Anda di halaman 1dari 23

Topik  Sejarah

1 Perkembangan
Bahasa Melayu
HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:

1. Merumuskan bagaimana bahasa Melayu memainkan peranannya


sebagai bahasa lingua franca semenjak zaman Sriwijaya sampailah ke
zaman kemerdekaan Malaysia dan Indonesia daripada penjajahan;

2. Menghuraikan perkembangan bahasa Melayu sehingga menjadi satu


bahasa penyatuan dan perpaduan rakyat di Malaysia, Indonesia,
Negara Brunei Darussalam dan Singapura; dan

3. Membincangkan mengapa bahasa Melayu menjadi bahasa


penyebaran agama Islam dan agama Kristian di Nusantara.

 PENGENALAN
Penggunaan bahasa Melayu di Nusantara berakar umbi hampir dua ribu tahun
yang lalu. Dari bermulanya empayar Sriwijaya pada permulaan kurun pertama
Masihi sehinggalah kini, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa lingua franca
antara para pedagang, pihak pemerintah dan rakyat yang berbilang suku bangsa.
Kini bahasa Melayu digunakan dalam semua aktiviti kehidupan, terutamanya di
Malaysia dan Indonesia.

Topik ini akan meninjau perkembangan bahasa Melayu dari zaman silam
sehingga kini. Kita akan meninjau bentuk-bentuk halangan yang harus kita lalui
sekiranya aspirasi dan wawasan bahasa ingin direalisasikan. Kejayaan sesuatu
bahasa sebenarnya bergantung kepada penutur-penutur bahasa tersebut.
Sekiranya bahasa Melayu hendak didaulatkan setanding dengan bahasa-bahasa

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


2  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Sepanyol, bahasa Perancis,
bahasa Cina, atau bahasa Rusia, maka rakyat Malaysia dan Indonesialah yang
bertanggungjawab untuk berusaha ke arah kemajuan yang dicita-citakan.

1.1 ASAL USUL BAHASA MELAYU


Apabila direnungkan, kita akan bertanya mengapakah bahasa Melayu dipilih
menjadi bahasa rasmi negara-negara tersebut? Adakah disebabkan oleh bilangan
suku bangsa Melayu paling banyak di Nusantara atau adakah kerana bahasa
Melayu merupakan bahasa yang paling sempurna?
Tahukan anda bahawa suku bangsa yang bertutur dalam bahasa Melayu sebagai
bahasa ibunda adalah antara suku bangsa yang kecil bilangannya. Suku bangsa
Melayu hanya menduduki daerah-daerah yang terhad, iaitu di Semenanjung
Tanah Melayu, di wilayah-wilayah selatan Thailand, di pesisiran pantai Sarawak,
di pesisiran pantai timur Sumatera, di Kepulauan Riau dan di pesisiran pantai
Kalimantan dan negara Brunei Darussalam.
Jumlah suku bangsa Melayu di Nusantara tidak melebihi 40 juta orang daripada
jumlah semua penduduk Nusantara yang lebih kurang berjumlah 240 juta orang.
Jumlah ini hanya satu per enam atau hampir 17% sahaja daripada jumlah
penduduk Nusantara. Bahasa Melayu juga bukanlah bahasa yang terulung
kerana bahasa Jawa merupakan bahasa yang telah mencapai tahap kemajuan
yang paling tinggi di Nusantara pada suatu ketika dahulu.

Untuk makluman anda, bahasa Jawa mempunyai empat bentuk bahasa yang
berbeza, iaitu bahasa Jawa Kromo Inggil, Kromo, Madyo dan Ngoko. Bahasa
Jawa yang berbeza ini timbul kerana wujudnya kelas-kelas yang berbeza, seperti
keluarga diraja di keraton atau istana, keluarga bangsawan yang terdiri daripada
pembesar-pembesar negeri dan kaum terpelajar yang dikenal sebagai kelas
santri. Kaum petani pula dikenal sebagai abangan. Setiap satu bentuk bahasa
Jawa ini mempunyai perbendaharaan kata yang berlainan, yang tidak dapat
difahami oleh orang Jawa daripada kelas yang berbeza.

Sebagai contoh, orang Jawa kelas bawahan yang menggunakan bahasa Jawa
Ngoko tidak akan memahami bahasa yang dituturkan oleh golongan istana,
yang menggunakan bahasa Jawa Kromo Inggil atau bahasa kelas bangsawan.
Oleh itu, sekiranya orang Jawa hendak berkomunikasi dengan orang yang
berlainan kelas, mereka terpaksa belajar bahasa-bahasa tersebut sebelum dapat
berkomunikasi. Dari sudut karya sastera pula, bahasa Jawa lebih maju kerana
karya-karya yang ditulis dalam bahasa Jawa lebih tua dan lebih banyak
diperkatakan. Namun begitu, bahasa Melayu telah dipilih menjadi bahasa
pertuturan berdasarkan ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri. Oleh itu, mari
kita sama-sama membincangkannya dengan lebih lanjut.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  3

AKTIVITI 1.1

Pada pendapat anda, mengapakah bahasa Melayu ini mudah diterima


oleh masyarakat dahulu berbanding dengan penutur bahasa Jawa?
Apakah faktor-faktor yang dapat anda huraikan terhadap penerimaan
bahasa Melayu ini dalam kalangan masyarakat dahulu?

(a) Ciri-ciri keistimewaan Bahasa Melayu


Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi adalah berasaskan
beberapa ciri istimewa yang terdapat dalam bahasa Melayu, yang tidak
terdapat dalam bahasa-bahasa lain di Nusantara. Antara ciri-cirinya ialah:
(i) Bahasa Melayu senang dipelajari;
(ii) Tatabahasa dan sebutan kata-katanya lebih mudah dipelajari; dan
(iii) Bunyi kata-katanya lunak dan indah.

Oleh itu, semenjak dari zaman silam, bahasa Melayu telah pun dipilih
sebagai bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi antara satu sama
lain. Bahasa Melayu telah memainkan peranan sebagai bahasa lingua
franca, atau bahasa perhubungan, di Nusantara.

Bahasa Melayu juga banyak mempunyai rumpun bangsa. Bahasa ini


serumpun dengan banyak bahasa lain di Nusantara dan mempunyai
hubungan kekeluargaan dengan bahasa-bahasa di Kepulauan Polinesia
yang tersebar luas di Lautan Pasifik dari utara ke selatan. Di Malaysia,
bahasa Melayu serumpun dengan bahasa-bahasa Bumiputera lain seperti
bahasa Iban, bahasa Bidayuh dan bahasa Melanau di Sarawak. Di Sabah,
bahasa yang serumpun dengan bahasa Melayu ialah bahasa rakyat
peribumi, iaitu bahasa Kadazan-Dusun, bahasa Bajau, bahasa Murut,
bahasa Visaya dan bahasa-bahasa rakyat peribumi yang lain.

Di Malaysia dan di Indonesia, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa


rasmi telah dimanfaatkan. Bahasa Melayu yang digunakan di kedua-dua
negara ini berasal dari bahasa Melayu Johor-Riau, tetapi kedua-dua bahasa
tersebut telah mengikut haluan masing-masing. Di Indonesia, bahasa
Melayu dinamakan bahasa Indonesia, manakala di Malaysia bahasa ini
dikenal sebagai bahasa Malaysia. Sekiranya kedua-dua negara itu mengikut
haluan masing-masing, tanpa komunikasi antara satu sama lain, apakah
yang anda fikir akan berlaku? Apa yang berlaku adalah bahasa Melayu itu
akhirnya akan menjadi dua bahasa yang berasingan dan berbeza.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


4  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

Jika keadaan itu terjadi, kedua-dua negara akan rugi. Oleh itu, untuk
mengelakkan berlakunya perpisahan yang berkekalan, negara-negara yang
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, iaitu Malaysia,
Indonesia, Negara Brunei Darussalam dan Singapura telah mengadakan
beberapa perbincangan untuk menyelaraskan istilah, ejaan dan sebutan
bahasa Melayu. Pembakuan bahasa Melayu ini akhirnya dapat
menyatupadukan bahasa Melayu di keempat-empat buah negara ini
supaya menjadi salah satu daripada bahasa antarabangsa.

Usaha untuk menimbulkan minat dalam kalangan rakyat Malaysia


mempelajari bahasa Melayu dan memperjuangkannya supaya menjadi
lebih maju dalam semua lapangan memerlukan komitmen daripada
kalangan para pendidik dan para pelajar serta masyarakat untuk
memanfaatkan penggunaannya. Bahasa Melayu akan dimartabatkan
sebagai bahasa akademik apabila bidang ilmu diperkaya dengan pelbagai
penulisan dan penyelidikan yang dilakukan dalam bahasa Melayu.

Bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa antarabangsa apabila digunakan


dalam komunikasi dan perhubungan antara negara jiran dengan negara-
negara di luar daerah Nusantara. Bahasa Melayu juga akan lebih dikenali
sekiranya digunakan sebagai alat komunikasi melalui media massa seperti
karya-karya filem, penyebaran maklumat menerusi Internet, penciptaan
lagu-lagu yang merdu, novel-novel bermutu, dan penerbitan-penerbitan
hasil kajian dan penyelidikan.

Kejayaan sesuatu dasar, termasuk dasar bahasa, amat bergantung pada


iltizam pemerintah, terutamanya di negara-negara yang sedang
membangun seperti Malaysia. Iltizam yang ditunjukkan oleh pemerintah
akan merangsangkan rakyat untuk bergiat dalam usaha memajukan
sesuatu bahasa. Aktiviti-aktiviti yang merangsangkan penggunaan bahasa
Melayu dalam penulisan seperti penciptaan novel, puisi, dan rencana
mampu menggalakkan pencungkilan bakat. Lebih banyak bakat yang
dapat diasah, lebih pesatlah perkembangan penggunaan sesuatu bahasa.
Sesuatu bahasa yang tidak digunakan sepenuhnya, tidak akan mencungkil
dan menonjolkan potensi masyarakat dalam penggunaan sesuatu bahasa
secara kreatif dan produktif.

Seperti yang diketahui, bahasa Melayu bukanlah bahasa yang baru wujud
pada zaman kerajaan Melayu Melaka. Sebaliknya, bahasa Melayu telah
wujud dengan megahnya semenjak hampir dua ribu tahun. Bahasa Melayu
telah menjadi bahasa lingua franca di Nusantara semenjak empayar
Sriwijaya terbentuk lagi.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  5

AKTIVITI 1.2

Kerajaan Sriwijaya telah meletakkan asas yang kukuh terhadap


perkembangan bahasa Melayu di seluruh pelosok Nusantara.
Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang mendorong
perkembangan bahasa Melayu ini?

(b) Faktor-faktor perkembangan Bahasa Melayu


Menurut Sejarah Melayu, bangsa Melayu ini ada mitosnya sendiri.
Permulaan kewujudan orang Melayu diketahui melalui riwayat dalam
buku Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang, Bendahara Johor. Legenda ini
bermula dengan termeterainya perjanjian antara Demang Lebar Daun
dengan Sang Sapurba di Palembang, Sumatera Selatan. Dalam mitos ini
diceritakan bahawa rakyat jelata Melayu telah bersumpah untuk taat setia
kepada tuannya, iaitu rajanya selagi raja itu bersifat adil. Apabila seseorang
raja mengingkari janjinya, rakyat berhak untuk memalingkan kesetiaan
mereka yang dikenal sebagai menderhaka. Mitos ini menjadi asas kepada
etika kepemimpinan Melayu dan ketaatan rakyat kepada pemimpinnya.
Mitos ini mungkin wujud pada masa kerajaan Sriwijaya berada di puncak
kecemerlangannya.

Kerajaan Melayu Sriwijaya ini dibuktikan kewujudannya dengan terjumpanya


batu bersurat di Gandasuli, sebuah daerah di Jawa Tengah. Batu-batu bersurat
itu bertarikh 827 Masihi dan 832 Masihi. Bahasa Melayu yang digunakan ialah
bahasa Melayu Kuno dengan menggunakan tulisan Pali yang berasal dari
India Selatan seperti yang diperlihatkan pada Rajah 1.1.

Rajah 1.1: Contoh Skrip Pali (Pallava) yang terdapat pada Inskripsi Kota Kapur 686 M.
Sumber: J.T. Collins, (1998), Malay, World Language, A Short History,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
6  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

Kerajaan Sriwijaya merupakan sebuah kerajaan Buddha dan telah menerima


pengaruh kebudayaan Hindu dari India Selatan. Dari sudut bahasa, kemasukan
perbendaharaan kata daripada bahasa Sanskrit bermula seawal kerajaan
Sriwijaya ini lagi. Oleh sebab pengaruh ini telah bertapak begitu lama, maka
perkataan-perkataan itu telah sebati dengan bahasa Melayu. Banyak
perbendaharaan kata yang kita gunakan setiap hari merupakan perkataan yang
berasal daripada bahasa Sanskrit tanpa kita sedari.

Sebagai contoh, perkataan-perkataan yang berikut lazim kita gunakan setiap


hari, iaitu warna, jiwa, wira, sateria, pujangga, raja, mahkota, singgahsana, saya,
setia, puja, dosa, pahala, syurga, neraka, mergas tua, bumi, negeri, negara,
putera, dan beratus-ratus perkataan lain.

Perkataan-perkataan Sanskrit telah sebati sehinggakan kekal dalam


perbendaharaan kata Melayu, walaupun orang Melayu telah menganut agama
Islam. Sebaliknya, orang Hindu yang bertutur dalam bahasa Hindi pula
menggunakan istilah-istilah Arab bagi menggantikan perkataan-perkataan
Sanskrit kerana kuatnya pengaruh Islam di India pada masa pemerintahan Dinasti
Moghul dahulu. Sebagai contoh, penutur-penutur bahasa Hindi menggunakan
perkataan-perkataan seperti jannah bagi syurga dan jahanam bagi neraka.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca oleh semua orang yang
berurusan dengan daerah-daerah di Nusantara bermula dengan empayar
Sriwijaya semenjak awal kurun pertama Masihi. Penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa yang menyatupadukan rakyat di Nusantara ini kekal sampai ke
hari ini.

1.1.1 Bahasa Melayu-Polinesia dan Austronesia


Tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan „Rumpun Bahasa‰? Rumpun
bahasa ialah kumpulan-kumpulan bahasa yang telah lama wujud, iaitu antara
2,500 dan 5,000 tahun sejarahnya. Kumpulan yang kurang daripada 2,500 tahun
lama-waktu disebut sebagai „Keluarga‰.

Bahasa Melayu tergolong dalam rumpun Austronesia. Sesetengah ahli bahasa


juga menyatakan bahawa bahasa Melayu tergolong dalam rumpun bahasa
Melayu-Polinesia. Bahasa-bahasa serumpun ini terdapat di Nusantara dan di
Kepulauan Pasifik. Hal ini menjadikan rumpun ini mempunyai bilangan penutur
yang agak besar. Sekiranya bilangan penduduk di negara-negara yang bertutur
dalam bahasa Austronesia sebagai bahasa ibunda dicampurkan, kita dapati
bahawa jumlahnya adalah sekitar 300 juta orang.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  7

Bahasa Austronesia ini dituturkan di Malaysia, Indonesia, Filipina, Negara


Brunei Darussalam dan Singapura sebagai pusatnya. Selatan Thailand dan
Taiwan, iaitu dalam kalangan penduduk-penduduk asli pulau tersebut, adalah
kawasan pinggiran bahasa Austronesia ini. Di luar daerah asas bahasa ini
terdapat juga kawasan rumpun bahasa Austronesia digunakan, iaitu di Pulau
Madagaskar. Republik Madagaskar didiami oleh orang rumpun Melayu
semenjak beberapa abad yang lalu. Mereka telah membentuk kerajaan yang
dikenal sebagai kerajaan Merina di kawasan dataran tinggi pulau itu. Hingga
hari ini, rupa orang daripada golongan puak Merina ini, yang mendiami dataran
tinggi Madagaskar, masih mirip orang Melayu di Nusantara. Rajah 1.2
menunjukkan pembahagian rumpun bahasa, namun begitu tumpuan akan
diberikan kepada rumpun Polinesia sahaja.

Rajah 1.2: Pembahagian rumpun bahasa

Menurut pendapat ahli-ahli bahasa, bangsa-bangsa ini adalah dalam rumpun


Melayu-Polinesia. Hal ini bermakna orang Melayu adalah bersaudara dengan
orang Polinesia. Sungguhpun bilangan mereka kecil, mereka berselerak di pulau-
pulau Lautan Pasifik yang tersebar luas dari utara ke selatan. Orang dalam
kumpulan Polinesia ini ialah penduduk-penduduk asli Pulau Hawaii, Pulau
Tahiti, Pulau Easter dan pulau-pulau lain di Lautan Pasifik. Di New Zealand,
orang Maori adalah daripada golongan yang sama.

Walaupun orang Polinesia telah lama terpisah daripada orang Melayu, namun
masih dapat kita temukan ciri-ciri yang menunjukkan bahawa kita pernah
bersama pada zaman silam melalui perkataan-perkataan asas dalam kedua-dua
kelompok. Sebagai contoh, penduduk Pulau Easter menyebut patung yang
dibentuk daripada bongkah-bongkah batu yang besar di pantai pulau itu sebagai
„mata-mata‰, yang membawa makna yang sama dengan „mata‰ dalam bahasa
Melayu. Orang Maori pula menggunakan perkataan „ranggi‰ bagi „langit‰.
Mereka juga telah membawa tanaman-tanaman yang berasal dari Asia Tenggara,

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


8  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

seperti pokok sukun dan keladi untuk menjadi makanan ruji mereka. Dari segi
paras rupa, mereka tidak berbeza daripada orang Melayu, melainkan saiz badan.
Saiz badan mereka lebih besar daripada kebanyakan orang Melayu kerana
kelaziman pemakanan yang berbeza. Lihat kawasan rumpun Austronesia dalam
Rajah 1.3.

Rajah 1.3: Kawasan rumpun bahasa Austronesia


Sumber: The New Encylopedia Britannica, 2 (1974): 485

1.1.2 Bahasa Melayu pada Zaman Sriwijaya


Semasa Sriwijaya berkuasa di Nusantara, empayarnya berpusat di kedua-dua
belah Selat Melaka. Di Sumatera, pemerintahannya berpusat di Palembang,
Sumatera Selatan manakala di Semenanjung Tanah Melayu, pusat
pemerintahannya ialah di Kedah. Kedua-dua wilayah ini hingga kini merupakan
wilayah berbahasa Melayu. Selat Melaka mesti dilalui oleh para pedagang Barat
untuk berniaga ke Negeri China dan begitu juga peniaga-peniaga dari sebelah
timur harus melalui Selat Melaka untuk ke India dan seterusnya ke barat. Lihat
Rajah 1.4.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  9

Rajah 1.4: Empayar Sriwijaya pada abad ke-7 Masihi

Pedagang-pedagang ini perlu singgah di pelabuhan-pelabuhan yang terdapat di


kedua-dua wilayah Sriwijaya ini. Pelabuhan-pelabuhan itu pula merupakan
pusat perdagangan bagi pedagang-pedagang dari Nusantara, China, India dan
dari negara-negara lain. Dalam menjalankan urusan, mereka memerlukan satu
bahasa yang dapat digunakan sebagai alat komunikasi antara mereka. Oleh
sebab pelabuhan-pelabuhan ini berada di bawah kuasa Sriwijaya, maka bahasa
perantaraan atau lingua franca yang digunakan ialah bahasa Melayu.

Selain faktor kerajaan Sriwijaya itu kerajaan Melayu, terdapat juga beberapa
faktor lain menyebabkan bahasa Melayu diterima sebagai lingua franca. Di
wilayah Sriwijaya ini, rakyatnya bukan terdiri daripada suku bangsa Melayu

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


10  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

sahaja, tetapi juga terdiri daripada suku-suku bangsa lain, seperti suku bangsa
Jawa dan Sunda di Pulau Jawa, Batak dan Aceh di Sumatera dan Dayak di
Kalimantan.

Bahasa Melayu dipilih kerana suku bangsa Melayu mendiami pesisiran pantai
tempat pelabuhan-pelabuhan itu didapati. Selain itu, bahasa Melayu lebih
mudah dipelajari daripada bahasa suku-suku bangsa yang lain. Bahasa Jawa jauh
lebih sukar dipelajari kerana perkataannya sukar disebut dan mempunyai
bentuk atau dialek yang berbeza dan dengan perbendaharaan kata yang berbeza
pula. Kesukaran ini menjadikan para pedagang memilih untuk belajar dan
berkomunikasi dalam bahasa yang lebih mudah, iaitu bahasa Melayu.
Penggunaan bahasa Melayu dari semenjak zaman Sriwijaya dalam pelbagai
lapangan seperti perdagangan, penyebaran agama dan akademik. Potensi bahasa
ini akan dibincangkan dalam topik yang selanjutnya.

1.2 SEJARAH BAHASA MELAYU SEBAGAI


LINGUA FRANCA DI NUSANTARA
Sejarah kegemilangan Sriwijaya telah pun berakhir pada kurun yang ke-13,
tetapi selepas itu muncul satu lagi kerajaan Melayu di Nusantara. Kerajaan yang
dimaksudkan itu ialah Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun kesultanan yang
dipimpin oleh Parameswara yang berhijrah dari Sumatera ini bermula sebagai
sebuah kerajaan Hindu, tetapi akhirnya baginda telah memeluk agama Islam dan
mengasaskan Kesultanan Islam yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu.

Kesultanan Melaka menjadi kuat dan berjaya menakluki negeri-negeri yang


berhampiran di Semenanjung Tanah Melayu dan beberapa buah negeri yang
terletak di pesisiran pantai timur Sumatera. Bahasa Melayu masih terus
memainkan peranannya sebagai lingua franca bagi menyambung tradisi
kerajaan Sriwijaya. Rasional pemilihan bahasa Melayu sebagai lingua franca
sama seperti pada masa pemerintahan Sriwijaya dahulu. Bahasa Melayu adalah
bahasa pemerintah di Sriwijaya dan Kesultanan Melaka. Oleh itu sesiapa yang
membuat perhubungan diplomatik atau perniagaan di kawasan takluk Sriwijaya
dan Melaka mestilah menggunakan bahasa Melayu. Rasional yang sama juga
digunakan pada zaman ini apabila memilih bahasa Melayu sebagai lingua
franca. Lihat Rajah 1.5 yang menunjukkan empayar kerajaan Kesultanan Melayu
Melaka.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  11

Rajah 1.5: Empayar Kerajaan Melayu Melaka Abad Ke-14


Sumber: Mohd. Jamil Mukmin, (1994), Melaka Pusat Penyebaran Islam
di Nusantara, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise

Bahasa Melayu menjadi pilihan semula jadi kerana selain merupakan bahasa
pemerintah Sriwijaya dan Kesultanan Melaka, bahasa ini juga mempunyai ciri-
ciri lain yang menjadikannya dipilih sebagai bahasa perhubungan dan
komunikasi dalam kalangan suku bangsa yang serumpun di Nusantara. Oleh
sebab bahasa Melayu belum berkembang sehingga munculnya pelbagai bentuk
bahasa seperti bahasa Jawa, maka proses pembelajaran bahasa Melayu adalah
lebih mudah. Selain itu, sebutan perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu pun
mudah. Seseorang itu tidak perlu memutarkan lidahnya untuk bertutur dalam
bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga dianggap mempunyai bunyi sebutan yang
merdu didengar seperti yang diakui oleh William Marsden pada tahun 1811:
„Bahasa Melayu yang pada pendapat kebanyakan orang berasal dari
Semenanjung Tanah Melayu, dan dari situ bahasa itu telah tersebar ke
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
12  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

seluruh pulau-pulau timur, sehingga menjadi lingua franca di bahagian


dunia sebelah sini, dituturkan di serata tempat di sepanjang pesisiran pantai
Sumatera, mengatasi yang lain-lain tanpa campuran bahasa-bahasa lain, di
negeri Minangkabau dan jajahan takluknya yang berdekatan, dan bahasa ini
difahami hampir di semua tempat di pulau Sumatera. Bahasa Melayu sangat
digemari dan disanjung, memang sepatutnya demikian, kerana kelunakan
dan kemerduan bunyinya, yang telah digelar sebagai bahasa Itali Timur. Ini
adalah disebabkan oleh banyaknya bunyi vokal dan kelancaran dalam kata-
katanya (dengan banyak bunyi sengau yang mungkin difikirkan sebagai
tidak digemari) dan jarang-jarang terdapat kombinasi bunyi konsonan
senyap yang kasar atau keras. Kualiti ini menjadikannya sangat sesuai untuk
puisi, di mana orang Melayu telah menjadi ketagih terhadapnya.‰

Tarikan yang ada pada bahasa Melayu telah mendorong Indonesia memilih
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi untuk menyatupadukan rakyat Indonesia
yang terdiri daripada pelbagai suku kaum. Sekiranya Indonesia memilih bahasa
yang paling banyak penuturnya, iaitu bahasa Jawa sebagai bahasa rasmi, maka
peranan bahasa Jawa sebagai lingua franca mungkin tidak dapat diterima
dengan mudah oleh suku-suku bangsa lain di Indonesia. Sesuatu lingua franca
bukan muncul hasil daripada paksaan. Penerimaan ini mesti datang daripada
kerelaan hati orang yang menggunakannya. Bahasa Melayu menjadi lingua
franca kerana semua suku bangsa di Nusantara telah dengan rela hati
menerimanya.

Penutur-penutur yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda kecil


jumlahnya jika dibandingkan dengan penutur bahasa Jawa, tetapi orang Jawa
tidak pernah mempersoalkan peranan bahasa Melayu walaupun di Indonesia.

1.2.1 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perdagangan


Sebab utama bahasa Melayu menjadi lingua franca adalah kerana bahasa ini
dipilih oleh para pedagang di Nusantara sebagai alat komunikasi apabila mereka
mengadakan hubungan perniagaan antara satu sama lain. Pemilihan ini bermula
pada zaman Sriwijaya lagi. Apabila bahasa itu didapati memenuhi objektif
mereka, mereka terus menggunakannya. Bagi pedagang-pedagang baharu yang
mahu ke Nusantara, mereka akan mempelajari bahasa Melayu terlebih dahulu.
Perihal ini menunjukkan bahawa pada masa itu wujudnya organisasi yang
mengajarkan bahasa ini, walaupun secara tidak formal.

Senario di atas boleh dikaitkan dengan apa yang berlaku kepada bahasa Inggeris
sekarang. Oleh sebab bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perdagangan
di seluruh dunia, maka pedagang-pedagang lebih cenderung untuk
mempelajarinya daripada bahasa-bahasa lain. Institusi-institusi yang
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  13

mengajarkannya terdapat dengan mudah dan guru-guru yang mengajarkan


bahasa Inggeris juga mudah didapati. Antara sebab mereka lebih gemar
mempelajari bahasa Inggeris adalah kerana secara relatifnya bahasa Inggeris
lebih mudah dipelajari daripada bahasa-bahasa lain seperti bahasa Perancis,
bahasa Rusia atau bahasa Jerman. Bahasa Inggeris juga telah dipilih sebagai
lingua franca oleh ahli-ahli perdagangan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan


oleh pedagang-pedagang semakin menurun setelah kedatangan Inggeris dan
Belanda. Perdagangan bentuk moden telah mengambil alih perdagangan bentuk
tradisional. Bersama-samanya, mereka membawa bahasa-bahasa mereka dan
secara perlahan-lahan bahasa Inggeris mengambil alih peranan bahasa Melayu di
Malaysia dan bahasa Belanda di Indonesia. Kemerosotan penggunaan bahasa
Melayu ini telah dibantu dengan kedatangan pedagang-pedagang asing dari
China yang menetap di Nusantara. Pedagang-pedagang Cina berperanan
sebagai orang tengah dalam perniagaan. Mereka bukan sahaja menjadi orang
tengah antara pengguna Melayu yang kebanyakannya di luar bandar, bahkan
juga menjadi pembekal-pembekal perkhidmatan dan barangan yang diperlukan
oleh pihak penjajah. Dengan ini, peranan orang Melayu sebagai ahli perniagaan
semakin berkurangan dan bersama-samanya penggunaan bahasa Melayu dalam
urusan perdagangan dan perniagaan juga turut merosot. Lihat Rajah 1.6 yang
memperlihatkan penggunaan bahasa Melayu dalam perdagangan.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


14  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

Rajah 1.6: Contoh bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa perdagangan – Salinan surat
izin berdagang Sultan Aceh, Sultan Alaudin Shah kepada Kapten Harry Middleton (1602)
Sumber: Dipetik daripada Noriah Muhamed, (1999). Sejarah sosiolinguistik
bahasa melayu lama, Universiti Sains Malaysia

Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu menjadi asing dalam


bidang komunikasi perdagangan. Urusan perniagaan yang melibatkan ahli-ahli
perniagaan Cina Malaysia dengan ahli-ahli perniagaan Cina di negara-negara
Asia Tenggara dijalankan dalam bahasa Mandarin. Dalam konteks perdagangan
antarabangsa di Asia, sebahagian besar daripada perdagangan Asia Tenggara
dikendalikan oleh orang-orang Cina. Oleh itu, penggunaan bahasa Mandarin
atau dialek-dialek Cina yang lain untuk berkomunikasi menjadi suatu fenomena
semula jadi. Perniagaan pada peringkat antarabangsa yang melibatkan negara-
negara Eropah, Amerika, Arab, Jepun atau Korea pula menggunakan bahasa
Inggeris.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  15

SEMAK KENDIRI 1.1

1. Mengapakah bahasa Melayu telah dipilih sebagai lingua franca di


Nusantara pada zaman empayar Sriwijaya?
2. Apakah peranan bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu
Melaka?

1.2.2 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan


dan Bahasa Rasmi
Kedaulatan bahasa Melayu muncul kembali apabila bahasa Melayu dipilih
sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam
dan Singapura. Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia
adalah suatu pemilihan semula jadi. Semenanjung Tanah Melayu dikatakan
tempat asal bahasa Melayu; oleh kerana itulah Semenanjung ini dinamakan
Semenanjung Tanah Melayu. Walaupun suku-suku bangsa Melayu yang lain
berpindah ke negara ini, mereka telah mengambil identiti suku bangsa Melayu.

Pahlawan-pahlawan Bugis dan pengikut-pengikutnya yang datang ke Tanah


Melayu dan kemudian menjadi raja di Johor, Selangor dan Pahang telah
mengambil identiti Melayu. Mereka seterusnya menggunakan bahasa Melayu
sebagai bahasa komunikasi dengan suku-suku bangsa Melayu yang lain seperti
orang Jawa, Banjar, Mandailing dan Aceh. Suku-suku bangsa Melayu ini
kemudiannya menerima identiti Melayu dan menggunakan bahasa Melayu
dalam semua bentuk komunikasi.

Tradisi menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca telah


menjadikan bahasa Melayu diterima oleh semua lapisan masyarakat yang
menjadikan Tanah Melayu sebagai tempat tinggal mereka. Orang Cina dan India
yang berhijrah ke Tanah Melayu juga menerima bahasa Melayu sebagai bahasa
lingua franca dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa ini. Apabila Sarawak
dan Sabah memilih untuk bergabung dalam Persekutuan Malaysia, rakyat
kedua-dua buah negeri itu juga tidak mempersoalkan pemilihan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi dan bahasa lingua franca dalam kalangan rakyat walaupun
orang yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda di kedua-dua
buah negeri itu kecil bilangannya.

Dialek bahasa Melayu yang dipilih untuk menjadi asas bahasa kebangsaan di
Malaysia dan Indonesia ialah dialek Johor-Riau. Dialek ini dipilih mungkin
kerana kaitannya dengan kedudukan wilayah Johor-Riau itu sendiri yang

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


16  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

terletak di selatan Selat Melaka yang menghubungkan Sumatera, kepulauan


Riau dan Johor. Daerah ini ialah daerah kerajaan Melayu terakhir sebelum
kedatangan Belanda dan Inggeris. Kerajaan Johor-Riau juga merupakan suatu
kesinambungan daripada kerajaan Melayu Melaka. Selain faktor tersebut, dialek
Johor-Riau adalah dialek yang merentasi beberapa negeri dan mempunyai
penutur yang agak banyak jika dibandingkan dengan dialek-dialek lain. Dialek
ini dituturkan juga di Selangor, pesisiran pantai Negeri Sembilan, Melaka dan di
selatan Pahang. Dialek ini mempunyai sebutan yang mudah berbanding sebutan
dialek daerah-daerah lain di Semenanjung Tanah Melayu. Lihat Rajah 1.7 yang
menunjukkan empayar Johor-Riau.

Rajah 1.7: Empayar Johor-Riau


Sumber: Mohd. Jamil Mukmin, (1994), Melaka pusat penyebaran islam di nusantara, Kuala
Lumpur: Nurin Enterprise

Perkataan Johor-Riau itu sendiri mempunyai konotasi bahawa dialek ini


dikongsi bersama oleh Malaysia dan Indonesia. Dengan ini, tidak
menghairankan apabila dialek ini dipilih oleh Indonesia untuk menjadi bahasa
yang menyatupadukan rakyat Indonesia. Setelah bahasa Melayu dialek Johor-
Riau dipilih, kedua-dua negara itu memajukan dan mengembangkannya dengan
cara yang tersendiri. Setelah Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1947,

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  17

bahasa Melayu yang kini dikenal sebagai bahasa Indonesia berkembang


mengikut caranya tersendiri dan berpisah daripada yang berlaku di Malaysia.

Di Malaysia, pada masa Indonesia mencapai kemerdekaan, pendidikan dalam


bahasa Melayu masih berada pada peringkat sekolah rendah sahaja dan bahasa
Melayu belum lagi diiktiraf sebagai bahasa rasmi. Pengiktirafan ini telah
memartabatkan bahasa Melayu sekali lagi. Setelah tumbangnya Kesultanan
Melaka, Kesultanan Johor pula mendaulatkan bahasa Melayu. Oleh itu, apabila
Malaysia mencapai kemerdekaan, tindakan menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi Malaysia rasional dan wajar.

Pada tahun Malaya mencapai kemerdekaan, iaitu pada tahun 1957, bahasa
Melayu mula dijadikan sebagai bahasa pengantar di Tingkatan Satu, di sekolah
menengah kebangsaan. Bahasa Melayu mula diperkenalkan sebagai bahasa
rasmi mula-mula di jabatan-jabatan kerajaan. Pada mulanya, penerimaan bahasa
Melayu agak dingin kerana bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa rasmi,
dan dalam kalangan masyarakat kelas menengah bahasa Inggeris mendapat
penghormatan dan menjadi alat perhubungan. Oleh itu, penggunaan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi, walaupun telah diterima sepenuhnya secara teori,
namun pada amalannya terpaksa bergerak perlahan-lahan dan pada masa yang
sama mengalami proses pemantapan dalam semua bidang.

Sebagai contoh, semasa pengisytiharan Malaysia 1963 bahasa Melayu telah


digunakan dalam buku cenderamata sebagai lambang perpaduan dan penyatuan
seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.8.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


18  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

Rajah 1.8: Buku cenderamata Pengisytiharan Malaysia –


16–19 September 1963 dalam bahasa Melayu
Sumber: http://www.jaloperak.kempen.gov.my/

AKTIVITI 1.3
1. Berdasarkan pemahaman anda, bilakah sebenarnya bahasa Melayu
telah diterima secara rasmi sebagai bahasa kebangsaan dan apakah
harapan yang diletakkan kepada bahasa Melayu ini?
2. Pembinaan dan perancangan bahasa Melayu, di Malaysia
khususnya telah melalui pelbagai proses dan langkah yang diambil
untuk mendaulatkannya. Pada pendapat anda, apakah langkah
yang paling penting telah diambil oleh kerajaan selepas negara
mencapai kemerdekaan?

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  19

LATIHAN 1.1

Susun silang kata di bawah berdasarkan kepada petunjuk yang


diberikan.

1. Bahasa Melayu merupakan bahasa ⁄⁄⁄⁄⁄⁄⁄⁄⁄⁄.


antara para pedagang dengan rakyat yang berbilang suku
bangsa.

2. Bahasa Jawa terbahagi kepada empat bentuk bahasa yang


berbeza antaranya ialah Kromo Inggil, Kromo, Madyo dan
⁄⁄⁄⁄⁄⁄..

3. Bahasa Melayu tergolong dalam rumpun ⁄⁄⁄⁄⁄..

4. Batu-batu bersurat bertarikh 827 dan 837 Masihi yang ditemui


di Gandasuli telah membuktikan kewujudan sebuah kerajaan.
Kerajaan tersebut adalah Kerajaan Melayu ⁄⁄⁄⁄⁄⁄⁄..

5. Bahasa Melayu mempunyai sifat ⁄⁄⁄⁄⁄⁄. yang


menjadikannya dinamik dan sentiasa dapat menyesuaikan diri
dengan perkembangan terbaru.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


20  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

1.2.3 Bahasa Melayu dan Penyebaran Agama Islam


Bahasa Melayu juga memainkan peranan yang penting dalam penyebaran agama,
terutamanya agama Islam. Pada masa pemerintahan Kerajaan Melayu Sriwijaya,
bahasa Melayu telah memainkan peranannya dalam penyebaran agama Hindu dan
Buddha kerana pada masa itu kedua-dua agama itulah yang mempengaruhi budaya
Melayu. Bahasa Melayu dalam bentuk bahasa Melayu kuno telah pun digunakan
dalam penyampaian idea-idea abstrak seperti konsep falsafah dan agama bagi
mengajarkan agama Hindu dan Buddha. I Tsing, pada tahun 671 Masihi, menyatakan
bahawa jika ada orang yang hendak mendalami pengetahuan tentang agama Buddha,
dia perlu pergi ke Palembang, Sriwijaya, sebagai tempat untuk menuntut ilmu itu.

Pada masa agama Islam disebarkan di Nusantara, bahasa yang digunakan ialah
bahasa Melayu juga. Daerah awal penyebaran agama Islam ialah di pelabuhan-
pelabuhan yang terletak di pesisiran pantai timur Sumatera. Negeri-negeri ini
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan sebagai bahasa lingua
franca dengan suku-suku bangsa lain di Nusantara. Bahasa Melayu digunakan juga
oleh pedagang-pedagang yang singgah di pelabuhan-pelabuhan tersebut.
Penggunaan bahasa Melayu dalam penyebaran agama Islam ini menjadi semakin
rancak apabila Kesultanan Melayu Melaka terbentuk dan berkembang. Hal ini dapat
dilihat dalam Rajah 1.9 yang menunjukkan penyebaran agama Islam pada abad ke-14.

Rajah 1.9: Penyebaran Agama Islam Abad Ke-14


(Sumber: Mohd. Jamil Mukmin, (1994), Melaka Pusat Penyebaran Islam
di Nusantara, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise)

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  21

Agama Islam yang diperkenalkan dan diterima oleh orang Melaka telah
disebarkan melalui pedagang-pedagang dari Nusantara ke daerah masing-
masing. Dengan ini, dalam masa beberapa kurun, agama Islam telah
berkembang secara berperingkat-peringkat ke seluruh Nusantara. Bahasa
Melayulah yang digunakan dalam penyebaran agama Islam ini.

Perkembangan Islam ini juga telah mengubah bentuk bahasa Melayu itu sendiri.
Pada masa penyebaran agama Hindu dan Buddha, bahasa Melayu telah
menggunakan tulisan dari India dan perkataan-perkataan Sanskrit telah mula
menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata bahasa Melayu. Apabila
Islam diterima sebagai agama anutan sebahagian besar penduduk di Nusantara,
bahasa Melayu telah mengalami perkembangan yang lebih pesat. Orang
Melayu telah meninggalkan tulisan Pali yang berasal dari India Selatan, dan
sebagai gantinya mereka menggunakan tulisan Jawi yang berasal dari tulisan
Arab, yang telah disesuaikan dengan bahasa Melayu. Rajah 1.10 menunjukkan
contoh tulisan tersebut.

Rajah 1.10: Beberapa contoh kitab dan manuskrip keagamaan Islam berbahasa Melayu
Sumber: Manuskrip Islam di Muzium Islam Malaysia, (1992), Engku Ibrahim Ismail dan
Osman Bakar (Penyelenggara), Bahagian Hal Ehwal Islam Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Bahasa Melayu juga telah memainkan peranan penting dalam penyebaran


agama Kristian di Nusantara. Semasa mubaligh-mubaligh Kristian menyebarkan
agamanya dalam kalangan penduduk di Kepulauan Maluku, mereka telah
menggunakan bahasa Melayu, walaupun mereka mempunyai bahasa mereka
sendiri. Pada masa itu, Kitab Injil telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


22  TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

untuk memudahkan penyebaran agama itu dalam kalangan penduduk


Nusantara.

Sebagai hasil daripada penggunaan bahasa Melayu dalam penyebaran agama


Kristian, bahasa Melayu telah mengambil alih bahasa tempatan. Orang Kristian
ini akhirnya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda mereka.
Anehnya, orang Maluku yang beragama Islam menggunakan bahasa suku kaum
mereka sendiri, yang sangat berbeza daripada bahasa Melayu.

Sila layari laman web di bawah untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan
sejarah perkembangan bahasa Melayu.

http://www.tutor.com.my

AKTIVITI 1.4
1. Mengapakah bahasa Melayu menjadi bahasa yang digunakan oleh
mubaligh Kristian untuk menyebarkan agama mereka
di Kepulauan Maluku sehingga bahasa Melayu telah
menggantikan bahasa ibunda penduduk pulau tersebut?
2. Mampukah bahasa Melayu mencapai tahap yang dicapai oleh
bahasa Inggeris?
3. Jika mampu, nyatakan bagaimana bahasa Melayu dapat mencapai
tahap tersebut. Jika tidak mampu, berikan alasan-alasan yang
kukuh.

 Bahasa Melayu yang ada pada hari ini telah dapat menghayati istilah-istilah
dan perkataan-perkataan yang dipinjam daripada bahasa-bahasa asing.

 Apabila orang Melayu di Nusantara menerima agama Islam sebagai anutan


agama, mereka telah menggunakan bahasa Melayu untuk menghuraikan
konsep-konsep keislaman.

 Perkataan-perkataan dalam bahasa Arab bagi menerangkan konsep-konsep


agama telah dijadikan perkataan-perkataan bahasa Melayu.

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU  23

 Sifat kebolehlenturan ini menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang


dinamik dan sentiasa dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan-
perkembangan terbaru.

 Bahasa Melayu diyakini oleh rakyat Malaysia sebagai bahasa yang dapat
digunakan dalam semua lapangan.

Austronesia Lingua franca


Bahasa melayu Polinesia

Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)

Anda mungkin juga menyukai