Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN

TUAN DING KUONG HIING


PENYELARAS BARISAN NASIONAL (BN) P.208 SARIKEI
MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG DAN GRADUASI PRAUNIVERSITI 2015
SMK BANDAR BINTANGOR

Terima kasih saudari / saudara pengacara majlis.

Yang Berbahagia , Pegawai Pelajaran Daerah Meradong, Encik Ismail Bin Abang
Mahamud, Yang Berusaha ,Tuan Pengetua SMK Bandar Bintangor, Encik Hii Kwong
Ung, Yang saya hormati, ketua-ketua jabatan, barisan ketua masyarakat, Barisan
Pengetua sekolah ,Barisan Guru Besar , Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Kang
Cheng Heng, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Martheno Anthony Elot,
Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Selamah Binti Ismail, Penyelaras Tingkatan Enam,
Puan Tiang Ming Chuo, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru,Puan Sansiah
Binti Napis , guru-guru Cemerlang ,guru-guru, para ibu bapa dan para pelajar yang
saya kasihi sekalian.

Selamat pagi , Salam Sehati Sejiwa dan salam menjulang SMK Bandar Bintangor saya
ucapkan .

Terlebih dahulu, saya ingin memanjat kesyukuran kepada Tuhan kerana


limpah kurnia-Nya, maka kita dapat bersua dalam majlis ini. Saya amat berbesar hati
atas jemputan pihak sekolah ini untuk menyempurnakan majlis Anugerah Cemerlang
dan Graduasi Prauniversiti yang merupakan aktiviti kemuncak sesi persekolahan
pada tahun ini. Saya percaya warga pendidik, ibu bapa dan pelajar sedia maklum
bahawa pada era globalisasi ini, arus pendidikan negara kita telah mengalami
pelbagai anjakan paradigma yang serba mencabar yakni yang bertunjangkan 11
anjakan dalam mentranformasikan sistem pendidikan negara .

Warga dewan yang saya hormati,

Sehubungan dengan itu, warga pendidik dan para pelajar seharusnya bergerak
seiring dan senantiasa bersendel bahu dalam merealisasikan visi, misi dan matlamat
pendidikan negara kita yang telah termaktub dengan jelas dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Dalam erti kata lain, warga pendidik dan para pelajar seharusnya
menggembleng usaha dengan proaktif, dan sekali gus melaksanakan komitmen
masing-masing dengan berintegriti, dan amanah dalam mendepani arena pendidikan
negara kita yang dinamik dan futuristik. Tanpa kesungguhan dalam merealisasikan
amanah yang telah digalas pada pundak kita, semestinya akan menyebabkan
pendidikan negara kita terus ketinggalan dalam persaingan globalisasi yang amat
kompetetif ini.

Sementelahan itu, pelbagai program daripada peringkat Kementerian Pelajaran


hinggalah program-program hasil cetusan minda bestari warga sekolah seharusnya
dilaksanakan dengan serius oleh semua pihak agar sekolah ini berupaya melonjakkan
prestasinya dalam pelbagai bidang, persis kata pujangga, duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi dengan sekolah-sekolah yang berpencapaian tinggi di seantero negara.
Sejajar dengan itu, program – program pendidikan di peringkat sekolah semestinya
bertunjangkan objektif yang jelas dan berlandaskan matlamat yang telah jelas
terpapar dalam anjakan transformasi pendidikan negara. Saya percaya dengan
kesungguhan yang ada pada warga pendidik dan pelajar di sekolah ini serta sokongan
padu daripada ibu bapa dan komuniti di sini, anjakan-anjakan paradigma yang
tampak rencam dan rumit itu, mampu diungkai dengan begitu teliti demi
melonjakkan pencapaian cemerlang sekolah ini dalam pelbagai bidang, baik dalam
bidang akademik ,kokurikulum mahupun sahsiah.

Warga dewan yang saya kasihi,

Dengan kesempatan ini dengan rasa besar hati saya juga ingin merakamkan
jutaan tahniah dan syabas kepada semua warga sekolah atas semua kejayaan yang
telah dicapai baik dalam bidang akademik, kokurikulum dan Sahsiah. Saya
difahamkan bahawa keputusan peperiksaan PT3, SPM dan STPM tahun 2014 telah
menunjukkan peningkatan yang sangat cemerlang dan merupakan keputusan yang
terbaik dalam sejarah sekolah .Begitu juga dalam bidang Kokurikulum, ada pelajar
yang telah berjaya mewakili sekolah sehingga peringkat negeri dan kebangsaan.

Warga dewan yang budiman,

Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada sekolah ini kerana telah berjaya
menawarkan pengajian kepada pelajar Tingkatan enam buat pertama kalinya pada
tahun 2006 dengan 3 kelas sahaja.Tahun ini saya difahamkan merupakan tahun
terakhir bagi sekolah ini menawarkan pengajian untuk pelajar tingkatan 6. Mulai
tahun 2016 semua pelajar tingkatan enam akan dipusatkan sepenuhnya di SMK
Meradong. Sepanjang tempoh ini, banyak anak didik sekolah ini yang telah berjaya
melanjutkan pelajaran ke institut pengajian Tinggi sama ada di IPTA mahupun IPTS.
Di sini saya juga ingin menyeru, anak-anak didik sekalian, seharusnya sedar
bahawa matlamat pendidikan negara bukannya tamat setelah anda meninggalkan
bangku sekolah, sebaliknya kemenjadian seseorang insan yang mampu menggalas
aspirasi negara yakni sebagai modal insan kelas pertama realitinya melalui sistem
pendidikan negara kita yang begitu terancang dan sistematik. Dalam pada itu, semua
pihak yang terlibat seharusnya bersedia menerima anjakan demi anjakan agar
aspirasi pendidikan negara kita tidak menjadi retorik semata-mata.

Akhir kata, sekali lagi saya menyeru semua pihak agar memainkan komitmen
masing-masing dengan serius dalam merealisasikan visi dan misi sekolah kerana
kejayaan pendidikan negara kita secara harafiah atau secara tidak harafiah
sememangnya bermula daripada kejayaan yang dicipta di peringkat sekolah. Kalaulah
dianalogikan dengan lebih persis lagi, sekolah merupakan akar kepada dasar
pendidikan negara yang menjadi pokoknya; gagalnya seseorang warga pendidik dan
pelajar memainkan peranannya di peringkat sekolah, nescaya akan meruntun
matlamat-matlamat pendidikan negara; kejayaan semua warga SMK Bandar
Bintangor dalam merealisasikan aspirasi dan hala tuju sekolah pada peringkat akar
umbi sudah pasti akan berupaya melonjakkan arena pendidikan negara ke persada
yang lebih tinggi. Saya percaya jika kita berusaha dengan ikhlas semestinya kita dapat
menangani segala cabaran yang kita hadapi, bak kata pepatah, jika ada kemahuan, di
situ ada jalan. Oleh itu, saya menyeru agar warga sekolah ini bersikap bagai aur
dengan tebing dan ringan sama dijinjing, berat sama dipikul untuk merealisasikan
impian murni pendidikan Negara.

Izinkan saya sudahi amanat saya dengan serangkap pantun buat semua warga
sekolah ini;

Pergi ke kali menjala ikan


Ikan dijala banyak sekali
Pendidikan negara sungguh mapan
Tranformasi pendidikan sumber inspirasi.

Dengan segala hormatnya saya merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang dan


Graduasi Prauniversiti tahun 2015 ini.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai