Anda di halaman 1dari 1

Sinopsis Tarian Rampaian Etnik Kreasi KadazanDusun (SK Pekan)

Terdapat dua jenis tarian etnik KadazanDusun yang dipersembahkan dalam tarian rampaian etnik
kreasi ini iaitu tarian Sazau Papar dan Sumazau (Magarayou Kokotuan).

Tarian rakyat popular etnik KadazanDusun di Daerah Papar dikenali sebagai Sazau Papar.
Pada asalnya, tarian ini berfungsi dalam upacara Madsuwau (upacara memuja Dapu – tajau atau
tempayan yang menyimpan mayat). Tarian ini ditarikan secara berpasangan lelaki dan perempuan.
Gaya mengambai (mengangkat dan membuka kedua-dua belah tangan) bagi Sazau Papar ini
seperti burung layang-layang yang sedang terbang. Keunikan pergerakan tapak kaki penari
perempuan, tumit bertemu tumit, ibu jari bertemu ibu jari ini membuatkan tarian ini lebih unik dan
menarik. Irama tarian ini agak rancak dan pergerakan tangan penari kelihatan lembut. Manakala,
pergerakan kaki bagi penari wanita pula kelihatan seperti orang yang sedang mengirik padi dari
tangkainya.

Tarian Sumazau (Magarayou Kokotuan) ini pula mengisahkan tentang proses penanaman
padi sawah yang dilakukan oleh Masyarakat kaum KadazanDusun. Proses penanaman padi ini
diadaptasikan dalam bentuk tarian yang bermula dengan aksi “mangasok” (membuat lubang di
tanah untuk menyemai benih padi) diikuti pula dengan aksi “mananom” iaitu menanam padi yang
telah disemai. Apabila padi telah masak, aksi “mangatam” iaitu menuai padi dilakukan oleh para
penari. Akhir sekali, aksi “mongogik” dilakukan oleh penari lelaki untuk memisahkan padi daripada
tangkainya manakala aksi “manapu” dilakukan oleh penari perempuan iaitu menampi untuk
memisahkan padi yang kosong dan berisi. Gerakan tangan Sumazau melambangkan sayap burung
yang begitu sinonim di sawah padi. Hasil tuaian akhirnya diraikan dengan riang oleh para penari.

Busana tarian yang dipakai oleh penari-penari terdiri daripada baju baldu serba hitam yang
dihiasi dengan “Linangkit” (renda berwarna emas). Penari perempuan mengenakan tali pinggang
yang dipanggil “Himpogot” (duit syiling) dan “Tangkong” (berbentuk cincin) di sekeliling pinggul. Topi
berbentuk kon iaitu Sirung dipakai oleh penari perempuan dalam tarian Sazau manakala penari
lelaki pula memakai Sigar sebagai alas kepala sepanjang tarian. Kedua-dua tarian ini sangat
sinonim dengan masyarakat di Sabah khususnya kerana sering dipersembahkan dalam majlis-majlis
keramaian seperti musim menuai dan majlis perkhawinan.

Anda mungkin juga menyukai