan
oleh ALLAH SWT tentang jodohnya dan ada yang dijadikan mandul seperti Nabi Zakaria
A.S. pada awalnya sehinggalah Baginda dikurniakan anak.

8. Ayat 51 Surah As-Syura menceritakan tentang sifat manusia yang tidak boleh melihat
ALLAH SWT dan hanya boleh bercakap dengan-NYA melalui wahyu. Ketika peristiwa
Mikraj yang mana NABI SAW naik ke langit, sesetengah sahabat R.A. mengatakan
Baginda SAW melihat ALLAH SWT, namun Aisyah R.A. menafikan perkara tersebut
dengan membawakan beberapa dalil dari Al-Quran, antaranya ialah ayat 51 surah ini
dan ayat 103 Surah Al-An’am. Di dalam ayat 52 pula menyatakan bahawa NABI SAW
tidak pernah menyangka Baginda akan diberikan wahyu oleh ALLAH SWT.

9. ALLAH SWT menceritakan tentang pemberian nikmat-NYA yang pelbagai kepada


manusia seperti kenderaan yang disebut di dalam ayat 12-14 Surah Az-Zukhruf. Pada
ayat 13-14 terdapatnya doa yang sesuai diamalkan sebelum menaiki kenderaan. Ayat
18-19 pula adalah tempelak ALLAH SWT kepada kaum musyrikin yang mengatakan
bahawa malaikat itu adalah anak perempuan ALLAH SWT. Berdasarkan ayat ini, para
ulama’ tafsir mengatakan bahawa anak perempuan dibolehkan untuk memakai
perhiasan, tidak pada anak lelaki.

10. Kisah Nabi Ibrahim A.S. diceritakan pada ayat 26-32 yang mana menceritakan
bagaimana Baginda A.S. meletakkan kalimah Tauhid sebagai kalimah yang kekal untuk
zuriat keturunan Baginda (Ayat 28) manakala diceritakan juga mengenai kisah Nabi
Musa A.S. dan Firaun pada ayat 46-56.

11. Ayat 57 Surah Az-Zukhruf boleh disalah tafsir jika tidak difahami dan dibaca bersama
ayat 98 Surah Al-Anbiya’. Ketika NABI SAW membacakan ayat 98 Surah Al-Anbiya’
kepada kaum musyrikin, mereka berasa gementar dan berdiam diri. Namun, datang
seorang penyair, Ibnu Ziba’ri mencabar NABI SAW dengan mengatakan bahawa Nabi
Isa A.S. juga termasuk sembahan selain ALLAH yang disembah oleh orang Nasrani,
adakah Nabi Isa A.S. juga akan dimasukkan ke neraka jika berdasarkan ayat 98
tersebut? Apabila kaum musyrikin mendengar hujah ini, lalu mereka pun bersorak
gembira (seperti yang dinyatakan di dalam ayat 57 Surah Az-Zukhruf).

12. Hujah tersebut adalah hujah yang sangat rapuh kerana perkataan “wa ma” di dalam
ayat 98 Surah Al-Anbiya’ adalah merujuk kepada sesuatu yang tidak berakal seperti
berhala, patung dsb sedangkan Nabi Isa A.S. itu adalah seorang manusia.
13. Ayat 67 menceritakan tentang teman rapat kita di dunia ini akan menjadi musuh di
Akhirat kelak melainkan orang yang bertaqwa kerana persahabatan orang bertaqwa
adalah persahabatan sejati yang kekal sehingga ke Akhirat. Di dalam ayat 71 pula
diceritakan tentang nikmat syurga yang akan diberikan kepada orang yang beriman.
Menariknya, apabila Al-Quran menceritakan tentang nikmat syurga kepada kaum
lelaki, biasanya disebut perihal bidadari syurga, namun ayat 71 memberitahu nikmat
syurga secara umum yang diberikan kepada kaum perempuan. Mengapa? Ini kerana
kehendak lelaki lebih tertumpu kepada wanita manakala kehendak wanita adalah
lebih luas skopnya seperti suka kepada emas, perak, kain dan sebagainya. Ini
bermakna ALLAH SWT sangat adil dalam meraikan fitrah manusia yang pelbagai.
Subhanallah!!

14. Asap yang diceritakan di dalam Surah Ad-Dukhan bukanlah asap akhir zaman, tetapi ia
merujuk kepada asap disebabkan oleh kemarau panjang yang menimpa musyrikin di
Mekah sebagai bala ALLAH SWT kepada mereka. Ayat 12 surah ini adalah merupakan
doa kaum musyrikin agar dihindarkan azab tersebut barulah mereka akan beriman
kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Kisah kematian Firaun yang tidak diterima dan ditangisi
pun oleh langit, bumi serta penduduknya diceritakan pada ayat 29. Hal ini berbeza
dengan orang beriman yang akan ditangisi kematiannya oleh langit dan bumi.

15. Dinamakan sebagai Surah Al-Jatsiah bersempena dengan kisah manusia yang
dikumpulkan di Mahsyar kelak, mereka berada dalam keadaan ketakutan yang
teramat sangat tatkala melihat azab ALLAH SWT. Lalu mereka jatuh berlutut di atas
lutut mereka dan tidak mampu lagi berdiri dek kerana terlampaunya rasa takut yang
menimpa diri mereka. Mesej utama surah ini adalah pada ayat 23 yang mengatakan
bahawa nafsu boleh menjadi tuhan sembahan manusia yang gila. Nafsu hanyalah
sebagai pelengkap di dalam kehidupan manusia. Tanpa nafsu, manusia mungkin tidak
akan berkembang, namun keterlaluan mengikut nafsu menjadikan manusia lebih teruk
berbanding haiwan. Allahu a’lam.
JUZUK 26
1. Juzuk ini mengandungi enam surah iaitu Surah Al-Ahqaf (Bukit Pasir), Surah
Muhammad, Surah Al-Fath, Surah Al-Hujurat, Surah Qaf & Surah Adz-Dzariyat.

2. Surah Al-Ahqaf bermaksud bukit pasir. Ia adalah tempat tinggal Kaum ‘Aad, bertempat
di Yaman yang diutuskan kepada mereka Nabi Hud A.S. Ayat 4 surah ini mempunyai
satu perkataan yang perlu dibaca dengan cara yang unik dan tidak mengikut kaedah
yang biasa (‫)ائْتُونِي‬. Ayat 9 pula adalah penegasan NABI SAW bahawa Baginda tidak
mengetahui perkara ghaib manakala ayat 15 adalah perbincangan tentang
tanggungjawab seorang anak untuk berlaku baik terhadap ibu bapa.

3. Ayat 15 ini menekankan untuk berbakti kepada ibu dek kerana tempoh kandungan
dan susuannya adalah selama 30 bulan. Di dalam ayat 223 Surah Al-Baqarah
dinyatakan bahawa tempoh penyusuan lengkap selama 2 tahun lengkap. Jadi, tempoh
minimum mengandung adalah selama 6 bulan. Berdasarkan fakta inilah, para ulama’
berfatwa, kandungan yang berusia 6 bulan dan ke atas dikira sebagai anak sah taraf.
Ayat ini juga membincangkan umur dewasa bagi seorang lelaki adalah 40 tahun. Jadi,
dinasihatkan kepada mereka yang telah mencapai umur ini agar segera bermuhasabah
tentang diri sendiri dan mentaati ALLAH SWT.

4. Ayat 20 pula ALLAH menyatakan tentang hari di mana orang kafir didedahkan dengan
azab neraka, lalu hilanglah semua kenikmatan yang mereka rasai ketika di dunia dulu.
Para sahabat sangat bimbang perkara ini berlaku ke atas mereka ketika membaca ayat
ini. Menariknya, pada ayat 29-32, terdapat kisah mengenai sekumpulan jin yang
dihadapkan oleh ALLAH SWT kepada RASULULLAH SAW untuk diperdengarkan bacaan
Al-Quran. Lalu para jin ini pulang dan berdakwah kepada bangsa mereka. Adab supaya
fokus dan diam apabila mendengar Al-Quran dibacakan disebut di dalam ayat 29 Surah
Al-Ahqaf ini sama seperti ayat 204 Surah Al-A’raf.

5. Dinamakan Surah Muhammad bersempena dengan nama NABI SAW kerana di awal
surah ini disebut mengenai Baginda SAW. Ayat 4 surah ini menceritakan tentang apa
yang perlu dilakukan semasa dan selepas peperangan. Ayat ini sering disalah fahami
oleh sesetengah golongan ekstrem yang mengatakan bahawa Islam memberi
kebenaran untuk umatnya memenggal kepala orang kafir. Walhal, ayat 4 ini perlu
difahami di dalam konteks peperangan.

6. Ayat 15 Surah Muhammad menceritakan tentang empat batang sungai yang ajaib di
dalam Syurga iaitu; i) Sungai dari air bersih yang tidak berubah warna dan rasa, ii)
Sungai dari susu yang tidak berubah warna dan rasa, iii) Sungai dari arak yang boleh
diminum dan iv) Sungai dari madu yang bersih.

7. Di dalam ayat 19 pula, NABI SAW diminta agar berdoa untuk keampunan di atas dosa
yang dilakukan dan memohon keampunan untuk seluruh orang beriman. Dua perkara
menarik di dalam ayat ini; 1) ALLAH SWT mengajar NABI SAW supaya bersikap rendah
diri, walaupun Baginda adalah seorang yang maksum (dilindungi dari melakukan
dosa), Baginda SAW pun digalakkan untuk berdoa, ii) Selitkan bersama doa memohon
keampunan untuk seluruh orang beriman, lelaki dan perempuan di dalam doa.

8. Ayat 37-38 adalah nasihat ALLAH SWT kepada umat Islam supaya bersedekah.
Sesungguhnya sedekah yang diminta itu cumalah sedikit kerana ianya boleh
menyebabkan kamu menjadi bakhil dan menimbulkan kemarahan, dengki dan
sebagainya. Inilah hikmah pengeluaran zakat yang mana ianya dapat membersihkan
jiwa dan hati manusia dari sifat buruk.

9. Surah Al-Fath bermaksud Pembukaan atau Kemenangan. Secara umumnya surah ini
adalah kisah mengenai kemenangan Umat Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah dan
surah ini sangat menggembirakan hati RASULULLAH SAW. Pada ayat 27, ALLAH SWT
membenarkan mimpi yang dilihat oleh NABI SAW yang mana Baginda bermimpi
menunaikan umrah bersama-sama dengan para sahabat R.A. Berikutan mimpi
tersebut, NABI SAW keluar menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah pada tahun
ke-6 Hijri. Namun, Baginda SAW dihalang dan termeterai lah Perjajian Hudaibiyah.

10. Surah Al-Fath turun sekembalinya NABI SAW dari Hudaibiyah. ALLAH SWT
memberikan jaminan kemenangan dan kejayaan untuk umat Islam seluruhnya. Para
ulama’ mentafsirkan, jika tidak terjadinya Perjanjian Hudaibiyah dan umat Islam tidak
dihalang, sudah tentu kemenangan Islam dalam menakluki semula Mekah pada tahun
ke-8 Hijrah tidak akan berlaku.

11. Surah Al-Hujurat yang bermaksud bilik-bilik, membincangkan tentang adab-adab


bersosial. Surah ini sangat sesuai untuk difahami dan dihayati pada era penggunaan
media sosial yang tiada sempadan seperti hari ini. Berita disebar tanpa disemak
kesahihannya, ejek-mengejek sesama manusia, sindir-menyindir berlaku, berburuk
sangka, mengumpat secara besar-besaran dan sebagainya. Semua adab dan sikap
yang sepatutnya diamalkan ketika bersosial sesama manusia, diajar dan diberitahu di
dalam Surah Al-Hujurat. Ianya juga boleh menjadi benteng penghalang dari terlibat di
dalam dosa-dosa sosial yang berlaku tanpa kita sedari.

12. Surah Qaf yang merupakan Surah Makkiyyah (diturunkan di Mekah) menceritakan
perihal Akhirat. Di dalam ayat 18 surah ini, ALLAH SWT menyatakan bahawa setiap
perkataan yang kita sebut akan dicatat oleh malaikat samada yang baik mahupun yang
buruk. Pada zaman media sosial yang berleluasa, segala tulisan yang ditulis oleh
tangan juga akan dicatat dan dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak.

13. Ayat 22 pula menceritakan perihal Hari Kebangkitan di mana manusia dibangkitkan
semula dan diperlihatkan suasana Akhirat yang dahulunya mereka tidak percaya dan
beriman dengannya. Allahu a’lam.
JUZUK 27
1. Juzuk ini mengandungi tujuh surah bermula dari surah ke-51 iaitu Surah Adz-Dzariyat
sehingga Surah Al-Hadid.

2. Adz-Dzariyat bermaksud angin yang bertiup. Ayat 56 surah ini membincangkan


tentang tujuan utama jin dan manusia diciptakan iaitu untuk beribadat kepada ALLAH
SWT. Ayat ini perlu difahami sebaiknya dengan menghayati ayat-ayat seterusnya di
mana ALLAH mengatakan bahawa DIA tidak sekali pun memerlukan makhluq, bahkan
makhluq lah yang memerlukan ALLAH SWT kerana DIA yang Maha Pemberi Rezeki dan
Maha Kukuh kekuasaan-NYA (Ayat 57-58). Berdasarkan tiga ayat ini, para ulama’
menafsirkan bahawa ALLAH SWT sangat marah pada hamba-NYA yang sibuk mencari
rezeki sehingga lupa menunaikan solat kerana ianya seolah-olah menjadikan
majikannya sebagai tuhan yang memberi rezeki.

3. Dinamakan dengan nama At-Tur kerana di awal surah ini ALLAH SWT bersumpah
dengan Gunung Tursinai. ALLAH SWT juga bersumpah dengan beberapa perkara lain
di dalam surah ini selain Gunung Tursinai, iaitu seperti bersumpah dengan Kaabah di
Mekah dan lautan yang mempunyai api di dalamnya.

4. Di dalam Surah At-Tur juga diceritakan tentang balasan bagi orang yang menentang
ALLAH SWT dan ganjaran bagi mereka yang beriman dengan-NYA. Menariknya, ALLAH
SWT berjanji bahawa orang beriman akan dikumpulkan bersama dengan zuriat
keturunan mereka di Syurga kelak, dengan syarat mereka semua beriman kepada
ALLAH SWT (Ayat 21). Ayat 25-28 adalah perkumpulan semula (reunion) ahli Syurga
yang mana mereka saling berkata tentang amalan mereka di dunia yang menyebabkan
mereka diberikan ganjaran syurga.

5. Peristiwa menarik di dalam Surah An-Najm (Bintang) adalah berkaitan dengan kisah
NABI SAW naik ke langit di dalam peristiwa perjalanan Isra’ dan Mikraj. Bukti NABI
SAW Isra’ (bergerak dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa) berada pada ayat pertama
Surah Al-Isra’ manakala Mikraj NABI SAW (naik ke langit) diceritakan di dalam Surah
An-Najm bermula ayat pertama sehingga ayat 18 yang mana berkaitan dengan apa
yang telah disaksikan oleh Baginda SAW di langit.

6. Ayat 32 Surah An-Najm adalah teguran ALLAH SWT kepada manusia supaya tidak
memuji diri sendiri kerana bersih dari segala dosa kerana hanya DIA yang tahu
siapakah yang bertaqwa dalam kalangan hamba-NYA. Larangan ini bermaksud kita
tidak boleh beranggapan bahawa diri kita lebih baik dan lebih suci dari dosa
berbanding orang lain. Menariknya, sekali lagi prinsip di dalam Islam diceritakan pada
ayat 38-39 yang mana tiada sesiapa yang akan menanggung dosa orang lain melainkan
dosanya sendiri. ALLAH SWT memberitahu ketawa dan menangis itu adalah bukti
kekuasaan-NYA (Ayat 43). Namun begitu, kita tidak dibenarkan untuk ketawa secara
berlebihan kerana ianya boleh menyebabkan hati kita mati dan memudharatkan
kesihatan rohani.

7. Surah Al-Qamar (Bulan) menceritakan tentang kisah-kisah Nabi A.S. seperti Nabi Nuh,
Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Lut dan sebagainya. Di awal surah ini, diceritakan tentang
NABI SAW yang diberikan mukjizat membelah bulan (Ayat 1-2). Ayat 44-45 diturunkan
di Mekah dan Aisyah R.A. pada ketika itu masih lagi seorang kanak-kanak. Namun
kedua-dua ayat ini dibaca semula oleh NABI SAW di dalam Perang Badar selepas
Baginda SAW berdoa. Ini menunjukkan bukti kekuasaan ALLAH SWT yang mengetahui
apa yang akan berlaku pada masa hadapan kerana ayat ini diturunkan sebelum
berlakunya peristiwa tersebut.

8. Surah Ar-Rahman bermaksud ALLAH SWT yang Maha Pemurah dan kemuncak sifat
Pemurah ALLAH SWT disebut di dalam ayat 1-2 yang mana surah ini dimulakan dengan
menyebut AL-Quran. Ini menunjukkan bahawa Al-Quran adalah bukti ALLAH SWT
Maha Pemurah. Dengan adanya Al-Quran, semua perkara wujud. Di dalam surah ini
diulang sebanyak 31 kali ayat sama yang menyoal sekalian manusia dan jin, apakah
nikmat ALLAH SWT yang hendak didustakan?

9. Di dalam Surah Ar-Rahman ini juga terdapat kisah ahli Neraka (Ayat 35-45) dan ahli
Syurga (46-78). Terdapat dua jenis syurga diceritakan di dalam surah ini iaitu Syurga
Kelas Tinggi dan Syurga Kelas Rendah.

10. Sebahagian ulama’ tafsir membuat empat pecahan pada 31 ayat sama yang diulang-
ulang dalam surah ini, iaitu (8-7-8-8); i) Lapan pengulangan yang pertama adalah
berkenaan pelbagai nikmat ALLAH SWT berikan, nikmat yang manakah manusia dan
jin akan beriman? ii) Tujuh pengulangan yang berikutnya diulang kepada ahli Neraka,
kerana pada Neraka itu terdapat tujuh pintu, iii) Lapan pengulangan yang berikutnya
apabila menceritakan tentang nikmat Syurga Kelas Tinggi dan, iv) Lapan pengulangan
yang terakhir apabila diceritakan tentang nikmat Syurga Kelas Rendah. Lapan kali
pengulangan ini kerana pada Syurga itu terdapat lapan pintu.

11. Pecahan ini juga bermaksud, sesiapa yang beriman dengan lapan nikmat yang
pertama, akan dihindarkan dari tujuh yang kedua (iaitu Neraka) dan akan dimasukkan
pada salah satu lapan yang ketiga (Syurga Kelas Tinggi) atau lapan yang keempat
(Syurga Kelas Rendah). Ini antara contoh keajaiban Surah Ar-Rahman.

12. Surah Al-Waqi’ah menceritakan perihal peristiwa Kiamat. Jadi, kurang tepat untuk
mengatakan bahawa sesiapa yang membaca surah ini akan dimurahkan rezeki kerana
tiada dalil yang sahih mengatakan begitu. Isi kandungan sebenar surah ini
menceritakan tentang tiga kumpulan yang terbentuk apabila berlakunya kiamat.
Kumpulan Pertama adalah golongan yang mempunyai keimanan yang tinggi terhadap
ALLAH SWT dan Rasul-NYA (Ahli VIP Syurga). Kumpulan Kedua adalah golongan yang
menerima buku amalan dengan tangan kanan (Ahli Syurga) manakala Kumpulan
Ketiga (Ahli Neraka) adalah golongan yang menerima buku amalan dengan tangan kiri.
Apabila membaca surah ini, berdoalah supaya dimasukkan bersama Kumpulan
Pertama dan Kedua dan dihindarkan dari menjadi Golongan Ketiga.

13. Pada awal Surah Al-Hadid (Besi) diceritakan tentang kelebihan bersedekah (Ayat 7),
yang mana ALLAH SWT mengatakan harta yang ada di sisi kita adalah milik ALLAH SWT
dan kita hanyalah pemegang amanah sahaja. Ayat 10 menceritakan tentang
perbezaan ganjaran yang diterima oleh para sahabat yang bergantung pada ketika
mana mereka beriman samada sebelum atau selepas Pembukaan Kota Mekah. Ayat
22-23 menceritakan tentang segala yang berlaku di bumi tidak terjadi dengan
kebetulan melainkan ianya telah berada di dalam pengetahuan ALLAH SWT. Ayat 25
mnceritakan tentang asal-usul kejadian besi yang mana asalnya adalah daripada langit.

14. Dalam ayat 25, diturunkan dua perkara kepada Rasul yang diutuskan oleh ALLAH SWT,
iaitu Kitab yang mempunyai neraca timbangan ilmu dan besi. Ulama’ berpendapat
bahawa kedua-dua perkara itu (Kitab dan Besi) adalah bagaimana Islam yang akan
dibawa oleh para Rasul dan ianya adalah kiasan yang membawa maksud; i) Kitab
sebagai hujah dan, ii) Besi itu adalah Peperangan yang berlaku untuk
mempertahankan diri dan mesti diikuti bersama dengannya Adab Berperang.

15. Dalam pendapat lain pula, ALLAH SWT menggunakan perkataan (Kami Turunkan)
untuk kedua-dua perkara tersebut untuk menjaga keaslian dan kehebatan Bahasa Al-
Quran. Kemudian hujah ini dikuatkan dengan mengatakan bahawa segala perkara
yang ada di bumi adalah sebenarnya berasal dari langit seperti air dan juga besi (di
dalam ayat ini) dan ianya berlaku ketika fasa awal penciptaan alam semesta. Allahu
a’lam.
JUZUK 28
1. Juzuk ini dimulakan dengan kisah utama di dalam Surah Al-Mujadalah, iaitu berkenaan
seorang wanita yang telah diziharkan oleh suaminya lalu beliau mengadu kepada NABI
SAW. Aisyah R.A. mengatakan bahawa ALLAH SWT memang Maha Mendengar dan
Maha Melihat kerana ketika wanita tersebut mengadu kepada NABI SAW dalam
keadaan berbisik, Aisyah R.A. hanya mendengar secara sayup-sayup sahaja. Selepas
itu, turun beberapa ayat awal surah ini menceritakan perihal zihar dan hukum
berkaitannya (Ayat 1-4).

2. Ayat 10 menceritakan tentang bisikan yang umumnya mengandungi elemen negatif


seperti mengumpat, membuat perancangan jahat dan sebagainya. Ianya adalah hasil
daripada hasutan syaitan. Ayat 11 pula menceritakan tentang adab di dalam majlis
seperti melapangkan tempat di dalam sesuatu majlis supaya lebih ramai boleh masuk,
memenuhi ruang kosong dan sebagainya. Adab ini adalah seruan untuk orang-orang
beriman.

