Anda di halaman 1dari 2

Kebaikan-kebaikan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam aktiviti

pengajaran dan pembelajaran di sekolah

Oleh (Marcus) Wong Shi Quan

Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang, inilah pepatah yang
memanifestasikan peralihan Malaysia ke arah pendigitalan negara sejajar dengan
Revolusi Perindustrian 4.0. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,
salah satu anjakan adalah dengan memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(TMK) bagi meningkatkan akses kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran semua
sekolah di Malaysia. Hakikatnya, TMK merangkumi dua aspek, iaitu teknologi maklumat
dan teknologi komunikasi. Oleh itu, persoalan yang berlegar-legar dalam lensa
pemikiran saya ialah apakah kebaikan-kebaikan penggunaan TMK dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran di sekolah?

Sebagai pembuka tirai topik perbincangan saya yang pertama


tentang isu ini, penggunaan TMK telah memberikan alternatif baharu kepada guru-guru
di sekolah untuk menggantikan pendekatan konvensional. Penggunaan TMK merupakan
minhaj moden untuk melicinkan proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) guru-guru
sekolah. Guru-guru yang diumpamakan sebagai arkitek pembangunan modal insan telah
semakin mahir memanfaatkan aplikasi pembelajaran dalam talian seperti Google
Classroom, Google Drive, Kahoot dan sebagainya selaras dengan era globalisasi ini.
Implikasinya, penggunaan TMK dalam PdPc berpotensi meningkatkan kemahiran insaniah
pelajar dan mengasah potensi mereka. Bukan itu sahaja, guru-guru yang celik
teknologi juga dapat meningkatkan kecekapan, keberkesanan serta kualiti PdPc
mereka. Tambahan pula, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga menawarkan
pelantar pembelajaran digital, yakni Digital Educational Learning Initiative
Malaysia (DELIMa) untuk memudahkan proses PdPc guru-guru. Sesungguhnya, pelancaran
DELIMa memerlukan kerjasama syarikat seperti Google, Apple, Microsoft dan Amazon.
Mekanisme komprehensif ini merupakan pemangkin perdana untuk membolehkan Malaysia
menuju ke arah pendigitalan dalam bidang pendidikan menerusi penggunaa TMK secara
maksimum.

Memetik wasitiah nirmala, pengaplikasian TMK dalam aktivti PdPc juga memberikan
peluang keemasan kepada pelajar untuk merapatkan jurang pencapaian akademik dengan
pelajar lain. Setelah Perdana Menteri Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, sistem pendidikan Malaysia telah terbengkalai
secara sementara. Namun begitu, dengan adanya kerjasama KPM dengan pihak media
massa seperti ASTRO AWANI, TV3 dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), platform
pembelajaran digital iaitu Didik TV dihasilkan dengan adanya pengintegrasian TMK
bersama-sama. Kesannya, pelajar yang lemah dalam pelajaran boleh memanfaatkan
peluang ini untuk menelaah pelajaran di rumah selaras dengan dasar Pengajaran dan
Pembelajaran di Rumah (PdPR). Tamsilnya, pelajar turut boleh menggunakan aplikasi
pembelajaran dalam talian seperti Google Meet dan Zoom untuk mengikuti proses PdPc
guru-guru. Dalam konteks yang sama, guru-guru juga dapat menghantar kerja kursus,
video pembelajaran dan bahan bacaan melalui medium tersohor seperti Telegram dan
Whataspp. Secara tidak langsung, inisiatif-inisiatif ini dapat mewujudkan keadaan
yang kondusif bagi pelajar-pelajar lain untuk mengukuhkan pemahaman mereka tentang
sesuatu subjek, bak kata pepatah, belakang parang kalau diasah lagikan tajam.
Bertitik tolak dari kaca mata lain, pengintegrasian TMK dalam
pembelajaran membolehkan pelajar-pelajar mengakses maklumat dengan cepat dan
efektif. Oleh itu, capaian Internet yang stabil dan gajet teknologi yang mencukupi
memainkan peranan mustahak dalam aspek pembelajaran mereka. Sejak pelaksanaan PKP
pada 18 Mac 2020, majoriti pelajar banyak ketinggalan dalam pembelajaran mereka.
Mereka telah kehilangan perasaan komunikasi dua hala yang langsung antara guru
dengan pelajar. Fenomena ini amat membimbangkan banyak pelajar, khusuya calon SPM
2021. Oleh sebab itu, penggunaan TMK berperanan signifikan dalam memastikan
akademik pelajar tidak merosot. Contohnya, pelajar mampu memanfaatkan engin
pencarian seperti Google, Baidu dan Yahoo untuk mengakses maklumat atau informasi
yang diperlukan. Semua maklumat sebenarnya hanya di hujung jari pelajar. Pada masa
yang sama, guru-guru turut perlu menghulurkan bantuan kepada pelajar yang lemah
dengan mengadakan pertemuan secara maya menerusi aplikasi Google Meet atau Zoom.
Nah, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelajar dapat mengakses pelbagai informasi
yang diperlukan dengan adanya pengintegrasian TMK dalam akademik mereka.

Akhirulkalam, penggunaan TMK membawa banyak kemaslahatan kepada


guru-guru dan pelajar-pelajar dalam proses PdPc. Semua pihak perlulah berkolaborasi
untuk merancakkan penggunaan TMK dalam bidang pendidikan. Pengintegrasian TMK dalam
sektor pendidikan merupakan segmen baharu dalam pembangunan dan ekonomi negara.
Diharapkan negara kita semakin maju seperti negara lain dan Wawasan Kemakmuran
Bersama 2030 juga dapat direalisasikan.

(495 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai