Anda di halaman 1dari 17

KONSEP NEGARA MADANI MENURUT RASHID AL GHANNOUSHI

Zulkifli Hasan (Ph.D)


Fakulti Syariah dan Undang-undang
Universiti Sains Islam Malaysia
E-mail: zul361977@yahoo.com Weblog: http://zulkiflihasan.wordpress.com

Abstract

“The root of the problem in the Muslim World lies in the hegemony of despotism.
Therefore, our main task now is to combat despotism in favour of a genuine and true
transition of democracy” (Rashid Al Ghannoushi).

Kata Kunci: Negara Madani (sivil), daulah madaniyyah, demokrasi, al Hurriyyah dan
Shura.

PENGENALAN

Kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia melalui Revolusi Jasmin, Revolusi Tahrir
di Mesir, revolusi menentang rejim Gaddafi di Libya dan beberapa perkembangan
politik di Timur Tengah menunjukkan betapa kebebasan dan hak asasi menjadi
tuntutan utama. Kekejaman dan ketidakadilan rejim diktator yang berselindung di
bawah ‘pseudo-democracy’ atau demokrasi palsu ini tidak dapat membendung hasrat
dan aspirasi rakyat. Perkembangan ini menimbulkan persoalan mengenai kerelevanan
demokrasi dan kedudukannya di dalam Islam. Persepsi terhadap demokrasi semakin
membarah apabila demokrasi ‘pasca’ revolusi ini gagal untuk memberikan harapan
yang sewajarnya kepada rakyat. Di Mesir misalnya, demokrasi telah dicabuli oleh
tentera malahan secara tidak peri kemanusiaan membunuh rakyat sesuka hati atas
nama tiket demokrasi palsu. Dilaporkan, ratusan rakyat tidak bersenjata di bunuh dan
ribuan cedera hanya kerana warga yang ingin mempertahankan demokrasi dan
mengharapkan tentera menghormati pilihan majoriti rakyat.

Fenomena yang berlaku di dunia Islam ini sangat berkait dengan arus gerakan
kebangkitan Islam. Aspirasi gerakan Islam untuk mengembalikan kegemilangan
tamadun Islam ini berorientasikan beberapa pendekatan dan kerangka pemikiran.
Antara wacana awal kebangkitan Islam (Islamism) ialah perjuangan ke arah
menubuhkan Negara Islam dan mengembalikan sistem khalifah. Konsep Negara Islam
ini yang didominasi oleh beberapa pemikir Islam seperti al Maududi dan Sayyid Qutb
telah mempengaruhi kebanyakan gerakan Islam. Revolusi Iran kemudiannya menjadi
pemangkin kepada wacana Negara Islam di mana banyak gerakan Islam menganggap
eksperimen ini akan berjaya.

Wacana Negara Islam kemudiannya mula pudar dan mendapat reaksi berbeza
daripada intelektual dan pemikir kontemporari. Kerelevanan dan realiti konsep
Negara Islam ini mula disemak dan dikaji semula setelah melihat pengalaman negatif
beberapa gerakan Islam dalam usaha memperjuangkan Negara Islam dan dalam masa
yang sama kekaburan hujah-hujah yang menjustifikasikan kewajipan menegakkan
Negara Islam. Seiring dengan wacana yang mengkritik konsep Negara Islam ini,
maka wujudlah idea pemikiran konsep Negara Madani (Sivil) berlandaskan nilai-nilai
Islam atau ‘Civil State with Islamic Reference’ yang lebih segar dan realistik. Merujuk

1
kepada perbincangan intelektual dan idea mengenai konsep dan kerangka Negara
Madani ini, Rashid Al Ghannoushi merupakan antara pemikir dan intelektual Muslim
yang terkehadapan dan secara menyeluruh membicarakan topik ini. Walaupun diakui,
konsep Negara Madani ini bukanlah idea asal Rashid Al Ghannoushi, bahkan telah
dibicarakan terlebih dahulu oleh beberapa intelektual dan pemikir Islam yang lain,
namun beliau boleh dikatakan antara intelektual kontemporari yang mengupas dan
mengembangkan idea ini dalam bentuk yang segar, realistik dan semasa. Rashid Al
Ghannoushi telah memberikan sumbangan idea pemikiran yang begitu berharga
kepada gerakan Islam dalam menyesuaikan pendekatan dakwah dan politik khususnya
melalui konsep Negara Madani.

Bersesuaian dengan signifikannya idea Rashid al Ghannoushi, artikel ini secara


umumnya akan menghuraikan idea dan pemikiran Rashid Ghannoushi mengenai
konsep Negara Madani dan signifikasinya. Memandangkan idea pemikiran Rashid Al
Ghannoushi ini adalah begitu menyegarkan dan sangat bersesuaian dengan senario
yang berlaku di dunia Islam khususnya, penulis akan cuba menelusuri pandangan dan
idea beliau yang boleh dijadikan teras utama dan teori asas dalam memahami
kerangka Negara Madani yang selari dengan tuntutan dan suasana sosio-politik
semasa.

PENGARUH PEMIKIRAN

Fazlur Rahman seorang pemikir yang mempelopori gagasan pembaharuan neo-


modenisme Islam, berpandangan bahawa seorang pemikir hebat ialah mereka yang
mempunyai tiga ciri utama iaitu menemukan suatu gagasan utama atau prinsip dasar
yang utama yang mengandungi segala realiti, lalu dia mentafsirkannya dengan jelas
dan menjadikannya sesuatu yang baru dan penting; gagasan itu seterusnya mampu
merubah perspektif umum dalam berinteraksi dengan realiti tersebut; dan mampu
mengemukakan suatu penyelesaian yang baru dan jitu terhadap segala permasalahn
yang setelah lama mengganggu fikiran manusia (Fazlur Rahman, 1975: 13).
Berdasarkan kepada ciri-ciri ini, sudah pastinya Rashid Al Ghannoushi telah
memenuhi seorang pemikir hebat. Beliau bukan sahaja mengenalpasti prinsip dasar
dengan segala realiti bahkan telah mentafsirkan, memperjelaskan dan
menerangkannya dalam bentuk yang lebih segar untuk manfaat semua.

Lebih menarik lagi, idea dan pemikiran Rashid Al Ghannoushi ini berkembang dan
dibincangkan secara komprehensif oleh ramai pengkaji dan sarjana. Pemikiran tokoh
seperti Al Ghannoushi berkembang bukan dibiayai atau ditaja oleh sesiapa tetapi ia
menjadi rujukan utama dan berkembang secara semulajadi melalui keikhlasan dan
kekuatan kualiti pemikiran (Hasan, 2013). Formula dan analisis yang dilontarkan
melalui karya beliau termasuk siri syarahan di seluruh dunia menarik perhatian
intelektual dan pemikir khususnya kerangka pemikiran politik dan hubungan
antarabangsa beliau.

Antara yang membezakan Al Ghannoushi dengan pemikir Muslim yang lain adalah
gabungan ilmu dan pengalaman serta cabaran yang dilalui. Pengetahuan yang
mendalam dalam bidang falsafah (pemegang sarjana falsafah dari Universiti
Damascus, Syria) menambahkan lagi kelebihan dan kekuatan pemikiran. Beliau
bukan sahaja intelektual yang bertindak sebagai ‘theorist’ atau sekadar ilmuan yang

2
selesa duduk di bilik berhawa dingin, tetapi kematangan pemikiran beliau melalui
proses yang begitu mengagumkan termasuk ancaman keselamatan nyawa, dipenjara
dan pelbagai cabaran lain. Bukan itu sahaja, idea pemikiran Rashid Al Ghannoushi
berkembang melalui proses pendidikan dan pengalaman dalam gerakan Islam. Bahkan
adalah tidak lengkap untuk membicarakan topik gerakan Islam tanpa merujuk karya
dan pandangan Al Ghannoushi. Sebagai pengasas Parti Al Nahdah di Tunisia yang
ditubuhkan pada 1988, beliau melalui pelbagai mehnah dan cabaran yang akhirnya
mematangkan pemikiran dan menjadikan beliau sebagai intelektual-reformis yang
disegani di dunia.

Selain daripada pengalaman dan cabaran secara langsung dengan gerakan Islam dan
aktivisme intelektual, pemikiran Al Ghannoushi juga dipengaruhi oleh pemikir-
pemikir hebat dunia Islam yang lain. Antara pemikir yang mempengaruhi Rashid Al
Ghannoushi ialah Ibnu Khaldun, Ibnu Rushd, Jamal al Din Al Afghani, Muhammad
Abduh, Hassan al Banna, Ibnu Ashur, Malik Bennabi dan al Maududi termasuk Yusuf
al Qaradawi. Beliau sering merujuk dan membicarakan pemikiran tokoh-tokoh ini
dan kemudiannya mengembangkan idea-idea tersebut dan seterusnya
memperkenalkan idea beliau sendiri.

Dalam membicarakan soal keagamaan dan rasional dari sudut falsafah misalnya,
beliau kerap merujuk kepada pandangan Ibnu Rushd. Beliau begitu mengagumi Ibnu
Rushd malahan mengiktiraf pemikiran Ibnu Rushd sebagai amat bersesuaian dengan
dunia semasa. Misalnya, beliau menegaskan bahawa langsung tiada kontradiksi antara
nas dan aqal yang diperlukan sebagai alat untuk menterjemah dan memahami nas. Al
Ghannoushi juga merujuk karya dan idea Ibnu Khaldun mengenai tamadun,
masyarakat, sosio-ekonomi dan politik. Mungkin persamaan beliau dengan Ibnu
Khaldun (Al Ghannoushi juga lahir dan membesar di Tunisia dan mendapat
pendidikan di institusi yang sama iaitu Institut Zaytuna yang modelnya seakan
Universiti al Azhar di Mesir) menambahkan keserasian antara dua tokoh berlainan
zaman ini.

Intelektual kontemporari yang begitu mempengaruhi Al Ghannoushi ialah Malik


Bennabi. Bukti beliau begitu terpengaruh dengan Malik Bennabi dapat dilihat apabila
menterjemahkan syarahan Bennabi ke Bahasa Arab dan menerbitkannya dengan tajuk
‘Al Dimuqratiyah fi al Islam’ (Demokrasi dalam Islam). Melalui kerangka asas
demokrasi oleh Bennabi inilah akhirnya beliau telah menghasilkan sendiri karya
beliau yang cukup popular di barat terutamanya di Turki pada 1993 bertajuk ‘Al
Hurriyah al Ammah fi al Dawlah al Islamiyyah’ (Kebebasan Awam di dalam Negara
Islam). Pada 2012, beliau telah menerbitkan buku bertajuk ‘Al Dimuqratiah wa al
Huquq al insan fi al Islam’. Karya terkini beliau ini dianggap antara yang terpenting
dalam memahami demokrasi dan hak asasi dalam konteks dunia masa kini.

Al Ghannoushi juga sangat sinonim dengan Yusuf al Qaradawi bahkan kerap merujuk
pandangan beliau dalam pelbagai aspek terutamanya yang melibatkan fiqh dan
hukum. Hubungan yang akrab antara dua tokoh ini dapat dilihat apabila Al
Ghannoushi antara sarjana pertama yang membuat ulasan secara komperehensif karya
Yusuf al Qaradawi berjudul ‘Fiqh al Jihad’ (Al Ghannoushi, 2011a). Al Ghannoushi
menganggap karya ulung Yusuf al Qaradawi ini adalah antara ensiklopedia jihad
paling lengkap yang wajib dirujuk oleh semua. Al Ghannoushi sendiri pernah

3
menyatakan bahawa Yusuf al Qaradawi adalah antara guru terbaik beliau (Nadia al
Turki, 2011).

Melalui proses mensintesiskan pemikiran-pemikiran tokoh imuan Islam dari pelbagai


bidang, Al Ghannoushi kemudiannya mengembangkan idea ini dalam bentuk yang
bersifat kontemporari. Idea-idea segar beliau walaupun kadangkala kontroversi sering
menjadi rujukan gerakan Islam mahupun pengkaji barat dalam memahami pendekatan
sosio-politik Islam termasuk hubungan antarabangsa dan sebagainya. Pemikiran Al
Ghannoushi ini mendapat tempat yang istimewa di kalangan gerakan Islam yang
bersifat sederhana. Boleh dikatakan bahawa gerakan Islam arus perdana seperti
Ikhwan Muslimin di Mesir dan Jordan, Jamaat Islami, parti al Nahdah Tunisia,
gerakan masyarakat sejahtera (HIMS) di Algeria, gerakan Islah di Negara-negara
teluk, ABIM di Malaysia, HAMAS di Palestin, Hizbullah di Lubnan, Muhammadiyah
di Indonesia dan parti-parti Islam lain termasuk gerakan Islam di Eropah dan di Barat
sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pemikiran dan idea Al Ghannoushi.

PENGIKTIRAFAN SUMBANGAN DAN PEMIKIRAN

Kewibawaan Al Ghannoushi membolehkan beliau digelar sebagai ‘Intelektual-


Aktivis’ dan ‘Modernis-Reformis’. Menarik untuk membincangkan Al Ghannoushi
dan peranannya sebagai intelektual dan dalam masa yang sama seorang aktivis
gerakan Islam. Walaupun Al Ghannoushi merupakan arkitek kepada gerakan Islam
khususnya Al Nahdah, namun, beliau bukanlah seorang ahli politik mahupun
pemimpin politik yang terlibat secara langsung mentadbir dan bertanding sebagai
wakil rakyat dan sebagainya. Al Ghannoushi merupakan seorang ‘intelektual-aktivis’
yang menjadi pemikir dan ‘think-thank’ kepada gerakan kontemporari Islam. Peranan
yang dimainkan oleh beliau ialah mencorak dan menghasilkan idea dan pemikiran
politik melalui ‘intellectual activism’. Al Ghannoushi bukanlah pemimpin politik
bahkan beliau tidak terlibat dengan politik di Tunisia lebih 22 tahun setelah menetap
dalam buangan di luar Negara. Al Ghannoushi merupakan seorang intelektual-
reformis yang merencana pemikiran politik melalui aktivisme.

Di antara kejayaan besar Al Ghannoushi dari sudut sumbangan intelektual ialah


kemampuan beliau untuk mensistesiskan dan mengharmonikan demokrasi menurut
perspektif barat dan Islam. Di samping melihat bahawa terdapat beberapa
permasalahan antara barat dengan dunia Islam, sememangnya tidak dapat dinafikan
bahawa kebangkitan rakyat yang berlaku di timur Tengah pada waktu ini adalah
sumbangan daripada keterbukaan dan kebebasan yang dinikmati oleh aktivis gerakan
Islam di Eropah.

Kekuatan pemikiran dan sumbangan Al Ghannoushi ini bukan sahaja diiktiraf di


dunia Islam mahupun gerakan Islam, malahan beliau mendapat pelbagai anugerah
mengiktiraf ketokohannya. Karya-karya beliau diterjemahkan dan mendapat sambutan
di banyak Negara seperti Turki. Buku beliau bertajuk Al-Hurriyah al ‘Ammah fi al
Dawlah al Islamiyyah adalah lebih popular di Turki berbanding di Tunisia.
Antara bukti pengiktirafan sumbangan dan pemikiran, beliau telah dianugerahkan
dengan ‘Chatham House Prize’ anugerah prestij mengiktiraf sumbangan dalam
hubungan antarabangsa yang disampaikan oleh His Royal Highness The Duke of
York. Pengiktirafan ini sekaligus membuktikan bahawa Al Ghannoushi merupakan

4
intelektual Muslim kelas dunia yang telah memberikan sumbangan dari sudut
hubungan antarabangsa khususnya antara dunia Islam dan masyarakat barat.
Al Ghannoushi juga disenaraikan antara 100 pemimpin Islam abad ke-20 dalam buku
bertajuk “100 Great Muslim Leaders of the 20th Century” (Mohd Mansoor Alam, et.
al. (2005). Bukan itu sahaja, majalah Times telah menobatkan beliau sebagai antara
100 individu paling berpengaruh di dunia pada 2012 (Bobby Gosh, 2012). The Prince
al Waleed bin Talal Centre, Georgetown University juga memilih al Ghannoushi
antara 500 individu Muslim paling berpengaruh di dunia (John Esposito dan Ibrahim
Kalin, 2009). John Esposito dan John Voll di dalam buku mereka berjudul ‘Makers of
Contemporary of Islam’ memilih Al Ghannoushi antara Sembilan pemikir penting
abad ke-20 (John Esposito dan John Voll, 2001). Pengiktirafan ini jelas membuktikan
betapa sumbangan pemikiran Al Ghannoushi memberi kesan dan mempengaruhi
pendekatan sosio-politik terutamanya kepada gerakan Islam.
Di samping menerima pelbagai pengiktirafan dan sumbangan, beliau sentiasa
merendah diri dan menegaskan prinsip perjuangan yang tidak bersifat individu tetapi
menyeluruh dan kolektif. Semasa menerima anugerah ‘Chatham House Prize’, beliau
menyatakan bahawa anugerah ini sebenarnya adalah milik rakyat Tunisia dan beliau
menegaskan bahawa konflik antara Barat dan dunia Islam adalah tidak benar dan
Barat dan dunia Islam boleh bersefahaman dan mempunyai hubungan yang harmoni
(Waqas, 2013). Kemenangan besar parti Al Nahdah dengan memenangi 89 daripada
217 kerusi dipertandingkan (41% majoriti undi) semasa pilihanraya Tunisia, di mana
Setiausaha parti Hamadi Jebali telah dilantik sebagai Perdana Menteri setelah
kejatuhan rejim Ben Ali, membuktikan pengaruh beliau masih signifikan dalam
politik di Tunisia dan idea beliau sangat relevan dengan kehendak rakyat. Pengaruh
Al Nahdah di bawah pimpinan Al Ghannoushi juga semakin mendapat tempat di hati
rakyat Tunisia. Kajian yang dijalankan oleh Michael Robbins, (2011) mendapati
bahawa soal selidik terhadap kepercayaan rakyat Tunisia mendapati bahawa lebih
49.4 peratus responden menaruh kepercayaan tinggi kepada Al Nahdah berbanding
dengan parti politik yang lain seperti Tunisian Labor Federation (37.8%), Civil
Society Organizations (43.8%) dan lain-lain (28.2%).

WACANA NEGARA ISLAM DAN NEGARA MADANI

Wacana Negara Islam

Wacana kebangkitan Islam yang tercetus setelah berlakunya penjajahan di hampir


keseluruhan negara Islam dan wujudnya negara bangsa menimbulkan pelbagai
polemik dan reaksi umat Islam di seluruh dunia. Wacana awal kebangkitan Islam
yang merujuk kepada aspirasi ’Islamist’ untuk menegakkan negara Islam
mendominasi perbincangan intelektual. Idea pemikiran Al Maududi, Sayyid Qutb dan
beberapa pemikir yang lain yang menganjurkan penegakan sebuah Negara Islam dan
mengembalikan sistem khalifah menjadi antara matlamat gerakan Islam pada masa
itu. Idea awal berkonsepkan penubuhan Negara Islam ini walaubagaimanapun mula
mendapat pelbagai kritikan malahan perlukan kajian semula.

Mahu tidak mahu, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa konsep ’Negara
Islam’ adalah sesuatu yang ’underdeveloped’ dan tidak dibangunkan ideanya secara
komperehensif dan menyeluruh. Sarjana Muslim juga sehingga hari ini masih khilaf
mengenai konsep Negara Islam dan bentuk negara yang sebenarnya perlu ada dalam

5
Islam. Karya-karya klasik seperti Kitab al Ahkam Sultaniyya oleh Abu Hassan al
Mawardi juga tidak memperincikan bentuk negara dan konsep Negara Islam. Ibnu
Taymiyya juga tidak berbuat demikian apabila membicarakan isu politik dalam
karyanya seperti Siyasa Syariyyah. Malahan, menarik untuk meneliti pandangan Ibnu
Taymiyya dalam buku ini yang mengabaikan langsung teori Khilafah dan
memfokuskan kepada aspek siyasa syariyyah. Ibnu Taymiyya berpandangan bahawa
khilafah kamilah hanya bertahan selama 30 tahun. Manakala era selepas itu beliau
namakan sebagai era khilafah naqisah yang terkeluar daripada norma yang sahih atas
dasar dharurah.

Pandangan Ibnu Khaldun juga seakan seiring dengan Ibnu Taymiyya. Ibnu Khaldun
membuat pemerhatian dan berpandangan bahawa oleh kerana betapa sukarnya untuk
mengembalikan sistem Khilafah kamilah, maka bentuk pentadbiran yang berasaskan
monarki adalah diterima. Bagi memperjelaskan konsep monarki ini, Ibnu Khaldun
mengkategorikan monarki kepada mulk haqiqi (monarki yang sah) dan mulk naqis
(monarki yang tidak sah). Ibnu Khaldun berpandangan bahawa hanya mulk haqiqi
yang diterima untuk menggantikan sistem khilafah.

Konsep Negara Islam ini juga dikatakan adalah sesuatu yang baru dalam wacana
disiplin ilmu. Ini memandangkan pemikir Muslim terdahulu hanya membicarakan
konsep Dar al Islam, Dar al Harb, Kesultanan dan Imarat. Perkataan ’Negara’ juga
tidak digunakan oleh ulama terdahulu apabila membicarakan konsep Khilafa.
Mungkin antara sarjana Muslim yang awal memperkenalkan istilah Negara Islam ini
adalah Muhammad Rasyid Ridha dan beberapa pemikir Muslim yang lain seperti
Syed Qutb, Abul A’la Maududi dan Muhammad al Ghazali. Al Maududi di dalam
karyanya seperti ‘The Islamic Law and Constitution’ membuat gagasan Negara Islam
bermodelkan ‘theo-democracy’. Begitu juga Sayyid Qutb yang membicarakan Negara
Islam melalui beberapa konsep seperti al hakimiyyah, masyarakat jahiliah dan
ketamadunan. Umumnya, sarjana Muslim ini merujuk Negara Islam sebagai negara
yang melaksanakan Shari’ah.

Terdapat juga pandangan yang mengaitkan konsep negara Islam dengan pembentukan
Dar al Islam. Dar al Islam di sini merujuk kepada sesebuah kawasan yang dinaungi
oleh pemerintahan berdasarkan Shari’ah biarpun terdapat warganya bukan beragama
Islam. Konsep Negara Islam juga telah ditafsirkan oleh sesetengah pihak seperti
‘Khilafat Movement’ di India termasuk Hizb al Tahrir sebagai usaha mengembalikan
sistem Khilafah. Pada mereka Negara Islam ini merujuk kepada khilafah Islamiah
iaitu sistem pemerintahan berpusat yang ditadbir oleh seorang khalifah yang diterima
umat Islam seluruhnya.

Sementara terdapat sarjana yang masih memperdebatkan isu konsep Negara Islam,
Hashim Kamali telah membahaskan idea mengenai kriteria dan ciri-ciri sebuah negara
Islam dan konteks dunia moden hari ini. Beliau telah menggariskan empat ciri sebuah
negara Islam berdasarkan nas al Quran, Sunnah dan sumber yang sahih. Ini
merangkumi Kerajaan sebagai Pemegang Amanah, ‘Limited Government’, ‘Civillian
not Theocracy’ dan ‘Qualified Democracy’ (Kamali, 1993).

Idea-idea mengenai konsep Negara Islam ini menimbulkan pelbagai persoalan kepada
masyarakat. Kepelbagaian pandangan dengan tiadanya ijma’ atau konsensus
mengenai konsep ini telah mewujudkan persepsi bercampur-campur dan reaksi

6
pelbagai di kalangan umat Islam termasuk bukan Muslim. Wacana Negara Islam yang
tidak berasaskan kepada kefahaman Islam yang sebenar boleh sahaja mempengaruhi
pemikiran masyarakat umum dan yang paling ditakuti akan menjurus kepada kegiatan
keganasan dan ekstremisme. Konsep Negara Islam yang mengabaikan hak asasi dan
menafikan moral autonomi orang lain akan hanya menambahkan lagi perspektif
negatif terhadap Islam. Oleh itu, artikel ini cuba untuk membicarakan konsep Negara
Islam dalam konteks sosio-politik negara dan antarabangsa masa kini. Konsep Negara
Islam yang dimaksudkan di sini bukanlah merujuk kepada sistem khilafah mahupun
Dar al Islam sepertimana yang dibincangkan oleh ulama terdahulu tetapi ia merujuk
kepada Konsep Negara Madani yang digagaskan oleh Rashid al Ghannoushi. Konsep
Negara Madani ini dilihat bersesuaian dan dinamik serta selari dengan Syariat Islam.

Wacana Negara Madani

Setelah berlakunya beberapa peristiwa penting yang melanda gerakan Islam yang
gagal untuk merealisasikan penegakan Negara Islam seperti yang terjadi pada parti
Front Islamic Salvation (FIS) pimpinan Abbas Madani di Algeria, eksperimen Hasan
al Turabi di Sudan termasuk kegagalan di Afghanistan pimpinan Taliban,
membuatkan pendekatan ‘Islamist’ ini di kaji semula. Selain itu, gerakan Islam yang
berorientasikan perjuangan Negara Islam ini juga sering dilihat sebagai gerakan yang
seakan ingin memonopoli ‘authority of Islam’, mudah melabelkan pihak tidak
sefikrah sebagai kafir dan tidak bersesuaian dengan sosio-ekonomi-politik Negara dan
antarabangsa (Today’s Zaman, 2011). Ali Abd al Raziq, (1925) antara intelektual
terawal yang mengkritik idea Negara Islam di dalam buku kontroversinya ‘Al Islam
wa usul al Hukm’. Abdelwahab El Effendi, (2008) pula di dalam karyanya yang
popular ‘Who Needss An Islamic State’ secara kritikal mengetengahkan hujah-hujah
yang mempersoalkan beberapa gagasan Negara Islam. Beliau berpandangan bahawa
aspirasi penubuhan Negara Islam ini adalah lemah sama ada dari sudut nas mahupun
aspek al siyasi.

Begitu juga dengan Wael Hallaq dalam bukunya berjudul ‘the Impossible State’ yang
mengupas secara mendalam konsep ‘Islamic State’ dan ‘Modern State’. Malahan,
beliau menukilkan bahawa; “The Islamic State, judged by any standard definition of
what the modern state represents, is both an impossibility and a contradiction in
terms’. Wael Hallaq berpandangan; “Modern Muslims are faced with the challenge of
reconciling two facts; first the ontological fact of the state and its undeniably
powerful presence and second, the deontological fact of the necessaity to bring about
a form of Shari’ah governance” (Hallaq, 2014). Umumnya, Wael Hallaq cuba untuk
membuktikan menerusi aspek ‘ontology’ dan ‘deontology’ bahawa konsep Negara
Islam itu adalah berlawanan dengan konsep ‘modernity’ dan ‘the modern project’.
Beliau melihat konsep Negara Islam Moden itu adalah sesuatu yang tidak seiring
dengan ‘paradigmatic modern state’.

Walaupun hujah-hujah yang digunakan oleh Wael Hallaq ini adalah signifikan,
namun, ia perlu lagi diperinci dan diseimbangkan dengan pandangan-pandangan
sarjana yang lain. Ini memandangkan kerangka yang ingin di bawa oleh Wael Hallaq
adalah bersifat politik dan undang-undang serta relevannya dengan nilai-nilai yang
ada pada konsep ‘modernity’. Wael Hallaq juga tidak membicarakan konsep Negara
Madani sepertimana yang digagaskan oleh beberapa sarjana Muslim yang lain. Ramai

7
saja sarjana Muslim yang lain mengkritik pandangan sebegini dan berpendirian
bahawa konsep Negara Islam itu adalah selari dan relevan dengan dunia moden hari
ini. Umat Islam telah terlebih dahulu membangunkan konsep kewarganegaraan,
demokrasi dan hak mengundi.

Di samping perkembangan wacana Negara Islam yang semakin kurang mendapat


tempat di kalangan gerakan Islam kontemporari terutamanya di Eropah dan Timur
Tengah, muncul beberapa idea pemikiran yang antara lainnya mengetengahkan
konsep ‘Daulah Madaniyah’ atau Negara Sivil Beridentitikan Islam. Antara pemikir
yang membicarakan idea gerakan Islam dalam kerangka Negara Madani ini dipelopori
oleh Al Ghannoushi. Al Nahdah di bawah pimpinan Al Ghannoushi telah
mengisytiharkan komitmen untuk menubuhkan sebuah Negara Sivil melalui sistem
demokrasi. Al Ghannoushi melihat bahawa wacana Negara Islam ini perlu dikaji
semula. Sesuai dengan perkembangan semasa, beliau menganjurkan bahawa gerakan
Islam perlu mentransformasikan pendekatan demi merealisasikan hasrat mereka.

Gagasan dan perasaan Al Ghannoushi ini semakin bertambah kuat tatkala beliau
sendiri melalui cabaran getir di Tunisia apabila ribuan aktivis Al Nahdah telah diseksa
dan dizalimi termasuk beliau juga dijatuhi hukuman mati oleh rejim Ben Ali. Sebagai
antara pengasas kepada gerakan awal di Tunisia melalui ‘Islamic Tendency
Movement’ yang kemudiannya dikenali sebagai Hizb Al Nahdah, pengalaman melalui
cabaran dan halangan berdepan dengan rejim Habib Borguiba dan Ben Ali
mempengaruhi pemikiran Al Ghannoushi. Beliau sendiri melihat bagaimana rejim ini
telah menangkap lebih 3000 aktivis Al Nahdah, menyeksa, menzalimi,
memenjarakan, menjatuhkan hukuman bunuh dan pelbagai kekejaman yang lain atas
dasar ancaman untuk menegakkan Negara Islam. Beliau sendiri telah dijatuhkan
hukuman penjara 11 tahun pada 1981 (bebas pada 1984) dan akhirnya dijatuhkan
hukuman penjara seumur hidup pada 1987 (Mohd Mansoor Alam, et. al, 2005).

Berbeza dengan pendekatan ‘Islamist’ yang masih berpegang kepada misi


menubuhkan Negara Islam dan mengembalikan sistem khalifah termasuk
membolehkan penggunaan kekerasan, Al Ghannoushi membicarakan konsep Negara
Sivil (dawlah madaniyyah) yang berasaskan kepada nilai-nilai dan ajaran Islam
(Negara Sivil Berteraskan Shari’ah atau Negara Sivil Beridentitikan Islam) dan
dipandu oleh maqasid Shariah serta mengutamakan jaminan kebebasan (al hurriyah)
dan hak asasi (huquq al Insan), (Al Ghannoushi, 2012). Bahkan Al Ghannoushi
meluaskan definisi Dar al Islam itu sebagai Negara yang menjamin kebebasan semua
untuk mengamalkan agamanya secara adil dan tanpa perasaan takut (Abdelwahab El
Affendy, 2008). Idea ini sebenarnya bukanlah idea ekslusif Al Ghannoushi kerana ia
juga dibicarakan oleh pemikir yang lain seperti Yusuf Al Qaradawi, Abdul Karim
Soroush dan Tariq Ramadan (Rujuk Al Eryan, 2011, Al Qaradawi, 2009). Konsep
Negara Madani ini dikembangkan oleh Al Ghannoushi dalam bentuk idea dan
perlaksanaan melalui eksperimen yang cuba dilaksanakan di Tunisia.

Apabila membicarakan konsep Negara Islam dan ‘Civil State with Islamic
Reference’, terdapat beberapa persamaan dan perbezaan. Matlamatnya adalah sama
tetapi fokus dan pendekatan adalah berbeza. Berbeza dengan konsep Negara Islam
khususnya yang digagaskan oleh Sayyid Qutb dan Al Maududi termasuk Hizb al
Tahrir yang lebih bercirikan undang-undang dan penguatkuasaan, konsep Negara
Madani ini lebih berorientasikan suara rakyat atau masyarakat sivil. Negara Madani

8
ini juga mengambil kira faktor keamanan, perkongsian kuasa dan mengamalkan
pluralisme politik. Ini dibuktikan dengan persetujuan Al Nahdah untuk menerima
pelantikan Moncef Marzouki daripada parti Republik yang memenangi 29 kerusi
berbanding Al Nahdah 89 kerusi. Sikap keterbukaan gerakan Islam yang lebih bersifat
harmoni dan pro-keamanan ini membolehkan perkembangan dakwah dan kebangkitan
Islam secara berperingkat dan berterusan.

Al Ghannoushi juga menolak pandangan yang mengharamkan demokrasi. Beliau


mengkritik teori-teori negara Islam yang tidak jelas seperti yang diutarakan oleh
Sayyid Qutb tentang teori al hakimiyyah, masyarakat jahiliah dan ketamadunan.
Adalah tidak adil mengatakan bahawa demokrasi itu sepenuhnya berasal dari barat
bahkan menyatakan bahawa demokrasi itu suatu konsep yang boleh membawa
kesyirikan sepertimana yang difahami oleh segelintir umat Islam juga adalah tidak
tepat. Walaupun demokrasi itu dipelopori oleh masyarakat barat tetapi harus difahami
kedinamikan sistem demokrasi yang ada pada hari ini. Ia telah melalui satu proses
yang amat panjang bahkan melibatkan pertumpahan darah, perang saudara, konflik
agama, krisis antara bangsawan dan rakyat dan sebagainya.

Sekiranya dilihat secara teliti, perjuangan asal untuk mendapatkan demokrasi itu
merupakan usaha suci rakyat untuk mendapatkan kebebasan dan hak daripada
golongan penindas bahkan membebaskan mereka daripada sistem perhambaan secara
langsung atau tidak langsung. Ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam yang secara
jelas menjamin kesamarataan hak dan kebebasan. Pengaruh daripada ketinggian dan
ketamadunan Islam yang hebat di zaman pentadbiran Umayyah, Abasiyah,
Uthmaniah dan Andalus yang sudah pasti terjaminnya ’al Hurriyyah’ pada waktu itu
juga, sangat memberikan kesan yang hebat kepada tercetusnya gerakan kebangkitan
di Eropah yang akhirnya menatijahkan demokrasi. Al Ghannoushi sangat yakin
bahawa idea dan prinsip-prinsip demokrasi yang diperjuangkan oleh masyarakat barat
juga menerima pengaruh intelektual Islam dengan terbuktinya karya-karya agung
ilmuan Islam yang menjadi rujukan di barat.

KONSEP NEGARA MADANI

Secara umumnya, Al Ghannoushi tidak membicarakan secara khusus konsep Negara


Madani atau ‘Negara Sivil berteraskan Shari’ah’ atau ‘Negara Sivil Beridentitikan
Islam’ ini di dalam mana-mana karyanya. Wacana Negara Sivil yang dibicarakan oleh
Al Ghannoushi dapat dilihat secara tidak langsung melalui karya-karyanya, laporan
wawancara, siri syarahan dan ceramah beliau termasuk makalah-makalah dan
penulisan yang mengkaji pemikiran beliau. Al Ghannoushi menyifatkan bahawa isu
politik termasuk di dalam ruang ijtihad (Tamimi, 1993). Beliau berpandangan bahawa
isu-isu politik dikategorikan sebagai al siyasi dan ia terbuka luas untuk ruang ijtihad.
Bahkan aspek al siyasi ini juga adalah salah satu daripada perkara faraghaat atau
lacuna yang membuka ruang yang sangat luas untuk berijtihad dan membuat
keputusan berasaskan kepada maslahah umum dan keadaan semasa. Oleh itu, konsep
Negara Islam atau Negara Madani ini termasuk dalam ruang ijtihad yang masih
terbuka luas untuk dibicarakan. Negara Sivil yang dimaksudkan oleh Al Ghannoushi
tidak bermakna ia meminggirkan aspirasi menegakkan syiar Islam tetapi ia merujuk
kepada bentuk Negara yang paling ideal sebagai model pemerintahan dan pentadbiran
sesebuah Negara. Konsep Negara Sivil ini sama sekali tidak menolak Shari’ah
sebagai salah satu ciri Negara tetapi merujuk kepada pelaksanaan sistem keadilan

9
yang menyeluruh, menjamin keharmonian bernegara dan menjunjung nilai-nilai
kemanusiaan sejagat. Al Ghannoushi meletakkan bahawa Negara Madani itu
mempunyai ciri untuk menjamin persamaan hak dan menghormati hak asasi,
kebebasan bersuara, berfikir dan kepercayaan.

Antara sumbangan Al Ghannoushi yang signifikan melalui konsep Negara Madani


ialah meyakinkan ‘Islamist’ untuk menerima demokrasi, pluralisme politik dan
perkongsian kuasa. Beliau melihat perubahan sosial dan politik hanya akan berlaku
dengan berkesan melalui pendekatan sederhana dan berperingkat. Walaupun secara
umumnya, Al Ghannoushi masih berpandangan bahawa aspirasi menegakkan
kerajaan Islam yang ideal itu adalah tanggungjawab semua umat Islam, tetapi sesuai
dengan keadaan sosio-politik, pendekatannya perlu bersesuaian dengan keadaan
semasa. Selain daripada tanggungjawab menegakkan sebuah kerajaan Islam yang adil,
beliau melihat bahawa antara matlamat utama sesebuah Negara Madani ini adalah
untuk melaksanakan perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

Konsep Negara Madani yang dimaksudkan oleh Al Ghannoushi juga mengangkat


martabat dan karamah insaniah. Al Ghannoushi lebih cenderung kepada sebuah
Negara yang didominasi masyarakat sivil (Al Ghannoushi, 1999). Beliau juga
konsisten memperjuangkan kesamarataan seperti hak-hak asasi manusia, hak-hak
wanita kepada pendidikan, pemilikan harta dan partisipasi politik. Di samping
mengiktiraf Shari’ah sebagai rujukan utama dalam konsep Negara Madani ini, Al
Ghannoushi berpandangan bahawa beberapa hukum yang menyentuh hak asasi yang
bersifat peribadi tidak boleh dilaksanakan secara paksa. Beliau menganggap hal ehwal
yang melibatkan peribadi seperti pemakaian tudung perlu dikekalkan sebagai hak
peribadi individu itu.

Konsep Negara Madani ini juga tidak bermakna pentadbiran Negara itu perlu
berorientasikan ‘secularism’. Negara Madani yang dimaksudkan adalah Negara yang
berteraskan Tawhid dan menghormati hasrat dan aspirasi warganegara atau rakyat
dengan menjadikan nilai-nilai Islam dan Shari’ah sebagai rujukan. (Al Ghannoushi,
2001). Al Ghannoushi sering kali menyatakan pandangan beliau yang menolak idea
yang memisahkan antara agama dan Negara dan kehidupan sosial (Al Ghannoushi,
2011). Beliau tegas menyatakan Islam tidak pernah mengasingkan antara politik,
agama dan Negara. Beliau juga berpandangan polemik antara ‘secularist’ dan
‘Islamist’ yang sering dimainkan oleh golongan tertentu akhirnya hanya
membolehkan rejim diktator menguasai dan menaungi sistem pemerintahan Negara.
Walaupun Al Ghannoushi menolak ‘secularisme’ sebagai asas politik, beliau
berpandangan bahawa adalah salah untuk sesebuah Negara menindas dan
mendiskriminasi golongan sekularis (Al Ghannoushi, 2013). Pentadbiran sebuah
Negara Madani mesti menghormati hak-hak asasi dan kebebasan dan ini termasuk
golongan sekularis.

Konsep Negara Madani ini juga merujuk kepada slogan ‘Islam sebagai cara hidup’.
Dalam karyanya ‘Al Hurriyat Al ‘amma fi Al dawla al Islamiyya’, Al Ghannoushi
merujuk antara ciri konsep Negara Madani ini sebagai “Islamic democracy” (Al
Ghannoushi, 1993 dan 2012). Demokrasi Islam ini mengiktiraf pilihan majoriti rakyat
dan mengangkat Shari’ah sebagai rujukan. Bukan itu sahaja, Al Ghannoushi juga
mengiktiraf budaya dan tamadun Islam sebagai suatu yang signifikan dalam konsep
bernegara. Negara Madani menurut Al Ghannoushi juga merujuk kepada

10
pengiktirafan budaya dan tamadun di samping nilai-nilai etika Islam.

Al Ghannoushi adalah sangat realistik dan tidak cenderung kepada idea menubuhkan
Negara Islam ataupun mengembalikan sistem khalifah dalam konteks semasa. Al
Ghannoushi memilih pendekatan berhikmah secara berperingkat (al tadarruj) dan
mengambil kira faktor aspirasi dan hasrat rakyat dalam melaksanakan perubahan.
Beliau berpandangan bahawa dalam konteks Negara bangsa yang merujuk kepada
persempadanan antara Negara, apa yang lebih utama adalah untuk memastikan
kesatuan warganegara dan pembangunan Negara (Nadia al Turki, 2011). Bagi
merealisasikan kesatuan umat Islam pula, beliau melihat potensi untuk
memperkukuhkan kesatuan ini melalui pemerkasaan politik, budaya, pendidikan dan
ekonomi sebagai maslahah umum yang perlu diutamakan.

Secara umumnya, konsep Negara Madani menurut al Ghannoushi merujuk kepada


konsep Negara yang menggabungkan antara elemen demokrasi Islam, Shura, al
Hurriyyah, hak asasi dan pengiktirafan budaya dan identiti. Al Ghannoushi
menterjemahkan idea ini dalam bentuk yang sangat matang dan realistik. Konsep
Negara Madani ini adalah universal dan bertepatan dengan aspirasi Islam yang
menjamin dan mengangkat karamah insaniah setiap individu.

Demokrasi Islam

Demokrasi sering kali dikaitkan dengan ideologi barat yang tidak boleh diterima dan
diamalkan oleh sesetengah pihak (Bayat, Asef. (2010). Hatta ada segelintir golongan
yang menolak demokrasi secara total dan ada juga yang menganggapnya sebagai
perbuatan menyekutukan Tuhan. Ayman Al Zawahri, pemimpin al Qaeda misalnya
secara jelas mendesak Ikhwanul Muslimin menolak demokrasi dan berjuang untuk
menegakkan Negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam. Kegagalan
demokrasi yang dicapai di Mesir ketika ini juga seakan menyokong pandangan ini.
Demokrasi hanya dilihat sebagai mekanisme yang paling berkesan oleh penguasa
termasuk rejim diktator dan penajanya untuk memastikan mereka terus berkuasa dan
memperkukuhkan kedudukan.

Dalam konteks dunia masakini khususnya setelah terbinanya konsep negara bangsa,
konsep demokrasi ini juga seharusnya difahami dengan makna yang lebih luas dan
terbuka. Malahan, jika diteliti secara objektif, didapati kebanyakan negara maju dan
negara-negara yang menguasai teknologi tinggi, berpengaruh, berkuasa dan
terkehadapan adalah terdiri daripada negara-negara yang mengamalkan demokrasi.
Manakala negara yang tidak mengamalkan demokrasi adalah negara-negara yang
mundur dan bermasalah serta mengalami pencabulan hak asasi. Keadaan atau fakta ini
sahaja boleh menggambarkan secara tidak langsung pengaruh dan kesan demokrasi
yang positif.

Ulama kontemporari terutamanya ulama haraki dan intelektual kontemporari secara


umumnya menerima demokrasi sebagai salah satu wadah dan saluran untuk
melaksanakan Islam sebagai satu gaya hidup dan Al Ghannoushi adalah salah seorang
daripadanya. Al Ghannoushi berpandangan bahawa demokrasi yang mengutamakan
hak asasi, kebebasan dan keadilan adalah sama sekali tidak bercanggah dengan syariat
Islam malahan ia sangat seiring dengan tuntutan maqasid Shari’ah. Ini disepakati oleh
ramai ulama kontemporari seperti Yusuf Al Qaradawi, (1996) termasuk Huwaidiy,

11
(1999) yang juga membicarakan konsep demokrasi menurut perspektif Islam dengan
mendalam di dalam bukunya ‘Al Islam Wa al Dimuqratiyyah ‘.

Dalam membicarakan demokrasi, Al Ghannoushi menggunakan istilah ‘Islamic


Democracy’. Walaupun menerima konsep umum demokrasi, Al Ghannnoushi juga
mengkritik keras demokrasi berorientasikan falsafah liberal barat. Beliau masih
berpegang teguh kepada demokrasi yang berlandaskan kepada nilai-nilai Islam dan
berpandukan kepada maqasid Shari’ah. Beliau secara jelas menegaskan bahawa
demokrasi sebagai salah satu produk ‘modernity’ yang terhasil melalui pengalaman
dan sejarah panjang tamadun barat adalah diterima dalam Islam. Demokrasi yang
menjunjung keadilan sosial dan menganjurkan keamanan dan keharmonian adalah
selari dengan ajaran Islam (Al Ghannoushi, 2013).

Shura Tema Utama Negara Madani

Selaras dengan ajaran Islam yang mengutamakan institusi Shura, tema utama dalam
pemikiran Al Ghannoushi adalah demokrasi itu serasi dengan Islam. Al Ghannoushi
melihat bahawa demokrasi pada asasnya adalah sama sekali tidak bertentangan
dengan Islam. Beliau menegaskan bahawa demokrasi adalah bertepatan dengan
konsep Shura dalam bentuk yang lebih segar dalam dunia kontemporari. Demokrasi
adalah diterima selagi mana nilai-nilai Islam dijadikan rujukan dan diaplikasikan.

Bagi membicarakan perkara ini, Al Ghannoushi membezakan antara al din


(keagamaan, suci atau mutlak) dan al siyasi (politik, duniawi atau relatif). Ruang al
din adalah berbeza dengan aspek al siyasi. Berbeza dengan al din, ruang ijtihad
adalah sangat luas dari aspek al siyasi dan ini termasuk hal mentadbir urusan politik
dan mengenai kelayakan dan kuasa pemerintah. Elemen inilah yang membuktikan
fleksibiliti dan kesesuaian sistem politik Islam.

Rashid Al Ghannoushi melihat demokrasi itu sebagai sesuatu yang progresif dan
dinamik iaitu sistem yang berpusatkan kepada kuasa rakyat ”al sha`b masdar al
sultah” (rakyat adalah sumber kekuasaan) bagi menjamin hak-hak dan kebebasan.
Dalam konteks demokrasi Islam, ia lebih daripada sekadar hak dan kebebasan tetapi
merujuk kepada amanah menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Oleh kerana
Islam meletakkan musyawarah sebagai asas atau teras sama ada dalam aspek politik,
ekonomi, sosial dan sebagainya, maka Al Ghannoushi beranggapan bahawa
demokrasi yang diamalkan pada waktu ini juga menepati ciri-ciri Shura ini dalam
bentuk yang baru.

Dalam erti kata lain, demokrasi yang berstruktur dan bebas ini boleh juga dianggap
sebagai proses penginstitutian konsep Shura dalam bentuk yang lebih segar, moden
dan sesuai dengan waqi’ moden. Walaupun diakui bahawa ada segelintir pihak di
kalangan gerakan Islam sendiri yang menolak demokrasi, namun Al Ghannoushi
menerima konsep demokrasi ini sebagai suatu perkara yang relevan malahan menepati
kehendak Shari’ah. Al Ghannoushi menganggap bahawa prinsip-prinsip demokrasi
yang bertepatan dengan hak asasi manusia sesungguhnya juga terkandung dalam
ajaran Islam, seperti keadilan (‘adl), persamaan (musawah), musyawarah (Shura) dan
sebagainya.

12
Selaras dengan ruh Shura sebagai perkara yang dituntut oleh Islam, Al Ghannoushi
menegaskan bahawa proses membuat keputusan secara kolektif dalam konteks
demokrasi adalah sangat relevan dengan konsep Negara Madani. Berdasarkan kepada
pengalaman dan pemerhatian, Al Ghannoushi berpandangan bahawa konsep Shura ini
merupakan tema utama falsafah politik Islam yang meraikan suara ramai demi
memberi keadilan kepada semua dan dalam masa yang sama melindungi rakyat
daripada di zalimi di samping memberi ruang untuk mendengar suara rakyat (Al
Ghannoushi, 2012). Pandangan beliau ini diterjemahkan dalam perlembagaan parti al
Nahdah yang secara khusus menyatakan bahawa Shura menjadi tema utama asas
kepada gerakan.

Al Hurriyyah (kebebasan) dan Huquq Al Insan (Hak Asasi) Tuntutan Utama


Negara Madani

Al Ghannoushi merupakan salah seorang pemikir dan pendokong kepada ‘Reformist


Movement’ menggagaskan bahawa idea utama ‘modernity’ iaitu kebebasan dan hak
asasi sebagai tema utama dan salah satu daripada tuntutan dalam Islam. Beliau
mengungkapkan bahawa “modernity without freedom is false modernity” (Mohd
Mansoor Alam, et. al. 2005). Al Ghannoushi membicarakan tema kebebasan dan hak
asasi ini dengan begitu mendalam dalam beberapa karya dan siri syarahannya (Al
Ghannoushi, 1993 dan 2012). Beliau sering menggunakan istilah ‘al Hurriyyah’
apabila membincangkan topik kebebasan dan huquq al Insan bagi merujuk aspek hak
asasi manusia. Istilah Al Hurriyyah ini adalah lebih luas, universal dan tepat
berbanding kebebasan sebagai antara tuntutan utama Negara Madani.

Al hurriyyah atau kebebasan dan jaminan perlindungan hak asasi merupakan salah
satu daripada matlamat demokrasi. Dalam isu ini, Rashid Al Ghannoushi menerusi
karyanya Al Hurriyah al ‘Ammah fi al Dawlah al Islamiyyah (Kebebasan Umum
dalam Negara Islam) yang dianggap sebagai karya penting dalam wacana pemikiran
politik Islam kontemporari membicarakan demokrasi sebagai natijah daripada proses
dan perjuangan yang sangat panjang untuk mendapatkan kebebasan dan hak (Al
Ghannoushi, 1993). Karya terkini beliau bertajuk Al Dimuqratiyah wa al Huquq al
Insaan fi al Islam dengan mendalam mengupas kedudukan hak asasi dalam Islam dan
peranan sesebuah kerajaan atau pentadbiran menjamin hak asasi ini pada setiap
individu (Al Ghannoushi, 2012). Kebebasan dan jaminan hak asasi ini jugalah yang
menjadi asas kepada politik Islam. Islam secara jelas menjamin kebebasan dan
menuntut kepada perlindungan hak asasi manusia.

Dalam konteks realiti dunia masa kini, al Hurriyyah atau kebebasan yang dijamin
melalui proses demokrasi yang berpaksikan ilmu dan etika merupakan unsur utama
yang mesti dicapai sebelum dapat meneruskan agenda menegakkan syiar Islam (Al
Ghannoushi, 1993). Al Ghannoushi yakin berdasarkan pemerhatian dan
pengalamannya di Eropah, bahawa Islam itu akan subur dan segar di mana sahaja al
Hurriyyah itu didokong. Al Hurriyyah yang Al Ghannoushi maksudkan di sini bukan
bermakna kebebasan yang ditafsirkan berdasarkan pendekatan sekular ataupun

13
’humanistic approach’ tetapi ia merujuk kepada al Hurriyah yang didefinisikan oleh
epistemologi Islam bersandarkan wahyu.

Dalam membicarakan konsep al Hurriyyah ini, Al Ghannoushi menekankan konsep


’Pluralisme Politik’ dan keperluan menjamin hak asasi manusia. Ketika diwawancara
oleh Asharq Al Awsat, beliau tegas menyatakan bahawa kepimpinan gerakan Al
Nahdah komited dengan manifesto mereka untuk memastikan pluralisme politik dan
hak asasi manusia ini dipelihara (Nadia al Turki, 2011). Ini jelas menunjukkan
keterbukaan Al Ghannoushi dengan menerima amalan pluralisme politik.

Ketegasan Al Ghannoushi dalam aspek al Hurriyyah ini dizahirkan ketika diajukan


soalan mengenai kejayaan revolusi Tunisia dan setelah kembali menjejakkan kaki ke
Tunisia selepas 22 tahun di dalam buangan di luar negara. Al Ghannoushi
menyatakan bahawa revolusi telah mengembalikan kebebasan, harga diri dan
’dignity’ rakyat Tunisia. Kebebasan ini juga menatijahkan kebenaran di mana sejarah
akan ditulis semula melalui kebebasan berkarya. Pengalaman beliau selama lebih 22
tahun di Eropah mematangkan lagi pola dan bentuk pemikiran terutamanya dari aspek
demokrasi. Al Ghannoushi mengiktiraf dan berterima kasih kepada masyarakat
Eropah yang memberikan kebebasan bukan sahaja kepada beliau malahan kepada
lebih 2000 aktivis bagi tempoh lebih 22 tahun. Kebebasan inilah yang memberi
peluang kepada gerakan Al Nahdah untuk meneruskan survival mereka hingga kini.

Kritikan beliau terhadap golongan tertentu termasuk gerakan Islam yang menolak
demokrasi adalah sangat relevan dengan konsep Al Hurriyyah. Beliau mempersoalkan
golongan yang mempertikaikan demokrasi sedangkan mengiktiraf rejim diktator di
kebanyakan negara Arab di mana aspek Al Hurriyyah ini diabaikan sama sekali. Pada
beliau, barat adalah terlebih kehadapan dalam menjamin kebebasan malahan keadilan
individu melalui sistem keadilan yang telus. Misalnya, beliau sendiri mendapat
keadilan melalui sistem keadilan di United Kingdom apabila berjaya membersihkan
nama beliau setelah dikecam, dituduh secara palsu oleh media dan cuba dikaitkan
dengan keganasan dan terrorisme. Beliau pernah menyaman akhbar ’the Independent”
dan Robert Fisk seorang jurnalis terkemuka antarabangsa yang menuduhnya
menerima sejumlah wang yang besar daripada Qatar untuk membiayai kempen Al
Nahdah di Tunisia (Yasmine Ryan, 2012).

Sebagai model pendekatan yang pragmatik, dinamik dan realistik sesuai dengan fiqh
waqi’ di Tunisia, antara perlaksanaan awal yang dipimpin oleh Al Ghannoushi ialah
memastikan pilihanraya yang adil dan bebas disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat
dan latarbelakang termasuk wanita. Perlembagaan juga mengambil kira hasrat rakyat
Tunisia dan mengambil kira pluralisme politik di samping menjamin kebebasan
bersuara, kebebasan beragama, kebebasan media dan pembahagian kuasa yang adil.
Antara perkembangan positif yang berlaku di Tunisia di bawah pimpinan Al Nahdah
ialah hanya dalam masa setahun, peratusan kadar pertumbuhan ekonomi meningkat
dari 1.8% (semasa zaman rejim Ben Ali) ke 3.5% seperti yang dilaporkan oleh
’Institute of National Statistics’ (Waqar, 2013). Kerajaan Tunisia di bawah pimpinan

14
al Nahdah juga berjaya menurunkan kadar penggangguran sebanyak 2% dalam masa
setahun iaitu dari 18% kepada 16% (Al Ghannoushi, 2013).

Pengiktirafan Budaya dan Identiti

Di antara kekuatan pemikiran Al Ghannoushi ialah kemampuan memahami falsafah


Islam dan barat. Berbeza dengan Al Maududi yang keras menentang elemen-elemen
dari barat, Al Ghannoushi lebih cenderung kepada pendekatan harmonisasi antara
falsafah Islam dan barat. Al Ghannoushi melihat bahawa banyak nilai-nilai bersifat
universal antara falsafah Islam dan barat yang boleh diharmonisasikan. Malahan,
beliau berpandangan bahawa elemen ini berpotensi untuk dijadikan asas kepada
kerangka gerakan Islam untuk berhadapan dengan cabaran ‘modernity’ dan ‘post-
modernity’.

Melalui kerangka pemikiran inilah, Al Ghannoushi mengiktiraf peranan budaya,


tamadun dan identiti sesuatu Negara, bangsa termasuk geo-politik. Perkara ini
diterjemahkan di dalam perlembagaan Al Nahdah di mana terdapat Perkara khusus di
dalam perlembagaan yang menegaskan tentang pengiktirafan budaya dan identiti
sesuatu bangsa dan Negara. Dalam konteks Tunisia, Al Ghannoushi melihat bahawa
identiti dan budaya bangsa Arab dan kesatuan Arab itu adalah sangat signifikan. Ini
menunjukkan bahawa Al Ghannoushi mengiktiraf peranan budaya dan identiti sesuatu
bangsa dalam merencana agenda politik gerakan Islam. Di dalam perlembagaan Al
Nahdah, jelas menyebut bahawa antara elemen penting pendekatan gerakan ialah
untuk mengembalikan identiti Arab-Islam melalui budaya, tamadun, cara hidup dan
bahasa Arab. Elemen-elemen ini menjadikan pendekatan Al Ghannoushi ini lebih
menarik dan bersesuaian dengan keadaan sosio-politik sesebuah Negara itu. Budaya
dan identiti merupakan antara asas penyatuan dan keharmonian dan semestinya
menjadi faktor utama kestabilan dan kemakmuran sesebuah Negara.

KESIMPULAN

Sebagai seorang intelektual reformis, Al Ghannoushi telah memberikan sumbangan


yang begitu berharga dalam merancakkan lagi wacana segar konsep ’Civil State with
Islamic Reference’ sebagai alternatif kepada idea Negara Islam yang sekian lama
menjadi aspirasi banyak gerakan Islam. Walaupun idea mengenai konsep ’Daulah
Madaniyyah’ ini bukanlah eksklusif dibicarakan oleh Al Ghannoushi malahan
dibahaskan oleh ramai intelektual lain, kelebihan Al Ghannoushi yang terlibat secara
langsung dengan gerakan Islam serta pengalaman politik dan interaksi dengan dunia
barat dan Islam menjadikan kerangka pemikiran beliau lebih diterima dan sangat
signifikan. Formula Al Ghannoushi ini mula menampakkan hasil melalui dasar dan
idea menerusi Al Nahdah. Malahan, idea pemikiran Al Ghannoushi juga
mempengaruhi beberapa pendekatan kerajaan pimpinan Recep Tayyib Erdogan di
Turki.

Di sebalik keberkesanan dan bibit-bibit kejayaan pendekatan Al Ghannoushi ini,


masih terdapat banyak halangan dan cabaran yang perlu dilalui oleh setiap gerakan
Islam. Cubaan menjatuhkan kerajaan pimpinan Recep Tayyib Erdogan di Turki,
rampasan kuasa oleh tentera di Mesir dan peralihan pimpinan utama di Qatar
termasuk gerakan untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Al Nahdah di Tunisia
merupakan antara bukti cabaran besar gerakan Islam. Ini ditambah lagi dengan faktor

15
campurtangan asing yang sentiasa ingin melihat kerajaan pimpinan gerakan Islam
gagal dan seterusnya cuba untuk membuktikan pimpinan Islam tidak mampu
mentadbir dengan berkesan dan adil. Sebagai intelektual reformis yang sudah masak
dengan permainan politik dalaman dan antarabangsa, Al Ghannoushi dilihat mampu
menerajui dan merencanakan pendekatan yang bersesuaian untuk gerakan Islam.

Secara umumnya, Al Ghannoushi menerima konsep demokrasi melalui acuan Islam


dan menolak demokrasi yang berorientasikan falsafah liberal barat, menjadikan
Maqasid Shari’ah sebagai panduan, konsep Shura sebagai tema utama, pengiktirafan
budaya dan identiti, mengiktiraf suara rakyat dan mengangkat karamah insaniah serta
hak asasi manusia. Elemen-elemen Negara Madani ’daulah madaniyah’ ini yang
dibahaskan oleh Al Ghannoushi secara komprehensif dan realistik ini menjadikan idea
pemikiran beliau mengenai konsep Negara Sivil ini di antara yang terkehadapan
dikalangan intelektual yang lain. Sewajarnya, wacana konsep ’Civil State with Islamic
Reference’ ini dibicarakan secara intensif dan menyeluruh serta dijadikan ’discourse’
arus perdana agar gelombang kebangkitan Islam melalui agenda gerakan Islam itu
terus segar, relevan dan kembali bersinar.

RUJUKAN

Abdelwahab El Affendi. (2008). Who Needs An Islamic State? Kuala Lumpur: Think
Tank London.
Al Eryan, Essam (2011). Al Ikhwan al Muslimun wa al Dawlah al Madaniyyah.
Kaherah: Markaz al-I’laam al-‘Arabi.
Al Ghannoushi, Rashid. (2013). Visions For A New Tunisia: How Islam &
Democracy Can Support Each Other. Akses:
http://www.ikhwanweb.com/article.php?id=31006
_____________ (2012). Al Dimuqratiyah wa al Huquq al Insaan fi al Islam. Doha:
Aljazeera Centre For Studies.
_____________ (2011). Islam and Secularism. Akses: http://www.blog.sami-
aldeeb.com/2012/03/09/full-transcript-of-rached-ghannouchis-lecture-on-
secularism-march-2-2012/.
_____________ (2011a). What is New about Al-Qaradawi’s Fiqh of Jihad?. Islam
Online. Akses: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?
c=Article_C&cid=1252188303047&pagename=Zone-English-Living_Shariah
%2FLSELayout
_____________ (2001) ‘On the Dilemma of the Islamic Movement: A Political Party
or a Reformist Organization?’ in El-Affendi, A., Rethinking Islam and
Modernity, Leicester: The Islamic Foundation.
_____________ (1999). Muqarabat fi al `ilmaniyya w’al mujtam‘ al madani London:
Maghreb Center for Research and Translation.
_____________ (1993). Al Hurriyat al ‘Ammah fi al Dawlah al Islamiyah. Beirut:
Arab Unity Studies Center.
_____________1982). “The Participation of Islamists in a Non-Islamic Government”,
John J. Donohue and John L. Esposito, Islam in Transition: Muslim
Perspectives, Oxford: Oxford University Press.
Al Qaradawi, Yusuf. (2009). Al Din wa al Siyasah: Taashilun wa Raddu Syubuhat
(Terjemahan). Kuala Lumpur: Alam Raya Entreprise.
_____________ (1996). Min Fiqh al Daulah. Kaherah: Dar al Syuruq.

16
Bayat, Asef. (2010). Islam and Democracy: What is the Real Question? Amsterdam:
Amsterdam University Press.
Bobby Gosh (2012). The World’s 100 The Most Infuential People: 2012. Akses:
http://www.time.com/time/specials/packages/article/0,28804,2111975_211197
6_2112133,00.html
Fazlur, Rahman. (1975). The Philosophy of Mulla Sadra. New York: SUNY Press.
Hallaq, Wael. (2014). The Impossible State, Islam, Politics, and Modernity’s Moral
Predicament. New York: Columbia University Press.
Hasan, Z. (2013). Yusuf al-Qaradawi: His Thought and Contribution, Global Journal
Al-Thaqafah, 3 (1), 51-65.
Huwaidiy, Fahmi. (1999). Al Islam Wa al Dimuqratiyyah. Kaherah: Al Ahram.
John L. Esposito dan John Obert Voll. (1996). Islam and Democracy. Oxford: Oxford
University Press.
_____________ (2001). Makers of Contemporary Islam. Oxford: Oxford University
Press.
John L. Esposito dan Ibrahim Kalin. (2009). The 500 Most Influential Muslim in the
World. Washington: Georgetown University.
Kamali, Hashim. (1993). Characteristics of Islamic State. Islamic Studies, Quarterly
Journal, 32 (1): 17-40.
Micheal Robbins. (2011). Tunisians Voted For Jobs not for Islam. Foreign Policy.
Mohd Mansoor Alam, Z. M. Khan, A.R. Momin, Mansoor Ahmad, Shaukat Ullah
Khan and Z.A. Nizami. (2005). 100 Great Muslim Leaders of the 20th
Century. New Delhi: Institute of Objective Studies.
Nadia al Turki. (2011, 29 November). A Talk with the Ennahda Movement’s Rachid
Ghannouchi. Akses: http://asharq-e.com/news.asp?section=3&id=27849
Stefano Maria Torelli. (2012). The “AKP Model” and Tunisia’s al-Nahda: From
Convergence to Competition? Insight Turkey, 14 (3): 65-83.
Tamimi, Azzam. (1993). Rachid Al Ghannoushi: A Democrat Within Islamism.
Oxford: Oxford University Press.
Today’s Zaman. (2011, September 23). Al Ghannoushi: State Does Not Have Right
To Monopolize Islam, Today’s Zaman.
Waqas Ahmad. (2013). Harmonising Islam and Democracy. First Forum for Decision
Makers. London: First Magazine Ltd.
Yasmine Ryan. (2012). Ghannouchi Says Political Islam on Track. Akses:
http://www.aljazeera.com/indepth/features/2012/09/2012913653599865.html?
utm_content=features&utm_campaign=features&utm_source=twitter&utm_te
rm=rss&utm_medium=tweet

17

Anda mungkin juga menyukai