Anda di halaman 1dari 6

Halangan Komunikasi Interpersonal Berkesan Halangan dalam komunikasi interpersonal merupakan komunikasi yang kurang berkesan di antara penyampai

dan pendengar. Halangan juga dapat diertikan sebagai pemesongan dalam konteks bahasa yang tidak jelas maksudnya iaitu digunakan semasa berkomunikasi antara satu individu dengan individu yang lain. Selain itu, halangan komunikasi ini berlaku kerana penggunaan perkataan-perkataan yang susah difahami. Terdapat beberapa halangan yang menyebabkan komunikasi interpersonal menjadi kurang berkesan. Terdapat dua jenis halangan dalam komunikasi iaitu halangan dalaman dan halangan luaran. Halangan dalaman adalah seperti sifat dan latar belakang si penerima dan si penghantar mesej dalam komunikasi manakala halangan luaran pula terdiri daripada halangan persekitaran, fizikal dan juga jarak. Salah satu halangan dalam komunikasi interpersonal kurang berkesan ialah sikap penyampai dan pendengar. Penyampai didefinisikan sebagai seseorang yang menyampaikan maklumat kepada individu lain ataupun dikenali sebagai pendengar. Ekoran daripada itu, sikap penyampai yang sering memerintah, mengarah, mengancam, memberi amaran dan menghakimi seseorang tanpa usul periksa memberi kesan kepada pendengar di mana mereka akan menjadi pasif, tidak kreatif, takut dan terkongkong dengan sikap penyampai yang sedemikian rupa. Ini juga menjadi halangan yang besar kerana komunikasi akan didorong dengan emosi dan pemikiran yang negatif. Penampilan orang yang ingin menyampaikan sesuatu juga dilihat sangat penting dalam memberi keyakinan penerima untuk mendengar apa yang ingin disampaikan. Sikap penyampai yang kerap menasihat atau menyiasat dan bertanya secara terperinci akan menjadikan penerima merasa tidak selesa dan seolah-olah telah melakukan kesalahan yang besar. Hal ini menjadi halangan kepada komunikasi interpersonal berkesan. Sementara itu, sikap penerima juga merupakan salah satu halangan kepada komunikasi interpersonal berkesan. Hal ini, kerana sikap penerima yang prejudis, konflik yang berlaku di antara penerima dan penyampai serta persepsi terhadap mesej yang hendak disampaikan oleh penyampai tidak dapat diterima oleh pedengar. Pada masa yang sama juga, ada pendengar yang telah mengetahui maklumat yang ingin

disampaikan oleh penyampai dan seterusnya penerima akan menganggap komunikasi itu membosankan dan mula memberi perhatian terhadap perkara lain. Ada di kalangan sesetengah penerima juga tidak dapat menerima maklumat baru kerana menganggapnya tidak perlu. Manusia mendengar dan melihat apa yang mereka mahu dengar dan lihat sahaja. Sebagai contoh, pekerja yang sering kali ditegur tentang kerjanya, apabila suatu hari mendapat pujian akan sukar mempercayai apa yang didengar dan menganggap ada mesej yang tersirat. Sekiranya kenyataan atau maklumat yang diterima bercanggah dengan apa yang disangka lebih awal akan menghalang individu untuk terus mendengar dan menerima mesej. Selain itu, emosi juga merupakan halangan kepada komunikasi interpersonal berkesan. Setiap individu mempunyai emosi yang berbeza-beza dan tidak terkecuali juga kepada seseorang yang memiliki komunikasi interpersonal seringkali berhadapan dengan orang yang mempunyai emosi yang sedemikian. Jika dilihat emosi merupakan tindakan balas subjektif berasakan perasaan yang akan mempengaruhi tindak tanduk seseorang. Komunikasi interpersonal akan menjadi penghalang kepada seseorang jika mereka berada dalam emosi marah apabila diganggu, contohnya seorang pelajar yang emosinya tidak stabil diganggu rakan sekelasnya yang lain. Hal ini, kemungkinan besar akan mengundang kemarahannya dan boleh menyebabkan pergaduhan antara sesama rakan sekelas tersebut. Di samping itu, persekitaran juga merupakan salah satu halangan komunikasi interpersonal yang berkesan. Keadaan persekitaran yang tidak selesa terutamanya seperti bunyi bising, gelap atau kotor turut mempengaruhi keberkesanan satu proses komunikasi interpersonal. Dalam situasi ini manusia akan mudah rasa tertekan dan tidak menumpukan kepada apa juga yang ingin disampaikan. Ini menyebabkan komunikasi tidak akan dapat mencapai matlamatnya dalam keadaan persekitaran yang tegang, contohnya bencana alam seperti tsunami yang berlaku di Jepun membantutkan komunikasi interpersonal tersebut. Begitu juga sekiranya persekitaran yang tidak selamat turut mengundang kepada gangguan yang jelas dalam komunikasi misalnya sewaktu ribut petir dan banjir. Proses komuinikasi sering terjejas kerana medium yang

