Anda di halaman 1dari 3

TAHUN 2010/2011 SOALAN 5 BINCANGKAN TANGGUNGAN-TANGGUNGAN JENAYAH YANG

MUNGKIN TELAH DILAKUKAN OLEH POK.

JAWAPAN

Pok bekerja sebagai pengangkut sampah telah melambungkan sampah dengan kuat ke atas
lori memungut sampah yang berhenti di tepi jalanraya. Banyak kenderaan sedang lalu di
jalan itu. Sampah itu jatuh di atas bonet kereta Lela dan Lela telah hilang kawalan lalu
melanggar Ming dan Yumi yang sedang menunggu bas di situ. Ming dan Yumi mati di tempat
kejadian dan Lela mengalami kejutan saraf.

Berdasarkan fakta soalan, dihujahkan Pok tidak mempunyai niat atau mens rea untuk
membunuh atau mematikan ataupun mendatangkan bencana tubuh yang diperlukan di
bawah sek 300(a), (b) dan (c) dan limb 1 dan 2 sek 299 Kanun Keseksaan (KK). Pok juga tiada
apa-apa pengetahuan tentang perbuatannya itu akan menyebabkan kematian, maka
peruntukan sek 300(d) dan limb 3 sek 299 juga tidak dapat dipenuhi.

Dengan itu, dihujahkan Pok telah melakukan suatu perbuatan dengan gopoh atau cuai yang
telah menyebabkan kematian Ming dan Yumi. Oleh itu, kemungkinan besar Pok akan
disabitkan bagi kematian Ming dan Yumi di bawah sek 304A KK. Lela pula telah mengalami
kejutan saraf, oleh itu Pok juga bertanggungan bagi masalah tekanan yang di hadapi oleh
Lela.

Untuk mensabitkan Pok bagi kesalahan di bawah sek 304A KK bagi kematian Ming dan Yumi,
maka perlulah dibuktikan sama ada Pok penyebab kematian Ming dan Yumi.

Bagi kesalahan jenayah di bawah sek 304A KK, perbuatan Pok yang gopoh atau cuai itu
mestilah sebab terdekat iaitu causa causans kepada kematian mangsa.

Menurut kes Lee Kim Leng v R, mahkamah membenarkan rayuan perayu kerana dia
bukanlah penyebab langsung kepada kematian mangsa. Teksi di hadapannya tidak berhenti
sehingga betul-betul di hadapan mangsa dan teksi itu dihentikan dengan tiba-tiba tanpa
apa-apa isyarat. Oleh itu, kereta tertuduh yang dihentikan dengan tiba-tiba di belakang teksi
tersebut telah melaggar teksi dan impak perlanggaran itu telah menyebabkan teksi
melanggar mangsa dan mangsa meninggal.
Dalam kes Lee Lai Siew v PP, isunya adalah sama ada perbuatan tertuduh yang membawa
penumpang berlebihan merupakan akibat langsung kematian mangsa-mangsa kapal yang
karam itu. Mahkamah telah memutuskan bahawa perbuatan tertuduh bukan sebab utama
kematian tetapi cuaca dan tingkahlaku penumpang pada masa kejadian itu telah
menyumbang kepada kematian.

Berdasarkan fakta soalan ini, sampah yang dibuang oleh Pok itu jatuh di atas bonet kereta
Lela dan Lela telah hilang kawalan lalu melanggar Ming dan Yumi yang sedang menunggu
bas di situ. Kematian Ming dan Yumi adalah akibat langsung daripada perbuatan Pok tanpa
sebarang campurtangan ataupun kecuaian lain. Oleh itu, Pok adalah penyebab kematian
Ming dan Yumi.

Persoalan seterusnya adalah sama ada Pok mempunyai mens rea yang diperlukan untuk
perbuatannya yang gopoh atau cuai itu.

Menurut kes Nidamarti Nagabushanam, gopoh adalah perbuatan yang dilakukan dengan
kesederan bahawa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku namun tertuduh masih
melakukannya dengan harapan kemalangan tidak berlaku dan dia telah mengambil langkah-
langkah berjaga-jaga. Cuai pula ialah perbuatan yang dilakukan tanpa kesedaran berbanding
dengan gopoh. Tertuduh di katakan cuai kerana tidak mengambil langkah-langkah berjaga-
jaga seperti yang akan dilakukan oleh orang yang munasabah.

Berdasarkan fakta kes, banyak kenderaan sedang lalu di jalanraya itu semasa Pok
melambungkan sampah ke atas lori sampah tersebut maka perbuatan Pok adalah gopoh
kerana dia sedar perbuatannya itu boleh menyebabkan kemalangan. Namun Pok telah
melakukan perbuatannya itu dengan harapan kemalangan tidak berlaku.

Menurut Empress v Idu Beg, gopoh adalah perbuatan merbahaya yang dilakukan dengan
pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan bencana tetapi dilakukan tanpa
niat untuk menyebabkan kematian atau tanpa pengetahuan yang mungkin seseorang itu
boleh mati.

Menurut kes PP v Mahfar bin Sairan, tertuduh telah membunuh isterinya di mana kereta
yang dipandunya itu telah mengilis mangsa. Tertuduh sedar isterinya sedang memegang
cermin tepi keretanya semasa dia memandu keluar dari rumahnya, tetapi tertuduh tiada niat
untuk membunuh dan tidak tahu perbuatannya itu akan menyebabkan kematian. Tertuduh
tidak mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk tidak melakukan perbuatan
tersebut.

Oleh yang demikian, Pok tidak tahu perbuatannya akan menyebabkan kematian dan
memang dia tidak berniat untuk menjadi penyebab kemalangan tersebut. Pok sedar
perbuatannya itu boleh mengakibatkan sesuatu yang tidak diingini kerana banyak
kenderaan dijalanraya tersebut. Pok tidak mengambil sebarang langkah berjaga-jaga supaya
kejadian itu dapat dielakkan. Oleh yang demikian, Pok adalah bertanggungan bagi
kesalahan jenayah di bawah sek 304A KK untuk kematian Ming dan Yumi.

Anda mungkin juga menyukai