Anda di halaman 1dari 2

SINGA YANG TAMAK

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif serta bijaksana,
penjaga detik yang patuh pada waktu serta kepada guru-guru dan rakan-rakan yang
saya kasihi. Pada hari ini, saya ingin menyampaikan sebuah cerita yang boleh
dijadikan pengajaran buat kita semua. Cerita saya bertajuk “Singa Yang Tamak”.

Suatu masa dahulu, seekor singa sudah beberapa hari berburu tanpa berjaya
menangkap apa-apa untuk dimakan. “Nampak seperti aku akan kelaparan lagi!”
fikirnya.

Kemudian, dia ternampak seekor arnab sedang tidur di bawah pokok. Dia
bergerak dengan senyap ke arah arnab sambil berfikir, “Akhirnya! Di sinii, ada
hidangan lazat menungguku!”

Ketika sedang menghampiri arnab, singa ternampak anak rusa yang sedang
menuju ke tasik. Singa itu berfikir, “Ini hidangan yang lebih enak!”. Dia menoleh,
lalu mengejar anak rusa itu. Bunyi bising mengejutkan arnab yang segera bangun dan
melompat pergi.

Setelah lama mengejar, singa gagal menangkap rusa. Keletihan, dia kembali
untuk mencari arnab tetapi mendapati arnab sudah pun melarikan diri.

“Alangkah bodohnya aku!” kata singa dengan perut yang berbunyi. “Padan
mukaku kerana kehilangan makanan yang hampir menjadi habuanku, hanya kerana
peluang untuk mendapat lebih!”.

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya kisah singa yang tamak. Oleh itu, kita
janganlah menjadi orang yang tamak atau kelak kita akan kehilangan segalanya.
Sekian dan terima kasih.

SINGA YANG TAMAK

Wahai kawan-kawan mari dengar cerita


Kisah Singa Yang Tamak tajuk cerita
Wahai kawan kawan janganlah leka
Pinjamkan masa anda semua.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana,
penjaga detik yang patuh pada waktu, guru-guru dan kawan-kawan yang saya kasihi.

Suatu ketika dahulu, di dalam sebuah hutan terdapat seekor singa yang sangat
kelaparan.

Tiba-tiba ketika singa berjalan mencari mangsanya, singa ternampak seekor arnab
yang sedang tidur dengan nyenyak.
“Akhirnya, ada juga hidangan lazat untukku,” bisik singa tersebut.

Ketika sedang menghampiri arnab, singa ternampak seekor anak rusa yang sedang
menuju ke tasik. “Ini hidangan yang lebih menyelerakan,” getus singa.

Dengan pantas, singa terus mengejar anak rusa tersebut, rupa-rupanya anak rusa lebih
laju menyelamatkan dirinya dan terus masuk ke dalam hutan.

Singa kecewa kerana tidak dapat mengejar anak rusa, lalu berpatah semula ke tempat
arnab tersebut. Apabila singa sampai, arnab itu sudah tiada.

“Alangkah ruginya aku.” kata singa yang kelaparan itu. Lalu singa tertidur dengan
perut yang lapar.

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya kisah singa yang tamak. Oleh itu, kita
janganlah menjadi orang yang tamak atau kelak kita akan kehilangan segalanya. Sekian dan
terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai