Anda di halaman 1dari 6

TEMA, PERSOALAN, KONFLIK, LATAR MASYARAKAT, NILAI

DAN PENGAJARAN PANTAI KASIH

TEMA
Ketabahan seorang wanita menghadapi pelbagai rintangan dalam hidupnya.
1. Tabah menghadapi kematian anak peremuannya
Raiha tabah menghadapi kematian anak perempuannya. Anak perempuan tunggalnya itu adalah
seorang anak istimewa, berkromosom lebih iaitu ‘down sinDoktorom’. Sejak mengetahui keadaan
anaknya dalam kandungan, suaminya meminta agar kandungan itu digugurkan, namun Raiha tetap
mahu melahirkan anak tersebut walaupun mendapat tentangan daripada suaminya. Selain diminta agar
anak tersebut dihantar ke asrama yang mengasuh anak istimewa seperti Rohayu atau Ayu itu, namun
Raiha bertegas untuk memelihara sendiri dan menghabiskan masa dengan anaknya itu menyebabkan
Doktor Sadiz berada kecewa kerana isterinya itu melebihkan anaknya daripada dia. Kedegilan Raiha
menyebabkan suaminya berasa marah dan membakar kereta mewah yang dibawa oleh Raiha untuk
melarikan diri. Tiba-tiba kanak-kanak istimewa itu berada di tempat kejadian dan tidak semena-mena
tersambar api kereta yang sedang marak itu sehingga rentung. Kematian anaknya itu amat
menyiksakan jiwa Raiha yang tetap menyalahkan bahawa Doktor Sadizlah dengan sengaja membakar
anaknya itu.
2. Tabah menghadapi kegagalan rumah tangganya
Kegagalan rumah tangga antara Raiha dan suaminya Doktor Sadiz disebabkan keengganan Raiha
mendengar nasihat suaminya agar menggugurkan kandungannya yang didapati cacat atau ‘down
sinDoktorom’. Raiha juga melebihkan perhatian kepada anaknya apabila sudah dilahirkan
menyebabkan kemarahan suamnya berganda. Kejadian kematian anaknya akibat disambar api kereta
mewah yang sedang marah merupakan kemuncak kemarahan suaminya, apatah lagi setelah bekas
suaminya menang kes dalam mahkamah dalam menentukan kesalahan siapakah punca kematian
anaknya itu. Akibat saksi utama tidak muncul dalam perbicaraan, bekas suaminya yang menggantung
perkahwinannya sehingga akhir hayat menang dalam kes tersebut dalam perbicaraan di mahkamah
keluarga, dengan bangga dan sinis senyum dan melafazkan dia tidak akan melepaskan Raiha
melainkan meninggalkannya tergantung-gantung sepanjang hayatnya. Kegagalan dalam rumah
tangga itu dihadapi dengan tabah walaupun sanak saudaranya pada peringkat awal menyokongnya
tetapi semakin berkurangan selepas peristiwa itu.

3. Tabah menghadapi bangkangan ayahnya untuk menjadi pakar bedah


Raiha tabah menghadapi bangkangan ayahnya terhadap cita-citanya hendak menjadi pakar bedah.
Ayahnya berkeras agar Raiha tidak meneruskan niat untuk menjadi pakar bedah sepertinya kerana
beranggapan bahawa tugas sebagai seorang pakar bedah hanya mampu dilakukan oleh orang lelaki
sahaja yang tahan dari segi fizikal dan mental. Namun pandangan ayahnya itu dibangkang oleh Raiha
dan meneruskan ketekunan belajar untuk menjadi seorang pakar bedah yang Berjaya. Selepas
berkhidmat dalam bidang itu di sebuah hospital kerajaan akhirnya selepas beberapa tahun Raiha
mengambil keputusan menerima pelawaan untuk bekerja di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

4. Tabah menerima tugas membedah


Raiha tabah menerima tugas membedah Unong Siron walaupun tahu sepatutnya pembedahan
tersebut dilakukan oleh Doktor Uwang tetapi atas kepercayaan yang diberikan menjadikan dia setuju
untuk membedah pesakit itu buat kali keenam. Dia melakukan dengan sebaik mungkin supaya Unong
Siron akan dapat mengakhiri penderitaan kesakitannya selepas itu.
Raiha juga tabah dalam membuat keputusan untuk membedah Doktor Uwang yang mengalami
kecederaan teruk pada pergelangan tangan dan tempurung lutut doktor itu supaya dapat
menyelamatkan doktor itu yang mengalami kemalangan selepas merempoh tembok Pusat Rawatan
Kasih.

5. Tabah menghadapi penceroboh


Apabila Pantai Kasih dicerobohi oleh seorang pemuda berumur dua puluhan yang merupakan bekas
pelajar perubatan yang tidak menamatkan pelajarannya, Raiha tabah dan mencari jalan untuk
mengatasi masalah tersebut. Doktor palsu tersebut memang mencarinya dan melakukan panggilan
palsu sebelum ini. Dalam saat getir menenangkan penceroboh tersebut dan setelah ditenangkan oleh
ibu Unong Siron yang secara kebetulan mengenali pemuda itu, Raiha memberikan pendapat bahawa
pemuda tersebut diminta membantunya merawat Unong Siron yang tenat di hospital lain. Pemuda
tersebut bersetuju diiringi ke hospital tempat anak ibu Unong dirawat dan akhirnya diberkas.

6. Tabah menerima berita punca kematian anaknya.


Setelah beberapa peristiwa hitam yang dihadapi oleh Raiha sebelum ini menjadikan dia seorang yang
tabah apabila mengetahui punca sebenar kematian anaknya selepas Sister Felicia Landosi
menceritakan perkara sebenar yang berlaku. Raiha tabah dengan berita punca kematian anaknya itu
dan menganggap mereka adalah mangsa keadaan.

PERSOALAN
1. Persoalan tentang kepentingan diri melebihi kepentingan masyarakat. Sikap lebih mementingkan
keuntungan syarikat digambarkan melalui watak Doktor Uwang yang tidak menghiraukan kesusahan
pesakitnya Unong asalkan berkemampuan mendapatkan rawatan. Doktor Uwang juga sanggup
menghantar anak perempuan tunggalnya duduk di sekolah berasrama seawal usia 7 tahun semata-
mata untuk tidak mengganggu rutin dan statusnya. Apatah lagi anak itu adalah hasil keterlanjurannya
sedangkan dia memang tidak menginginkan anak apabila berumah tangga.
2. Persoalan tentang sikap berfoya-foya di luar walaupun sudah berumah tangga. Sikap Doktor
Uwang yang masih berfoya-foya walaupun sudah berumah tangga menggambarkan bahawa dia
seorang yang suka bebas dan tidak mahu dikongkong. Walaupun sudah berumah tangga tetapi beliau
tetap mengunjungi kelab-kelab malam dan minum arak bersama-sama gadis pelayan dan
kemudiannya berakhir ke ranjang. Namun sikapnya yang memastikan kebersihan setiap ‘isteri tidak
sah’ menjadikan dia seorang yang pemilih.
3. Persoalan tentang tanggungjawab yang harus dipikul. Raiha bersetuju untuk melakukan
pembedahan ke atas Unong walaupun dia berasa bahawa Doktor Uwanglah yang selayaknya
melakukan pembedahan tersebut. Raiha juga berasa bahawa menjadi tanggungjawabnya melakukan
pembedahan ke atas Doktor Uwang yang cedera akibat kemalangan merempuh tempoh Pusat
Rawatan Pantai Kasih. Dia terpanggil untuk melakukannya demi menyelamatkan nyawa doktor
tersebut.
4. Persoalan tentang sikap berani mengaku kesalahan. Felecia mengaku kesalahannya Walaupun
pada peringkat awal Felecia berasa sangat marah dengan emak Unong yang menuduhnya bersubahat
menipu namun akhirnya Felecia mengakui kesalahannya itu di hadapan Raiha. Felicia juga mengakui
bahawa dia tahu kejadian sebenar peristiwa yang meragut nyawa anak perempuan Raiha. Dia meminta
maaf kerana merahsiakannya kerana takut.
5. Persoalan tentang reda dengan ketentuan tuhan. Walaupun Raiha sudah mengetahui punca
kematian anaknya disebabkan sikap amarah bekas suaminya Doktor Sadiz yang membakar kereta
Porsche tanpa menyedari kehadiran anaknya di situ namun Raiha reda dengan kejadian tersebut dan
menganggap semua yang berlaku sebagai ketentuan tuhan dan mereka adalah mangsa keadaan. Dia
tidak menyalah sesiapa termasuk Felicia sebaliknya reda menerima berita tersebut.
6. Persoalan tentang tabah menghadapi rintangan. Raiha begitu tabah menerima rintangan dalam
hidup. Ketabahan Raiha bermula dengan gangguan peristiwa hitam keruntuhan rumah tangganya.
Walaupun dia dijadikan bahan tontonan sewaktu kes perbicaraan tersebut mendapat liputan media dan
dia gagal dalam kes tersebut, namun dia meneruskan kehidupan dengan tabah. Dia juga tabah sewaktu
ditempelak oleh Sister Felicia yang kurang berpuas hati dengan tindakannya menyebelahi emak Unong
Siron. Walaupun Felicia tidak mengendahkan Raiha selepas kejadian itu dia tabah menghadapi Felicia
kerana mereka bekerja sebumbung. Raiha juga tabah dan berhasrat untuk melupakan peristiwa dia
mempersoalkan kewibawaan Doktor Uwang. Dia ingin memulakan hidup baru yang lebih selesa.
7. Persoalan tentang keruntuhan rumah tangga. Akibat keruntuhan institusi rumah tangga seseorang
itu akan menghadapi trauma yang berpanjangan. Raiha sentiasa dibayangi kisah silam termasuk
keruntuhan rumah tangganya. Sikap Doktor Sadiz yang dianggap keterlaluan meminta menggugurkan
kandungan mereka, dan juga menggantung Raiha tidak bertali selepas menang dalam kes perbicaraan
menjadikan peristiwa hitam tersebut tidak luput dalam masa singkat.
8. Persoalan tentang kasih sayang. Raiha begitu sayang akan anaknya Rohayu walaupun didapati
Rohayu cacat sebelum dilahirkan lagi. Baginya anaknya itu mempunyai hak untuk lahir dan
mendapatkan kasih sayangnya. Selepas Rohayu dilahirkan, Raiha menghabiskan banyak masa
melayani Rohayu berbanding bekas suaminya Doktor Sadiz yang mengharapkan agar anaknya itu
dihantar ke pusat penjagaan jauh dari situ bagi mengelakkan taraf dan kewibawaannya dijadikan bahan
perbincangan ramai. Raiha pula berasa kasih atas nasib yang menimpa Unong. Raiha berharap
bahawa pembedahan yang terakhir itu merupakan pembedahan yang akan segera memulihkan Unong
daripada terus-terusan sakit menderita.

Konflik
Konflik dengan diri sendiri
a. Konflik Raiha dengan peristiwa hitam yang dialaminya
Raiha tidak dapat melupakan detik hitam dalam kehidupannya apabila sentiasa dibayangi dengan
kenangan silam kematian anaknya. Kehidupan sehariannya menjadi tidak ceria disebabkan peristiwa
hitam itu. Konflik diri ini menyebabkan Raiha berasa bersalah dengan kematian anaknya itu dan tetap
menyalahkan bekas suaminya atas kematian itu.
b. Konflik Doktor Uwang dengan dirinya.
Pergaulan hidup yang bebas menyebabkan Doktor Uwang sentiasa menjadi buruan ramai wanita.
Walaupun sudah mempunyai isteri tetapi dia mahu mencari kebebasan hidup dengan menemui isteri-
isteri tidak sahnya tanpa dihalang oleh sesiapa.
c. Konflik Sister Felicia dengan maruah dirinya
Sister Felicia sangat kecewa apabila mengetahui bahawa dirinya adalah anak luar nikah.
Kekecewaannya itu menyebabkan dia berasa rendah diri dan maruahnya tercalar. Berkat usaha
gigihnya dalam pelajaran telah mengikis sikap negatif terhadap dirinya itu.
d. Konflik Doktor Uwang dengan Ayu
Doktor Uwang yang tahu bahawa anak saudaranya mati akibat disambar api yang dinyalakan oleh pak
ciknya sendiri. Gambaran anak pak ciknya yang rentung dan meminta diselamatkan sentiasa
terbayang-bayang sehingga menyebabkan dia sendiri tidak dapat mengawalnya. Bayangan tersebut
datang pada bila-bila masa sehingga waktu sebelum dia mengalami kemalangan dia turut terbayang
akan anak pak ciknya itu.

Konflik dengan orang lain


a. Konflik antara Raiha dengan Doktor Sadiz
Raiha berkonflik hebat dengan Doktor Sadiz yang menuduh Raihalah punca kematian anak
perempuannya itu. Sebaliknya Raiha menuduh Doktor Sadizlah yang menyebabkan kematian anaknya
itu dan merancang kematian anaknya itu. Konflik itu hingga ke mahkamah dan akhirnya Doktor Sadiz
menang dalam perbicaraan itu kerana saksi utama tidak muncul dan menceritakan kisah yang sebenar.
b. Konflik antara Sister Felicia dan Raiha
Sister Felicia berkonflik dengan Raiha apabila Raiha memarahi sikap Felicia yang keterlaluan terhadap
emak Unong Siron. Raiha berpendapat bahawa sepatutnya Sister Felicia lebih menghormati pelanggan
pusat rawatan tersebut dan tidak meninggi atau menengking ibu Unong. Teguran Raiha itu telah
menyebabkan Sister Felicia berasa bengang dan tidak menerima teguran tersebut.
C. Konflik antara Raiha dengan ayahnya
Raiha mahu menjadi pakar bedah seperti ayahnya tetapi hasratnya itu tidak dipersetujui oleh ayahnya.
Namun dia berkeras juga hendak menjadi pakar bedah dan akhirnya cita-citanya itu tercapai.
d. Konflik antara Doktor Uwang dengan Emak Unong
Doktor Uwang berasa bahawa dia tidak perlu mengambil tahu dari mana datangnya wang untuk
membayar perkhidmatannya membedah Unong Siron. Kredibiliti Doktor Uwang tercabar apabila emak
Unong menganggapnya sebagai Doktor Mata Duitan. Namun, sikap emak Unong itu telah
menyebabkan dia berasa dia tidak sepatutnya kalah dengan prinsip hidupnya bahawa wang bukan
urusannya.
e. Konflik antara Sister Felicia dengan Emak Unong
Sister Felicia berasa tercabar apabila Emak Unong Siron menuduhnya sebagai punca anaknya tidak
sembuh-sembuh. Emak Unong menuduhnya sengaja berbuat demikian untuk kepentingan peribadi dan
mendapat keuntungan daripada perbuatan tersebut. Emak Unong mengagak bahawa sekiranya
anaknya masih dirawat tentu dia masih mendapat komisen dan sikap Sister Felicia menggambarkan
dia tidak prihatin dan simpati dengan nasib anaknya sebaliknya mencadangkan pusat rawatan tersebut
sebagai cara mendapatkan keuntungan peribadi.
f. Konflik antara Sister Felicia dengan Doktor Uwang
Sister Felicia ditegur oleh Doktor Uwang kerana melakukan kesalahan memarahi pesakit. Doktor
Uwang yang memberikan kepercayaan tinggi dan menaikkan pangkat Sister itu berharap agar dia
sentiasa mengingati sumpah setia sebagai jururawat. Dia kurang senang ditegur oleh Doktor Uwang.

Latar Masyarakat
1. Latar masyarakat yang mementingkan keuntungan
Doktor Uwang memikirkan keuntungan yang berlipat ganda selepas mengambil alih Pusat Rawatan
Pantai Kasih daripada ayahnya Datu Untong. Dia tidak menghiraukan sama ada pesakit yang
mendapatkan rawatan di pusat rawatannya itu mampu atau tidak asalkan dia mendapat keuntungan
dengan meletakkan harga yang dirasakan munasabah untuknya.

2. Latar masyarakat yang takut berterus terang


Sister Felicia Londusai tidak berterus terang dengan Raiha tentang kemalangan yang berlaku sehingga
meragut nyawa anak perempuan Raiha kerana takut. Felicia tahu bahawa Doktor Sadiz yang menyiram
minyak petrol ke kereta mewah Porsche miliknya akibat rasa marah yang membawa terhadap Raiha.
3. Latar masyarakat yang ego
Doktor Sadiz menyalahkan Raiha atas kematian anak perempuan mereka. Doktor Sadiz menganggap
Raiha bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian tersebut sedangkan kemalangan tersebut adalah
disebabkan sifat marahnya yang membakar kereta mewah miliknya sendiri dengan menyiram minyak
petrol sehingga menyebabkan anak perempuan mereka yang kebetulan ada di situ disambar api
tersebut.
4. Latar masyarakat yang mempunyai matlamat tinggi
Walaupun sudah dinasihati oleh ayahnya, Raiha masih berdegil untuk belajar sehingga menjadi doktor
pakar seperti ayahnya itu. Menurut ayahnya, jawatan tersebut tidak sesuai dengan kemampuan
seorang wanita, namun berkat usaha dan matlamat yang ada pada Raiha, dia mampu menjadi pakar
pembedahan yang ternama di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

5. Latar masyarakat yang berusaha di luar kemampuan


Emak Unong Siron berusaha untuk membayar kos rawatan anaknya walaupun anakanya itu terpaksa
menjalani pembedahan sebanyak lima kali sedangkan mereka adalah daripada kalangan orang kelas
menengah bawah sahaja.
6. Latar masyarakat yang hidup dengan pergaulan bebas
Emak Sister Felicia keterlanjuran sehingga mengandungkan anak luar nikah hasil pergaulan bebas
sewaktu mudanya.
Doktor Uwang juga mempunyai anak luar nikah yang cacat dan kelainan upaya sehingga menyebabkan
dia berasa malu dan menghantar anaknya itu di asrama.
7. Latar masyarakat yang Berjaya dalam kerjaya
Doktor Uwang adalah seorang yang Berjaya dalam kerjaya. Kejayaannya bermula apabila ayahnya
Datu Untong menyerahkan Pusat Rawatan Pantai Kasih kepadanya.
Beberapa perubahan sudah dilakukan oleh Doktor Uwang sehinggakan Pusat Rawatan Pantai Kasih
dahulunya terdiri daripada tiga orang doktor tetapi sekarang sudah memiliki deretan doktor dan barisan
jururawat dan staf yang terlatih.

NILAI
1. Nilai Kerajinan
Nilai kerajinan diperlihatkan melalui sikap Sister Felicia yang asalnya belajar di kawasan pedalaman di
Inanam tetapi atas sikap kerajinannya itu dia Berjaya belajar hingga menjadi seorang jururawat di
Hospital Kinabalu.
Nilai kerajinan juga diperlihatkan melalui watak Raiha yang rajin belajar daripada mentornya iaitu Doktor
Uwang sewaktu menuntut di pusat pengajian tinggi dan sanggup melakukan apa-apa sahaja yang
diminta oleh mentornya itu termasuk membuat demonstrasi.
2. Nilai Ketekunan
Nilai ketekunan kelihatan dalam Novel melalui watak Raiha yang tekun belajar sehingga menjadi
seorang pakar bedah sama seperti ayahnya. Walaupun cita-citanya itu tidak direstui oleh ayahnya yang
merupakan seorang pakar bedah, namun atas ketekunannya mengharungi pelbagai cabaran telah
menjadikan dia seorang pakar bedah dan diterima berkhidmat di Pusat Rawatan Pantai Kasih.
3. Nilai Keberanian
Raiha berani mempertahankan bahawa kesalahan atas kematian anak perempuannya adalah
disebabkan oleh Roktor Sadiz. Sikapnya itu tidak disenangi oleh Doktor Sadiz sehinggakan kes mereka
itu berlarutan dan menjejaskan nama baiknya sendiri. Sikapnya itu juga tidak disenangi oleh
keluarganya sendiri kerana mempertahankan benang yang basah. Apatah lagi Sister Felicia tidak
muncul untuk menjadi saksi di mahkamah sehingga Raiha kalah dalam kes tersebut.
4. Nilai Bertanggungjawab
Raiha bertanggungjawab untuk menjadikan pembedahan ke atas Unong Siron sebagai pembedahan
yang keenam dan yang terakhir. Hal ini demikian kerana Raiha berpendapat tidak sewajarnya gadis
remaja itu menghabiskan masa menghadapi hidup dengan waktu sukar yang sangat panjang. Tidak
sepatutnya gadis tersebut menjalani pembedahan yang sama di tempat sama dan atas sakit yang sama
sehingga lima kali.
5. Nilai Keprihatinan
Raiha prihatin terhadap nasib yang menimpa Unong Siron. Baginya pembedahan sebanyak enam kali
tidak sepatutnya berlaku apatah lagi doktor yang melakukan pembedahan tersebut adalah doktor pakar
yang bukan calang-calang. Rasa prihatin itu terbit dan mengharapkan agar pembedahan keenam pada
senja tadi merupakan pembedahan yang terakhir dan berakhirlah penderitaan dan kesakitan yang
dialami oleh Unong selama ini.
6. Nilai Ketabahan
Raiha tabah menghadapi bangkangan ayahnya terhadap cita-citanya hendak menjadi pakar bedah.
Ayahnya berkeras agar Raiha tidak meneruskan niat untuk menjadi pakar bedah sepertinya kerana
beranggapan bahawa tugas sebagai seorang pakar bedah hanya mampu dilakukan oleh orang lelaki
sahaja yang tahan dari segi fizikal dan mental. Namun pandangan ayahnya itu dibangkang oleh Raiha
dan meneruskan ketekunan belajar untuk menjadi seorang pakar bedah yang Berjaya. Selepas
berkhidmat dalam bidang itu di sebuah hospital kerajaan akhirnya selepas beberapa tahun Raiha
mengambil keputusan menerima pelawaan untuk bekerja di Pusat Rawatan Pantai Kasih.
PENGAJARAN
1. Kita hendaklah mempunyai matlamat hidup.
Untuk Berjaya seseorang mesti ada matlamat hidup. Raiha Berjaya menjadi seorang pakar bedah
setelah belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Walaupun cita-cita Raiha untuk menjadi pakar
bedah tidak direstui tetapi dengan matlamat hidup yang jelas, cita-cita Raiha akhirnya Berjaya dikecapi.

2. Kita hendaklah menghormati hak orang lain


Setiap orang mempunyai hak. Hak orang lain perlu dihormati. Unong Siron berhak untuk mendapat
kesihatan baiknya semula, tetapi Pusat Rawatan Pantai Kasih telah menyebabkan wang insurans
akibat kemalangan jalan raya anaknya itu dihabiskan untuk membayar kos enam kali pembedahan.
Pusat Rawatan Pantai Kasih tidak menghormati hak pesakitnya.
3. Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap perkara yang dilakukan
Apabila seseorang melakukan sesuatu perkara, dia seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya
terhadap apa-apa tindakan yang diambil. Doktor Sadiz tidak bertanggungjawab menyalahkan Raiha
atas kematian anak perempuannya. Dia merahsiakan perkara sebenar yang berlaku dan menghukum
Raiha atas peristiwa hitam itu.
4. Kita hendaklah prihatin terhadap orang lain.
Kesukaran yang dihadapi oleh golongan pertengahan terutama melunaskan bayaran pembiayaan
perubatan haruslah diberikan perhatian. Bukan semua orang mampu untuk membayar sejumlah wang
apatah lagi telah dijanjikan untuk menerima rawatan yang terbaik. Ibu Unong Siron berusaha dan tidak
lokek untuk membelanjakan wang insurans anaknya demi melihat anaknya kembali lincah dan sihat
seperti anak orang lain.
5. Kita hendaklah tekun belajar untuk menjamin masa depan yang lebih cerah.
Ketekunan seseorang akan membuahkan hasil pada masa hadapan. Raiha tekun belajar untuk
mencapai cita-citanya sebagai pakar bedah seperti ayahnya juga. Walaupun ditentang oleh ayahnya,
Raiha mempunyai matlamat hidup dan belajar dengan tekun hingga cita-citanya sebagai pakar bedah
tercapai juga.
7. Kita hendaklah tabah menghadapi kesukaran hidup.
Raiha tabah menghadapi dugaan dan kesukaran hidup. Walaupun ditentang oleh ayahnya, Raiha tetap
tabah dan belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya dia menjadi pakar bedah di Pusat Rawatan Pantai
kasih. Raiha juga dimarahi oleh Doktor Sadiz kerana tidak mahu menggugurkan anak cacat yang
dikandunginya sering menjadi bahan kemarahan Doktor Sadiz. Kematian anak perempuannya iaitu
Rohayu memberikan tamparan yang besar kepada Raiha, namun dia tabah menghadapi semuanya itu
walaupun mendapat cemuhan dan tentangan daripada suaminya Doktor Sadiz.

Anda mungkin juga menyukai