Anda di halaman 1dari 6

TUGASAN 1: PENULISAN AKADEMIK

Huraikan satu kitaran sesebuah keluarga berdasarkan kefungsiannya dan


cadangkan langkah-langkah mengatasi cabaran keluarga tersebut berdasarkan
budaya di Malaysia.
1.0 Pengenalan

Keluarga disifatkan sebagai satu organisasi yang tersusun, memiliki ahli yang saling
bergantung antara satu sama lain serta dipandu oleh suatu set peraturan dan norma-norma
setempat. Keluarga adalah institusi yang paling asas dalam kehidupan individu dan menjadi
persekitaran pertama yang membentuk sahsiah individu. Pembentukan masyarakat yang
sejahtera perlu dimulakan dengan pembentukan institusi keluarga yang sihat melalui ikatan
kekeluargaan yang utuh. Dengan itu, keluarga telah memainkan peranan penting dalam
membangunkan kesejahteraan, pengasuhan dan pendidikan dasar kepada anggota-anggota
keluarga. Namun begitu, pembangunan yang pesat masa kini sedikit sebanyak telah
mencorakkan perubahan ke atas kehidupan sesebuah keluarga. Perubahan itu mungkin
berbentuk positif dan juga berbentuk negatif yang akan menjejaskan keharmonian sesebuah
keluarga.

2.0 Kitaran Keluarga

Perkembangan keluarga biasanya dikonseptualisasikan dari perspektif kitaran kehidupan


keluarga. Kitaran kehidupan keluarga sering berubah-ubah mengikut peringkat, fasa dan kitaran
tertentu. Carter dan McGoldrick (1988) telah memperkenalkan enam peringkat kitaran kehidupan
keluarga yang lebih seiras keluarga asas pada masa ini. Peringkat-peringkat yang telah
digariskan dalam kitaran kehidupan keluarga tersebut ialah peringkat generasi muda yang belum
berkahwin dan ingin meninggalkan rumah, peringkat pasangan yang baru berkahwin, peringkat
keluarga dengan anak yang masih kecil, peringkat keluarga dengan anak remaja, peringkat
keluarga yang mempunyai anak dewasa dan peringkat yang terakhir iaitu keluarga yang lanjut
umur. Penyesuaian tugas dan perubahan mesti dicapai oleh setiap individu dalam keluarga pada
setiap peringkat kitaran kehidupan keluarga supaya dapat berkembang dan hidup dengan
harmonis serta dapat mengelakkan ketidakfungsian keluarga. Setiap peringkat kitaran kehidupan
keluarga akan mempunyai “peristiwa nod” atau peralihan yang boleh menghasilkan tekanan
kepada ahli keluarga. Menurut Gerson (1998), tekanan yang berlaku disebut sebagai symptom
iaitu petanda bahawa berlakunya lekatan dalam keluarga yang menyukarkan proses peralihan
yang seterusnya. Apabila lekatan berlaku, perkembangan diri ahli keluarga akan menjadi tidak
lancar dan akan wujudnya masalah dan krisis dalam keluarga.
1
Peringkat pertama iaitu peringkat generasi muda yang belum berkahwin dan ingin
meninggalkan rumah akan berlaku apabila individu itu meninggalkan rumah untuk mencari
keperluan sendiri sama ada melanjutkan pelajaran atau bekerja. Individu itu akan menjadi lebih
matang serta mewujudkan diri yang kental. Individu pada peringkat ini juga akan bermula mencari
pasangan untuk berkahwin. Ketika ini, individu perlu mengimbangkan antara tuntutan pelajaran,
kerjaya dengan perkahwinan. Mereka juga perlu mengimbangi di antara tuntutan cita-cita dan
keinginan diri untuk autonomi peribadi. Namun, terdapat juga ramai generasi muda enggan
berkahwin dan ingin terus hidup membujang. Hal ini kerana mereka rasa kehidupan membujang
boleh mendapat keselesaan dan kebahagiaan serta dapat mengelakkan daripada tertekan dalam
membina keluarga sendiri. Seterusnya, peringkat yang kedua ialah peringkat pasangan yang
baru berkahwin di mana pasangan akan berkahwin melalui perkenalan serta mempunyai
keserasian antara satu sama lain. Pasangan akan berasa selesa dan selamat sekiranya mereka
mempunyai tahap perkembangan yang hampir serupa. Pada peringkat ketiga iaitu peringkat
keluarga dengan anak yang masih kecil, kehadiran cahaya mata dalam keluarga akan membawa
kesan dalam kehidupan pasangan. Kesan tersebut merangkumi gaya kehidupan telah berubah,
hubungan perkahwinan serta tekanan untuk menerima peranan sebagai ibu bapa. Hal ini
demikian pasangan sebagai ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan
menguruskan hal anak. Ini mungkin akan menjadikan keluarga tidak seimbang buat sementara
waktu.

Peringkat yang seterusnya adalah peringkat keluarga dengan anak remaja. Pada masa
ini, ibu bapa perlu menangani tugas seperti menjaga diri mereka, perhubungan suami isteri, anak
remaja dan kadang kala perlu menjaga ibu bapa yang berusia tua. Oleh itu, peringkat ini boleh
dikatakan sangat mencabar bagi ibu bapa dalam melaksanakan tanggungjawab. Peringkat
keenaman ialah keluarga yang mempunyai anak dewasa di mana anak-anak mula meninggalkan
ibu bapa kerana berkahwin, melanjutkan pelajaran atau bekerja. Disebabkan telah dibebaskan
daripada tanggungjawab penjagaan anak, pasangan itu dapat saling memahami dan
bersendirian dengan pasangan. Seterusnya akan beralih ke peringkat yang terakhir iaitu
peringkat keluarga yang lanjut umur. Biasanya, pasangan berumur 65 tahun ke atas yang
memang sudah bersara atau masih dalam tahun-tahun akhir kerjaya mereka. Pasangan akan
mengalami penurunan tahap fizikal dan peningkatan tahap pergantungan. Dengan itu, pasangan
itu akan mengalami beberapa kebimbingan.

2
3.0 Peringkat Keluarga dengan Anak Remaja serta Cabarannya

Konflik kerap berlaku pada peringkat ini dan ibu bapa atau pasangan akan berada dalam
keadaan tersepit dan diselubungi oleh pelbagai cabaran yang rumit. Salah satu cabaran adalah
perhubungan antara suami isteri. Mereka mungkin akan membina jurang yang juah sehingga
sukar untuk mewujudkan perhubungan yang mesra antara satu sama lain seperti pada peringkat
perkahwinan dahulu. Hal ini merupakan faktor utama yang menyumbang kepada perceraian
berlaku pada satu pasangan. Ini juga disokong oleh Amato dan Previti (2003) yang telah
mendapati bahawa faktor utama berlakunya perceraian adalah disebabkan oleh tiada keserasian
dalam perhubungan, penyalahgunaan dadah, perbezaan jarak antara pasangan, kurangnya
komunikasi dan juga masalah personaliti. Bukan itu sahaja, perselisihan dan ketidaksefahaman
yang selalu berlaku antara suami dan isteri menjadi salah satu sebab berlakunya pertengkaran
dan pergaduhan. Jika keadaan ini sudah tidak dapat dikawal, keputusan untuk menjatuhkan talak
adalah tindakan yang diambil bagi memberi ketenangan dan kedamaian hati bagi kedua-dua
pihak iaitu bercerai. Hasil dapatan kajian Zainab Ismail et al. (2011) juga mendapati faktor utama
yang mendorong suami isteri untuk bercerai adalah disebabkan oleh konflik dengan pasangan
dan ditinggalkan pasangan. Ini telah menunjukkan bahawa pasangan yang kerap berprasangka
buruk dan tidak memahami, menolak dan bersifat angkuh akan menyebabkan pasangan tersebut
berasa kecewa dalam kehidupan dan akhirnya berlakunya perceraian yang boleh memberi kesan
negatif kepada anak remaja dari segi emosi, tingkah laku dan juga fizikal.

Cabaran yang seterusnya adalah sesetengah ibu bapa akan berhadapan dengan anak
remaja yang mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya. Berdasarkan hasil kajian yang dijalankan
oleh Rozmi Ismail et al. (2017), menunjukkan rakan sebaya merupakan pendorong utama kepada
berlakunya aktiviti-aktiviti yang tidak sihat dalam kalangan remaja. Mereka juga berpendapat
remaja mudah menerima ajakan daripada rakan-rakan kerana mereka percaya apa yang
dilakukan oleh mereka adalah betul dan boleh mendatangkan keseronokan. Remaja yang
berumur 14 hingga 18 tahun menunjukkan permulaan pergantungan mereka terhadap rakan
sebaya. Disebabkan oleh peringkat remaja sering dikaitkan dengan tahap storm and stress iaitu
satu tahap di mana remaja mudah berasa kecewa dan ketidakstabilan emosi, mereka rasa rakan
sebaya adalah orang yang paling memahami perasaan mereka. Hal ini menyebabkan remaja
mudah melibatkan dalam tingkah laku devian yang merupakan tingkah laku yang melanggar
norma-norma masyarakat tertentu (Azizi Yahaya et al., 2005). Pemilihan dan penetapan identiti
diri dengan kekeliruan emosi telah berpindah daripada ibu bapa kepada rakan sebaya. Ini akan
menyebabkan konflik akan wujud antara ibu bapa dengan anak remaja dalam hal untuk
menentukan batasan kebebasan anak remaja dan dalam proses membuat keputusan (Lily
3
Mastura Harun & Ramlan Hamzah, 2007). Dengan itu, anak remaja akan merasakan ibu bapa
tidak memahami perasaan mereka sehingga perhubungan ibu bapa dan anak remaja semakin
jauh jurangnya.

4.0 Cadangan Langkah-langkah Penyelesaian Cabaran

Berdasarkan cabaran-cabaran yang akan berlaku pada peringkat keluarga dengan anak
remaja, terdapat cadangan langkah-langkah untuk menyelesaikannya. Antara langkah-langkah
tersebut termasuklah menerima perkhidmatan kaunseling keluarga daripada kaunselor yang
berdaftar. Dalam kaunseling keluarga, seorang kaunselor perlu mempunyai pengetahuan
mengenai keluarga menurut teori atau perspektif sistem keluarga. Sistem ini dikenali sebagai
circular causality menunjukkan bahawa ahli-ahli dalam keluarga saling mempengaruhi sehingga
terbentuk suatu kesan terhadap keluarga tersebut. Sebagai contoh, pengaduhan antara suami
isteri atau perhubungan suami isteri tidak baik akan memberi kesan negatif kepada anak mereka
seperti mengalami gangguan emosi, menimbulkan masalah akhlak atau sosial dan sebagainya
Kesan tersebut akan menjejaskan kesejahteraan psikologi anak remaja itu. Dengan itu,
perubahan yang berlaku kepada salah satu daripada komponen atau bahagian dalaman sistem
akan mengganggu keseimbangan sistem secara keseluruhan. Kaunselor dalam kaunseling
keluarga akan berusaha meneroka dan cuba untuk menganjak ketidaksiembangan pathogenic
dalam kalangan ahli keluarga agar mereka dapat membentuk kembali norma-norma
perhubungan yang sihat. Kajian yang dijalankan oleh Milliren dan Barrett-Kruse (2002), telah
membuktikan bahawa perkhidmatan kaunseling keluarga dapat meningkatkan daya saing
sesebuah keluarga, membantu mengurangkan salah laku murid sekolah serta membantu proses
pemulihan murid. Oleh itu, kaunseling keluarga boleh dikatakan adalah salah satu langkah untuk
sesuatu keluarga menyelesaikan cabaran atau masalah atau krisis yang dihadapi.

Selain itu, langkah yang seterusnya adalah ibu bapa perlu menentukan pola interaksi yang
sesuai untuk berhubung antara satu sama lain dalam keluarga. Pola interaksi merujuk pada
kemampuan keluarga dan anggotanya membangun dan mengembangkan pola-pola interaksi
sosial baik di dalam keluarga mahupun di luar keluarga. Sebagai contoh, ibu bapa bagi anak
remaja perlu sentiasa mengamalkan praktik mendengar secara efektif terhadap masalah,
kehendak, kekecewaan, aspirasi, ketakutan dan harapan anak remaja dengan penuh dukungan.
Hal ini boleh menyebabkan ibu bapa dapat mengetahui dan memahami perasaan serta pemikiran
anak remaja serta ibu bapa boleh mengambil peluang untuk mendidik anak remaja supuya dia
dapat berkembang ke arah positif dan bukannya melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat.
Interaksi ibu bapa dan anak merupakan proses interaksi yang saling mempengaruhi antara satu

4
sama lain (Norida Abdullah et al., 2017). Dengan wujudnya pola interaksi yang positif, keluarga
itu akan berada dalam perhubungan yang harmonis dan bahagian serta mempunyai sikap yang
positif untuk menghadapi sebarang cabaran. Bukan itu sahaja, peranan setiap ahli keluarga juga
merupakan langkah untuk menyelesaikan cabaran. Hal ini bermaksud setiap ahli keluarga perlu
memainkan peranan dalam keluarga dengan penuh tanggungjawab. Sebagai contoh, suami dan
isteri memainkan peranan sebagai ayah dan ibu kepada anak remaja dalam keluarga perlu
melaksanakan tanggungjawab dalam pembentukan tingkah laku dan sikap anak-anak. Sekiranya
ibu bapa gagal memainkan peranan sendiri maka akan membawa kesan kepada anak seperti
anak terabai disebabkan kekurangan sokongan dan interaksi dalam keluarga (Asmawati Desa et
al, 2015). Dengan itu, ibu bapa telah memainkan peranan yang sangat penting dalam
menentukan pola-pola tingkah laku anak yang mempunyai kesan ke atas pembentukan
personaliti, motivasi dan pencapaian akademik anak-anak.

5.0 Rumusan

Kesimpulannya, keluarga sejahtera ialah keluarga yang memerlukan elemen-elemen


seperti autonomi, penguasaan persekitaran, perkembangan kendiri, hubungan positif dengan
orang lain, matlamat dalam kehidupan dan juga penerimaan kendiri. Walaupun kehidupan
keluarga penuh dengan cabaran yang perlu dihadapi setiap ahli keluarga terutamanya pada
peringkat keluarga dengan anak remaja, kerjasama antara keluarga serta kefungsian keluarga
dapat menyumbang kepada penyelesaian cabaran yang dihadapi itu. Oleh itu, kewujudan
sesebuah keluarga bahagia itu mencerminkan masyarakat itu dalam keadaan baik dan sejahtera.

5
RUJUKAN
Amato, P. R. & Previti, D. (2003). People‟s reason for divorcing: gender, social class, the life
course and adjustment. Journal of Famili Issues, 602-626.

Asmawati Desa, et al. (2015). Kemahiran keibubapaan, kefungsian keluarga dan kesejahteraan
psikologi dalam kalangan ibubapa. Jurnal Psikologi Malaysia, 32-42.

Azizi Yahaya, Fauzia Yahaya Zurihanmi Zakariya & Noordin Yahaya. (2005). Psikologi sosial
alam remaja. Pahang: PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Carter, E. A. & McGoldrick, M. (1988). The changing family life cycle: A framework for family
therapy. New York: Gardner Press.

Gerson, R. (1998). Intergrating family therapy: Handbook of family psychology and systems
theory,. Washington: American Psychological Association.

Lily Mastura Harun & Ramlan Hamzah. (2007). Asas kaunseling keluarga. Shah Alam: Pusat
Penerbaitan Universiti (UPENA).

Milliren, A. & Barrett-Kruse, C. (2002). Four phases of Adlerian counseling: Family resilience in
action. The Journal of Individual Psychology, 225-234.

Norida Abdullah, Ali Hafizar Mohamad Rawi & Siti Nurul Suhada Shamshul Al Kamal. (2017).
Hubungan antara jenis komunikasi dan gaya asuhan ibu bapa terhadap tingkah laku
devian remaja: Kajian literatur. Journal of Human Capital Development, 55-68.

Rozmi Ismail, Nor Azri Ahmad, Fauziah Ibrahim & Salina Nen. (2017). Pengaruh faktor individu,
keluarga dan persekitaran sosial terhadap tingkah laku penyalahgunaan bahan dalam
kalangan remaja. Akademika, 7-16.

Zainab Ismail, Wan Ibrahim Wan Ahmad & Norlailahusna Razali. (2011). Faktor pendorong
perceraian warga tua di daerah Kuala Terengganu, Terengganu. Jurnal al-hikmah, 103-
119.

Anda mungkin juga menyukai