Anda di halaman 1dari 2

Terima kasih dan salam sejahtera kepada Tuan Pengerusi Majlis, para hakim

yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi dan rakan-rakan sekalian. Tajuk

cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah ‘Anak Arnab Memperdaya

Serigala yang Ganas’.

Pada suatu hari, anak arnab berkata kepada ibunya, “Banyak cendawan di

lereng gunung, biarlah saya tolong emak petik sedikit cendawan di sana. Ibu

bolehlah memasak sup cendawan yang lazat pada malam ini.”

Ibu arnab yang sibuk berkata, “Baguslah kalau anakku mahu tolong emak,

tetapi ingat, jangan pergi terlalu jauh. Nanti sesat jalan emak akan bimbang.”

“Baiklah emak. Saya akan berhati-hati,” jawab anak arnab. Ia yang berasa

gembira mengambil bakul yang kecil dan makanan lalu keluar dari rumah.

Banyak cendawan di lereng gunung. Anak arnab melompat-lompat sambil

memetik cendawan. “Satu, dua, tiga...... Satu, dua, tiga......” Tidak lama kemudian,

bakulnya penuh berisi dengan cendawan yang segar. Anak arnab tidak sabar-

sabar ingin memberi hasil petikan cendawannya kepada ibu.

Tiba-tiba, anak arnab ternampak serigala tidak jauh daripadanya. Ia

sungguh takut tetapi tidak sempat melarikan diri. Ia takut akan dimakan oleh

serigala dan tidak dapat berjumpa dengan ibu lagi. Kemudian, ia mendapat akal.

“Aduh, sakitnya perut saya! ” Anak arnab berpura-pura sakit perut. Ia menekan

perutnya sambil menjerit kesakitan. Argh...... Argh...... Argh......

Serigala menghampiri anak arnab lalu bertanya dengan hairannya, “Apakah

yang terjadi kepada kamu? Mengapa jerit-jerit di sini?” “Saya termakan

cendawan yang beracun,” jawab anak arnab sambil menangis. “Sungguh sakit

perut saya ini. Saya akan mati tidak lama lagi.”

Anak arnab merebahkan diri lalu berguling-guling. Kemudian, ia menutup

matanya berpura-pura mati. Serigala melihat anak arnab lalu berfikir, “Daging

arnab sangat lazat. Malangnya arnab ini sudah beracun! Jika tidak, tentu aku
dapat makan besar pada malam ini.”

Serigala mendekati dan menghidu-hidu anak arnab seketika. Akhirnya, ia

pergi dari situ meninggalkan anak arnab. Apabila serigala sudah jauh dari situ,

anak arnab bangun dengan cepatnya. “Nasib baik helah saya berjaya. Jika tidak,

habislah saya dimakan oleh serigala yang ganas itu,” kata anak arnab sambil

mengurut dadanya. Ia mencapai bakulnya lalu berlari pulang dengan pantas sekali.

Apabila sampai di rumah, anak arnab memberitahu ibunya apa yang telah

berlaku di lereng gunung. Ia bercerita bagaimana dirinya berjaya memperdaya

serigala yang ganas dan menyelamatkan dirinya. Selepas mendengar cerita itu,

ibu arnab memeluk anaknya dengan kegembiraan. “Anakku sungguh bijak! Nasib

baik anakku selamat.” kata ibu arnab dengan bangganya.

Begitulah kisah seekor anak arnab yang bijak melepaskan diri daripada

bahaya. Oleh yang demikian, jika kita menghadapi sebarang masalah, kita

hendaklah tenang dan bertindak dengan bijaksana kerana setiap masalah pasti

ada penyelesaiannya.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai