Anda di halaman 1dari 10

PERLUKAH ANDA MENGAMBIL AIR BERALKALI (ALKALINE WATER)

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor


MD,MOG (UKM), Fellow GO(S'pore),AM
Pakar Perunding Kanan O&G
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah 

Amalan mengambil air beralkali (alkaline water) sudah lama diamalkan dan pelbagai jenis
penapis air dan alat penionan dijual di pasaran untuk menghasilkan air beralkali. Rencana ini
akan memberi sedikit maklumat mengenai air beralkali dan saya akan cuba menerangkan
kepada anda kedudukan sebenar air beralkali ini dari sudut perubatan moden.
Seperti mana yang anda ketahui, air mempunyai pH tertentu supaya ianya menjadi air yang
berasid, neutral ataupun beralkali bergantung kepada bahan-bahan yang terkandung di
dalamnya. Ada bahan-bahan mineral yang menyebabkan air menjadi beralkali dan ada yang
menyebabkannya menjadi berasid. Nilai pH air ditentukan oleh keseimbangan di antara
bahan berasid dan beralkali di dalam air. Jika bahan berasid melebihi bahan beralkali, maka
air itu akan menjadi berasid. Jika kedua-dua bahan ini seimbang, maka air menjadi neutral.
Air mentah dan air paip yang dirawat selalunya neutral. Tahap pH ditentukan oleh nombor
dari 0 hingga 14, di mana pH kurang dari 7 adalah asid, manakala pH 7 neutral dan pH yang
lebih dari 7 dikatakan alkali. Apakah pH yang sesuai untuk air minuman? Tajuk ini sedang
hangat diperdebatkan. Ada yang mendakwa meminum air beralkali mempunyai khasiat yang
banyak untuk kesihatan badan. Adakah dakwaan ini benar?

Air beralkali selalunya mempunyai pH 8-9 dan dijual di pasaran di dalam pelbagai bentuk.
Air beralkali ini dihasilkan melalui tindakan elektrolisis ataupun pengionan (ionizer) di mana
aliran elektrik digunakan untuk memisahkan molekul air kepada ion-ionnya iaitu ion
hydrogen yang berasid dan ion hidroksid yang beralkali. Katod (catode) yang bercaj negative
akan menarik ion hydrogen (bercaj positif) dan persekitaran katod ini akan menjadi
beralkali(sebab ion hidrogen sudah ditarik kepada katod). Manakala anod (anode) pula yang
bercaj positif akan menarik ion hidroksid sehingga air di sekelilingnya menjadi berasid. Inilah
konsep bagaimana air yang beralkali dan air yang berasid dihasilkan. Di dalam mesin
penapis ini, kedua-dua jenis air ini boleh dipisahkan. Malah bahagian air yang neutral juga
dapat dipisahkan. Persoalannya adakah air beralkali ini mujarab, dapat menyembuhkan
beberapa jenis penyakit seperti darah tinggi, diabetes, kanser dan lain-lain.

Rajah di atas menunjukkan proses elektrolisis yang menghasilkan air beralkali dan air
berasid. Untuk memastikan proses elektrolisis berjalan dengan lancar dan berkesan, air yang
digunakan untuk diproses perlu mempunyai bahan mineral dan logam  (Natrium, Kalsium,
Magnesium dan lain-lain) supaya air tersebut lebih konduktif (conductive). Air tulin yang
tidak mempunyai bahan mineral dan logam tidak akan cukup konduktif untuk menjalani
elektrolisis. Jadi tidak benar jika ada yang mendakwa bahawa proses penghasilan air
beralkali ini menggunakan air tulin.

HAKIKAT KESEIMBANGAN ASID DAN ALKALI DI DALAM BADAN

Pada asasnya, badan manusia memerlukan kedua-dua medium iaitu asid dan alkali. Pendek
kata badan manusia mempunyai bahagian yang lebih berasid dan yang lebih beralkali.
Contohnya pH cecair di dalam perut dan permukaan kulit manusia adalah berasid. Manakala
usus kecil, pankreas danjantung adalah bahagian badan yang lebih beralkali. Badan manusia
mempunyai keupayaan untuk menstabilkan pH badan sehingga ianya menjadi tetap dan
tidak mengalami perubahan yang besar, contohnya pH darah di antara 7.35-7.45. Badan
menggunakan ginjal, usus, pankreas dan pernafasan yang berfungi untuk mengstabilkan pH
darah. Jadi hakikatnya kita tidak mampu untuk mengubah pH ini sesuka hati dari luar
kerana apa sahaja keinginan kita untuk membuat perubahan ini, badan akan tetap
bertindakbalas secara semulajadi sehingga pHnya kekal pada julat yang normal. Maksudnya
badan telah diprogramkan untuk berupaya membuat kawalan diri secara automatic ataupun
auto-regulation di dalam mengawal nilai pH. Salah satu contoh bagaimana badan mengawal
pH adalah melalui ransangan “chemoreceptors” dan pernafasan. Proses mengawal kestabilan
pH ini sama macam alat pengapung air di dalam tangki air, apabila air kurang di dalam
tangka, pengapung pun akan turun dan air pun masuk ke dalam tangki. Apabila air di dalam
tangki penuh, pengapung ini akan menutup lubang air dan menghentikan aliran air masuk
ke dalam tangki. Apabila pH darah menurun disebabkan oleh meningkatnya kandungan ion
hidrogen, kemoreceptor di bahagian otak akan menghantar maklumat kepada otot
pernafasan supaya pernafasan anda menjadi lebih cepat. Apabila pernafasan lebih cepat,
lebih banyak gas karbon dioksida dilepaskan keluar dan ini akan mengurangkan penghasilan
ion hidrogen supaya pH darah dapat distabilkan semula. Begitulah juga disebaliknya, proses
ini berlaku tanpa disedari oleh anda.

ASID DAN JANGKITAN PENYAKIT

Asid diperlukan untuk tujuan membunuh mikroorganisma penyebab penyakit.


Tidak benar jika dikatakan minuman alkali diambil untuk membunuh
mikroorganisma di dalam perut kerana sebenarnya asidlah yang membunuhnya.
Asid di dalam perut juga penting untuk menguraikan protin. Untuk pengetahuan anda, pH
asid perut adalah di antara 1.5-3.5 dan nilai ini sentiasa dijaga supaya ianya dapat
memanfaatkan manusia. Jika asid perut menjadi terlalu berasid, sel-sel di lapisan kulit
perut boleh mengeluarkan bahan beralkali dikenali sebagai bicarbonate, sebaliknya pula, jika
pH cairan perut terlalu tinggi, kadar pengeluaran bicarbonate ini akan terencat. Apabila
kita mengambil makanan, asid perut akan membunuh pathogen ataupun
mikroorganisma penyebab penyakit. Bayangkan jika mekanisma ini tidak wujud,
tentu manusia akan senang dijangkiti penyakit. Satu contoh terbaik mengenai
kepentingan asid di dalam perut adalah bagaimana anjing liar dapat hidup
walaupun memakan bangkai yang dijangkiti oleh kuman. Asid perut anjing liar
mempunyai keasidan 10 kali lebih tinggi dari manusia dan asid inilah yang
membunuh bakteria yang dibawa oleh bangkai.

Asid membunuh bakteria, manakala ada organisma yang memerlukan persekitaran beralkali
untuk hidup dan membiak. Contoh organisma ini adalah sejenis kulat yang dinamakan
candida albican. Di dalam keadaan berasid, kulat ini hidup tidak aktif dan asid ini dihasilkan
oleh bakteria yang baik dinamakan normal flora. Normal flora inilah yang menjadi faktor
penting mengawal pembiakan kulat candida. Jika anda mengambil antibiotik dan membunuh
bakteria baik ini, asid tidak dapat dihasilkan dan akibatnya persekitaran tersebut akan
menjadi lebih beralkali. Persekitaran yang lebih beralkali ini akan menyebabkan kulat
candida menjadi aktif dan membiak sehingga menyebabkan keradangan. Keadaan ini
berlaku di dalam faraj seseorang wanita dan jika kulat candida menjadi aktif, faraj akan
menjadi kemerahan, gatal dan keluar keputihan yang banyak. Jadi persekitaran asid
ataupun alkali diperlukan oleh tempat-tempat tertentu di dalam badan anda.

ADAKAH AIR BERALKALI BOLEH MENGUBATI KANSER

Kanser adalah sejenis penyakit kronik yang kompleks. Proses kejadian kanser berlaku
disebabkan oleh banyak faktor termasuk faktor kelainan genetik dan pendedahan kepada
bahan penyebab kanser ataupun karsinogen. Rawatan kanser juga kompleks dan tidak
semudah yang difikirkan oleh orang awam. Adalah tidak benar mengatakan bahawa
kanser tidak boleh membiak di dalam persekitaran alkali, malah kajian
menunjukkan bahawa pH di dalam sel kanser lebih beralkali dari pH di dalam sel-
sel yang normal. Sebab mengapa perkara ini berlaku adalah kerana sel-sel kanser tidak
dapat menghasilkan asid laktik sepertimana sel-sel normal. Sebaliknya sel-sel kanser
menghasilkan lactate yang lebihberalkali, sel-sel kanser sebenarnya tidak dapat bertahan
dengan keasidan yang tinggi sehingga sel-sel ini mengeluarkan ion hidrogen dari dalam sel
keluar di persekitarannya. Akibatnya persekitaran sel-sel kanser menjadi lebih berasid.
Persekitaran luar sel-sel kanser yang lebih berasid ini bukan bermaksud sel-sel kanser
menyukai asid tetapi ianya adalah akibat dari adaptasi sel-sel kanser untuk meningkatkan
pH di dalam sel-sel mereka. Pendek kata sel-sel kanser lebih mudah hidup jika pH mereka
lebih beralkali. Sebenarnya sel-sel badan manusia yang normal tidak boleh hidup di dalam
keadaan yang melampau samada terlalu beralkali (dikenali sebagai alkalosis) ataupun terlalu
berasid (asidosis). Malah alkalosis lebih merbahaya kerana ianya lebih sukar untuk dirawat
berbanding dengan asidosis. Apabila mengalami asidosis iaitu pH darah terlalu rendah,
kaedah rawatannya bukan dengan meminum air beralkali sebab air ini akan masuk ke dalam
usus dan tidak mampu untuk menukar pH darah disebabkan oleh faktor-faktor yang saya
sebutkan tadi. Sebaliknya rawatan asidosis adalah dengan memberi cecair beralkali terus ke
dalam aliran darah melalui infusi salur vena. Tanggapan orang awam bahawa mengawal pH
darah semudah meminum air samada air berasid ataupun beralkali sebenarnya berasaskan
kepada kefahaman yang sangat cetik mengenai fisiologi manusia. Fisiologi badan manusia
adalah sangat kompleks dan hanya boleh difahami jika ianya dipelajari dengan mendalam
sepertimana yang dilakukan oleh pelajar-pelajar perubatan. Malah mengikut
sebahagian pakar kimia, jika air yang hendak digunakan untuk tujuan pengionan
mengandungi garam iaitu NaCI (Natrium Klorida), proses elektrolisis akan menyebabkan gas
hidrogen dilepaskan dan ion hidroksida akan bergabung dengan Natrium di katod menjadi
NaOH untuk menghasilkan air beralkali (lihat rajah di bawah). Manakala di bahagian anod
pula sebahagian ion Clorin akan dioksidakan untuk menjadi Klorin, jika Klorin in bergabung
dengan ion Hidroksida yang datangnya dari katod, ia akan membentu asid Hipoklorus
(hypochorus acid, HOCl) yangboleh dikeluarkan sebagai air berasid. Asid Hipoklorus adalah
asid lemah dan agen pengoksidan. Jika berlaku percampuran di antara Asid Hipoklorus
(HOCl) dengan Natrium Klorida (NaCl), Natrium Hipoklorida (Sodium Hypochloride) boleh
terbentuk. Untuk pengentahuan anda, Natrium Hipoklorida adalah bahan kimia yang
terkandung di dalam Klorox !!. Di samping itu, Asid Hipoklorus juga pernah dikaitkan dengan
keupayaan untuk menyebabkan mutasi bahan genetik di dalam DNA serta epigenetik dan
berpotensi menyebabkan kanser. Asid Hipoklorus juga boleh menyumbang kepada
pembentukan bahan kimia yang dikenali sebagai 5-Chlorocytocine yang dikatakan boleh
merencat gene perencat kanser (rujukan 1, rujukan 2). Walaupun tiada bukti kukuh mengenai
Asid Hipoklorus dan kanser ke atas manusia tetapi ini sudah cukup mematahkan
dakwaan pengeluar air beralkali bahawa air beralkali dapat membunuh sel kanser, kerana
di sebaliknya pula, air beralkali berpotensi meransang perubahan sel badan kepada sel
kanser. Air yang telah menjalani pengionan atau elektrolisis ini juga bukan anti-oksidan,
malah seperti yang saya nyatakan di atas, terdapat bahan-bahan kimia yang terhasil dari
proses ini sebenarnya adalah agen pengoksidan bukan anti-oksidan.Pendek kata proses
elektrolisis ke atas air boleh menghasilkan bermacam-macam bahan kimia bergantung
kepada kandungan mineral dan logam di dalam air yang hendak diproses. 

 Proses elektrolisis ke atas air yang mengandungi garam ataupun Natrium Klorida. Asid
Hipoklorus dihasilkan untuk menjadikan air berasid,manakala Natrium Hidroksida pula akan
membuatkan air menjadi beralkali

BAGAIMANA MENGUKUR pH BADAN ATAU DARAH


Seperti yang telah saya sebutkan tadi, pH di dalam badan manusia berbeza-beza mengikut
organ dan tisu. Ada organ yang lebih berasid, dan ada organ serta tisu yang lebih beralkali.
Perut contohnya mempunyai rembesan cecair berasid dengan pH 1.5-3.5. Untuk mengukur
pH, anda perlu menggunakan alat pengukur pH. Sampel dari cecair-cecair badan pada
bahagian tertentu perlu diperolehi dan diuji. Jika ujian pH hendak dilakukan ke atas darah,
maka sampel darahlah yang perlu diambil. Jika anda ingin mengukur pH di dalam perut,
maka sampel cecair dari dalam perutlah yang perlu diambil dan diuji. Adalah tidak benar
bahawa nilai pH yang diukur melalui sampel air kencing dan air liur itu menggambarkan pH
badan keseluruhannya kerana ianya hanya menilai pH pada sampel itu sahaja. Malah jika
badan lebih berasid, ginjal akan mengeluarkan lebih banyak bahan beralkali untuk
mengstabilkan pH, pada ketika ini jika ujian pH dijalankan ke atas air kencing, tentu nilai
pHnya lebih tinggi (lebih beralkali), sedangkan ini tidak langsung menggambarkan pH badan
ataupun darah. Jangan mudah terpedaya dengan tipu helah penjual alat penapis air yang
menggunakan tektik mengukur pH air kencing dan air liur untuk menentukan tahap pH
badan anda. Saya boleh katakan jika ini yang mereka lakukan, sebenarnya anda sedang
diperbodohkan.

KEPERLUAN ASID DI DALAM BADAN

Badan memerlukan asid dan alkali kedua-duanya sekali di dalam keadaan dan organ-organ
tertentu. Di dalam perubatan moden, tidak ada istilah badan anda lebih berasid, ataupun
badan anda lebih beralkali. Sistem badan kita dijadikan sedemikian rupa supaya ianya
sentiasa di dalam keseimbangan asid dan alkali. Tanpa keseimbangan ini, anda tidak boleh
hidup dan di dalam keadaan normal, badan anda berkemampuan untuk menstabilkan pH
badan melalui mekanisma-mekanisma yang telah saya sebutkan tadi. Asid diperlukan untuk
banyak fungsi badan seperti menjadi benteng melawan jangkitan penyakit. Banyak
komponen-komponen badan manusia diperbuat dari asid, protin dibina dari asid amino,
molekul DNA (yang membawa bahan baka/genetik ) dibina dari “deoxyribonucleic acid”.
Banyak mikronutrin-mikronutrin yang anda perlukan untuk kesihatan badan seperti vitamin
C (asid askorbik) dan asid folik adalah juga asid. Pendek kata, anda tidak mungkin dapat
hidup tanpa adanya asid.
PENDAPAT PAKAR SAINS DAN PERUBATAN TERHADAP AIR BERALKALI

Kebanyakan pakar-pakar perubatan dan ahli-ahli sains berpendapat bahawa setakat ini tidak
ada bukti kukuh yang menyokong pengambilan air beralkali untuk kesihatan badan, lebih-
lebih lagi untuk tujuan merawat penyakit-penyakit tertentu. Walaupun ada kajian yang
dilakukan tetapi kajian-kajian tersebut tidak mempunyai kualiti yang tinggi dan bukan kajian
“randomized control trial”, pengkaji-pengkaji ini melihat maklumbalas pesakit-pesakit darah
tinggi, diabetes dan lain-lain selepas mengambil air beralkali dan kemudian terus
merumuskan hasil kajian mereka. Sepatutnya kumpulan “control” perlu diwujudkan dan
sampel yang digunakan adalah cukup besar untuk mengaitkan hubungan di antara
pengambilan air beralkali dengan kesihatan. Setakat ini belum lagi ada kajian seumpama itu
kerana sukar untuk dijalankan. Tetapi berdasarkan kepada fakta-fakta yang saya nyatakan
di atas, majoriti ahli-ahli sains dan perubatan mempunyai pendirian bahawa belum ada bukti
kukuh yang meyakinkan bahawa amalan pengambilan air beralkali akan meningkatkan
kesihatan badan, mencegah penyakit, merawat penyakit apatah lagi memanjangkan hayat
seseorang. Jika pun ada manfaat dari pengambilan air beralkali ini, ianya mungkin
disumbang oleh pengambilan air yang mencukupi, kebersihan air dan juga mineral-mineral
yang terkandung di dalamnya. Ramai doktor dan saintis berpendapat dakwaan kemujaraban
air beralkali oleh syarikat-syarikat pengeluar air ini tidak disokong oleh kajian yang berkualiti
tinggi dan kita masih lagi kekurangan maklumat dari segi mudarat yang mungkin boleh
dibawa oleh pengambilan air ini. Apa yang paling dibimbangi adalah
kesankemudaratan jangkapanjang kesan dari pengambilan air beralkali bukan sahaja
disebabkan oleh sifatkealkalian air, tetapi juga disebabkan oleh proses elektrolisis atau
pengionan air ini bakal menghasilkan bermacam-macam bahan kimia/molekul lain
bergantung kepada kandungan air yang digunakan dan juga proses pemisahan air yang
dilakukan. Mengikut seorang Pakar Gastroenterologist yang juga bekas presiden American
Society for Gastrointestinal Endoscopy, Dr.John Petrini, beliau berkata “There is no basis for
any health claims at all (tidak ada langsung asas kesihatan yang didakwa)”. R.John Petrini
berkata lagi :” After it is digested, food and water goes into the stomach and, no matter
what pH it was when it entered and then ends up leaving the stomach at a pH of about 6.8,
Dr. Petrini says. And no matter what you eat, your body has effective mechanisms to keep
your blood in a narrow range between 7.35 and 7.45”. Air diserap terutamanya di dalam
usus dan bukan di dalam perut. Apabila air atau makanan beralkali diambil dan sampai di
perut yang sangat berasid, sifat alkali bahan-bahan ini akan dihapuskan dan apabila ia
meninggalkan perut ke usus kecil, pHnya menjadi 6.8 seperti yang disebutkan oleh
Dr.Petrini di atas. Kemudiannya apabila melalui usus kecil, kandungan isi perut tadi akan
bercampur dengan rembesan alkali dari pankreas. Kesimpulannya, semua jenis air yang
anda ambil tidak kira berapa nilai pHnya akhirnya akan menjadi air beralkali apabila masuk
ke dalam usus kecil. Malah ada juga pakar-pakar yang berpendapat jika air beralkali yang
diproses melalui elektrolisis ataupun pengionan, ion hidroksida yang dihasilkan boleh
bergabung dengan mineral seperti Magnesium, Kalsium dan lain-lain untuk membentuk
bahan (Magnesium hidroksida, Kalsium Hidroksida) yang berpotensi memudaratkan badan
jika di dalam kuantiti yang banyak.

ADAKAH MANFAAT MEMINUM AIR BERALKALI?

Mungkin terdapat manfaat pengambilan air beralkali jika ianya dihasilkan dengan kaedah
bersih dan mengekalkan bahan-bahan mineral yang ada. Walau bagaimanapun manfaat
yang dibawa oleh pengambilan air beralkali ini lebih kepada tabiat mengambilan air yang
mencukupi (memulihkan hidrasi badan), kandungan mineral yang ada di dalamnya dan
bukan disebabkan oleh pH air berkenaan. Terdapat ahli-ahli sains yang cuba
merationalisasikan manfaat air beralkali ini (walaupun bukan berasaskan kepada bukti
saintifik yang kukuh) , di antaranya adalah seperti berikut:
1.   Mungkin ianya boleh memperbaiki kesihatan usus melalui keupayaan air itu untuk
mempunyai potensi oksidasi-reduksi negative yakni menjadi agen reduksi (negative
Oxidation-Reduction Potential). Mungkin dengan ciri-ciri ini ia boleh membantu
melindungi usus dari mikroorganisma yang berbahaya. Walau bagaimanapun keupayaan
membunuh bakteria bukan semestinya baik kerana terdapat bakteria baik yang
mengawal usus dari pembiakan bakteria ganas. Jika bakteria baik ini dihapuskan, akan
berlaku pembiakan bakteria ganas yang menyebabkan penyakit.
2.   Golongan ahli sukan lasak mungkin satu golongan yang dapat mengambil manfaat dari
pengambilan air beralkali ini, menurut pendapat pakar, senaman yang lasak
menyebabkan badan mereka menghasilkan banyak asid. MUNGKIN air beralkali dapat
membantu. Inipun hanya andaian sahaja kerana di dalam air beralkali tersebut terdapat
mineral-mineral yang boleh membantu meningkatkan kecerdasan badan dan peluang
mengambil air yang mencukupi untuk memulihkan kecerdasan badan.
3.   Hasil kajian pernah diterbitkan mengenai kesan meminum air beralkali dengan pH 8.8
oleh haiwan, di mana pada pH 8.8 ini enzim pepsin dapat direncatkan, enzim ini
bertanggungjawab menyebabkan penyakit acid refluk (reflux acid ataupun reflux
oesophagitis). Walau bagaimanapun  ini adalah kajian makmal ke atas haiwan dan bukan
kajian ke atas manusia. (klik di sini) 
4.   Ada juga kajian kecil yang tidak berkualiti (bukan randomized control trial) yang
melapurkan meminum air beralkali memperbaiki kesihatan pesakit darah tinggi, diabetes
dan hiperkolestrolemia (berlebihan kolestrol). Kajian ini adalah kajian yang kecil dan
didakwa kajian preliminari (awal). (klik di sini)  

KESIMPULAN

Kefahaman mengenai keseimbangan asid-alkali di dalam badan manusia perlu dimiliki oleh
anda jika anda ingin memahami tajuk yang diperbincangkan di dalam rencana ini. Badan
manusia berupaya mengawal pH di dalam darah dan lain-lain tisu serta organ secara
semulajadi dan pH yang dikekalkan bergantung kepada organ-organ, ada organ yang perlu
lebih berasid dan ada yang perlu lebih beralkali. Tidak tepat mengatakan bahawa anda
menjadi lebih berasid apabila mengambil makanan berasid dan menjadi lebih beralkali bila
mengambil makanan atau minuman beralkali. Badan anda sentiasa mampu mengekalkan
julat pH yang optima untuk fungsi badan melalui sistem kawalan keseimbangan asid-alkali
badan yang sangat cekap, tidak kira apa jenis makanan atau minuman yang anda ambil.
Apa yang memudaratkan (sangat jarang berlaku) adalah apabila badan anda gagal
mengawal keseimbangan asid dan alkali badan  sehingga pH darah anda terlalu berasid
dikenali sebagai ASIDOSIS (contoh: komplikasi Diabetes yang tidak terkawal dikenali
sebagai “Diabetic ketoacidosis”)  ataupun terlalu beralkali dikenali
sebagai ALKALOSIS (contoh: penyakit paru-paru, hiperventilasi dan penyakit hati). Kedua-
dua asidosis dan alkalosis memerlukan rawatan intensif di hospital kerana kedua-duanya
boleh mengakibatkan kematian.

Daripada apa yang telah diterangkan di atas, jelas bahawa setakat ini belum
terdapat bukti saintifik yang kukuh untuk menyokong amalan pengambilan air
beralkali untuk tujuan kesihatan. Orang-orang awam perlu berhati-hati apabila didekati
individu-individu yang mendakwa pakar kerana ramai pakar-pakar yang mementingkan
imbuhan material lebih dari memperjuangkan fakta yg sebenar. Untuk menjaga kesihatan
badan, mencegah dari penyakit kronik dan memanjangkan hayat, anda hendaklah
mengamalkan gaya hidup sihat, mempunyai berat badan yang unggul, mengurangkan stres,
melakukan ujian saringan kesihatan dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Mengamalkan gaya hidup sihat bermaksud mengambil makanan yang seimbang, mengambil
air yang mencukupi (air biasa pun sudah memadai), bersenam, mengamalkan aktiviti
seksual yang sihat, tidak merokok, tidak mengambil alkohol, tidak mengambil dadah dan
mendapatkan berat badan yang unggul (mengelak dari menjadi obes). Jika anda sudah
menghidapi penyakit-penyakit kronik, di samping mengamalkan gaya hidup sihat di atas,
dapatkan rawatan dari doktor, ambil ubat secara tetap, jalani rawatan susulan dan lakukan
ujian kesihatan yang berkala.

Secara peribadi, saya berpendapat jika anda ingin mengambil air, ambil air yang
bersih dari pencemaran, neutral (ataupun sedikit beralkali dgn pH kurang dari
8) dan mempunyai mineral di dalam julat yang dibenarkan. Ciri-ciri air ini ada pada
air paip yang dirawat, air telaga atau air mata-air yang bersih (termasuk air zamzam) dan
juga air mineral biasa yang harganya RM1 satu botol. Kata kuncinya adalah MENGAMBIL
AIR SECUKUPNYA DAN ELAKKAN DARI DEHIDRASI (rujuk di sini bagaimana mengambil air yang
mencukupi). Sila baca rencana tulisan saya mengenai alat penapis air di sini. Anda boleh
menjimatkan banyak wang anda jika anda menimba ilmu dan faham mengenai air serta
bagaimana mengambil airdengan betul.  

Pandangan ini adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili mana-mana institusi ataupun
pertubuhan.

http://www.wsj.com/articles/SB10001424052702303404704577314182468322256 )
http://www.huffingtonpost.com/john-berardi-phd/alkaline-water_b_7762588.html
http://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/nutrition-and-healthy-eating/expert-answers/alkaline-water/faq-
20058029

http://www.healthline.com/health/food-nutrition/alkaline-water-benefits-risks#1
http://www.chem1.com/CQ/ionbunk.html
Posted  by TheDanAcademy
  
14 

View comments

Anda mungkin juga menyukai