Anda di halaman 1dari 12

LHE3110

PEMULIHAN DAN PENGAYAAN DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU

TUGASAN 1

TEKNIK PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA PERALIHAN

Nama Nurul Nabillah Natasha Binti Abdul Hadi

No Matriks 204014

Semester dan Semester Pertama 2022/2023


Program Pengajian Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian

Pensyarah Dr. Marzni Binti Mohamed Mokhtar


ISI KANDUNGAN

Bil. Perkara Muka Surat

1.0 Pengenalan 1

2.0 Konsep Kajian 1–2

2.1 Kemahiran Membaca

2.2 Kelas Peralihan

3.0 Perbezaan Kelas Peralihan dan Kelas Biasa 3–4

4.0 Teknik Pengajaran Kemahiran Membaca Kelas Peralihan 4–8

4.1 Teknik Bacaan 5W1H

4.2 Teknik Bacaan ACID

4.3 Teknik Bacaan KWLH

5.0 Kesimpulan 8–9

Rujukan 10
1.0 Pengenalan
Suatu masa dahulu, isu berkaitan kelas peralihan ini sering sahaja meniti dari bibir ke bibir
masyarakat yang terdiri daripada para guru, ibu bapa dan warga komuniti setempat. Menurut Akta
Pendidikan yang ditubuhkan pada tahun 1996, kelas peralihan ini adalah amat penting untuk
diwujudkan bagi memberikan peluang dan bantuan kepada para pelajar khususnya pelajar daripada
sekolah vernakular (Melayu, Cina dan Tamil) dalam pengukuhan ketrampilan berbahasa dan
komunikasi dalam kalangan para pelajar. Pada tahun 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia telah
melaksanakan semakan semula terhadap Kurikulum Kelas Peralihan dan menggantikannya dengan
Kurikulum Standard Kelas Peralihan (KSKP) yang akan digunakan mulai 2003. Penggubalan
KSKP ini bertujuan untuk menampung keperluan dasar baharu yang telah ditetapkan di bawah
Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013-2025. Tindakan ini juga dilaksanakan supaya
kurikulum yang dilaksanakan di Kelas Peralihan kualitinya dipertingkatkan sekaligus berlaku
penyelarasan dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard
Sekolah Menengah (KSSM). Penyelarasan KSKP ini merupakan jelmaan kurikulum berasaskan
standard antarabangsa yang seterusnya diserap melalui penggubalan Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi kesemua mata pelajaran yang diperlukan.

Kini, KSKP yang digunakan lebih memfokuskan kepada penguasaan kemahiran berbahasa
asas yang terdiri daripada kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, membaca dan menulis.
KSKP yang digunakan bagi pelajar kelas peralihan bukan sekadar untuk mencapai kecemerlangan
peperiksaan sahaja, tetapi merangkumi pelbagai aktiviti dan mengutamakan komunikasi yang
membawa kepada keseronokkan. Hal ini adalah supaya para guru kelas peralihan dapat merangsang
pembelajaran bagi peningkatan dan pengukuhan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan
pelajar kelas peralihan. Hal ini sejajar dengan kehendak yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling
Ikhtisas (Bil. 2, 2019) bahawa pelaksanaan KSKP ini hendaklah bersifat menyeronokkan agar dapat
menjadi rangsangan terhadap pembelajaran seperti melalui pendekatan secara inkuiri, modular,
pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran konstektual. Dalam penulisan kali ini akan lebih
memfokuskan kepada teknik pengajaran yang sesuai dijalankan oleh guru kelas peralihan bagi
membantu para pelajar kelas peralihan mencapai dan menguasai salah satu kemahiran berbahasa
iaitu, kemahiran membaca.

2.0 Konsep Kajian

2.1 Kemahiran Membaca

1
Secara umumnya, kemahiran membaca merupakan suatu kemahiran yang
membenarkan para pelajar untuk membaca ayat dengan lancar dari segi sebutan, intonasi
dan jeda yang tepat. Pumfrey (1977) mendefinisikan membaca ialah suatu perlakuan
membunyikan huruf-huruf tulisan. Pumfrey malah mengatakan dengan lebih mendalam
bahawa membaca adalah sesuatu yang lebih dari itu. Membaca merupakan suatu proses
pemikiran seseorang yang dapat mewujudkan penilaian, mengulas dan melaksanakan
kritikan terhadap pembacaannya dengan tepat dan bermakna. Hal ini sejajar dengan
pernyataan Fadilah Isnin dalam Bijak Baca: Membina Kemahiran Membaca melalui
Strategi yang Berkesan, iaitu, terdapat tiga teras utama yang seharusnya dimiliki oleh para
pelajar sekiranya mereka telah menguasai kemahiran membaca, iaitu, teras linguistik,
wacana dan sosiolinguistik. Teras linguistik dapat dilihat apabila seseorang pelajar dapat
mengenal pasti bentuk penulisan, pengetahuan kosa kata dan penstrukturan binaan ayat.
Teras wacana pula membantu para pelajar untuk memahami penggunaan penanda wacana
dan perkaitan antara ayat manakala teras sosiolinguistik memerlukan pelajar untuk
menguasai variasi yang berlaku dalam komuniti atau masyarakatnya. Kemahiran membaca
ini merupakan kemahiran asas yang wajib dikuasai oleh kesemua pelajar supaya dapat
memberikan kemudahan dan menggalakkan penglibatan diri mereka dalam PdPc yang
aktif dan berkesan.

2.2 Kelas Peralihan

Kelas peralihan merupakan salah satu inisiatif pendidikan negara ini untuk
membendung masalah keciciran pembelajaran dalam kalangan pelajar dengan cara
memberi peluang terhadap kepelbagaian potensi pelajar mempertingkatkan penguasaan
berbahasa Melayu mereka. Secara keseluruhannya, kewujudan kelas peralihan ini adalah
bagi memberikan bantuan kepada para pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa
Melayu. Dalam erti kata lain, kelas peralihan ini memfokuskan kepada pelajar yang datang
daripada sekolah vernakular aliran bahasa Cina dan Tamil. Pelajar-pelajar ini akan
dimasukkan ke dalam kelas peralihan di sekolah menengah kerana kemampuan berbahasa
Melayu mereka yang kurang dan lemah. Hal ini adalah tidak mustahil kerana hampir
majoritinya adalah pelajar-pelajar yang berasal dari SJKC dan SJKT. Justeru itu, guru yang
mengendalikan kelas peralihan hendaklah mengambil kira faktor variasi latar belakang dan
keperluan para pelajar.

2
3.0 Perbezaan Kelas Peralihan dan Kelas Biasa

Secara umumnya, kewujudan kelas peralihan ini adalah bagi membantu para pelajar yang
bersekolah vernakular mempertingkatkan kemahiran berbahasa Melayu. Melalui kewujudan kelas
peralihan ini juga, pelajar-pelajar bukan berbangsa Melayu dapat melangkah ke arah akademik
yang selanjutnya dengan lebih efektif. Hal ini adalah kerana, tanpa pemahaman, pengetahuan dan
kemahiran berbahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan, agak mustahil bagi para pelajar ini dapat
memahami sepenuhnya PdPc kelas biasa. Justeru itu, inilah yang membezakan antara kelas biasa
dan kelas peralihan. Kelas biasa memfokuskan kepada kecemerlangan peperiksaan dan
pemantapan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar yang sedia tahu tentang bahasa Melayu
manakala kelas peralihan pula merupakan peluang yang diwujudkan bagi pelajar aliran SJKT dan
SJKC mempelajari dan mendalami kemahiran asas berbahasa Melayu. Guru kelas peralihan
hendaklah mengambil kira latar belakang para pelajar ini. Sekiranya guru kelas peralihan gagal
untuk memahami latar belakang para pelajar yang berlainan ini, rancangan pengajaran dan
pembelajaran yang disediakan tidak dapat membantu para pelajar peralihan sepenuhnya dalam
penguasaan kemahiran asas berbahasa Melayu. Perbandingan juga dapat dilihat pada kandungan
Kurikulum Standard Sekolah Menengah Bahasa Melayu Sekolah Menengah dan Kurikulum
Standard Kelas Peralihan Bahasa Melayu;

Gambar 1: Kemahiran Membaca


Kurikulum Standard Kelas Peralihan Bahasa Melayu

3
Gambar 2: Kemahiran Membaca
Kurikulum Standard Sekolah Menengah Bahasa Melayu Tingkatan 1

4.0 Teknik Pengajaran Kemahiran Membaca Kelas Peralihan

4.1 Teknik Bacaan 5W1H

Teknik bacaan 5W1H atau juga dikenali sebagai soalan wartawan merupakan salah
satu teknik bacaan asas yang sering digunakan dalam aktiviti kemahiran berbahasa,
termasuk bacaan pemahaman. Teknik ini mementingkan pengembangan penyoalan
daripada yang asas kepada yang lebih kompleks. Dengan wujudnya penyoalan sebegini, ia
dapat membantu para pelajar dalam merangsang, mendorong dan memantau pembacaan
sendiri secara aktif. Penyoalan secara aktif adalah berdasarkan prinsip yang berikut;

Who (W) – Siapa?


What (W) – Apa?
When (W) – Bila?
Where (W) – Di mana?
Why (W) – Mengapa?
How (H) – Bagaimana?

Guru perlu mengemukakan keenam-enam soalan di atas berdasarkan topik atau


bahan bacaan pada waktu sebelum, semasa dan selepas pelajar melaksanakan pembacaan.
Hal ini adalah supaya guru dapat mengekalkan keadaan bacaan yang aktif dan berpandu.
Sepanjang proses bacaan, soalan dan jawapan kepada soalan-soalan tersebut hendaklah

4
dicatat. Guru boleh mengemukakan beberapa soalan tambahan yang difikirkan sesuai serta
membantu dalam penerokaan bahan bacaan tersebut secara intensif sekaligus
menambahkan dan menguatkan pemahaman mereka terhadap bacaan tersebut. Oleh kerana
kelas peralihan terdiri daripada para pelajar yang bahasa Melayu bukan bahasa pertamanya,
secara tidak langsung teknik bacaan 5W1H ini dapat membantu membentuk perluasan
perbendaharaan kata dan pemahaman penulisan yang tinggi dalam kalangan pelajar
tersebut.

4.2 Teknik Bacaan ACID

Teknik bacaan ACID atau tanda ACID ini merupakan suatu galakan kepada
pembaca untuk membaca teks secara aktif. Pengekalan interaksi dan fokus yang
berpanjangan adalah penting kerana pembaca atau para pelajar perlu melaksanakan
pertimbangan terhadap bentuk dan maklumat yang dibaca. Tanda ACID merupakan
akronim kepada;

A – Agree (Bersetuju)
C – Confusing (Mengelirukan)
I – Interesting (Menarik)
D – Disagree (Tidak Bersetuju)

Sesuatu media bacaan ataupun teks bacaan tidak semestinya diterbit atau dikarang
dengan sempurna sehingga tidak berlaku kesalahan. Sejujurnya, masih terdapat lagi teks
bacaan yang sangat subjektif dan perlu dibaca dengan perhatian yang penuh. Menerusi
teknik tanda ACID ini, ia dapat membantu para pelajar (pembaca) untuk melaksanakan
pertimbangan dan membuat keputusan sama ada maklumat yang dibaca adalah
dipersetujui, tidak dipersetujui, menarik atau hanya mewujudkan kekeliruan para pelajar
semata-mata. Teknik penandaan ACID ini juga turut dibantu oleh teknik bacaan QUACK
dari segi menandai isi-isi penting dalam teks atau media yang dibaca. Kewujudan teknik
bacaan ACID ini dapat membantu para pelajar peralihan untuk mengenalpasti dengan tepat
cara membaca dan memahami maklumat yang dibaca.

4.3 Teknik Bacaan KWLH

Pada tahun 1986, Ogle telah mencipta dan membina teknik bacaan KWLH ini dengan
tujuan untuk membantu dan memberikan rangsangan pemikiran atau minda pembaca
secara aktif semasa aktiviti bacaan sedang dijalankan. Dengan menggunakan teknik bacaan

5
ini, ia dapat membantu pelajar untuk melaksanakan perkaitan dan pengaplikasian terhadap
pengetahuan sedia ada dengan pembacaan pelajar. Teknik ini membantu pelajar untuk
membuat perkaitan antara pengetahuan baru dengan yang sedia ada selepas berlaku proses
bacaan. KWLH merupakan akronim huruf awalan yang terdiri daripada;

K – Know (Pengetahuan yang sedia ada sebelum pembacaan)

W – What (Pengetahuan yang hendak diwujudkan sebelum membaca)

L – Learned (Pengetahuan yang didapatkan setelah membaca)

H – How (Cara untuk mewujudkan maklumat tambahan yang ingin diketahui melalui
bacaan seterusnya)

Langkah-langkah Penggunaan Teknik Bacaan KWLH

1. Catat maklumat dalam lajur K carta KWLH berdasarkan tajuk, subtajuk dan
teks.

2. Soalan akan dibina berdasarkan keinginan untuk mengetahui maklumat


berkaitan tajuk tersebut dalamm lajur W.

3. Pelajar akan melaksanakan proses membaca. Pada proses semasa dan selepas
membaca, pengisian lajur L dilaksanakan oleh pelajar bagi mendapatkan jawapan
terhadap persoalan yang tersenarai di lajur W.

4. Tidak semua jawapan terdapat dalam lajur W terdapat dalam teks.

5. Maklumat yang tiada jawapannya akan dicatat pada lajur H. Sumber lain akan
dicari dan dijadikan sebagai rujukan oleh pelajar.

Contoh Carta KWLH

H
(Cara Mendapatkan
K (Telah Tahu) W (Ingin Tahu) L (Telah Tahu)
Maklumat
Tambahan)

6
Sumber: https://fliphtml5.com/hcnts/qfzn/basic

Keberkesanan Teknik KWLH dalam Kelas Peralihan Berdasarkan Kajian Lepas

Abdul Rasid Jamian dan Nurfatin Nabihah Baharom merupakan pengkaji bagi
jurnal bertajuk Kesan Penggunaan Teknik KWLH dalam Kemahiran Membaca Kalangan
Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan Bahasa
Melayu (JPBM) pada tahun 2018. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti samada
penggunaan teknik bacaan KWLH ini adalah seiring dan sejajar dengan objektif
kelasperalihan, iaitu, untuk meningkatkan kemahiran membaca para pelajar yang terdiri
daripada pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC). Pengkaji ini juga bersetuju bahawa
teknik bacaan KWLH sememangnya dapat mempertingkatkan penguasaan kemahiran
membaca pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) ini berdasarkan pemerolehan hasil
penganalisian data dalam kajian ini.

Pengkaji telah menggunakan penyelidikan secara kuasi eksperimental kerana


ianya adalah yang paling berstruktur berpunca daripada pengawalan kawalan dan prosedur
daripada semua jenis penyelidikan. Pengkaji telah mengkelompokkan kuasi eksperimental
ini kepada dua kelompok iaitu, reka bentuk praujian dan pascaujian bagi dua kumpulan,
kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Kumpulan eksperimen merupakan
kumpulan yang menggunakan teknik KWLH dalam praujian dan pascaujian manakala
kumpulan kawalan hanya menggunakan teknik tradisional. Berikut merupakan hasil
dapatan kajian yang dipetik dalam kajian ini;

Sumber: Abdul Rasid Jamian & Nurfatin Nabihah Baharom (2018). Kesan Penggunaan
Teknik KWLH dalam Kemahiran Membaca Kalangan Murid Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu.

Berikut merupakan ujian-t sampel bebas yang dikaji pengkaji semasa pelaksanaan
praujian bagi kumpulan kawalan dan eksperimen. Berdasarkan data tersebut, pengkaji
berjaya untuk mendapatkan satu hipotesis yang diterima pakai, iaitu, kedua-dua kumpulan

7
tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dalam penguasaan kemahiran membaca melalui
praujian. Pengkaji menghipotesiskan bahawa kemampuan kumpulan-kumpulan tersebut
dalam kemahiran membaca adalah setara. Namun begitu, data ini mula mengalami
perubahan dan peningkatan yang baik terhadap kumpulan eksperimen setelah pelaksanaan
pascaujian manakala data bagi kumpulan kawalan adalah merundum seperti yang dapat
dilihat di bawah;

Sumber: Abdul Rasid Jamian & Nurfatin Nabihah Baharom (2018). Kesan Penggunaan
Teknik KWLH dalam Kemahiran Membaca Kalangan Murid Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu.

Pengkaji mendapati bahawa setelah selesai pemerolehan dan penganalisian data


ini, dapat dilihan dengan jelas bahawa terdapat perbezaan yang ketara antara kumpulan
eksperimen dan kawalan semasa praujian dan pascaujian yang telah dijalankan melalui
soalan pemahaman. Hasil akhir kajian ini membuktikan bahawa penggunaan teknik bacaan
KWLH ini adalah sesuai dalam mempertingkatkan tahap kemahiran membaca para pelajar
terutamanya pelajar yang menjadi pensampelan kajian ini, pelajar sekolah jenis kebangsaan
Cina (SJKC). Melalui perbandingan dan perbezaan skor yang ketara ini, ia akan lebih
membantu para guru Bahasa Melayu untuk tampil yakin menggunakan teknik KWLH ini
dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di SJKC.

5.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, guru-guru terutamanya guru yang mengendalikan kelas peralihan


hendaklah merancang dan melaksanakan penggunaan teknik yang bersesuaian supaya dapat
meningkatkan kemahiran membaca khususnya dalam kalangan para pelajar bukan penutur natif.
Dengan beberapa teknik bacaan yang telah disenaraikan, diharapkan ia dapat menjadi panduan
kepada guru-guru kelas peralihan untuk mengaplikasikannya. Apabila berhadapan dengan kelas
peralihan, guru hendaklah menjadi lebih berpemikiran kreatif dan kritis dalam perancangan strategi

8
pengajaran bagi memudahkan para pelajar tersebut untuk menguasai kemahiran membaca dan
mengikuti pembelajaran dengan fokus serta tiada kesulitan. Hal ini juga berupaya untuk membantu
guru-guru kelas peralihan untuk mencapai objektif dengan lebih efektif.

Keberkesanan teknik yang digunakan bukan hanya bergantung kepada guru sahaja, tetapi
para pelajar juga memainkan peranan penting dalam memastikan kemahiran membaca ini dapat
dikuasai dan dimahiri. Hal ini adalah kerana, dalam membentuk suatu pengajaran yang efektif dan
berkesan, guru haruslah mengutamakan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar. Melalui cara
ini, guru hanya akan membimbing dan menjadi fasilitator kepada para pelajar supaya mereka dapat
menguasai kemahiran yang diajar. Disini, guru akan dapat melihat ketulenan kemampuan pelajar
kelas peralihan untuk bergerak dan menyelesaikan sendiri masalah tersebut serta menggalakkan
lagi daya pemikiran yang kritis dan kreatif mereka dalam memahami bahasa Melayu khususnya
dalam membaca.

9
RUJUKAN

Abdul Rasid Jamian & Nurfatin Nabihah Baharom. 2018. Kesan Penggunaan Teknik KWLH dalam
Kemahiran Membaca Kalangan Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Jurnal Pendidikan Bahasa
Melayu, Vol. 8 (Bil. 2): 48 – 56.

Bahagian Pembangunan Kurikulum. 2016. Kurikulum Standard Sekolah Menengah Bahasa Melayu.
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bahagian Pembangunan Kurikulum. 2018. Kurikulum Standard Kelas Peralihan Bahasa Melayu. Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Datuk Dr. Amin Bin Senin. 2019. Pelaksanaan Kurikulum Standard Kelas Peralihan di Sekolah Menengah
Mulai Tahun 2019. Kuala Lumpur: Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia
Bil. 2.

Professor Dr N. S. Rajendran, Dr. Mahendran Maniam, Pn. Shanti Periasamy, Dr. Ramesh Rao, Dr.
Kathiyaini Devarajoo & Pn. Jeya Velu. 2012. Tinjauan Kelas Peralihan di Malaysia: Suatu Kajian
Menilai Keberkesanannya. Yayasan Pelajaran , Kebajikan & Penyelidikan Malaysia.

Roa’ani bt. Mohamed & Nor Rul Azlifah bt. Zulkafali. 2021. Keberkesanan Pendekatan Pedagogi Terbeza
(PPT) dalam PdPc Bahasa Melayu Kelas Peralihan: Satu Kajian Tindakan di Sebuah Sekolah di
Kuantan. Journal of Sciences and Management Research.

Zamri Mahamod, Rohaida Mazalan, Norziah Amin & Mohd Zaki Abd. Rahman. 2021. Tahap Penguasaan
Kemahiran Membaca dan Menulis Murid-Murid B40 dalam Pembelajaran Bahasa Melayu.
PENDETA: Journal of Malay Language, Education and Literature, 12(1), 40-62.

10

Anda mungkin juga menyukai