menghantar maklumat terputus atau terjejas akibat bencana alam. Halangan alam sekitar juga berkait rapat dengan masalah persekitaran yang menyebabkan proses komunikasi tidak efektif. Gangguan persekitaran yang berlaku sedemikian ataupun ditimbulkan semasa interaksi sosial dengan komunikasi interpersonal seperti berbualbual dengan suara yang kuat, menyanyi dan bunyi lalu lintas mengundang kepada halangan komunikasi interpersonal tersebut. Selain itu, halangan fizikal merupakan satu jenis halangan yang melibatkan kedua-dua belah pihak. Keadaan fizikal yang membezakan penyampai dan penerima dari sudut pendidikan, latar belakang, pemahaman, tahap intelektual dan sebagainya merupakan halangan yang sangat ketara dalam komunikasi. Ada individu yang biasa menggunakan cara komunikasi yang agak kasar dan ada juga yang lemah lembut. Justeru ianya menjadi halangan fizikal yang ketara apabila kedua-dua golongan ini berkomunikasi terutamanya apabila berkomunikasi dengan golongan yang mempunyai tahap pendidikan dan intelektual yang tinggi. Terdapat juga individu yang kurang kemahiran komunikasi interpersonal sejak kecil. Keadaan fizikal yang kurang kondusif turut menghalang komunikasi interpersonal berkesan, contohnya kekurangan ruang untuk bergerak serta tempat duduk yang kurang selesa menjejaskan komunikasi interpersonal. Halangan dalam komunikasi interpersonal yang berkesan juga boleh berlaku disebabkan oleh jarak. Intipati yang dapat dikaitkan adalah dari segi lokasi, akses talian telekomunikasi yang sukar, status, keturunan dan lain-lain. Contohnya dari segi status, jurang perbezaan antara pengetua dan guru di sekolah boleh membataskan pergaulan antara satu sama lain. Wujudnya jurang antara pengetua dan guru menyukarkan penyampaian sebarang bentuk pendapat dan cadangan. Perkongsian pendapat dan cadangan hanya berlaku dalam kalangan guru-guru sahaja. Keadaan ini akan menyebabkan masalah yang dihadapi tidak dapat diatasi dengan sebaik mungkin disebabkan wujudnya halangan komunikasi interpersonal yang berkesan dalam konteks jarak. Halangan bahasa juga menjadi penghalang komunikasi interpersonal yang berkesan. Perbezaan asal usul dan keturunan menyebabkan bahasa menjadi salah satu

halangan komunikasi interpersonal berkesan. Penggunaan dialek yang kurang jelas, laras bahasa yang berbeza, panjang ayat yang digunakan, kefasihan sebutan, kelancaran perkataan yang digunakan dan nada suara yang kurang jelas menjejaskan komunikasi interpersonal dan wujudnya tanggapan atau persepsi yang negatif terhadap seseorang yang mempunyai bahasa yang berbeza. Kadang kala penggunaan bahasa yang tidak jelas seperti menggunakan perkataan yang susah disebut dan difahami juga menjadi penyebab maklumat yang ingin disampaikan tidak tepat. Sesuatu perkataan mungkin membawa erti yang berbeza antara individu dengan individu yang lain contohnya, perkataan lawa bagi masyarakat semenanjung bermaksud cantik. Tetapi, bagi masyarakat Sarawak, lawa dimaksudkan sombong. Ekoran daripada halangan yang timbul dalam komunikasi interpersonal ini, terdapat beberapa langkah bagi menangani halangan tersebut. Rogers (1951) merumuskan, tanpa perhatian, mendengar sahaja tidak akan membawa kefahaman,

