Anda di halaman 1dari 8

FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

IJAZAH SARJANA MUDA DENGAN KEPUJIAN (DAKWAH DAN KEPIMPINAN)

SEMESTER 2 / TAHUN 2

PPDK2813: DAKWAH DAN PERUBAHAN SOSIOBUDAYA

TAJUK: ADAB DENGAN ORANG YANG LEBIH TUA ANTARA DAHULU DAN KINI

NAMA PENSYARAH: PROF. MADYA DR. SALASIAH BINTI HANIN HAMJAH

NAMA PELAJAR: ANWAR FAHMI BIN MOHD RIFAIN (A183988)


ADAB DENGAN ORANG YANG LEBIH TUA ANTARA DAHULU DAN KINI

PENDAHULUAN
Di era globalisasi yang semakin moden dan maju kini, kita boleh dapati sebahagian akhlak dan
adab tatasusila dalam kalangan anak remaja semakin terhakis tatkala teknologi semakin
berkembang. Akhlak serta adab tatasusila di kalangan orang Melayu adalah sangat tinggi dan
sangat dijaga. Adab berasal dari perkataan Arab yang memberi maksud perilaku dan perbuatan
kebaikan, kesantunan, moral, sopan santun, kesusilaan, serta kemanusiaan. Justeru seseorang itu
menunjukkan adab dengan mempamerkan kelakuan dan keperibadian yang baik serta terpuji.
Manakala, perkataan akhlak merupakan kata ganda daripada perkataan khuluk bererti tabiat,
kelakuan, perangai, dan tingkah laku, adat kebiasaan, malah ia juga bererti agama itu sendiri.
Antara definisi akhlak menurut istilah ialah sifat yang tertanam di dalam diri yang
dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan
paksaan. Ibnu Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagai
keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.
Sementelahan itu, Islam juga menganjurkan kepada penganutnya untuk sentiasa berakhlak dengan
akhlak Islamiah dan menjaga tatacara kehidupan mengikut adab-adab Islam. Di dalam tatacara
kehidupan adab Islam terdiri daripada adab kehidupan harian termasuk makan dan minum, tidur,
menaiki berkenderaan, masuk dan keluar rumah, masuk dan keluar tandas dan lain-lain. Tatacara
kehidupan adab Islam bukanlah setakat satu cara hidup yang membezakan kehidupan Islam atau
pun tidak, tetapi juga mempunyai kepentingan rohani dan jasmani kanak-kanak dan orang yang
mengamalkannya. Adab dan akhlak yang menelusuri tatacara Islam akan melahirkan satu jiwa dan
tindak balas yang baik terhadap perkataan dan perilaku seseorang insan.

Mutakhir ini, jika kita amati di zaman generasi baru kini anak remaja semakin kurang terdidik
dengan adab serta akhlak dan semakin terhakis nilai-nilai adab dalam kalangan mereka. Kita boleh
melihat situasi di mana anak remaja sudah tidak mempamerkan akhlak yang baik serta adab yang
terpuji apabila di kalangan anak remaja semakin hilang sifat menghormati kepada yang insan lebih
tua. Sikap kurang berakhlak dan beradab ini didapati di kalangan anak remaja boleh dilihat melalui
media sosial terutamanya yang menjadi pelantar utama anak remaja yang digunakan pada masa
kini. Selain itu, anak remaja di sekolah juga semakin berani mencabar kesabaran para guru sebagai
pendidik yang perlu dihormati lagi disanjung oleh para pelajar mereka sendiri. Adab dan akhlak
yang kian menghilang di dalam jiwa anak remaja masa kini perlu dibimbangi oleh setiap ibu bapa,
para guru, pemimpin setempat, bahkan seluruh masyarakat kerana mereka adalah penerus generasi
dan pewaris kepada agama dan bangsa dalam negara kita. Kekurangan nilai adab dan akhlak bakal
membawa kepada kerosakan dan kemusnahan sesebuah nilai keagamaan dan peradaban bangsa.
PERUBAHAN SOSIOBUDAYA YANG BERLAKU
Perubahan sosiobudaya yang berlaku dalam memelihara adab tingkah laku terhadap orang
yang lebih tua pada masa dahulu amat berbeza dengan masa kini. Jika kita mengimbau kembali
tatkala di zaman datuk nenek dan moyang dahulu mereka amatlah menjaga adab dan akhlak
mereka kepada orang yang lebih tua. Ini boleh dilihat semula melalui filem-filem klasik terdahulu
yang sangat menjaga adab budaya, kesopanan di dalam tutur kata dan lemah lembut dalam tingkah
laku mereka. Filem-filem klasik dahulu banyak memperlihatkan kepada kita elemen-elemen adab
budaya orang Melayu yang kaya dengan kesopanan dan kelembutan budi bahasa dari segi
percakapan mahupun perbuatan. Remaja masa kini kelihatan kurang beradab dan berakhlak
apabila hanya bersalaman tanpa mencium tangan orang yang lebih tua, malah ada yang sehingga
tidak bersalaman lagi dengan orang yang lebih tua dan tidak menunduk sebagai tanda menghormati
orang yang lebih berumur. Rentetan daripada masalah Covid-19 yang memerlukan kepada
penjarakan dan tiada sentuhan fizikal menjadi salah satu faktor kepada makin kurangnya
bersalaman antara satu sama lain. Ini juga secara perlahannya telah menghakis sifat menghormati
orang tua apabila kita hanya bertemu dan berlalu pergi tanpa bersalaman antara yang muda dan
tua. Berbeza dengan dahulunya apabila kita bertemu dengan orang yang lebih tua pastinya kita
akan bertegur sapa dan bersalaman mencium tangan sebagai tanda menghormati orang yang lebih
tua terutamanya kepada ibu bapa, datuk nenek atau pun pakcik makcik di kalangan saudara mara.

Di samping itu, remaja zaman sekarang kelihatan kurang beradab dan berakhlak apabila
membalas semula gurauan senda orang tua kepadanya. Kita dapat melihat situasi ini dengan lebih
jelas ketika mana di hari raya orang-orang tua akan bertanyakan soalan kepada anak remaja sebagai
pembuka bicara atau mukadimah, sebagai contoh kebanyakan orang-orang tua suka menanyakan
tentang perihal jodoh bagi anak muda yang masih belum berkahwin, “Bilakah anak hendak
berkahwin?”. Anak muda pada zaman kini lebih cepat terasa hati dengan pertanyaan tersebut dan
membalas semula pertanyaan itu dengan menyoalkan semula tentang kematian kepada orang yang
bertanya, sebagai contoh, “Bilakah pakcik atau makcik hendak meninggal dunia?”. Ini adalah satu
sifat yang tidak beradab dan tidak berakhlak kepada orang yang lebih tua. Sebagai orang muda,
soalan yang diajukan itu tidak perlu dipandang sebagai satu penghinaan kepada diri kita, bahkan
ianya sekadar soalan pembuka bicara bagi sebahagian orang tua untuk memulakan perbualan
dengan anak muda. Ianya perlu dianggap sebagai gurauan senda orang tua kepada anak muda
dalam perbualan. Jika kita terasa hati dengan pertanyaan yang diajukan kepada kita, maka
jawablah pertanyaan tersebut dengan budi bahasa yang baik tanpa perlu membalas semula dengan
pertanyaan yang berbaur perlian atau gurauan yang kelihatan tidak beradab kepada orang yang
lebih tua. Sikap ini amat berbeza dengan orang dahulu yang sentiasa menganggap gurauan orang
yang lebih tua sebagai salah satu cara untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara golongan
muda dan tua. Ini dapat merapatkan jurang antara golongan muda dan tua agar dapat bersama serta
berganding bahu dalam setiap perkara yang memerlukan antara orang muda dan tua.
Selain itu, adab dan akhlak yang semakin pudar di kalangan anak remaja kepada orang tua
adalah sikap menghormati di dalam media sosial. Jika kita amati di media sosial semakin ramai
anak remaja yang sudah tidak menghormati orang tua dengan memaki hamun serta tidak menjaga
adab bertutur. Era perkembangan media sosial masa kini mungkin berbeza dengan dahulunya yang
masih belum meluas penggunaan media sosial. Namun, adab dan akhlak ketika mana di luar adalah
sama apabila kita berada di dalam media sosial. Anak remaja masa kini yang begitu sebati dengan
media sosial sepertinya telah kehilangan adab dan akhlak apabila berhubung atau bersosial di alam
maya bersama orang tua dengan tidak menjaga pertuturan seperti memaki hamun dan berbalas
komentar di laman sosial tanpa bahasa yang sopan serta menganggap mereka yang lebih berumur
sebagai rakan sebaya yang boleh dilayan dengan cara yang tidak sepatutnya. Perkara ini amatlah
berbeza dengan adab dan akhlak orang dahulu walaupun dahulunya tidak menggunakan laman
sosial sebagai tempat untuk pergaulan tetapi orang dahulu sangat menjaga pertuturan dan bahasa
apabila bercakap dengan orang yang lebih tua. Kita boleh melihat orang-orang dahulu apabila
berbual di pasar atau kedai makan, orang muda sangat menghormati dengan menjaga pertuturan
dan bercakap dengan berhemah agar orang yang lebih tua tidak tergores hati dengan pertuturan
kita. Orang dahulu akan bertutur dengan nada yang lemah lembut memulakan percakapan dan
mengukirkan senyuman mesra sebagai tanda penghormatan. Namun, adab budaya ini semakin
terhakis ditelan zaman di kalangan anak muda masa kini. Tutur kata yang lemah lembut semakin
hilang dan kebanyakan bahasa anak muda sekarang semakin tidak beradab dengan mengikut gaya
barat. Bagi mereka gaya percakapan ala-ala barat itu lebih mengikut arus modenisasi berbanding
budaya Melayu yang lemah lembut berbudi bahasa seperti ketinggalan zaman.

