Anda di halaman 1dari 11

Kepimpinan Islam dan Barat: Pengaruh dan cabaran

Cendekiawan Islam Mesir, Muhammad Abduh berkata bahawa ummah adalah sumber bagi
pemerintah. Pemerintah wujud untuk kebajikan ummah.

Kepimpinan pada hari ini, dalam masyarakat moden telah melalui pelbagai anjakan paradigma yang
mewajarkan beberapa perubahan besar. Abad ke-21 adalah abad yang dinamik dan penuh cabaran,
mahu ataupun tidak, sangat penting bagi mana-mana masyarakat dan negara untuk mempunyai
seorang pemimpin yang baik dan berwibawa.

Kepimpinan bermula dengan individu, diri sendiri. Mengawal diri dengan cara mengawal pancaindera
supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan ada daya juang yang tinggi. Individu yang
mempunyai keupayaan menjadi pemimpin, dalam bidang apa sekali pun, banyak ditentukan oleh
proses pembentukan diri, pengkayaan pengalaman dan tahap pendidikan berbanding hanya bakat.

Pemimpin yang telah lahir dalam sejarah tamadun dunia kebanyakannya terlibat dalam bidang
ketenteraan. Kewibawaan mereka bergantung sepenuhnya kepada keupayaan memimpin pasukan
perang. Antara pemimpin tersebut ialah Iskandar Zulkarnain, Pericles dan Julius Caeser. Ukuran
kehebatan seorang pemimpin ialah berapa banyak wilayah yang dapat ditakluk biarpun rakyatnya
hidup merana dan sengsara.

Nama-nama lain dalam kepimpinan berorientasi ketenteraan era moden ialah Adolf Hitler, Mussolini,
Stalin, Mao Zedang dan Pol Pot. Kebanyakan pemimpin dalam kategori ini mengakhiri hidup mereka
dengan kesengsaraan rakyat. Presiden Romania, Nicolae Ceausescu mati kerana kebangkitan rakyat
dalam Revolusi 1989 setelah dijatuhi hukuman bunuh oleh tribunal tentera negara tersebut. Mynmar
yang sedang bergolak di antara masyarakat awam dan junta tentera, juga bakal menyaksikan
berlakunya pertumpahan darah yang lebih banyak.

Terdapat dua jenis takrifan yang membezakan corak kepimpinan Islam dan Barat. Oleh kerana
kepimpinan itu sendiri merupakan sesuatu yang "panas" dan penuh dengan liku-liku, pemimpin
sentiasa dicari bagi meleraikan kepanasan tersebut dan dapat menyelesaikan situasi yang sukar.

Sarjana-sarjana Barat memberi pelbagai tafsiran tentang kepimpinan. Dua definisi umum yang kerap
dirujuk ialah kepimpinan sebagai proses mempengaruhi tindak-tanduk individu atau kumpulan dalam
usaha mencapai sesuatu matlamat bagi situasi tertentu. Definisi kedua ialah sebarang kegiatan yang
melibatkan seseorang merujuk orang lain supaya bekerja dengan rela untuk mencapai matlamat
kumpulan.

Kedua-dua definisi di atas adalah tafsiran yang diberikan oleh sarjana Barat yang banyak dilihat
dalam konteks organisasi, pertubuhan politik atau badan korporat.

Daripada perspektif Islam, setiap individu yang mukallaf (orang yang dipertanggungjawabkan dengan
kewajipan dan perintah untuk menjalankan hukum tuntutan agama Islam serta menjauhi larangan
Allah atas dasar orang tersebut sudah mencapai usia dewasa dan mempunyai akal [akil baligh] serta
telah sampai seruan agama [syariat Islam] kepadanya) berperanan sebagai pemimpin. Keadaan ini
sangat jelas dalam maksud hadis Rasulullah saw:

"Ingatlah! Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu juga bertanggungjawab terhadap yang
dipimpinnya. Orang yang mengetuai orang ramai adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap
rakyatnya. Suami adalah pemimpin kepada ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap
mereka. Isteri adalah pemimpin kepada rumah tangga suaminya dan dia bertanggungjawab
terhadapnya. Hamba sahaya adalah pemimpin kepada harta benda tuannya dan dia
bertanggungjawab terhadapnya. Ingatlah! Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua juga
bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya." (Hadis riwayat At-Tarmizi daripada Ibn Umar).

Berbagai-bagai istilah diberikan kepada maksud kepimpinan ini seperti:

Al-imamah
Ketua kaum yang mengetuai sesuatu kaum, memimpin dan mendahului mereka.
Al-imam
Orang yang diikuti kata-katanya dan perbuatannya, sama ada berada di atas jalan kebenaran atau
kesesatan.

Al-khilafah
Nama jawatan yang disandang oleh khalifah. Ia juga bermaksud pemimpin atau pemerintah tertinggi
sesebuah negara.

Al-qiyadah
Orang yang dilantik memegang teraju kepimpinan, urusan pentadbiran awam.

Al-ri'asah
Keketuaan.

Al-ri'ayah
Pemelihara dan penjaga.

Al-za'amah
Penjamin.

Walaupun banyak istilah yang digunakan bagi menggambarkan kepimpinan, di dalam Islam, konsep
kepimpinan yang wujud adalah bersifat bersepadu iaitu menekankan keseimbangan antara
kepentingan roh dan jasad, seimbang di antara perkembangan spiritual dan pembangunan material
bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Konsep kepimpinan yang dipraktikkan oleh Islam sangat kuat dengan pengaruh nilai dan unsur
ketuhanan. Ketika Saidina Abu Bakar r.a dipilih menjadi khalifah, beliau mengingatkan umat Islam
ketika itu dengan ucapan yang sangat jelas di antara dominasi nilai dan agama iaitu: "Wahai
saudaraku! Kamu telah memilih aku (sebagai pemimpin) walaupun aku bukan yang terbaik di
kalangan kamu. Turutlah kehendak aku selagi aku taat kepada perintah Allah dan RasulNya.
Sekiranya aku ingkar akan peraturan Allah dan RasulNya, maka tidaklah wajib ke atas kamu mentaati
aku."

Justeru, kepimpinan dalam Islam ialah meningkatkan kualiti diri bagi melahirkan konsep "kepimpinan
melalui teladan (qudwah hassanah)" sebagai jurudamai umat dan sumber ketenteraman sejagat.
Rasulullah saw merupakan contoh kepada konsep ini dengan memberi motivasi kepada manusia
tentang kemudahan dalam melaksanakan hukum agama dalam kehidupan. Ulama-ulama juga adalah
pemimpin walaupun secara tidak rasmi seperti mana imam-imam mazhab.

Sepanjang sejarah pemerintahan Islam, Philip K. Hitti di dalam buku The History of the Arabs, beliau
berhujah: "Daripada sebuah masyarakat Islam di Madinah, lahirlah sebuah negara Islam
kemudiannya. Golongan muhajirin dan ansar berjaya disatukan atas landasan agama dan ketika itu
mereka dikenali sebagai ummah. Dalam sejarah Arab, inilah julung-julung kali berlakunya sebuah
perpaduan yang diasaskan di atas nama agama dan bukan atas dasar keturunan dan kabilah. Dari
Madinah, Islam terus berkembang dan dalam jangka masa yang singkat, Muhammad berjaya
menegakkan satu agama yang pada banyak sudut, mengatasi kehebatan agama Kristian dan
Judaisme."

Michael H. Hart, dalam buku The 100, A Ranking of the Most Influential Persons in History memilih
Nabi Muhammad saw sebagai manusia yang paling berpengaruh di dalam sejarah manusia sehingga
kini. Hart memilih baginda saw kerana keupayaannya yang sangat cemerlang dalam kedua-dua
bidang: agama dan sekular. Pemilihan ini tentunya mengejutkan ramai pembaca. Kesan pengaruh ini
iaitu Islam lebih besar jika dibandingkan dengan kombinasi Nabi Isa a.s dan St. Paul dalam agama
Kristian. Lebih lanjut lagi Hart menjelaskan bahawa Nabi Muhammad saw (tidak seperti Nabi Isa a.s)
adalah seorang pemimpin tentera yang menjadi daya penggerak terbesar kepada kekuatan bangsa
Arab.

Jika diamati, kepimpinan dalam Islam adalah berdasarkan modal Tuhan yang menjadikan umat Islam
mudah berubah. Atas nama Allah swt, dengan usaha membaiki diri, sembahyang malam, bertaubat,
bersedekah, berkasih-sayang, wirid dan doa, kekuatan pemimpin mengajak masyarakat kepada
perubahan adalah lebih mudah.

Contohnya adalah jelas ketika permulaan arak diharamkan.

Ketika turunnya ayat 90 surah Al-Maidah, umat Islam mematuhinya tanpa sebarang bantahan. Ada di
antara mereka membawa tong-tong arak ke atas jalan utama, menuangkannya tanpa ada rasa
penyesalan. Sebahagian lagi memecahkan tong-tong arak dengan rasa bangga dan yang lainnya
mencuci tong-tong arak berkenaan dengan tanah dan air.

“Wahai orang-orang yang berjudi, bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung
nasib dengan batang anak panah adalah kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah
kamu menjauhinya sekiranya kamu ingin berjaya."

Sesekali dalam merangka dan melaksana perubahan, terdapat individu atau segolongan umat yang
diberi keistimewaan untuk menjayakan tujuan hidup manusia sebagai khalifah.

"Akan sentiasa ada satu segolongan (taifah) dari umatku yang berpegang teguh ajaran agama dan
mereka akan menentang dan menguasai musuh-musuh mereka. Tidak ada apa yang dapat
memudaratkan mereka kecuali apa yang menimpa mereka dalam bentuk ujian-ujian sehinggalah
akhirnya datang urusan Allah." (Imam Ahmad)

Satu aspek yang menarik dalam kepimpinan Islam ialah ia bukannya satu warisan seperti mana
sistem feudal, tidak pula ada hak tetapi meletakkan amanah sebagai keutamaan kerana nasib umat
terletak di dalam tangan seorang pemimpin. Walaupun sehingga ke hari ini kita perhatikan
kecenderungan masyarakat untuk kembali menghayati kepimpinan Islam, sesetengah amalan yang
sangat kuat Islamnya kadangkala dilakukan bukan kerana keyakinan sebaliknya amalan yang
diterima turun-temurun.

Keadaan ini tidak boleh diketepikan sahaja kerana konsep kepimpinan Islam ini dibawa sekali
bersama dengan konsep Islam dalam bernegara.

Pandangan tiga tokoh kontemporari berkaitan hal ini sangat menarik untuk kita tinjau bersama.
Mereka berbeza pendapat mengenai "Negara Islam" iaitu pendapat pertama meyakini negara Islam
wujud dengan adanya Piagam Madinah manakala pendapat kedua pula menidakkan pernah
wujudnya negara Islam kerana tidak pernah disebut di dalam al-quran. Di samping itu Nabi
Muhammad saw tidak membentuk masyarakat politik yang eksklusif bagi umat Islam sahaja
sebaliknya baginda saw mengatur kerjasama dalam konteks masyarakat majmuk. Legitimasi khalifah
pula datangnya dari ummah dan pentadbiran Islam adalah satu bentuk pemerintahan yang
demokratik, bebas dan berasaskan syura.

Muhammad Assad (Leopold Weis) berpendapat negara Islam ada tetapi bukannya satu bentuk
negara Islam yang khusus sebaliknya hukum adalah bersumberkan al-quran dan sunnah yang hidup,
menjiwai dan konkrit. Pemerintahan Islam bukan menjadi matlamat tetapi sebagai alat untuk
pertumbuhan umat manusia yang membela persamaan dan keadilan, menyuruh kepada kebaikan
dan melarang kemungkaran.

Al-Maududi dalam buku Islamic Law and Constitution berpendapat kedaulatan berada di tangan Allah.
Wajib bagi setiap peribadi, masyarakat dan bangsa mengikut pola yang dibentuk oleh Rasulullah saw
serta tunduk kepada keputusannya tanpa keberatan.

"Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa
yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak
mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan). (Surah
An-Nisa’, ayat 80)

H.A.R Gibb, seorang orientalis barat mengenengahkan idea yang sangat berbeza. Dalam buku The
Constitutional Organization, beliau menyatakan bahawa ketua negara bagi umat Islam adalah Allah
kerana Tuhan sebagai satu-satunya pembuat undang-undang, tidak ada ruang dalam teori politik
Islam bagi pembuatan undang-undang atau kekuasaan membuat undang-undang.
Dua idea yang pertama adalah dari orang Islam manakala idea ketiga dari bukan Islam yang didapati
sangat sinonim dengan idea dalam Kristian. Jika kita melihat kepimpinan dalam Kristian, buku Faith
in Leadership: How Leaders Live Out their Faith in their Work- and Why it Matters oleh Robert Baks
dan Kimberly Powell, keimanan dan kepimpinan adalah bersama; keimanan di sini ialah anugerah
Tuhan kepada manusia. Tuhan adalah segala-galanya.

Ibnu Taimiyah menggariskan dua rukun kepimpinan untuk memilih pemimpin iaitu al-quwwah dan al-
amanah. Al-quwwah ialah kewibawaan yang sesuai dengan keperluan jawatan yang disandang
seperti tentera, polis atau organisasi yang bercorak birokratik. Manakala al-amanah ialah takutkan
Allah swt kerana kepimpinan dalam Islam bukannya menjadi alat untuk mendapatkan kekayaan,
kedudukan atau kesenangan hidup di dunia, sebaliknya merupakan amanah yang wajib ditunaikan.

"Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi
orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja
ialah orang yang kuat, lagi amanah.”(Surah Al-Qasas, ayat 26)

Ciri-ciri kepimpinan Islam

Seringkali berlaku pergeseran di antara ulama dan umara (pentadbir). Kedua-duanya berselisih
pendapat menyebabkan orang awam celaru dan bingung. Kesannya ialah terbentuk dualisme dalam
kepatuhan dan ketaatan iaitu patuh kepada ulama dan patuh kepada umara.

Kepimpinan ulama berada pada tempatnya tersendiri. Ia adalah lambang kewibawaan dan karisma,
penguasaan ilmu, pelaksanaan amal, wara' dan taqwa yang tidak selalu ditonjolkan.

Kepimpinan umara pula cenderung kepada fikiran, mengikut selera dan dilihat lebih dinamik dan
menonjol.

Dalam keadaan ulama dan umara berbeza pandangan, umat perlu patuh kepada pemimpin selagi
tidak berlaku maksiat dan zalim. Kesepaduan ulama dan umara akan membentuk sinergi kepimpinan
yang dapat memacu kemajuan masyarakat sekali gus pembangunan negara. Sinergi yang
dimaksudkan ialah dapat memberi aspirasi kepada masyarakat dengan melihat cakerawala
pandangan yang luas tetapi tetap berpijak pada moral-moral Islam.

Kesepaduan kedua-duanya akan menzahirkan hadis Nabi saw:

"Ada dua golongan dari umatku, manakala keduanya berlaku baik, maka akan menjadi baiklah umat,
akan tetapi keduanya berlaku jahat, akan rosak binasalah umat iaitu ulama dan umara."

Setiap keadaan, terdapat pemimpin yang lahir dan membesar bersama masyarakat. Perkembangan
persekitaran, perubahan taraf hidup dan pendedahan ke atas nilai-nilai kerapkali mengubah
perlakuan pemimpin. Perubahan yang ketara berlaku apabila mereka mendapat kedudukan,
bukannya amanah masyarakat yang difikirkan tetapi kepentingan peribadi dan golongan sendiri yang
diutamakan. Kelak muncullah sifat iri hati, dengki dan balas dendam.

Prinsip utama kepimpinan Islam ialah syura iaitu sistem penglibatan secara kolektif (jemaah) untuk
mengeluarkan pendapat dan membuat keputusan serta kerangka bagi membentuk hubungan sosial.
Seiring dengan tujuan penciptaan manusia, kekuatan yang mendorong ke arah tujuan ini ialah akidah
yang benar dan syariat yang penuh toleransi.

Kepentingan syura sangat tinggi kerana ia menjadi urat nadi bagi pemikiran masyarakat. Di sini,
penglibatan masyarakat dikongsi sepenuhnya kerana pemimpin menjadi pelayan bagi menunaikan
hak dan keperluan mereka. Di sini juga, aspirasi dan inspirasi umat disalurkan untuk membawa
kemahuan dan cita mereka ke tahap yang lebih cemerlang. Persoalan-persoalan besar yang menjadi
"api dalam sekam" akan terlerai dan cair satu per satu.

Kuasa tidak berpusat kepada seseorang sebaliknya diagihkan. Konsep pengagihan kuasa ini selari
dengan perkembangan agama Islam yang semakin membesar melangkaui pelbagai daerah dan
sempadan. Dalam keadaan semakin membesar ini pun, pentadbiran Islam mampu menjadi satu
warisan tamadun yang dijulang dalam sejarah.
Carleton S. (Carly) Fiorina, bekas CEO Hewlett-Packard Company meluahkan ketakjuban beliau
dalam satu persidangan di Minneapolis, Minnesota, Amerika Syarikat pada 26 September 2001.
Ucapan yang bertajuk "Technology, Business and Our Way of Life: What's Next?" menyelitkan
ungkapan berikut:

"Pada suatu masa dahulu, wujud tamadun terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-
sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Di bawah
kuasanya terdapat ratusan juta manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu
bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia
hari ini.

Tentera-tenteranya dianggotai oleh manusia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya
mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingan.

Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin ke negara China dan antara
kedua-duanya. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkitek-arkiteknya
mampu membina bangunan tinggi yang melawan graviti. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep
algebra dan algoritma. Konsep-konsep ini membantu penciptaan komputer dan encryption pada hari
ini. Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan bagi merawat pelbagai
penyakit.

Tokoh-tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekali
gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa lepas. Penulis-penulisnya menulis ribuan cerita.
Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya adalah tamadun Islam, yang berkembang dari tahun
800-1600 masihi."

Pengesahan dari seorang tokoh usahawan terkenal itu membuktikan betapa sistem pentadbiran
dalam tamadun Islam berkesan bagi melahirkan ummah yang cerdas, rajin, bersungguh-sungguh,
meluaskan horizon ilmu pengetahuan untuk memanfaatkan kelebihan ciptaan Tuhan, tahu sumber
kekayaan bagi melaksanakan dakwah dan menjadikan ulama sebagai rujukan.

Peluasan gerak kerja dakwah menjadi elemen penting bagi kepimpinan Islam. Empayar Islam yang
semakin membesar dan diterima di negara takluknya adalah lambang akhlak yang dibentuk melalui
proses tarbiyah pemimpin-pemimpinnya. Hubungan tentera-tentera ini dengan masyarakat setempat
memudahkan proses Islamisasi dilaksanakan dengan lancar.

Bagaimanapun kini ramai pemimpin dan ahli masyarakat yang membantah Islamisasi kerana percaya
ia mengurangkan toleransi dan meningkatkan bilangan radikal Islam.

Sumber rujukan kepimpinan Islam

Selepas Rasulullah saw wafat, teraju kepimpinan umat diserahkan kepada khalifah. Khalifah yang
sering disebut orang Islam ini sinonim dengan kalimah al-imamah iaitu kepimpinan umum dalam
urusan-urusan agama dan dunia. Imam Al-Baidhawi berkata: "Al-imamah adalah perkataan yang
digunakan untuk menunjukkan tentang seseorang yang menggantikan Rasulullah saw dalam
melaksanakan undang-undang syara' dan menjaga batasan-batasan agama yang mana seluruh umat
wajib mengikutinya."

Mereka yang dilantik menjadi khalifah bertanggungjawab menegakkan agama Allah dan berkuasa
pula ke atasnya. Oleh itu, al-quran dan sunnah menjadi rujukan paling utama bagi kepimpinan Islam.

Mereka juga bertanggungjawab mengendalikan urusan orang-orang Islam dengan pelbagai syarat
dan peraturan, sama ada urusan agama atau akhirat. Bagi melicinkan pentadbiran, dasar-dasar
perundangan Islam lain juga mesti diambil: ijma', qiyas, istihsan, masaleh mursalah, 'urf dan sadduz
zara'i di samping sirah Rasulullah saw.

Perubahan di dalam masyarakat yang sentiasa dinamik menghasilkan para cendekiawan yang pintar
dan bijak. Mereka menghasilkan kitab, bahan rujukan yang sangat berguna dalam pelbagai cabang
ilmu. Tentu sahaja sumber rujukan seperti ini boleh diguna pakai bagi meningkatkan kecekapan
pemimpin Islam.

Kepesatan pembangunan telah menambah baik kualiti hidup masyarakat. Dalam UNDP Human
Development Report 1995 memaklumkan bahawa dunia telah mengalami proses pembangunan
dalam tempoh 30 tahun lalu. Tahun 2007 ini, pembangunannya tentulah lebih pesat, khususnya
perkembangan kesihatan.

Di sinilah kepimpinan Islam peka dengan ilmu-ilmu berkaitan usaha meningkatkan kecekapan
kepimpinan seperti psikologi, sumber manusia, komunikasi, teknologi maklumat dan sebagainya.

Peluasan ilmu bagi menambah sumber rujukan diluaskan lagi kepada ilmu yang berkaitan falsafah
politik Islam, hidup Islam dan perubahan masyarakat. Ekonomi dan perundangan Islam yang
berkaitan perkembangan semasa sentiasa menjadi sumber kepada kepimpinan Islam.

Kelemahan kepimpinan Islam

Selepas sistem khalifah, kepimpinan Islam bertukar kepada sistem feudal atau beraja. Ketika ini, ciri-
ciri keagamaan masih utuh dan manhaj yang benar masih kekal. Tidak ada perubahan ketara kecuali
kuatnya pengaruh kepuakan dan kuasa senjata menyebabkan sedikit demi sedikit ciri-ciri khalifah
lenyap. Yang kekal hanyalah nama. Sistem raja yang bersifat mutlak mengambil tempat lalu menekan
dan memaksa tanpa batasan. Kedudukan digunakan untuk memenuhi kepentingan peribadi.

Hilangnya roh khalifah bererti hilangnya semangat kepuakan Arab seterusnya generasi mereka yang
tinggal adalah yang tidak berkualiti. Tinggallah raja yang berkuasa mutlak dengan faham bahawa
mentaati raja adalah untuk mendapat berkat.

Kejahilan umat yang berakar umbi kepada kelekaan dalam kemakmuran mengundang sikap pesimis
terhadap peranan kepimpinan. Pemisahan agama dan negara mengasingkan peranan ulama dan
pentadbir. Masyarakat bertambah jahil dengan kemajuan negara dan konsep kebahagiaan di dunia
dan akhirat. Hukum feqah menjadi topik hangat yang diperdebatkan sehingga umat terus dihimpit
kejahilan dan kemiskinan. Dijajah adalah satu mala petaka dan merdeka adalah rahmat.

Hasjmy dalam buku Di Mana Letaknya Negara Islam? menyatakan punca kelemahan umat Islam
kepada kepimpinan. Bangsa yang dapat membebaskan diri daripada penjajahan adalah bangsa yang
mempunyai pemimpin yang berfungsi dengan sempurna.

Analisis Muhammad Assad juga menyetujui bahawa kebebasan akan menentukan nasib bangsa
sendiri: "Dalam kehidupan setiap bangsa, cepat atau lambat, pasti akan datang suatu masa di mana
nanti kiranya bangsa itu akan mendapat kebebasan bagi menentukan nasibnya sendiri, suatu masa di
mana akan ada kepastian ke arah mana akan dituju dan zaman depan yang bagaimana yang akan
dicapai."

Cabaran kepimpinan Islam masa depan

Tahun-tahun 1950-an dan 60-an menyaksikan banyak negara sedang berjuang untuk membebaskan
diri atau baru mula merasai detik merdeka. Ketika ini pejuang-pejuang kemerdekaan dihormati dan
dijulang kerana semangat nasionalisme yang berkobar-kobar. Yang ramai menjadi pemimpin ini ialah
di negara-negara umat Islam. Mereka gagal menjadi pemimpin yang cemerlang selepas mengetuai
kemerdekaan negara masing-masing kerana corak kepimpinan sebelum dan selepas merdeka sangat
berbeza.

Fokus kepada pembangunan negara selepas merdeka ialah pembangunan ekonomi, menyusun
keadaan sosial masyarakat dan mempastikan politik yang stabil. Corak kepimpinan yang diperlukan
ialah mempastikan ciri-ciri sebuah negara dapat dipenuhi iaitu: a) mempastikan sempadan yang tetap
dan diiktiraf, b) mempunyai penduduk yang tetap, c) kerajaan yang teratur, d) mempunyai kedaulatan
iaitu berupaya untuk mengawal hal ehwal dalam negara dan kebebasan, e) mengadakan hubungan
dengan negara-negara lain, dan f) mempunyai perlembagaan, agama rasmi, simbol negara dan
sebagainya.

Kepimpinan Islam abad baru ini berhadapan dengan cabaran globalisasi dan integrasi ekonomi.
Persaingan negara-negara Asia, Eropah, Amerika Utara, Amerika Latin dan Afrika untuk menguasai
pasaran ekonomi dunia ditandai dengan kewujudan blok-blok ekonomi seperti APEC, EU, NAFTA
dan ASEAN+3.

Kekuatan yang diperlukan oleh pemimpin Islam kelak bukan lagi terletak pada kekuatan peribadi
semata-mata tetapi gabungan kekuatan peribadi, pemikiran dan pengaruh dalam membuat
keputusan. Kekuatan moral juga tidak boleh ditolak tepi.

Bagaimanapun, semua elemen kekuatan tersebut tidak akan memberi sebarang erti jika pelaksanaan
tanggungjawab didapati tidak berkesan. Justeru, pemimpin Islam harus bersedia dengan kepimpinan
berorientasikan tindakan. Ini kerana, retorik bahasa dan kepetahan pidato tidak lagi mampu memberi
nilaian yang baik kerana masyarakat semakin berpendidikan dan mereka mampu menilai bagi
membezakan yang mana satu pemimpin berkesan dan yang mana satu tidak berkesan.

Hala tuju kepimpinan Barat

Cabaran yang dihadapi oleh pemimpin hari ini jauh lebih kompleks daripada sebelumnya. Ia berkait
dengan membantu orang lain mencapai kejayaan. Kepimpinan tidak hanya dikaitkan dengan diri
pemimpin sebaliknya orang yang dipimpin. Apabila melibatkan pengikut, pemimpin, sudah pasti
berhadapan dengan tuntutan-tuntutan yang pelbagai, keupayaan jangka hayat teknologi yang singkat,
peningkatan pengetahuan dan kemahiran yang sentiasa dikemas kini serta pelbagai perkara yang
berlaku di luar jangka.

Aspek yang berkait dengan kepimpinan juga bertambah. Dari keselamatan (yang menjadi isu sejak
911), keadilan kehakiman, pendidikan, perlindungan daripada polis, pengangkutan darat, laut dan
udara, kebajikan, kesihatan dan perumahan serta pelbagai lagi perkara yang perlu ditangani.

Seiring dengan keperluan dan kehendak negara, definisi kepimpinan di Barat, dalam konteks yang
lebih luas, berakar umbi daripada tiga perkataan: demokrasi, sekularisme dan globalisasi.

Istilah politik di Barat sangat berbeza daripada konsep politik Islam. Persepsi Barat melihat politik
Islam sebagai "totalitarianisme" yang dikaitkan dengan pemerintahan kuku besi. Barat juga bangga
dengan sekularisme dan demokrasi yang muncul dengan pengaruh yang lebih besar selepas
Revolusi Perancis di mana ia menekankan keseimbangan sosioekonomi kepada semua
warganegara, pembentukan kerajaan secara pemilihan perwakilan dan slogan "satu individu, satu
undi." Dalam erti kata lain, undi majoriti sangat penting dan individu mempunyai kebebasan untuk
membuat keputusan.

Peranan pemimpin dalam masyarakat demokrasi ialah sebagai enjin pembangunan ekonomi yang
sihat, menyediakan (sedaya upaya) pendapatan untuk kerajaan, asas kepada kebebasan masyarakat
demokratik. Bagi mengawal aturan hukum, pendokong demokrasi ini membentuk perlembagaan
supaya kerajaan dapat ditadbir dengan lancar.

Konsep Greek purba yang menggunakan istilah "liberty" agak jauh berbeza dengan demokrasi Barat
kerana demokrasi lebih menekankan kebebasan tetapi kepimpinan Islam tetap mengekalkan keadilan
dan kesaksamaan masyarakat yang menjadi kewajipan bagi memberi ruang kepada pembangunan
dan penyerlahan potensi diri. Demokrasi tidak menjadikan kawalan peraturan Tuhan sebagai
panduan dalam mentadbir kerana keupayaan manusia dianggap lebih sesuai.

Sejarah kepimpinan Barat "menyerang" dunia Islam melalui misi ketamadunan. Gelombang pertama
mereka ialah ketika menemui jalan ke Timur sebagai pedagang dan mubaligh seterusnya gelombang
kedua, mereka membawa senjata dan merampas tanah; lambang "duta dari tamadun kelas tinggi."
Kepimpinan Barat memecahkan dominasi sistem kepimpinan Islam dan Timur dengan meletakkan
penjajahan sebagai tema utama. Bermula dari saat itu, umat Islam sangat menderita akibat dasar
politik hegemoni Barat.

Peristiwa yang paling rapat dengan kita ialah kejatuhan Melaka di tangan Portugis pada 1511. Misi
kedatangan Portugis ini terletak dalam konsep 4G iaitu gospel
(agama), glory (kemenangan), geography (lokasi) dan gold (kekayaan). Ledakan ekonomi menjadi
penyebab kuat kenapa kepimpinan Barat sentiasa mengekang kemajuan umat Islam di negara-
negara yang dijajah.

Di India umpamanya, Sir W. W. Hunter menceritakan:

"Bukannya Muslim merasa rendah diri kepada Hindu. Ia adalah peranan British yang
menyebabkannya berlaku. Sekarang, pejabat kerajaan di Calcutta yang menjadi tempat seseorang
Muslim untuk mendapatkan kerja sebagai pengangkat barang, pelayan buka pintu, pengutus surat
dan tukang perbaiki pen. 170 tahun yang lalu, amat mustahil untuk melihat Muslim di India menjadi
miskin, tetapi sekarang amat mustahil baginya menjadi kaya."

Dalam bidang pendidikan, dengki dan iri hati sangat menebal dalam jiwa pemimpin Barat.
Pengenalan sistem pendidikan di negara jajahan adalah untuk mematikan budaya intelektual dan
sosiobudaya masyarakat. Sekolah-sekolah rakyat diperkenalkan supaya dapat menyanggahi tradisi,
membenci agama dan memecahkan keharmonian.

Kesan ke atas masyarakat ialah melemahkan iman, agama dan budaya mereka.

Kamal Attaturk adalah contoh kepada dasar ini. Beliau bukan sahaja seorang yang menyanjung tinggi
Tuhan Baru (peradaban Barat) malah tidak menaruh kepercayaan kepada agama. Peribadi Kamal
Attaturk sangat ego, cepat marah dan memberontak, suka kepada perempuan dan minuman keras
kerana tidak ada yang dapat mententeramkan roh dan jiwanya.

Kejayaan Kamal Attaturk dididik oleh sistem Barat boleh diamati dalam kata-katanya: "Kita harus
memakai pakaian bangsa-bangsa maju yang beradab." Beliau menggantikan tarbus dengan topi dan
mengharamkan pemakaian tudung kepala bagi wanita Turki. Dia beranggapan dengan cara ini orang
Turki dapat berubah dan hidup sama seperti orang Barat.

Kejatuhan khalifah Othmaniyah pada 1924 mengulangi sejarah kejatuhan kerajaan Islam Andalusia,
Sepanyol. Kejayaan kerajaan Islam berkenaan merosot apabila perubahan sikap pemimpin mereka
ke atas pencarian ilmu pengetahuan dan kejahilan mengenai pembangunan. Gerakan Al-Murabitun
dan Al-Muhabidun dari Afrika Utara yang mengawal Andalusia menghalang pengajian semua subjek
kecuali yang berkaitan dengan agama Islam. Pengajian falsafah Greek dan sains tidak digalakkan
dan akhirnya diharamkan.

Pada masa yang sama, Andalusia semakin lemah dan berpecah. Satu demi satu wilayah ini jatuh ke
tangan Raja Sepanyol. Berakhirnya 800 tahun kepimpinan Islam di Sepanyol tidak dapat disangkal
lagi disebabkan oleh pengabaian kepada ajaran-ajaran Islam.

Bagi mengatasi rasa bersalah dan rendah diri, intelektual Islam mengisytiharkan bahawa kehidupan
di dunia ini adalah bukan untuk umat Islam kerana syurga disediakan untuk mereka di akhirat kelak

Seperti kata Carly Fiorina, tamadun Islam dulu memberi sinar kepada Barat untuk maju pada hari ini.
Tetapi kepimpinan Islam tidak mampu mengulangi lagi kejayaan lalu kerana kepimpinan Barat telah
menjadikan umat Islam miskin dan mundur.

Corak berfikir pemimpin-pemimpin Barat sangat jauh kehadapan bagi mempastikan Barat sentiasa
mendominasi dunia. Istilah "Order Baru Dunia" dan globalisasi adalah usaha berterusan kuasa Barat
bagi menyerap cara hidup Barat ke seluruh dunia. Internet, pasaran bebas, hak asasi manusia dan
sokongan kuat kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas nama demokrasi mencipta imaginasi
serong istilah moden dan dan progresif yang mengubah paradigma masyarakat dan dianggap
menyerahkan adat serta budaya mereka kepada pengaruh Barat.

Sekularisme sering dikatikan dengan era kebangkitan di Eropah. Ia memainkan peranan utama dalam
memberi hala tuju peradaban Barat. Ia mengambil pendirian menjauhkan diri daripada pengaruh
agama dan menjadikan kemodenan sebagai matlamat.

Kepimpinan Barat menjadikan sekularisme sebagai pendinding kepada peluasan pengaruh agama.
Setiap keputusan yang diambil adalah berdasarkan rasionalisasi yang didokong oleh kekuatan imu
pengetahuan, kesan daripada penyelidikan dan kebebasan berfikir. Pemimpin-pemimpin sekular
cepat melenting dan akan menghalang serta-merta jika mana-mana masyarakat sesebuah negara
cuba melawan atau mencabar amalan ini.

Perancis adalah contoh negara sekular yang kerap diasak dengan cabaran-cabaran ini. Isu
pemakaian tudung kepala di sekolah dan penggunaan simbol agama oleh pelajar acapkali diiringi
tindakan tegas. Dengan penduduk Islam seramai lima juta orang, Perancis sangat tegas
mempertahankan dasar sekularisme berkenaan dan tidak membenarkan mana-mana pihak cuba
menjejaskannya.

Selain Perancis, negara-negara scandinavia juga mengamalkan konsep ini. Pemimpin-pemimpin


mereka tidak kisah jika media negara menerbitkan sebarang bentuk cemuhan kepada mana-mana
pihak atas alasan kebebasan media. Aturan hidup masyarakat mereka juga terlalu longgar kerana
nilai yang diwarisi oleh generasi sekular tidak mempedulikan hak orang lain. Pemimpin-pemimpin
sekular Barat sendiri, dengan kepercayaan penuh terhadap prinsip sekularisme, membimbing rakyat
mereka ke arah masyarakat yang memandang rendah terhadap agama. Negara-negara berkenaan
juga didapati mempunyai keinginan yang lemah untuk menjunjung kepercayaan beragama.

Proses sekularisasi di Barat menimbulkan krisis global kerana peningkatan terhadap kepercayaan
beragama bertentangan dengan prinsip sekularisme yang didokong oleh kuasa-kuasa Barat yang
berpengaruh. Prof. Syed Naquib Al-Attas juga mengungkapkan "... secularization is becoming a
global crisis" memang ternyata telah berlaku.

Masyarakat yang memperlekeh agama akan menunjukkan pelbagai bukti betapa sekularisme adalah
pilihan terbaik bagi membangunkan negara.

Dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah 2007 yang baru diumumkan, lima buah negara scandinavia
iaitu Dernmak, Finland, Sweden, Iceland dan Norway adalah antara sepuluh buah negara yang paling
kurang rasuah di dunia. Setelah diamati, semua negara ini bukanlah mementingkan sangat anutan
agama masyarakat sebaliknya mengguna pakai apa saja cara untuk memajukan negara walaupun
dengan menolak kepercayaan agama.

Menyelidiki dengan lebih mendalam ungkapan Prof. Syed Naquib, jika diperhatikan, kesan
sekularisme ke atas lima buah negara ini memang sangat relevan. Maklumat terkini dan lengkap
mengenai negara-negara di dunia terdapat di Central Intelligence Agency (CIA), Amerika Syarikat dan
lima buah negara berkenaan menunjukkan kadar kesuburan yang rendah dengan Sweden mencatat
1.66 , Finland (1.73), Dernmak (1.74), Norway (1.78) dan Iceland (1.91). Kadar kesuburan yang
rendah tidak dapat mengimbangi jangka hayat masyarakat mereka yang rata-ratanya mempunyai
umur yang panjang. Sweden menjadi negara utama dengan jangka hayat sehingga 80.63 tahun,
diikuti Iceland (80.43), Norway (79.67), Finland (78.66) dan Dernmak (77.96).

Krisis ini bertambah besar apabila isu keselamatan, keselamatan sosial, kesihatan dan penguncupan
kadar kelahiran digabungkan sekali. Sukar bagi kerajaan mereka menampung bayaran pencen warga
tua. Jadi siapa yang harus mengisi tenaga kerja da menampung keperluan keselamatan sosial ini?

Jawapannya ialah migrasi.

Pada 1999, sekitar 16 juta pekerja asing di Eropah Barat menjana pendapatan sebanyak US$46
bilion. Kehadiran pekerja asing ini dapat mengekalkan daya saing dan memenuhi keperluan domestik
negara-negara Eropah. Pada masa yang sama, kehadiran begitu ramai pekerja asing membawa pula
masalah baru iaitu krisis identiti penduduk tempatan. Isu ini menjadi perdebatan hangat di Barat dan
telah dijadikan senjata utama oleh parti politik sayap kanan untuk meraih undi dalam pilihan raya.

Krisis yang menjadi telahan Prof. Syed Naquib telah pun berlaku dan akan terus bertambah parah
kerana ramai yang menjadi pekerja dan pendatang asing ini beragama Islam. Mereka membawa
sekali agama, adat dan budaya ke dalam masyarakat tempatan. Ianya mengancam kepercayaan
agama masyarakat negara tersebut dan menjadi bahan perbincangan di media massa yang dibuat
secara terbuka.

Jim Moret, pengacara Inside Edition ketika melaporkan pengislaman Angela Collins menyatakan


terdapat kira-kira 20,000 penganut Islam setiap tahun di Amerika Syarikat dan jumlah ini semakin
bertambah.
Apa yang menakutkan Barat dan kepimpinan Barat sekarang ialah proses sekularisme yang mereka
pertahankan sedang diancam oleh proses Islamisasi yang bahangnya dirasakan oleh umat Islam di
Dernmak dan negara-negara lain.

Sekularisme bergandingan dengan atheisme untuk mencorakkan pembangunan negara-negara


Eropah dan Barat ketika mana agama diketepikan. Pendokong sekularisme menjadi sombong
disebabkan pengetahuan saintifik mereka yang menolak kehadiran Tuhan untuk menentukan
sesuatu. Mereka berbangga dapat mengklon semua jenis kehidupan termasuk manusia, menjelajah
angkasa raya dan planet, memanipulasi ekonomi dunia dengan sifat tamak dan mengesampingkan
nilai-nilai moral.

Institusi perkahwinan rosak kerana sekularisme. Berzina dan melahirkan anak luar nikah tidak
menjadi perhatian lagi dan perkahwinan sesama jenis diterima dan tidak lagi disembunyikan. Dosa-
dosa yang ditakrifkan oleh agama tidak lagi diterima.

Kepimpinan Barat juga berlumba-lumba mencipta senjata canggih bukan untuk mempertahankan diri
sebaliknya menjaja teknologi senjata tersebut kepada negara-negara lain dan mencipta peperangan.
Masyarakat pelbagai negara diadu domba supaya mendapatkan senjata terkini dengan alasan
pertahanan negara diperkuatkan.

Ancaman sekularisme sangat bahaya. Kepimpinan Barat akan sentiasa meningkatkan pelbagai jenis
serangan ke atas kehidupan beragama manusia melalui penyebaran bahan yang tidak bermoral dan
menyanggahi nilai tradisi masyarakat. Kelekaan dan kebanggaan terhadap pengetahuan serta
teknologi yang dimiliki Barat memusnahkan sama sekali kepercayaan terhadap agama dan
menjadikan mereka terus angkuh, menolak peranan Tuhan kerana merasakan Tuhan tidak diperlukan
lagi justeru sains telah memberi jawapan kepada setiap persoalan yang berlegar dalam kehidupan
manusia hari ini.

Islam, Barat dan cabaran semasa

Hari ini umat Islam dan kepimpinan Islam berada pada kedudukan yang sangat lemah. Bilangan 1.2
bilion umat Islam yang bernaung di bawah Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) tidak mampu
sama sekali memberi pengaruh ke atas kuasa hegemoni Barat yang dikepalai oleh Amerika Syarikat.
Keadaan ini menyebabkan sesetengah pemimpin Islam menggesa diwujudkan kembali persekitaran
politik dan sosial seperti mana zaman Nabi Muhammad saw dengan anggapan itulah penyelesaian
kepada masalah umat Islam sekarang.

Pemikiran golongan ini sangat tidak berkembang kerana tidak mahu menerima hakikat realiti semasa
hari ini yang berubah dengan pantas. Mereka tidak mahu membuat penyesuaian terhadap perubahan
dunia. Bagi jangka masa panjang, mereka akan ketinggalan dalam serba-serbi dan akhirnya tewas.

Kemunduran umat Islam dan pasifnya pemimpin-pemimpin Islam bukannya kerana Islam gagal
membawa kejayaan atau Islam sememangnya mendatangkan nasib buruk, sebaliknya umat Islam
telah melencongkan kefahaman Islam yang sebenar. Hal ini berlaku kerana pelbagai sebab: politik,
kedudukan dan kuasa.

Cabaran pemimpin-pemimpin Islam ialah mengembalikan kefahaman Islam supaya pelencongan


pentafsiran dapat dimurnikan semula. Mengawal penyebaran pengetahuan yang menyanggahi
amalan tradisi dan budaya yang melemahkan pemikiran umat.

Kebimbangan dan kerisuan pemimpin Islam di seluruh dunia ialah menjangkakan kesan jangka masa
panjang ke atas anak-anak muda Islam. Muhammad Assad dalam buku "Islam at the
Crossroads"  berkata: "Kesan utama yang disebabkan oleh sejarah mereka (Barat) ke atas pemikiran
orang-orang muda bukan Eropah ialah perasaan rendah diri terhadap budaya, sejarah silam dan
masa depan mereka sendiri. Secara sistematik anak-anak muda ini diajar untuk menghina masa
depan mereka."

Globalisasi memberi ruang kepada manusia di seluruh dunia untuk bergerak dan merentas sempadan
dengan mudah. Sangat sukar bagi sesebuah negara mengekalkan konsep negara bangsa yang
tunggal. Migrasi menyebabkan wujudnya negara pelbagai bangsa kerana manusia berlumba-lumba
mencari kehidupan yang lebih baik.

Tetapi migrasi menyebabkan krisis besar dalam demokrasi. Walaupun demokrasi dikatakan dapat
memberi ruang yang lebih besar kepada masyarakat ketika memilih pemimpin, desakan memberi
ruang kepada pemilihan pemimpin minoriti mengundang polemik. Adakah pemimpin yang dipilih itu
benar-benar mewakili suara kumpulannya atau sebagai boneka sahaja?

Dalam konteks negara pula, mana-mana negara yang gagal melaksanakan demokrasi, rakyat,
pemimpin dan negara akan dikenakan sekatan ekonomi, politik dan sosial. Kanak-kanak, orang tua
dan wanita turut sama merasai tekanan ini kerana masyarakat memberi ruang kepada pemilihan
pemimpin yang bukan demokratik. Keadaan di Myanmar ketika ini adalah contoh bagaimana sebuah
negara dikenakan sekatan, akibat daripada kegagalan melaksanakan demokrasi. Perang Dunia
Kedua dahulu juga boleh dijadikan iktibar. Dengan dua biji bom atom, negara Jepun yang angkuh
dengan slogan "Asia untuk Asia" bertukar menjadi negara demokrasi.

Barat, dengan kuasa kepimpinan dunia berada di tangan mereka boleh melakukan apa sahaja bagi
memaksa sesebuah negara untuk menerima demokrasi.

Ekonomi menjadi tonggak kepada pembangunan sesebuah negara. Bagi mengukuhkan dominasi
ekonomi dunia, kepimpinan Barat mencipta agensi-agensi yang dapat mempertahankan status
quo mereka dalam penguasaan ekonomi dunia. Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa,
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan blok-blok ekonomi diperkasa dengan mengikut telunjuk
Barat.

Kepimpinan Islam berhadapan dengan penguasaan ekonomi Barat yang entah bila akan tamat. Yang
boleh dibuat oleh pemimpin-pemimpin Islam ialah berfikir bagi mempastikan perbelanjaan negara
berada dalam kedudukan yang kukuh dan meningkatkan simpanan. Juga mereka harus berfikir
tentang keupayaan tamadun-tamadun besar dunia memajukan masyarakat mereka seperti di Saba,
Yaman, Babylon di Iraq, empayar Roman dan kerajaan Islam Andalusia.

Isu pengganas dan keselamatan menjadi acahan Barat untuk memaksa masyarakat dunia menerima
dan mengikut kehendak mereka. “Anda bersama kami, atau menjadi musuh,” adalah ucapan
Presiden George W. Bush ketika mencanangkan perang terhadap keganasan. Ucapan tersebut
sangat jelas sebagai pewujudan strategi global Amerika Syarikat untuk menguasai dunia.

Dengan kecenderungan Islamofobia menjadi semakin genting, peranan pemimpin-pemimpin Islam


semakin besar dan usaha memberi kefahaman serta gambaran yang jelas mengenai Islam tidak lagi
dapat dilengahkan. Nabi Muhammad saw, walaupun tidak dapat menguasai satu per tiga dunia
semasa di Mekah dan Madinah, terpaksa juga melalui pelbagai cabaran besar untuk beberapa tahun
berdakwah. Tidak sempat melihat Islam berkembang, baginda saw sebenarnya telah membina model
dunia Islam yang menjadi pemangkin kepada kegemilangan tamadun Islam.

Kesimpulan daripada artikel ini, mengulangi sejarah tamadun Islam sangat sukar ketika umat sedang
lemah. Tetapi semangat kejayaan tentera-tentera Islam menakluki wilayah asing harus disemat dan
dijadikan teladan kerana negara yang ditakluki bukannya berasa takut dengan kehadiran tentera
Islam yang pelbagai latar belakang, sebaliknya kehadiran mereka sangat dinantikan. Tentera-tentera
ini tidak menimbulkan huru-hara sebaliknya membawa keamanan dan kesejahteraan. Diulangi
kembali petikan ucapan Carleton Fiorina, bekas CEO Hewlett-Packard Company iaitu: "Tentera-
tenteranya dianggotai oleh manusia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya
mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingan."

Anda mungkin juga menyukai