Anda di halaman 1dari 6

GAYA KEPIMPINAN SESEORANG PEMIMPIN SEMASA PELAKSANAAN KAUNSELING

KELOMPOK BERDASARKAN CIRI PEMIMPIN DAN TINGKAH LAKU AHLINYA.

Kaunseling kelompok adalah satu pendekatan altenatif yang dapat dilaksanakan bagi
membantu individu menangani masalah kehidupan ataupun isu-isu perkembangan dengan
lebih baik. Dalam mencapai matlamat kaunseling kelompok, ciri-ciri peribadi pemimpin
kelompok amatlah berkait rapat dalam memastikan keberkesanan kaunseling tersebut. Hal ini
kerana, keberkesanan kaunseling kelompok tidak bergantung semata-mata terhadap keahlian
kelompok dan interaksi ahli semasa sesi berjalan. Malahan, gaya kepimpinan yang
ditunjukkan oleh pemimpin memberi kesan secara langsung terhadap keberkesanan
kaunseling tersebut (Ida Hartina, 2006). Dalam konteks tersebut, gaya kepimpinan adalah
sebagai suatu yang wujud melalui tingkah laku dari seorang pemimpin terhadap sesuatu
proses. Menurut Hersey dan Blancherd (dalam Aida, 2014) menyatakan bahawa gaya
kepimpinan pada dasarnya merupakan tingkah laku yang wujud dari tiga komponen iaitu
pemimpin itu sendiri, orang bawahannya dan situasi dimana proses kepimpinan tersebut
berlaku. Manakala menurut Ainon (2005), gaya kepimpinan merujuk cara seseorang berfikir
dan bagaimana seseorang bertingkah laku dengan tujuan mempengaruhi individu-individu lain
supaya mereka secara sukarela melakukan apa yang dikehendaki oleh pemimpin terutama
ketika berhadapan dengan situasi yang sering berubah. Jadi, secara rumusannya, gaya
kepimpinan merupakan struktur tingkah laku yang digunakan oleh pemimpin terhadap sesuatu
situasi mahupun ahli-ahlinya dimana pimpinan tersebut adalah seseorang yang dapat
mempengaruhi orang lain atau kelompok untuk mencapai sesuatu matlamat.

Terdapat beberapa gaya kepimpinan yang sering digunakan oleh ketua kelompok iaitu
autokratik, demokratik dan laissez-faire (Yusof, 1990). Akan tetapi, gaya kepimpinan yang
paling sesuai dan popular yang digunakan oleh kaunselor dalam sesuatu kelompok adalah
kepimpinan demokratik. Hal ini sedemikian kerana pemimpin demokratik berfungsi sebagai
pemangkin yang mempercepatkan perjalanan proses untuk menuju matlamat dengan cara
yang paling sesuai (Ibrahim Mamat, 2001). Sehubungan dengan itu, pemimpin yang
mengamalkan gaya kepimpinan demokratik ini biasanya bersifat tidak direktif dan dan lebih
fokus kepada kelompok itu sendiri. Hal ini kerana, pemimpin tersebut percaya kepada setiap
ahli kelompok mampu bergerak dan menyumbang dengan aktif kepada proses kelompok itu.
Namun begitu, pemimpin atau kaunselor masih bertindak sebagai fasilitator yang membantu
perjalanan sesi supaya ia lebih terarah. Menurut Ida Hartina (2006) kaunselor yang
mengamalkan kepimpinan ini tidak bertindak sebagai pengarah sebaliknya bekerjasama dan
berkongsi pendapat dengan ahli lain sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan dengan
kelompok tersebut. Bahkan ahli-ahli diberi peluang untuk menyumbangkan idea bagi
membantu keberkesanan sesi. Selain itu, kepimpinan demokratik ini mengamalkan interaksi

1
dua hala antara kaunselor dan ahli kelompok (Ainon, 2003). Ahli kelompok bebas bertukar
pendapat, berkongsi perasaan dan pengalaman sesama ahli mahupun ketua kelompok.
Semua ahli diberikan peluang sama rata dalam meningkatkan keberkesanan sesi kelompok
tersebut. Oleh itu, kepimpinan demokratik sesuai digunakan untuk sesi kaunseling kelompok
kerana pemimpin dan ahli-ahlinya bersama-sama memainkan peranan untuk menjayakan sesi
tersebut.

Bertepatan dengan gaya kepimpinan demokratik tersebut, terdapat beberapa ciri


kaunselor yang menggunakan kepimpinan tersebut. Antaranya ialah mesra. Menurut Azlina
(2002), pemimpin yang matang berkebolehan dalam menjalinkan hubungan yang mesra dan
rapat dengan orang lain. Amerjit Singh (2017) juga menyatakan pemimpin yang mengamalkan
gaya kepimpinan demokratik lebih menfokuskan kepada hubungan antara pemimpin dengan
ahli dalam mencapai sesuatu matlamat atau objektif. Berdasarkan pernyataan tersebut, ianya
berkait rapat dengan ciri mesra yang ada dalam diri pemimpin dimana pemimpin yang mesra
akan menitikberatkan terhadap hubungan antara pemimpin dengan ahli. Hal ini sedemikian
kerana hubungan yang baik antara mereka merupakan satu platform dalam mencapai
keberkesanan sesi kelompok tersebut. Dengan adanya hubungan yang mesra antara mereka,
ahli akan berasa lebih selesa dan percaya untuk berkongsi dan melontarkan pendapat,
menceritakan permasalahan dan pengalaman dalam sesi tersebut. Oleh itu, ciri mesra yang
ada pada pemimpin tersebut menunjukkan bahawa gaya kepimpinan yang digunakan adalah
demokratik dimana kemesraan tersebut akan meningkatkan penglibatan ahli kumpulan untuk
bersuara dan bersama-sama memberi idea untuk mencapai sesuatu matlamat.

Selain itu, fasilitatif merupakan ciri kaunselor yang berkepimpinan demokratik. Menurut
Trevor Bentley (Noridah, n.d) menyatakan bahawa fasilitatif merupakan proses memudah
cara. Kaunselor atau pemimpin yang menggunakan gaya kepimpinan demokratik merupakan
pemudahcara kepada ahli-ahli untuk mencapai keberkesanan kelompok. Hal ini bertepatan
dengan pernyataan Badaruddin (2013) yang menyatakan bahawa ketua yang demokratik
merupakan sebagai pemudahcara terhadap ahlinya. Jadi, pemimpin sebagai pemudahcara
akan membantu ahli-ahli menyuarakan idea dan pendapat serta meransang mereka untuk
berfikir dengan menanyakan soalan-soalan yang tertentu. Perbincangan ahli kelompok
bersama pemimpin akan mewujudkan suasana yang demokratik dimana kedua-dua pihak
masing-masing memainkan peranan dalam mencapai sesuatu matlamat. Oleh itu, ciri fasilitatif
merupakan ciri pemimpin yang demokratik. .

Seterusnya, ciri-ciri keterbukaan merupakan salah satu kepimpinan demokratik.


Menurut Nurain Abbas (n.d), Wursanto menyatakan salah satu ciri kepimpinan demokratik
adalah terbuka iaitu pemimpin bersedia mendengar segala luahan atau pendapat dalam

2
sesuatu kelompok. Setiap keterbukaan pemimpin terhadap ahli kelompok merupakan perkara
penting. Hal ini kerana, kaunselor haruslah menerima segala kekurangan dan permasalahan
yang dihadapi oleh ahli kelompok. Oleh hal yang demikian, apabila adanya ciri sebegini, ahli
kelompok akan rasa diterima dengan seadanya oleh pemimpin itu. Malahan, mereka tidak
berasa segan untuk bercakap dan meluahkan segala kekurangan dan masalah yang dihadapi
oleh mereka. Dengan adanya luahan sebegini, secara tidak langsung akan memudahkan
peranan pemimpin terhadap proses kaunseling kelompok untuk meneroka masalah mereka
melalui perbincangan yang dilakukan. Dalam pada itu, ahli kelompok yang lain bebas
menyuarakan pendapat dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Di samping itu,
pemimpin juga haruslah sentiasa berfikiran terbuka apabila menerima kritikan oleh ahli
kelompok. Oleh itu, berfikiran terbuka merupakan elemen penting dalam gaya kepimpinan
demokratik.

Berdasarkan ciri-ciri pemimpin yang berdasarkan gaya kepimpinan demokratik,


terdapat beberapa tingkah laku ahli yang menggalakkan gaya keberkesanan gaya tersebut.
Antaranya ialah ahli yang bersifat terbuka. Hal ini kerana, apabila sesi kelompok dilakukan,
sudah pasti wujudnya kritikan, komen dan pendapat sama ada positif atau negatif kerana
suara dari ahli lain merupakan perkara penting dalam mewujudkan suasana yang aktif. Hal ini
ditegaskan lagi oleh Wursanto (dalam Nurain Abbas, n.d) bahawa demokratik menekankan
keterbukaan antara ahli dalam melakukan sesuatu aktiviti. Jadi, setiap ahli mestilah berfikiran
terbuka dimana apabila mendapat kritikan oleh ahli yang lain, ahli tersebut dapat menerimanya
dan mengambil kritikan tersebut sebagai satu perkara yang perlu dipertingkatkan.

Selain itu, tingkahlaku yang diam sewaktu melakukan sesi kelompok. Perkara ini
disokong oleh Brammer (dalam Fathmalyn, 2016) yang menyatakan bahawa mendiamkan diri
semasa sesi kaunseling dijalankan merupakan halangan dalam proses tersebut. Tingkah laku
berdiam menjadi halangan kepada kelompok demokratik dimana kepimpinan demokratik amat
menekankan intrapersonal antara ahli. Justeru, ahli yang diam ini kebiasaannya tidak suka
untuk memberi pendapat atau melontarkan idea semasa perbincangan malahan ahli ini lebih
selesa untuk berdiam. Hal ini secara tidak langsung juga akan menyukarkan dan
mengurangkan keberkesanan sesi tersebut untuk mecapai sesuatu matlamat.

Akhir sekali, terdapat juga tingkah laku ahli atau pelajar yang menghalang kepada
kepimpinan demokratik. Antaranya ialah ahli yang terlalu aktif dan suka memonopoli. Menurut
Azizan Bahari (2009) ahli kumpulan yang suka memonopoli akan membantutkan
perbincangan kumpulan. Hal ini demikian kerana, ahli tersebut akan menghalang ahli lain
untuk memberi pendapat mereka untuk sesuatu perbincangan kerana ahli tersebut cenderung
untuk sentiasa bercakap. Malah, ahli ini lebih cenderung untuk mengetuai sesi tersebut

3
dimana ahli lain tidak diberi peluang untuk bercakap. Dengan adanya tingkahlaku ini dalam
sesuatu kelompok, ahli lain turut berasa segan dan rendah diri apabila hendak melontarkan
idea-idea seterusnya menghalang kemajuan gaya kepimpinan demokratik dalam sesi
kelompok tersebut.

Jadi, kesimpulannya, ciri-ciri pemimpin dan tingkah laku ahli sangat penting dalam
menentukan gaya kepimpinan yang akan digunakan oleh pemimpin tersebut. Hal ini kerana
melalui tingkah laku yang ditunjukkan oleh ahli seperti terbuka akan cenderung untuk
menggunakan gaya kepimpinan demokratik. Perkara ini tidak dinafikan bahawa kepimpinan
demokratik amat sesuai untuk melaksanakan sesi kelompok. Hal ini kerana, gaya kepimpinan
demokratik adalah berpusatkan kerjasama serta pemilihan yang lebih adil seperti mengadakan
perbincangan dengan guru-guru lain dan staf sokongan malah pelajar sendiri sebelum
membuat sesuatu keputusan atau tindakan. Jadi jelaslah bahawa gaya kepimpinan
demokratik amat baik digunakan kepada sesi kelompok.

4
RUJUKAN

Ainon Mohd. (2003). Teori dan Teknik Kepimpinan Panduan Aplikasi di tempat kerja.
Selangor: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ainon Mohd. (2005). Teori dan Teknik Kepimpinan: Panduan Aplikasi di Tempat Kerja.
Pahang: PTS Professional.

Amerjit singh. (2017). Perilaku pemimpin dan gaya kepimpinan. Utusan online. Diakses pada
12 Februari 2019 dari http://www.utusan.com.my/rencana/utama/perilaku-pemimpin-
dan-gaya-kepimpinan-1.456739#ixzz5fiMIOs4t.

Azizan Bahari. (2009). Menjadi Pemimpin. Petaling Jaya: Qarya Sdn Bhd.

Azlina Bakar. (2002). Psikologi Personaliti Individu. Shah alam: Karisma Publication

Sdn. Bhd.

Badaruddin Yeop. (2013). Kepimpinan Dan Gaya Kepimpinan. Diakses pada 11 Februari
2019 dari
http://www.academia.edu/6907921/KEPIMPINAN_DAN_GAYA_KEPIMPINAN.

Fathmalyn Abdullah. (2016). Halangan Dalam Kaunseling. Diakses pada 10 Februari 2019

dari https://www.slideshare.net/FathmalynAbdullah/bab-10-halangan-dalam-
kaunseling.

Ibrahim Mamat. (2001). Pengetua sekolah menangani isu dan cabaran kepimpinan. Subang
Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Ida Hartina. (2006). Memimpin Kaunseling Kelompok. Selangor: PTS Professional


Publishing Sdn. Bhd.

Noridah jaafar. (n,d). Peranan Fasilitator Untuk Kelompok Bimbingan. Diakses pada 13
Februari 2019 dari
http://uad.uthm.edu.my/a2/kemahiran_fasilitator_kaunseling_kelompok.pdf.

Nurain Abbas. (n.d). Penerapan Kepimpinan Demokratis Dalam Organisasi Pendidikan


(sekolah). diakses pada 12 Februari 2019 dari
http://www.academia.edu/6377500/Penerapan_Kepemimpinan_Demokratis_DAL
AM_ORGANISASI_PENDIDIKAN_SEKOLAH_.

5
Siti Aida Ab Muttalib. (2014). Gaya Kepimpinan Terhadap Pemilihan Strategi Pengajaran
Dan Pembelajaran. Diakses pada 10 Februari 2019 dari
http://eprints.uthm.edu.my/5362/1/SITI_AIDA_BINTI_AB_MUTTALIB.pdf.

Yusof A.M. (1990). Kepimpinan . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai