Anda di halaman 1dari 8

BAB 2

LANDSKAP DALAM TAMADUN ISLAM

Pendahuluan

Masyarakat secara umumnya mengaitkan bidang senibina landskap sebagai mereka


yang terlibat dalam penanaman pokok dan tumbuh-tumbuhan, berkebun dan seumpamanya.
Perkembangan semasa mempelihatkan bidang ini ditambah baik dengan teknik dan disiplin
ilmu yang khusus.

Sejarah kewujudan lanskap boleh dikatakan wujud semenjak kewujudan manusia pertama iaitu
Adam a.s yang diturunkan ke bumi membentuk persekitaran kehidupannya mengikut keperluan
dan keselesaan pada ketika itu. Perkembangan tersebut berterusan sehinggalah sekarang ini
dan seterusnya. Ketamadunan manusia berdasarkan zaman terbahagi kepada zaman pra
sejarah (20,000 – 30,000 B.C.), zaman purba atau tamadun awal (3,3000 B.C. - 476 A.D),
zaman pertengahan (476-1350 A.D.) dan zaman pembaharuan atau zaman kebangkitan (Abad
14-17).

Pengertian Landskap Islam

Landskap yang direka dengan rekaan yang spesifik, menerapkan dasar ideologi dan objektif
berteraskan Islam dan kebudayaan Muslim di samping menggunakan elemen rekaan yang
jelas.

Lanskap menurut Laurie (1975) ialah perancangan dan rekabentuk tanah dan air untuk
kegunaan awam. Menurut Garrett Eckho (1950) pula ialah sebahagian landskap yang dibentuk
oleh manusia dengan tujuan utamanya sebagai ruang untuk manusia hidup (tidak termasuk
pertanian dan perhutanan) dan menurut Hubbard dan Kimball (1917), lanskap ialah seni halus,
di mana fungsi utamanya adalah untuk mencipta dan memelihara kecantikan alam sekitar yang
diduduki oleh manusia termasuk kawasan semulajadi negara.

Tamadun Islam memberi banyak sumbangan kepada sains dunia seperti bidang matematik
(algebra), astronomi, astrologi dan sains itu sendiri. Tidak ketinggalan dalam bidang senibina
lanskap atau taman yang dahulunya disebut taman bunga atau kebun bunga dan
seumpamanya. Pada zaman pertengahan atau ‘midle ages’, masyarakat ketika itu mula
memberikan tumpuan kepada kehidupan di luar rumah. Oleh itu, mereka cuba memikirkan
keselesaan, ketenangan dan kegembiraan apabila berada di luar rumah. Maka wujudlah ‘court
yard’ atau halaman bagi tujuan keselesaan dan ketenangan tersebut di samping menjalankan
aktiviti harian.

Ekspresi Rekabentuk Lanskap Islam:

1. Islam melarang rekaan yang mempunyai rekabentuk manusia atau binatang


2. Geometri merupakan ciri utama rekabentuk
3. Ilham rekabentuk banyak diambil dari Quran (Paradise Garden)
4. Air merupakan sumber utama landskap Islam sebagai agen penyejukan
5. Kitaran udara sejuk melalui lorong
6. Kontras cahaya dan bayang
7. Bukaan tingkap yang banyak
8. Penggunaan glazed tiles

Faktor Yang Mempengaruhi Rekabentuk Lanskap Islam:

1. Tamadun terdahulu

2. Gambaran taman yang terkandung dalam al-Quran

3. Gambaran taman melalui al-Sunnah

4. Persekitaran yang kering kontang

Ciri-ciri Asas Lanskap Islam

1. Halaman atau ‘court yard’.

2. Air atau ‘water feature’.

3. Pokok-pokok atau tumbuhan dan bunga-bungaan

4. Kaligrafi atau khat.

Gambaran Taman Syurga dalam al-Quran dan al-Sunnah:

1. Aliran sungai-sungai di syurga.

“Umpama syurga yang dijanjikan kepada orang yang taqwa, di dalamnya beberapa sungai dari
air yang tiada berubah-ubah, beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, beberapa
sungai dari arak yang lazat rasanya bagi orang yang meminumnya dan beberapa sungai dari
madu yang bersih. Dan untuk mereka di dalamnya macam-macam buah-buahan dan ampunan
dari Tuhan mereka (adakah orang yang dalam kesenangan itu) sama dengan orang yang kekal
dalam neraka, dan diberi minum air yang sangat panas, sehingga putus-putus usus perut
mereka”.

(Surah Muhammad:15)

2. Pohon buah-buahan

“Untuk mereka di sana buah-buahan dan apa-apa yang mereka minta”.

(Surah Yassin:57)

3. Musim bunga yang tidak berpanjangan

“Di dalamnya ada mata air yang mengalir, didalamnya ada tempat duduk yang ditinggikan, dan
piala-piala (gelas-gelas) yang diletakkan (dihadapannya) dan bantal-bantal yang tersusun, dan
permaidani-permaidani yang terbentang.”

(Surah al-Ghasyiyah : 12-16)

4. Mahligai yang tersergam indah

“Allah telah menjanjikan untuk orang-orang mukmin laki-laki dan mukmin perempuan syurga
yang mengalir air sungai dibawahnya, serta kekal di dalamnya dan beberapa tempat kediaman
yang indah dalam syurga Aden. Dan keredhaan daripada Allah yang amat besar, demikian
itulah kemenangan yang besar”.

(Surah al-Taubah: 72)

5. Keadaan yang tenang dan selamat

“Sesungguhnya orang-orang yang taqwa dalam kebun-kebun dan mata air, masuklah kamu
didalamnya dengan selamat dan sentosa”.

(Surah al-Hijr: 45-46)

Gambaran Taman Syurga dalam Hadis Nabi SAW.


1. “Taman-taman di syurga ada pohon-pohon yang rendang, besar, tinggi dan luas. Bila
bidadari-bidadari bernyanyi di bawahnya, daun-daun dan ranting-ranting pohon-pohon itu
bergerak-gerak sambil mengeluarkan bunyi-bunyian yang amat merdu pula. Apabila angin
berhembus lalu menyentuh daun dan ranting, maka akan terdengar desiran yang amat merdu
pula. Sehingga tidak dapat dibandingkan yang mana lebih merdu antara suara bidadari atau
bunyi desiran pohon-pohon tersebut”.

(Riwayat Al-Tabrani)

2. “ Pada taman-taman ini terdapat berbagai jenis buah-buahan sama ada kurma atau pun
delima, air mata air dan sungai yang terus-menerus mengalir airnya dengan tenang”.

(Riwayat Bukhari Muslim)

Nilai Dalam Rekabentuk Lanskap Islam

1. Kesepaduan antara fizikal dan spiritual/metafizik (konsep perpaduan atau kesepaduan


jasmani dan rohani)
2. Pelbagai guna (sebagai tempat tinggal, ruang untuk rekreasi dan sebagainya)
3. Kecantikan yang tidak melanggari batas syarak (cantik tanpa keegoan)
4. Kesederhanaan dalam rekabentuk yang tidak melampau atau membazir (rasional vs.
artistik)
5. Keharmonian alam sekitar dengan tidak menjejaskan persekitaran yang dicipta oleh
Allah S.W.T.
6. Amanah dan tanggungjawab manusia dalam pembangunan rekabentuk

Contoh Lanskap Islamik (Taman Islam)

Taman di Sepanyol

Moors memerintah Sepanyol selama 800 tahun. Mereka menemui kebanyakan universiti yang
terkenal dan masjid yang indah dibina air terjun dan terusan untuk menukarkan kawasan yang
kering kontang kepada padang yang subur. Mereka menghiasi taman menjadi cantik, unik dan
elegan. Di Moorish, mereka mencampurkan konsep seni bina dan tumbuh-tumbuhan .
Rekabentuk senibina ini diambil daripada kehidupan tumbuhan. Dekorasi yang dihasilkan
mempunya motif flora dan kaligrafi.

Taman Patio De La Acequia, Generalife, Alhambra, Granada, Sepanyol

Keharmonian olahan astaka-astaka, air pancutan, laluan air dan tumbuhan menghijau
dipadukan bersama dan disusun rapi dalam Pation De La Acequia, dalam taman Generalife.
Ianya bermula sebagai kebun yang memberi ruang kepada taman bunga-bungaan dan dusun
buah-buahan. Taman ini boleh dilawati dengan menyusuri barisan pohon sipres yang
kemudiannya menyeberangi titian. Taman ini dipenuhi pohon nitrus , batasan simetri bunga-
bunga, air pancut dan haruman gugusan bunga oren dan mawar. Halaman terusan (Patio De
La Acequia) di bahagi oleh terusan air yang panjang yang pada pertengahannya dilintasi oleh
terusan yang lebih kecil, menghasilkan batasan-batasan sukuan dipenuhi tumbuhan menghijau.

Taman Air Pancut Dar Si Said, Marrakesh, Morroco

Taman ini merupakan sebahagian dari gaya villa orang Moroco dan susun aturnya boleh
diambil kira sebagai tafsiran semula kepada tradisi Islam dengan laluan airnya, kolam, batasan
bunga dan jajaran simeteri. Taman ini di bawah pengawasan perika prancis Yves Saint-Lauren.
Taman ini telah dihiasi pohon buluh, bunga kertas dan rempah ratus aksotik.

Taman di India dan Pakistan

Sebahagian besar sejarah taman di Asia Tenggara berkait rapat dengan penaklukan Mughal.
Oleh itu rekabentuk dan seni bina taman di Pakisatan dan Inida banyak dipengaruhi oleh
budaya dan seni Islam. Babur, orang yang menemui dan pengasas Dinasti Mughal (1483-530),
mempunyai citarasa luar biasa tentang kecantikan dan nilai estetika. Dia telah membina taman
pertama di Kabul pada awal kurun ke–6 dan seterusnya Agra. Lahore dan Kashmir. Pada
permulaannya, taman ini dibina untuk menarik perhatian tetapi akhirnya taman ini dibina
semata-mata untuk kepuasan dan keseronokannya. Taman ini lebih kurang serupa kerana
mengikut contoh taman Persia dan ciri-ciri Chahar bagh. Hasilnya taman yang dibahagikan
kepada empat turut diterapkan dalam taman mousoleum. Dalam kes ini simbol agama telah
dicantumkan dengan kuasa perayaan dan adat penyembahan. Kisah tema taman syurga dan
taman Aden turut diceritakan dalam al-Quran dan Bible.

Taj Mahal
Taman di Taj Mahal berbentuk segiempat tepat berukuran 17 hektar (42 ekar). Pada masa
dahulu mousoleum digunakan sebagai tempat perayaan, tempat suci dan digunakan untuk
sembahyang. Sekarang, masih terdapat kemudahan untuk sembahyang berdekatan dengan
pintu masuk utama. Pintu masuk utama Taj Mahal diperbuat daripada batu pasir merah dengan
marmar putih. Sekiranya anda berada di pintu masuk utama ini, anda boleh melihat pandangan
keseluruhan taman yang berbentuk geometri segiempat dan menikmati pemandangn taman
yang unik. Tidak seperti Mughal Mouselum yang lain yang dikelilingi oleh taman, Taj Mahal
tidak dibina di tengah-tengah taman tapi dibina dihujung taman bersegiempat berhampiran
dengan tebing Sungai Yamuna. Konsep Persia masih kekal dan digunakan di zaman Mughal.
Untuk taman jenis ini makam menghadap garisan longitude taman.

Taman Air Terusan Bertingkat Nishat Bagh, Kashmir

Nishat Bagh telah direka bentuk atas bantuan Asaf Kahan, adik ipar kepada Shah Jahan. Ia
terdiri dari dua belas teres yang mewakili 12 zodiak. Airnya mengalir menuruni teres-teres
menuju ke tasik. Taman bertingkat atau berteres ini juga menggambarkan tingkat-tingkat syurga
sebagaimana yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. semasa perjalanan Nabi SAW. pada
malam Isra’ dan Mi’raj.

Kesimpulan

Lanskap Islam mempunyai rekabentuk unik dan menarik serta setiap susun atur mempunyai
maksud yang tersendiri. Kebanyakan lanskap yang dibina adalah mengikut ciri-ciri taman
syurga yang diterangkan di dalam al-Quran dan berdasarkan pernyataan-pernyataan daripada
hadis Rasulullah SAW. Asas kepada pembinaannya adalah mengikut keperluan dan naluri
manusia yang menghuni kawasan berkenaan di samping mengambil kira faktor alam
semulajadi dan sebagainya. Keutamaannya adalah mengaplikasikan nilai Islam dalam setiap
rekabentuk lanskap yang dibina agar nilai Islam bukan sahaja dicerna pada diri manusia tetapi
juga pada luaran manusia termasuklah lanskap.

Anda mungkin juga menyukai