Anda di halaman 1dari 7

TRAUMA CUBAAN BUNUH DIRI

Pendahuluan

Tidak dinafikan dalam kehidupan kita sebagai manusia, pasti ada perkara-perkara atau peristiwa-
peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Ada peristiwa pahit mahu pun manis yang mungkin sedikit
sebanyak mengganggu kehidupan seharian kita. Apatah lagi peristiwa itu merupakan perisitwa hitam
yang boleh mendatangkan kesan buruk ataupun trauma kepada kita. Ada di antara kita yang boleh
menerima peristiwa yang berlaku sebagai cubaan dan dugaan tetapi malangnya ada yang tidak boleh
menerima dan sentiasa merintih dan menyesali dugaan tersebut malah yang lebih buruk lagi hingga ada
yang sanggup menyalahkan takdir yang menimpa dirinya.

Latar Belakang Klien


Biodata Klien
Nama : Nida
Tingkatan : 1 Saidina Umar
Usia : 13 tahun
Etnik/Ras : Melayu

Klien yang dikenali sebagai Nida gemar melukis dan menonton jika ada lapang. Klien merupakan anak
bongsu daripada lima orang adik beradik. Bapanya bekerja hanya sebagai seorang pegawai di Telekom
Malaysia sedangkan emaknya hanya sebagai surirumah sepenuh masa. Kini klien menetap di asrama.
Klien mempunyai hubungan yang mesra dengan ahli keluarga yang lain pada awalnya tetapi kini
menjadi sebaliknya. Klien merupakan seorang pelajar yang sederhana dalam akademik dan diterima
masuk ke sekolah ini (sekolah berasrama penuh) setelah mendapat 3A dalam peperiksaan Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Mempunyai cita-cita yang tinggi untuk mendapat keputusan yang
lebih cemerlang dalam peperiksaan PMRnya nanti. Klien tidak mempunyai ramai kawan kerana
mempunyai perwatakan yang pendiam. Lebih gemar bersendirian tetapi mempunyai seorang sahabat
yang rapat. Memohon tinggal di asrama walaupun rumah keluarganya berhampiran dengan sekolah.
Sepanjang sesi, dapat dilihat bahawa penerapan agama dalam diri klien adalah baik . Ibu bapanya juga
kelihatan memberi didikan yang baik dalam agama. Klien telahpun 2 kali khatam Al-Quran. Menurut
klien, bapanya adalah imam di kawasan perumahannya. Klien seorang yang bertubuh kecil tetapi tidak
mempunyai sebarang masalah kesihatan.

LATARBELAKANG MASALAH

a) Kes dan isu

Kes yang dipaparkan ini adalah mengenai pelajar atau klien yang mengalami peristiwa buruk atau
trauma yang menghantuinya iaitu kisah di mana abang kandungnya sendiri yang cuba untuk
membunuhnya pada tahun 2006 iaitu pada bulan Oktober. Peristiwa itu menjadi titik hitam dalam
hidupnya yang mana klien tidak dapat melupakan peristiwa pahit itu.

b) Klasifikasi kes dan isu

Klien tidak dapat menerima hakikat bahawa abangnya sendiri cuba untuk membunuhnya kerana pada
klien, beliau cukup sayangkan adik beradiknya dan tidak sanggup untuk membunuh mereka dan apa
yang berlaku adalah bertentangan dengan prinsip hidupnya. Peristiwa tersebut sangat sukar untuk
dilupakan malah masih terbayang-bayang lagi di ruang matanya akan kejadian yang berlaku. Klien
tidak mampu untuk berkongsi dengan sesiapa kerana tanggapannya tiada sesiapapun yang akan
memahami apa yang dirasainya. Untuk bercakap dengan ibunya adalah sukar kerana ibunya juga
tertekan dengan sikap abangnya itu yang sememangnya biadap tanpa mengenal siapapun hatta ibu
mahupun ayahnya sendiri. Abang ketiganya itu juga sering mengasari dirinya dengan melakukan
pelbagai perkara seperti menumbuk, mencekik tanpa diketahui sebab dan puncanya.

Ekoran dari peristiwa tersebut, klien telah mengambil keputusan untuk tinggal di asrama dalam usia
yang muda lagi bagi mengelakkan kejadian yang buruk yang mungkin boleh membahayakan dirinya
kelak jika masih lagi tinggal serumah dengan abangnya. Walaupun berjauhan, klien masih lagi tidak
mampu untuk melupakannya. Apabila peristiwa itu datang dalam ingatannya pasti klien akan menangis
tidak kira walau di mana sahaja dan ini mengganggu kehidupan sehariannya apatah lagi ketika
belajar dan ketika mengulangkaji pelajarannya. Berdasarkan penerokaan, abangnya itu telah terkena
buatan orang atau gangguan mahkluk halus yang menyebabkan abangnya itu akan mengamuk seolah-
olah hilang ingatan tanpa diketahui punca dan sebab. Abangnya itu juga kadang-kadang akan bertindak
diluar batasan. Sikap abangnya juga telah berubah daripada seorang abang yang baik dan suka
mengusik kepada seorang abang yang panas baran, biadap pada orang lain dan tidak peduli lagi pada
sesiapa pun.

Namun begitu, dengan kekuatan yang ada pada dirinya, klien akhirnya sanggup berjumpa dengan saya
atas dasar untuk berkongsi masalah dan merasakan saya dapat membantu dirinya mengatasi masalah
ini. Keputusannya untuk mengadakan sesi kaunseling bersama saya merupakan satu keputusan yang
wajar. Situasi ini berikutan klien ingin berkongsi cerita dan ingin memperbaiki dirinya bagi menjalani
kehidupan yang lebih selesa.

PROSES INTERVENSI

Model dan Pendekatan Teori REBT sesuai digunakan di dalam sesi ini kerana pendekatan terapi
berkenaan yang relevan dengan permasalahan klien yang berfikiran tidak rasional.

Menurut Sapora Sipon dan Wan Anor Wan Sulaiman (2002), menyatakan bahawa manusia rasional
dilahirkan ke dunia yang tidak rasional. Manusia menjadi tidak rasional apabila menerapkan idea-idea
yang tidak rasional ke dalam sistem kepercayaan mereka. Oleh itu, konsep serta teknik yang terdapat
dalam teori ini bersesuaian bagi merasionalkan pemikiran klien saya yang tidak rasional terhadap
masalah yang dihadapinya.

Menurut Sabariah Siron (2005), terdapat emosi yang tidak sesuai kerana ia menolong manusia
mendapat apa yang dimahukan dan mengelak apa yang tidak diperlukan. Contoh emosi yang sesuai
ialah gembira, seronok, sayang, ingin tahu, sedih, menyesal, kecewa dan tidak seronok. Emosi seperti
marah, murung, bimbang, menyalahkan diri sendiri dan merasa tidak seronok dengan diri sendiri tetapi
juga menyebabkan ia terasing daripada orang lain. Oleh itu, dalam pendekatan yang saya gunakan ini,
saya cuba membantu klien saya untuk mendiskriminasikan antara  perasaan yang sesuai dengan tidak
sesuai serta meningkatkan emosi yang sesuai dan mengurangkan atau menghilangkan emosi yang tidka
sesuai.

Corey (1996), pula mengatakan bahawa gangguan emosi adalah disebabkan kepercayaan yang tidak
rasional yang dipelajari dari orang-orang signifikan semasa kanak-kanak. Jadi, jelas di sini, klien saya
telah mengalami satu emosi yang terganggu kerana kepercayaannya yang tidak rasional terhadap
peristiwa yang berlaku ke atas dirinya.
Menurut Amir Awang (1989), jika pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang digolongkan sebagai
tidak rasional itu tidak keterlaluan sehingga boleh mengganggu cara kita berfungsi di dalam sesuatu
masyarakat, kita dikatakan normal. Hanya apabila pemikiran, perasaan dan tingkah laku kita menjadi
begitu tidak rasional sehingga kita tidak dapat lagi berfungsi dengan baik, barulah kita digolongkan ke
dalam golongan neurotik ataupun psikotik.

Dalam kehidupan seharian, kita tidak terlepas dari berinteraksi dengan orang lain. Di dalam interaksi
inilah kita menggunakan pola-pola atau sistem kepercayaan yang tidak rasional tadi. Tindak balas
orang akan menjadi bahan untuk kita berfikir dan jikalau fikiran kita tidak rasional, maka perasaan kita
juga akan menjadi tidak rasional, kerana kita akan merasa apa yang kita fikirkan. Apabila fikiran dan
perasaan sudah tidak rasional, maka tingkah laku kita yang menjadi ’efektor’ kepada fikiran dan
perasaan akan turut menjadi tidak rasional.

Penetapan Matlamat

Sebagai seorang kaunselor yang mengamalkan pendekatan REBT, saya akan menolong klien mengakui
perasaan dan tingkahlakunya yang tidak sesuai, menerima tanggungjawab di atas ketidaksesuaian ini
dan menentukan punca falsafah simptom masalah ini.

Sebagai langkah pertama, kaunselor akan menunjukkan kepada klien bahawa pemikirannya itu adalah
tidak logik dan menerangkan mengapa dan bagaimana perkara ini boleh berlaku. Kaunselor juga
menunjukkan hubungan yang antara idea yang tidak rasional itu telah mengganggu emosinya hingga
klien tidak lagi hidup dengan bahagia. Terdapat perkataan-perkataan seperti ”sepatutnya, seorang
abang mesti sayangkan adiknya”, ”abang mestilah sayang pada adiknya” yang telah menjadi
sebati dengan diri klien sehingga kata-kata itu menjadi idea yang tidak rasional. Di sinilah
kepercayaan yang perlu kaunselor ubah terhadap pemikiran kliennya. Bagi langkah kedua, kaunselor
perlu menolong klien mempercayai bahawa kepercayaan seseorang boleh dicabar dan diubah. Saya
akan mempertikaikan idea klien yang tidak rasional secara terus.

Sebagai contoh:

1. Kaunselor: Nida rasa semua abang sayangkan adiknya ke?

2. Kaunselor: Pernah tak Nida dengar tentang ada abang-abang yang berbuat tak baik pada adik
mereka?

Melalui proses ini, kaunselor akan cuba mengajar klien mempertikaikan sendiri cara ia berfikir agar ia
dapat mencapai matlamat berfikir secara rasional dengan sendirinya. Dalam langkah akhir, Sabariah
Siron (2005), mengatakan bahawa klien perlu pergi lebih dari mencabar idea yang tidak rasional iaitu
mengindoktrinasi semula secara rasional. Kaunselor perlu membina semula falsafah baru dalam hidup
klien. Dalam kes ini, klien perlu dicabar agar dia dapat menerima hakikat bahawa tidak semua adik
beradik dalam satu keluarga mempunyai ikatan yang kukuh. Falsafah hidup yang baru perlu
diwujudkan pada diri Nida.
PROSES HURAIAN

’A’ – avent (peristiwa) - Tidak dapat melupakan peristiwa cubaan dibunuh oleh abangnya sendiri.

’B’ – believe system (Sistem kepercayaan)- Semua orang yang signifikan dengannya mesti
menyayanginya

’C’ – consequent (Kesan akibat ) -Sering menangis apabila teringat peristiwa tersebut, Takut untuk
pulang ke rumah , Kurang bergaul dengan orang lain (bimbang kawan-kawan tahu peristiwa tersebut –
malu)

’D’ - mencabar -Kaunselor mencabar pemikiran dan sistem kepercayaan klien. Setiap manusia yang
mempunyai adik beradik mesti mempunyai hubungan yang baik dan saling sayang menyayangi.

’E’ – pemikiran baru. Setelah menggunakan teknik ’kerusi kosong’, klien dapat meluahkan segala
perasaannya yang terpendam hinggalah celik akalnya wujud. Klien akan cuba untuk pulang dengan
perasaan yang tenang. Klien akan sentiasa lebih berhati-hati.

Kaunselor akan membina hubungan terlebih dahulu bagi memastikan klien benar-benar selesa dan
bersedia untuk berkongsi masalahnya. Klien yang sememangnya tertekan dengan keadaannya sekarang
dengan mudah meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Peristiwa pahit itu yang tidak dapat
dilupakannya mampu menitiskan airmatanya walaupun klien belum memulakannya. Sesi dijalankan
tanpa sebarang masalah kerana klien sememangnya dalam keadaan tertekan. Oleh sebab itu, klien
mudah untuk berkongsi segala ceritanya. Saya banyak mencabarkan klien kerana klien tidak dapat
menerima keadaan abangnya yang cuba membunuhnya. Klien mempunyai harapan yang tinggi
terhadap abangnya dengan menganggap semua adik beradik mesti menyayangi antara satu sama lain
apatah lagi klien adalah anak yang bongsu dan dia dimanjakan oleh kakak dan juga abangnya yang
lain. Namun begitu klien memang memerlukan bantuan untuk dia melupakan kisah itu agar dia dapat
menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajarannya.

Pelan Tindakan

Dalam sesi ini, saya menggunakan teknik “Kerusi Kosong” terhadap klien di mana klien akan duduk di
sebelah kerusi yang kosong dan klien akan meluahkan segala perasaannya kepada orang bayangan iaitu
abangnya sendiri. Teknik ini membolehkan Nida mencurahkan isi hati dan perasaannya. Menurut
Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh, Hapsah Mohd Yusof (2002), tujuannya adalah untuk menekankan
konflik atau masalah yang dialami oleh klien dan perhubungan dengan klien. Kaunselor pula
memainkan peranannya sebagai abang kepada Nida. Setiap apa yang diluahkan oleh klien, perlu
dijawab oleh kaunselor yang bertindak memainkan peranan sebagai abangnya.

Setelah membantu klien dengan teknik itu, klien kelihatan puas dengan perluahan isi hatinya. Ada
beberapa ketika, Nida terdiam seolah-olah sedang berfikir dengan apa yang dikatakan oleh ”abang”
nya itu. Ada masanya kelihatan Nida seolah-olah tertekan dengan situasi tersebut tetapi teknik ini tetap
diteruskan. Di akhir sesi, teknik ini membuatkan klien celik akal dengan merasai, menyedari dan
memahami akan situasi sebenar yang berlaku.

Klien yang sentiasa menerima layanan yang baik daripada keluarga tidak dapat menerima hakikat
tentang layanan buruk daripada salah seorang abangnya. Apatah lagi abangnya itu cuba membunuhnya.
Klien tetap tidak dapat menerima kenyataan itu walaupun klien tahu abangnya itu tidak bersikap
sedemikian sebelum peristiwa itu. Daripada apa yang diberitahu oleh klien, abangnya itu
berkemungkinan besar telah diganggu oleh makhluk halus dan itulah juga yang dinyatakan oleh
beberapa orang ustaz yang telah ditemui oleh kedua ibu bapanya.

Antara pendekatan teknik yang digunakan ialah teknik sayalah yang bertanggungjawab yang mana ia
mencabar klien supaya dapat melihat, mendengar, merasa dan mengalami sesuatu itu melalui
penggunaan soalan-soalan yang mencabar. Ia juga menyedarkan klien tentang masa kini, bukannya
mengenangkan peristiwa yang lampau sehingga mengabaikan tanggungjawab pada diri sendiri.

Kaunselor : Nida selalu menangis bila teringat peristiwa tu kan.. andaikata beginilah seterusnya situasi
Nida hingga Nida dewasa, apa yang Nida dapat?

Oleh kerana klien datang secara sukarela, tidak ada masalah yang timbul daripada klien. Klien dapat
memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi. Ini berlaku kerana klien dalam keadaan yang
tertekan dan oleh kerana itu, klien bersedia untuk berbuat apa sahaja bagi mengatasi masalahnya itu.
Segala soalan daripada saya dapat dijawab dengan jelas dan jujur oleh klien. Di samping itu juga, klien
juga kelihatan bersedia. Klien juga bersikap terbuka ketika ditanya tentang kelemahan dirinya dan
bersedia untuk membuat pembaharuan dan mengubah pemikiran tidak rasionalnya itu. Di samping itu,
klien juga diminta untuk memintas ingatan negatif terhadap abangnya apabila klien teringatkan
peristiwa atau bila mengenangkan abangnya itu dengan memikirkan sesuatu yang baik atau peristiwa
manis ketika bersama abangnya dulu. Tugasan ini perlu dilakukan bila-bila masa sahaja apabila klien
teringatkan abangnya itu, tidak kira di mana ataupun bila. Semakin kerap ia dilakukan, ianya akan
semakin berfungsi untuk merasionalkan semula dan membina semula pemikiran negatif
klien.

Rumusan

Klien mempunyai semangat yang tinggi bagi mengubah dirinya dan bersedia akhirnya untuk mengubah
persepsi dan pemikiran tidak rasionalnya itu. Peristiwa hitam itu akan cuba dijadikan kenangan dalam
hidupnya sebagai kenangan istimewa sahaja dan akan berusaha untuk tidak menjadikan kenangan itu
sebagai pengganggu dalam hidupnya. Komitmen dan kesungguhan yang ditonjolkan itu merupakan
petanda baik untuk kesejahteraan dirinya kelak kerana sanggup berkongsi masalah dengan saya bagi
memperbaiki diri dengan sewajarnya. Sememangnya keputusan yang diambil untuk berkongsi dengan
saya sangat baik untuk meringankan bebanan yang ditanggungnya itu. Klien begitu mengharapkan
beliau dapat menjalani kehidupan dengan baik dan selesa kerana beliau begitu yakin bahawa yang
dilaluinya adalah suatu ingatan dan pengajaran dalam kehidupannya.

Kesimpulan

Bagi kes ini, klien dapat membina satu pemikiran baru setelah menghadiri sesi. Klien dapat menempuhi
perasaan yang wujud kesan daripada peristiwa lampau dan dapat menerima bahawa terdapat di
kalangan manusia pada hari ini yang terdiri daripada adik beradik yang bermasalah dari segi
perhubungan mahupun komunikasi. Kini, daripada sumber warden asrama, klien sudah menunjukkan
perubahan yang positif dengan kerap pulang ke rumahnya semula. Sekiranya kita yakin "setiap
penyakit ada ubatnya", maka kaunseling harus diterima sebagai penawar bagi "penyakit" yang melanda
diri kita, di samping menjadi pemangkin bagi memaju dan mengoptimum potensi yang kita miliki.
Apatah lagi, agama Islam sendiri turut menganjurkan kaunseling dalam kehidupan kita sehingga
adanya ungkapan "Agama itu nasihat".
Bibliografi

Amir Awang. (1989). Teori-teori Pembelajaran. PetalingJaya: Penerbit Fajar Bakti


Sdn. Bhd.

Corey, G. (1996). Theory and Practise of Counseling and Psychology (5th.Ed).


California: Brooks/ColePublishing Company.

Sabariah Siron. (2005). TeoriKaunseling dan Psikoterapi. Petaling Jaya, Selangor:


Prentice Hall

Sapora Sipon, Ahmad Jazimin Jusoh, Hapsah Mohd Yusof. (2002). Kaunseling Individu.
Petaling Jaya, Selangor:Prentice Hall

Sapora Sipon dan Wan Anor Wan Sulaiman. (2002). Pengantar Kaunseling. Petaling
Jaya: Prentice Hall

Anda mungkin juga menyukai