Anda di halaman 1dari 1

Contoh jawapan mama

Amalan menabung merupakan satu amalan yang perlu ada pada setiap individu. Ianya satu langkah yang
paling mudah untuk kita mendisplinkan diri agar tidak membelanjakan wang di luar kemampuan dengan
sewenangnya. Terdapat pelbagai cara untuk kita menabung.

Antaranya ialah, dengan cara menyimpan wang secara tunai di mana-mana institusi kewangan
yang sah seperti RHB Bank, CIMB Bank, AmBank, Public Bank dan Bank Rakyat. Kita boleh
mendepositkan wang melalui khidmat kaunter, ATM atau dengan melakukan pindahan wang secara
dalam talian. Wang yang disimpan di institusi kewangan juga akan akan lebih terjamin keselamatannya
kerana mendapat perlindungan insurans sekiranya institusi tersebut mengalami kebankrapan atau
kegagalan operasi.

Selain itu, kita juga boleh menyimpan melalui simpanan emas. Ianya boleh dilakukan mengikut
kemampuan dengan melakukan pembelian emas pada kuantiti yang kecil dan boleh dijadikan sebagai
aset permulaan. Emas mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan mudah dicairkan dengan cara
menggadaikannya untuk mendapatkan tunai segera.

Di samping itu juga, setiap orang perlu memiliki sekurang-kurangnya satu insurans, hibah atau
takaful. Banyak syarikat insurans yang menawarkan premium bulanan yang mampu milik. Pemilikan
perlindungan ini adalah persediaan masa hadapan untuk diri dan keluarga. Ada perlindungan yang
berfungsi sebagai pelaburan yang mana kita dapat mengeluarkannya berserta nilai keuntungan apabila
sampai tempoh kematangannya dan ini sangat menguntungkan.

Akhir sekali, kita boleh membuka tabungan pendidikan melalui Skim Simpanan Pendidikan
Nasional (SSPN). Simpanan ini adalah dijamin oleh kerajaan dan kita boleh memperolehi keuntungan
melalui perolehan dividen dan pelepasan cukai. Kita akan memperolehi keuntungan berganda
berdasarkan jumlah simpanan. Semakin tinggi nilai simpanan, maka semakin tinggi juga dividen yang
kita perolehi.

Kesimpulannya, menabung dapat memberi kita banyak faedah dan keuntungan. Ianya akan
menjadi benteng yang paling kuat sekiranya kita mengalami kesulitan kewangan di masa hadapan.

Anda mungkin juga menyukai