Seterusnya, perubahan sosiobudaya yang berlaku dalam adab dengan orang yang lebih tua
adalah tidak mendahulukan orang tua. Ini adalah adab dan akhlak yang semakin terkubur di dalam
jiwa anak muda masa kini. Anak muda semakin bersikap penting diri dan tidak mempedulikan
orang lain bahkan kepada orang yang lebih tua yang sepatutnya dihormati dan didahulukan
berbanding diri sendiri. Sikap anak muda yang sebegini dapat dilihat di tempat-tempat yang seperti
pasar raya, di dalam pengangkutan awam, di restoran dan sebagainya di mana anak muda tidak
mendahulukan orang tua ketika beratur ingin mengambil makanan di restoran, tidak memberi
tempat duduk kepada orang tua di dalam pengangkutan awam dan seumpama dengannya. Akhlak
dan adab yang diterapkan di dalam Islam adalah dengan kita mengutamakan orang tua atau orang
yang lebih layak untuk diutamakan. Sikap pentingkan diri adalah satu sikap yang perlu dihapuskan
di dalam diri kita lebih-lebih lagi sebagai anak muda yang perlu berjiwa besar di samping menjaga
adab dan akhlak sebagai orang Islam dan orang Melayu yang terkenal dengan kesopanannya.
Lumrah manusiawi juga pastinya akan mendahulukan orang yang lemah dan uzur daripada orang
yang sihat dan bertenaga. Secara fizikalnya, orang tua adalah orang yang lemah dan perlu
diutamakan berbanding anak muda yang fizikalnya lebih kuat dan bertenaga. Jika kita teliti sikap
orang dahulu, mereka sangat mendahulukan orang tua dalam apa jua perkara. Sebagai contoh,
mereka akan mendahulukan orang tua untuk duduk terlebih dahulu di dalam bas. Begitu juga
ketika berbaris menunggu giliran kebanyakan daripada orang dahulu akan mengutamakan orang
yang lebih tua.

KOMENTAR/CARA MENGATASI PERUBAHAN SOSIAL


Melihat kepada perubahan sosiobudaya dari segi adab anak muda masa kini terhadap orang
yang lebih tua, maka pendidikan adab dan akhlak sama sekali tidak boleh dipandang enteng oleh
masyarakat di negara kita khususnya. Di dalam Islam, agama itu adalah akhlak dan Islam telah
menggariskan panduan buat umatnya dalam aspek penjagaan adab dan akhlak sesama saudara.
Sebagaimana Hadis Rasulullah S.A.W., Baginda S.A.W. bersabda : “Sesungguhnya aku diutuskan
untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (Hadis Riwayat al-Bukhari). Ini menunjukkan
bahawa Islam sangat mengutamakan umatnya untuk mempunyai adab dan akhlak yang mulia
sehinggakan pengutusan Rasulullah S.A.W. menjadi satu contoh ikutan untuk diteladani oleh
seluruh umat Islam. Maka, aspek pendidikan adab dan akhlak menjadi tunjang utama bagi
mengatasi perubahan sosiobudaya yang berlaku ini. Pendidikan pertama yang diterima oleh
seseorang individu muslim adalah melalui ibu bapa mereka. Justeru, peranan ibu bapa amat
penting dalam mendidik anak-anak mereka sedari awal sehingga dapat membentuk keperibadian
yang beradab dan berakhlak mulia, seperti mana peribahasa berbunyi, “meluntur buluh biarlah dari
rebungnya”. Ibu bapa yang prihatin tidak sesekali akan mengabaikan tanggungjawab mereka
terhadap anak-anak iaitu dengan memberikan pendidikan yang baik terutamanya pendidikan adab
dan akhlak Islam supaya anak-anak mereka terdidik untuk menghormati orang yang lebih tua.
Namun begitu, ibu bapa juga perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan cara
menunjukkan adab dan akhlak yang baik seperti bercakap sopan di hadapan orang tua, bersalaman
mencium tangan kepada yang lebih tua terlebih dahulu di hadapan anak-anak mereka. Bak kata
orang ibu bapa adalah cerminan kepada anak-anak, baik ibu bapanya, baiklah anak-anaknya.

Selain itu, peranan guru dan pihak berwajib menjadi salah satu tunjang dalam mengatasi
perubahan sosial ini. Para guru berperanan sebagai ibu bapa kedua di sekolah yang mendidik dan
mencurahkan ilmu kepada anak-anak remaja yang memerlukan bimbingan. Para guru perlu ikhlas
mendidik dan menegur setiap salah laku atau kebiadaban yang dilakukan oleh para pelajar terhadap
guru tanpa membiarkan para pelajar terus mengulangi kesalahan dan kebiadaban yang dilakukan
sehingga menjadi satu budaya normalisasi dalam kalangan mereka. Sikap pelajar yang tidak
menghormati guru dan orang yang lebih tua perlu ditegur dan diperbetulkan oleh para guru. Guru
yang berperanan sebagai ibu bapa kedua di sekolah perlu bertindak seperti ibu bapa dengan
memberi hukuman atau denda kepada para pelajar yang melakukan kesalahan serta berkelakuan
biadab di sekolah. Ini kerana, hukuman atau denda yang diberikan akan memberi satu pengajaran
supaya tidak diulangi kesalahan dan kebiadaban tersebut serta memberi pelajaran kepada pelajar
agar memperbaiki adab serta akhlak keperibadian mereka menjadi lebih baik. Peranan pihak
berwajib juga penting untuk menggubal sistem pendidikan di sekolah agar mengikut cara
pendidikan yang selari dengan Islam di samping tidak menyekat peranan guru sepenuhnya untuk
mendidik para pelajar dengan memberikan hukuman atau denda kepada pelajar yang melakukan
kesalahan dan bersikap biadab. Sekiranya peranan guru disekat dalam memberi hukuman atau
denda kepada pelajar, ianya akan menyebabkan para pelajar merasakan tiada kesalahan yang
mereka lakukan dan kesalahan atau kebiadaban tersebut akan menjadi satu budaya normalisasi di
kalangan pelajar atau anak remaja untuk tidak beradab dan bersikap biadab terhadap guru serta
orang tua.
Di samping itu, masyarakat juga memainkan peranan penting bagi mengatasi perubahan sosial
yang tidak baik dan bercanggah dengan Islam. Anak remaja sangat cepat terpengaruh dengan
orang sekeliling mereka. Apa yang ditunjukkan oleh masyarakat sekeliling akan memberi kesan
kepada anak remaja untuk dicontohi dan diikuti. Masyarakat perlu menerapkan adab dan akhlak
yang baik terhadap orang yang lebih tua. Ini kerana, ianya akan menunjukkan satu perilaku yang
baik kepada orang sekeliling yang melihat perkara tersebut dan akan mempengaruhi anak remaja
untuk menghormati dan beradab dengan orang yang lebih tua. Mereka yang berkelakuan tidak
beradab atau kurang ajar kepada orang tua perlu ditegur oleh masyarakat yang melihat kelakuan
tersebut agar anak remaja yang melihat perkara tersebut mengetahui bahawa ianya adalah satu
kesalahan yang tidak beradab. Sebagai contoh, budaya bersalaman mencium tangan orang yang
lebih tua, mengutamakan orang tua ketika beratur, menolong orang tua untuk melintas perlu
ditonjolkan dalam masyarakat supaya perbuatan ini menjadi budaya yang sebati dalam kalangan
masyarakat terutamanya anak remaja.

PENUTUP
Kesimpulannya, adab dan akhlak merupakan cerminan kepada keperibadian serta perilaku
seseorang. Islam datang dengan membawa panduan buat umatnya untuk menjalani kehidupan di
dunia dengan tatacara yang bersifat insaniah. Adab dan akhlak yang mulia adalah sangat penting
kerana ia menunjukkan sifat keperibadian seseorang sama ada orang itu beragama atau sebaliknya.
Kekurangan adab dan akhlak yang baik akan menyebabkan kepada kerosakan umat di mana tiada
lagi sifat insaniah dalam kehidupan bermasyarakat. Orang muda sudah tidak lagi menghormati
orang yang lebih tua, anak-anak sudah menjadi tuan kepada ibu bapanya dan akan melahirkan
masyarakat yang tidak bertamadun serta tidak mempunyai nilai-nilai manusiawi. Adab dan akhlak
Islam perlu dititikberatkan dalam setiap keluarga Islam agar budaya tidak beradab dan tidak
menghormati orang tua ini dapat dibendung. Budaya tidak beradab serta tidak menghormati orang
tua ini dapat dilihat semakin menjadi-jadi pada ketika ini dan seharusnya kita perlu mengambil
peranan masing-masing untuk mencegah dan mengekang perkara ini agar nilai adab dan akhlak
yang baik dapat dipupuk semula dalam jiwa anak remaja yang bakal menjadi pewaris kepada
agama, bangsa dan negara kita.
RUJUKAN

Asmawati Suhid. 2007. Pengajaran adab & akhlak Islam dalam membangunkan modal insan.
Jurnal Pengajian Umum. 8 . pp. 167-178.

Mohd Rosli, Muhammad Sufi. 2020. Adab masyarakat Melayu lama dalam hikayat Hang Tuah.
Jurnal Antarabangsa Alam dan Tamadun Melayu. 8(3). 23 - 31

Celine Aliza Agustin. 2022. Pengertian adab, akhlak serta kedudukannya dalam Islam yang
penting diketahui.
https://www.inews.id/lifestyle/muslim/pengertian-adab-akhlak-serta-kedudukannya-dalam-
islam-yang-penting-diketahui.

Lufaefi. 2020. Adab kepada orang yang lebih tua, kamu harus tahu.
https://akurat.co/adab-kepada-orang-yang-lebih-tua-kamu-harus-tahu
GAMBAR

Anda mungkin juga menyukai