maka komunikasi interpersonal tidak akan wujud. Oleh yang demikian, sebagai
penerima maklumat perlu memberi perhatian secara menyeluruh apabila komunikasi interpersonal berlaku dan secara tidak langsung komunikasi tersebut akan menjadi lebih berkesan. Seterusnya, bagi mengatasi halangan bahasa dalam komunikasi interpersonal berkesan seseorang perlulah bertutur dengan menggunakan variasi nada, suara yang lantang, tatabahasa yang betul, perkataan yang tepat serta mudah difahami, penghentian sejenak yang berpatutan dan bebas daripada sisipan perkataan seperti umm, er, ok dan sebagainya. Selain itu, menggunakan perkataan-perkataan yang dapat difahami oleh pendengar dan tidak menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai mesej berbentuk arahan, amaran, tuduhan, ugutan, kritikan, ejekan dan lain-lain yang boleh menyinggung perasaan pendengar. Sekiranya seseorang penyampai menitikberatkan semua ini semasa berkomunikasi, secara tidak langsung komunikasi interpersonal akan menjadi lebih efektif.

Di samping itu, pemilihan persekitaran yang kondusif merupakan salah satu cara dalam menangani halangan persekitaran yang mengganggu komunikasi interpersonal berkesan. Contohnya, ialah memilih suasana persekitaran yang bersih, kemudahan yang lengkap agar sesuatu perbincangan dapat dilakukan dengan tenang dan mencapai objektifnya di samping menghindar atau mengelakkan perbalahan dan percanggahan antara sesama mereka. Komunikasi interpersonal yang berkesan turut dapat diwujudkan apabila seseorang terlebih dahulu perlu sentiasa peka dengan persekitaran sekeliling terutamanya dari segi emosi seseorang pendengar sebelum menyampaikan sebarang maklumat kepada pendengar. Contohnya, apabila seseorang itu berada dalam keadaan marah ataupun tertekan, penyampai seharusnya memahami keadaan tersebut dan mengelakkan daripada terus melakukan komunikasi interpersonal. Halangan status ini juga dapat diatasi apabila seseorang yang mempunyai status yang lebih tinggi perlu menanamkan sifat terbuka, iaitu bersedia menerima pandangan daripada orang bawahannya. Sekiranya sifat ini diamalkan bagi setiap golongan atasan atau kolar putih , masalah persepsi negatif dalam kalangan orang bawahan atau kolar biru tidak akan timbul. Dengan cara ini, komunikasi interpersonal antara kedua-dua belah pihak menjadi lebih berkesan. Dapat disimpulkan bahawa, dalam proses komunikasi merupakan satu

pertukaran maklumat antara dua atau lebih manusia. Halangan yang menjejaskan proses komunikasi ini dapat dikurangkan sekiranya penyampai dan penerima maklumat memahami peranan dan tugas masing-masing dalam mendapatkan proses komunikasi yang efektif. Oleh yang demikian, komunikasi yang berlaku antara kedua-dua belah pihak perlulah mematuhi prinsip-prinsip dalam berkomunikasi iaitu mesej yang disampaikan mesti jelas, ringkas, tepat, lengkap dan dipatuhi bagi membolehkan komunikasi mencapai matlamat yang diinginkan. Justeru, segala halangan dan kelemahan dalam mencapai komunikasi efektif perlu diberi perhatian dan diperbaiki bagi meningkatkan kepentingan komunikasi dalam kehidupan seharian.

1. RINA A/P PONUSAMY (PT122222CT ) 2. NOOR AISAH BINTI ENDAH ( PT122170CT )


3. ZURAINA BINTI MASKUL ( PT122300CT )

Anda mungkin juga menyukai