Anda di halaman 1dari 9

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Seminar Integrated Holistic Education System (IHES)


Kali Ke-9 Tahun 2023M/1445H

Membangun Jatidiri dan Integriti Guru


oleh
Khodori Ahmad

Hotel KSL Esplanade, Bandar Bestari, Klang


9 November 2023M

1
Membangun Jatidiri dan Integriti Guru

1.0 Pendahuluan

1.1 Saya tidak berhasrat untuk berbicara secara ilmiah tentang tentang dua perkara ini – jati
diri dan integriti. Tetapi ingin memulakan sesi ini dengan mengajukan dua soalan : Pertama
Adakah anda seorang guru yang ada Jati Diri? Kedua : Adakah anda seorang guru yang
berintegriti? Sangat-sangat penting dan genting untuk semua kita para guru mempunyai
jawapan yang jelas terhadap dua soalan ini.

1.2 Kita semua seharusnya mempunyai senarai semak untuk mempastikan yang kita semua
mempunyai jati diri dan integriti yang sama agar tahap tinggi kedua-duanya boleh dikekalkan
dan dipertahankan

1.3 Penting sekali jawapan kepada kedua-dua soalan itu dikongsi bersama dan tidak hanya
berkata yang kita ada jati diri dan integriti tetapi tidak jelas akan konsep dan tidak nampak
coretannya.

2.0 Jati Diri

2.1 Istilah Jati Diri diambil daripada dua kalimah iaitu ‘jati’ dan ‘diri’. ‘Jati’ bermaksud
asli, murni, tulen atau tidak bercampur dengan unsur lain ‘diri’ ialah seseorang atau empunya
badan. Gabungan kalimah ‘jati dan diri’membawa maksud sifat atau ciri yang unik dan
istimewa yang melambangkan keperibadian seseorang individu atau sesuatu bangsa.

2.2 Apakah sifat dan ciri yang unik dan istimewa yang melambangkan keperibadian kita
sebagai seorang guru dan komuniti guru dalam negara ini.

2.3 Bukan itu sahaja malahan yang kita pamerkan dan turunkan kepada anak didik kita
supaya jati diri itu dapat dikekalkan dari turun ke temurun. Sebab pendidikan merupakan
instrumen yang sangat penting dalam usaha membentuk dan memperkasakan jati diri dan ia
perlu dilakukan dalam pendidikan awal. Hal ini berikutan jati diri merupakan ciri yang menjadi

2
tunjang utama dalam pembentukan diri seseorang individu. Anak-anak didik kita pula adalah
harta yang berharga kepada bangsa dan negara secara amnya kerana merekalah yang akan
menggantikan pemimpin negara dan menjadi penentu kejayaan negara dalam era yang serba
mencabar akal dan minda ini.

2.4 Justreru setiap kita mesti jelas jati diri yang perlu dipegang kuat dan perlu diturukan
kepada anak-anak didik kita itu. Sebelum kita menumpukan perhatian kita kepada anak-anak,
terlebih dahulu harus kita jelas jati diri yang ada pada semua guru. Ada atau tidak jati diri itu?
Kalau ada apadia?. Sebab kalau tidak ada bagaimana hendak kita turunkan kepada anak didik
kita. Dan kalau ada, masa bila danbagaimana kita turunkan kepada mereka?

2.5 Setelah kita jelas yang ini barulah kita memikirkan dan membincangkan tentang cara-
cara membentuk jati diri anak didik kita agar mereka menjadi generasi yang lebih baik daripada
generasi hari ini.

2.6 Dalam mengharungi era globalisasi ini, dunia disediakan dengan kecanggihan sains dan
teknologi dalam pelbagai bidang terutamanya terhadap bidang pendidikan. Proses pendidikan
masa kini seringkali dikaitkan dengan unsur penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan jati
diri pelajar.

