Anda di halaman 1dari 16

JID2020 KOMUNIKASI KORPORAT DALAM LINGUISTIK

TUGASAN BERKUMPULAN

Disediakan oleh:

KUMPULAN 1

NAMA AHLI NO. MATRIK

ADRIANA NAJIHAH BINTI MOHD RUZI U2102608

NUR HAZWANI BINTI JAMIL U2102628

SITI NORIFFA ASYIRAH BINTI ABD SHUKOR U2102560

Disediakan untuk:

DR. MARDIAN SHAH OMAR


PENGENALAN
Komunikasi merupakan proses pertukaran idea dan maklumat antara dua individu atau lebih.
Hal ini adalah bertujuan untuk berkongsi maklumat dan pengalaman bagi mencari persamaan.
Komunikasi ini boleh berlaku dengan dua keadaan secara lisan atau secara tulisan. Komunikasi
juga boleh dilakukan melalui pelbagai deria yang ada pada manusia. Komunikasi lisan
merupakan komunikasi yang berlaku apabila terdapat dua atau tiga komunikator yang duduk
secara bersemuka atau dalam peristiwa bahasa seperti perbualan dalam telefon. Komunikasi
lisan boleh dinyatakan dengan suara dan penggunaan perkataan. Komunikasi lisan juga dapat
menentukan bila bermula dan berakhir. Komunikasi bukan lisan pula bermaksud komunikasi
yang berlaku tanpa menggunakan sebarang perkataan dan kandungannya boleh menunjukkan
maksud tersirat. Komunikasi secara lisan sukar untuk dipastikan bila berakhir. Menurut James
A.F. Stoner & Charles Wankel (1989) komunikasi merupakan cara manusia berhubung yang
melibatkan pengertian atau maksud yang dikongsi. Perkara-perkara yang dikongsi memerlukan
persetujuan atas syarat dan bersetuju dengan definisi istilah-istilah yang digunakan berdasarkan
sesuatu simbolik seperti isyarat, huruf, nombor dan perkataan yang melambangkan atau
menyerupai idea-idea yang dapat menyampaikan maksud. Komunikasi amat memainkan
peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Sebagai contoh seorang ahli sosiologi
untuk melahirkan institusi sosial dan memberi pengaruh ke atas budaya dan struktur sosial.
Kemahiran berkomunikasi merupakan keupayaan untuk bertukar pandangan, pendapat,
idea dan sebagainya dengan cara yang baik dan mudah difahami. Kemahiran berkomunikasi
sangat penting dalam mempengaruhi keadaan sekeliling. Kemahiran berkomunikasi juga
adalah penting untuk kehidupan seharian.Kemahiran berkomunikasi juga merupakan salah satu
elemen yang sangat penting perlu ada dalam diri seseorang khususnya seorang pelajar untuk
memenuhi keperluan pelajar semasa proses pembelajaran, persiapan untuk menempuhi alam
pekerjaan ataupun dalam interaksi sosial. Kemahiran ini adalah berkaitan dengan suatu
kebolehan dalam mewujudkan interaksi atau hubungan melalui medium perantara atau
sebaliknya dengan orang lain. Abdul Aziz Yusof (2003) mengatakan bahawa komunikasi
melibatkan penyampaian idea dan perasaan kepada pihak yang lain. Maklumat yang ingin
disampaikan daripada satu pihak kepada pihak yang lain tidak akan berlaku tanpa
berkomunikasi. Melalui komunikasi, setiap individu yang terlibat akan mempengaruhi
pemahaman, sikap dan tindakan pihak lain sama ada mereka bersetuju atau tidak bersetuju
dengan kenyataan yang diberikan.
Pada pandangan Sulaiman (2010), tunjang utama dalam diri seseorang dalam menjalani
kehidupan seharian merupakan proses komunikasi. Hal ini kerana komunikasi merupakan

1
proses yang perlu dilalui dalam menjalani aktiviti seharian. Dan hal ini terjadi kerana wujudnya
interaksi antara dua individu tanpa dapat dielakkan. Komunikasi bukan sahaja berlaku dalam
pertuturan malah berlaku melalui mendengar, membaca menulis, berhujah, mendengar, etika
dalam berkomunikasi dan gerak badan. Menurut Amir Sharifuddin (2011) pula mengatakan
komunikasi merupakan cara untuk menyampaikan sesuatu maklumat. Kemahiran
berkomunikasi merupakan kemahiran yang perlu diambil penekanan dalam kehidupan. Hal ini
adalah disebabkan oleh sesuatu maklumat yang diberikan berkemungkinan akan disalah
tafsirkan oleh penerima maklumat akibat daripada kesilapan penyampaian dan penerima
maklumat dalam komunikasi. Sesebuah institusi pendidikan, kemahiran ini merupakan nadi
utama yang menjadi medium bagi menyampaikan sesuatu maklumat. Kemahiran ini dikenali
juga sebagai kemahiran untuk berhubung dengan orang lain. Oleh yang demikian, kemahiran
ini melibatkan kawalan nada suara dan pendengaran yang aktif. Kemahiran berkomunikasi
dalam diri seseorang dapat dilihat melalui komunikasi yang baik melibatkan orang lain dalam
urusan seharian. Penguasaan yang baik ini akan dapat memajukan diri seseorang dalam
pelbagai bidang yang diceburinya. Kemahiran ini dapat dilihat melalui beberapa aspek iaitu
aspek kemahiran bukan lisan, kemahiran menyampaikan idea secara lisan dan bertulis dengan
berkesan serta berkebolehan berinteraksi secara berkesan.
Kemahiran berkomunikasi ini juga sangat signifikan terutamanya kepada pelajar-pelajar
institut pengajian tinggi (IPT). Oleh itu, bahagian seterusnya akan membincangkan faktor-
faktor pelajar IPT lemah dalam berkomunikasi, kesan-kesan sekiranya mereka lemah dalam
berkomunikasi dan cadangan-cadangan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam
kalangan pelajar IPT.

FAKTOR-FAKTOR PELAJAR IPT LEMAH DALAM BERKOMUNIKASI


Kemahiran berkomunikasi merupakan suatu kemahiran insaniah yang perlu ada dalam diri
setiap pelajar IPT untuk berhubung dan berinteraksi dengan individu lain. Hal ini sinonim
dengan pernyataan Abdul Rahman Abdul Aziz (2000) bahawa kebolehan komunikasi adalah
pencapaian manusia yang paling berharga kerana kebolehan ini telah membolehkan manusia
berhubung antara satu dengan lain. Namun begitu, akhir-akhir ini, kita dapati bahawa
kemahiran berinteraksi dalam diri pelajar IPT semakin lemah dan membimbangkan. Hal ini
berlaku disebabkan oleh beberapa faktor.
Antara sebab pelajar IPT lemah dalam berkomunikasi termasuklah kerana kurang
keyakinan ketika berkomunikasi. Keyakinan diri yang rendah juga akan mempengaruhi
komunikasi seseorang apabila berinteraksi dengan individu lain. Latar peribadi pelajar yang

2
terlalu khuatir, takut, malu dan gugup akan menyebabkan mereka kurang yakin untuk berbicara
di khalayak ramai. Perasaan gugup yang berterusan akan membuatkan seseorang itu gelabah
sehingga tidak mampu menyampaikan maklumat melalui komunikasi atau perkongsian yang
baik. Tambahan pula, apabila berada di hadapan khalayak, seseorang pelajar misalnya akan
berasa malu kerana diperhatikan oleh ramai orang. Menurut Jamilah et. al. (2015), perasaan
gementar dan malu menyebabkan seseorang individu menjadi takut sekaligus kurangnya
keyakinan diri untuk berucap di hadapan audien. Perasaan gemuruh atau dikenali sebagai
“glossophobia” juga mampu mempengaruhi ucapan seseorang. Hal ini kerana menurut
Hancock, Stone, Brundage dan Zeigler (2010), “glossophobia” yang dialami oleh sesetengah
orang akan mengakibatkan kesan buruk yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti mereka
terutamanya dalam bidang pengucapan awam. Bukan itu sahaja, aprehensi komunikasi juga
berlaku apabila persiapan yang terancang tidak dilakukan sebelum berlakunya penyampaian
komunikasi (Kelly & Keaten, 2000). Hal ini juga menjadi sebab seseorang pelajar itu kurang
keyakinan diri untuk berkomunikasi. Persediaan sebelum seseorang mengujarkan sesuatu
adalah sangat penting kerana perkara ini akan mendorong seseorang untuk menyampaikan
maklumat dengan lebih efektif kepada audien. Sekiranya seorang pelajar tidak mengawal
perasaan gugup dan gementar serta tidak membuat persediaan awal, maka hal ini akan
mengganggu komunikasinya sendiri. Menurut kajian sains, kegugupan berlaku apabila kelenjar
adrenalin merembeskan hormonnya pada minit pertama dan kedua kita berucap. Semakin mahir
seseorang mengawalnya, semakin kurang kelihatan tanda kegugupan tersebut (Azlina, 2015).
Persediaan yang mantap dan terperinci harus dilakukan bagi mengurangkan atau mengelakkan
berlakukan ketakutan dalam pengucapan awam. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa
kurang keyakinan diri untuk berkomunikasi adalah sebab utama pelajar IPT lemah dalam
berkomunikasi.
Selain itu, isu bahasa dan dialek juga merupakan faktor yang menyebabkan kegagalan
penyampaian mesej dalam komunikasi para pelajar IPT. Penguasaan bahasa yang lemah boleh
menyebabkan mesej yang ingin disampaikan tidak dapat disampaikan dengan sempurna dan
berkesan kepada audien. Tahap penguasaan bahasa turut mempengaruhi keyakinan individu
untuk berucap. Kebanyakan individu bukan hanya mempunyai masalah berkomunikasi dalam
bahasa Inggeris sahaja, tetapi juga dalam Bahasa Melayu (Nurul Salmi & Mohd Isha, 2014).
Seorang komunikator hendaklah memilih penggunaan bahasa, dialek dan seumpamanya yang
berwajaran di samping melibatkan proses penyelidikan terutama dalam aspek penganalisaan
pendapat kumpulan sasaran. Bahasa dan ayat mempunyai aura dan kuasa memukau pendengar
supaya perhatian tertumpu kepada mesej yang ingin disampaikan. Manakala penggunaan dialek

3
pula harus digunakan secara berhati-hati untuk mengelakkan salah faham dalam memahami
mesej yang cuba disampaikan oleh sumber kepada penerima (Sayed Mahussain & Fathiah,
2010). Namun begitu, seseorang yang mempunyai kefasihan dalam beberapa bahasa akan
memilih untuk berkomunikasi dalam bahasa ibundanya atau bahasa dirasanya paling biasa dan
selesa (Sa’adiah, 2015). Dalam aspek bahasa juga, para pelajar mempunyai halangan dari aspek
semantik yang digunakan semasa bertutur. Istilah semantik merujuk kepada perkembangan dan
perubahan makna dalam bahasa. Komunikasi yang berkesan sangat mementingkan maklumat
yang akan disampaikan. Hubungan bahasa antara setiap penutur memerlukan persefahaman
supaya pertuturan dapat difahami. Pemilihan perkataan oleh komunikator dalam pengucapan
awam sangat penting dengan menitikberatkan kepelbagaian tafsiran makna perkataan.
Contohnya, perkataan ‘lawa’ membawa maksud cantik bagi masyarakat di Semenanjung
Malaysia, tetapi berlainan pula bagi masyarakat Sarawak, ‘lawa’ bermaksud sombong. Hal ini
menunjukkan bahawa apabila seseorang pelajar itu tidak menguasai bahasa, semantik serta
maklumat yang akan disampaikan nanti, maka masalah dalam komunikasi akan timbul. Oleh
yang demikian, jelaslah bahawa faktor penguasaan bahasa juga merupakan antara faktor yang
menyebabkan kemahiran komunikasi dalam diri pelajar IPT lemah.
Seterusnya, kekurangan interaksi semasa dalam pembelajaran dalam kelas atau kuliah
juga mampu menjadi faktor kepada kelemahan berkomunikasi pelajar IPT. Menurut Arfah
(1981), komunikasi semasa di dalam kelas mempengaruhi komunikasi seseorang semasa berada
di luar kelas. Ini adalah kerana pensyarah dan pelajar menggunakan strategi komunikasi yang
sama semasa berada di luar bilik kuliah tetapi tidak semasa di dalam bilik kuliah. Pensyarah
dan pelajar mampu untuk berinteraksi kecuali pada masa-masa tertentu akan berlaku
komunikasi tidak berkesan apabila kedua-dua pihak tidak memahami antara satu sama lain.
Bukan itu sahaja, sesetengah pelajar juga hanya bersifat pasif ketika dalam pembelajaran tanpa
mencuba untuk menyuarakan idea dan pendapat. Sesetengah pelajar juga kurang berminat
sekiranya aktiviti pembentangan kertas kerja atau tugasan dilakukan di dalam kelas (Abdillah
& Suriani, 2011). Ini turut disokong oleh Koh Chee Kiat (2000), tanpa komunikasi dua hala,
sesi pengajaran dan pembelajaran tidak mungkin mendapat keberkesanan. Kebanyakan pelajar
lebih suka berdiam diri apabila diajukan soalan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
Mereka malu untuk bercakap kerana mereka kurang kemahiran komunikasi. Suasana pasif
menyusahkan proses pengajaran dan pembelajaran kerana pensyarah tidak tahu tahap
penerimaan mereka. Keadaan sedemikian sememangnya bukan iklim yang unggul untuk
pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini akan mempengaruhi mereka apabila berada di luar
bilik kuliah. Hal ini sangat membimbangkan kerana aktiviti soal jawab dan pembentangan

4
adalah antara wadah yang amat berkesan bagi meningkatkan kemahiran berkomunikasi pelajar.
Hal ini juga akan membantu mereka untuk lebih yakin ketika berinteraksi dengan khalayak.
Bukan itu sahaja, Terdapat pelbagai aktiviti dan program yang mampu mengasah kemahiran
berkomunikasi pelajar seperti pengucapan awam, pidato dan sebagainya, namun hanya
segelintir pelajar sahaja yang berminat menceburkan diri. Majoriti pelajar lebih berminat untuk
melibatkan diri dalam program dan aktiviti yang kurang interaksi seperti membuat poster dan
lain-lain. Hal ini amat membimbangkan kerana mereka akan menjalani proses temuduga untuk
pekerjaan kelak yang semestinya memerlukan kemahiran berkomunikasi yang sangat baik
untuk meyakinkan para majikan. Hal ini kerana menurut Nur Hafizah (2007), kebanyakan
majikan pada masa kini memerlukan pekerja yang bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal
tetapi juga memerlukan kemahiran generik (kemahiran komunikasi) untuk meningkatkan
produktiviti sesebuah syarikat. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa kurangnya interaksi
semasa pembelajaran dalam kuliah merupakan antara faktor kemahiran komunikasi pelajar IPT
berada pada tahap yang lemah.
Faktor budaya juga merupakan sebab kemahiran berkomunikasi pelajar IPT lemah. Ini
disokong oleh kenyataan Koh Chee Kiat (2000), seseorang yang mempunyai latar belakang
budaya yang berlainan mempunyai tahap kemahiran untuk berkomunikasi yang juga berlainan.
Sebagai contoh, pelajar yang berasal dari kawasan luar bandar mempunyai sikap pasif iaitu
kurang bercakap tetapi keadaan ini amat berbeza dengan pelajar-pelajar yang berasal dari
sekolah-sekolah bandar di mana pelajarnya golongan pelajar yang aktif. Ini bermakna budaya
atau gaya hidup seseorang mempengaruhi kemahiran komunikasi mereka. Ini adalah kerana
komunikasi dipengaruhi oleh faktor antara perseorangan dan budaya. Walaupun dari budaya
yang sama (sama-sama Malaysia), tetapi dari kawasan yang berbeza, misalnya, seorang orang
utara dan seorang lagi dari pantai timur, ia menyebabkan kesukaran untuk berinteraksi
sekiranya tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Apatah lagi jika seorang itu dari
luar negara seperti Jepun atau Amerika. Komunikasi yang berkesan adalah proses
mengurangkan salah faham antara satu sama lain (Saodah Wok et. al, 2003). Institut pelajaran
tinggi merupakan institusi pendidikan yang menempatkan pelajar-pelajar daripada pelbagai
latar belakang, budaya, kaum yang berbeza bahasa ibunda. Hal ini memerlukan pelajar untuk
menguasai bahasa mereka untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Perbezaan ini akan
menjadikan jurang antara pelajar lebih jauh dan meminimakan komunikasi antara mereka.
Sebagai contoh, pelajar yang berasal dari kaum Cina akan memilih untuk berkawan dan
berinteraksi dengan rakan-rakan yang sama kaum dengannya. Begitu juga dengan pelajar-
pelajar dari kaum lain seperti Melayu, India dan sebagainya. Oleh hal yang demikian,

5
kemahiran berkomunikasi dalam diri pelajar tidak dapat diasah dan hal ini akan lebih
merisaukan. Oleh itu, jelaslah bahawa perbezaan budaya dan latar belakang juga menjadikan
pelajar kurang berinteraksi sekaligus melemahkan kemahiran berkomunikasi mereka.
Faktor terakhir yang menyebabkan kemahiran berkomunikasi pelajar IPT berada pada
tahap yang lemah ialah pengaruh gajet. Pengaruh gajet pada dunia zaman kini amat meluas.
Tidak disangkal lagi sekiranya semua golongan mempunyai gajet masing-masing untuk
menjalankan aktiviti seharian. Seperti yang kita sedia maklum, gajet banyak mendatangkan
faedah, namun begitu jika disalah guna maka akan mengundang kesan negatif. Para pelajar IPT
semestinya mempunyai gajet, tetapi apakah gajet ini memberi manfaat kepada mereka? Dalam
aktiviti pembelajaran, gajet sudah semestinya memberikan pelbagai kemudahan untuk pelajar
mengakses internet untuk melakukan carian, menyertai kelas atas talian dan sebagainya. Namun
begitu, pengaruh gajet ini juga telah menjadikan mereka kurang berkomunikasi secara
langsung. Pada masa lapang, anak-anak muda ini lebih gemar menghabiskan masa dengan gajet
mereka untuk melihat media sosial. Hal ini secara tidak langsung telah mengurangkan interaksi
mereka dengan orang sekeliling seperti keluarga, kawan-kawan, pensyarah dan lain-lain.
Apabila tiada interaksi secara bersemuka berlaku, maka ini akan memberi kesan kepada
kemahiran berkomunikasi mereka. Walaupun rata-rata golongan ini dianggap sebagai
‘keyboard warrior’ dalam alam maya, namun di alam nyata mereka hanya pemalu, pendiam
dan kurang berinteraksi. Hal ini amat membimbangkan kerana mereka sepatutnya perlu mahir
dalam kedua-dua bidang ini. Selain itu, menurut Saodah Wok et.al (2003), komunikasi massa
adalah komunikasi yang penting dalam kehidupan seharian. Setiap hari kita menggunakan
media massa sebagai contoh televisyen, radio, majalah akhbar dan sebagainya. Pengaruh media
massa amat besar kerana ia akan mencorakkan hidup manusia sama ada golongan dewasa
mahupun kanak-kanak. Ini juga merangkumi kemahiran komunikasi seseorang. Jelaslah
bahawa pengaruh gajet dan media sosial dalam kehidupan harian pelajar IPT mampu
mempengaruhi komunikasi seseorang pelajar itu sendiri.

KESAN-KESAN KELEMAHAN BERKOMUNIKASI


Kemahiran berkomunikasi yang sangat penting kepada pelajar IPT ini perlu diterapkan dalam
diri setiap daripada mereka. Setiap pelajar IPT perlu mempunyai kemahiran insaniah ini untuk
menjadikan mereka lebih baik antara yang terbaik. Hal ini dikatakan demikian kerana jika
mereka tidak mencungkil atau mengasah kemahiran ini dari sekarang, maka akan timbul banyak
kesan negatif pada masa hadapan.

6
Antara kesan negatif jika kemahiran berkomunikasi lemah dalam diri pelajar IPT
termasuklah kurang daya kebolehpasaran pelajar. Hal ini terutamanya selepas pelajar
bergraduasi dan ketika sedang menjalani proses temuduga untuk pekerjaan kelak. Pelajar akan
mengalami masalah apabila bergelar graduan kelak sekiranya kemahiran ini gagal diterapkan
ketika di alam pendidikan. Ini terbukti apabila terdapat maklum balas daripada pihak majikan
yang mempertikaikan ketidakselarasan antara tahap pencapaian akademik dengan tahap
kemahiran komunikasi di kalangan graduan. Apa yang lebih menyedihkan graduan bukan
hanya mempunyai masalah berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sahaja, tetapi juga dalam
Bahasa Melayu yakni bahasa kebangsaan yang telah menjadi bahasa pengantar sepanjang 11
tahun di alam persekolahan mereka malah lebih (Noorasmahwati, 2008). Menurut Abdul
Rahman (2010), sebab utama kegagalan seseorang dalam pekerjaannya adalah disebabkan oleh
kegagalan mereka mewujudkan interaksi yang positif dengan persekitaran mereka. Ini seiring
dengan dapatan kajian oleh Mamat (2011) yang menyatakan antara faktor utama pengangguran
graduan adalah kerana menghadapi masalah dalam menguasai bahasa Inggeris. Ini kerana
bahasa Inggeris merupakan bahasa yang digunakan secara meluas di dunia. Seiring dengan
peredaran semasa yang menitikberatkan perhubungan secara global, adalah menjadi satu syarat
utama bagi graduan menguasai bahasa Inggeris dengan baik bagi memastikan mampu bersaing
untuk menempatkan diri dalam alam pekerjaan. Sesebuah universiti bukan sahaja perlu
melahirkan graduan yang cemerlang dalam ilmu akademik, tetapi perlu dilengkapi dengan
kemahiran insaniah terutamanya dalam aspek komunikasi (Md Zain et al., 2007). Graduan kini
lebih didedahkan kepada kepentingan pengetahuan teknikal sehingga kurang mengambil berat
berkaitan dengan kemahiran insaniah sepanjang tempoh pembelajaran mereka. Penyataan ini
disokong oleh Ismail (2012) dalam kajian Majlis Tindakan Ekonomi Negara (2003) yang
menyatakan salah satu punca kegagalan para graduan mendapat pekerjaan adalah kurang
kemahiran dari segi komunikasi dan interpersonal. Hassan (2002), Jantan (2005), Mokhtar
(2006) dan Ismail (2012) juga mengatakan bahawa kelulusan akademik di institusi pendidikan
tinggi tidak dapat menjanjikan pasaran pekerjaan, ini adalah kerana keupayaan graduan akan
terjejas jika hanya terikat kepada satu kebolehan atau tidak mempunyai kemahiran insaniah,
terutamanya kemahiran komunikasi. Hal ini menunjukkan kemahiran komunikasi ada secara
tidak langsung memberi kesan kepada pencapaian akademik. Walau bagaimanapun, Azalya
(2007) menyatakan bahawa graduan kini lebih bersifat teoritikal berbanding praktikal. Christina
et al. (2010) juga berpendapat bahawa graduan yang dihasilkan oleh universiti kini kurang
menepati piawaian yang telah ditetapkan majikan dalam proses pengambilan kerja. Ini seiring
dengan kajian yang dibuat oleh Ismail (2012) yang mendapati ramai graduan yang mempunyai

7
pencapaian akademik cemerlang tetapi masih menganggur kerana tidak melepasi sesi temu
duga akibat kurang kemahiran komunikasi. Menurut Armanurah et al. (2009), jumlah graduan
yang mampu memiliki pelbagai kemahiran seperti kemahiran komunikasi seiring dengan
kecemerlangan akademik adalah masih rendah. Ini menunjukkan walaupun kemahiran
komunikasi mampu memberi kesan namun ia bukanlah faktor utama. Oleh hal yang demikian,
jelaslah bahawa jika kemahiran berkomunikasi lemah dalam diri pelajar IPT, maka hal ini akan
menyukarkan mereka untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan nanti.
Selain itu, kemahiran berkomunikasi yang lemah juga akan menjadikan pelajar IPT
dipandang rendah oleh masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, pelajar IPT merupakan
golongan muda yang diharapkan oleh golongan masyarakat untuk memacu negara pada suatu
masa nanti. Golongan ini juga dianggap sebagai pelapis tampuk pimpinan negara dalam
pelbagai sektor pada masa hadapan. Golongan terpelajar ini sering dipandang tinggi oleh
masyarakat dengan pelbagai harapan. Namun begitu, jika kemahiran insaniah yang sepatutnya
telah sebati dengan diri pelajar ini kurang dipraktikkan, maka bagaimana dengan persepsi
masyarakat? Setiap pengucapan atau komunikasi seseorang mencerminkan pemikiran dan
pandangan mereka. Hal ini perlu dipandang serius oleh para pelajar itu sendiri. Oleh hal yang
demikian, jelaslah bahawa persepsi masyarakat yang rendah terhadap pelajar IPT juga
merupakan suatu implikasi jika kemahiran berkomunikasi masih di tahap yang rendah.
Seterusnya, proses penghantaran maklumat menjadi kurang tepat dan sukar difahami.
Intipati terpenting apabila seseorang hendak berkomunikasi dengan orang lain ialah maklumat
atau input yang akan disampaikan. Hal ini kerana seseorang individu bertanggungjawab atas
apa yang diucapkannya. Apabila seseorang pelajar tidak menguasai kemahiran berkomunikasi
dengan baik, maka ini akan menjejaskan interaksi mereka dengan kumpulan sasaran. Hal ini
juga akan mengganggu proses penyampaian maklumat kepada audien. Sebagai contoh, dalam
situasi pembentangan dalam kuliah dan sebagainya, apabila seseorang pelajar terlalu gemuruh
atau malu untuk berucap, maka ini akan mengganggu pengucapannya. Audien yang mendengar
juga akan sukar menerima mesej yang hendak disampaikan. Perkara ini juga akan berulang
semasa proses temuduga nanti jika pelajar masih memandang remeh akan hal ini. Bukan itu
sahaja, majikan akan memandang rendah graduan tersebut kerana prestasi akademik tidak
seiring dengan kemahiran interpersonal mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa antara kesan negatif
sekiranya pelajar masih lemah dalam kemahiran berkomunikasi ialah proses penghantaran
maklumat kurang tepat dan sukar difahami oleh pendengar.
Pelajar IPT juga akan lemah dalam menginterpretasikan diri dan pemikiran mereka
kepada khalayak jika kemahiran berkomunikasi mereka masih pada tahap yang rendah. Hal ini

8
dikatakan demikian kerana apabila seseorang pelajar tidak menguasai kemahiran
berkomunikasi dengan baik, maka pelajar tersebut akan sukar untuk menyuarakan pendapat
atau pemikirannya. Seseorang pelajar semestinya mempunyai pendapat tersendiri dalam
sesuatu perkara, namun jika kemahiran komunikasi masih rendah, buah fikiran itu tidak dapat
dilontarkan dalam sesuatu kumpulan atau individu. Sebagai contoh, jika terdapat seseorang
pelajar yang lantang menyuarakan idea atau pendapatnya dalam sesuatu kumpulan tugasan
misalnya, maka dia akan dianggap sebagi seorang yang mahir berkomunikasi. Jadi, jika
seseorang pelajar hanya bersifat pasif dan tidak menyuarakan pendapat atau berkongsi idea
mereka, perkara ini menunjukkan bahawa kemahiran berkomunikasi pelajar tersebut masih di
tahap yang rendah dan perlu ditangani dengan segera sebelum mereka melangkah kea lam
pekerjaan. Hal ini kerana, jika perkara ini masih berulang ketika seseorang pelajar berada di
alam pekerjaan, maka individu tersebut akan dipandang rendah dan merendahkan daya
saingnya sendiri dengan pekerja-pekerja lain. Hal ini sangat membimbangkan dan perlu
dipandang serius. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa jika seseorang pelajar IPT tersebut
masih lemah dalam berkomunikasi, maka lemahlah daya interpretasi idea dan pemikirannya.
Akhir sekali, implikasi negatif sekiranya kemahiran berkomunikasi masih lemah dalam
diri pelajar IPT termasuklah kurangnya adab dan etika. Seseorang yang mempunyai kemahiran
berkomunikasi yang baik akan mengetahui etika atau adab ketika berbicara dengan individu
lain yang berlainan jantina, umur, pangkat dan sebagainya. Sebaagaimana dalam bahasa
Melayu itu sendiri, kita mempunyai adab dan etika untuk berinteraksi dengan orang lain baik
dari segi gelaran, panggilan kehormat dan sebagainya. Hal ini sangat penting dalam komunikasi
harian kita terutamanya dalam situasi rasmi mahupun tidak. Masyarakat akan memandang
tinggi terhadap seseorang individu yang bijak mengatur pengucapannya. Sebaliknya, jika
individu tersebut lemah dalam komunikasinya, maka ini akan mempengaruhi etika dan adab
ketika berbicara. Golongan muda kini yang lebih sinonim dengan media sosial misalnya lebih
membimbangkan kerana mereka kurang berkomunikasi secara bersemuka. Sebagai contoh,
ketika pandemic melanda negara, aktiviti pembelajaran terpaksa dijalankan secara atas talian.
Walaupun terpaksa berkomunikasi secara maya dengan perkembangan teknologi seperti
WhatsApp, Telegram, Facebook, e-mel dan lain-lain kemudahan tele-mesyuarat yang telah
memudahkan proses komunikasi dan interaksi untuk berlangsung secara maya, generasi muda
masa kini sudah pasti tidak mempunyai sebarang masalah untuk berhadapan dan menguruskan
teknologi sebegini. Namun, wujud rungutan dalam kalangan pensyarah tentang cara pelajar
berkomunikasi. Sebagai masyarakat yang kaya dengan adab dan nilai budaya bahasa yang
tinggi, pelajar sepatutnya menyemai etika dan adab yang sopan ketika berkomunikasi. Cara

9
komunikasi boleh memberi gambaran dan cerminan kepada akhlak seseorang pelajar. Para
pelajar tidak seharusnya menggunakan cara berkomunikasi seperti dalam sosial media yang lain
dan perlu bijak dalam menggunakan dan menyusun ayat jelas dan tepat. Pelajar perlu
mengelakkan daripada menggunakan “short form” yang boleh membawa “double meaning”
dan lucah ketika berkomunikasi. Pelajar perlu menyedari bahawa pensyarah bukanlah rakan-
rakan sebaya yang memahami gaya penulisan daripada generasi yang berbeza. Hal ini jelas
menunjukkan jika seseorang itu kurang berinteraksi secara bersemuka, maka individu tersebut
kurang memahami nilai etika semasa berkomunikasi. Jadi, jelaslah bahawa jika seseorang
pelajar itu tidak menguasai kemahiran berkomunikasi, maka ini akan mempengaruhi etika dan
adabnya ketika berinteraksi dengan individu lain.

CADANGAN-CADANGAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN BERKOMUNIKASI


DALAM KALANGAN PELAJAR IPT
Berdasarkan faktor-faktor dan kesan-kesan kelemahan dalam komunikasi, pelajar di institusi
pengajian tinggi itu sendiri hendaklah mengambil langkah yang proaktif untuk meningkatkan
kemahiran berkomunikasi mereka. Kemahiran komunikasi yang lemah akan membuatkan
seseorang itu sukar untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan kepada orang lain. Hal ini
juga akan menimbulkan pelbagai masalah terutamanya dalam kalangan pelajar. Kemahiran
komunikasi yang baik akan memberikan kesan positif pada hubungan yang kukuh dan erat
dengan orang lain. Oleh yang demikian, masyarakat kini terutamanya pelajar institusi pengajian
tinggi perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi yang berkesan.
Antara langkah untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi adalah dengan menjadi
pendengar yang aktif. Pendengar yang aktif bermaksud memberikan tumpuan yang sepenuhnya
dan menunjukkan minat terhadap perkara yang disampaikan dengan bersikap terbuka,
menerima dan tidak menghakimi. Mendengar sesuatu maklumat dengan penuh perhatian bukan
sahaja menjadikan kita pendengar yang baik malah maklumat yang disampaikan akan lebih
berkesan. Setiap maklumat yang diperolehi dengan jelas dan tepat akan membuat seorang
pelajar itu menjadi cemerlang. Hal ini dikatakandemikian kerana, sekiranya terdapat sesi soal
jawab dalam selepas sesi berkomunikasi, pelajar tersebut dapat berhujah, memberi pendapat
dan dapat menambah baik sesuatu maklumat tersebut dengan cara yang betul. Seterusnya, cara
yang baik juga untuk menjadi pendengar yang aktif adalah dengan membuat hubungan mata
dengan penutur. Hubungan mata yang baik akan membuatkan orang yang sedang
berkomunikasi dengan penutur akan fokus terhadap maklumat yang disampaikan dan
memberikan satu perasaan yang sememangnya penutur berkomunikasi dengan orang tersebut.

10
Oleh yang demikian, pendengar akan memberikan sepenuh perhatian dan tumpuan pada
komunikasi tersebut. Perkara ini sangat penting untuk menunjukkan seorang itu pendengar yang
baik dengan melihat mata apabila berkomunikasi. Pendengar yang aktif juga perlu bersabar
semasa penutur sedang bercakap. Tidak mencelah atau melontarkan pandangan sendiri semasa
penutur sedang bercakap dan sekiranya penutur tersebut membuat sebarang kesalahan,
pendengar perlu mengelakkan daripada membetulkan kesalahan tersebut melainkan penutur itu
sendiri yang meminta pendapat daripada pendengar.
Meluahkan emosi dengan cara yang sesuai juga merupakan salah satu cara untuk
meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar IPT. Pelajar IPT biasanya
terdiri daripada golongan remaja yang berjiwa muda. Kebanyakan golongan ini, sukar untuk
mengawal emosi dan hanya ingin mempertahankan pendapat masing-masing. Golongan ini
selalu beranggapan perbuatan dan perkara yang dilakukan sentiasa betul. Oleh yang demikian,
para pelajar IPT ini perlu belajar untuk meluahkan emosi dengan tenang dan terkawal.
Sekiranya, tidak berpuas hati dengan pandangan dan idea orang lain, pelajar tersebut perlu
menggunakan ayat untuk mencelah dan menoloak pandangan tersebut dengan baik agar orang
yang melontarkan pandangan atau idea tersebut tidak berkecil hati. Hal ini akan membarikan
impak negatif terhadap komunikasi dan berkemungkinan akan berlakunya pergaduhan yang
tidak diingini. Selain itu, pendengar mestilah menunjukkan anda sedang mendengar bukannya
menunjukkan giliran untuk bercakap dan kritikan atau pertimbangan terhadap tingkah laku
orang lain perlu dielakkan sebaliknya, menunjukkan minat dengan bertanya dan mendengar
dengan teliti. Komunikasi yang positif adalah komunikasi yang saling memahami antara satu
sama lain. Kemahiran komunikasi akan berlaku bagi setiap pelajar apabila mereka saling
bertukar pendapat dan idea dengan orang lain. Sekiranya, seseorang pelajar tersebut tidak
menunjukkan minat terhadap komunikasi tersebut, hal ini akan mengakibatkan orang yang
melontarkan idea berasa tidak selesa dan malas untuk bercakap. Kesannya, kemahiran dalam
komunikasi akan kurang berlaku dan kerja yang dilakukan akan kurang berkesan.
Cara meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang seterusnya ialah tenang semasa
berlakunya perselisihan faham. Perselisihan faham akan menyebabkan berlakunya pergaduhan.
Perselisihan faham yang berlaku perlulah diselesaikan dengan cara yang baik dan bijak.
Berbincang dengan cara yang baik dan menolak pendapat orang lain juga dengan cara yang
baik. Perselisihan faham ini juga berlaku atas faktor kurangnya kemahiran komunikasi dalam
diri seseorang pelajar. Oleh yang demikian, untuk mengelakkan daripada berlakunya
pergaduhan dalam berkomunikasi pendengar dan penutur perlulah mengelakkan sikap defensif
iaitu sikap mempertahankan pndangan. Fokus pada fakta yang diberikan dan elakkan beremosi

11
semasa mendengar. Bersikap empati dan mengakui perasaan sendiri serta perasaan orang lain
walaupun perkara tersebut kelihatan tidak bermunasabah. Hal ini akan memberikan kesan
positif terhadap komunikasi tersebut dan akan mengelakkan perselisihan faham berlaku.
Penggunaan bahasa badan yang betul merupakan cara meningkatkan kemahiran dalam
berkomunikasi pelajar IPT. Bahasa badan yang digunakan merupakan aspek penting dalam
komunikasi. Pelajar yang bijak berkomunikasi dapat mengawal bahasa badan yang digunakan
dalam percakapan mereka. Antara bahasa badan ialah hubungan mata dan isyarat lisan yang
lain. Bahasa badan yang betul akan menunjukkan pendengar tersebut memberikan tumpuan,
perhatian dan mendengar dengan baik dan fokus. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa
pendengar yang tidak membuat hubungan mata yang betul akan memberikan tanggapan yang
negatif kepada penutur. Penutur akan beranggapan bahawa pendengar tersebut tidak berminat
dengan idea, pendapat, pandangan dan sebagainya yang disampaikan oleh penutur. Oleh yang
demikian setiap pelajar IPT haruslah mempelajari bahasa badan dengan betul agar komunikasi
yang dilakukan akan memberikan kesan yang positif dan maklumat yang disampaikan tercapai.
Akhir sekali, cara yang berkesan untuk pelajar IPT meningkatkan kemahiran
berkomunikasi ialah mengamalkan ketegasan. Bersikap tegas yang dimaksudkan ialah
mengetahui kehendak dan keperluan semasa berkomunikasi. Penutur yang bijak akan bersuara
apabila perlu sahaja dan tidak menggunakan emosi semasa berkomunikasi. Bersikap tegas yang
dimaksudkan juga bukannya hanya sekadar melontarkan pendapat sendiri tetapi bijak dalam
membela diri apabila berkomunikasi dengan penutur bersikap tidak matang. Penggunaan ayat
untuk membela diri tersebut hendaklah menggunakan ayat yang baik dan tidak mengandungi
unsur penghinaan. Seseorang yang mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik dapat
mengawal penggunaan ayat yang tidak sopan dan boleh bertutur dengan nada yang tegas tetapi
tidak akan mencetus pergaduhan atau perselisihan faham dalam komunikasi. Hal ini juga akan
mengelakkan seseorang penutur menjadi seorang yang agresif dan biadap. Oleh yang demikian,
komunikasi yang baik dapat diwujudkan dalam kalangan pelajar IPT dan pelajar IPT bukan
sahaja perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi secara lisan malah perlu mempunyai
kemahiran berkomunikasi secara bukan lisan. Kesannya, hubungan suatu komunikasi akan
berjaya dalam membina hubungan yang lebih baik dengan orang lain.

12
KESIMPULAN
Kesimpulannya, kemahiran berkomunikasi sangat penting untuk pelajar IPT khususnya, kerana
kebolehan berkomunikasi merupakan pencapaian paling berharga yang membolehkan manusia
berhubung antara satu sama lain. Kemahiran berkomunikasi ini juga dapat membantu pelajar
IPT dalam aktiviti pembentangan dalam cara untuk menyampaikan maklumat kepada orang
lain. Hal ini akan memupuk kemahiran berkomunikasi yang berkeyakinan semasa melakukan
pembentangan. Sikap sambil lewa semasa melakukan aktiviti pembentangan dapat dielakkan
kerana kemahiran berkomunikasi yang ada pada diri seseorang pelajar telah mempengaruhi
sikap, pemikiran dan tingkah laku dalam penyampaian idea dengan cara yang baik. Menurut
Abdullah dan Ainon (2000), lima ciri yang mempengaruhi keberkesanan komunikasi iaitu
kefahaman, keseronokan, pengaruh ke atas sikap, perhubungan yang baik, dan adanya tindakan
yang menyusulinya.
Oleh itu, pelajar IPT perlu mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kemahiran
berkomunikasi agar dapat menjadi seorang pelajar yang berjaya. Faktor seperti kurangnya
keyakinan dalam berkomunikasi, isu bahasa dan dialek dan lain-lain akan memberikan impak
yang negatif dalam penyampaian maklumat yang berkesan kepada orang lain. Hasrat untuk
menjadi seorang pelajar yang cemerlang juga akan terbatas kerana kurangnya kemahiran dalam
berkomunikasi. Hal ini juga akan mengakibatkan kurangnya daya kebolehpasaran pelajar.
Jelaslah bahawa kemahiran berkomunikasi sangat penting dalam diri setiap pelajar untuk
meningkatkan kebolehan dalam semua bidang yang diceburi. Oleh yang demikian, para pelajar
IPT perlu berusaha untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang sedia ada dengan
menjadi pendengar yang baik, meluahkan emosi dengan cara yang sesuai, tenang semasa
berlakunya perselisihan faham dan sebagainya. Oleh itu, pelajar yang mempunyai pelbagai
kemahiran berkomunikasi akan memudahkan mereka mendapat pekerjaan pada masa hadapan
kerana pelajar tersebut telah memenuhi kehendak pasaran kerja. Bukan itu sahaja, hal ini juga
bagi menyediakan tenaga kerja yang memenuhi kehendak pasaran kerja semasa dan masa depan
seterusnya memastikan negara terus maju dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

13
RUJUKAN
Azlina Kamaruddin. (2015). Komunikasi dan seni pemujukan. Sintok: UUM Press.
Azlina Kamaruddin. (2017). Analisis Kualitatif terhadap Faktor Kegagalan Komunikasi
Pembujukan dalam Konteks Pengucapan Awam. Jurnal Komunikasi (Malaysian Journal
of Communication), 33(3), 89-106. http://journalarticle.ukm.my/11415/1/20880-59764-
3-PB.pdf
Baccarani, C., & Bonfanti, A. (2015). Effective public speaking: A conceptual framework in
the corporate-communication field. Corporate Communications: An International
Journal, 20(3), 375-390.
Elfering, A., & Grebner, S. (2012). Getting used to academic public speaking: Global self-
esteem predicts habituation in blood pressure response to repeated thesis presentations.
Applied psychophysiology and biofeedback, 37(2), 109-120.
Endahati, N., & Purwanto, E. Ahmad Dahlan. (2016). Analysis of the effectiveness of public
speaking subject module information-technology (IT) based. Journal of English Studies,
3(1), 17-27.
Gargalianou, V., Muehlfeld, K., Urbig, D., & Van Witteloostuijn, A. (2015). The effects of
gender and personality on foreign language anxiety among adult multilinguals (No. 2015-
002). Schumpeter Discussion Papers.
Jamilah, Rani, I., Harun, N., & Putra, B. S. (2015). Kekhuatiran berkomunikasi dalam kalangan
pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa. Proceedings of the 2nd International
Conference on Management and Muamalah 2015 (2ndICoMM) 16th–17th November
2015, 268–275.
Jumali Hj. Selamat., Khaidzir Hj. Ismail, Shahruddin Hj. Ahmad, & Mohd. Helmi Abd. Rahim.
(2012). Pengucapan awam: strategi dan kemahiran. Bangi: Universiti Kebangsaan
Malaysia Press.
Kuehne, L. M., Twardochleb, L. A., Fritschie, K. J., Mims, M. C., Lawrence, D. J., Gibson, P.
P., & Olden, J. D. (2014). Practical science communication strategies for graduate
students. Conservation biology, 28(5), 1225-1235.
Liao, H. A. (2014). Examining the role of collaborative learning in a public speaking course.
College Teaching, 62(2), 47-54.
Lee, S. (2013). Can speaking activities of residents in a virtual world make a difference to their
self-expression? Educational Technology and Society, 16(1), 254–26.

14
Mangkau, I. D. (2012). Penguasaan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar Universiti
Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Prosiding Seminar Pendidikan Ijazah dalam PTV
Kali Ke 2 Tahun 2012, 40-59.
Maizatul Haizan Mahbob, Nik Anis Syaira Megat Ali, Wan Odros Wan Sulaiman dan
Wan Amizah Wan Mahmud. (2019). Komunikasi strategik dan Peranannya Untuk
Mewujudkan Komunikasi Berkesan dalam Organisasi.
Murthy, D. M., & Gosal, M. (2016). A study on Aristotle's rhetoric applied to industrial
communication. British Journal of English Linguistics, 4(1), 64-74.
Nurul Salmi Mohd Dazali dan Mohd Isha Awang. (2014). Tahap Kemaharan Berkomunikasi
dalam Kalangan Pelajar Sarjana Muda Pendidikan IPTA Di Utara Semenanjung
Malaysia. Malay Language Education Journal – MyLEJ, 4(2), 44– 56.
Thomas, G. F., Tymon, W. G., & Thomas, K. W. (2015). Communication apprehension,
interpretive styles, preparation, and performance in oral briefing. Journal of Business
Communication, 31(4), 311-326.
Yahya bin Buntat & Muhamad Shahabudin bin Hassan. Satu Tinjauan di Kalangan Ahli
Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Universiti Teknologi Malaysia.
http://eprints.utm.my/id/eprint/10998/1/Kemahiran_Komunikasi_Dalam_Meningkatkan
_Keyakinan_Diri_Pelajar.pdf

15

Anda mungkin juga menyukai