Anda di halaman 1dari 5

KISAH ARNAB DAN BUAYA

Salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang
dikasihi serta rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Arnab
Dengan Buaya.

Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah seekor daripada arnab-arnab itu
sungguh cantik. Bulunya lebat, lembut dan putih melepak. Giginya pula tersusun rapi dan putih
berseri. Sahabat handai dan binatang-binatang lain di dalam hutan itu selalu memuji kecantikan gigi
arnab ini.

Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu menjadi semakin sombong. Ia mula berlagak
seolah-olah ialah yang tercantik di dunia ini. Lama-kelamaan, haiwan-haiwan lain mula menjauhkan
diri daripadanya. Oleh kerana tiada sesiapa lagi yang suka berbual dengannya, arnab itu selalu
berjalan sendirian.

Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Ia ternampak seekor buaya sedang
berjemur di tebing. Arnab berasa takut dan tidak berani mendekati buaya itu. “Hai Arnab, cantik
sungguh gigi kau ! Kalau gigi aku juga begitu cantik, sudah pasti aku boleh menjadi raja di laut.”
Kata buaya itu kepada arnab. Arnab berasa sungguh gembira kerana sudah lama dia tidak mendengar
pujian begitu.

“Bagaimana engkau menjaga kecantikan gigi kau tu?” Tanya buaya itu lagi. Arnab berasa bangga
dengan pujian itu. Sambil tersenyum, arnab berkata, “Engkau mesti banyak makan sayur-sayuran dan
jangan makan daging.”
Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. “Bolehkah engkau tolong periksa gigiku. Gigiku
sudah banyak yang rosak,” kata buaya lagi.

Tanpa berfikir panjang, arnab pun menghampiri buaya lalu memeriksa gigi buaya satu demi
satu. Tanpa berlengah-lengah lagi, buaya terus menutup mulutnya dan menelan arnab itu. Maka
tamatlah riwayat arnab
yang mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek akal itu.
Demikianlah kawan-kawan ,

Sebagai pengajaran, kita janganlah sombong dengan kelebihan yang diberi oleh Allah.

Berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

”SANG KANCIL DENGAN TALI PINGGANG SAKTI”


”Ha....ha...ha......, nampaknya hari ini engkau akan menjadi makanan aku Sang Kancil,
ha...ha....ha......”, ketawa Sang Harimau.

”Wahai Sang Harimau, janganlah makan aku, lepaskanlah aku, kasihanilah aku Sang Harimau ”
rayu Sang Kancil.

Ha, kawan-kawan hendak tahu apa kesudahan ceritanya?

Dengarlah cerita saya pada hari ini yang bertajuk ”Sang Kancil dengan Tali Pinggang Sakti”.

Selamat pagi dan salam sejahtera kepada barisan Hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan
rakan-rakan sekalian.

Di dalam sebuah rimba, tinggal seekor Sang Kancil yang cerdik lagi bijaksana.
Pada suatu hari, Sang kancil keluar mencari makanannya, tiba-tiba dia ternampak Sang Ular yang
besar sedang tidur nyenyak
di bawah sebatang pokok.

”Aku harus berhati-hati dengan Sang Ular itu, jikalau ia terjaga habislah aku dimakannya nanti”,
bisik Sang Kancil didalam hatinya. Tanpa membuang masa Sang Kancil pun beredar dari tempat itu.

Kemudian, Sang Kancil meneruskan perjalanannya untuk mencari makanan,


tiba-tiba kedengaran bunyi riuh-rendah suara binatang-binatang di dalam hutan itu.
” Lari.... lari......... lari Sang Kancil, Sang Harimau hendak makan kita”, jerit Sang Arnab dan
Sang Monyet sambil berlari lintang pukang. Belum sempat Sang Kancil melarikan diri, tiba-tiba
Sang Harimau terus menerkam ke arah Sang
Kancil. Sang Kancil mengigil dan menangis ketakutan.

”Ha....ha...ha......, nampaknya hari ini engkau akan menjadi makanan aku Sang Kancil,
ha...ha....ha......”, ketawa Sang Harimau.

”Wahai Sang Harimau, janganlah makan aku, lepaskanlah aku, kasihanilah aku Sang Harimau ”
rayu Sang Kancil.

Sang Kancil mencari akal untuk melepaskan dirinya dan dia teringat akan Sang Ular yang sedang
tidur nyenyak dibawah sebatang pokok.

”Wahai Sang Harimau, aku mempunyai sebuah tali pinggang sakti yang ku simpan di bawah
sebatang pokok, jika engkau memakainya sudah tentu semua binatang akan tunduk dan hormat pada
engkau”, kata Sang Kancil.

”Apa... tali pinggang sakti?! Di manakah tali pinggang sakti itu?!” tanya Sang Harimau. ”Tali
pinggang sakti itu ada ku simpan di bawah sebatang pokok tetapi engkau mestilah melepaskan aku
dahulu”, kata Sang Kancil.

”Baiklah Sang Kancil, aku lepaskan engkau, tapi ingat!! Kalau kau tipu aku siaplah engkau!!,
herdik Sang Harimau. Sang Kancil pun membawa Sang Harimau ke tempat Sang Ular yang sedang
tidur nyenyak tadi.” Ha..itulah tali pinggang yang ku katakan tadi”, bisik Sang Kancil kepada Sang
Harimau.
Tanpa membuang masa, Sang Harimau pun terus memegang badan Sang Ular yang sedang tidur
nyenyak tadi dan melilitkan badan Sang Ular itu ke pinggangnya.”Wah, hebat sungguh tali pinggang
sakti ini! Ha..ha...sekarang akulah raja di rimba ini, semua binatang akan takut kepada aku,
ha....ha.....ha.....”, ketawa Sang Harimau.

Sang Ular yang sedang tidur nyenyak pun terjaga apabila terdengar suara Sang Harimau itu tadi.
Apalagi Sang Ular berasa sangat marah lalu terus membelit pinggang Sang Harimau dengan
kuat.Sang Harimau pun menjerit memnita tolong. ” Tolong.... tolong.... tolong.... Sang Harimau
meronta-ronta untuk melepaskan dirinya. ”Cis, berani engkau menipu aku Sang Kancil, siaplah
engkau”, marah Sang Harimau.

Akhirnya, Sang Harimau pun mati dibelit oleh Sang Ular. Selamatlah Sang Kancil daripada dimakan
oleh Sang Harimau. Semua haiwan yang tinggal di dalam rimba itu mengucapkan terima kasih
kepada Sang Kancil kerana telah

menyelamatkan nyawa mereka.....Selesailah sudah... Kisah Sang Kancil... Yang Sangat cerdik lagi
bijaksana…berjaya menumpas musuh yang ganas…

Hidupan hutan… Aman dan gembira….

Hai kawan-kawan,

Dari cerita yang saya sampaikan tadi, dapatlah kita semua teladan bahawa setiap masalah yang kita
hadapi pasti ada penyelesaian, jika kita menggunakan akal seperti Sang Kancil tadi.

Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai