Anda di halaman 1dari 15

UPAYA BAHASA MELAYU SEBAGAI SARANA ILMU

Prof. Madya Dr. Norliza Jamaluddin


Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
norliza@fbk.upsi.edu.my

Abstraks

Bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan untuk menyampaikan ilmu telah
berlangsung sejak sekian lama. Bermula sejak zaman kerajaan Sriwijaya pada abad
ke-7, dan kemuncaknya pada zaman keagungan agama Islam di alam Melayu, bahasa
Melayu terus mencapai mercu tanda yang membanggakan. Banyak karya besar dalam
bidang kesusasteraan, ilmu teologi, metafizik dan tasawuf serta falsafah dihasilkan
dalam bahasa Melayu. Sejak itu, kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
terus dikembangkan dan dirancang sebaik mungkin terutamanya sebagai bahasa
pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, khususnya selepas Malaysia
mencapai kemerdekaan. Ketegasan dalam memberikan gagasan agar bahasa Melayu
diangkat sebagai rasmi dalam sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia adalah
menerusi Jawatankuasa Pelajaran Razak pada tahun 1956. Jawatankuasa ini
menegaskan bahawa semua sekolah perlu melalui satu bahasa pengantar yang sama,
iaitu bahasa kebangsaan (bahasa Melayu). Laporan Rahman Talib yang menyusul
kemudiannya telah menyuburkan lagi perkembangan bahasa Melayu, iaitu dengan
menukarkan bahasa pengantar Inggeris pada peringkat sekolah rendah kepada bahasa
Melayu dan peperiksaan umum turut dijalankan dalam bahasa Melayu. Sejak itu,
usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu terus berlangsung
dan giat dilaksanakan. Justeru itu, kertas kerja ini akan membincangkan sejarah
perkembangan bahasa Melayu di Malaysia dengan memberikan tumpuan khusus
bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu, serta usaha-usaha yang dilaksanakan
antaranya dari sudut perundangan, pembentukan istilah, kepustakaan Melayu, dan
bahasa Melayu sebagai pengungkap bahasa ilmu tinggi.

PENDAHULUAN
Dari sudut sejarah, bahasa Melayu merupakan bahasa antarabangsa yang luas digunakan di rantau Asia
Tenggara ini. Bahasa ini telah menjadi lingua franca di rantau ini dalam urusan perdagangan dan
hubungan antarabangsa sejak zaman Kerajaan Sriwijaya, iaitu sekitar abad ke-7 Masihi hingga abad ke-
19. Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan antarabangsa dan menjadi bahasa rasmi serta bahasa
persuratan bagi pusat-pusat pemerintahan di rantau ini yang melibatkan kerajaan Melayu Bintan-Temasik,
iaitu dari abad ke-12 hingga abad ke-13, Kerajaan Melayu Riau dari abad ke-14 hingga abad ke-19 yang
meliputi zaman pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka dari abad ke-14 hingga abad ke-15, kerajaan
Johor dari abad ke-16 hingga abad ke-17 dan Kerajaan Riau-Lingga dari abad ke-18 hingga abad ke-19
(Husen Abas, 1998). Seorang pentadbir British dalam East India Company yang juga merupakan seorang
orientalis yang banyak mengkaji bahasa Melayu dan menghasilkan buku nahu serta menyusun kamus
menyatakan bahawa bahasa Melayu begitu meluas penggunaannya, iaitu meliputi Semenanjung Tanah
Melayu, Kepulauan Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi serta beberapa wilayah lain yang melibatkan
kepulauan Maluku, utara Filipina dan secara kolektifnya disebut sebagai Kepulauan Melayu atau Malay
Archipelago. Bahasa Melayu ini digunakan sebagai bahasa perhubungan dalam urusan perdagangan yang
bukan sahaja melibatkan orang tempatan tetapi juga apabila orang asing berurusan dengan orang
tempatan sama ada menggunakan jurubahasa atau orang asing itu sendiri menuturkan bahasa Melayu.
Justeru itu, bahasa ini telah digunakan secara meluas tanpa mengira bangsa atau keturunan (William
Marsden, 1892).

PERKEMBANGAN AWAL BAHASA MELAYU DALAM BIDANG ILMU


Bahasa Melayu sama seperti bahasa-bahasa yang lain memainkan beberapa fungsi yang utama, iaitu
selain daripada menjadi bahasa perbualan harian, bahasa Melayu turut menjadi bahasa rasmi, bahasa
kebangsaan, bahasa perpaduan dan juga bahasa ilmu. Menurut Awang Sariyan (2011), bahasa ilmu ialah
bahasa yang berbudaya, bahasa yang kaya dengan ilmu dan menjadi bahasa pengembang ilmu dalam
masyarakat atau bangsanya. Dengan erti kata yang lain, bahasa ilmu ialah bahasa yang digunakan untuk
mengungkapkan segala bidang ilmu. Jika ditinjau dari sudut sejarah, bahasa Melayu telah menjadi bahasa
ilmu sejak dari zaman kerajaan Sriwijaya. Sriwijaya yang menjadi pusat pentadbiran, pusat pendidikan
dan perdagangan pada abad ke-7 hingga abad ke-11 Masihi telah menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa utama dalam segala urusan. Pada ketika itu, Sriwijaya yang menjadi pusat pengajian agama Budda
telah mendirikan beberapa pusat pengajian tinggi Budda dan para pelajarnya terdiri daripada setiap
wilayah yang dikuasainya. Bahasa pengantar yang digunakan di pusat pengajian tinggi tersebut ialah
bahasa Melayu kuno atau lingua franca Kwén lun (Mees, 1954).
Apabila zaman kegemilangan berpindah ke tangan kerajaan Melayu yang pemerintahnya dikuasai
oleh raja-raja berketurunan Melayu, iaitu kerajaan Melayu Riau yang melibatkan Kerajaan Melaka, Johor
dan Riau-Lingga, penyebaran bahasa Melayu mengalami perkembangan yang amat pesat (Husen Abas,
1998). Pada zaman ini, bahasa Melayu dikatakan berada dalam puncak kegemilangan apabila bahasa
Melayu digunakan dengan meluas terutamanya dalam bidang perdagangan dan penyebaran agama Islam.
Dari sudut perdagangan, bahasa Melayu dipelajari kerana bahasa ini memiliki nilai ekonomi yang tinggi
dan hal ini diungkapkan oleh Van Linschoten pada abad ke-16 bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa
yang terhormat antara bahasa-bahasa negeri timur dan orang yang tidak menguasainya di Kepulauan
Melayu sama seperti orang yang tidak menguasai bahasa Perancis di negeri Belanda pada ketika itu (Nik
Safiah Karim, 2000). Kedatangan orang-orang Eropah ini menurut Husen Abas (1998) tidak hanya
membantu penyebaran bahasa ini secara meluas tetapi memiliki norma supraetnik yang melebihi norma
etnik bahasa-bahasa daerah lain yang ada di Kepulauan Melayu. Ini terbukti dengan terhasilnya daftar
kata Itali-Melayu yang disusun oleh Antonio Pigafeta, iaitu sebanyak 426 perkataan.
Pada masa yang sama kedatangan agama Islam ke alam Melayu turut membawa tulisan yang
baharu kepada bahasa Melayu, iaitu tulisan Jawi yang berasaskan aksara Arab. Dengan adanya sistem
tulisan ini, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap bidang ilmu telah diperluaskan,
khususnya yang berkaitan dengan agama Islam. Ilmu kalam, ibadah, muamalat, munakahat, jinayat, sirah,
tafsir dan adab serta berkembangnya tasawuf dan metafizik di alam Melayu menandakan kemuncak
pembicaraan dan kupasan ilmu yang tinggi dalam bahasa Melayu (Awang Sariyan, 2011). Bagi tujuan ini,
banyak pusat pendidikan agama telah diwujudkan, antaranya di istana, rumah-rumah ulama, madrasah,
pondok, dan surau. Istana khususnya telah dijadikan pusat perkembangan ilmu-ilmu Islam. Di sini, para
ulama dan pujangga Islam berkumpul dan mengajar ilmu agama Islam kepada pihak istana dan rakyat
jelata. Bagi memudahkan kefahaman, maka bahasa penduduk tempatan telah digunakan. Oleh itu, proses
pengislaman ini bukan sahaja mengubah kepercayaan masyarakat Melayu, tetapi turut meningkatkan lagi
fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang keagamaan ini
merupakan salah satu penanda utama dalam mengukur tahap kemajuan bahasa Melayu. Bahasa Melayu
bukan sekadar memperlihatkan penggunaannya dalam penyebaran agama Islam tetapi yang lebih penting
bahasa ini mampu mengungkapkan perkara yang abstrak yang wujud dalam sistem kepercayaan
penganutnya. Kemampuan sesuatu bahasa itu boleh tercapai apabila bahasa tersebut merupakan bahasa
terbina (Teo Kok Siong, 2015). Ciri bahasa terbina ialah bahasa yang luwes strukturnya, memiliki kosa
kata yang luas dalam kemampuannya untuk menjelaskan pelbagai perkara yang rumit dan sukar untuk
digambarkan oleh minda khususnya dalam bidang keagamaan. Hal ini mampu dilaksanakan dengan baik
oleh bahasa Melayu.
Ditinjau dari sudut kosa kata, keluwesan bahasa Melayu telah menyebabkan banyak kosa kata
Arab yang dipinjam bagi mengungkapkan konsep atau perkara yang baharu atau agak asing dalam
masyarakat Melayu. Kosa kata yang dipinjam antaranya ialah imam, sah, tauhid, fardu, fikir, akal, hajat,
zalim, darurat, wakaf, fakir, kerabat, wajah, kopiah, akhirat dan insan. Begitu juga kosa kata khusus
yang melibatkan nama-nama Allah seperti al-Haqq, al-Wahid, al-Karim, al-Aziz, al-Ghaffar, al-Fattah,
dan ar-Rahman. Bagi kosa kata Sanskrit yang telah sebati dengan masyarakat Melayu, antaranya seperti
perkataan syurga, neraka, raja, paduka dan seri, kosa kata ini masih tetap digunakan walaupun kosa kata
Arab semakin berkembang dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, makna sebahagian daripada kosa kata
tersebut telah diubah dan disesuaikan dengan konsep Islam, misalnya tanggapan syurga dan neraka tidak
lagi sama seperti yang digambarkan dalam agama Hindu, tetapi telah diubah kepada konsep al- Jannah
dan an-Nar yang terdapat di dalam al-Quran.
Dari sudut nahu, didapati bahawa bahasa Melayu pada ketika ini sudah memiliki pola nahu yang
tersendiri yang dapat melambangkan bahawa bahasa Melayu telah mempunyai sistem nahu yang formal.
Misalnya dari segi jenis ayat, ayat yang digunakan ialah ayat majmuk/kompleks. Walaupun agak banyak
ayat majmuk yang digunakan meleret-leret namun bahasa Melayu telah berjaya diungkapkan secara
bertulis. Dari segi susunan pula, ayat yang digunakan kebanyakan dalam susunan songsang dan dari segi
struktur ayat pula kebanyakan ayat pasif yang digunakan.
Semasa tersebarnya agama Islam di rantau ini, bahan-bahan kesusasteraan dan keagamaan banyak
ditulis hasil daripada galakan raja-raja Melayu. Bahan-bahan ini dijadikan saluran penting dalam
penyebaran Islam dan dapat mendekatkan kefahaman pembacanya terhadap ajaran Islam. Karya
kesusasteraan yang paling awal ialah Aqaíd al Nasafi (1590) yang merupakan buku panduan atau teks
untuk mengajar pelajar dewasa tentang rukun-rukun Islam. Syed M. Naquib al-Attas berpendapat buku ini
merupakan terjemahan secara harfiah daripada bahasa Arab, iaitu di bawah setiap baris karangan
berbahasa Arab terdapat terjemahan dalam bahasa Melayu. Terjemahan ini ditulis dengan menggunakan
tulisan Jawi. Karya-karya lain yang disalin dan diterjemahkan ialah Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat
Nabi Bercukur, Hikayat Nabi Muhammad Mengajar Anaknya Fatimah. Di samping itu, karya
kesusasteraan Parsi turut diterjemahkan, antaranya Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali
Hanafiyyah dan Hikayat Iskandar Zulkarnain. Menerusi karya terjemahan ini, beberapa kosa kata Parsi
terserap ke dalam bahasa Melayu, seperti istana, dewan, askar, syahbandar, nafiri, kelasi, nakhoda dan
anggur. Justeru, pelbagai bentuk karya sastera Arab dan Parsi seperti teks agama, syair dan gurindam
sama ada dalam bentuk asli, terjemahan atau saduran dituliskan. Kitab-kitab ini kemudiannya disebarkan
ke seluruh jajahan takluk yang secara tidak langsung meluaskan bahasa Melayu ke daerah-daerah itu,
misalnya jajahan takluk kerajaan Melayu Melaka meliputi Pahang, Terengganu, Patani, Kampar,
Inderagiri, Rokan, Siak, Bangkalis dan Johor. Begitu juga semasa pemerintahan kerajaan Islam Aceh
dikatakan bahawa pendakwah-pendakwah Islam ini telah di hantar ke tanah jajahannya di Jawa untuk
mengembangkan agama Islam.
Selain daripada karya sastera dan teks agama, buku berkaitan hukum kanun juga dihasilkan dan
dua teks hukum kanun yang dihasilkan ialah Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang. Hukum
kanun yang berasaskan kepada hukum Islam ini merangkumi undang-undang jenayah, muamalat, dan
kekeluargaan. Yang berikut merupakan salah satu fasal yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka:
Fasal yang keempat belas pada menyatakan hukum orang bertuduh-
tuduhan dan sangkal-menyangkal. Adapun seorang itu menuduh dan
seorang itu bersangkal, maka ditanyai oleh hakim. Jikalau ia mau
berlawan, diperlawankan; itu pun jikalau tiada saksi berdiri. Jikalau ada
saksi dua orang atau seorang, dihukumkan oleh hakim atas barang adat
kanun. Adapun pada hukum Allah, sekadar disuruh bersumpah menjabat
mimbar juga pun padalah. Adapun pada hukum kanun, disuruhkan ia
berlawan berselam air atau bercelur minyak atau timah. Maka disurat ayat
Quran pada tembikar kuali itu. Inilah yang disurat: [Quran]
Begitu juga dengan Hukum Kanun Pahang yang merupakan lanjutan Hukum Kanun Melaka banyak
dipengaruhi oleh perundangan Islam. Contohnya dalam fasal jenayah
“Bab peri hukuman apabila seseorang akil baligh membunuh seorang
orang Islam disahajanya dibunuhnya itu, laki-laki atau perempuan, kecil
atau besar maka yang membunuh itu dibunuh. Bermula tiada harus Islam
dibunuh oleh (membunuh) kafir. Bermula tiada harus merdeka dibunuh
oleh membunuh hamba orang.”[15]
“Peri hukuman segala orang yang murtad. Apabila seseorang Islam
murtad disuruh taubat 3 kali, jika tiada ia mahu taubat dibunuhnya,
hukumannya jangan dimandikan dan jangan ditanamkan pada kubur
Islam.”[16]

Penyebaran agama Islam di rantau ini telah menyebabkan pengguna dan kegunaan bahasa Melayu
bertambah meluas. Penambahan ini merupakan satu perkembangan yang amat baik untuk bahasa Melayu
kerana fungsi dan peranan bahasa Melayu dapat dipertingkatkan, iaitu daripada bahasa perhubungan
harian dan bahasa perdagangan kepada bahasa dalam penyampaian ilmu. Keupayaan bahasa Melayu
dalam menyampaikan ilmu dalam bidang keagamaan pada peringkat awal ini berjaya mempamerkan dan
memantapkan sistem linguistiknya serta bahasa ini juga memiliki tahap cendekiawan tinggi untuk
menyampaikan pemikiran teologi yang rumit melalui penggunaan laras agama yang bukan sahaja indah,
tetapi persis. Malahan, keupayaan bahasa Melayu sebagai medium untuk menyampai dan
mengembangkan agama Islam telah meningkatkan lagi laras-laras lain yang berkaitan dengan bidang
keagamaan seperti laras undang-undang, laras kesusasteraan selain laras agama itu sendiri. Laras agama
adalah antara laras yang memperlihatkan penggunaan bahasa secara pintar, khususnya dari segi memberi
inspirasi. Hal ini disebabkan ilmu keagamaan yang melibatkan persoalan keyakinan dalam sistem
kepercayaan masyarakat perlu disampaikan dengan menggunakan bahasa yang mudah dan baik bagi
mengubah pemikiran manusia Melayu untuk menerima agama yang baharu yang sebelum ini tiada dalam
kehidupan mereka.

PENDAULATAN BAHASA MELAYU DI MALAYSIA


Penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca terus berlangsung sehingga permulaan abad ke-20.
Namun begitu, dengan kedatangan penjajah Barat, iaitu Inggeris di Semenanjung Tanah Melayu dan utara
Borneo; Belanda di kepulauan Sumatera, Jawa, selatan Borneo, Sulawesi, Maluku, dan Bali; Sepanyol di
kepulauan Filipina telah menyebabkan fungsi bahasa Melayu semakin merosot. Bahasa Melayu sebagai
lingua franca, bahasa rasmi pemerintahan, bahasa dalam penyampaian ilmu telah digantikan dengan
bahasa penjajah, iaitu bahasa Inggeris di Tanah Melayu, bahasa Belanda di Indonesia dan bahasa
Sepanyol di Filipina dan kemudiannya diambil alih oleh bahasa Inggeris apabila Amerika Syarikat
menguasai Filipina (Hashim Musa, 2008). Sejak itu, kedudukan bahasa Melayu di Semenanjung Tanah
Melayu khususnya semakin merosot dan kedatangan Jepun (1941-1945) semakin melemahkan fungsi
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini disebabkan dasar penjajahan Jepun yang menonjolkan satu
konsep “Asia untuk Asia” dan mewujudkan “kawasan kemakmuran bersama Asia Timur”. Menerusi
konsep ini diwujudkan persaudaraan Asia dan Jepun sebagai ketuanya. Oleh itu dilaksanakan pelaksanaan
falsafah pendidikan Jepun berasaskan penggunaan bahasa Jepun, iaitu Nippongo. Konsep yang
ditonjolkan ini mendapat sokongan masyarakat setempat kerana pihak Jepun terlebih dahulu melakukan
penelitian dan pemahaman terhadap tret-tret budaya masyarakat setempat khususnya pemahaman dan
penguasaan bahasa ibunda masyarakat Melayu sebelum mereka menjajah Tanah Melayu.
Setelah Jepun meninggalkan Tanah Melayu dan British kembali semula, wujud gerakan-gerakan
untuk membina kerajaan sendiri, maka bahasa Melayu ditugaskan semula sebagai bahasa komunikasi dan
bahasa kebangsaan yang sebenarnya (Ramlah Adam, 2014). Suruhanjaya Reid telah menerima cadangan
Parti Perikatan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain
boleh digunakan dalam masa 10 tahun selepas merdeka. Pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan ini mestilah diselarikan dengan dasar pendidikan kebangsaan. Hal ini demikian kerana,
melalui sistem pendidikan kebangsaan, pembentukan negara bangsa merdeka Tanah Melayu akan dapat
dipupuk dan dikembangkan agar perpaduan rakyat dapat dilaksanakan dengan baik dan mudah.
Pembinaan negara bangsa bagi negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk memerlukan satu ejen
yang berkesan, iaitu sistem pendidikan sebagai pembinaan politik dan sosioekonomi masyarakat negara.
Melalui sistem pendidikan, bahasa Melayu memainkan peranan penting dan dikembangkan sebagai
bahasa ilmu.
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar
dalam sistem pendidikan telah dinyatakan dengan jelas menerusi dasar dan akta bahasa. Dasar bahasa
yang utama yang menjadi simbol identiti masyarakat dan negara bangsa Malaysia ialah Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan. Menerusi Perkara 152 ini dinyatakan bahawa:
Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam
apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-
undang oleh Parlimen.

Menerusi Perkara 152 ini, bahasa Melayu diberikan taraf yang istimewa berbanding bahasa-bahasa lain
dan perlu digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuklah dalam bidang pendidikan.
Kedudukan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan secara khusus dapat dipertahankan dan
diperkembangkan menerusi pelbagai akta dan laporan, antaranya Penyata Razak (1956), Penyata Rahman
Talib (1960), Akta Bahasa Kebangsaan (1963 serta pindaan 1967 dan 1990), Laporan Jawatankuasa
Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran (1979) dan Akta Pendidikan (1996). Kesemua akta dan laporan ini
dengan jelas menunjukkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan pengantar
utama dalam bidang pendidikan negara. Pada peringkat awal, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa
pengantar pendidikan kerana bahasa Melayu digunakan untuk maksud perpaduan kaum. Dalam Penyata
Razak (1956) Perenggan 2 misalnya menyatakan bahawa
...menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini
dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa
dengan menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar
yang besar (utama), walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan
dengan serta-merta melainkan dengan beransur.

Menerusi Penyata Razak ini ditetapkan bahawa Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah berteraskan
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Laporan Razak ini diperkukuhkan lagi oleh
Jawatankuasa Rahman Talib (yang dikenali sebagai Penyata Rahman Talib 1960) yang mengesyorkan
agar bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib dalam kurikulum di semua peringkat persekolahan.
Penyata ini dijadikan asas penggubalan Akta Pelajaran 1961. Penegasan penggunaan bahasa Melayu
dalam bidang pendidikan diperkukuhkan lagi menerusi Akta Pendidikan 1996. Seksyen 17, Akta
Pendidikan 1996 (Akta 550) menyatakan bahawa:
(1) Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di
semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali
sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau
mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri
daripada subseksyen ini.
(2) Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah
selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah
diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu.

Di samping itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 secara khusus mewartakan kedudukan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Seksyen 2, akta ini mengehendaki bahasa kebangsaan digunakan
untuk maksud rasmi.
Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi : kecuali
sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada
perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152(1)
Perlembagaan berhubung dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa
mana-mana kaum lain di Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah
digunakan bagi maksud rasmi.

Akta ini secara langsung menuntut agar bahasa Melayu dipelihara, dibina, dikembang, dipupuk dan
dibudayakan dalam situasi rasmi. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan
pembelajaran bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi turut melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT).
Secara khusus, apabila bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan, maka bahasa
Melayu menjadi bahasa yang merentas kurikulum. Hal ini bererti bahasa Melayu perlu digunakan dalam
pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan IPT yang bukan sahaja melibatkan disiplin bahasa, tetapi
meliputi semua disiplin ilmu. Sebagai bahasa pengantar, bahasa Melayu mampu mengungkapkan segala
bidang ilmu dan disiplin yang diajarkan. Apabila bahasa Melayu dapat mengungkapkan pelbagai bidang
ilmu, maka bahasa Melayu dapat membina dan mempertingkatkan kosa kata selari dengan kemajuan
disiplin ilmu itu sendiri. Pada masa yang sama, bahan berbahasa Melayu dalam pelbagai disiplin dapat
dihasilkan dan ditingkatkan. Dengan ini, bahasa Melayu akan menjadi bahasa perhubungan utama dalam
sistem pendidikan, dalam penyampaian segala bidang ilmu dan sebagai bahasa sarana budaya tinggi.

PENGUKUHAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU


Dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perancangan bahasa perlu dilaksanakan.
Perancangan bahasa ialah proses yang dilakukan oleh sesebuah negara untuk menentukan satu sistem
bahasa yang mampu digunakan dalam semua bidang terutama dalam bidang pendidikan, pentadbiran dan
ekonomi (Asmah Haji Omar, 1993). Justeru itu, perancangan ini perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi
membolehkan bahasa tersebut memenuhi fungsi-fungsi yang tertentu. Perkara yang lebih penting lagi
hendaklah melibatkan proses penyatuan negara. Aspek penting dalam perancangan bahasa Melayu adalah
memperkukuhkan sistem ejaan, pembentukan istilah, penentuan sebutan baku, penciptaan istilah dan
pembinaan kepustakaan Melayu dan akhirnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu tinggi.

SISTEM EJAAN
Perancangan dalam sistem ejaan ditimbulkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
(1956). Pada kongres ini, penyatuan sistem ejaan Rumi dan Melayu dan Indonesia telah dibincangkan.
Pada tahun 1959, sebuah jawatankuasa telah dibentuk yang melibatkan kedua-dua pihak dan daripada
kerjasama tersebut maka terbentuklah Sistem Ejaan Melindo. Walau bagaimanapun, pelaksanaan sistem
ejaan ini terbantut akibat konfrontasi Malaysia – Indonesia. Pada tahun 1972, Malaysia – Indonesia sekali
lagi mengadakan sistem ejaan bersama, iaitu Sistem Ejaan Baharu. Sistem ejaan ini telah diisytiharkan
secara rasmi serentak di kedua-dua negara pada 16 Ogos 1972. Dewan Bahasa dan Pustaka telah
menerbitkan risalah Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia untuk rujukan masyarakat. Ejaan
baharu ini masih mempunyai masalah. Oleh itu, menerusi Majlis Bahasa Melayu Indonesia – Malaysia
(MBIM) dan kini Majlis Bahasa Brunei–Indonesia–Malaysia (MABBIM) telah diwujudkan bagi
kerjasama serantau untuk memantapkan sistem ejaan bahasa Melayu. Dalam beberapa persidangan
diadakan, MABBIM telah mengeluarkan pedoman umum ejaan yang dianggap lengkap untuk kegunaan
negara yang terlibat. Versi yang sesuai dengan negara masing-masing telah diterbitkan. Di Malaysia,
pedoman ejaan ini dikenali sebagai Daftar Ejaan Baharu. Berdasarkan Daftar Ejaan Baharu ini terdapat
26 huruf yang digunakan dalam ejaan bahasa Melayu. Kesemua 26 huruf ini melambangkan enam bunyi
vokal dan 26 bunyi konsonan. Bilangan bunyi lebih banyak daripada jumlah huruf kerana ada huruf yang
digabungkan untuk melambangkan satu bunyi. Berdasarkan sistem ejaan ini, bahasa Melayu dapat
mewujudkan keselarasan atau keseragaman dari segi tulisan, ejaan, dan persukuan bagi membolehkan
bahasa Melayu lebih mengungkapkan segala bidang ilmu dengan lebih berkesan dan standard.

PEMBENTUKAN ISTILAH
Pembentukan istilah amat penting dalam bahagian perancangan bahasa kerana menerusi istilah ini segala
ilmu pengetahuan mampu digarap dengan baik dan dapat difahami. Justeru, usaha memperkaya kosa kata
yang khusus dalam bidang tertentu atau disebut sebagai “istilah” adalah penting kerana dengan
pembentukan istilah ini, tugas yang berat sebagai medium untuk mengembangkan sesuatu ilmu dapat
dilaksanakan. Hal ini demikian kerana bagi membolehkan sesuatu bahasa itu berfungsi sebagai bahasa
intelektual, bahasa tersebut perlulah memiliki dan mempunyai leksikon yang khusus bagi
mengungkapkan sesuatu bidang ilmu dengan berkesan dan dapat menyampaikan kandungan sesuatu ilmu
itu dengan persis serta seiring dengan ledakan ilmu yang berlaku dari semasa ke semasa. Dengan itu,
usaha memperluaskan kosa kata dalam bidang tertentu amat diperlukan agar konsep-konsep baharu dapat
diungkap degan betul dan tepat.
Di Malaysia, pembentukan istilah telah melalui sejarah yang agak panjang, iaitu telah bermula
sejak sebelum merdeka lagi. Usaha ini telah dilaksanakan oleh Pakatan Belajar – Mengajar Pengetahuan
Bahasa (PaBaMinPaBa) sejak tahun 1934 lagi. Hal ini berlaku apabila Inggeris menghantar Douglas G.
Campbell sebagai penasihat am kepada Sultan Johor pada tahun 1910, bahasa Inggeris telah digunakan
dalam surat-surat perjanjian dan sejak itu penggunaan bahasa Inggeris semakin berleluasa dalam urusan
pentadbiran dan bahasa Melayu mula dipinggirkan (Amat Juhari Moain, 2009). Situasi ini telah
membangkitkan semangat orang-orang Melayu untuk mempertahankan bahasa Melayu. Pa.Ba.Mim.Pa.Ba
telah menubuhkan jawatankuasa peristilahan yang dianggotai oleh para guru, pegawai kerajaan, ahli
bahasa dan orang perseorangan. Menerusi jawatankuasa ini, istilah dalam bidang pentadbiran moden telah
digubal dan antara istilahnya ialah jawatankuasa (bagi menggantikan istilah committee), pengetusi
(chairman), setiausaha (secretary), bendahari (treasurer), pejabat (office), jabatan (department), dan
merinyu (inspector). Penggubalan istilah dalam bidang pentadbiran merupakan bidang terawal yang
terlibat dalam pembentukan istilah dan sejak itu jumlah istilah yang digubal sentiasa bertambah dari
semasa ke semasa. Istilah yang digubal pada peringkat awal ini adalah melalui pinjam terjemah dan
apabila tiada padanan makna yang sesuai, maka istilah baharu akan dibentuk. Sekiranya tiada perkataan
yang bersesuaian atau yang sepadan maknanya, maka alternatif lain akan diambil, iaitu dengan
menggubal istilah sendiri. Walau bagaimanapun, pakatan ini hanya bergerak sendiri dan tidak ada
kesepaduan dalam kerja-kerja menggubal istilah. Setelah tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),
usaha-usaha pembentukan istilah menjadi lebih teratur dan tersusun. Jawatankuasa istilah (JKI) pertama
yang ditubuhkan ialah JKI Kerajaan dan bermula daripada penubuhan JKI yang pertama ini bilangan JKI
semakin bertambah pada tahun-tahun berikutnya. Hasil kerjasama antara Indonesia dan Malaysia
menerusi Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM), pada tahun 1975 telah diterbitkan Pedoman
Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPI). Sejumlah 164, 049 istilah dalam pelbagai bidang dan
subbidang ilmu telah berjaya dihasilkan (Ramlah Adam, 2014).
Perkembangan istilah ini sebenarnya sejajar dengan perubahan dasar pendidikan negara.
Pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang ditunjangi oleh Laporan Razak 1956 dan Laporan Abdul
Rahman Talib 1960 menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam
sistem pendidikan dan usaha untuk menghapuskan sistem pendidikan kolonial Inggeris dilakukan dengan
memansuhkan sekolah jenis Inggeris dan ditukar kepada sekolah kebangsaan secara beransur-ansur. Ini
bermakna, pengajaran sebelum ini yang berlangsung dalam bahasa Inggeris ditukarkan kepada bahasa
Melayu. Peralihan penggunaan bahasa pengantar ini memberi kesan mendalam, iaitu tentang perlunya
penghasilan istilah bagi mengungkapkan ilmu dalam bahasa Melayu. Penulisan buku teks dalam bahasa
Melayu telah secara tidak langsung menimbulkan keperluan untuk mewujudkan istilah bahasa Melayu
khususnya dalam bidang sains dan teknologi, sejarah, ekonomi, kejuruteraan, dan geografi. Hal ini
disebabkan pengajaran sains dan teknologi mula diperkenal dan dipertingkatkan di bawah dasar ini dan
ini diikuti dengan subjek sejarah dan geografi. Apabila mata pelajaran yang diajar di sekolah mengambil
elemen-elemen dari luar seperti negara barat, maka perlunya istilah bahasa Melayu dibentuk bagi
memudahkan proses penjanaan ilmu dalam bahasa Melayu.
Pembentukan istilah semakin meningkat dengan Pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan pada
November 1969. Menerusi dasar ini, semua institusi pengajian tinggi diwajibkan untuk menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar terutamanya di Universiti Malaya dan Universiti Sains
Malaysia. Dasar ini telah menyebabkan kursus-kursus daripada pelbagai fakulti khususnya aliran sains
teknologi perlu dikendalikan dalam bahasa Melayu dan dengan itu istilah dalam bahasa Melayu
diperlukan untuk tujuan pemindahan ilmu (Asmah Haji Omar, 2004). Apabila Universiti Kebangsaan
Malaysia ditubuhkan pada tahun 1970, maka penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains tulen telah
dimulakan dan dengan itu proses pengintelektualan ke atas bahasa Melayu telah berlangsung. Tiga fakulti
yang awal yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ialah Fakulti Pengajian Islam,
Fakulti Sains dan Fakulti Sastera. Ini diikuti dengan Fakulti Perubatan dan Institut Bahasa, Kesusasteraan
dan Kebudayaan Melayu. Dengan bertambahnya pengajaran bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi
(IPT), maka tugas-tugas penggubalan istilah yang dilaksanakan oleh DBP semakin giat.
KEPUSTAKAAN BERBAHASA MELAYU
Bagi membina kepustakaan berbahasa Melayu sesuatu bangsa, yakni bangsa Melayu perlu meyakini
bahawa bahasanya mampu berfungsi sebagai bahasa ilmu (Abdullah Hassan, 2004). Dengan adanya
kepercayaan yang teguh terhadap perkara ini, maka peradaban bangsa dapat dibina. Dikatakan bahawa
tidak ada bangsa di dunia ini yang membina peradabannya tanpa kepustakaan. Ini dapat dilihat misalnya
Jerman membina kepustakaan dalam bahasa Jerman dan Islam membina kepustakaan dalam bahasa Arab
bagi membangunkan peradaban mereka. Seorang sarjana matematik dan ahli falsafah Jerman, iaitu
Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716) menyedari bahawa penggunaan bahasa Latin dan Perancis tidak
berupaya untuk memandaikan bangsa Jerman. Hal ini disebabkan penggunaan bahasa asing ini telah
menyebabkan ilmu hanya berjaya disampaikan kepada golongan atasan dan intelektual, manakala
masyarakat biasa sukar untuk memahami ilmu tersebut. Oleh itu wujud tembok bahasa antara ilmu dan
masyarakat. Justeru Leibniz mengusulkan agar bahasa Jerman dibakukan, disebarkan kepada seluruh
rakyatnya, dijadikan bahasa pengantar di sekolah dan universiti, menjadi bahasa pentadbiran dan
perniagaan juga sebagai bahasa komunikasi dalam semua bidang. Hasilnya bahasa Jerman terus
ditingkatkan dan digunakan dalam pelbagai bidang sehingga Jerman menjadi salah satu negara maju di
dunia. Hal ini menunjukkan bahawa apabila fungsi bahasa Jerman yang diperluas, maka ilmu berjaya
disampaikan kepada seluruh masyarakatnya dan perkara ini membolehkan lebih ramai masyarakat Jerman
memahami pelbagai bidang ilmu yang secara langsung dapat mengangkat negara Jerman sebagai sebuah
negara yang maju.
Di Malaysia, bahasa Melayu telah mempunyai sistem nahu yang baku dan ratusan ribu istilah
telah diwujudkan dalam bahasa Melayu. Begitu juga dari segi perundangan, bahasa Melayu telah
dijadikan bahasa pengantar dalam bidang pendidikan. Justeru itu, usaha untuk membina kepustakaan
Melayu tidak sesukar Jerman membina kepustakaannya. Menurut Abdullah Hassan (2004) beberapa
langkah perlu dalam bagi membina kepustakaan Melayu, iaitu yang pertama ialah fungsi bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu perlu ditingkatkan lagi, iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar secara menyeluruh dalam semua bidang ilmu. Kedua, ilmu-ilmu yang diambil daripada luar
perlulah diterjemah dan diadaptasi bagi membolehkan lebih ramai masyarakat memahami ilmu yang
baharu. Perkara ketiga, sarjana-sarjana asing yang pakar dalam bidang tertentu perlu dibawa masuk ke
negara ini untuk mengajarkan ilmu kepada masyarakat di Malaysia. Perkara ini telah dilaksanakan pada
zaman kesarjanaan Islam, iaitu sarjana negara lain dijemput untuk mengajarkan ilmu di pusat-pusat ilmu
Islam di Baghdad. Keempat ialah membina ilmu sains peribumi, iaitu dengan cara menjadikan pelajar-
pelajar bidang teknologi pakar dalam bidang ini dan bahasa yang digunakan adalah sepenuhnya dalam
bahasa Melayu. Dengan adanya penghasil teknologi dalam bahasa ibunda, maka kekuatan dan kemajuan
bangsa dapat dipertingkat. Yang kelima, membina ilmu dalam bahasa Melayu yang heterogenus sifatnya.
Ilmu yang terbina dalam pelbagai bidang dapat meningkatkan bangsa Melayu dari pelbagai segi sehingga
kepustakaan Melayu terbina. Sarjana Islam yang menguasai pelbagai ilmu boleh dijadikan contoh terbaik
dalam membina peradaban. Di samping itu, memuliakan ilmu merupakan langkah penting dalam
membina kepustakaan Melayu, iaitu dengan cara memberikan keutamaan terhadap usaha-usaha
mengembangkan ilmu dalam bahasa Melayu. Justeru, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu amat
penting dalam membangun, membina dan mengukuhkan peradaban bangsa dan negara.

BAHASA MELAYU SEBAGA BAHASA PENGUNGKAP ILMU DI IPT


Pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT oleh
Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada 27 Oktober 2011 merupakan satu
langkah bijaksana dalam mengukuhkan bahasa Melayu dalam konteks pembelajaran, pengajaran,
penyelidikan dan penerbitan di peringkat pengajian tinggi. Hal ini amat penting untuk dilaksanakan bagi
memantapkan dan meningkatkan peranan serta fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pemantapan
sistem bahasa Melayu di peringkat IPT ini amat penting untuk bahasa Melayu meneruskan
kelangsungannya menjadi bahasa yang cekap dan mampu mengungkap pelbagai hal ehwal ilmu,
teknologi dan segala bidang untuk kehidupan moden ini. Strategi yang dilaksanakan oleh Kementerian
Pengajian Tinggi ini seiring dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia yang melaksanakan dasar
Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Oleh itu, usaha untuk
meningkatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan di Malaysia
dapat dilaksanakan dari peringkat rendah sehinggalah ke peringkat tinggi dan dengan ini bahasa Melayu
dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam sistem pendidikan di Malaysia. Oleh itu, wujud kesinambungan
dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu bagi melaksanakan fungsinya sebagai bahasa ilmu. Perkara
ini menjadikan dasar berbahasa di IPT menjadi lebih berfokus dan jelas.
Pelan tindakan ini pada umumnya mengemukakan empat strategi, iaitu:
i. mengukuhkan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran
ii. mengukuhkan bahasa Melayu dalam penyelidikan dan penerbitan
iii. meningkatkan pengiktirafan akademia bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu
iv. meningkatkan pengantarabangsaan bahasa Melayu.
Menerusi strategi mengukuhkan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran ini, dasar
bahasa kebangsaan yang telah ditetapkan akan dilaksanakan di IPT. Bagi melaksanakan strategi objektif
pertama ini, empat aspek perlu dijalankan, iaitu kursus-kursus wajib di IPT perlu diajar dalam bahasa
Melayu. Oleh itu, kursus-kursus wajib seperti Kursus Kenegaraan Malaysia, Tamadun Islam, Tamadun
Asia Tenggara dan Hubungan Etnik perlu diajar dalam bahasa Melayu. Begitu juga kursus-kursus dalam
gugusan sains dan gugusan sains sosial dan kemanusiaan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu
akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut sasaran yang ditetapkan. Ini ditunjukkan
menerusi jadual yang berikut:

Strategi Mengukuhkan Bahasa Melayu Dalam Pengajaran dan Pembelajaran


Inisiatif Strategik Sasaran Tanggung
jawab

1.1 Pelaksanaan Dasar Bahasa IPTA


Kebangsaan dan Mewajibkan dan
Kursus Bahasa Melayu 2011 2012 2013 2014 2015 IPTS
Komunikasi kepada Pelajar
Antarabangsa di IPT

1.1.1 Melaksanakan kursus-


kursus wajib IPT dalam 62% 85% 90% 95% 100% Semua IPTA
bahasa Melayu

1.1.2 Menjalankan pengajaran


dan pembelajaran kursus 12% 14% 16% 18% 20% Semua IPTA
dalam bahasa Melayu
untuk gugusan sains
(kursus/program sains
yang tidak memerlukan
pengiktirafan badan
akreditasi antarabangsa)

1.1.3 Menjalankan pengajaran


dan pembelajaran kursus 38% 40% 42% 45% 50% Semua IPTA
dalam bahasa Melayu
untuk gugusan sains
sosial dan kemanusiaan

1.1.4 Menghasilkan pelajar


antarabangsa yang 7% 7% 10% 12% 15% IPTA
cemerlang (A) dalam dan
kursus bahasa Melayu IPTS
komunikasi di IPT

Pelan Tindakan ini tidak sahaja meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar
tempatan, tetapi pelajar antarabangsa turut diwajibkan mengambil kursus Bahasa Melayu Komunikasi
dan dengan matlamat mampu memperoleh keputusan yang cemerlang.
Bagi mengukuhkan bahasa Melayu dalam bidang Penerbitan dan Penyelidikan pula, ahli
akademik digalakkan untuk menghasilkan penyelidikan dan penerbitan berbahasa Melayu. Strategi ini
dilaksanakan dengan mengukuhkan jurnal tempatan berbahasa Melayu yang berkualiti sehingga diindeks
dalam Era, Scopus dan ISI. Menerusi langkah ini, beberapa jurnal berbahasa Melayu telah dijadikan
jurnal berindeks, antaranya Jurnal Gema, Jurnal Ekonomi Malaysia, Jurnal Komunikasi Malaysia,
Wacana Seni, dan Sains Malaysiana. Pada masa yang sama, jumlah jurnal yang menjurus ke arah jurnal
berindeks ini sedang giat dilakukan oleh IPT, misalnya di UPSI, jurnal Pendeta juga sedang diusahakan
untuk mencapai status ini. Keupayaan meningkatkan jumlah penghasilan penulisan berbahasa Melayu
dalam jurnal tempatan ini membuktikan keseriusan Malaysia dalam memperkasa bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu tinggi dan mampu diiktiraf di peringkat global. Global tidak bererti bahawa hanya bahasa
Inggeris sahaja menjadi bahasa ilmu, tetapi bahasa Melayu amat penting untuk menjadi bahasa ilmu,
khususnya di Malaysia dan di rantau ini kerana ilmu watan lebih rapat hubungannya dengan anak watan
bagi mencerna, mentafsir dan memanfaatkan ilmu yang diterima.
Bagi meningkatkan penghasilan karya ilmiah berbahasa Melayu, maka KPT menetapkan aspek
ini sebagai salah satu kriteria kemajuan kerjaya, pembangunan dan kenaikan pangkat ahli akademik
dalam pelbagai disiplin. Di samping itu, satu kategori anugerah baharu telah diwujudkan dalam Anugerah
Akademik Negara kepada ahli akademik yang cemerlang dalam bahan penerbitan berbahasa Melayu, iaitu
Anugerah Penterjemah Karya Ilmu dan bahasa Melayu dan Anugerah Akademia Bahasa Melayu.
Anugerah ini secara tidak langsung dapat meningkatkan dan menyebarluaskan bahan bacaan ilmiah
dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai mediumnya.
Strategi objektif terakhir pula dilaksanakan dengan menjadikan Institut Alam dan Tamadun
Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai focul point, sebagai institusi yang akan
menjalinkan kerjasama dengan institusi luar negara dalam menentukan strategi dan memantapkan
pengajian Melayu dengan jabatan-jabatan bahasa Melayu di dunia. Di samping itu, kursi atau bilangan
tenaga pengajar Pengajian Melayu di institusi-institusi luar negara turut ditingkatkan. Menerusi Pelan
Tindakan ini, martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar di IPT perlu
dilaksanakan dan diperkukuh oleh kepimpinan IPT. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,
bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu perlu dikembalikan dengan cara melaksanakan pengajaran,
penyelidikan, penerbitan dalam bahasa Melayu. Di samping itu, pengantarabangsaan bahasa Melayu juga
perlu dikembangkan dan diperluas.

KESIMPULAN
Bahasa Melayu sebagai sarana bahasa ilmu memanglah tidak dapat dinafikan. Sejarah telah membuktikan
bahawa sejak dahulu lagi, iaitu sejak zaman Sriwijaya penggunaan bahasa Melayu dalam penyampaian
ilmu telah berjaya dilaksanakan. Penggunaan bahasa Melayu ini turut dipertingkatkan selaras dengan
peluasan kuasa kerajaan Melayu Riau dan pada masa yang sama Islam turut disebarkan ke seluruh jajahan
Melayu. Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu telah diberikan taraf sebagai bahasa
rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia dan menerusi beberapa akta pendidikan, bahasa Melayu
menjadi bahasa pengantar di sekolah dan di IPT. Justeru, bahasa Melayu sebagai sarana bahasa ilmu
berjaya dilaksanakan. Bagaimanapun, tumpuan dan keseriusan kerajaan serta masyarakat di Malaysia
terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam bidang keilmuan amat penting kerana bidang keilmuan
merupakan bidang terpenting dalam membina bangsa dan negara Malaysia.

Rujukan:

Abdullah Hassan (2004). Menghayati Kepustakaan Berbahasa Melayu. Tanjung Malim: UPSI.
Asmah Hj. Omar. (1993). Perancangan Bahasa dengan Rujukan Khusus Kepada Perancangan Bahasa
Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah Haji Omar. (2004). Muafakat Bahasa: Sejarah MBIM/MABBIM sebagai Pembina Bahasa. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Awang Sariyan. (2011). “Proses dan Strategi Pembudayaan Bahasa Melayu sebagai Tonggak Tamadun”.
dlm. Jurnal Pemikir. Jan-Mac. Kuala Lumpur: Utusan Karya.
Hashim Musa. (2008). Pemerkasaan Bahasa Melayu di Arena Antarabangsa Demi Kemajuan Negara
Bangsa Malaysia di Persada Dunia. Dlm. Prosiding Persidangan Bahasa Melayu dalam
Perspektif Antarabangsa Tahun 2008. Anjuran IPGM, Kementerian Pelajaran Malaysia,
Kementerian Luar Negeri dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Husen Abas. (1998). “Perkembangan Bahasa Melayu Setelah Traktat London 1824”. dlm. Pengajian
Bahasa Melayu Memasuki Alaf Baru. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.
Mees, C.A. (1954). Tata Bahasa dan Kata Kalimat. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.
Nik Safiah Karim. (2000). “Pembinaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan Bahasa Perdagangan
Serantau” dlm. Bahasa Melayu Dalam Dekad 90-an. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.
Ramlah Adam. (2014). Pendaulatan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Ilmu di
Malaysia: Sejarah dan Kedudukan Masa Kini. Universiti Malaysia Perlis: Pusat Kajian Institusi
Raja Malaysia (PKIRM).
Teo Kok Seong. (2015). “Peranan besar bahasa Melayu dalam agama”. dlm Berita Harian 5 Februari.

Anda mungkin juga menyukai