3. Surah AL-Hashr (Pengusiran) adalah kisah berkaitan dengan pengusiran kaum Yahudi
Bani Nadhir dari Madinah kerana mereka cuba untuk membunuh NABI SAW (Ayat 2-
7). Di dalam surah ini juga diceritakan berkenaan kualiti beberapa kategori sahabat
NABI SAW R.A. seperti golongan Ansar yang disebut oleh ALLAH SWT di dalam ayat 9
kerana mempunyai sifat terpuji iaitu itsar (mengutamakan orang lain melebihi diri
sendiri). Bulan Ramadhan mengajar kita untuk menanam sifat ini di dalam diri. Ayat
11-16 adalah mengenai persekutuan yang wujud antara Yahudi di Madinah dan
golongan munafiq.

4. Ayat 21-24 menceritakan tentang bagaimana bukit akan hancur jika diturunkan Al-
Quran padanya kerana takutkan ALLAH SWT dan kalam-NYA (Al-Quran). Di dalam ayat-
ayat ini juga disebut beberapa nama ALLAH SWT yang menggambarkan sifat-NYA dan
sangat bagus untuk kita masukkan di dalam doa kita.

5. Surah Al-Mumtahanah (Wanita yang Diuji) turun selepas Perjanjian Hudaibiyah yang
ditandatangani pada tahun ke-6 Hijrah. Di antara isi Perjanjian tersebut adalah orang
Mekah yang lari ke Madinah, hendaklah dihantar pulang manakala orang Madinah
yang murtad dan pergi ke Mekah tidak perlu dihantar semula. Ada seorang wanita
Muslim yang lari ke Madinah dari suaminya yang kafir di Mekah dan mengikut
perjanjian ini, wanita tersebut perlu dihantar pulang. Namun, ALLAH SWT
menurunkan ayat 10-11 surah ini, memberikan pengecualian kepada wanita itu kerana
perjanjian yang disebut di atas hanya tertakluk kepada kaum lelaki. Bagi kes wanita
tersebut, orang Madinah perlu membayar mahar perkahwinan kepada bekas
suaminya yang kafir.

6. Kisah menarik di dalam Surah Al-Mumtahanah adalah berkenaan Hatib bin Abi
Balta’ah, seorang sahabat NABI SAW dan merupakan Ahli Badar. Apabila RASULULLAH
SAW membuat perancangan untuk menggempur Kota Mekah pada tahun ke-8 Hijrah,
Hatib secara senyap-senyap mengirim surat kepada keluarganya di Mekah supaya
bersiap sedia. Lalu ALLAH SWT menyampaikan berita tersebut kepada NABI SAW
melalui Malaikat Jibril A.S. dan kemudiannya Baginda SAW menghantar 3 orang
sahabat untuk menyekat pembawa surat dan mengambil surat tersebut.

7. Apabila sampai surat itu kepada RASULULLAH SAW, Baginda bertanya kepada Hatib
mengapa bertindak demikian. Lalu Hatib menjawab, beliau tidak berniat untuk
membocorkan rahsia perancangan RASULULLAH SAW, namun beliau bimbang akan
keselamatan keluarganya kerana tiada penjaga. Walaupun Umar Al-Khattab ingin
membunuh Hatib dek kerana tindakannya yang boleh memusnahkan rancangan
RASULULLAH SAW, Baginda menghalang Umar kerana Ahli Badar mempunyai
kedudukan istimewa di sisi ALLAH SWT.

8. ALLAH SWT menurunkan ayat 1-3 Surah AL-Mumtahanah sebagai teguran kepada
orang beriman agar tidak mengambil musuh yang memusuhi Islam sebagai teman
rapat. Di dalam ayat 8-9 diceritakan berkenaan dua kategori orang kafir, iaitu yang
tidak memusuhi Islam (Kafir Zimmi) dan yang memusuhi Islam (Kafir Harbi).

9. Surah As-Soff (Bersaf-saf) menceritakan bagaimana ALLAH SWT sangat menyukai


orang yang ingin berjuang di jalan ALLAH dalam saf-saf tertentu yang diumpamakan
dengan sebuah binaan yang kukuh (Ayat 4). Terdapat juga kisah Nabi Musa A.S. yang
disakiti oleh Bani Israil (Ayat 5) dan Nabi Isa A.S. yang memberi khabar gembira akan
datang seorang Nabi selepasnya yang bernama Ahmad (Ayat 6). Ini adalah petanda
yang disebut di dalam Kitab Taurat dan Injil tentang kelahiran Nabi akhir zaman iaitu
RASULULLAH SAW.

10. Diceritakan tentang teguran ALLAH SWT kepada Yahudi Madinah di dalam Surah Al-
Jumu’ah kerana merasakan mereka adalah wali (ayat 6). Diceritakan juga tentang
kepentingan Solat Jumaat dan suruhan ALLAH SWT agar keluar mencari rezeki (Ayat
9-11).

11. Surah Al-Munafiqun pula kisah mengenai orang munafiq. Apa yang menarik adalah
pada ayat 10 yang menceritakan perkara yang akan kita kesali selepas kita mati, iaitu
sedekah kerana tidak sempat melakukannya ketika hidup di dunia. ALLAH SWT
menyuruh kita bersedekah daripada apa yang telah direzekikan kepada kita. Maka
bersedekah lah pada waktu sekarang, bukan mengharap ketika ajal datang.

12. Surah At-Taghabun menceritakan tentang Hari Kiamat sebagai hari penyesalan. Ayat
14 adalah peringatan bahawa isteri dan anak-anak boleh menjadi musuh kepada diri
kita yang menghalang dari melakukan kebaikan. Kisah di sebalik ayat ini adalah
berkenaan beberapa orang Muslim yang memeluk Islam di tangan NABI SAW ketika di
Mekah. Apabila diberikan arahan agar berhijrah ke Madinah, golongan ini enggan
berhijrah kerana sayangkan anak dan isteri mereka, lalu ALLAH SWT menurunkan ayat
ini sebagai teguran kepada mereka.

13. Surah At-Talaq mengisahkan perihal cerai, tempoh iddah, hak wanita dan sebagainya.
Ayat yang paling popular dalam kalangan masyarakat Melayu terdapat pada bahagian
akhir ayat 2 dan keseluruhan ayat 3, yang dikenali sebagai Ayat Seribu Dinar. Secara
konteksnya, di awal ayat kedua, ALLAH menceritakan apabila telah habis tempoh
iddah seorang isteri, maka suami mempunyai dua pilihan samada bercerai ataupun
merujuk kembali isterinya. Kemudian ALLAH SWT memberikan jaminan bahawa jika
kita bertaqwa kepada-NYA, maka akan ditunjukkan pilihan yang terbaik kepada kita.
Secara umumnya, berdasarkan ayat ini, jika kita bertaqwa kepada ALLAH SWT, maka
ALLAH akan memudahkan rezeki kita.

14. Surah At-Tahrim (Pengharaman) menceritakan teguran ALLAH SWT kepada NABI SAW
yang bersumpah untuk mengharamkan apa yang dihalalkan oleh ALLAH demi menjaga
hati isteri-isteri Baginda SAW (Ayat 1). ALLAH SWT juga memberi amaran kepada isteri-
isteri Baginda bahawa mereka boleh diceraikan atas arahan ALLAH SWT dan
menggantikan mereka dengan wanita yang lebih baik (Ayat 4-5). ALLAH SWT
memerintahkan ketua keluarga agar menjaga isteri dan anak-anak dari diazab di
Akhirat kelak (Ayat 6).

15. ALLAH SWT juga memberikan suruhan agar kita bertaubat dengan taubat yang
sungguh-sungguh (Taubat Nasuha) kerana taubat ini akan memasukkan kita ke dalam
Syurga ALLAH SWT (Ayat 8). Ayat 10 menceritakan tentang isteri yang berada di bawah
dua orang soleh (Nabi Nuh dan Nabi Lut), namun keduanya mengkhianati suami
mereka, lalu mereka dihumban ke dalam neraka. Ini menjadi salah satu dalil bahawa
suami tidak akan menanggung dosa isteri melainkan akan hanya menanggung dosa
kerana tidak mendidik isteri. Allahu a’lam.
JUZUK 29
1. Juzuk ini mengandungi 11 surah yang bermula dengan Surah Al-Mulk dan berakhir
dengan Surah Al-Mursalat
.
2. Di awal Surah Al-Mulk (Kerajaan), diceritakan tentang kekuasaan ALLAH SWT (Ayat 1).
ALLAH meminta kita ulang pandang ke langit untuk mencari kecacatan ciptaan Tuhan
(Ayat 3-4) yang mana sudah pastinya kita tidak akan menemuinya. Sesetengah ulama’
berpandangan perkataan ‘ulang pandang’ pada ayat ini bersamaan dengan prinsip
kajian ilmiah sesuatu perkara yang bermula dengan persoalan dan akhirnya menemui
jawapan yang meyakinkan.

3. Pada ayat 6-7 Surah Al-Mulk, ALLAH menceritakan bagaimana Neraka menjerit kerana
marah terhadap ahli Neraka yang dicampakkan ke dalamnya. Terdapat ahli Neraka
yang menyesal tidak mendengar dan berfikir tentang peringatan yang diberikan
kepada mereka ketika hidup di dunia (Ayat 10). ALLAH SWT juga menceritakan tentang
kuasa-NYA yang boleh menarik kembali air yang telah diberikan kepada manusia (Ayat
30). Maka bersyukurlah dengan kurniaan air yang telah ALLAH berikan kepada kita.

4. Dinamakan dengan Surah Al-Qalam (Pena) kerana ALLAH SWT telah bersumpah
dengannya di awal surah ini (Ayat 1). Qalam adalah antara makhluq awal yang
diciptakan dan diperintah kepadanya untuk menulis taqdir yang akan berlaku di dunia.
Ayat 16 adalah kisah mengenai lelaki Quraish yang dicela oleh ALLAH SWT (dikatakan
namanya adalah Al-Walid bin Mughirah). Di dalam ayat ini ALLAH SWT berkata akan
meletakkan tanda di atas hidungnya. Buktinya, ketika mayatnya ditemui selepas
Perang Badar, hidungnya telah terputus akibat dipotong oleh tentera Islam.

5. Di dalam surah ini juga terdapat kisah beberapa pemilik kebun yang mengelak dari
mengutip hasil kebun pada waktu biasa bagi mengelakkan dari bertemu dengan orang
miskin yang menunggu untuk meminta sedekah, lalu ALLAH memusnahkan kebun
mereka dan mereka menyesal (Ayat 17-27).

6. Surah Al-Haqqah adalah nama lain bagi Kiamat, iaitu hari yang pasti akan terjadi. Di
dalam surah ini diceritakan peristiwa Kiamat seperti adanya golongan yang diberikan
kitab amalan dengan tangan kanan, ada yang terima dengan tangan kiri dan
sebagainya (Ayat 19 & 25). ALLAH SWT juga menegaskan bahawa NABI SAW tidak
sekali-kali mencipta Al-Quran, bahkan DIA memberi amaran kepada NABI SAW agar
tidak mereka-reka sesuatu atas nama ALLAH, kerana balasannya akan dipotong urat
jantung Baginda SAW (Ayat 44-47). Sehingga Baginda SAW wafat, Baginda tidak
pernah dipotong urat jantung dan ini membuktikan kebenaran NABI SAW dan
ajarannya.

7. Surah Al-Ma’arij (Tempat Naik) menceritakan tentang amalan manusia yang dibawa
oleh malaikat naik ke langit pada setiap hari (Ayat 4). Diceritakan juga di dalam surah
ini tentang sifat manusia yang keluh-kesah kerana kesusahan dan bersikap kedekut,
lalu ALLAH SWT memberitahu cara mengubati sifat ini adalah dengan menunaikan
solat, membayar zakat, beriman dengan Hari Akhirat dan sebagainya (19-34).

8. Surah Nuh adalah kisah berkenaan Nabi Nuh A.S. dari awal sehingga ke akhir surah. Di
hujung surah ini, Nabi Nuh A.S. mendoakan agar kaumnya dimusnahkan kerana sudah
tiada harapan lagi untuk mereka beriman kepada ALLAH SWT.

9. Surah Al-Jin diturunkan secara lengkap menceritakan perihal jin. Dunia jin adalah salah
satu perkara ghaib yang tidak kita ketahui melainkan dengan panduan dari Al-Quran
dan Hadis NABI SAW. Para jin mula beriman dengan RASULULLAH SAW setelah
kumpulan pertama jin mendengar bacaan Al-Quran Baginda SAW (Ayat 1-3). Sebelum
kebangkitan NABI SAW, para jin ini biasanya akan naik ke langit dan mencuri dengar
berita langit. Namun selepas Baginda SAW dilantik menjadi Nabi, mereka tidak lagi
mampu mengetahui berita langit kerana dijaga oleh ALLAH SWT (Ayat 8-10).

10. Ayat 11 menceritakan terdapatnya golongan soleh dan sebaliknya dalam kalangan jin.
Pada bahagian akhir ayat ini dikatakan para jin mempunyai jalan yang berbeza-beza.
Ulama’ mentafsirkan ayat ini bahawa di dalam dunia jin juga wujudnya pelbagai
agama, mazhab, tahap keimanan, budaya dan sebagainya. ALLAH SWT juga
menegaskan bahawa hanya DIA yang mengetahui perihal ghaib dan perkara itu tidak
akan didedahkan kepada sesiapa melainkan orang tertentu (Para Nabi dan Rasul).

11. Surah Al-Muzzammil (Orang Berselimut) adalah di antara surah awal yang diturunkan
kepada NABI SAW yang mana Baginda dikejutkan oleh ALLAH SWT untuk bangun
menunaikan solat malam (Qiamullail). Kelebihan malam adalah kerana pada waktu itu
suasana lebih tenang dan lebih fokus untuk beribadat kepada ALLAH SWT (Ayat 6).
Surah ini juga memberitahu kepentingan untuk membaca Al-Quran secara tartil dan
bertajwid bersama dengan penghayatan terhadap ayat-ayat Al-Quran (Ayat 2).

12. Surah Al-Muddattsir juga bermaksud Orang Berselimut. Apa yang berbeza adalah di
dalam Al-Muzzammil, RASULULLAH SAW dikejut untuk menunaikan solat malam
manakala di dalam Surah Al-Muddattsir, Baginda SAW dikejut untuk bangun
memberikan peringatan. Baginda dilantik sebagai Nabi dengan turunnya Surah Al-
‘Alaq (Ayat 1-5) manakala Baginda SAW dilantik sebagai Rasul apabila turunnya Surah
Al-Muddattsir (Ayat 1-2).

13. Antara kisah lain di dalam surah ini adalah bilangan Malaikat yang berada di dalam
Neraka sebanyak 19 Malaikat (Ayat 30). Angka yang unik ini menjadi persoalan yang
membingungkan kaum musyrikin Mekah, namun ia menjadi penyebab berimannya
para Ahli Kitab kerana bilangan yang sama diceritakan di dalam Kitab Taurat.

14. Surah Al-Qiyamah banyak menceritakan peristiwa di Hari Akhirat kelak. Antaranya,
wajah Ahli Syurga yang berseri-seri kerana melihat wajah Tuhan mereka (Ayat 22-23).
Ini adalah nikmat yang paling tinggi yang akan kita perolehi apabila dimasukkan ke
Syurga nanti. Insya-ALLAH. Surah Al-Insaan juga menceritakan peristiwa Hari Akhirat
yang mana ia banyak membincangkan tentang nikmat yang akan dinikmati oleh Ahli
Syurga seperti pakaian yang diperbuat dari sutera, dihiasi dengan perhiasan dan
diberikan minuman yang suci (Ayat 21).

15. Surah terakhir di dalam juzuk ini iaitu Surah Al-Mursalat (Angin yang bertiup secara
berterusan) juga membincangkan peristiwa Hari Akhirat yang mana manusia nanti
akan dibahagikan kepada dua; Ahli Syurga dan Ahli Neraka. Di dalam ayat 25-26,
ALLAH SWT menceritakan fungsi Bumi iaitu tempat simpanan orang hidup (di atas
Bumi) dan yang mati (di dalam Bumi). Berdasarkan ayat ini, ulama’ bersepakat
menyatakan hukum di atas Bumi adalah sama dengan hukum di dalamnya. Contohnya,
jika seseorang itu disabitkan dengan kesalahan mencuri, akan dipotong tangannya
(berdasarkan ayat Hudud) manakala hukum yang sama terpakai kepada pencuri kain
kafan yang mencurinya daripada mayat-mayat yang ditanam di dalam Bumi. Allahu
a’lam.
113
113

113
113
113 113

113

113

113

113
113
113

113
113

113
113
113
113 113
113
113
113
113
113
113

113 113
JUZUK 30
1. Juzuk terakhir ini mengandungi 37 surah bermula dari Surah An-Naba’ sehingga surah
terakhir iaitu Surah An-Naas.

2. Kebanyakan surah di dalam juzuk ini menceritakan berkenaan Kiamat seperti Surah
An-Naba, An-Nazi’at, Surah ‘Abasa, Surah At-Takwir, Al-Infitor, Al-Insyiqaq, Surah Al-
Ghashiyah dan sebagainya.

3. Terdapat sedikit kisah berkenaan Nabi Musa dan Firaun di dalam Surah An-Nazi’at
yang mana Firaun mengaku dirinya sebagai tuhan pada ayat 15-26 manakala pada
bahagian awal Surah ‘Abasa adalah teguran ALLAH SWT kepada NABI SAW kerana
Baginda berpaling dan tidak melayan soalan seorang sahabat yang buta, iaitu Abdullah
bin Umi Maktum (Ayat 1-12).

4. Ayat 8-9 Surah At-Takwir adalah berkenaan bayi yang ditanam hidup-hidup.
Sebahagian dari kita akan mengaitkan ayat ini dengan kisah Umar Al-Khattab sebelum
beliau memeluk Islam yang mana popular di kalangan kita, beliau membunuh anaknya
hidup-hidup. Tiada riwayat yang sahih untuk kisah tersebut dan ianya adalah tidak
benar serta merupakan fitnah terbesar ke atas diri sahabat NABI SAW tersebut. Isteri
NABI SAW yang bernama Hafsah adalah anak sulung Umar Al-Khattab, jadi anak yang
manakah dibunuh oleh beliau?

5. Diceritakan berkenaan orang yang menipu di dalam Surah Al-Mutoffifin yang mana
mereka diancam dengan azab yang amat berat di Akhirat kelak. Bermula ayat 7
sehingga akhir surah adalah kisah berkenaan kitab amalan dan tempat akhir bagi Ahli
Syurga dan Ahli Neraka. Menariknya, pada ayat 29 surah ini, ALLAH SWT menempelak
kembali orang musyrikin yang dahulunya mentertawakan orang beriman, dan di
Akhirat kelak, mereka akan ditertawakan oleh orang beriman yang telah mendapat
nikmat Syurga.

6. Di dalam Surah Al-Buruj, terdapat kisah berkenaan parit yang dipenuhi dengan api
yang besar. Ianya dibuat oleh seorang raja di satu negeri yang taksub dengan
agamanya sendiri dan membakar rakyat negerinya yang beriman kepada ALLAH SWT
(Ayat 4-10). Kisah ini diceritakan secara panjang lebar di dalam Hadis NABI SAW dan
terkenal dengan tajuk ‘Ghulam Dakwah’ (Kanak-kanak yang Berdakwah).

7. Surah At-Toriq menceritakan tentang Kiamat dan kejadian manusia manakala Surah
Al-A’la adalah berkenaan ALLAH yang Maha Tinggi dan suruhan supaya bertasbih
kepada-NYA. Surah Al-Fajr menceritakan tentang bagaimana manusia diuji dengan
kesenangan dan kesusahan. Manusia yang buta mata hatinya beranggapan bahawa
ujian kesusahan itu sebagai satu penghinaan manakala ujian kesenangan itu adalah
satu kemuliaan, sedangkan ianya terpesong dari maksud sebenar yang disampaikan di
dalam surah ini (Ayat 15-16). Di hujung Surah Al-Fajr diceritakan tentang panggilan
ALLAH SWT kepada orang beriman dan mempunyai hati yang tenang untuk kembali
kepada Tuhan dalam keadaan yang berbahagia (Ayat 27-30).

8. Surah Al-Balad menceritakan sifat manusia dan bumi Mekah. ALLAH SWT menekankan
bahawa manusia diberikan dua mata, dua bibir dan satu lidah untuk mereka
menunaikan tanggungjawab agama yang tertentu (Ayat 8-10). Surah As-Syams dan Al-
Lail adalah berkenaan sumpah ALLAH SWT kepada beberapa makhluknya seperti
matahari, bulan, waktu malam dan sebagainya. Di dalam Surah As-Syams juga
diceritakan tentang kepentingan menjaga nafsu dari merosakkan diri manusia (Ayat 7-
10).

9. Surah Al-‘Alaq adalah surah pertama yang diturunkan kepada NABI SAW. Di dalam
surah ini terdapat celaan kepada Abu Jahal apabila dia mengganggu NABI SAW
menunaikan solat dan ALLAH SWT menyuruh Baginda SAW untuk tetap menunaikan
solat secara sempurna tanpa mempedulikannya (Ayat 9-17). Ayat terakhir surah ini
(Ayat 19) adalah salah satu dalil yang mengatakan bahawa sujud adalah waktu yang
paling hampir dengan ALLAH SWT dan pada ketika ini jugalah adalah waktu
dimakbulkan doa kita.

10. Kemuncak Islam berada pada Surah Al-Ikhlas kerana keseluruhan surah ini adalah
berkenaan Tauhid dan ia menyamai 1/3 AL-Quran. Mesej dan tema utama Al-Quran
terbahagi kepada tiga, iaitu; i) Aqidah kepada ALLAH SWT, ii) Kisah para Nabi dan umat
terdahulu sebagai pengajaran dan, iii) Hukum-hakam di dalam Islam. Allahu a’lam.

11. Sebagai penutup kepada Tadabbur Ringkas 30 Juzuk Al-Quran, kita mestilah
berinteraksi dengan Al-Quran melalui 2 kaedah iaitu; i) KUANTITI: Bacalah Al-Quran
sebanyak mungkin dan jadikan ia sebagai aktiviti seharian kerana satu huruf Al-Quran
yang dibaca bersamaan dengan 10 ganjaran pahala, ii) KUALITI: Tadabbur dan
memahami ayat Al-Quran secara lebih mendalam dan berperingkat-peringkat.

Anda mungkin juga menyukai