Anda di halaman 1dari 2

PERANAN ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi bicara
semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan
oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah
pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak
cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang
digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal?
Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan
untuk membantu menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi
amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah
kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang
dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih dan oleh itu
prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.
Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu
bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu
bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka.
Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti
ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang
bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang
yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana
keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-
anak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan
yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga
kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis
untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu
bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk
ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan
dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah
satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas kepada generasi muda
tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan tonggak utama
keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis
tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah
kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang
mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya
menjadi insan yang berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang
berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka mempunyai
keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti
mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah
laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka.
Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah
Pendidikan Negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan ibu
bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan
menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh
terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu
bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila
berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu
bapa mereka dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati
peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak
hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak
menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak
hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh
keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu
diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang
benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu
membahagiakan mereka.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-
legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam mempraktikkan hal ini,
anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan
kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat
mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep
muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu
mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja
cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan
kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan
malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini
sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang
dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang
menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya,
memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka
menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh
dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua perspektif yang
berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang
keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian,
seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi
merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin
selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan
diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak
hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa
mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan
membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa
bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya,
memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yang penting dan utama untuk
membahagiakan ibu bapa.

Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak
untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa
mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di
tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu
ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-
anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu,
selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk
memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna
dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi
Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu
menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.

[1230 patah perkataan]

Anda mungkin juga menyukai