Anda di halaman 1dari 7

PENGENALAN ILMU USUL FIQH

Islam adalah agama yang lengkap dan sesuai untuk sepanjang zaman. Para
ulama' sentiasa berjuang untuk memastikan agar ajaran-ajaran Islam dapat
diwarisi dari satu generasi kepada generasi yang lain. Mereka telah
mengumpul serta menyusun ilmu-ilmu syariah seperti ilmu usul fiqh untuk
dijadikan sebagai panduan kepada para ulama dalam ijtihad dan fatwa.

1. Pengertian Ilmu Usul Fiqh

Perkataan usul fiqh berasal dari dua perkataan iaitu 'usul' dan 'al-
fiqh'. 'Usul' bererti asas, sumber, kaedah atau dalil. 'al-fiqh' dari segi bahasa
bererti memahami sesuatu perkara. Dari segi syara' al-fiqh bererti
pengetahuan tentang hukum-hukum syara' yang berkaitan dengan
perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili. Apabila dua
perkataan usul dan al-fiqh digabungkan, dapatlah ia diistilahkan seperti
berikut: Istilah Usul fiqh: Ilmu tentang kaedah-kaedah
mengistinbat (mengeluarkan) hukum-hukum syara' yang berkaitan dengan
perbuatan mukallaf dari dalil-dalil tafsili.

1.1 Definisi Usul Fiqh

Definisi Ilmu Usul Fiqh, ilmu Usul Fiqh adalah ilmu yang membincangkan
tentang kaedah bagaimana membuat suatu kesimpulan hukum syarak yang
bersifat amali. Hukum itu pula diambil dan dirumuskan daripada dalil dan
sumbernya. Dengan demikian, kandungan ilmu ini sudah tentu akan
menyentuh dalil-dalil/sumber hukum syarak dan hukum syarak itu sendiri
secara umum/ijmali. Daripada sumber ini, kaedah usul fiqh akan dirumus dan
dibentuk.

Dengan kaedah yang dibentuk ini, para ulama akan membuat


penelitian terhadap sumber-sumber hukum, sama ada al-Quran atau al-
Sunnah untuk menghasilkan suatu kesimpulan hukum amali. Sebagai contoh,
kaedah usul fiqh menyebutkan setiap ayat perintah biasanya akan
mendatangkan hukum wajib.

Contoh-contoh ayat al-Quran yang menunjukkan arahan dan


perintah melakukan sesuatu dapat diperhatikan seperti dalam Jadual 1.1.

Jadual 1.1: Contoh Ayat al-Quran yang Menunjukkan Arahan dan Perintah
Melakukan Sesuatu Berserta Maksudnya

Ayat al-Quran Maksud


‫وأقيموا الصالة‬ Maksudnya: Dan dirikanlah solat (al-Baqarah 2:110)
‫وآتوا الزكاة‬ Maksudnya: Dan tunaikanlah zakat (al-Baqarah
2:110)
‫وأتموا الحج والعمرة هلل‬ Maksudnya: Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan
Umrah kerana Allah. (al-Baqarah 2:196)

1
Ilmu usul fiqh hanya akan menyentuh perbincangan mengenai dalil-dalil
hukum syarak secara umum/ijmali dan tidak menyentuhnya secara
terperinci/tafsili kerana perbincangan yang lebih menyeluruh akan
dibincangkan dalam hukum fiqh.

1.2 Faedah Mempelajari Ilmu Usul Fiqh

Tahukah anda bahawa penguasaan ilmu Usul Fiqh sangat penting


dalam pengajian hukum Islam? Cuba bayangkan apakah faedah yang akan
anda dapati setelah menguasai ilmu ini? Usul fiqh menjadi ilmu asas dan
kunci utama kepada pelajar pengajian hukum Islam.

Faedah utama penguasaan ilmu ini ialah untuk memberi


kemahiran bagaimana menentukan sesuatu hukum yang terkandung dalam
teks perundangan Islam. Penguasaan ilmu ini memungkinkan pelajar
memahami kehendak teks perundangan dengan tepat dan seterusnya
memberi penilaian terhadap segala tindak tanduk manusia berasaskan
neraca kaedah usul fiqh. Pengembangan hukum Islam akan boleh dilakukan
oleh mereka yang menguasai ilmu ini.

1.3 Perbezaan Usul Fiqh dan Fiqh

Jadual 1.2: Perbezaan antara Usul Fiqh dengan Fiqh

Usul Fiqh Fiqh


Membincangkan tentang dalil dan Membincangkan tentang dalil tafsili.
kaedah yang bersifat ijmali.

Istilah hukum di sisi para ulama usul Istilah hukum di sisi para ulama fiqh
ialah teks al-Quran atau al-Sunnah ialah kesan hukum yang dihasilkan dari
itu sendiri. setiap teks al-Quran atau al-Sunnah.

Keterangan (a): Ilmu Usul al-Fiqh membincangkan tentang dalil dan


kaedah yang bersifat ijmali/umum. Ia akan menerangkan metodologi yang
mesti diikuti oleh setiap ulama dalam menentukan dan mengenal pasti
sesuatu hukum syarak. Sebaliknya perbincangan dalam ilmu Fiqh pula lebih
tertumpu kepada penentuan hukum terhadap sesuatu masalah berdasarkan
dalil tafsili/terperinci.

Sebagai contoh, ulama Usul al-Fiqh lebih banyak membincangkan


mengenai sesuatu kaedah hukum yang umum atau dalil syarak dalam skop
yang lebih luas seperti perbincangan mengenai kaeda: “Semua bentuk
arahan memberi maksud wajib selagimana ia tidak dinafikan oleh dalil syarak
yang lain”. Perbincangan mengenai pengertian al-Quran, Sunnah, jenis dan
statusnya, pengertian Ijmak, konsep al-Qiyas dan aplikasinya dan lain-lain
yang seumpamanya.

2
Sebaliknya, skop perbincangan para ulama Fiqh pula adalah lebih sempit
kerana mereka hanya cuba menganalisa dan memutuskan hukum terhadap
sesuatu masalah berdasarkan sepotong nas atau ayat daripada dalil syarak
yang bersifat tafsili.

Sebagai contoh, mereka cuba menganalisa hukum solat fardu dengan


berdasarkan sepotong ayat al-Quran: “Dan dirikanlah solat”. Hasil daripada
kefahaman dan analisa yang dibuat, mereka akhirnya memutuskan bahawa
hukum mendirikan solat fardu adalah wajib memandangkan kandungan ayat
tersebut telah dinyatakan dalam bentuk arahan. Dengan lain perkataan,
ulama Fiqh juga perlu memahami ilmu Usul al-Fiqh sebagai kaedah yang
dijadikan panduan bagi mereka untuk mengenal pasti sesuatu hukum bagi
kes-kes yang berkaitan.

Keterangan (b): Hukum pada ulama usul fiqh adalah merujuk kepada ayat al-
Quran itu sendiri, sebagai contoh ayat 110 dari Surah al-Baqarah. Ia
biasa dinamakan dalam pengajian usul fiqh sebagai Khitab Allah. Tetapi
hukum pada ulama fiqh ialah hukum wajib mengerjakan solat hasil dari firman
Allah dalam ayat 110 surah al-Baqarah.

1.4 Perbezaan Usul Fiqh dan Qawaid Fiqh

Tidakkah anda lihat bahawa kedua ilmu ini mempunyai perkataan fiqh
di belakangnya? Ia menggambarkan antara keduanya ada hubung
kait. Bagaimanakah perkaitan antara keduanya berlaku?

Kedua-dua ilmu ini adalah berkaitan dengan kaedah. Perkataan qawaid


pada istilah qawaid fiqh adalah kata jamak kepada perkataan kaedah
mengikut perkaedahan bahasa Arab. Dalam perbincangan terdahulu telah
kita sebutkan bahawa usul fiqh merupakan ilmu yang membincangkan
kaedah bagaimana penentuan suatu hukum syarak dilakukan. Daripada usul
fiqh lahirnya hukum fiqh. Daripada hukum fiqh pula terbentuknya qawaid fiqh.

Qawaid Fiqh ialah ilmu yang menghimpunkan prinsip umum hukum-hukum


fiqh yang digubal dalam bentuk petikan yang ringkas seperti perlembagaan.
Setiap kaedah ini akan menghimpunkan sebahagian besar daripada hukum
fiqh yang berkaitan.

Keistimewaan qawaid fiqh ialah:

1. Kaedahnya ringkas;
2. Lafaznya mempunyai maksud yang umum; dan
3. Mencakupi hukum-hukum fiqh yang luas dan saling berkaitan.

Sebagai contoh kaedah: “Setiap sesuatu bergantung kepada niat”. Kaedah


fiqh ini memenuhi tiga ciri di atas kerana:

1. Ia ringkas;
2. Lafaznya boleh menjangkau hukum yang sangat luas dan umum; dan
3. Ia mencakupi hukum-hukum fiqh yang sangat luas.

3
Keterangan lanjut kepada kaedah tersebut boleh dibuat dengan
menyebutkan bahawa kaedah: setiap sesuatu bergantung kepada niat boleh
dipakai untuk berbagai-bagai jenis hukum fiqh yang mempunyai persamaan
latar belakang. Ia merangkumi hukum berkenaan hal ibadat,
perkahwinan, lain.

Dengan berpandukan kaedah fiqh, para ulama boleh menjadikannya


sebagai panduan umum dalam membuat ketentuan hukum. Kaedah ini
berperanan menjadi garis panduan untuk para pengkaji hukum Islam. Ia
memudahkan mereka memahami dan menyelaraskan kes-kes yang pelbagai
di bawah satu kaedah yang boleh merangkumi kesemua kes yang bersamaan
konsep dan latar belakangnya sebagaimana disebutkan tadi.

2. Sejarah Perkembangan Ilmu Usul Fiqh

2.1 Zaman Rasulullah ‫ﷺ‬

Pada zaman Rasulullah ‫ ﷺ‬hukum-hukum diambil dari wahyu iaitu dalam


bentuk Al-Qur'an dan penjelasan oleh baginda iaitu al-sunnah. Segala
perkara yang berlaku dirujuk kepada Rasulullah ‫ﷺ‬. Baginda akan
menjawab secara terus berdasarkan ayat Al-Qur'an yang diturunkan atau
penjelasan baginda sendiri. Namun demikian, terdapat di kalangan para
sahabat yang tidak dapat merujuk kepada Nabi lantaran tempat mereka yang
jauh daripada baginda. Contohnya Mua'z bin Jabal ketika diutus oleh baginda
ke negeri Yaman. Rasulullah ‫ ﷺ‬membenarkan Mua'z untuk berijtihad
dalam perkara yang tidak terdapat ketentuan dalam Al-Qur'an dan Al-
Sunnah.

2.2 Zaman Sahabat

Setelah Rasulullah wafat, sebarang masalah yang timbul dirujuk kepada para
sahabat. Mereka berkeupayaan menginstibat hukum terus dari Al-Qur'an dan
Al-Sunnah kerana beberapa faktor, antaranya:

1. Penguasaan bahasa Arab yang baik membolehkan mereka memahami Al-


Qur'an dan Al-Sunnah dengan tepat.
2. Mempunyai pengetahuan tentang sebab nuzul ayat dan sebab-sebab
sesebuah hadith diucapkan.
3. Mereka merupakan para perawi hadith. Oleh itu mereka tidak perlu kepada
metode tertentu untuk menentukan kesahihan sesebuah hadith.

Faktor-faktor ini menyebabkan para sahabat memiliki kepakaran yang cukup


untuk mengistinbat hukum. Mereka menetapkan sesuatu hukum dengan
merujuk Al-Qur'an dan Al-Sunnah. Seterusnya, apabila mereka mendapati
tiada sebarang ketetapan hukum tentangnya, mereka akan berijtihad dengan
menggunakan kaedah Qiyas. Inilah cara yang dilakukan oleh para mujtahid
dari kalangan para sahabat seperti Abu bakar, 'Umar, 'Uthman dan 'Ali.
Sekiranya mereka mencapai kata sepakat dalam sesuatu hukum maka
berlakulah Ijma'.

4
2.3 Zaman Tabi'in

Pada zaman tabi'in para 'ulama mengambil hukum tidak jauh bezanya
dengan zaman sahabat. Persamaan ini disebabkan jarak masa mereka
dengan kewafatan Rasulullah ‫ ﷺ‬tidak terlalu jauh. Cuma mereka jika
sesuatu hukum tidak terdapat dalam Al-Qur'an, Al-Sunnah dan Al-'Ijma
mereka akan merujuk kepada pandangan para sahabat sebelum mereka
berijtihad. Oleh sebab itu idea untuk menyusun ilmu usul fiqh belum lagi
timbul dan muncul ketika itu. Inilah cara yang dilakukan oleh para mujtahid
dikalangan tabi'in seperti Sa'id bin Al-Musayyib, 'Urwah bin Zubir, Al-Qaadhi
Shuraiyh dan Ibrahim Al-Nakha'i.

3. Zaman Kemunculan Ilmu Usul Fiqh

Setelah berlalunya zaman tabi'in, keadaan umat Islam semakin berubah.


Bilangan umat Islam bertambah ramai dan berlaku percampuran antara orang
Arab dan bukan Arab. Kesannya penguasaan bahasa Arab dikalangan orang-
orang Arab sendiri menjadi lemah. Pada masa itu timbul banyak masalah
baru yang tiada ketentuan hukumnya dalam Al-Qur'an dan Al-Sunnah secara
jelas. Keadaan tersebut menyebabkan para 'Ulama mula menyusun kaedah-
kaedah tertentu yang dinamakan ilmu Usul fiqh untuk dijadikan landasan
kepada ijtihad mereka. Ini berlaku pada akhir kurun kedua hijriyyah.

3.1 Pengasas Ilmu Usul Fiqh

Ilmu usul al-fiqh disusun sebagai satu ilmu yang tersendiri dalam sebuah kitab
oleh Al-Imam Muhammad bin Idris As-syafii'. Kitab beliau dinamakan 'Al-
Risaalah. Kitab ini membincangkan tentang Al-Qur'an dan Al-Sunnah dari
segi kehujahan serta kedudukan kedua-duanya sebagai sumber penentuan
hukum. Oleh kerana kitab Al-Risaalah merupakan kitab pertama disusun
dalam bidang ini sampai kepada kita, Al-Imam as-syafi'i diiktiraf sebagai
pengasas kepada ilmu usul fiqh.

4. Skop Perbincangan Ilmu Usul Fiqh

Dalil-dalil Syara'
Iaitu merangkumi dalil-dalil yang disepakati dan tidak disepakati. [Dalil yang
disepakati adalah Al-Qur'an, Al-Sunnah, 'Ijma dan Qiyas; Dalil yang tidak
disepakati: Ihtishaan, Ihtishaab, Al-masaalih al-mursalah, Saddu al-zaraa'i,
Syar'u man qablana, Qaulu al-sahabbiy, 'Amalu Ahl al-Madinah dan 'Urf wal
'Aadah]

Dilaalah
Iaitu merangkumi kaedah-kaedah istibat hukum dari nas-nas Al-Qur'an dan
Al-Sunnah

Ta'arud dan Tarjih


Iaitu perbincangan tentang percanggahan di antara dalil-dalil serta jalan
penyelesaiannya.

5
Hukum-hukum Kulliy
Iaitu merangkumi hukum taklifi dan hukum wadh'i.

Ijtihaad dan Mujtahid


Iaitu merangkumi persoalan taqliid dan muqallid.

5. Cara Penulisan Ilmu Usul Fiqh

Selepas Imam As-Syafi'i, terdapat ramai 'ulama yang menulis ilmu Usul fiqh.
Cara penulisan mereka dibahagikan kepada dua: Tariqah al-
mutakallimin dan Tariqah al-ahnaaf.

1-Tariqah al-Mutakallimin

Cara ini dipelopori oleh 'ulama mazhab Syafi'i. Oleh sebab itu ia juga
dinamakan 'Tariqah al-syafi'iyyah'. Mereka membuat kaedah-kaedah usul fiqh
serta mengukuhkannya dengan dalil-dalil naqliy dan 'aqliy. Kemudian kaedah-
kaedah ini dijadikan dasar untuk menyelesaikan masalah-masalah yang
timbul. Mereka tidak memasukkan masalah fiqh tersebut dalam penulisan-
penulisan mereka. Masalah fiqh tersebut dibiarkan berasingan dalam kitab-
kitab fiqh; antaranya:

Al-Mu'tamad
Al-imam al-haramayn Abdul Malik bin Abdullah Al-Juwaiyniyy (w. 478 H m.
1058), guru kepada Imam Al-Ghazali.

Al-Mu'tamad
Abu Husaiyn Muhammad bin 'Ali Al-Basri (w. 446 H m. 1044).

Al-Mustasfa min Ilmi al-Usuul


Al-Imam al-Ghazali (w. 505 H m. 1111).

Al-Mahsuul
Fakhruddin Muhammad bin 'Umar bin Al-Hussaiyn Al-Razi (w. 606 H m. 1209)
*Al-mahsul merupakan ringkasan kepada ketiga-tiga kitab sebelumnya.

Al-Ihkaam fi Usuuli al-Ihkaam


Saiyfuddin al-Aamidi (w. 631 H m. 1233).

2-Tariqah Al-Ahnaaf

Cara penulisan ini juga dikenali sebagai 'Tariqatul Fuqahaa'. Menurut cara ini,
kaedah-kaedah usul fiqh dibuat berdasarkan hukum-hukum yang
telah diputuskan oleh imam-imam madzhab mereka. Kaedah-kaedah tersebut
dipastikan selaras dengan apa yang telah diputuskan. Jika tidak, kaedah-
kaedah tersebut diubah suai oleh mereka. Oleh itu, dalam kitab-kitab yang
ditulis mengikut cara ini terdapat banyak masalah fiqh. Antaranya:

Al-Usul (al-Jassas)

6
Abu Bakar Ahmad bin 'Ali (w. 370H m. 980).
Al-Usul
Abu Zayd Abdullah bin 'Umar Ad-Dabbusiyy (w. 430 m. 1039).

Al-Usul
Fakhrul Islam 'Ali bin Muhammad Al-Bazdawiyy (w. 482 H m. 1089).

Kasyful Asraar
Abdul Aziz bin Ahmad Al-Bukhari (w. 730 H m. 1330).

Selain daripada dua bentuk penulisan tersebut, terdapat satu lagi bentuk
penulisan usul fiqh iaitu cara penulisan yang menggabungkan kedua-dua cara
penulisan tersebut. Cara ini dikenali sebagai 'Tariqah al-Muta'akhiriin'.

3-Tariqah Al-Muta’akhiriin

Cara ini kemudiannya diikuti oleh 'ulama dari pelbagai madzhab seperti
hanafi, maliki, syafi'i dan hanbali. Antaranya:

Badii'u al-Nizaam
Muzaffaruddin Ahmad bin 'Ali As-Saa'ati al-hanafiyy (w. 694 H m. 1295).
*merupakan gabungan kitab Al-Usul oleh al-bazdawiyy dan Al-Ihkaam oleh
Al-Amdaadi.

Al-Tanqiih dan syarahnya At-Tawdih


Sadr Al-Syari'ati Abdullah bin Mas'ud Al-Mahbuubi al-hanafiyy (w. 747 H m.
1346).

Jami'ul Jawami'
Al-Imam Taajuddin Abdul Wahhab bin 'Ali Subki As-syafi'iyy (w. 771 m. 1369).

*Al-Muwafaqaat fi usuuli Ahkaam


Abu Ishaq Ibrahim bin Musa Al-Lakhamiy atau lebih dikenali sebagai As-
Syatibi (w. 790 H m. 1388). Beliau telah menggabungkan kaedah Usul
fiqh dengan Maqasid al-syari'ah. Kitab al-muwafaqaat telah menjadi perintis
kepada pembentukan satu disiplin ilmu baru iaitu ilmu Maqasid al-syariah.
Sekarang ilmu ini dibincangkan secara lebih terperinci dan terpisah dari ilmu
usul fiqh. Antara kitab yang terkenal dalam bidang ini ialah Maqasid al-
Syari'ah al-Islamiyyah oleh Muhammad Tahir bin 'Aashur.

Anda mungkin juga menyukai