Anda di halaman 1dari 15

Tafsir Surah As-Sajdah

Ayat 1-30

Tafsir Ringkas ayat 1-3 (Pengukuhan Al Quran dan Risalah Kenabian)


1) Surah ini dibuka dengan huruf Alif, lam, mim. Pembukaan yang sama dengan kebanyakan surah-surah
Makiyyah yang bertujuan menegaskan kemukjizatan al-Quran dan keagungannya.
2) Pembukaan ini diikuti dengan penegasan bahawa Al-Quran adalah kitab yang diturunkan dari sisi Allah
SWT kepada Nabi Muhammad SAW tanpa dapat diragui langsung. Adapun yang ragu hanyalah mereka
yang tidak belajar sahaja. Al-Qur’an ini bukan dari sesiapa melainkan dari Allah, Tuhan sekelian alam.
3) Namun demikian puak Musyrikin Mekah tetap juga mendakwa dengan propaganda dusta bahawa Al-
Qur’an itu adalah hasil rekaan dan tulisan dari Nabi Muhammad sendiri atau cedokan dari kitab-kitab yang
terdahulu.
4) Sekali lagi ditegaskan bahawa bahawa al-Quran adalah satu kebenaran yang datang daripada Allah SWT
yang bertujuan untuk memberi ancaman kepada mereka yang tidak mahu menerima isi kandung Al-
Quran. Semoga dengan peringatan wahyu yang diberikan kepada mereka, mereka akan terpimpin dan
kembali kepada Allah.

Pengajaran ayat 1-3


1. Umat Islam mestilah bertanggungjawab menjaga dan mempertahankan kebenaran al-Quran. Menjadi
satu tuntutan kepada kita untuk berusaha memahami dan mengamalkan apakah yang hendak
disampaikan oleh Allah SWT melalui kitabNya dan bukanlah hanya membaca Al-Quran tanpa memahami.
2. Jangan terpedaya dengan gerakan dan usaha-usaha musuh-musuh Islam dan golongan liberal yang
bertungkus lumus menjauhkan umat Islam dari al-Quran. Terlalu banyak tipudaya dan agenda
mengelirukan yang menyebabkan umat Islam sendiri rasa takut dan beralasan untuk tidak menegakkan
kebenaran al-Quran serta hukum hakam yang terkandung di dalamnya. Sedangkan kita mestilah meyakini
bahawa semua isi kandungan Al-Quran itu sentiasa benar dan ia adalah sebagai sebaik-baik panduan
hidup yang sesuai sepanjang zaman.
3. Teruskan usaha-usaha mentadabbur al-Quran serta memperbaiki adab-adab kita ketika berinteraksi
dengan al-Quran. Ketika mana kita membaca al-Quran seharusnyalah kita menyedari bahawa Allah
sedang memperingatkan kita dengan ancaman jika mengingkarinya supaya kita sentiasa terpandu dalam
usaha mencari matlamat hidup dunia dan akhirat.
4. Raihlah hidayah Allah SWT dengan menyelami dasar al-Quran sebagai petunjuk yang membimbing kita
berjalan menuju-Nya.

Tafsir ringkas ayat 4 (Penciptaan Alam Semesta Bukti Ketauhidan)


1) Allah SWT memberitahu bahawa Dialah Yang menciptakan segala sesuatu, dan Dia menciptakan langit
dan bumi serta semua yang ada di antara keduanya. Itulah alam semesta yang merupakan penciptaan-
Nya yang maha hebat. Tiada kekurangan dan tiada yang tertinggal dari ciptaan-Nya itu.
2) Ayat ini juga menjelaskan tentang proses terjadinya alam semesta iaitu semuanya tercipta dalam enam
hari, walaupun Dia berkuasa menciptakannya sekejap sahaja. Hikmahnya hanya Allah sahaja yang
mengetahui, padahal Dia berkuasa untuk menciptakan dengan kalimat, “Kun” maka ia pun jadi.
Yang dimaksud dengan enam hari dalam ayat ini bukanlah hari (masa) yang dikenal seperti sekarang ini,
tetapi adalah hari sebelum adanya langit dan bumi. Hari pada waktu sekarang ini adalah setelah adanya
langit dan bumi serta telah adanya peredaran bumi dan matahari serta bergilirnya siang dan malam.
3) Kemudian yang lebih hebat dari itu adalah Dia bersemayam ( istiwa’ ) di atas ‘Arsy dengan cara yang
layak bagi diri-Nya dan sesuai dengan kekuasaan dan kebesaran-Nya”.
4) Seterusnya ayat ini menegaskan bahawa tidak seorangpun yang dapat mengurus segala urusan-Nya,
menolak bahaya, malapetaka dan siksa dan tidak seorang pun yang dapat memberi pertolongan dan
syafaat ketika azab menimpanya, kecuali Allah semata-mata, kerana Dialah Yang Maha Kuasa
menentukan segala sesuatu.
5) Di hujung ayat ini Allah SWT memperingatkan agar manusia dapat mengambil pelajaran dan
memikirkan apa yang selalu dilihatnya itu, memandangkan masih ada lagi yang menyembah selain Allah
SWT.

Pengajaran ayat 4
1. Para pentadabbur haruslah menyedari bahawa tujuan Allah SWT menyebut qudrat-Nya yang telah
mencipta alam ini, yang kita duduk di dalamnya, adalah supaya kita mentaatinya secara total. Jika kita tak
mahu taat kepada-Nya, mengambil hukum lain selain dari-Nya dan suka bermaksiat, maka carilah alam
lain untuk diduduki.
2. Buatlah perancangan jika kita hendak melakukan sesuatu yang penting. Kita kena ambil masa untuk
berfikir sejenak agar lahir satu perancangan yang mantap. Lihatlah bagaimana Allah merancang sesuatu.
Dia boleh sahaja mencipta alam ini dalam sekelip mata namun ditunjukkan kepada kita bagaimana Allah
melakukannya dalam ‘enam masa’. Ini memberi isyarat kepada kita bahawa perancangan Allah maha
tinggi dan penuh hikmah.
3. Sewajibnya kita menyakini bahawa Allah SWT sahaja yang menjadikan segala alam ini. Justeru itu hanya
Dia sahaja yang boleh menolong dan melindungi kita. Kalau Allah tidak menolong kita, tidak menjadi
pelindung kita, maka binasalah kita. Kerana tidak ada lagi yang dapat menolong kita. Maka berhati-hatilah
dalam menjalani hidup ini. Dengan kata lain bertaqwalah!
3. Kita haruslah memahami bahawa surah Sajdah ini menolak pemahaman bahawa ada syafaat dari
sesiapa selain Allah. Syafaat sebenarnya dari Allah. ‘Pemberi syafaat’ seperti Nabi Muhammad diberi
penghormatan untuk ‘menyampaikan’ syafaat itu sahaja. Tapi keputusan siapakah yang akan mendapat
syafaat itu hanyalah dari Allah SWT.
4. Janganlah kita mengharapkan redha dan pertolongan serta syafaat daripada entiti lain samada orang-
orang yang berkuasa atau pun lembaga-lembaga keduniaan semata-mata untuk mengejar habuan
duniawi. Hendaklah kita merapatkan hubungan kita dengan Allah. Apabila kita rapat dengan Allah, barulah
semakin cerah harapan kita untuk mendapat pertolongan dan kejayaan yang hakiki itu.

Tafsir ringkas ayat 5-6 (Allah SWT Pentadbir Sekalian Alam)


1. Setelah terlaksana penciptaan langit dan bumi dengan segala isinya yang merupakan kerajaan Allah
yang sempurna, maka Allah pun menjalankan urusan pemerintahan-Nya dan pentadbiran-Nya dari ‘Arasy,
iaitu singgahsana-Nya, sebagai Raja segala kerajaan dan di situlah Allah membuat keputusan dan
ketetapan-Nya. Kemudian segala keputusan dan ketetapan itu turun dari bahagian tertinggi tujuh lapis
langit menuju titik terendah dari dasar lapisan bumi yang ke tujuh untuk dilaksanakan.
2. Kemudian urusan itu naik kembali kepada-Nya. Iaitu segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbir-Nya
dinaikkan untuk dinilai dan dihakimi. Ia termasuk semua amal perbuatan yang telah direkodkan oleh para
malaikat dalam buku catatan yang terletak di atas langit dunia.
3. Ayat ini menyebut bahawa urusan Allah yang telah dilaksanakan akan diangkat naik kepadaNya pada
suatu masa iaitu ‘suatu hari’ – kerana perkataan ( ‫ ) َي ْوم‬bermaksud ‘sehari’. Ianya seperti satu laporan yang
disampaikan kepada Allah SWT oleh para Malaikat.
4. Suatu hari yang dimaksudkan di sini bukanlah sehari seperti yang kita faham di dunia ini, tetapi
َ َ َْ ُ ُ َ ْ َ َ
sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat: (‫ف َسنة‬ ‫ )كان ِمقداره أل‬iaitu yang kadar lamanya selama seribu tahun.
Menurut Mujahid, Qatadah, dan Al-Dahhak mengatakan bahawa jarak yang ditempuh oleh malaikat yang
turun ke bumi adalah 500 tahun. Begitu pula naiknya sama dengan perjalanan 500 tahun, tetapi malaikat
dapat menempuhnya sekelip mata sahaja.
5. Ayat seterusnya menegaskan bahawa Tuhan yang menciptakan, mengatur dan mengurus langit dan
bumi serta segala yang ada padanya itu, adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui. Dia Maha Mengetahui
segala yang ghaib, yang tersembunyi dalam hati, yang akan terjadi, yang telah terjadi, mengetahui segala
yang dapat dilihat dan yang tidak dapat dilihat oleh mata. Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa, Maha kekal
rahmat-Nya dan Dia pulalah Yang menciptakan seluruh makhluk dengan bentuk yang baik, serasi serta
dengan faedah dan kegunaan yang hanya Dia saja yang mengetahuinya.
6. Semua yang tersebut pada ayat-ayat ini merupakan gambaran dari kebesaran dan kekuasaan Allah SWT
dalam pengurusanNya agar manusia mudah memahaminya. Namun akal manusia tidak mampu
membayangkan pengurusan-Nya pada pemahaman yang sebenar. Oleh itu, kita hanya perlu beriman
sahaja dengan apa yang disampaikan kepada kita.

Pengajaran ayat 5-6


1. Bacalah ayat-ayat Allah dengan kefahaman yang mendalam bahawa segala sesuatu yang diciptakan
Allah, ada faedahnya, tetapi banyak manusia yang tidak mahu memperhatikannya. Lihat sahaja
pentadbiran manusia di bumi ini yang amat terbatas kerana manusia hanya mampu menilai gerak kerja
pekerja-pekerja mereka berdasarkan pandangan mata mereka sahaja. Namun, Allah SWT dengan
kebesaran kerajaan pentadbiran-Nya mampu menjadi saksi atas segala amal perbuatan hamba-hamba-
Nya.
2. Ambillah pelajaran dari sebutan masa iaitu hari (‫ َ)ي ْوم‬yang disebut dalam ayat di atas. Ia adalah isyarat
bahawa hari kita dan hari pada sisi Allah tidak sama. Maka, perkara yang mengambil seribu tahun untuk
kita buat, malaikat boleh lakukan dalam masa sehari sahaja. Begitu cepatnya mereka menjalankan kerja.
Maka, ini mengajar kita supaya jangan buang masa. Kita mesti melakukan kerja kita dengan sebaik
mungkin.
3. Hitunglah hari-hari yang berlalu yang disebut sebagai muhasabah diri. Kita wajib menghisab diri kita
sendiri sebelum dihisab oleh Allah. Apakah agaknya laporan yang malaikat bawa kepada Allah? Tentu kita
malu kalau perbuatan kita hanya membuang masa dan melakukan dosa sahaja. Lakukan sesuatu yang
terbaik untuk menghasilkan rekod yang baik untuk dibawa ke hadapan Allah SWT.
4. Dalam kita mentadbir kehidupan kita, perlulah kita sedar dan ingat bahawa ada perkara yang kita
lakukan untuk dunia dan ada juga untuk akhirat. Jangan kita terlupa tentang akhirat kita. Itulah
penghujung yang pasti kita akan sampai.
5. Sentiasalah beriman dengan perancangan Allah yang telah menciptakan kita. Semuanya telah dirancang
oleh Allah. Tujuan kita hidup di dunia ini juga telah dirancang oleh Allah. Kita semua adalah dalam
perancangan Allah. Semuanya tidak akan berlaku tanpa pengetahuan-Nya. Ini mengajar kita bagaimana
merancang sesuatu perkara. Ada orang yang langsung tidak memikirkan apakah kesan daripada
perbuatannya. Mereka ini tidak ada hala tujuan jelas dan tidak akan dapat mencapai apa-apa akhirnya
malah hanya akan mendapat kerugian.

Tafsir ringkas ayat 7-9 (Bukti Kasih Sayang dalam Penciptaan Manusia)
1. Allah SWT menciptakan segala sesuatu (termasuk langit, bumi & manusia) dengan sebaik-baiknya dan
serapi-rapinya.
2. Dia juga memulakan penciptaan manusia (Nabi Adam) daripada tanah.
3. Seterusnya Allah menjadikan manusia berkembang biak melalui nutfah (air mani) yang dipandang hina.
Ada yang menafsirkan mahiin sebagai air yang lemah.
4. Ketika Allah mencipta Nabi Adam daripada tanah, Dia menciptakannya dengan ciptaan yang sempurna
lagi utuh.
5. Allah kemudiaannya meniupkan roh ke dalam tubuh ciptaannya iaitu manusia dan memberinya deria
pendengaran, penglihatan serta hati iaitu akal.
6. Ketiga-tiga pemberian ini adalah tanda kasih sayang Allah yang sepatutnya disyukuri namun hanya
sedikit sahaja yang bersyukur kepada-Nya.
7. Orang-orang yang berbahagia ialah orang yang menggunakan pendengaran, penglihatan & hati untuk
ketaatan kepada Allah.

Pengajaran ayat 7-9


1. Hakikat yang wajib disedari oleh kita ialah bahawa asal kejadian manusia adalah sebaik-baik penciptaan
yang Allah kurniakan pada alam ini. Apa-apa yang dilihat kurang @ tidak baik pada pandangan mata kita
sebagai manusia hanyalah kerana kita tidak mengetahui hikmah di sebaliknya. Bersyukurlah apa adanya
pada diri kita.
2. Janganlah kita angkuh dengan keturunan, pangkat dan lain-lain kerana asal keturunan setiap manusia
(selain Adam) semuanya sama, iaitu daripada air mani yang mahiin (hina, lemah).
3. Allah menjadikan pendengaran & penglihatan untuk kita menghubungkan diri kita dengan alam
sekeliling. Bawalah hasil keduanya ke dalam hati kita supaya menginsafi kebesaran dan kebenaran Allah.
4. Gunakanlah pendengaran, penglihatan & hati (akal) kita untuk bersyukur kepada Allah dengan cara
mentaati-Nya, nescaya kita akan berbahagia.
5. Apabila Allah menyebut hati, bermakna kita berkewajipan menghidupkannya. Hati inilah yang akan
dibawa semula bertemu dengannya. Mana milik kita? Kalau Allah tidak memberikannya kepada kita, kita
tidak punya apa-apa.

Tafsir ringkas ayat 10-11 (Kedegilan Para Musyrikin Menerima Hari Kebangkitan)
1. Ayat ini terus menceritakan sikap orang-orang musyrik. Sebelum ini mereka menolak kerasulan Nabi
Muhammad, kemudian mereka menolak konsep tauhid dan sekarang disebut tentang penolakan mereka
tentang kebangkitan semula. Mereka mengingkari kewujudan hari kiamat iaitu hari semua yang bernyawa
dibangkitkan di hadapan Allah untuk diadili.
2. Pelbagai alasan yang orang-orang Musyrik kemukakan. Mereka berpendapat adalah mustahil seseorang
dapat hidup kembali setelah tubuhnya hancur menjadi tanah. Demikianlah betapa tertutupnya pemikiran
dan hati mereka sehingga mereka tidak dapat menggambarkan kekuasaan Allah SWT dan
membandingkan kemampuan Allah dengan kemampuan diri mereka yang lemah. Jika mereka ingin
melihat kebenaran, mereka dapat mencari bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran Allah pada kejadian
makhluk ini, di mana Allah berkuasa mewujudkan mereka sebelum mereka ada.
3. Sebenarnya jika mereka mahu berfikir tentu mereka dapat simpulkan bahawa segala sesuatu itu adalah
sama mudahnya bagi Allah SWT; tidak ada yang sukar bagi-Nya. Mereka sebenarnya bukan hanya
menidakkan kehidupan semula tetapi mereka juga hendak menidakkan pertemuan dengan Allah. Kenapa
mereka tidak mahu terima? Kerana mereka tak mahu dibicarakan di hadapan Tuhan nanti. Mereka tahu
mereka telah banyak melakukan kesalahan. Mereka takut nanti mereka akan dipersoalkan. Maka, mereka
tolak pertemuan dengan Tuhan. Bahkan hakikatnya, kekufuran mereka terhadap pertemuan dengan Allah
SWT menjadi penghalang dan penyebab utama keraguan mereka terhadap perkara yang jelas ini.
4. Ayat seterusnya memerintahkan nabi Muhammad SAW agar menegaskan bahawa setiap yang
bernyawa pasti akan bertemu dengan malaikat maut yang ditugaskan untuk mencabut nyawa. Kemudian,
mereka akan dipulangkan kepada Allah SWT untuk dihisab seluruh amal perbuatannya.

Pengajaran ayat 10-11


1. Janganlah kita mengaku beriman dengan hari kebangkitan tapi pada masa yang sama kita melakukan
maksiat dan engkar daripada mengikut lunas-lunas agama. Ini membayangkan seolah-olah kita tidak
percaya dengan pertemuan kita dengan Allah. Apabila kita bermaksiat seolah-olah kita tidak ingat mati
dan tidak percaya bahawa perbuatan kita akan dihisab selepas kematian kita. Hakikatnya, semua yang
bernyawa pasti akan menemui ajal masing-masing mengikut waktu yang telah ditentukan dan akan
dibangkitkan untuk diadili. Orang yang tidak mempercayai kehidupan di akhirat adalah mereka yang
ditutupi hati dan akalnya oleh nafsu mereka.
2. Berhati-hatilah dalam berkata-kata ketika berada di hadapan ketentuan dan hukum Allah SWT. Berapa
ramai yang bila disampaikan kepadanya ajaran wahyu terutamanya perintah dan hukum Allah mereka
menolaknya dengan akal dan lojik mereka dan mencipta pelbagai alasan. Ketika al-Quran mendedahkan
kata-kata orang musyrikin Mekah sebenarnya adalah untuk kita fikirkan bahawa sikap seperti ini juga
sentiasa timbul di sepanjang zaman. Mereka ini pandai bermain kata-kata; hakikatnya mereka
menzahirkan sejauh mana iman mereka terhadap wahyu Allah SWT.
3. Kematian itu akan tiba tepat pada waktunya, tidak tercepat atau terlambat. Justeru itu, kita seharusnya
menyediakan bekalan yang baik untuk bertemu dengan Allah SWT kerana itulah penentu pengakhiran
hidup kita samada di syurga atau neraka.
4. Didiklah hati kita untuk sentiasa mengingati mati kerana orang yang sentiasa mengingati mati tergolong
dalam kalangan orang yang bijak dan bakal memperoleh kehormatan di dunia dan akhirat. Bila sampai
masanya, kita tidak boleh meminta penangguhan lagi. Janganlah hendaknya nyawa kita diambil dalam
keadaan kita berdosa. Lebih-lebih lagi kalau kita sedang melakukan syirik tapi kita tidak tahu pun kita
melakukan perkara syirik. Oleh itu, sebelum tidur, mintalah ampun atas segala dosa yang kita telah
lakukan, samada sedar atau tidak.
5. Janganlah kita menjadi seperti orang musyrik dan membiarkan diri kita hanyut dengan keseronokan
dunia semata sehingga kita terlupa kepada hari kebangkitan (pengakhiran yang abadi).
6 . Sentiasalah memperhatikan setiap perbuatan kita kerana sesungguhnya setiap amalan meskipun
sekecil-kecil zarah pasti akan dihisab.

Tafsir ringkas ayat 12-14 (Pengukuhan Terhadap Kepastian Hari Kebangkitan dan Gambaran Azab)
1. Ayat ke-12 membayangkan suasana di hari akhirat; jika kita dapat melihatnya sekarang sudah pasti kita
tidak akan sombong dengan Tuhan. Suasana tersebut menggambarkan keadaan orang-orang yang ingkar,
mereka tertunduk hina dan malu setelah menghadapi sendiri peristiwa hari akhirat yang sering mereka
bantah atau perolokkan ketika di dunia dahulu. Mereka lantas memohon agar dihidupkan semula ke
dunia, untuk beramal kerana kini mereka sudah yakin.
2. Tiada gunanya lagi penyesalan itu kerana waktunya sudah terlewat. Bagi Allah, Dia boleh saja memberi
hidayah kepada setiap hamba-Nya semasa masih hidup di dunia agar mereka semua menurut segala
perintah-Nya. Tetapi Allah menjadikan manusia untuk menguji keimanan dan ketaatan mereka kepada-
Nya. Mereka diberi nafsu dan dibekalkan dengan akal serta dipandu dengan petunjuk dan peringatan
dalam menjalani kehidupan. Atas pilihan mereka sendirilah sama ada mahu taat ataupun ingkar. Maka
Allah telah menetapkan bahawa Dia akan memenuhkan neraka dengan jin dan manusia yang tidak mahu
tunduk patuh kepada-Nya.
3. Manusia yang hidup hanya mengikut nafsu sengaja melupakan hari pertemuan dengan Allah sedangkan
mereka sudah sering diingatkan. Kelak, mereka pula akan dibiarkan dan dilupakan oleh Allah ketika
menghadapi kesusahan dan azab sebagaimana yang dijanjikan.

Pengajaran ayat 12-14


1. Kita mesti sedar hidup di dunia ini adalah penerusan dari hidup di alam rahim dan sebelumnya. Tidak
akan berlaku peristiwa kita kembali ke alam rahim semula. Begitulah, kita tidak akan kembali ke dunia
setelah tiba di alam akhirat kerana alam dunia telah tiada. Oleh itu kita mesti berfikir dan berusaha untuk
hidup dengan sebaiknya, sebagaimana yang Allah kehendaki.
2. Terlalu banyak peluang dan petunjuk yang kita perolehi untuk kembali bertaubat dan membetulkan
kesalahan. Begitu juga peluang dan petunjuk untuk beramal. Namun, peluang-peluang itu sering kita
abaikan. Marilah kita berusaha dengan bersungguh (mujahadah) dan berdoa agar ditetapkan hati untuk
meninggalkan maksiat dan lagha serta istiqamah melakukan amal soleh.
3. Kita mesti kembali kepada kehidupan bertuhan, mengajak kepada Islam, menegah kejahatan dan
berusaha menjadikan Islam sebagai cara hidup untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.
Nescaya kita akan selamat di akhirat.
4. Jangan biarkan hidayah berlalu dalam hidup ini tanpa kita hargai dan jadikan pegangan dalam memandu
aqal kita. Aqal adalah kurniaan Allah yang sangat hebat apabila kita menjadikan hidayah sebagai landasan
dalam berfikir.
5. Berdoalah agar di dunia lagi Allah segera mengurniakan kita sebuah penyesalan agar kita dapat
bertaubat dan perbaiki amalan. Mati hanya sekali, tetapi kehidupan itulah yang kita tempuhi dua kali iaitu
sekali lagi selepas kematian. Ketika itu penyesalan sudah tidak berguna.
Tafsir ringkas ayat 15-16 (Akhlak Orang-Orang Mukmin di Dunia)
1. Setelah digambarkan golongan yang berdosa yang menerima azab dan penyesalan pada ayat yang lalu,
seterusnya dipaparkan pula sifat dan akhlak golongan yang beriman dengan ayat- ayat Allah. Merekalah
mukmin sejati yang berbeza benar dengan golongan orang yang jahil dan derhaka.
2. Ciri-ciri yang ada pada golongan yang beriman dengan ayat-ayat Allah ialah mereka menerima apa
sahaja yang terkandung dalam al-Quran, yang berupa hukum hakam, perintah dan peringatan:
i. Dengan penuh ketaatan dan ketundukan
ii. Dengan bertasbih mensucikan Allah dan memuji-muji-Nya
iii. Dengan penuh tawadhuk, rendah hati dan tidak menyombong diri
2. Amalan mereka adalah:
i. Sentiasa bangun malam berqiyamullail, mengerjakan solat-solat sunat dan kurang tidur semata-mata
untuk bangkit beribadah pada-Nya di malam hari serta memperbanyak doa dan munajat di hadapan Allah.
ii. Sentiasa mengeluarkan harta dengan bersedekah dan berkongsi kesenangan dengan orang lain.
3. Inilah sifat dan akhlak orang-orang yang takut dengan siksaan Allah dan terus berharap pahala yang
melimpah dari-Nya.

Pengajaran ayat 15-16


1. Ukurlah keimanan kita dengan membandingkan sikap dan amalan kita dengan golongan yang digambar
dalam surah as-Sajdah ini. Bagaimana sikap kita di hadapan ayat-ayat Allah. Sudahkan Al-Quran diamalkan
di segenap kehidupan kita?
2. Koreksi diri dan masyarakat kita hari ini. Sejauhmana al-Quran menjadi tumpuan kita dalam
mendapatkan solusi kehidupan yang berkaitan dengan ekonomi, politik dan kemasyarakatan. Adakah ada
sumber lain yang menjadi rujukan utama kita yang berupa akhbar-akhbar dan media-media serta
teknologi maklumat yang dimonopoli oleh golongan kuffar dan sekular.
3. Sibukkan diri dengan al-Quran dan medium keilmuan yang berpandukan al-Quran. Perbanyak membaca
buku-buku dan tulisan-tulisan yang mendekatkan kita kepada Allah SWT.
4. Sentiasa berhemah, menapis dan tabayyun (mengesahkan kebenaran) maklumat atau ilmu yang
diterima melalui media teknologi. Jangan lalai dan terjebak dengan kegalakan medsos serta terpedaya
dengan berita yang tidak diketahui kesahihannya apalagi yang berunsur fitnah dan adu domba.
5. Jadualkan perjalanan waktu sepanjang hari dengan perancangan para muqarrabin. Sudah tentu jadual
mereka sentiasa disusun ke arah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Sepanjang hari ada zikir dan
tasbih, ada tilawah, ada usaha bekerja mencari nafkah dengan hasrat rezeki yang Allah kurniakan dapat
dirasai oleh keluarga serta orang-orang yang memerlukan. Pada malam hari pula menjadi hamba yang
tunduk dan sujud dalam ibadat qiamnya.
Tafsir ringkas ayat 17: Nikmat Syurga Penghargaan Tertinggi
1. Pada ayat yang terdahulu Allah telah menyebut keadaan orang mukmin iaitu mereka yang mereka
tunduk sujud kepada Allah, bertasbih memuji-Nya, mendirikan qiamullail serta menginfakkan sebahagian
harta mereka ke jalan Allah.
2. Selanjutnya melalui ayat 17 pula menjelaskan ganjaran yang Allah sediakan untuk orang-orang mukmin
yang melakukan amal soleh iaitu syurga sebagai ganjaran terindah yang sangat istimewa menjadi hadiah
khusus untuk mereka.
3. Tiada siapa di kalangan malaikat mahupun manusia mengetahui satu persatu keadaan nikmat syurga
kerana keadaan nikmat syurga itu disembunyikan oleh Allah sebagai balasan kepada manusia yang
menyembunyikan amal soleh mereka dari pengetahuan orang lain.
4. Allah telah menyediakan untuk hambanya yang soleh ganjaran syurga yang belum pernah dilihat oleh
mata, tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak pernah terlintas di hati manusia.
5. Orang yang telah menyempurnakan imannya dengan beribadat yang ikhlas penuh rasa cinta kepada
Allah antara takut dan berharap kepada-Nya, akan diterima amalan ikhlas itu dan disambut dengan
kejutan hadiah syurga yang merupakan satu kemuliaan Allah kepada para ahli syurga.

Pengajaran ayat 17
1. Kita hendaklah beramal dengan penuh keikhlasan tanpa perlu memikirkan tentang balasan yang Allah
akan kurniakan kepada kita di akhirat kelak. Antara caranya ialah berusaha mendidik jiwa agar menjadi
ikhlas ialah dengan memperbanyakkan amalan sunat yang kita lakukan tanpa diketahui orang lain.
Perlunya memaksa diri dan memberi motivasi buat hati yang sering berbolak balik.
2. Kita mestilah meyakini bahawa balasan Allah itu bergantung kepada jenis amalan yang dilakukan.
Seandainya kita melakukan kebaikan balasannya adalah baik. Namun sekiranya kita melakukan kejahatan
maka kita akan menerima balasan buruk.
3. Kita hendaklah melakukan sesuatu kerja dengan terbaik; tetapi janganlah mengharapkan pujian
daripada manusia atau apa-apa imbuhan.
4. Umat Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa untuk meraih syurga kerana itulah
harapan tertinggi kehidupan kita.
5. Kita dianjurkan bermuhasabah terhadap amalan seharian kita agar bertepatan dengan Syariat serta
tiada unsur riak dan sebagainya yang menyebabkan amalan kita ditolak oleh Allah.
6. Beramallah dengan amalan ahli syurga. Bersifatlah dengan sifat ahli syurga yang terlalu banyak
dicontohkan dalam Al-Quran. Sesungguhnya nikmat syurga dibayangkan sentiasa bertambah setiap detik.
Inilah perkara yang Allah rahsiakan agar kita tercari-cari dan terkejar-kejar untuk mendapatkannya.
7. Bagi orang beriman, perkara yang perlu diimani sedalamnya ialah ganjaran di akhirat itulah yang lebih
utama. Keimanan ini memerlukan mujahadah dan rasa cinta. Ia mesti dipupuk dengan ilmu, amal dan
kekuatan dalam menjalani ujian kehidupan.
Tafsir ringkas ayat 18-19: Perbezaan posisi orang mukmin dan fasiq di akhirat
1. Allah SWT menceritakan tentang keadilan dan kemuliaan-Nya, bahawa di hari kiamat kelak Dia tidak
akan menyamakan keputusan-Nya antara orang yang beriman dan orang yang fasiq.
2. Golongan fasiq ialah mereka yang berdosa dan kadang-kadang merujuk kepada orang yang kufur.
Golongan fasiq yang dimaksudkan di sini ialah yang keluar dari jalan ketaatan lagi mendustakan Rasul yang
diutus kepada mereka. Golongan ini malah mendakwa amal kebaikan mereka akan juga menerima nikmat
ganjaran di akhirat. Tidak sama sekali kerana asas pemberian nikmat di akhirat adalah beriman kepada
Allah.
3. Bagi orang yang beriman, Syurga Ma’wa menunggu ketibaan mereka. Di dalamnya tersedia segala
bentuk kenikmatan, kelazatan dan keinginan sebagai balasan bagi apa yang telah mereka kerjakan di
dunia.
4. Sesungguhnya kedudukan dan tempat orang-orang fasiq berlainan sekali dengan kedudukan dan
tempat orang-orang yang beriman.

Pengajaran ayat 18-19


1. Kita hendaklah meyakini Allah itu Maha Adil dan akan memberi balasan secara adil, tidak seperti
mahkamah di dunia yang kadangkala tidak berlaku adil. Keadilan menurut neraca duniawi tidak sama
hakikatnya dengan apa yang diputuskan oleh syariat Islam.
2. Kita hendaklah meyakini Allah menepati janji sebagaimana janji-Nya bagi hamba yang beriman dan
beramal soleh di dunia akan mendapat ganjaran di akhirat. Oleh yang demikian orang yang beramal
kerana yakin dengan janji Allah adalah orang-orang yang telah mencapai tahap keimanan _haqqul yaqin_.
Iman _haqqul yakin_ inilah yang sepatutnya dipupuk dan dimantapkan ke dalam jiwa melalui pencarian
ilmu, mujahadah dan penyucian hati.
3. Sentiasalah merenung apakah nasib dan posisi kita kelak di sisi Allah. Al-Quran sudah menjelaskan
bahawa mereka yang fasiq juga akan mendapat balasan yang setimpal atas kefasikan mereka di dunia dan
Allah tidak akan memungkiri janji. Tentulah mereka tidak sama. Mereka hidup dengan cara yang berlainan
dan berlawanan dengan mukmin yang taat. Maka balasan yang dikenakan kepada mereka pun tentulah
tidak sama. Oleh itu jagalah amalan, tindakan serta pemikiran kita agar tidak bercampuk aduk dengan
amalan dan pemikiran orang-orang yang fasiq.
4. Pilihlah cara hidup Islam kerana ia membezakan cara hidup orang mukmin dan orang fasiq. Ia amat
berbeza sekali. Jauhi amalan bid’ah, budaya pelik dan menyimpang serta pemikiran asing yang tidak
bertepatan dengan ruh Islam kerana perkara inilah yang mencorak tindakan dan kehidupan kita serta akan
menentukan kedudukan kita di akhirat kelak.
5. Jangan cepat kalah dengan kepenatan hidup. Al-Quran mengingatkan kita bahawa kita hendaklah
beramal untuk mendapat kebaikan di akhirat, bukan dengan duduk bersenang lenang sahaja di dunia.
Justeru itu pastikan kita membuat amalan kebaikan, kerana hasilnya akan kita tuai di suatu tempat
istirehat yang memberi rasa tenang dan selesa iaitu di syurga. Penghuni syurga akan mendapat segala
kenikmatan di dalam syurga setelah mereka berusaha dan bersusah payah melakukan amal soleh selama
mereka hidup di dunia. Syurga itulah ganjaran atas ketaatan mereka kepada Allah.
Tafsir ringkas ayat 20-21: Posisi orang-orang musyrik dan gambaran azab di akhirat
1. Pada ayat ini Allah menjelaskan kedudukan orang-orang fasiq di mana mereka diletakkan di tempat
yang sangat buruk yang tersedia di dalamnya siksaan yang amat dahsyat.
2. Mereka digambarkan tersangat menderita kerana azab yang pedih dan berusaha untuk keluar dari
gawang kesiksaan itu, namun hanya sia-sia. Mereka tetap juga diheret semula ke dalamnya.
3. Itulah padahnya dan balasan atas kederhakaan mereka kepada Allah SWT. Sedangkan semasa di dunia
lagi Allah sudah menimpakan azab kepada orang-orang berdosa di atas dunia, sebagai balasan dosa
mereka. Jika mereka bertaubat, Allah akan mengampuni dosa mereka tetapi jika terus membuat dosa,
maka Allah akan menyiksa mereka di dunia dan akhirat.
4. Ini jelas menunjukkan bahawa balasan dosa itu bukan di akhirat sahaja, tetapi juga dari di atas dunia.

Pengajaran ayat 20-21


1. Sentiasa mengambil iktibar bahawa musibah dan bala yang menimpa kita di dunia adalah kerana dosa
kita sendiri. Dengan harapan bala itu menjadi kafarah dan penyebab untuk diampuni Allah jika manusia
bertaubat dan kembali pada Allah. Ada kala manusia terleka dalam dosa, maka datanglah balasan berupa
peringatan dari Allah untuk memohon ampun dari -Nya.
2. Manusia tidak akan mampu melawan kekuasaan Allah terutama apabila balasan datang kepada
mereka. Maka sebelum kemurkaan Allah datang, kita perlu sentiasa berfikir tentang buruk baik dari setiap
perbuatan yang kita lakukan.
3. Ketika mahu berbuat jahat dan bermaksiat cubalah bayangkan jika api diletakkan di tangan kita. Jika
kita tak mampu menahan kepanasannya maka sedarlah bahawa di atas dunia sudah tidak tertanggung,
apa lagi bila di akhirat kelak. Manusia yang ingkar akan disiksa berkali-kali tanpa henti.
4. Sementara masih berpeluang untuk bertaubat dan memohon ampun ketika di dunia, bersegeralah
kepada ampunan Allah. Allah Maha Baik masih membuka pintu taubat setiap masa untuk hamba-Nya. Jika
masih ingkar, akan datang peringatan keras dari Allah untuk menyedarkan. Tetapi jika masih berkeras
untuk hanyut di dalam dosa dan maksiat, maka siksa neraka akan menunggu.
5. Ciptakan budaya dan disiplin muhasabah dalam hidup kita agar kita nampak sejauhmana hubungan kita
dengan Allah SWT.
6. Wajibkan diri untuk memohon supaya Allah menjauhkan kita dari api neraka setiap kali selesai solat
dan membimbing kita untuk kekal dalam ketaatan.

Tafsir ringkas ayat 22 : Penyebab Umum Manusia diazab


1. Ayat ini berhubungan dengan ayat sebelumnya di dalam surah Al-Sajdah, ayat 15 dan 10, yang
membicarakan tentang perbezaan orang yang beriman dengan orang yang ingkar (berbuat dosa).
2. Orang yang beriman apabila diberi peringatan ayat Al-Quran, mereka tunduk sujud, namun sebaliknya
orang yang ingkar, tidak mempedulikan peringatan ayat-ayat Allah SWT.
3. Ayat 22 di atas menerangkan, tidak ada orang yang lebih aniaya daripada orang yang diberi peringatan
ayat-ayat Allah SWT dan dijelaskan dengan terang kemudian dia berpaling darinya dan meninggalkannya
serta mengingkarinya dan berpura-pura melupakannya seakan-akan ia tidak mengenalnya.
4. Pada akhir ayat ini, Allah SWT menegaskan bahawa orang yang berbuat dosa dan maksiat akan dibalas
dengan pembalasan yang keras atau siksaan yang pedih.
5. Di dalam sebuah hadis ada disebutkan akhir kalimat ayat ini, diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Mu’az bin
Jabal, ia berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiga perkara barang siapa yang
mengerjakannya, maka ia melakukan perbuatan dosa, iaitu barang siapa yang telah bertekad ikut
berperang di jalan tidak benar atau menyakiti kedua orang tuanya atau berjalan bersama orang yang zalim
dan membantunya.

Pengajaran ayat 22
1. Fahami makna ‘zalim’ menurut al-Quran yang sangat luas konteksnya. Dengan kefahaman yang benar,
ia dapat menghalang kita dari berlaku zalim dan melepaskan kita dari dosa dan azab.
Menurut Al Quran, antara perbuatan zalim ialah mempersekutukan Allah dan mendustakan-Nya;
menyembunyikan kebenaran; mungkir janji; bersifat dengan sifat orang-orang yang fasiq;
menyalahgunakan jawatan dan amanah yang diberikan; orang-orang beriman yang mengikuti perilaku
dan keinginan orang kafir; orang yang mengingkari Rasulullah SAW serta perbuatan-perbuatan yang
melanggar hukum lainnya, yang telah ditetapkan oleh Allah.
Dan orang yang paling zalim di sisi Allah SWT ialah orang yang telah sampai kepadanya peringatan Allah,
hujjah-hujjah dan bukti kebenaran melalui ayat-ayat Al-Quran dan petunjuk Rasul, kemudian mereka
berpaling dari ajaran dan petunjuk itu.
2. Jauhi dari berbuat zalim kerana ia boleh menutup hati dari mengambil iktibar daripada musibah yang
menimpa sehingga tidak mampu untuk bertaubat dan gagal mencari jalan pulang. Lantas mereka
berterusan dalam dosa contohnya berjuang atas prinsip yang salah dan dengan niat buruk, derhaka
kepada orang tuanya, menindas orang bawah atau yang lemah serta bersekongkol dengan pemimpin yang
tidak mahu menegakkan syariat Allah.
3. Orang yang mengingkari ayat-ayat Allah SWT adalah orang yang mempunyai penyakit sombong dan
dengki di dalam hatinya, maka jagalah hati daripada dikuasai penyakit sombong dan dengki terhadap Allah
SWT dan makhlukNya, atau hati akan sukar menerima nasihat.
4. Jangan sekali-kali berterusan lalai dari mengingati Allah SWT, kerana ruang yang kosong itu akan
dipenuhi dengan tipu daya syaitan dan dikuasai hawa nafsu yang akan mendorongnya melakukan dosa
dan maksiat.
5. Dalam konteks kehidupan seharian kita, seperti urusan jual beli, urusan pentadbiran, adab berjiran,
cara hidup berkeluarga dan lain-lain perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan berdasarkan
ayat Al-Quran dan As Sunnah namun ramai yang tidak perasan atau tidak mengendahkannya apalagi
dalam perkara yang lebih besar dalam mengurus agama, negara dan ummah.
6. Jangan sekali-kali meremehkan perintah dan ancaman dalam al-Quran; dibimbangi akibat daripada
tidak mengendahkan ayat-ayat Allah SWT, kita akan mengalami kesempitan hidup di dunia, hati sentiasa
resah dan tidak bahagia serta menerima pembalasan di akhirat kelak.
7. Sebagai orang Islam, kita diperintahkan untuk mentaati dan menjalankan perintah Allah SWT serta
menjauhi larangan-laranganNya agar tidak di timpa azab dari Allah SWT.
Tafsir ringkas ayat 23-25 : Hubungan Risalah Nabi Musa AS dengan Risalah Nabi Muhammad SAW
1. Pada ayat ini, Allah SWT hendak menegaskan bahawa tujuan diturunkan al-Kitab adalah untuk memberi
panduan dan peringatan kepada manusia. Kerana itu jugalah umat terdahulu seperti umat Nabi Musa pun
diberikan panduan dan peringatan kepada mereka melalui al-Kitab juga. Oleh yang demikian penurunan
kitab bukanlah suatu perkara baru dan bukan pula model baru dan pertama di antara para nabi. Ini
menjelaskan lagi bahawa terdapat hubungan yang erat di antara kedua-dua risalah samada misi dan tugas
rasul dalam membimbing umat masing-masing.
2. Ayat ini juga bermaksud memberi motivasi dan hiburan kepada Nabi Muhammad SAW agar terus teguh
dan sabar setelah digambarkan bahawa Nabi Musa juga menghadapi cabaran dalam berhadapan dengan
penentangan kaumnya dan dalam mengharungi ujian berdakwah. Justeru itulah Nabi Muhammad diseru
agar jangan merasa ragu dalam menerima Kitab al-Quran sebagaimana Nabi Musa telah menerima Kitab
Taurat itu. Sebagaimana Taurat adalah sebagai petunjuk kepada Bani Israil, maka al-Qur’an juga adalah
sebagai petunjuk dan sebagai rahmat kepada umat Nabi Muhammad SAW.
َ ِّ
3. Kalimah ( ‫ ) لق ِائ ِه‬juga boleh bermaksud jangan ragu-ragu tentang pertemuan dengan Nabi Musa. Allah
hendak memberitahu kepada Nabi Muhammad yang baginda pasti akan bertemu dengan Nabi Musa
nanti. Dan memang dalam satu hadith tentang isra’ mi’raj, Nabi Muhammad telah bertemu dengan Nabi
Musa AS. Nabi Musa lah yang menasihatkan Nabi Muhammad supaya minta dikurangkan jumlah solat
daripada 50 waktu. Nabi telah berkali-kali turun dan naik antara Nabi Musa dan Allah sehinggalah waktu
solat sehari semalam telah dikurangkan kepada 5 waktu sahaja sekarang.
4. Ayat seterusnya menerangkan bahawa Taurat terus diamalkan dan menjadi petunjuk oleh umat Nabi
Musa serta pemimpin-pemimpin dari kalangan Bani Israil. Mereka bersabar dalam menjalankan perintah-
perintah Allah, meninggalkan larangan-larangan-Nya, membenarkan rasul-rasul-Nya, dan mengikuti
petunjuk yang dibawakan oleh para rasul kepada mereka. Maka Allah menjadikan mereka pemimpin-
pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah Allah, menyeru kepada kebaikan,
memerintahkan kepada kebajikan, serta mencegah kemungkaran.
5. Namun kemudian setelah mereka mengganti, mengubah, serta mentakwilkan ayat-ayat Allah (dengan
takwilan yang menyimpang), maka dicabutlah kedudukan itu dari mereka dan jadilah hati mereka keras.
Mereka mengubah-ubah kalimah-kalimah Allah dari tempat-tempatnya, maka tiada lagi amal yang soleh
dan tiada akidah lagi yang benar pada mereka. Maka pada ayat 25, Allah SWT menyatakan akan memberi
keputusan di antara mereka pada hari kiamat tentang masalah akidah dan amal perbuatan yang selalu
mereka perselisihkan.

Pengajaran ayat 23-25


1. Sekiranya mahu berjaya dan memimpin umat dan dunia, wajib bagi umat ini kembali kepada Al-Quran
sepenuhnya tanpa keraguan sebagaimana yang dirakamkan oleh surah ini bagaimana umat Nabi Musa
yang menjadikan Kitab Taurat sebagai panduan sehingga lahir dari kalangan mereka pemimpin-pemimpin
yang membebaskan kaumnya dari kezaliman dan pemindasan dan pernah menjadi kaum yang terpuji dan
mantap jiwa dan aqidah mereka kerana mereka yakin dan berpegang dengan Taurat.
2. Pemimpin yang memimpin ke arah petunjuk agama tidak terhasil dengan semata-mata berkempen dan
memangkah kertas undi. Akan tetapi akan terhasil apabila pemimpin dan masyarakat itu sendiri yang
sabar mempraktikkan agama secara keseluruhan dan beriman sepenuhnya kepada al-Quran.
3. Pemimpin hendaklah tidak menyalahgunakan amanah dan kuasa yang diberikan. Mereka perlu
menyedari bahawa kuasa adalah alat untuk memimpin rakyatnya agar taat kepada Allah SWT dalam
semua aspek kehidupan. Mereka hendaklah memimpin dengan cara yang Allah ajar melalui kitab-Nya.
Bukan dengan menggunakan otak dan akal sendiri, apalagi memimpin dengan mengikut hawa nafsu dan
syaitan.
4. Jika mahu Islam memimpin, umat ini mestilah menghayati dan menjiwai makna sabar. Jika tiada konsep
sabar, kita belum mampu membawa Islam sebagai satu kuasa yang boleh memimpin. Sabar adalah
pakaian yang perlu ada dalam kepimpinan. Sabar itu bermaksud sabar di dalam mengikut arahan dan
panduan dari al-Kitab iaitu al-Quran. Kejayaan Bani Israil dahulu adalah kerana mereka sabar dalam
berpegang dengan syariat dalam Taurat ini.
5. Jangan gopoh mahu menjadi pemimpin dengan melalui jalan pintas untuk cepat menang sehingga
melanggar semua peraturan dan panduan Allah yang dasarnya tersemat dalam al-Quran.
6. Sebagai umat yang membaca al-Quran, kita mestilah memiliki keyakinan penuh bahawa Islam adalah
agama yang tertinggi dan mampu untuk memimpin. Kalau kita sendiri tidak percaya dan tidak yakin
dengan al-Qur’an, tentu kita tidak boleh meyakinkan orang lain untuk menerima bahawa Islam adalah
yang terbaik. Janganlah kita lebih percaya kepada kuasa- kuasa lain atau untuk mengambil rujukan-
rujukan lain sehingga mengenepikan al-Quran terutamanya dalam hal-hal yang berkait dengan
kepimpinan dan kenegaraan.
7. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa kerana ada manusia yang hatinya lembut dan mudah
menerima penjelasan terutama berkenaan wahyu. Ada pula yang hatinya keras dan menolak apa sahaja
yang disampaikan padanya. Kita haruslah bijak menanganinya. Kelemahan kita menangani karenah dan
kepelbagaian manusia menyebabkan kita tidak dapat meneruskan dakwah dan menyampaikan Islam.
Kadang-kadang perbezaan itu tidak dapat diselesaikan dalam dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat
memberikan keputusan. Allah lah sahaja yang Maha Mengetahui. Oleh kerana Allah akan memberitahu
setiap perselisihan itu pada hari kiamat kelak, maka hendaklah kita bersabar dengan orang-orang yang
menolak Islam serta menyerahkan urusan kepada Allah SWT.

Tafsir ringkas ayat 26-27 : Seruan agar membuat pemerhatian dan penelitian terhadap kekuasaan Allah
SWT
1. Dalam dua ayat ini, Allah SWT melontarkan pertanyaan buat umat manusia agar sentiasa berfikir dan
mengambil pelajaran dengan:
i) Melihat tinggalan-tinggalan kaum terdahulu dan kebinasaannya; dan
ii) Meneliti kejadian alam
2. Salah satu dari tanda yang Allah berikan kepada manusia adalah bala dan azab yang telah diberikan
kepada umat terdahulu yang menentang para rasul dan wahyu. Tidakkah azab yang telah dikenakan
kepada umat-umat terdahulu itu dijadikan sebagai pengajaran?
3. Latar belakang ayat ini diturunkan kerana wujudnya umat terkemudian yang juga mendustakan para
rasul. Mereka adalah masyarakat Makkah yang melalui dan berjalan di tempat-tempat dan kediaman
kaum yang terdahulu yang telah dihancurkan. Lalu Allah menyuruh mereka memperhatikan dan
mengambil iktibar daripada kesalahan mereka yang terdahulu dan Allah menegur mereka, kenapakah
mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan dalam wahyu ini?
4. Huraian daripada kejadian ini, ada di dalam beberapa ayat dan surah lain. Antaranya:
i) Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. (Al-Araf : 92, Hud: 68 dan 95).
ii) Maka rumah-rumah mereka itu runtuh disebabkan kezaliman mereka. (An-Naml: 52)
iii) Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu
runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana
yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di
muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada
hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat
mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang
sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.’
(Al-Hajj: 45-46)
5. Seterusnya Allah SWT menyeru manusia supaya merenungi alam iaitu kejadian awan di langit yang
menghasilkan air untuk menyuburkan bumi. Ia menunjukkan bagaimana Allah SWT menjelaskan kasih
sayang-Nya kepada makhluk-Nya dan kebaikan-Nya kepada manusia.
6. Perhatikan bagaimana Allah menggerakkan air yang adakalanya diturunkan dari langit (hujan) atau dari
hulu-hulu sungai yang diturunkan dari atas bukit, lalu mengalir ke dataran-dataran rendah dan tandus
yang memerlukan air tersebut tepat pada waktunya sehingga bumi menjadi subur dan mengeluarkan hasil
tanaman. Tanaman yang Allah tumbuhkan dengan air hujan itu dapat dimakan oleh binatang ternakan
dan manusia pula memakan binatang ternak itu serta mengambil manfaat yang banyak.

Pengajaran ayat 26-27


1. Kita dituntut oleh Islam untuk mengembara ke serata alam khususnya negara yang mempunyai nilai
sejarah yang tinggi kerana ia mempunyai tinggalan monumen terdahulu. Ini untuk melihat sendiri bukti
bukti kerajaan terdahulu dan mengambil iktibar daripadanya.
2. Kita juga dituntut oleh Islam untuk membaca dan mengkaji sejarah sesuatu tamadun sehingga kita
sendiri dapat menjadikannya sebagai pengajaran dan menyebarkannya pula pada orang ramai walaupun
kita sendiri tidak sempat lagi berziarah ke sana. Dan apabila berziarah, maka ziarah itu akan terasa lebih
hidup dan bermakna kerana kita telah mempunyai pengetahuan tentangnya terlebih dahulu.
3. Ironinya, manusia di zaman sekarang bahkan di kalangan orang Islam sendiri, cenderung untuk
menziarahi dan bercuti ke sesuatu tempat (sehingga terma backpackers, travel DIY dan sebagainya
menjadi sangat popular), namun mereka sendiri hanya menjadikannya sebagai aktiviti rutin bahkan
kadangkala sebagai satu kemegahan, tanpa mengambilkira dan menitikberatkan aspek tadabbur, tafakkur
dan mengambil ibrah di sesuatu tempat yang mereka lawati. Seharusnya kita tidak menjadikan seperti
perkara ini sebagai ikut-ikutan.
4. Berapa banyak Allah telah binasakan umat terdahulu kerana mereka tidak percaya kepada ajaran yang
telah dibawa oleh Rasul seperti kaum Nabi Luth yang mengamalkan hubungan sejenis. Kaum ini telah
lenyap ditelan bumi bersama tamadun mereka. Dan berapa banyak yang Allah telah gemilangkan
tamadun mereka kerana berpegang kepada aqidah yang benar dan menyambut dakwah para Rasul.
Antaranya adalah bumi Mekah dan Madinah menjadi gemilang sehingga sekarang. Justeru, kita haruslah
terus berpegang kepada aqidah Islam yang benar dan ajaran Rasul, serta memperkuatkan dakwah kepada
orang bukan Islam yang memerlukan sinar Islam.
5. Apabila melihat kekuasaan Allah dalam mentadbir bumi, menghidupkan bumi dan tumbuhan, serta
menjaga kebajikan manusia, khususnya apabila mengkajinya dari sudut sains, maka kita akan lihat betapa
Agungnya kekuasaan Allah dan kerdilnya diri manusia. Justeru, manusia haruslah tetap mengkaji dan
mengambil pelajaran serta bersyukur kepada Allah atas segala tadbiran-Nya yang Maha Sempurna.

Tafsir ringkas ayat: 28-30 (Hari Kebangkitan adalah satu kepastian dan hari penyesalan)
1. Surah As-Sajadah diakhiri dengan janji keputusan hari pengadilan di mana Allah mengesahkan sikap
orang-orang kafir yang meragui kebenaran amaran dan ancaman azab Akhirat. Lalu mereka mencabar
supaya dipercepatkan kedatangan azab yang dijanjikan itu.
2. Al-Quran memberikan jawapan bahawa azab yang dipinta supaya disegerakan itu akan dilaksanakan
pada hari Kiamat dan mengancam bahawa pada ketika itu iman mereka tidak lagi berguna dan mereka
tidak akan diberi tempoh untuk bertaubat dan membetulkan segala kesalahan yang telah lepas.
Sebenarnya, penangguhan kedatangan Hari Pengadilan itu kepada waktu yang telah ditetapkan
merupakan satu nikmat dan peluang yang Allah berikan untuk mereka bertaubat.
3. Surah ini diakhiri dengan sebuah perintah kepada Rasulullah S.A.W supaya jangan menghiraukan
mereka dan tinggalkan sahaja mereka kepada nasib kesudahan yang telah ditentukan kepada mereka.
Kenyataan yang amat mendalam ini diturunkan setelah berbagai cara dan usaha dilakukan oleh Rasulullah
SAW dalam menyebarkan kebenaran agama Islam, namun segala bentuk tentangan dan halangan sentiasa
dilakukan oleh orang-orang kafir terhadap dakwah Rasulullah SAW.

Pengajaran ayat 28-30


1. Mempercayai adanya Hari Pengadilan adalah wajib, bahkan ia termasuk dalam rukun Iman. Maka segala
tindak-tanduk dan kerja yang kita lakukan di dunia ini akan dihitung dan diberi balasan oleh Allah. Ayuh
tingkatkan kebaikan dan jauhi segala larangan.
2. Contohi sikap dakwah Rasulullah SAW kepada orang-orang kafir. Tatkala segala usaha sudah dilakukan,
namun mereka tetap jauh dari kebenaran sehingga sewenangnya mempertikaikan kebenaran Islam, maka
tinggalkanlah mereka, sesungguhnya nasib mereka telah ditentukan oleh Allah. Duhai pendakwah,
teruskan dakwah walau penuh mehnah, natijahnya nanti ‘menerima atau menolak’ bukan lagi urusan
pendakwah, bahkan itu urusan Allah.
3. Bertaubat, perbanyakkan amalan kebaikan dan sentiasalah memohon keampunan Allah, kerana apabila
datangnya Hari Kiamat, akan tertutup pintu taubat; hanya amalan-amalan soleh yang telah dilakukan
sebelum ini yang akan menjadi bekalan untuk dibawa bertemu Allah. Moga kita tidak akan menyesal saat
perhitungan dibuat kelak.

Rujukan
1. Kuliah bersiri tafsir Surah as-Sajdah yang disusun oleh Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama
Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak pada 18 Januari 2019 / 12 Jamadil Awal 1440 hingga 19 April
2019 / 13 Syaaban 1440H.

Anda mungkin juga menyukai