Anda di halaman 1dari 4

Bukan bercinta, tapi bersahabat

Diluluskan pada Selasa, 25 Julai 2006 @ 9:07:55 oleh istisafa


Umum

radioactive menulis "Ana mengeluh dengan tingkah laku suaminya. Ana menuduh Saiful
mula mengabaikan tangguungjawabnya sebagai suami. Menurut Ana, keadaan ini
disedarinya apabila Saiful mula main kayu tiga dengan rakan sepejabatnya, Seri. “Sejak
kehadiran perempuan itu dalam kehidupan abang Saiful, saya sering bertengkar dengan
suami. Perempuan itulah punca keretakan rumahtangga saya.”

Namun apa pula jawapan Saiful?


“Ana sudah melampau. Cemburu buta. Saya dan Seri cuma bersahabat sahaja tak lebih
dari itu. Nothing special between us. Sebagai rakan setugas, saya memang tak nafikan
saya rasa begitu selesa bila berbincang. Seri mempunyai pandangan yang luas, mudah
bekerjasama, pendengar dan penasihat yang baik malah kami juga banyak berkongsi
minat yang sama. Itu saja tidak lebih dari itu…” Kata Saiful, tenang.

Azhari dan Sara juga mengaku hanya bersahabat. Kebetulan mereka berdua sama-sama
exco tertinggi salah sebuah kampus universiti terkemuka. Azhari dan Sara sering
berjumpa dalam pelbagai aktiviti dan sering bermesyuarat bersama bagi melancarkan
aktiviti kampus. Menurut Sara, Azhari seorang aktivis pelajar yang matang dan baik. Dia
bukan hanya menganggapnya sebagai seorang sahabat tetapi juga seorang “abang”.
Setiap masalah dibincangkan bersama dan sentiasa nasihat-menasihati antara satu sama
lain. Kalau tak berpeluang bertemu mereka akan berhubung melalui telefon bimbit
masing-masing. Ketika rakan-rakan sekuliah bertanya tentang keintiman hubungan
mereka berdua, Azhari dan Sara dengan selamba mengatakan mereka cuma bersahabat.
“Betul, kami tak ada apa-apa hubungan lain……”

Saiful dan Seri, Azhari dan Sara mengaku mereka hanya bersahabat. Namun kawan-
kawan juga sesiapa yang berada di sekitar mereka merasakan ada sesuatu yang lebih dari
sekadar bersahabat.

Persahabatan : Apa itu persahabatan?


Persahabatan merupakan salah satu keperluan dalam kehidupan setiap insan. Mereka
yang tidak mempunyai sahabat akan merasa kesepian dan tiada tempat meluah rasa.
Namun bagaimana pula dengan persahabatan yang dijalinkan seperti Saiful dengan Seri
atau Azhari dengan Sara yang menimbulkan gossip masyarakat sekitar? Sebelum
perbincangan seterusnya, mari kita lihat sebentar makna atau erti sebenar sahabat itu
sendiri. Menurut ahli psikologi, sahabat adalah orang yang dipercayai untuk diluahkan isi
hati, kegembiraan atau kedukaan. Oleh itu sesiapa yang diyakini mempunyai ciri-ciri itu
akan terpilih sebagai sahabat.

Setiap insan di dunia ini memerlukan sahabat atau orang lain dalam kehidupannya.
Manusia perlu berkongsi sama dengan orang lain. Berkongsi sama itu sebenarnya
pertahanan diri seseorang kerana manusia perlu untuk meluah dan mencurahkan isi hati
dan perasaan-perasaan yang terpendam dalam diri kita. Dalam erti kata lain bahawa
manusia memerlukan orang lain yang ia pilih dan percaya untuk meluahkan hal-hal
peribadi.

Contohnya apabila seorang gadis bersahabat dengan seorang gadis lain, mereka boleh
tidur sebantal, berkongsi barang atau saling pinjam meminjam baju atau seumpamanya
atau lebih dari itu. Seseungguhnya manusia itu memang memerlukan sahabat dalam
kehidupannya. Sekurang-kurangnya terdapat dua keuntungan yang diperolehi melalui
persahabatan. Pertama, untuk merealisasikan mimpi atau visi hidup. Seseorang
memerlukan orang lain untuk membincangkan mimpi-mimpi dan permasalahannya.
Seseorang itu ingin orang lain mendengar dan tahu keinginannya. Seterusnya berusaha
saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Kedua, sahabat diperlukan untuk mencari jalan penyelesaian atau jalan keluar bagi
sesuatu masalah atau perkara.

Persahabatan itu bermula dengan perkenalan. Setelah itu, jika terdapat kesamaan ide,
gagasan, gaya hidup, minat, keperluan, cara berfikir dan harapan maka timbullah rasa
saling simpati. Apabila telah wujud rasa simpati maka akan wujud keterbukaan dan
ketika ini mereka telah bersedia untuk saling mencurah suara hati.

Persahabatan Jejaka dan Wanita


Sahabat mempunyai kedudukan yang begitu khusus dalam hati seseorang. Apa
masalahnya apabila seseorang itu bersahabat dengan lawan jenisnya? Bolehkah kita
bersahabat dengan jejaka atau sebaliknya?

Apabila berlaku persahabatan antara lelaki dan wanita sesungguhnya tidak akan ada
jaminan ini benar tulus dan murni. Sekurang-kurangnnya pasti ada harapan rasa ingin
memiliki. Tidak kira pada si jejaka atau wanita atau kedua-duanya sekali. Mesti ada
kemungkinan walaupun pada kadar yang sedikit. Hubungan seumpama ini mempunyai
batas atau dinding yang teramat nipis. Terlalu sukar dan rumit umtuk membezakan
adakah hubungan ini benar-benar sekadar persahabatan atau sudah mula menjurus kepada
saling mencintai yang mengharap kepada wujudnya hubungan hati dan fizikal.

Suatu yang amat sukar dihindari untuk suka yang lebih dari sekadar bersahabat. Maka
mulalah si jejaka atau wanita itu mengengan-angankan “kalaulah dia menjadi
pendamping dalam hidupku”. Ketika ini sesungguhnya “tazyin syaitan” telah berjaya
memainkan peranannya. Bisikan indah dari musuh utama (syaitan) telah merempuh
masuk ke dalam hati yang telah sedia ada dalam keadaan lemah dan longgar
pertahanannya.

Berhentikan Proses Seterusnya!


Oleh itu. Para muslimin dan muslimat yang dikasihi, jika perkenalan kita sudah berunah
menjadi simpati segeralah susuli dengan pernikahan jika mahu proses persahabatan
berlanjutan. Inilah persahabatan yang ideal. Manakala persahabatan di luar akad
pernikahan bukanlah persahabatan ala sahabat (Rasulullah s.a.w.)

Sebagaimana yang terjadi antara Ali dan Fatinah. Setelah pernikahan antara Ali dan
Fatimah, maka Fatimah pun berterus terang kepada Ali. “Wahai Ali, sebelum saya
bernikah dengan engkau di kota Makkah ini, ada seorang pemuda yang menjadi idola
dihatiku. saya sangat inginkan kelak dia menjadi suamiku. Tapi semuanya itu saya
simpan di dalam hatiku” kata Fatimah. “Kalau begitu engkau menyesal menikahi saya?”
tanya Ali. “Tidak, kerana pemuda itu adalah engkau” jawab Fatimah.

Oleh itu, di dalam Islam kita dibenarkan menilai dan menyukai pemuda yang soleh
namun ia tidak diluahkan dan memadai disimpan di dalam hati. Sesungguhnya cinta itu
boleh “menghinggapi sesiapa” sahaja termasuk orang beriman atau para pendakwah.
Apabila batas-batas pergaulan dan percampuran lelaki dan perempuan dilanggar, proses
persahabatan sebegini akan terus bergulir dan tidak mungkin dihindari. Oleh itu, tidak
mustahil jika para pendakwah lelaki dan perempuan juga turut terjebak untuk saling
rindu-merindui…..

Sudah berlanjur digosipkan


Pengendalian diri ketika percampuran antara lelaki dan perempuan adalah suatu yang
abstrak. Kita tidak mampu untuk mengukurnya. Hanya Allah sahaja yang Maha
Mengetahui. Adakalanya, kita berjauhan dari segi fizikal tetapi hati “berdegup” hebat.
Ada juga yang fizikalnya berdekatan tetapi hatinya biasa sahaja. Namun ini bukan
bermakna kita dibolehkan bergaul bebas.

Bagaimana pula jika sudah terlanjur digosipkan, daripada fitnah, baik nikah sahaja. Inilah
satu kesilapan besar. Ia bukanlah keputusan bijak. Tindakan yang diambil dengan
menikahi rakan tersebut akan membenarkan sangkaan dan tohmaan orang selama ini.
Tindakan sewajarnya yang mesti diambil adalah segera menghentikan hubungan tersebut.
Jauhilah fitnah dengan mengendalikan hati, namun ketika hati tak terkendalikan jauhilah
jarak fizikal. Hindarilah perkara-perkara yang mengundang fitnah seperti memberikan
hadiah, sering berdua-duaan, sering telefon/sms dan seumpamanya.

Jangan terperangkap
Hati manusia memang mudah berubah. Pagi kata benci petang pula kata rindu.
Sesungguhnya hati merupakan bejana yang paling penting. Ia merupakan kunci segala-
galanya. Hati mestilah dikendalikan sebaik-baiknya. Manakala pandangan pula titik
langkah awal yang amat perlu diawasi kerana dari ‘mata jatuh ke hati’.

Sebagaimana yang berlaku kepada Ibnu Abbas, ketika menunaikan haji tergoda melihat
seorang wanita, maka spontan Nabi SAW menegur dan memalingkan pandangannya dari
wanita tersebut. Lalu bersabda: “Jangan kau ikuti pandangan itu dengan pandangan yang
lain.”

Ketika inilah peranan iman yang kuat serta aktiviti ‘tazkiyatun nafs’ (penyucian jiwa)
perlu dimainkan. Di saat iman sedang merudum, sebaik-baiknya, minimakanlah aktiviti
yang melibatkan lawan jenis. Walaupun dalam aktiviti keislaman, yang perlu dijaga
adalah diri dan keimanan bukan sekadar jarak sehingga tidak berkomunikasi. Ingatlah
jangan sekali-kali ketika mengibarkan bendera kegiatan Islam dalam masa yang sama
menjatuhkan Islam.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui kelemahan insan. Lalu Dia telah
mengingatkan orang-orang beriman serta umat Islam seluruhnya agar menjaga
pandangan dengan firman-Nya: “Katakanlah kepada orang-orang beriman lelaki, supaya
mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatannya. Itu lebih suci
bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka usahakan.
Katakanlah kepada orang-orang beriman perempuan supaya mereka menundukkan
pandangan dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan
perhiasannya kecuali apa yang biasa lahir daripadanya….” (An-Nur:31-32)

Mencegah lebih baik dari mengubati. Jagalah batas-batas pergaulan agar tidak terlanjur
memendam rasa. Berusahalah membataskan komunikasi dengan urusan-urusan yang
penting, jangan sekali mencari alasan dan agenda untuk bertemu. Jangan sekali membuat
agenda baru agar dapat berinteraksi kembali. Sesungguhnya jika ini tidak dikawal ia
merupakan permulaan tidak berdisiplinnya kita dalam mengamalkan Islam.

(Copy from www.ukhwah.com)

Anda mungkin juga menyukai