Anda di halaman 1dari 11

KURSUS:

GGGA 2232 KEMAHIRAN BERFIKIR DALAM PENDIDIKAN

TAJUK :
REFLEKSI INDIVIDU AMALAN BERFIKIR KENDIRI

DISEDIAKAN OLEH :
MOHAMAD HARIS FAUZAN BIN ROSLAN

NO. MATRIK :
A177079

NAMA PENSYARAH :
DR. MUHAMMAD SYAWAL BIN AMRAN

SESI PENGAJIAN :
TAHUN 2 (SEMESTER 2)
1. REFLEKSI INDIVIDU MENGENAI AMALAN BERFIKIR KENDIRI

I. Proses berfikir yang sering diamalkan oleh saya sebelum ini adalah pemikiran
reflektif. Menurut Campbell-Jones (2002) dalam Germaine L. Taggart and Alfred P.
Wilson (2005) menjelaskan bahawa pemikiran reflektif merupakan satu proses
perbincangan dengan diri sendiri mengenai sesuatu keadaan yang mana individu tersebut
akan menggunakan pengalaman, kepercayaan dan tanggapan dirinya sendiri untuk
tujuan tersebut. Ditambah oleh Risko, Roskos, and Vukelich (2002), proses
perbincangan tersebut menggunakan kedua-dua bentuk iaitu memberitahu sesuatu
kepada diri sendiri, dan menukarkannya kepada bentuk pengetahuan dan tindakan.
Berdasarkan definisi di atas dapat digambarkan bahawa saya merupakan seorang yang
akan berfikir dengan menggunakan pengalaman sedia ada sebelum melakukan sesuatu
keputusan yang dianggap terbaik untuk diri sendiri dan juga orang lain dalam
menyelesaikan sesuatu masalah. Pemikiran jenis reflektif ini merupakan proses
pemikiran yang mana saya harus menganalisis,mentafsir sesuatu masalah terlebih dahulu
serta dikaitkan dengan pengalaman yang telah saya lalui sebelum ini. Hal ini kerana,
seseorang yang mengamalkan proses berfikir secara reflektif ini mahu keputusan yang
diambil oleh mereka adalah keputusan yang wajar dan matang dan mereka akan lebih
bijak dalam mencari alternatif terbaik dalam menyelesaikan masalah berdasarkan
pengalaman yang telah dilalui oleh diri mereka sendiri.

Contoh yang boleh saya kaitkan dengan jenis pemikiran ini dari sudut seorang
pelajar adalah berkaitan dengan keputusan memilih subjek citra yang telah ditawarkan
oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia. Bagi melakukan keputusan pemilihan
subjek saya harus melihat dan menilai terlebih dahulu subjek-subjek yang ditawarkan.
Kemudian penilaian tersebut saya akan kaitkan dengan pengalaman yang telah dilalui
sebelumnya sama ada subjek citra tersebut sesuai dan tidak mengganggu jadual subjek
yang diwajibkan oleh pihak fakulti. Setelah semua aspek pemikiran ini telah
digabungkan keputusan yang terbaik akan saya lakukan bagi pemilihan subjek citra.
II. Pendapat saya mengenai proses berfikir kritis dan kreatif yang saya pelajari dalam
kelas ini ialah saya dapat mengetahui dengan lebih luas ataupun mendalam mengenai
definisi serta lain-lain hal mengenai corak pemikiran kritis dan kreatif. Di sini saya
ringkaskan mengenai definisi proses berfikir kreatif dan kritis. Definisi bagi pemikiran
kreatif ialah proses memperkembangkan daya imaginasi, inovasi, dan kreativiti untuk
mendapatkan idea yang baru dan berkualiti manakala definisi bagi pemikiran kritis pula
ialah pemikiran yang merujuk kepada kebolehan menilai kemunasabahan sesuatu idea.
Antara contoh lain yang saya peroleh daripada kelas kemahiran berfikir ini ialah
berkaitan dengan kajian serta pandangan ahli psikologi kognitif yang menyatakan minda
kita mempunyai dua fasa yang dikaitkan dengan proses berfikir kritis dan kreatif ini.
Fasa pertama ialah fasa pengeluaran idea yang melibatkan proses pemikiran kreatif
manakala fasa kedua ialah fasa menghakimi idea yang melibatkan proses pemikiran
kritis. Secara tidak langsung saya dapat membezakan proses pemikiran kreatif dan kritis
itu sendiri. Selain itu, pada pandangan saya setiap daripada kita mempunyai pemikiran
kritis dan kreatif yang tersendiri namun yang membezakan pemikiran antara kita adalah
penilaian atau kualiti terhadap sesebuah pemikiran kreatif itu sendiri. Sebagai contoh,
terdapat seseorang yang mampu mengeluarkan pelbagai idea yang kreatif namun kurang
dari segi menghakimi atau meneliti kualiti idea tersebut dan ada juga yang mengeluarkan
idea yang kreatif serta turut memberi penelitian yang baik terhadap pemikiran tersebut
untuk memperbaiki dan menjadikannya lebih baik. Oleh itu, jelaslah bahawa pemikiran
kreatif dan kritis ini saling berkait dalam menghasilkan kualiti idea dan hasil kerja yang
terbaik dalam apa jua keadaan terutamanya ketika menyelesaikan masalah.
III. Pada pendapat saya, saya harus memperbaiki cara pemikiran yang sering saya
amalkan iaitu pemikiran reflektif. Hal ini kerana, pemikiran jenis ini boleh dianggap
proses pemikiran yang mana 80% bergantung kepada pengalaman dalam menghasilkan
sesuatu keputusan. Sekiranya saya menghadapi sesuatu masalah yang sebelumnya saya
tidak pernah lalui, sedikit sebanyak akan menyukarkan saya dalam mencari solusi
terbaik. Oleh hal yang demikian, saya menganggap saya juga harus menggunakan
pemikiran kreatif dan kritis sebagai proses pemikiran diri dalam menyelesaikan sesuatu
masalah. Hal ini kerana, sekiranya saya menggunakan atau menggabungkan proses
pemikiran reflektif serta proses pemikiran kreatif dan kritis dalam kehidupan harian saya
sebagai contohnya, secara tidak langsung saya akan dapat menggunakan elemen
kepelbagai idea, penilaian idea serta pengalaman dalam mencari jawapan atau jalan
penyelesaian terbaik. Gabungan proses pemikiran ini sudah semestinya sangat
membantu dan mempengaruhi diri saya dalam mencari kualiti idea yang terbaik dalam
apa jua situasi. Bagi proses pemikiran kreatif dan kritis ini sudah semestinya tidak asing
bagi saya untuk mengamalkan jenis pemikiran ini. Ini kerana, jenis pemikiran ini saya
telah diajar atau diberi pendedahan sejak dari bangku sekolah lagi. Pemikiran kreatif dan
kritis ini seringkali diajar oleh guru di sekolah antara contoh tugasan pemikiran kreatif
dan kritis yang diberikan oleh guru ialah tugasan membanding dan membeza misalnya
seperti membanding dan membeza antara dua tokoh iaitu antara Tun Abdul Razak
dengan Tengku Abdul Rahman. Pendedahan yang saya dapat di sekolah ini dikukuhkan
lagi dengan tujuan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mahu melahirkan
generasi masa depan Malaysia yang seimbang serta menguasai kemahiran abad ke-21
selain murid yang mampu menguasai kemahiran abad ke-21 dengan kebolehan dan
kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif mampu untuk bersaing di peringkat
global. Oleh itu, untuk mengamalkan amalan pemikiran kreatif dan kritis ini sebagai
proses pemikiran harian tidak akan menjadi permasalahan yang besar kerana
pendedahan jenis pemikiran ini sudah saya peroleh ketika di bangku sekolah.
2. PANDANGAN MENGENAI PERLAKSANAAN PDPR SEPANJANG
PANDEMIK COVID-19

Pandemik Covid-19 atau dikenali sebagai pandemik korona virus merupakan


suatu wabak penyakit yang sedang melanda seluruh negara di dunia. Setiap
daripada negara di dunia sedang bertungkus lumus dalam menangani wabak
penyakit yang mampu meragut nyawa rakyat di negara masing-masing. Pelbagai
kesan negatif yang harus dihadapi oleh semua pihak terutamanya negara kita sejak
dari hari pertama pandemik Covid-19 ini melanda. Salah satu kesan negatif yang
harus dihadapi oleh negara kita ialah dari sektor pendidikan. Hal ini kerana,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terpaksa mengumumkan penutupan
sekolah serta institusi pengajian tinggi dan mengeluarkan arahan supaya
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijalankan pada tempoh
ditetapkan bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19 ini terus berleluasa
dalam kalangan pelajar. Sudah semestinya keputusan yang dilakukan oleh pihak
KPM ini memberi kelegaan kepada ibu bapa dari segi keselamatan anak mereka
namun merupakan satu cabaran kepada para guru dalam meneruskan proses
pengajaran dan pembelajaran melalui alam maya.Perkara ini akan dapat saya
kukuhkan lagi dengan lampiran hasil soal selidik atau pertanyaan saya kepada pihak
pengurusan sekolah, guru, ibu bapa serta pelajar. Kaedah yang saya gunakan untuk
soal selidik atau pertanyaan ini adalah melalui Google Form dan juga perbualan
menerusi aplikasi WhatsApp dalam mendapatkan pandangan mereka mengenai
PdPR ini.
Berikut merupakan lampiran pandangan pihak pengurusan sekolah.

Bagi pandangan daripada pihak pengurusan, saya berjaya mendapatkan pandangan


daripada dua orang guru yang berlainan sekolah. Salah seorang daripada guru tersebut merupakan
Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Haji Wahab dan seorang lagi guru merupakan Penolong Kanan
di Sekolah Kebangsaan Hosba. Kedua-dua sekolah ini bertempat di negeri Kedah. Secara ringkas,
hasil daripada pandangan kedua orang guru ini saya boleh simpulkan bahawa setiap sekolah
mempunyai kaedah ataupun cara yang tersendiri dalam memastikan sekolah dapat memberikan
pengajaran yang terbaik dan berkesan kepada para pelajar. Sebagai contoh, kita dapat lihat pada
lampiran di atas bahawa terdapat dua kaedah berbeza yang digunakan oleh pihak pengurusan
sekolah dalam membantu guru melaksanakan PdPR yang mana pengurusan SK Haji Wahab
menyediakan jadual anjal untuk para guru manakala pengurusan SK Hosba mengadakan
perbincangan ataupun mesyuarat berkaitan masalah yang dihadapi guru dalam melaksanakan
PdPR. Oleh itu, jelaslah bahawa guru sentiasa mempunyai solusi terbaik dalam memberi
pembelajaran yang berkesan kepada anak murid biarpun harus menghadapi Pengajaran dan
Pembelajaran di Rumah. Seterusnya, saya akan lampirkan perbualan menerusi aplikasi WhatsApp
dengan seorang guru yang bernama Puan Che Noriza Binti Samat. Beliau mengajar di Sekolah
Kebangsaan Seri Banai, Jitra Kedah. Berikut merupakan perbualan melalui aplikasi Whatsapp
antara saya dan guru tersebut.
Rumusan hasil daripada perbualan ini ialah Cikgu Noriza merasakan terdapat sedikit bebanan
yang dilaluinya dalam menghadapi PdPR dalam tempoh pandemik Covid-19 ini. Namun begitu,
beliau berpendapat bahawa PdPR ini harus dilakukan sepanjang tempoh pandemik agar murid-
murid tidak ketinggalan dalam menimba ilmu bagi setiap matapelajaran yang dipelajari oleh
mereka. Antara bebanan yang dirasakan oleh beliau ialah tuntutan daripada pihak atasan seperti
Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) ataupun Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang mahukan para guru
melaksanakan kaedah penyampaian terbaik seperti Google Meet, Zoom, dan sebagainya tanpa
menghiraukan kawasan sesebuah sekolah tersebut. Beliau merasakan agak sukar untuk anak
muridnya mengikuti kelas melalui kaedah tersebut memandangkan sekolah tersebut bertempat di
kawasan pedalaman dan kebanyakan murid tinggal di perkampungan itu. Sudah semestinya
capaian internet yang lemah akan menjadi punca utama kepada semua pihak dalam menjalankan
PdPR dengan baik. Seperti yang disebutkan dalam lampiran pihak pengurusan di atas, setiap
sekolah dan juga guru pasti mempunyai cara atau strategi yang tersendiri dalam menangani
masalah ini. Sebagai contoh, strategi pengajaran yang digunakan oleh Cikgu Noriza ialah beliau
melakukan kelas secara alam maya bagi murid-murid yang dapat mengikuti kelas tersebut
seterusnya beliau akan menghantar nota isi pembelajaran dalam kumpulan WhatsApp bagi
membolehkan pelajar yang mempunyai masalah capaian internet tidak ketinggalan dalam
pembelajaran yang beliau ajar.

Bagi sudut pandangan pelajar pula, saya berjaya mendapatkan pandangan daripada dua
individu yang mana seorang merupakan pelajar sekolah dan seorang lagi merupakan mahasiswa
institusi pengajian tinggi (IPT). Secara ringkasnya, kedua-dua pelajar ini mempunyai cabaran yang
berbeza sepanjang menghadapi kelas PdPR dalam tempoh pandemik Covid-19 ini. Bagi
Muhammad Amirul Hakim Bin Abdul Ghani yang merupakan mahasiswa di Universiti Teknologi
Mara (UITM) dia berpendapat bahawa cabaran utama yang dihadapi oleh dirinya adalah tahap
fokus belajar dan dia harus mengambil langkah untuk belajar secara bersendirian terutamanya
ketika dia tidak dapat menghadiri kelas dek kerana masalah capaian internet. Ini bermakna dia
harus berusaha lebih dari kebiasaan yang dilakukannya untuk memahami setiap pembelajaran yang
diikutinya. Hal ini berbeza dengan pendapat salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
Tanjung Pauh yang mana tahap capaian internet merupakan cabaran utama baginya dalam
mengikuti setiap kelas PdPR. Namun begitu, kedua-dua pelajar ini bersetuju sekiranya PdPR ini
diadakan sepanjang tempoh wabak Covid-19 ini melanda negara.
Berikut merupakan lampiran pendapat mahasiswa dan pelajar tersebut.

Tidak lengkap sekiranya saya tidak sertakan sekali pendapat ibu bapa mengenai pengajaran
dan pembelajaran di rumah (PdPR). Bagi sudut pandangan ini saya berjaya mendapatkan
pandangan daripada seorang ibu dan juga seorang bapa. Hal ini kerana, sepanjang tempoh
pandemik ini ibu bapa merupakan tunjang utama kepada anak dalam mengikuti kelas yang telah
diatur oleh pihak sekolah. Ibu tersebut menguruskan anaknya yang bersekolah di Sekolah
Menengah Kebangsaan Teluk Kumbar yang bertempat di Pulau Pinang, manakala pandangan dari
seorang bapa pula saya berjaya mendapat pandangan daripada Encik Roslan yang menguruskan
anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jitra 2 yang terletak di Kedah.. Berdasarkan soal
selidik terhadap kedua ibu bapa ini, mereka bersetuju bahawa masalah utama dalam mengurus
anak-anak melalui proses PdPR ini ialah pengurusan serta tahap pencapaian internet yang lemah.
Perkara ini sedikit sebanyak akan mengganggu kelancaran pembelajaran anak mereka. Walau
bagaimanapun ibu dan bapa ini berpendapat kaedah yang digunakan oleh pihak sekolah sangat
bersesuaian dan dapat diikuti oleh anak mereka. Kedua ibu bapa ini juga mempunyai cara
tersendiri dalam membimbing anak mereka dalam pelajaran sepanjang tempoh wabak Covid-19
ini melanda negara iaitu dengan cara sentiasa memantau anak mereka semasa kelas berlangsung.
Di bawah ini saya akan lampirkan hasil soal selidik saya berkaitan dengan pendapat ibu bapa yang
telah saya rumuskan ini.

Berikut merupakan lampiran pandangan Ibu dan Bapa.

Tuntasnya, setiap pihak mempunyai peranan yang tersendiri dalam menghadapi


Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini. Pihak
sekolah dan ibu bapa merupakan tunjang utama dalam memastikan anak atau pelajar dapat
mengikuti jadual pembelajaran dengan baik dan berkesan. Hasil daripada sudut pandang setiap
pihak yang terlibat sangat jelas bahawa tahap capaian internet yang lemah merupakan masalah
atau cabaran utama dalam mengikuti kelas PdPR ini. Oleh itu, para guru harus bertolak ansur
dengan pelajar dalam menyelasaikan masalah tersebut dan sudah semestinya setiap guru ataupun
pihak sekolah mempunyai solusi terbaik dalam menyelesaikan masalah ini. Perkara ini dapat saya
kukuhkan lagi dengan lampiran yang telah saya bentangkan di atas.
RUJUKAN

1. http://anne9882edu.blogspot.com/2012/06/pemikiran-kritis-dan-kemahiran.html
2. http://kemberfikir.blogspot.com/2010/05/pemikiran-reflektif-metakognisi-dalam-p.html
3. https://www.moe.gov.my/menumedia/media-cetak/penerbitan/kbat/1336-kemahiran-
berfikir-aras-tinggi-aplikasi-di-sekolah-2014/file
4. https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2021/05/812576/teliti-cabaran-
dihadapi-guru-murid-dalam-pdpr

Anda mungkin juga menyukai