2.7 Krisis jati diri telah menimpa hampir kesemua generasi mangsa penjajahan. Bangsa
Melayu menjadi manusia yang memiliki pemikiran, gaya hidup dan citarasa yang dipengaruhi
oleh penjajah. Penjajahan Barat ke atas bangsa Melayu membawa kepada kehancuran segala
sistem kemasyarakatan dan budaya Melayu sehingga menjadi bangsa yang amat daif, lemah
serta miskin. Melayu diberikan gambaran yang negatif, buruk, mundur dan keji. Kesan
penjajahan ini ditanggung oleh masyarakat Melayu sehingga kini. Kedatangan penjajah secara
tidak langsung telah memecah-belahkan masyarakat Melayu di Alam Melayu. Mereka juga
telah menyebarkan fahaman sekularisme yang mengenepikan konsep ketuhanan dan
berlandaskan kepentingan duniawi semata-mata.

2.8 Era penjajahan Barat juga menyaksikan perkembangan pendidikan Islam mula terjejas.
Penjajah Barat terutamanya Inggeris telah meletakkan nilai ekonomi dalam pendidikan
sehingga umat Islam mula meninggalkan pendidikan tidak formal mereka dan menyertai
pendidikan formal yang diperkenalkan oleh penjajah (Ab. Halim & Kamarul Azmi 2009).
Pembaharuan yang dibawa oleh pihak penjajah ini telah menyebabkan pendidikan Islam mula

3
terpinggir daripada masyarakat Melayu. Ini kerana pihak penjajah tidak melihat pendidikan
Islam sebagai sesuatu yang mempunyai nilai komersial dan penting kepada masyarakat malah
mereka melihat Islam sebagai satu ancaman kepada mereka. Sehingga ke saat ini, pendidikan
yang diperkenalkan oleh Barat di Tanah Melayu masih lagi kekal dan menjadi dua bahagian
yang memisahkan di antara pendidikan agama dengan pendidikan bukan agama. Ilmu agama
telah terasing dari ilmu pengetahuan dan tidak lagi menjadi landasan epistimologi dan kerangka
kewujudan ilmu seperti yang difahami dalam al-Quran dan al-Sunnah (Zainal t.th.).

2.9 Walaupun Alam Melayu sudah bebas daripada penjajahan, namun kesannya masih lagi
kekal hingga sekarang. Keadaan menjadi semakin sukar apabila Barat memperkenalkan
revolusi teknologi dan komunikasi yang dikenali sebagai globalisasi. Globalisasi adalah
kesinambungan daripada pemikiran Barat. Menurut Siddiq Fadzil (2010), globalisasi ini adalah
tajaan Amerika Syarikat yang berintikan agenda penyejagatan dominasi dan hegemoni
Amerika. Budaya, pemikiran dan teknologi Barat mula menguasai seluruh hidup masyarakat
dunia. Nilai-nilai Barat telah diterima dan diamalkan oleh masyarakat dunia. Sungguh pun
demikian tidak semua nilai-nilai Barat ini sesuai bagi penduduk di Asia khususnya penduduk
Malaysia. Kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi telah digunakan sepenuhnya oleh
Barat bagi mempromosi dan menjual idea dan budayanya.

2.10 Kebelakangan ini juga, kita sering diperdengarkan dengan pelbagai masalah
keruntuhan jati diri dan akhlak dalam kalangan masyarakat Melayu. Ia berlaku sama ada pada
peringkat kanak-kanak, remaja atau dewasa. Kebanyakan mereka terjebak dengan pelbagai
budaya sosial dan gejala-gejala negatif yang datang dari negara Barat sehingga tidak lagi
menggambarkan ciri-ciri sebagai seorang Melayu sejati. Orang Melayu pada hari ini begitu
kagum dengan Barat sehingga menyebabkan kecairan jati diri dalam kalangan bangsa Melayu
itu sendiri. Perkara ini berlaku kerana budaya yang datang dari dunia Barat selalu dianggap
suatu kemajuan yang perlu dicontohi, manakala apa yang wujud dalam kalangan masyarakat
Melayu dianggap suatu perkara yang mundur dan ketinggalan zaman. Soalnya .. Adakah ini
bertolak atau berpunca dari tiadanya jati diri para guru yang mengajar mereka?

2.11 Adalah diyakini bahawa dengan bermula dari jati diri guru usaha untuk memperkasa
dan memantapkan semula jati diri bangsa Melayu boleh dilakukan. Ini kerana dengan
membangun dan mengekalkan jati diri guru usaha membentuk jati diri yang kuat dan tidak
terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang merosakkan boleh direalisasikan.

4
2.12 Elemen yang harus diambilkira dalam membangun jatidiri perlu jelas. Sehubungan itu,
Tajul Ariffin & Nor ‘Aini Dan (2002) menyatakan, untuk menjana kekuatan sesebuah bangsa
dan negara, kekuatan agama hendaklah dibina dan dikembangkan di semua peringkat
pendidikan. Manakala untuk mencapai matlamat memiliki warganegara yang baik, asas-asas
pembinaan manusia haruslah bersepadu dan bermula dengan pembinaan akidah yang benar dan
kukuh. Potensi intelek manusia hendaklah disemai ke arah kebenaran, daya pemikiran yang
kreatif dan inovatif, logik dan analitis yang akan melahirkan ilmu yang bermanfaat dari segi
teori dan praktis. Manakala potensi rohani pula haruslah menggarap aspek-aspek keyakinan
terhadap Allah SWT, penghayatan nilai-nilai murni dan norma bermasyarakat serta berbudi
pekerti mulia. Potensi jasmani pula hendaklah dipandu ke arah aspek kecerdasan fizikal dan
kesihatan mental yang berfungsi untuk berbakti kepada masyarakat dan negara (Tajul Ariffin
dan Nor ‘Aini 2002).

2.13 Di sini, jelaslah bahawa hanya melalui Islam bangsa Melayu mampu untuk
memperteguh dan memperkasakan semula jati diri mereka. Nilai akhlak, moral dan etika yang
terbit daripada agama Islam menjadi ajaran dan landasan memelihara diri serta masyarakat
pada masa kini. Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan.

2.14 Kesimpulannya, Islam merupakan asas utama kepada pembentukan jati diri para guru
disamping adat dan budaya bangsa dikekalkan serta mana-mana adat dan budaya yang
bercanggah dimodifikasikan supaya selaras dengan syariat Islam. Untuk memperkasakan
semula jati diri bangsa Melayu, agama Islam haruslah dijadikan sebagai panduan dan pendidik
utama kerana tanpa Islam bangsa Melayu akan kehilangan jati diri mereka. Islam telah terbukti
berjaya membina tamadun Melayu yang gemilang sebelum kedatangan penjajah. Oleh yang
demikian, menjadi tanggungjawab bangsa Melayu untuk menghayati serta mengamalkan
ajaran Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka.

2.15 Menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islamlah yang telah
memperkenalkan dunia Melayu kepada budaya ilmu dan pemikiran rasional yang menolak
faham tahyul dan mitos. Islam jugalah yang memperkenalkan dunia Melayu kepada dunia luar,
baik timur mahupun barat, sehingga memungkinkan bangsa Melayu mengadun, menempa dan
membina sebuah kesultanan yang cukup masyhur dalam sejarah.

2.16 Islamlah juga yang telah menyempurnakan faham keperibadian sendiri,


mengemaskinikan Faham Kebangsaan Melayu dan menjadi faktor pemersatu (the unifying

5
force) orang-orang Melayu di rantau ini sebagaimana yang diungkapkan oleh Syed Naquib
dalam bukunya Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu:

2.17 Usaha membangun jati diri para guru dan seterusnya menyerapkan kepada setiap anak
didik mereka perlu dilakukan tanpa tangguh sebab pelbagai gejala seperti kemerosotan
ekonomi, kewujudan amalan politik yang kurang sehat, maruah dan martabat negara akan
tergadai, berlaku penjajahan minda yang boleh menggugat kedaulatan negara boleh berlaku.
Ini sangat berbahaya. Justeru usaha harus dilakukan dengan bersungguh sungguh sesegera
mungkin untuk membangun rangka jati diri di kalangan guru. Sebagai contoh jati diri yang
berteraskan ras, kebudayaan dan bahasa. Ras Melayu merujuk kepada mereka yang memiliki
ciri-ciri genetik yang sama dan berasal dari Alam Melayu (Osman et. al., 2009: 63-64),
Kebudayaan Melayu pula ialah pegangan dan amalan masyarakat Melayu yang menjadikan
agama Islam dan adat resam mereka sebagai unsur utama pembentukannya (Osman et. al.,
2009: 64). Kebudayaan ini merangkumi pakaian, nilai dan norma, adat perkahwinan, perayaan
dan permainan tradisional. Manakala bahasa Melayu merujuk kepada bahasa yang ditutur oleh
masyarakat seluruh Alam atau Kepulauan Melayu yang meliputi kawasan kepulauan merentasi
seluruh Asia Tenggara hingga sempadan Australia.

2.18 InsyaAllah - guru berjati diri bakal mampu melahirkan anak didik yang berjati diri.
Namun harus diingat bahawa jati diri sahaja asih belum mencukupi untuk melahirkan guru
berwibawa yang sessuai dengan zaman orang yang didik. Usaha perlu juga dilakukan untuk
mencartakan wajah guru yang berintegriti.

3.0 Integriti

3.1 Integriti sebenarnya berasal dari istilah bahasa Inggeris yang membawa maksud
keutuhan dari semua segi yang baik. Dalam bahasa Melayu, ia biasanya menjurus ke arah
perwatakan seseorang. Perspektif pendidikan terhadap integriti ialah kualiti unggul yang wujud
secara bersepadu dan mantap pada individu anggota perkhidmatan pelajaran dan institusi
pelajaran berlandaskan etika serta pematuhan kepada amalan terbaik.

3.2 Guru yang berintegriti akan melaksanakan tugasnya dengan amanah, kejujuran,
keikhlasan dan penuh kasih sayang kepada murid. Selain itu, guru yang berintegriti juga

6
mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menyelesaikan masalah pelajar. Dari segi
pelaksanaan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan menghidupkan pentaksiran,
guru yang berintergriti bertanggungjawab untuk memberi yang terbaik kepada anak didik
mereka. Guru yang berintegiti juga bertanggungjawab melaksanakan tugas secara ikhlas demi
melahirkan modal insan kelas pertama. Hasilnya tentu anak didik terbaik dapat dihasilkan
setelah meneladani tingkah laku guru yang berkualiti tinggi dari segi integriti.

3.3 Ciri-ciri guru berintegriti Abad 21 antra lainnya ialah


• Menguasai kemahiran komunikasi dan interpersonal.
• Berpengetahuan dan berketrampilan.
• Mahir mengintegrasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
• Kreatif dalam pengurusan bilik darjah.
• Berdaya tahan dalam menghadapi cabaran professional

3.4 Menguasai kemahiran komunikasi dan interpersonal. Kemahiran komunikasi


memainkan peranan yang sangat penting untuk memupuk komuniti penyayang. Hal ini
disebabkan komunikasi yang berkesan akan menghasilkan motivasi yang berkesan.

3.5 Berpengetahuan dan berketrampilan. Sebagai seorang guru, pengetahuan dan


kefahaman cirri-ciri yang sangat penting. Hal ini kerana guru yang memiliki dan menguasai
ilmu yang mantap akan meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas
dengan cekap dan berkesan serta menjadi lebih kreatif dan inovatif. Guru yang berpengetahuan
akan dapat melahirkan generasi anak didik yang cemerlang dikemudian hari.

3.6 Mahir mengintegrasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Sesuai dengan
Malaysia bakal menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Guru-guru
harus mengetahui kaedah-kaedah penggunaan ICT dalam pdpc dan melengkapkan diri dengan
kemahiran penggunaan ICT

3.7 Kreatif dalam pengurusan bilik darjah. Seorang guru yang kratif dapat
melahirkan generasi yang berwawasan dengan mengaplikasikan teknik-teknik mengajar yang
berlainan dan kreatif

7
3.8 Berdaya tahan dalam menghadapi cabaran professional. Dalam pendidikan di
Malaysia telah melalui beberapa tahap dan perkembangan. Sistem pendidikan di zaman
penjajah telah berkembang maju tanpa mengambil kira keperluan pembangunan, pembentukan
identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sebagai seorang guru, mereka haruslah berdaya
tahan dalam menghadapi cabaran professional.

3.9 Dunia pada hari ini sudah pesat menyaksikan masalah sosial yang semakin melarat,seks
bebas sudah dijadikan adat, hubungan sejenis mula mendapat tempat, untuk menjadi hebat
ilmu tidak lagi diangkat, sebaliknya korupsi yang menjadi syarat. Adakah ini hanya untuk
dilihat, atau segera untuk diubat. Guru berintegriti melahirkan pelajar berkualiti seterusnya
menyelesaikan masalah yang kian melarat

3.10 Sebagai seorang yang berintegriti, guru harus mempunyai moral yang tinggi,
ini termasuk budi pekerti yang mulia, guru juga perlu mempunyai hubungan baik
dengan pelajar berteraskan keikhlasan serta sifat penyayang agar dapat
memberikandidikan yang terbaik buat semua pelajar. Disamping itu juga guru harus jujur dan
patuh dalam menjalankan amanah sebagai pendidik yang diharapkan agar dapat mendidik
pelajar inimenjadi generasi yang berguna. Selain pemegang amanah, guru harus
memahami tanggungjawab yang diberi dan menunaikan tanggungjawab yang diberi
dan menunaikan tanggungjawab itu dengan sabiaknya

3.11 Guru adalah arkitek sosial yang mempunyai agenda melaksanakan proses pendidikan
secara berkesan bagi melahirkan pelajar yang memiliki jati diri, berilmu dan bertakwa.

3.12 Dunia pada hari ini sudah pesat menyaksikan masalah sosial yang semakin melarat,seks
bebas sudah dijadikan adat, hubungan sejenis mula mendapat tempat, untuk menjadi hebat
ilmu tidak lagi diangkat, sebaliknya korupsi yang menjadi syarat. Adakah ini hanya untuk
dilihat, atau segera untuk diubat. Guru berintegriti melahirkan pelajar berkualiti seterusnya
menyelesaikan masalah yang kian melarat

3.13 Sebagai seorang yang berintegriti, guru harus mempunyai moral yang tinggi,
ini termasuk budi pekerti yang mulia, guru juga perlu mempunyai hubungan baik
dengan pelajar berteraskan keikhlasan serta sifat penyayang agar dapat memberikan
didikan yang terbaik buat semua pelajar.

8
4.0 Penutup

Coretan di atas adalah petikan-petikan yang dipaparkan atas semangat saling ingat
mengingatkan kepada dua elemen yang penting yang perlu kita zahirkan serta paparkan dalam
meninggikan profesyen guru : jati diri dan integriti. Kalau sudah ada dan jelas alhamdulillah.
Kalau belum ada, ayuh mari kita sama-sama bangunkan.

RUJUKAN

Ab. Halim Tamuri & Kamarul Azmi Jasmi. 2009. Nilai amalan dan sistem pendidikan
masyarakat Melayu Islam selepas penjajahan Barat sehingga kini. Dlm. Kaseh Abu Bakar
(pnyt). Peradaban Arab Islam dan masyarakat Melayu, hlm. 35-58. Bangi: Jabatan Pengajian
Arab dan Tamadun Islam, FPI, UKM.

Ahmad Mohamad Said. 2009. Jati Diri dan Psikik Melayu. Selangor: Kolej Dar al-Hikmah.

Al-Attas, S.M Naquib. 1972. Islam dan sejarah kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur:
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Siddiq Fadzil. 2010. Melayu: Jati diri keagamaan dan kebudayaannya. Dlm. Madaniyyat.
Selangor: Kolej Dar al-Hikmah.

Tajul Ariffin Noordin & Nor ‘Aini Dan. 2002. Pendidikan dan pembangunan manusi
pendekatan bersepadu. Selangor: Al-Syabab Media.

Zainal Kling. t.th. Islam dan Kebudayaan Alam Melayu. Malaysia: Universiti Malaya.
http://portalfsss.um.edu.my/portal/uploadFolder/pdf/Islam%20
dan%20Kebudayaan%20Alam%20Melayul.pdf, [12.10.2011].

Ⓒ: https://www.ipendidikan.my/cara-membentuk-jati-diri-pelajar.html

Anda mungkin juga menyukai