Anda di halaman 1dari 2

Drama Mahkamah

Setelah semua hadir di dalam mahkamah itu, hakim memulakan perbicaraan. Pegawai
meminta Tertuduh I masuk. Tertuduh I mengangkat sumpah. Pendakwa raya membaca
pertuduhan terhadap Tertuduh I, iaitu Bulat bin Leper. Dia telah dituduh menyebabkan
kematian seorang nenek tua, iaitu Mek Teh binti Jali yang berumur 99 tahun di Taman Gagak
Putih.
     Bulat bin Leper memahami pertuduhan yang dibaca oleh pendakwa raya tersebut. Namun
begitu, dia tidak mengaku bersalah. Peguam bela dipanggil masuk ke ruang perbicaraan
untuk membela Bulat bin Leper. Bulat bin Leper mengaku bahawa dia berada di Taman
Gagak Putih ketika itu. Dia telah makan sebiji pisang dan membuang kulitnya. Pendakwa
raya menyatakan bahawa seorang nenek yang sedang berjoging telah terpijak kulit pisang
yang dibuang oleh Bulat bin Leper itu.
     Nenek tersebut tergelincir dan jatuh. Kejadian itu menyebabkan pinggang nenek tua itu
patah. Malah, nenek tua itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Pendakwa raya
mendesak Bulat bin Leper supaya mengaku bahawa pernyataan tersebut benar. Bulat bin
Leper tetap tidak mahu mengaku. Peguam bela bangun lalu membantah tindakan pendakwa
raya yang seolah-olah cuba menekan anak guamnya. Peguam bela menyatakan bahawa pada
waktu tersebut Bulat bin Leper telah makan sebiji pisang berangan. Kulit pisang itu dibuang
oleh Bulat bin Leper ke dalam tong sampah yang disediakan oleh pihak berwajib, tetapi
pintunya sudah rosak.
     Bulat bin Leper mengaku bahawa kenyataan tersebut benar. Peguam bela menyambung
kenyataan bahawa Bulat bin Leper sedar bahawa tugas membaiki pintu tong sampah itu
bukan tugasnya. Tambah peguam bela lagi, tindakan membuang kulit pisang itu ke dalam
tong sampah sudah cukup memperlihatkan kesedaran sivik Bulat bin Leper. Malah, Bulat bin
Leper telah menunjukkan contoh yang baik.
     Pendakwa raya membantah hujah peguam bela dengan menyatakan bahawa peguam bela
cuba memutarbelitkan kenyataan. Peguam bela menyambung hujahnya dengan menyatakan
bahawa Bulat bin Leper telah membuang kulit pisang itu ke dalam tong sampah. Seekor
kambing yang sangat kurus dan lapar telah makan sisa buangan di dalam tong sampah itu
dengan rakusnya sehingga kulit pisang tersebut tercampak ke jalan raya. Oleh sebab kambing
tersebut terlalu letih, matanya menjadi kabur dan berpinarpinar.  Kambing itu tidak nampak
kulit pisang sehingga kulit pisang itu terkais ke atas jalan raya. Ketika nenek tua melalui jalan
itu, dia terpijak kulit pisang itu lalu terjatuh. Seterusnya, nenek tua itu meninggal dunia.
Dengan itu, jelaslah bahawa Bulat bin Leper tidak bersalah. Yang bersalah ialah kambing
yang kurus itu. Oleh itu, kambing tersebutlah yang perlu dihukum bukannya Bulat bin Leper.
Peguam bela merayu agar mahkamah membebaskan Bulat bin Leper daripada tuduhan
membunuh secara tidak sengaja, tanpa syarat.
     Pendakwa raya pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat terhadap
Bulat bin Leper. Pendakwa raya menyatakan bahawa mahkamah adalah untuk manusia,
bukan untuk binatang. Peguam bela tidak bersetuju dengan kenyataan pendakwa raya.
Peguam bela menyatakan bahawa  setiap binatang peliharaan mesti ada tuannya. Oleh itu,
tuan empunya kambing itulah yang perlu dihukum. Jika tidak ada yang mahu mengaku, maka
kambing itu harus menjadi milik pihak berwajib. Setelah meneliti hujah pendakwa raya dan
peguam bela, hakim membuat keputusan bahawa Bulat bin Leper tidak bersalah.
     Mahkamah berhenti rehat. Selepas dua minit, mahkamah bersidang semula. Tertuduh II
dipanggil masuk. Tertuduh II tidak pandai berbahasa Melayu. Seisi mahkamah kecuali hakim
ketawa apabila Tertuduh II mengangkat sumpah dalam bahasa yang tidak difahami. Hakim
menyuruh pegawai memanggil penterjemah. Pendakwa raya membaca pertuduhan terhadap
Tertuduh II, iaitu Akinomoto. Pada 20 Mac 1988, Akinomoto telah dituduh mencuri seekor
beruk subsidi milik kerajaan Malaysia dari stor JKK Ulu Dungun. Akinomoto tidak faham
akan istilah beruk subsidi. Oleh itu, hakim meminta pendakwa raya memperincikan istilah
beruk subsidi tersebut. Pendakwa Raya memberi penjelasan tentang istilah tersebut dengan
menggunakan Bahasa Inggeris seperti yang tercatat dalam kamus The Advance Dictionary of
the Modern English for the Malaysian World.
     Akinomoto menyatakan bahawa dia semakin tidak faham dan meminta pendakwa raya
menggunakan bahasa Melayu. Hakim bersetuju bahawa bahasa Melayu yang merupakan
bahasa kebangsaan seharusnya digunakan di dalam mahkamah tersebut. Beliau meminta
pendakwa raya menghuraikan istilah beruk subsidi tersebut dalam bahasa Melayu.
Akinomoto memahami penjelasan tentang istilah beruk subsidi itu dan mengaku bersalah atas
tuduhan tersebut. Akinomoto turut menyatakan bahawa ibu beruk itu sudah hamil. Dia mahu
mengembalikan ibu beruk itu kepada yang berhak dan dia mahu membela anaknya. 
     Hakim memerintahkan Akinomoto memelihara ibu beruk itu sehingga selamat melahirkan
anaknya. Sebagai dendanya, Akinomoto perlu menjaga anak beruk itu sehingga mencapai
umur akil baligh. Akinomoto juga dipaksa memanjat pokok kelapa dengan anak beruk itu
menjadi tuannya.

Anda mungkin juga menyukai