Anda di halaman 1dari 12

Ekonomi Gig & Masa Hadapan Anak Muda |1

Pendahuluan

Perkembangan era teknologi telah membawa kepada perubahan landskap ekonomi


secara drastik yang telah merancakkan perkembangan ekonomi gig khususnya di
negara kita. Kebiasaannya, apabila kita membicarakan perihal ekonomi gig,
perbincangan pasti akan tertumpu kepada landskap pekerjaan bagi golongan anak
muda dalam mendepani cabaran ekonomi kini.

Kemajuan teknologi dan percambahan telefon pintar pada hari ini telah mengubah
landskap komersial yang telah memberikan pembekal suatu kaedah yang baru untuk
menembusi pasaran (Sarah A. Donovan, David H. Bradley & Jon O. Shimabukuru,
2016).

Selain merupakan salah satu sumber baharu yang dapat menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi negara, ekonomi gig juga adalah merupakan alternatif yang
terbaik bagi memastikan anak muda khususnya dapat bertahan bagi mengharungi
badai ekonomi sama ada pada peringkat nasional mahupun global.

Ekonomi gig bukan sahaja menjadi pilihan anak-anak muda yang tidak mempunyai
pekerjaan sahaja, bahkan ramai juga yang memilih untuk berkecimpung di dalam
ekonomi gig untuk menjana pendapatan tambahan melalui perkhidmatan seperti yang
dijalankan oleh syarikat Foodpanda dan Grab. Selain itu, mereka turut dapat
menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk menjana pendapatan sama ada secara
penuh atau separuh masa seperti pereka grafik, konsultan dan sebagainya.

Ekonomi Gig

Secara umumnya, ekonomi gig ini tidak mempunyai definisi yang khusus namun
terdapat beberapa pandangan dan definisi yang dapat memberi kefahaman dan
gambaran menyeluruh berkaitan ekonomi gig.

Menurut Arne L. Kalleberg dan Michael Dunn (2016), ekonomi gig adalah medium
bagi mempromosikan keusahawanan dan inovasi tanpa batasan dengan bentuk
perkhidmatan yang bersifat fleksibel, berautonomi, dan dapat memberi keseimbangan
hidup serta peluang bagi individu untuk menjana pendapatan melalui perkhidmatan
dan juga kepakaran yang mereka miliki untuk tujuan memenuhi permintaan
pelanggan.

Selain itu, sesetengah pekerjaan dalam ekonomi gig adalah bersifat jangka pendek
dan terdapat juga pekerja yang menggunakan ekonomi gig untuk mengetengahkan
bakat yang dimiliki. Perusahaan yang menghubungkan pekerja dengan pekerjaan
melalui laman sesawang dan aplikasi telefon adalah suatu perkembangan yang baru
(Hogan, Elka Torpey and Andrew, 2016).

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Ekonomi Gig & Masa Hadapan Anak Muda |2

Rajah 1 : Laporan mengenai perkembangan ekonomi gig di Malaysia (The Star Online, 6 April 2019)

Menurut kajian daripada Edison Research (2018), ekonomi gig adalah merupakan
pasaran tenaga kerja yang berkembang daripada gaya kerja yang tradisional iaitu
sepenuh masa terikat dengan waktu pejabat. Ekonomi gig dipacu oleh kemajuan
teknologi yang mengetengahkan kemampuan seseorang dengan menggunakan
komputer, telefon pintar, pelbagai aplikasi, serta pembayaran atas talian bagi
memenuhi permintaan pelanggan.

Antara faktor yang menarik minat anak muda khususnya untuk berkecimpung di dalam
ekonomi gig adalah ia bersifat anjal dari sudut masa bekerja iaitu tidak terikat seperti
waktu pejabat. Selain itu, ekonomi gig turut menjadi pilihan terutama bagi golongan
celik teknologi (tech-savvy) kerana dapat menjana pendapatan melalui saluran yang
mereka gemari berdasarkan kemahiran yang mereka miliki.

Kajian daripada Ai Group (2016) mendapati bahawa, model pekerjaan yang bercirikan
keusahawanan dan pengusahaan yang bersifat fleksibel dari sudut waktu bekerja
semakin mendapat permintaan yang tinggi khususnya dalam kalangan anak muda.

Tambahan lagi, mereka yang terlibat dengan ekonomi gig dapat melaksanakan
pekerjaan mengikut keselesaan mereka tanpa perlu mengikut arahan majikan dan
dapat melaksanakan pekerjaan di mana sahaja selagi mana terdapat capaian jalur
lebar. Antara kelebihan lain adalah mereka yang berkecimpung di dalam ekonomi gig
turut dapat meluangkan masa lebih banyak bersama keluarga kerana ada dalam
kalangan mereka yang hanya bekerja dari rumah untuk menjana pendapatan.

Dapat dirumuskan bahawa, ekonomi gig adalah merupakan pasaran buruh yang
bercirikan kontrak jangka pendek atau kerja bebas sama ada sepenuh masa atau
sambilan yang bersifat fleksibel dari segi masa dengan dipacu oleh platform teknologi
digital bagi memenuhi kehendak pasaran.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Ekonomi Gig & Masa Hadapan Anak Muda |3

Konsep pekerjaan sebegini dilihat lebih memenuhi kemahuan anak muda yang tidak
mahu terikat dengan karenah majikan, suasana kerja yang statik serta terikat dengan
masa bekerja seperti waktu pejabat (office hour).

Pandemik COVID-19 dan Kesan Terhadap Perkembangan


Ekonomi Gig

Rajah 2 : Berita mengenai pasaran pekerjaan dijangka terjejas pada tahun 2020 (Berita Harian Online,
3 April 2020)

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus
menyatakan bahawa, pasaran pekerjaan dijangka lemah tahun 2020 berikutan
penularan pandemik COVID-19, dan menurut beliau, kadar pengangguran dijangka
akan meningkat daripada 3.7 peratus kepada 4.0 peratus.

Bagi memastikan graduan lepasan universiti dan anak muda khususnya tidak
terperangkap di dalam pengangguran dalam jangka masa yang lama, saranan
daripada semua pihak perlulah dipergiat untuk memastikan anak-anak muda
berkecimpung di dalam ekonomi gig untuk menjana pendapatan.

Umum mengetahui, pada masa beberapa sektor ekonomi negara lumpuh akibat
pendemik COVID-19 yang mengganas, antara saranan daripada pihak kerajaan bagi
terus menghidupkan ekonomi negara adalah dengan merancakkan ekonomi digital.

Mereka yang terlibat dengan ekonomi gig ini masih boleh menjana pendapatan
terutama apabila tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang telah diumumkan
oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin yang
telah bermula pada1 April 2020. Keadaan ini secara tidak langsung telah melonjakkan
peningkatan perkhidmatan penghantar disebabkan permintaan yang tinggi daripada
rakyat.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Ekonomi Gig & Masa Hadapan Anak Muda |4

Menurut Ketua Logistik Foodpanda Malaysia, Shubham Saran, jumlah penghantar


syarikat itu telah meningkat sebanyak 7.5 peratus dan permohonan sebagai
penghantar meningkat sebanyak 37 peratus. Ini adalah disebabkan permintaan yang
tinggi daripada rakyat sepanjang perintah kawalan pergerakan dilaksanakan dan
saranan kerajaan adalah untuk menggunakan khidmat penghantaran untuk
memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

Rajah 3 : Berita mengenai jangkaan kemelesetan ekonomi pada tahun 2020 daripada Tabung
Kewangan Antarabangsa (IMF) (Berita Harian Online, 24 Mac 2020)

Disamping itu, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pandemik COVID-19


yang telah membadai dunia akan mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada
tahun ini. Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva menyatakan prospek
pertumbuhan adalah negatif dan pertumbuhan ekonomi global dijangka akan kembali
pulih menjelang tahun 2021.

Keadaan ini akan menyebabkan ramai dalam kalangan anak muda khususnya
mengambil peluang untuk menjana pendapatan sama ada secara sepenuh masa atau
sampingan melalui platfom ekonomi gig sebagai persediaan bagi menghadapi
kemelesetan ekonomi yang dijangka akan berlaku selepas pasca COVID-19 berakhir.

Ini membuktikan bahawa platform digital dan ekonomi gig yang sedang berkembang
di negara kita sangat penting dan menjadi keperluan utama bukan sahaja untuk
memenuhi permintaan pelanggan sahaja, bahkan sangat penting terutama jika
berlaku keadaan-keadaan luar jangka seperti arahan kawalan pergerakan seperti ini.

Ekonomi Gig dan Pengangguran Anak Muda

Pengangguran dalam kalangan anak muda adalah merupakan isu global dan bukan
hanya berlaku di Malaysia. Anak muda adalah merupakan antara golongan yang
paling terjejas apabila berlaku kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi global
disebabkan kerana kekurangan kemahiran dan pengalaman terutama dalam sektor
tenaga mahir.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Ekonomi Gig & Masa Hadapan Anak Muda |5

Menurut Ketua Perangkaan Malaysia,


Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin,
sebanyak 3.2 peratus kadar
pengangguran di Malaysia iaitu
seramai 510,000 orang setakat 31
Disember 2019. Jumlah ini adalah
termasuk mereka yang masih belajar,
dan tidak menawarkan diri untuk
bekerja, menjadi suri rumah dan yang
telah bersara. Namun begitu, menurut
statistik utama tenaga buruh di
Malaysia pada Januari 2020, kadar
pengangguran turun kepada 3.2
peratus berbanding 3.3 peratus pada
Disember 2019. Keadaan ini dijangka
Rajah 4 : Kadar Pengangguran di Malaysia pada meningkat disebabkan pandemik
Januari 2020 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 13 Mac COVID-19 yang telah melanda negara
2020)
dan telah mengakibatkan ramai pekerja
diberhentikan.

Tambahan lagi, data daripada Bank Negara, daripada tahun 2010 hingga 2017, lebih
daripada 170,000 graduan yang memasuki bidang pekerjaan dan hanya 98 ribu
graduan yang berjaya memasuki bidang tenaga mahir dan selebihnya terpaksa
bekerja didalam bidang yang lebih rendah berbanding kelayakan dan juga
menganggur.

Rajah 5 : Statistik kadar pengangguran dalam kalangan anak muda dari tahun
2007-2017 (World Bank: 2018)

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Ekonomi Gig & Masa Hadapan Anak Muda |6

Statistik menunjukkan bahawa kadar pengangguran dalam kalangan anak muda


adalah 3 kali lebih tinggi berbanding dalam kalangan dewasa. Demi kelangsungan
hidup, penglibatan di dalam ekonomi gig dilihat sebagai salah satu jalan keluar bagi
anak muda khususnya untuk menjana pendapatan daripada terus dibelenggu
pengangguran kerana kesukaran mendapatkan tempat dalam sektor pekerjaan awam
dan swasta.

Selain itu, timbul juga permasalahan berkaitan “underemployment” iaitu terpaksa


memilih untuk bekerja di dalam sektor pekerjaan yang berkemahiran sederhana dan
rendah yang mana tidak selari bahkan lebih rendah berbanding kelayakan yang
dimiliki.

Keadaan ini adalah merupakan permasalahan yang kritikal dan memerlukan kepada
perubahan di dalam dasar-dasar negara yang dapat mewujudkan lebih banyak
peluang pekerjaan, serta penekanan kepada dasar pendidikan yang dapat
mengembangkan kemahiran dan program yang memenuhi keperluan pasaran
(Sabina Lacmanović, Sanja Blažević Burić & Lela Tijanić, 2016).

Oleh kerana isu pengangguran sentiasa membelenggu anak-anak muda, model


ekonomi gig dilihat dapat memberikan nafas baru kepada mereka untuk bekerja dan
menjana pendapatan.

Menurut Sundararajan (2016), dahulu apabila kadar pengangguran tinggi, maka ramai
yang memenuhi sektor pekerjaan seperti bidang pertanian dan perkilangan. Namun
kini dengan perkembangan teknologi, mereka hanya bekerja menggunakan telefon
pintar berbanding memenuhi sektor pertanian dan perkilangan.

Peranan Kerajaan Terhadap Pertumbuhan Ekonomi Gig

Platform ekonomi digital adalah teras utama yang diberikan perhatian khusus oleh
kerajaan sebagaimana yang diumumkan di dalam Belanjawan Malaysia 2020 yang
telah diletakkan sebagai teras pertama iaitu memaju pertumbuhan ekonomi dalam
ekonomi baharu dan era digital. Ini telah menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi
gig telah dipandang serius oleh pihak kerajaan bagi memastikan ia dimanfaatkan oleh
rakyat di negara ini khususnya dalam kalangan anak muda.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Ekonomi Gig & Masa Hadapan Anak Muda |7

Rajah 6 : Laporan mengenai intipati Belanjawan 2020 berkaitan ekonomi digital (Bernama Radio, 12
Oktober 2019)

Ini adalah merupakan suatu gambaran bahawa Malaysia menuju ke arah


memperkasa ekonomi digital yang dijangka akan menyumbang kepada pertumbuhan
ekonomi negara secara tidak langsung akan mengembangkan ekonomi gig di negara
ini.

Pada 12 Oktober 2019, Mantan Perdana Menteri yang ke-7, Tun Dr. Mahathir
Mohamad telah mengumumkan dalam sidang parlimen untuk menjadikan ekonomi gig
sebahagian daripada Rancangan Malaysia yang ke-12 (RMK12). Ini menunjukkan
keseriusan Kerajaan dalam menyambut baik ekonomi gig yang kian berkembang
pesat di negara ini sebagai salah satu daripada medium untuk memastikan rakyat
Malaysia khususnya anak muda dapat menjana pendapatan.

Peningkatan pesat ekonomi gig yang menggunakan tenaga kerja yang berteraskan
teknologi digital, telah memacu kepada perdebatan yang sengit tentang implikasi
terhadap ekonomi dan polisi awam. Satu pendapat berpandangan bahawa ekonomi
gig telah melahirkan produktiviti dan fleksibliti kepada pekerja. Pandangan yang lain
pula menyatakan ekonomi gig yang berkembang ini mencerminkan ekploitasi

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Ekonomi Gig & Masa Hadapan Anak Muda |8

terhadap pekerja (Cyrille Schwellnus, Assaf Geva, Mathilde Pak and Rafael Veiel,
2019).

Arne L. Kalleberg dan Michael Dunn (2016) turut menyatakan bahawa, adalah sangat
penting bagi sesebuah syarikat yang beroperasi di dalam ekonomi gig untuk
menyediakan insuran kesihatan, skim persaraan dan tidak mengikat pekerja dengan
waktu bekerja yang lama serta tidak mengekploitasi pekerja.

Justeru, bagi mengelakkan keadaan seperti itu terjadi, pihak Kerajaan telah
mengumumkan untuk menjalankan suatu kajian yang terperinci berhubung takrifan
perundangan dalam ekonomi gig selaras dengan revolusi industri 4.0. Ini adalah
bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang terlibat dengan ekonomi gig
disamping mengadakan peraturan untuk melindungi hak pekerja bagi memastikan
sebarang penindasan dan eksploitasi dapat dibanteras.

Penutup

Perkembangan teknologi digital telah membantu untuk merancakkan ekonomi gig


sama ada di peringkat global mahupun nasional. Berdasarkan data Bank Dunia,
penyertaan Malaysia dalam ekonomi gig dijangka berkembang pesat tahun demi
tahun. Ini adalah kerana kekurangan permintaan daripada sektor pekerjaan tradisional
sama ada kerajaan mahupun swasta akan melonjakkan jumlah penyertaan di dalam
ekonomi gig.

Sudah tiba masanya anak-anak muda termasuklah para graduan universiti, untuk
mengembangkan kemahiran yang dimiliki agar dapat menjana pendapatan tanpa
perlu berada di dalam tempoh pengangguran disebabkan menunggu peluang-peluang
pekerjaan daripada sektor pekerjaan yang sedia ada.

Dalam masa yang sama, pihak kerajaan perlu sentiasa meneliti dan memastikan
kebajikan rakyat yang terlibat dengan ekonomi gig dapat dikawal selia dengan baik
dan dapat memulihkan segala kekurangan dan kelemahan yang ada dalam model
ekonomi gig dari masa ke masa. Ini sekaligus dapat menarik minat lebih ramai lagi
rakyat khususnya anak muda untuk berkecimpung di dalam ekonomi gig dalam masa
yang sama menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)


Ekonomi Gig & Masa Hadapan Anak Muda |9

SENARAI RUJUKAN

Ai Group.(2016). The Emergence of The Gig Economy . 5.


Arne L. Kalleberg & Michael Dunn. (2016). Good Job, Bad Job In Gig Economy. (Perspectives On
Work). 10
Arun Sundararajan.(2016). The Sharing Economy: The End of Employment and The Rise of Crowd-
Based Capitalism.
Cyrille Schwellnus, Assaf Geva, Mathilde Pak and Rafael Veiel. (2019). Gig Economy Platforms: Boon
or Bane? Economics Department Working Papers, 5.
Hogan, Elka Torpey and Andrew. (2016). Working in a gig economy.
Joshua Healy, D. N. (2017). Should We Take The Gig Economy Seriously? 17.
Edison Research Poll.(2018). The Gig Economy.
Sabina Lacmanović, Sanja Blažević Burić & Lela Tijanić. (2016). (The Socio-economic Costs of
Underemployment).
Sarah A. Donovan, David H. Bradley & Jon O. Shimabukuru. (2016). (What Does the Gig Economy
Mean for Workers?) 1.

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Anda mungkin juga menyukai