Anda di halaman 1dari 3

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Terima kasih kepada saudara Pengerusi Majlis.


Yang diraikan Cikgu Zainal bin Jantan, Mantan Guru Besar SK Terentang,
Yang berusaha En Nizam Bin Mohamed Guru Besar SK Terentang
Yang dihormati Pn Haliza Binti Isa, YDP PIBG SK Terentang,
Barisan Guru Penolong Kanan,
guru-guru,Staf dan rakan-rakan yang dikasihi sekalian.
     Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Allah SWT Yang
Maha Berkuasa kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama-sama
meraikan majlis perpisahan yang sangat bermakna dan penuh erti pada hari
ini.
Hadirin Warga Dewan yang Dihormati,
    Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan , yang pastinya setiap
perpisahan pasti amat menyedihkan. Hari ini, saya mewakili murid SK
Terentang berasa terharu dan sedih kerana kehilangan seorang Guru Besar
yang amat kami sayangi dan kasihi. Pada kami, Cikgu Zainal bukan sahaja
sebagai seorang Guru Besar tetapi ibarat seorang bapa dalam sebuah keluarga
SK Terentang.
Hadirin yang Dihormati,
       Memory is a way of holding onto the things you love, the things you are,
the things you never want to lost. Itulah mantan Guru Besar kita, Cikgu Zainal
Bin Jantan, lembut, tenang namun tetap tegas dalam melaksanakan
tanggungjawabnya. Itulah butir-butir kata yang dapat digambarkan mengenai
Mantan Guru Besar kita.
     Beliau bukan sahaja penyayang, melakukan tugas dengan hati yang tulus,
malah mementingkan kebajikan pelajar. Beliau juga seorang yang berhati
murni dan senantiasa memberikan yang terbaik buat para pelajar. Sikap beliau
yang boleh dibawa berbincang, 'easy going' dan tidak lokek untuk memberikan
bantuan apabila diperlukan serta sentiasa berusaha mempermudahkan
sesuatu urusan adalah kualiti peribadi yang perlu dicontohi dan diteladani oleh
kita semua.
Warga Dewan yang Dikasihi,
     Pada kesempatan ini, saya sebagai wakil murid SK Terentang merakamkan
setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Cikgu Zainal Bin
Jantan yang tidak pernah mengenal erti jemu mentadbir sekolah ini dan
mengorbankan waktu demi kami murid SK Terentang. Kami berdoa semoga
Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya kepada Cikgu Zainal. Semoga Cikgu
Zainal akan terus mengekalkan usaha-usaha murni beliau dalam membentuk
sahsiah diri yang mulia kepada murid-murid di sekolah baharu nanti.
     Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata.  Benar kata pepatah
Melayu,  yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti, namun yang
hilang tidak akan sama dengan yang berganti. Walau bagaimanapun,  yang
hilang akan tetap akan diingati, kekal abadi tersemat di hati.
     Saya juga berharap agar hubungan silaturrahim antara Cikgu Zainal dengan
anak-anak didik dan warga SK Terentang  akan terus terjalin erat. 
Sesungguhnya jasa dan budi yang ditabur tidak dapat dibalas dan tentunya
akan dikenang sampai bila-bila.
          Tuai padi antara masak,
          Esok jangan layu-layuan;
          Intai kami antara nampak,
          Esok jangan rindu-rinduan.
          Buah pauh delima batu,
          Anak sembilang di tapak tangan;
          Walau jauh beribu batu,
          Hilang di mata, di hati jangan.
          Kalau ada sumur di ladang,
          Boleh kita menumpang mandi;
          Kalau ada umur yang panjang,
          In shaa Allah kita akan berjumpa lagi.
          Salam kemaafan kami hulurkan,
          Semoga kemesraan terus berpanjangan;
          Ilmu diberi harap halalkan,
          Semoga perjuangan kami mendapat keberkatan.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufik walhidayah, assalamualaikum wrt wbt.

Anda mungkin juga menyukai