Anda di halaman 1dari 8

PENGENALAN

Definisi tarian dari segi bahasa ialah gerakan badan serta tangan dan kaki berirama mengikut
rentak muzik (Kamus Dewan, Edisi Ketiga), manakala tafsiran ahli sejarah pula
mendefinisikan seni tari sebagai gerakan yang berirama(C.Sachs). Tarian boleh ini diertikan
sebagai seni lakon dibawah unsur kesenian dan dilihat dibawah aspek kebudayaan. Ianya
dapat dizahirkan melalui sebarang gerakan yang dapat melambangkan kebudayaan sesuatu
masyarakat dan gerakan yang dilakukan pula menggambarkan perasaan jiwa manusia.

Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis tarian sama ada dari segi tarian berbentuk tradisional
mahupun kontemporari. Tarian tradisional merangkumi beberapa tarian yang mengikut etnik
dan ada juga yang mewakili kenegerian. Tarian tradisional pula walaupun di telan zaman, ia
masih ditarikan di dalam acara-acara kesenian mahupun majlis-majlis kenamaan.

Mahupun begitu, tarian tradisional sering dihubungkaitkan dengan semangat ritual dan
mistik. Sejajar dengan proses globalisasi, kemasukan tarian kontemporari dari negara barat
semakin menular dikalangan masyarakat Malaysia dan amat digemari oleh anak-anak muda
masa kini. Kebiasaannya, tarian seringkali dikaitkan dengan iringan muzik. Tarian dan muzik
bagaikan ritma yang tidak dapat dipisahkan. Selain itu, tarian juga dapat dijadikan sebagai
suatu alat yang dapat mengeratkan perhubungan sesama manusia disamping memuliharanya
agar ia tidak ditelan zaman.

1. TARIAN MAGUNATIP (SABAH)

1.1 SEJARAH TARIAN MAGUNATIP

Tarian Magunatip atau juga dikenali sebagai tarian buluh merupakan tarian tradisi bagi suku
kaum Murut iaitu dari suku Kuhijau (Kwijau) di pedalaman Sabah. Nama tarian Magunatip
berasal dari perkataan apit yang bermakna jepit. Ia membawa maksud jika penari tidak dapat
mengelakkan diri daripada terkena batang buluh semasa menari maka kaki penari tersebut
akan terjepit atau terapit oleh dua batang buluh. Pada masa dahulu, tarian ini sebenarnya
satu hiburan pada para petani setelah mereka selesai menanam padi. Hasil daripada gerakan
permainan magunatip iaitu dimana pelaku akan cuba mengelak daripada tersepit Ini
menimbulkan banyak ketawa dan keriangan di kalangan pelaku dan penonton. Permainan
yang menyeronokkan itu seterusnya berkembang menjadi tarian yang akan dilakukan secara
pasangan.

Pada mulanya, permainan ini dimainkan tanpa sebarang muzik. Hanya bunyi kuat
kedua-dua tiang buluh yang dihentak di permukaan kayu ini disediakan sebagai panduan
untuk para penari melangkah masuk dan keluar (Low Kok On, Suhaimi Magi, Supyan Hussin,
A. S. Hardy Shafii, and Norfarizah Mohd Bakhir ). Walau bagaimanapun, dari masa ke masa,
bunyi yang menonjol dari tagunggak, idiophone tradisional buluh, telah diperbadankan
sebagai iringan muzik untuk permainan ini yang akhirnya berkembang menjadi tarian
Magunatip. Tarian Magunatip moden dimulakan dengan penari solo lelaki yang mengambil
peranan sebagai seorang pahlawan melaksanakan mahi-hialang, yang disertai oleh
sekumpulan empat hingga enam wanita Murut yang menari anggalang yang anggun dengan
muzik tradisional dari enam gong besar, 25 tagunggak dan tambor.

1.2 CIRI-CIRI TARIAN MAGUNATIP

Tarian Magunatip biasanya dipersembahkan untuk memeriahkan lagi suasana


sesebuah majlis. Tarian ini biasanya tidak memerlukan iringan muzik kerana buluh yang
dilagakan akan mengeluarkan bunyi yang kuat dengan rentak irama yang menarik dan hal ini
menunjukkan bahawa tarian Magunatip berbeza daripada tarian tradisi yang lain.
Ketangkasan dan kemahiran yang ditunjukkan oleh penari Magunatip semasa menari
melintasi buluh yang dipukul serentak dalam tarian merupakan antara penyumbang utama
tarian ini dapat dipersembahkan tanpa iringan muzik. Batang buluh merupakan alat yang
penting dalam tarian Magunatip kerana batang buluh diperlukan untuk menghasilkan bunyi
bagi tarian ini.

Melalui tarian ini, unsur kegagahan yang ada pada kaum Murut dapat dipamerkan.
Tujuan tarian Magunatip dipersembahkan adalah untuk memujuk roh-roh nenek moyang
mereka agar dapat menjaga mereka dan pada hari Magavau untuk memuja semangat padi
Pakaian yang dipakai oleh penari berwarna-warni dan dihiasi dengan manik-manik pelbagai
jenis telah menambahkan lagi keistimewaan pada tarian tersebut. Penari wanita memakai
“salupai” yang dipakai di kepala, “pipirot” iaitu tali pinggang, gelang tangan dan kaki, rantai
dan sebagainya manakala penari lelaki memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu
dan “tupi sinulatan” yang dipakai di kepala.

Corak persembahan tarian ini juga telah mengalami perubahan mengikut arus
kemodenan. Pelbagai teknik tarian dipelbagaikan dan ditokok tambah mengikut kreativiti
masing-masing namun masih mengekalkan keaslian tarian ini. Kebiasaannya, Tarian
Mangunatip dimulakan dengan pukulan gong dan sebahagian penari datang dan menari
dengan lemah-gemalai sebagai ucapan selamat datang kepada tetamu. Seterusnya, penari
yang akan beraksi dengan menggunakan buluh iaitu penari lelaki dan perempuan datang.
Penari lelaki akan membawa buluh yang panjang dan penari wanita pula membawa empat
batang buluh pendek. Pemukul buluh akan mula memukul buluh dan para penari secara
berpasang- pasangan menari melalui keempat-empat buluh. Selepas itu, corak persembahan
bertukar membentuk step atau bunga tarian yang baru. Kempat-empat buluh akan disilangkan
menjadi bentuk X dan para penari menari dalam satu bulatan. Beberapa corak tarian akan
bertukar dan semakin lama buluh akan diketuk dengan cepat dan para penari memerlukan
kosentrasi dan menumpukan perhatian supaya kaki mereka tidak tersepit. Selepas itu, tarian
akan berakhir dengan latar belakang atau kedudukan yang menarik daripada setiap penari
yang mengambil bahagian.

RAJAH 1 ; Tarian Magunatip

2. TARIAN NGAJAT (SARAWAK)

2.1 SEJARAH TARIAN NGAJAT

Asal usul Tarian Ngajat ini, sebenarnya bagi orang-orang Iban ialah tarian semasa
menyambut Hari Gawai, sebelum orang-orang Iban berperang dan selepas musim menuai
padi. Pada zaman dahulu tarian tersebut ditarikan selepas mereka kembali dari berperang.
Sejarah tarian ngajat ini sebenarnya sebelum berperang upacara ritual “miring” diadakan dan
dihadiri oleh orang-orang atasan dan barisan para pertempur (Jerry, 2017). Kanak-kanak dan
ibu mengandung tidak akan dibenarkan menghadiri upacara tersebut. Tujuan upacara
tersebut diadakan adalah untuk ilmu memuja demi membakar semangat pertempuran.
Upacara ritual tersebut menggunakan beberapa alatan dan bahan seperti mangkuk berisi
beras, telur ayam, rokok gulungan dan tembakau. Upacara ini juga diselitkan dengan tarian,
lagu dan sajak untuk menaikkan semangat mereka. Mereka akan keluar bertempur seawal 3
pagi hingga 4 pagi. Ia bertujuan untuk tidak menyedarkan seisi rumah sewaktu mereka pergi
berperang. Mereka akan balik daripada bertempur dengan membawa kepala musuh dan
keesokan harinya, mereka akan mengadakan upacara meraikan para pejuang.
2.2 CIRI-CIRI TARIAN NGAJAT

Tarian Ngajat merupakan tarian pahlawan tradisional bagi kaum Iban di Sarawak. Tarian ini
amat popular dan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu Ngajat Induk, Ngajat
Bebunuh, Ngajat Lesung, Ngajat Pua Kumbu, Ngajat Kuta dan Ngajat Ngalu Temuai. Tarian
Ngajat Induk merupakan persembahan yang dipersembahkan oleh golongan wanita yang
memaparkan kelembutan dan kehalusan seni budaya serta adat istiadat masyarakat pribumi
itu sendiri. Gerak tari yang dipersembahkan mempunyai maksud yang tersirat serta
menggambarkan aktiviti seharian masyarakat Iban. Ngajat Bebunuh pula dipersembahkan
oleh kaum lelaki dari masyarakat berkenaan. Ia merupakan satu peniruan atau pengulangan
yang dilakukan oleh mereka sebagaimana yang mereka lakukan semasa menghadapi
musuh-musuh ketika mereka mengadakan aktiviti harian seperti memburu.

Manakala, Ngajat lesung merupakan tarian yang dipersembahkan oleh golongan


lelaki sahaja. Persembahan ngajat jenis ini hanya dibenarkan untuk ditarikan oleh kaum lelaki
kerana ianya memerlukan penari lelakinya untuk menari sambil menggigit lesong. Kekuatan
dan kegagahan yang ditunjukkan dalam persembahan tarian ngajat jenis ini hanya
sesuai dipersembahkan oleh golongan lelaki sahaja. Seterusnya Ngajat Pua Kumbu adalah
persembahan yang lazimnya dipersembahkan oleh golongan wanita. Memandangkan nama
tarian ini ialah Pua Kumbu sudah pasti penariakan menari sambil membawa kain pua kumbu
sebagai alat dalam persembahan mereka.

Ngajat Kuta pula merupakan jenis tarian persembahan ngajat yang menggabungkan
penari lelaki dan perempuan. Biasanya diadakan bagi upacara sambutan seperti perasmian
sesebuah persembahan kebudayaandan sebagainya. Yang terakhir adalah Nyajat Ngalu
Temuai. Nyajat Ngalu Temuai ini dipersembahkan bagi tujuan menyamut kedatangan tetamu
khas yang datang. Biasanya tarian ini dipersembahan ketika upacara perasmian atau
pembukaan sesuatu majlis rasmi yang dihadiri oleh banyak tetamu-tetamu terhormat dan
orang ramai.

Keindahan tarian ngajat yang terdapat dalam masyarakat ini adalah unik dan asli
kerana ianya merupakan satu indentiti komuniti Iban yang penuh dengan dunia mistik dan
keajaiban serta membezakan kaumnya dari suku-suku kaum pribumi lain di Sarawak.

Penari lelaki akan digelar sebagai ‘keling’ dan penari perempuan pula digelar sebagai
‘kumang’. Semasa menari, penari-penari akan memakai pakaian yang dinamakan ‘sirat’,
‘gagong’ ataupun baju burung. Gagong merupakan satu pakaian yang tebal dan keras yang
diperbuat daripada kulit binatang seperti kulit beruang. Pakaian ini tidak dijahit kiri dan
kanannya. Satu topi yang panjang yang dihiaskan dengan buru-buru burung juda dipakai.
Penari-penari akan menari tarian ini dengan berdiri atas bulatan langsaran ke atas dan
ke bawah serta melompat bersama iringan lagu. Setiap rentak yang ditarikan adalah
bersesuaian dengan upacara. Tarian Ngajat ini juga dapat ditarikan dengan memegang
pedang di tangan kanan dan perisai kayu yang berukir di tangan kiri. Mereka akan Menari
seperti berdepan dengan musuh dan menghayunkan badan ke kiri dan kanan.

Bagi membunyikan lagu iringan Tarian Ngajat, alat-alat muzik yang digunakan adalah
seperti gong, gendang, bebendai, tawak, sapeh dan engkurumong. Selain itu, untuk
ber’Rayah’ sambil membawa tengkorak musuh, gendang Rayah telah dimainkan untuk
tetamu kehormat dan orang yang menyambut Hari Gawai.

RAJAH 2 ; Tarian Ngajat

TARIAN DABUS (MELAYU)

3.1 SEJARAH TARIAN DABUS

Dabus pada asalnya bukanlah sebuah tarian tetapi merupakan sejenis seni mempertahankan
diri. Oleh itu, konsep dabus ialah kepahlawan. Justeru itu, permainan dabus menuntut
kecerdasan, ketangkasan, keperwiraan dan keceriaan ketika bermain. Dabus adalah salah
satu tarian tradisional di Perak yang mampu bertahan sejak lebih 300 tahun lalu. Sekalipun
negara menerima arus perubahan di samping kepesatan pengaruh budaya barat, namun
sehingga kini ia masih diminati dan dihayati oleh para pencinta seni. Biarpun dabus masih
belum boleh dikategorikan sebagai seni popular di kalangan rakyat, namun kegiatannya yang
secara terus digerakkan oleh pewaris kesenian itu sejak dulu lagi mampu mencatatkan
sejarahnya tersendiri sebagai salah satu tarian tradisional yang terunggul di negeri Perak.
Permainan atau tarian dabus akan bermula apabila alat-alat muzik dipalu dan lagu-
lagu yang dipetik daripada kitab berzanji dan marhaban dinyanyian. Nyanyian dalam
persembahan dabus ini mempunyai sekali hadi (korus) dan sekali jawab. Hadi biasanya
dipetik daripada kitab berzanji dan jawabnya pula rekaan sendiri di dalam Bahasa
Kebangsaan seperti memuji kecantikan Negara Malaysia, kecantikan seorang perempuan,
puji-pujian, nasihat dan sebagainya. Hadi pertama ialah Tanagal dan jawabnya Muradiseng,
hadi kedua Fa-ohesan dan jawabnya Allahummasalli.

3.2 CIRI-CIRI TARIAN DABUS

Dalam tarian dabus ini, setiap penari atau pemain dabus mesti menggunakan sejenis
besi tajam yang dipanggil ‘anak dabus’. Penggunaan anak dabus ini ialah untuk
memperlihatkan keistimewaan tarian tersebut. Tanpa penggunaan anak dabus, akan
hilanglah identiti dabus. Permainan dabus yang asli bukan sahaja para pemain atau penari
menggunakan anak dabus sebaliknya mereka akan menggunakan beberapa senjata tajam
yang lain untuk mempamerkan kehebatan permainan dabus. Selain anak dabus, antara
senjata tajam yang lain yang digunakan dalam persembahan dabus ialah keris, pisau belati,
kapak, batu giling dan tali.

Para penari akan keluar dan menghormati penonton sebelum memulakan tarian.
Biasanya penari akan keluar berpasangan untuk menari. Sepasang yang dimaksudkan
adalah tidak semestinya terdiri daripada seorang lelaki bersama seorang perempuan. Tetapi
sepasang yang dimaksudkan adalah berdua, iaitu mungkin kedua-dua penari adalah lelaki
ataupun perempuan.

Gerak langkah tarian ini ada tiga jenis yang dinamakan ‘susun sireh’, ’ayam tajak’, dan
‘helang sewah’. Susunan langkah adalah mengikut pilihan ahli-ahli tari, tetapi biasanya
dimulai dengan susun sireh. Langkah tari dimulakan dengan gerak tertentu dengan
melangkah ke hadapan tiga kali, kemudian duduk dan sembah, selepas iti barulah tarian
seluruhnya dipersembahkan. Setiap seorang penari akan memegang sepasang buah dabus
sambil menari. Gerak tari adalah mengikut irama lagu dan nyanyian. Seorang penari akan
keluar menari dan setelah selesai peranannya dia akan diganti oleh penari yang lain pula,
begitulah bergilir-gilir sehingga tarian tamat. Lazimnya, setiap lagu memakan masa kira-kira
sepuluh minit.

Bagi pakaian pula, ia bergantung kepada ketua pasukan untuk menentukan warna dan
jenis pilihan pakaian ahlinya. Tetapi lazimnya bagi kanak-kanak, mereka memakai pakaian
melayu berwarna hijau pucuk pisang manakala penari dewasa pula mereka memakai pakaian
melayu yang lengkap dan berwarna hitam yang melambangkan kepahlawanan.
RAJAH 3 ; Tarian Dabus

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, setiap tarian tradisional di Malaysia ini mempunyai keunikan


dan keistimewaannya yang tersendiri. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah
berbangga dengan peninggalan nenek moyang kita dan meneruskan khazanah ini agar ia
terus terpelihara untuk masa depan kelak.
RUJUKAN

Jerry Hakwin Anak Suting. (2017). Peranan Dayak Foundation (DFC) Dalam memelihara
Tarian Nyajat. Jurnal Seni Gunaan dan Kreatif, 1 - 24.

Kamus Dewan edisi ketiga. 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kntayya Mariappan & Paul Porodong. 2012. Murut & Pelbagai Etnik Kecil Lain di Sabah. Kuala
Lumpur : Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Low Kok On, Suhaimi Magi, Supyan Hussin, A. S. Hardy Shafii, and Norfarizah Mohd Bakhir.
(2018). The Healing Ritual Context of the MagunatipDance of the Murut in Sabah,
Malaysia. 1 - 27.

Maruwiyah Ahmad. 2012. Kaum Utama Kadazandusun & Iban. Kuala Lumpur: Goodwill
Publications.

Matusky, Patricia dan Tan Sooi Beng (1997). Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan
Sinkretik. Pulau Pinang: The Asian Centre.

Norliza Rofli. (2003). Dabus. Kuala Lumpur: Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan
bahagian Pembangunan Kebudayaan dan kesenian Kementerian Kebudayaan,
Kesenian dan Pelancongan Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai