Anda di halaman 1dari 10

1

PERCERAIAN DALAM KALANGAN PASANGAN MUDA ISLAM:


SEKITAR TAHUN 2005-2010 DI MUKIM KAJANG,
DAERAH HULU LANGAT SELANGOR

Oleh:
Noor Shaffarina Rashid
Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan
( Antropologi Dan Sosiologi )

ABSTRAK
Kajian ini menyelidik dan menghuraikan sebab-sebab berlakunya perceraian atau
keruntuhan rumah tangga dalam kalangan orang muda yang semakin meningkat kerana orang
muda sering dianggap sebagai tidak matang, ekonomi belum stabil, tidak memahami makna
sebenar perkahwinan serta kurang bijak dalam menangani masalah rumahtangga yang dibina.
Punca perceraian di kalangan orang muda yang semakin meningkat, jika tidak dibendung
nescaya akan menjadi “trend” kepada golongan muda, sehingga ianya akan menjadi penyebab
kepada masalah-masalah sosial lainnya. Kajian ini juga melihat apakah bentuk-bentuk konflik
yang dihadapi sehingga terjadinya perceraian, apakah ia berpunca dari faktor ekonomi atau
faktor kematangan dan apakah usaha atau tindakan yang telah mereka ambil dalam rangka untuk
mempertahankan rumah tangga mereka dari musnah di pertengahan jalan. Bahan dan maklumat
untuk kajian ini dikumpul melalui pemerhatian dan wawancara mendalam dengan informan
yang terdiri daripada 10 orang wanita muda yang telah bercerai. Selain itu pemerhatian dari
galeri awam yang dijalankan di mahkamah banyak membantu melengkapkan maklumat rasmi
dari jabatan agama yang digunakan untuk menjadi pelengkap kepada bahan yang diperoleh dari
informan.Penemuan kajian ini memberi gambaran bahawa keruntuhan rumahtangga pasangan
muda adalah berpunca dari kekurangan faktor asas dalam mentadbir sesebuah rumah tangga
seperti kestabilan ekonomi dan kematangan fikiran pasangan muda yang belum memahami
makna sebenar perkahwinan.Selain itu pemahaman pada prinsip agama, perbezaan latar belakang
agama juga boleh menjadi konflik yang membawa kepada perceraian.Secara keseluruhannya,
kajian ini menunjukkan bahawa perceraian orang muda yang semakin meningkat adalah kerana
mereka tidak dapat menyelesaikan konflik yang berlaku dalam rumah tangga mereka seawal
mungkin. Mereka juga tidak jelas apa sebenarnya makna perkahwinan dan usaha
mempertahankan rumah tangga mereka daripada musnah hanyalah secara sepihak dan tidak
mendapat kerjasama yang baik dari pasangan. Perceraian di kalangan orang muda akan terus
meningkat jika perkahwinan dilaksanakan ketika mereka belum memahami pentingnya
kestabilan ekonomi, kematangan fikiran dan pengertian perkahwinan itu sendiri.

PENDAHULUAN

1.1 LATAR BELAKANG MASALAH

Setiap orang yang mendirikan rumah tangga sudah tentu mengharapkan rumah tangga yang
dibina mereka itu kekal hingga ke hujung nyawa kerana secara logiknya tidak ada yang
2

berkahwin atas niat mahu bercerai atau berpisah. Namun untuk mengekalkan sebuah mahligai
perkahwinan pada zaman serba canggih dan moden ini bukanlah perkara yang mudah. Ianya
merupakan satu cabaran yang cukup besar dan kuat.Walaupun ramai pasangan berkahwin yang
hidup bahagia setelah berumah tangga namun tidak kurang juga yang rumah tangga mereka
berdepan dengan krisis sehingga akhirnya perkahwinan mereka kecundang atau gagal di tengah
jalan.

Perhatian serius perlu diberikan kepada data-data perceraian yang semakin meningkat, ini
dibuktikan dalam perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
yang mencatatkan kes perceraian sebanyak 80,564 dari tahun 2005 hingga 2008 berbanding
491,470 perkahwinan yang didaftarkan. Malah setiap tahun graf perceraian menunjukkan
peningkatan iaitu daripada 17,749 pada 2005 kepada 19,475 (2006) iaitu peningkatan 10%,
21,051 (2007) peningkatan 8% dari tahun sebelumnya, dan 22,289 (2008) dengan peningkatan
6% dari tahun 2007 . Aliran yang sama juga diperlihatkan pada 2009 apabila mencatatkan 27,116
perceraian berbanding 135,136 perkahwinan yang didaftarkan.

