Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN GURU BESAR

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Dihormati En Mohd Nazam bin Noodin, Penolong Kanan Pentadbiran,


Yang Dihormati En Mohd Zukmani bin Che Hassan, Penolong kanan Hal Ehwal Murid,
Yang Dihormati En Shaiful Bahareen bin Bahavudeen, Penolong Kanan Kokurikulum,
Yang Dihormati En Mohd Juhari bin Yusuf, Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Puan Gohilah guru cemerlang bahasa inggeris, guru-guru, PPM dan murid-murid yang dikasihi
sekalian.

Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan izin dan limpah kurnia-
Nya kita dapat bersama-sama menjayakan pelancaran Bulan Kebangsaan 2023 SK Sri Damai, pada
hari yang berbahagia ini.

Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini bertemakan Malaysia MADANI, Tekad Perpaduan
Penuhi Harapan. Penetapan Malaysia Madani : Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan sebagai tema
sambutan Hari Kebangsaan ke 66 diinspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi
memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kemampanan
budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan.

Anak-anak sekalian,

Apakah erti kemerdekaan kepada anda sebagai generasi muda? Adakah anda menganggap merdeka
itu adalah bebas daripada cengkaman penjajahan dan menghayatinya dengan sekadar melaungkan
Merdeka! Merdeka! Merdeka! Erti kemerdekaan sebenar adalah membabitkan kemerdekaan jiwa
dan minda yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk melalui empat aspek utama
iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa. Hal ini demikian kerana anda sebagai generasi muda
berhadapan dengan ancaman penjajahan dari segi bentuk baharu, terutama pemikiran dan budaya
seiring dengan kepesatan teknologi masa kini.

Selain itu, dalam menghayati erti kemerdekaan, kita perlu bersyukur kepada Allah SWT kerana
dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman dan harmoni. Justeru saya mengajak warga
Sk Sri Damai untuk terus menyemarakkan keharmonian yang dikecapi selama ini sebagai sebuah
keluarga demi negara yang tercinta. Demi membuktikkan sayang kita kepada negara, marilah kita
bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang. Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu
membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia yang mencetuskan
solidariti dalam mendepani apa- apa jua cabaran yang mendatang. Saya berharap kita dapat
bersama-sama menterjemahkan bentuk solidariti itu dengan mengibar megah Jalur Gemilang,
sebagai tanda kita sentiasa bersatu dalam melawan apa-apa jua cabaran yang kita hadapi. Saya juga
yakin bahawa setelah 66 tahun negara menikmati kebebasan dan kemerdekaan, amalan mengibar
Jalur Gemilang ini sentiasa dibudayakan dalam kehidupan seharian kita tanpa rasa malu dan
janggal.

Guru-guru dan murid-murid yang disayangi sekalian,

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua
pihak yang telah bertungkus lumus membuat segala perancangan dan persediaan serta program-
program menarik bagi mengisi sambutan Bulan Kebangsaan peringkat SK Sri Damai.

Hadirin sekalian,

Semoga Hari Kebangsaan yang disambut pada tahun ini dapat memberikan manfaat kebaikan lebih
baik, terutamanya dalam aspek memelihara perpaduan dalam kalangan kita sebagai rakyat
Malaysia yang pelbagai kaum. Ayuh, kita suburkan semangat patriotisme iaitu perasaan cinta yang
mendalam dalam diri kita kepada negara tanah tumpah darah kita ini.

Burung bangau di sawah padi;


Luka berdarah diikat tali,
Jika patriotisme kurang disemadi;
Mungkin sejarah lampau berulang kembali.

Saya percaya perasaan cinta kepada negara inilah yang boleh menjadi tali pengikat utama kepada
perpaduan bangsa di negara ini.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim saya dengan ini melancarkan program Bulan
Kebangsaan Sk Sri Damai bagi tahun 2023. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-66.
Sekian, Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Anda mungkin juga menyukai