Perkembangan ini dilihat sememangnya cukup membimbangkan kerana ia mencerminkan


keadaan institusi kekeluargaan di negara ini yang kelihatan semakin rapuh dari masa ke masa.
Lebih membimbangkan apabila kumpulan usia terbesar mereka yang bercerai dari sehari ke
sehari adalah terdiri daripada golongan yang berusia masih muda. Kenyataan ini telah
dikeluarkan oleh Othman Mustapha dalam artikel Utusan Malaysia pada 1 Disember 2010
(http://www.utusan.com.my/utusan /info/ 1 December 2010).

Othman Mustapha juga mengatakan, peningkatan kes perceraian setiap tahun adalah
dalam kalangan golongan orang muda yang berusia antara lingkungan umur 35 dan angka usia
tersebut semakin rendah dari semasa ke semasa. Ramai pasangan muda yang baru berkahwin
memfailkan perceraian mereka dengan pelbagai alasan.Usia yang muda dan mentah turut
mempengaruhi mereka dalam membuat keputusan mengenai masalah rumahtangga mereka. Usia
mereka yang masih muda juga menjadikan mereka tidak sanggup untuk berdepan dengan
masalah sehinggakan sanggup menyelesaikan masalah dengan memfailkan perceraian, sama ada
mereka sanggup meminta cerai atau diceraikan. Hakikatnya usia perkahwinan tersebut masih
terlalu mentah menyebabkan mereka masih belum mengenali pasangan mereka secara khusus
atau mendalam. Keadaan itu juga menyebabkan mereka dengan mudah mengambil keputusan
untuk membubarkan perkahwinan mereka apabila mereka merasakan sudah tidak mampu untuk
berdepan dengan masalah rumah tangga (Othman Mustapha 2010).

Kajian yang dijalankan oleh pihak JAKIM pada 2007 mendapati 32.2 peratus
perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Bagi tempoh tahun ke
enam hingga tahun ke 10 pula sebanyak 27.7 peratus yang bercerai.Keadaan ini membuktikan
dalam tempoh 10 tahun pertama adalah paling kritikal kerana 59.9 peratus perkahwinan yang
berakhir dengan perceraian.Hasil kajian yang dijalankan juga mendapati perkahwinan dalam
tempoh 10 tahun pertama amat terdedah kepada keruntuhan atau perceraian sekiranya tidak ada
kesabaran dalam sebuah rumah tangga yang dibina. Dalam tempoh berkenaan, perkahwinan akan
menghadapi cabaran yang hebat dan rumahtangga mudah goyang sehingga boleh berlaku
perceraian jika tidak pasangan tidak bijak dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah atau
konflik yang berlaku dalam rumah tangga (JAKIM 2007).
3

Statistik tersebut juga membuktikan secara purata 77 kes perceraian berlaku dalam sehari
atau sekurang-kurangnya tiga kes bagi setiap jam telah didaftarkan di Malaysia (http ://
www.harian-metro-online.com/77-kes-cerai-setiap-hari/19 Oktober 2010).

1.2 SOROTAN KARYA

Dapat dirumuskan bahawa perceraian berlaku adalah disebabkan terdapatnya konflik dalam
sesebuah rumah tangga.Konflik dalam rumah tangga ada kalanya tidak dapat di kawal, maka
hasilnya adalah seperti mana yang sering dikatakan iaitu menyelesaikan konflik dengan
perceraian. Perceraian pula adalah satu perkara biasa pada masa kini dan ia boleh kita lihat dan
didengar di mana-mana masyarakat Barat mahupun Timur melalui media massa. Perceraian tidak
lagi dilihat sebagai sesuatu yang mesti dielakkan atau dihindari. Pada peringkat individu,
perceraian mungkin dianggap sebagai satu kegagalan mereka dalam rumah tangga dan telah
mencerminkan kelemahan diri mereka dalam mempertahankan rumah tangga mereka, namun
dari sudut lain pula perceraian mungkin dianggap sebagai jalan penyelesaian kepada masalah
rumah tangga yang sudah tidak mampu untuk mereka selamatkan lagi dan dengan cara bercerai
mereka boleh merancang kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Perceraian juga boleh terjadi disebabkan oleh faktor faktor seperti perbezaan pemahaman
tentang agama Islam sehingga wujudnya perbezaan bentuk cara sosialisasi dalam hubungan
keluarga, faktor kematangan yang membawa kepada tindakan tindakan dalam mengendalikan
hubungan rumahtangga, komunikasi yang tidak telus serta kurangnya komunikasi, serta faktor
ekonomi yang mengakibatkan wujudnya masalah masalah lain seperti kos sara hidup yang
akhirnya akan menjadikan konflik dalam rumah tangga menjadi lebih besar.

Pada kajian lepas yang telah dibincangkan mampu dijadikan panduan kepada kajian ini
kerana perbezaan antara kajian lepas dengan kajian ini adalah berdasarkan fokus kajian kerana
kajian lepas lebih fokus kepada perceraian secara umum dan tidak spesifik kepada golongan
muda sebagaimana kajian ini dilakukan.

1.3 KAEDAH PENYELIDIKAN

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Pendekatan kualitatif adalah satu proses
penyelidikan yang akan menghasilkan data gambaran yang boleh diamati (Moleong 1994)
manakala strategi penyelidikan dalam kajian ini adalah dengan menggunakan unit analisis
individu bagi mendapatkan jawapan informan secara bervariasi bagi memperkaya data.

Penyelidikan kualitatif mula digunakan dalam bidang sains sosial pada akhir tahun
1960an. Ahli-ahli Antropologi dan Sosiologi merujuk kepada penyelidikan kualitatif sebagai
penyelidikan lapangan (field research). Penyelidikan kualitatif biasanya melibatkan “setting”
yang natural sebagai sumber data yang utama dan penyelidikan adalah alat kajian (instrumen)
yang utama penyelidik kualitatif akan tinggal berapa lama di lapangan yang sebenar dengan
membawa peralatan kajian seperti nota catatan, pen, pensel, alat rakaman sama ada audio atau
4

video. Data atau maklumat akan direkodkan secara mentah oleh penyelidikan yang juga adalah
alat utama kajian kualitatif. Penyelidikan perlu melakukan lawatan, pemerhatian dan temu bual
serta terlibat secara langsung dalam kehidupan subjek kajian (Rohana Yusof 2004).

KESIMPULAN
Perceraian dalam kalangan orang muda semakin meningkat saban tahun berdasarkan usia paling
muda yang bercerai dari tahun ke tahun, umur perceraian antara 35 tahun dan ke bawah dan
angka tersebut semakin rendah dari semasa ke semasa. Ramai pasangan muda yang baru
berkahwin memfailkan perceraian atau mengambil keputusan untuk bercerai dengan pelbagai
alasan.Usia mereka yang masih muda dan mentah turut mempengaruhi mereka dalam membuat
keputusan dalam rumah tangga mereka.

Berdasarkan kajian dapatlah diambil kesimpulan bahawa konflik yang membawa kepada
perceraian dikalangan pasangan muda sangat mudah terjadi kerana cara mereka melihat makna
perkahwinan itu sendiri sangat mudah, jelas sekali tergambar mereka lebih cenderung untuk
melihat perkahwinan sebagai sebuah hubungan sosial yang menemukan dan mempersatukan
mereka bagi melahirkan rasa cinta. Kebanyakan informan melihat perkahwinan sebagai hanya
sebuah hubungan yang mengesahkan hubungan mereka dan tidak ramai yang melihat makna
perkahwinan dari sudut agama yakni bersatu dalam suatu ikatan yang suci kerana tuntutan
agama. Justeru kerana perkahwinan itu didasari oleh sebuah hubungan manusia sahaja maka
akan mudahnya terjadi konflik atau rapuhnya rumah tangga mereka berbanding jika mereka
melihat makna perkahwinan dari sudut agama Islam itu sendiri.

Pelbagai usaha dijalankan oleh pasangan muda yang mengalami konflik dalam rangka
menyelamatkan dan mempertahankan rumah tangga mereka dari runtuh, antara usaha-usaha
yang dilakukan ialah meminta bantuan pihak ketiga iaitu Bahagian Kaunselling Jabatan Agama
Islam Negeri Selangor atau JAIS. Di peringkat ini mereka akan mendapat bimbingan dan
penyelesaian masalah dari pihak terbabit, namun biasanya usaha ini mengalami jalan buntu
kerana tidak semua pasangan mereka memberikan kerjasama untuk hadir ke sesi kaunseling yang
disediakan oleh pihak JAIS.

Selain dari usaha mendapatkan bimbingan kaunseling dan penyelesaian dari pihak JAIS,
mereka juga berusaha mendapatkan bantuan nasihat dari pihak ketiga yang lain iaitu pihak
keluarga terdekat, namun biasanya apabila konlik yang melanda berada dalam situasi yang
tegang, usaha seperti ini juga menemui jalan buntu. Usaha mempertahankan ini dilihat upaya
pihak yang terlibat untuk menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, namun kerana usaha
yang bersungguh sungguh dari satu pihak sahaja dan tidak mendapat kerjasama dari pihak suami
maka ia menjadi hambar dan tidak menemui titik penyelesaian yang akhirnya terpaksa selesaikan
dengan perceraian.

Berdasarkan kajian, jelas terlihat bahawa faktor ekonomi menjadi penyumbang utama ke
arah terjadinya konflik yang membawa kepada perceraian. Yang dimaksud dengan faktor
ekonomi disini adalah apabila pasangan muda tersebut melaksanakan pernikahan pada usia
muda, tetapi pada saat itu mereka belum memiliki pendapatan tetap yang stabil sehingga dengan
situasi tersebut mereka terpaksa meminta bantuan dari ibubapa, terutama dari ibu bapa pihak
5

suami. Akibatnya pendapatan rumah tangga mereka menjadi terhad kerana berapalah sangat
wang yang boleh diberikan oleh ibu bapa mereka dan ini melahirkan ketidakpuasan di hati isteri
kerana suami masih meminta wang dari ibu bapa, suami yang malas bekerja dan tidak mampu
memberi nafkah merupakan sebab-sebab berlaku pertengkaran, mereka tidak dapat memiliki
keperluan asas sebebasnya.

Dengan terjejasnya pendapatan keluarga, sumber kewangan keluarga adalah perkara asas
dalam rumahtangga, jika suami masih bergantung pada ibu bapa untuk mendapatkan wang
perbelanjaan maka bagaimana pula rupabentuk perkahwinan itu, bukankah sebagai pasangan
suami isteri mereka seharusnya berdikari mendirikan rumah tangga sendiri. Faktor ekonomi ini
merupakan asas yang mencetuskan konflik dalam rumah tangga.

Masalah kewangan yang melanda rumah tangga pasangan muda sering terjadi kerana
mereka bernikah di awal usia remaja sehingga mereka tidak sempat untuk merasakan pendidikan
tinggi dan akhirnya mereka tidak mampu untuk mendapat pekerja yang menjanjikan pulangan
yang lumayan, dengan sijil SPM mereka hanya mendapat pendapatan kecil, dan dengan
pendapatan kecil ini mereka tidaklah dapat hidup secara mewah lantaran mereka tidak
mempunyai pekerjaan tetap.

Faktor ekonomi ini merebak kepada masalah lain yang sering kali mengganggu rumah
tangga, keperluan asas rumah tangga yang tidak terjaga sepenuhnya seperti makan, pakai anak
dan isteri, bayaran-bayaran persekolahan anak-anak dan keperluan lain. Hal ini menjadi sebuah
hakikat bahawa perkahwinan golongan muda sangat rapuh dari segi kewangan yang hanya akan
membawa kepada keruntuhan rumah tangga.

Selain dari faktor ekonomi, dari kajian ini juga didapati bahawa aspek kematangan
pasangan itu sendiri yang menjadi faktor pendorong ke arah perceraian. Pasangan suami isteri
yang mempunyai latar belakang pengetahuan agama yang berbeza dapat menjadi penyebab
berlakunya konflik, hal ini terjadi apabila suami tidak memahami tanggungjawab dan
peranannya dalam keluarga berdasarkan prinsip agama Islam, apabila latar belakang keluarga
suami yang tidak terlalu faham dalam pelaksanaan ibadah, tidak mendalami hukum hakam akan
menyebabkan terjadi percanggahan dalam kehidupan berumah tangga, beberapa contoh kejadian
seperti suami asyik berjudi dan tidak menunaikan solat lima waktu merupakan contoh contoh
yang biasanya mengundang konflik dalam keluarga. Hal seperti ini menjadi lebih parah lagi
bilamana kedua dua suami isteri masing masing langsung tidak memahami tentang agama Islam.

Selain itu ketidakmatangan pasangan muda akan melahirkan suasana cepat marah, tidak
memikirkan masa depan rumah tangga, cepat merajuk keluar dari rumah merupakan fenomena
yang dihadapi oleh para informan kajian ini, cukup untuk membuktikan bahawa faktor
kemantangan berkait rapat dengan usia muda yang menjejaskan cara bertindakbalas dalam
perkahwinan. Masalah seperti suami malas bekerja, suami yang malas bekerja kerana memang ia
seorang yang malas dan hanya mahu hidup selesa tanpa mengeluarkan peluh dan sedikit pun
tidak merasa bersalah memperalatkan isterinya bekerja. Ini adalah masalah serius kerana pada
akhirnya demi kepentingan rumahtanggan dan anak anak, para isteri terpaksa memikul beban
supaya keperluan keluarga dapat diatasi, biasanya diskusi dan perbincangan dengan suami akan
menjadi sia-sia sehinggalah isteri akan mengambil sikap berdiam lebih baik dari bertengkar yang
6

mana keadaan ini akan menjadikan komunikasi suami isteri menjadi tidak telus dan lama-
kelamaan ia akan menjadi sebab besar konflik rumah tangga.

Sikap suami yang suka memukul, sikap panas baran ini adalah gambaran sebenar
persepsi seorang suami terhadap makna perkahwinan. Selain itu sikap suami yang gemar
mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain menampakkan bahawa suami sebenarnya tidak
mempunyai hubungan komunikasi yang jelas dengan isteri. Hal ini kerana sesebuah rumah
tangga yang hendak didirikan seharusnya pasangan itu sudah jelas tentang peranan mereka dalam
rumah tangga itu sendiri. Hal ini bermula dengan cara mereka melihat makna perkahwinan, jika
makna perkahwinan itu jelas maka semua faktor faktor berikutnya sangat mudah mereka
selesaikan kerana awalnya mereka bernikah atas tujuan apa.

Faktor kematangan ini bermula apabila tiadanya persediaan sebelum berkahwin dengan
ilmu rumah tangga dan mereka tidak mendalami ilmu agama sebanyak yang mungkin. Mereka
tidak memahami cara mengurus rumah tangga, mereka hanya tahu rumah tangga hanyalah
memberi makan, pakai dan keperluan seks semata-mata tetapi mereka perlu ada ilmu dari segi
jiwa dan minda supaya ikatan perkahwinan dapat di jaga sebaiknya. Sebab itu apabila mereka
tiba tiba dikurniakan anak, maka pasangan ini seolah olah tidak tahu bagaimana mengendalikan
hal tersebut. Suami yang dikatakan belum bersedia menerima kehadiran anak akan menjadikan
alasan untuk lari dari masalah. Jelas kelihatan mereka belum matang untuk mendirikan rumah
tangga.

Tahap kematangan yang rendah dikalangan pasangan muda yakni mereka tidak
mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam berdepan masalah rumah tangga kerana mereka
sering terburu-buru membuat keputusan yang akan merugikan diri mereka sendiri sehingga
mereka sering menggunakan cara yang tidak betul dan berhemah apabila berkomunikasi
terutama dalam menegur pasangan masing masing, antara sikap tersebut adalah seperti sikap
panas baran,, mudahnya memukul isteri dan mencaci maki isteri dengan kata kata kesat
merupakan aktualisasi dari kematangan yang rendah. Perasaan marah yang tidak dibendung
tersebut atau diuruskan dengan baik telah menghilangkan rasa kasih pasangan tersebut, malah
telah menambah rasa takut dan benci kepada suami, hilangnya rasa kasih ini akan menjadikan
mereka ingin cepat menyelesaikannya dengan cara bercerai.

Pasangan suami isteri yang tidak berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain dalam
hubungan rumah tangga sentiasa berada dalam situasi yang tidak selesa, komunikasi dalam
rumah tangga melibatkan pertukaran maklumat dan respon yang baik antara pasangan, jika
suami panas baran, bersikap kasar dan komunikasi berlangsung dalam perbualan yang
menyakitkan hati sudah tentu ia akan mencetuskan konflik. Perbezaan pendapat dan prinsip juga
termasuk dalam masalah komunikasi yang mana pasangan tersebut tidak menjelaskan dengan
keadaan sebenar dan tidak mahu memahami kehendak atau masalah pasangan, situasi ini akan
bertambah parah apabila suami mula menjalin hubungan dengan pihak ketiga.

Sejauh mana mereka melihat makna perceraian maka sejauh itu pula usaha mereka untuk
menghalang perceraian.Hasil dari kajian ini didapati umumnya mereka melihat perceraian
sebagai suatu keadaan perpisahan apabila pasangan tidak lagi mempunyai persefahaman dan
menganggap perceraian itu adalah satu kebebasan dan kelegaan buat mereka. Bebas daripada
7

masalah yang menyakitkan hati dan kepala, bebas daripada berdepan dengan lelaki yang tidak
tahu apa erti tanggungjawab dalam rumah tangga.

Secara umumnya para informan menganggap perceraian bermaksud perpisahan di antara


seorang suami dengan isteri yang diiktiraf oleh undang-undang serta membolehkan terlepas dari
ikatan. Bebas daripada masalah yang menyakitkan hati dan kepala, bebas daripada berdepan
dengan lelaki yang tidak tahu apa erti tanggungjawab dalam rumah tangga. Mereka merasa lebih
tenang dan aman setelah bercerai kerana hidup dengan lelaki yang bermasalah adalah masalah
bagi mereka sekaligus menunjukkan bahawa perkahwinannya bukanlah sesuatu yang
menyeronokkan.

Perceraian juga dilihat sebagai peristiwa kesakitan, penderitaan, kepahitan dan kelukaan.
Perceraian adalah satu yang menyakitkan dan memerlukan ketabahan yang sangat tinggi. Mereka
mengatakan apabila berlakunya perceraian, kesalahan sering dikatakan berpunca daripada isteri
dan apabila itu terjadi mereka memerlukan kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi.
Perceraian juga dianggap sesuatu yang pedih, perit serta kecewa apabila impian untuk memiliki
keluarga yang aman bahagia musnah begitu sahaja dan hal ini juga dilihat sebagai sebuah
peluang untuk bebas, umpama satu peluang untuk mereka perbaiki diri masing-masing dan
memulakan kehidupan yang baru bersama orang baru.

Berdasarkan huraian di atas, makna perceraian bagi orang muda adalah hanya sebatas
berakhirnya sebuah hubungan perkahwinan manusia, putusnya hubungan antara suami
isteri.Makna yang cukup mudah inilah yang menyebabkan mereka tidak ragu ragu untuk takut
dari bercerai atau dengan mudahnya menerima perceraian.

Perceraian yang semakin meningkat adalah kerana mereka tidak dapat menyelesaikan
konflik yang berlaku dalam rumah tangga mereka seawal yang mungkin. Mereka juga tidak jelas
apa sebenarnya makna perkahwinan dan usaha mempertahankan rumah tangga mereka daripada
musnah hanyalah secara sepihak dan tidak mendapat kerjasama yang baik dari pasangan.

Walau perceraian itu dibenarkan dalam Islam tetapi ia adalah perkara yang dibenci oleh
Allah. Namun jika masalah sudah tidak dapat diselesaikan lagi, perceraian adalah jalan yang
terbaik.Pasangan muda adalah dilihat sangat mudah mengambil jalan penyelesaian dengan
perceraian apabila rumah tangga mereka berdepan dengan konflik. Mereka tidak memikirkan apa
impak yang bakal terjadi jika mereka mudah-mudah mengambil keputusan untuk membubarkan
perkahwinan mereka. Seharusnya pasangan muda yang mahu mendirikan rumah tangga haruslah
lebih memahami apa makna perkahwinan, bersedia dalam berdepan dengan konflik-konflik yang
bakal di hadapi dalam rumah tangga dan ada usaha untuk mempertahankan rumah tangga
mereka.

Perceraian sememangnya banyak memberi impak atau kesan kepada pasangan itu sendiri
dan juga institusi kekeluargaan khususnya jika pasangan yang bercerai itu sudah mempunyai
cahaya mata.Apabila satu perceraian berlaku, kesan utama adalah kepada anak-anak. Anak-anak
akan hilang kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa yang dahulunya dapat dirasai dalam
sebuah rumah. Mereka juga akan mengalami tekanan perasaan atau gangguan jiwa apabila
melihat rakan-rakan sebaya mempunyai ibu bapa yang lengkap dan perkara ini boleh
8

mengundang anak-anak berkelakuan negatif seperti contoh memberontak sehingga boleh


menjejaskan pembelajaran mereka.

Walau tidak dinafikan tidak ada siapa yang mahu rumah tangga mereka musnah di
pertengahan jalan namun jika dalam rumah tangga itu terdapat eleman-eleman penting seperti
tolak ansur dan komunikasi yang baik, pasti perceraian dapat dielakkan terjadi dalam rumah
tangga yang telah dibina. Tolak ansur, saling memahami antara satu sama lain, saling menerima
baik buruk pasangan dan mempunyai komunikasi yang baik sesama pasangan adalah kunci
kepada sebuah kebahagiaan dalam rumah tangga.

Setiap pasangan yang telah mendirikan rumah tangga haruslah mempunyai matlamat
untuk mewujudkan rumah tangga yang kekal bahagia hingga ke akhir hayat.Perlu bersedia dari
awal sebelum berkahwin dengan ilmu rumah tangga dan harus mendalami ilmu agama sebanyak
yang mungkin.Ilmu rumah tangga bukan sekadar hanya memberi makan, pakai dan keperluan
seks semata-mata tetapi perlu ada ilmu dari segi jiwa dan minda supaya ikatan perkahwinan
dapat di jaga sebaiknya. Pasangan suami isteri juga haruslah berfikir menggunakan akal yang
waras dan perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam berdepan masalah rumah tangga
agar tidak terburu-buru membuat keputusan yang akan merugikan diri sendiri. Jika kita
mempunyai sikap malas dan baran sebelum berkahwin, kita harus mencuba untuk mengikis sikap
negatif itu demi mendapatkan sebuah rumah tangga yang harmoni dan bahagia. Hidup sebagai
suami isteri haruslah mempunyai sifat kasih sayang dan saling menerima baik buruk pasangan
dan jika pasangan mempunyai perangai yang kurang baik, gunakanlah cara yang betul dan
berhemah untuk menegur pasangan demi kebaikan bersama.

KESIMPULAN

Perceraian bukanlah satu amalan yang baik kerana Islam sendiri tidak menggalakkan perceraian
itu berlaku kerana implikasi kepada perceraian itu sangat besar. Perceraian juga bukanlah satu
penyelesaian yang betul dan tepat dalam menyelesaikan kemelut rumah tangga bahkan
perceraian akan mengundang lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Sebagai seorang yang
beragama Islam amnya dan sebagai sebuah negara Islam khasnya, masalah perceraian ini
sebenarnya tidak harus meningkat dari hari demi hari, tahun demi tahun kerana Islam itu sendiri
telah menggariskan panduan untuk membina sebuah keluarga yang bahagia lantas melahirkan
umat Islam yang berkualiti melalui institusi kekeluargaan dan bukannya melahirkan umat Islam
yang runtuh akhlaknya akibat kesan perceraian yang terjadi.
9

RUJUKAN

Azhar Muhammad & Kamarul Azmi. 2006. Krisis dan Konflik Institusi Keluarga. Kuala
Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.
Azman Ahmad Aziz. 1981. Pola-pola perceraian: faktor-faktor sosial yang mempengaruhinya :
Satu kajian kes ke atas Masyarakat Melayu Di Daerah Teluk Anson, Perak. Latihan Ilmiah,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bailey, K. D. 1984. Kaedah Penyelidikan Sosial. Terj. Hashim Awang. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Boestamam Ahmad & Farah Safura Muhammad. 2011. Dari Fail Mahkamah Syariah. Kuala
Lumpur : Inteam Publishing Sdn Bhd.
Broderick, C. 1984. Marriage And The Family. Edisi Kedua. New York: Prentice Hall.
Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Ruju’. t. th. Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Che Hashim Mat Said. 2006. Krisis dan Konflik Institusi Keluarga. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.
Daly, P. 1994. Hukum Perkahwinan Islam. Kuala Lumpur: Thinker’s Library Sdn Bhd.
Fairul Akma Yasin. 2006. Perceraian di Kalangan Orang Melayu di Seremban. Latihan Ilmiah,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Firth, R. 1966. Housekeeping Among Malay Peasants. New York: The Free Press.
Fuad Hj.Sam. 2011. Kahwin Pada Usia Muda. Shah Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd.
Hasrizal Abdul Halim. 2012. Aku Terima Nikahnya. Kuala Lumpur: Galeri Ilmu Sdn Bhd.
Lamanna, M. A, & Agnes, R. 2012. Marriages, Families & Relationships: Making Choice in a
Diverse Society. Eleven Edition. Australia: Wadsworth Cenage Learning.
Mohd Aris Haji Othman. 1989. Pengenalan Pengajian Bandar. Kuala Lumpur. Fajar Bakti Sdn
Bhd.
Mohd Nor Jusoh. 2011. Panduan Perkahwinan. Kuala Lumpur. Sarjana Media Sdn. Bhd.
10

Moleong, L.J. 1994. Metodologi Penelitian Kualitatif. Bandung. PT Remaja Rosdakarya.


Nasoha Saabin. 2000. Mengendali Urusan Suami Isteri.Kuala Lumpur. PTS Publication Sdn
Bhd.
Nik Noraini Nik Badli Shah. 1998. Perkahwinan dan Perceraian. Petaling Jaya. Golden Books
Centre Sdn Bhd.
Olson, D. H., & DeFrain, J. 2006. Marriages & Families: Intimacy, Diversity and Strenghths.
Fifth Edition. Boston: McGraw, Hill.
Othman Mustapha. 2010. Golongan muda paling ramai bercerai. Utusan
Malaysia.http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1201&pub=
Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm [12 Sept 2013].
Raihanah Abdullah. 2007. Permasalahan Rumah tangga: Kajian di Unit Undang-Undang
Keluarga Jabatan Agama Islam Petaling, Selangor.
http://myais.fsktm.um.edu.my/7557/1/permasalahan_rumah_tangga_kajian_di_unit_undangunda
ng_keluarga_jabatan_agama_islam_daerah_petaling_selangor.pdf [18 oct 2013]
Rojanah Kahar, Rumaya Juhari & Siti Nor Yaccob. 2002. Perceraian, Keluarga Induk Tunggal
Dan Perkahwinan Semula. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Rumaya Juhari. 2002. Pengantar perkahwinan dan Keluarga. Serdang: Universiti Putra
Malaysia.
Shahril Haji Marzuki. 2006. Institusi keluarga Menghadapi Cabaran Alaf Baru. Kuala Lumpur.
Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd.
Shuib Sulaiman. 2012. Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga. Shah Alam: Sheikh Publisher.
Zainab Ismail. 2004. Konflik Rumah Tangga Pasangan Yang Bermasalah di Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur. Dlm. Wan Ibrahim wan Ahmad, Asyraf Hj. Ab. Rahman & Fadzli
Adam. (pnyt.). Agama, Keluarga dan Masyarakat.
Zaleha Kamaruddin. 2001. Women And Divorce: Legal Response. Dlm. Zaleha Kamaruddin &
Zeenath Kausar. (pnyt.). Women’s Issues Women Perspectives. 2nd Edition.Petaling Jaya:
Ilmiah Publishers.
Zaleha Kamaruddin. 2010. Kajian Tentang Perceraian: Sebab-Sebab Dan Penyelesaiannya Di
Malaysia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Anda mungkin juga menyukai