Anda di halaman 1dari 9

PENDAHULUAN Dalam keghairahan negara untuk mencapai matlamat pembangunan bangsa yang maju dan dinamik yang bersendirian

kepada pembangunan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan akan berlaku kesan-kesan sampingan atau pengaruhpengaruh negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan anak muda, mengugut kestabilan dan kecemerlangan bangsa. Gejala mungkar yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama di kalangan muda mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, mencuri, malas dan sebagainya adalah di antara bukti yang jelas terhadap perlunya peranan yang mesti dimainkan oleh ibu bapa. Gejala-gejala seperti kerapuhan pegangan agama, kekosongan jiwa, kekurangan daya tenaga dan pemikiran di kalangan muda mudi, krisis rumahtangga, perilaku anak-anak yang liar, tidak ada pegangan hidup, tidak menghormati orang tua, lebih suka kepada kebebasan mutlak dan keseronokan serta hanyut dalam arus pengaruh kebudayaan asing yang lebih banyak merosakkan jiwa adalah akibat daripada kelonggaran disiplin dalam sistem kekeluargaan. Sehubungan dengan Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri telah memberi penekanan penting mengenai perkara ini dengan menegaskan bahawa di antara cabaran-cabaran yang mesti diatasi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar maju ialah membentuk sebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan pada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap. Satu hal yang menjadi keyakinan umum bahawa kebajikan seseorang insan adalah berpunca daripada sistem kekeluargaan yang berlandaskan agama. Darinya akan mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudi dan berbudaya mulia yang akhirnya akan membentuk satu sistem sosial yang mantap dan dapat menghadapi pelbagai arus cabaran. Memandangkan betapa pentingnya institusi kekeluargaan dalam pembentukan masyarakat yang berbudi dan berbudaya penyayang, maka sewajarnya ia diberi perhatian utama. Justeru itu satu program khusus diperkenalkan yang diberi nama 'RUMAHKU SYURGAKU'. Program ini dilaksanakan dengan tujuan mewujudkan keluarga bahagia ke arah melahirkan masyarakat penyayang dan bersatupadu selaras dengan ajaran Islam dan wawasan 2020. KONSEP DAN FALSAFAH 'RUMAHKU SYURGAKU' Konsep dan falsafah bagi mencapai matlamat rancangan RUMAHKU SYURGAKU ini adalah berasaskan kepada syariat Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Diantara aspek-aspek yang ditekankan dalam rancangan ini ialah membina kebahagiaan, meningkatkan daya intelek, mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, penjagaan kesihatan, mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah, mengamalkan perhubungan yang baik dan berkesan serta membina sifat penyayang dan toleransi di kalangan anggota keluarga. Huraian Konsep Dan Falsafah Rumahku Syurgaku

1. Membina Kebahagiaan

Kebahagiaan adalah sesuatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa senang, suka dan gembira melalui raut wajah dan tingkah lakunya. Nilai kebahagiaan itu tidak mungkin dapat diagihkan kepada orang lain. Hadith Rasulullah s.a.w. sangat tepat membayangkan betapa bahagia itu perlu dalam hidup setiap insan. Diriwayatkan daripada An-Numan bin Basyir, Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: 'Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak, rosak pulalah seluruh badan, Ingatlah ia adalah hati'.

(Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadith ini jelas menerangkan bahawa kebaikan diri manusia itu terletak pada hatinya. Kalau ia baik, maka seluruh diri manusia itu akan menjadi baik. Sekiranya ia rosak yakni mempunyai penyakit-penyakit hati, maka manusia itu tidak akan dapat mengecapi nikmat kebaikan dan kebahagiaan. Kebahagiaan adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia menjadi suatu matlamat hidup seseorang sama ada di dunia mahupun di akhirat. Sebab itu setiap orang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan. Kegagalan mendapat kebahagiaan membawa kepada kekecewaan. Kerana itu, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui kebahagiaan. Semua orang perlukan kebahagiaan hidup sama ada untuk sementara atau selamanya. Penentuan kebahagiaan berkait rapat dengan sikap, kedudukan dan fahaman seseorang terhadap kebahagiaan. Ada orang beranggapan bahawa kebahagiaan itu boleh dicapai dengan adanya harta dan wang ringgit yang banyak. Ada pula beranggapan kebahagiaan itu ialah mengenepikan hal-hal keduniaan, kemajuan dan kemewahan. Walau bagaimanapun, kebahagiaan seperti ini adalah berkisar kepada faktor kebendaan semata-mata. Apakah kebahagiaan yang sebenar? Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: 'Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenar ialah kaya hati.'

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Maksud kaya hati seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu ialah apabila hati menjadi tenteram, tenang dan merasa cukup terhadap nikmat yang dimiliki. Dari hadith ini nyatalah bahawa harta benda bukan ukuran kebahagiaan seseorang, tetapi kebahagiaan itu sebenarnya terletak di hati. Dalam hal ini, hati perlu dijaga dan beri haknya, supaya lahir sifat-sifat mulia dan terpuji seperti amanah, bersyukur, sangka baik terhadap orang lain dan sebagainya. Jelaslah bahawa dalam sesebuah rumahtangga kebahagiaan hati adalah sesuatu yang amat perlu.

Antara cara untuk mencapai kebahagiaan ialah seperti berikut: (a) Niat Yang Baik Salah satu cara mendapatkan kebahagiaan hidup ialah dengan membetulkan niat dalam merancang sesuatu tindakan. Dalam hubungan ini seseorang itu hendaklah melatih hatinya supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Latihan sebegini dapat menjadikan seseorang itu bersifat positif dan optimis dalam melakukan sesuatu. Wajahnya akan kelihatan sentiasa riang dan tenang. (b) Perbuatan Yang Baik Satu lagi proses mendapat kebahagiaan hati ialah dengan melakukan perbuatan yang baik atau disebut sebagai amal saleh. Amal ini mestilah disertakan dengan niat yang baik. Dalam melakukan amal saleh, umat Islam disuruh sentiasa melakukan kerja-kerja baik dan meninggalkan kerja-kerja yang baik. Antara amal-amal saleh ialah tolong menolong, amanah, sopan santun, benci dan menjauhi maksiat, bercakap benar, penyayang dan lain-lain. Kemuncak kebahagiaan dalam hidup seseorang ialah apabila ia telah berjaya melakukan kebaikan atau amal saleh serta menghindar segala bentuk larangan yang ditentukan oleh Islam. Ciri utama yang menjadi ukuran masyarakat bahagia ialah mereka patuh kepada suruhan Allah secara terus menerus dengan penuh khusyuk dan khudu. Ini menepati maksud firman Allah dalam surah al-Mukminun ayat 1-11. Maksudnya: 'Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela, kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi; yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya'.

(al-Mukminun: 1-11) 2. Membina Intelek dan Meningkatkan Ilmu Pengetahuan Hidup dalam erti kata seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran, ayat 77 surah al-Qasas, ialah untuk tidak melupakan nasib di dunia. Untuk tidak mengabaikan urusan memperjuangkan nasib di dunia ini setiap umat Islam mestilah mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan daya intelek masing-masing. Dengan ketinggian ilmu pengetahuan dan daya intelek itulah mereka dapat menjangkau pelbagai keperluan, melepasi segala halangan dan rintangan dan mencapai ketinggian darjat selayak dengan cita-cita Islam sebagai agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Ketinggian Islam tidak memberi erti kalau kehidupan umatnya tanpa kualiti.

Ilmu pengetahuan mempunyai tiga kepentingan utama. Pertama; Membentuk peribadi muslim supaya dapat menjalani suruhan agama dengan sewajarnya. Kedua; Membentuk sebuah umat yang kuat. Ketiga: Mempertahankan kesucian dan ketinggian agama Islam. Sekiranya umat Islam tidak mempunyai ilmu pengetahuan, kesucian dan ketinggian agama Islam akan terjejas. Ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat luas bidangnya dan sememangnya tidak mampu dikuasai semuanya oleh manusia. Di dalam al-Quran Allah S.W.T. telah mengumpamakan ilmu itu sebagai lautan luas, yang mungkin mampu diperolihi oleh manusia hanyalah setitis daripadanya sahaja. Walaupun begitu peri pentingnya ilmu pengetahuan itu tidak boleh dinafikan, sehingga pencariannya dikategorikan sebagai satu tuntutan yang fardhu. Rasulullah s.a.w. menyebutkan melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Maiah dari Anas: Maksudnya: Daripada Anas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Menurut ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap orang Islam.'

(Riwayat Ibnu Majah) Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan yang sangat-sangat dititik beratkan oleh Islam supaya setiap orang mencarinya, tidak kira dalam apa bidang pun selagi ia mendatangkan kebaikan dan diredhai oleh Allah S.W.T. Dalam konteks membina syurga dalam rumahtangga, kesedaran terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan sangat mustahak. Ibu bapa selaku ketua keluarga mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan anakanaknya. Bermula di peringkat bayi, malah sejak dari dalam kandungan lagi, sehinggalah mereka remaja dan seterusnya dewasa, pendidikan perlu diberikan mengikut tahap dan peringkat masing-masing. Kemudahankemudahan pelajaran yang sedia ada seperti tadika, sekolah, maktab dan pusat pengajian tinggi seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya. Ibu bapa selaku pengemudi keluarga sewajibnya mempunyai perancangan dan usaha yang lebih bagi mempertingkatkan pengetahuan dan daya intelek di kalangan ahlinya. Di samping itu setiap ahli keluarga pula semestinya mempunyai kesedaran untuk mempertingkatkan pengetahuan dan daya pemikiran masing-masing sesuai dengan kemampuan yang ada tanpa rasa malas dan jemu. Pandangan berat Islam yang telah meletakkan pencarian ilmu itu sebagai satu kewajipan sepatutnya disedari oleh orang kerana maju atau membangunnya sesebuah keluarga itu adalah kerana ilmu pengetahuan. Dari segi piawai ilmu bagi sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga bermula dengan ibu dan bapa, mereka mestilah mengetahui ilmu-ilmu fardhu ain, iaitu berkait dengan akidah, syariah dan akhlak. Dari segi akidah, seseorang itu wajib mengetahui asas-asas kepercayaan mengenai ketuhanan, Allah Yang Maha Esa dan perkara-perkara di sekitar soal keimanan yang disimpulkan di dalam rukun iman. Dari segi ilmu syariah, mereka wajib mengetahui adab-adab serta peraturan-peraturan amal ibadat. Manakala dalam bidang akhlak pula, mereka wajib mengetahui dan mengamalkan akhlak Islam sebagaimana yang digariskan di dalam al-Quran dan as-sunnah, seperti taat kepada ibu bapa, tolong menolong sesama ahli keluarga dan masyarakat, menghormati jiran tetangga dan lain-lain. Perkaraperkara ini merupakan asas yang

Di samping fardhu ain, setiap anggota keluarga juga perlu mempelajari fardhu kifayah iaitu ilmu-ilmu yang lebih bersifat kepentingan umum, yang ada kaitan langsung dengan keperluan hidup manusia seperti penyediaan bahan makanan dan barang-barang gunaan, bidang sains dan teknologi, kedoktoran, kejuruteraan, perindustrian, pembinaan tempat kediaman, penyediaan infrastruktur dan lain-lain. Pelaksanaan sebahagian daripada tuntutan agama juga terkandung sebagai fardhu kifayah, umpamanya pengurusan jenazah, sembahyang berjemaah di masjid dan lain-lain. Ilmu-ilmu yang terkandung dalam bidang fardhu kifayah ini tidak diwajibkan kepada setiap individu tetapi memadai sekiranya ada sebilangan atau seorang sahaja di dalam kelompoknya yang mempelajari atau mengetahui ilmu tersebut. Apabila seorang sah Hal-hal seharian di dalam keluarga seperti percakapan, bahasa yang digunakan, tingkahlaku yang ditunjukkan dan pergaulan yang diwujudkan semestinya dalam piawai ilmu dan intelek yang tinggi yang dibentuk dalam suasana harmoni. Nilai-nilai intelek yang rendah seperti melebih-lebihkan perbicaraan tentang hiburan, cakap-cakap kosong, membanyakkan kegiatan yang tidak berfaedah dan lain-lain urusan yang membazir serta tidak bermanfaat hendaklah dihindarkan. Kesedaran hendaklah ditanamkan di dalam keluarga bahawa orang-orang yang berilmu serta berakhlak mulia tidak akan melakukan perkara-perkara seperti itu. Akal yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia menunjukkan bahawa manusia adalah makhluk yang mulia dan kurniaan itu mestilah dipelihara. Setiap ahli keluarga mestilah menyedari bahawa orang-orang yang berilmu pengetahuan sememangnya tidak sama dengan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan. Orang-orang yang berilmu selain mendapat kemuliaan daripada Allah S.W.T. mereka adalah orang-orang yang menjadi harapan kepada sesuatu keluarga, kelompok masyarakat dan seterusnya negara. Merekalah menjadi pembimbing, pentadbir, pemimpin, pelindung dan tempat rujukan orang awam. Kalaulah sesuatu keluarga atau masyarakat atau bangsa itu tidak mempunyai orang-orang yang berilmu maka kedudukan mereka akan menjadi pincang dan tidak maju. Jelaslah bahawa ilmu pengetahuan adalah satu perkara yang sangat penting dalam membentuk kehidupan yang bahagia dalam rumahtangga. Maka sebab itulah ia menjadi satu perintah yang wajib bagi setiap orang mencarinya. Saiyyidina Ali r.a. pernah berpesan: 'Ketahuilah bahawa ilmu pengetahuan adalah lebih baik daripada harta benda, sebab ilmu pengetahuan dapat menjaga dirimu, sedangkan harta benda engkaulah yang harus menjaganya. Ilmu pengetahuan adalah pihak yang berkuasa, sedangkan harta benda adalah pihak yang dikuasai. Harta benda akan berkurangan jika dibelanjakan, sedangkan ilmu pengetahuan akan bertambah-tambah jika diberikan kepada orang lain.'

3. Mewujudkan Suasana Penghayatan Islam Dan Kedamaian Dalam Keluarga Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatu tempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah. Untuk menjadikan rumah itu sebagai syurga maka aktiviti-aktiviti berikut adalah menjadi asas utama di dalam pembentukan rumahtangga. (a) Menghidupkan Sembahyang Berjemaah

Dalam Islam, amalan yang paling pokok ialah sembahyang. Sembahyang boleh menjadi ukuran kepada seseorang sama ada ia seorang Islam yang sempurna atau pun tidak. Orang yang mengaku dirinya beragama Islam, tidak sempurna Islamnya jika ia tidak melakukan ibadat sembahyang. Sembahyang berjemaah di masjid atau surau dituntut oleh Islam. Kelebihannya sangat besar dan pahalanya 27 kali ganda daripada sembahyang berseorangan. Sembahyang jemaah dapat mewujudkan hubungan silaturrahim, melahirkan perhubungan kasih sayang dan semangat kekitaan dan dapat menghindarkan perasaan mementingkan diri sendiri. Oleh itu bagi orang yang tidak berhampiran atau berdekatan dengan masjid atau surau adalah disunatkan ke masjid atau surau bersama keluarga bagi menunaikan sembahyang jemaah. Bagi orang yang tinggal jauh dari masjid, mereka digalakkan mengerjakan sembahyang jemaah di rumah bersama keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga adalah bertindak sebagai imam, manakala anak-anak dan isteri sebagai makmum. Waktu yang amat sesuai diadakan sembahyang jemaah ialah waktu Maghrib, Isyak dan Subuh, kerana waktu-waktu itu lazimnya ibu bapa dan anak-anak berada di rumah. Jika terdapat tetamu yang mengunjungi rumah pada waktu tersebut, eloklah mereka diajak bersembahyang jemaah bersama-sama . Bagi membentuk keluarga yang bahagia dan menjadikan rumah sebagai syurga, maka sembahyang berjemaah sekeluarga mesti diadakan secara terus menerus, sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi keluarga yang sibuk, atau tiap-tiap hari bagi keluarga yang mempunyai kemampuan. Amalan ini mempunyai faedah yang besar serta dapat mendidik anak-anak menghayati Islam dengan sebenar, serta dapat membentuk akhlak yang baik. Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah S.W.T. untuk mendidik dan mencorakkan anak-anak mereka ke jalan yang benar, adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan tanggungjawab ibadat sejak mereka masih kecil lagi. (b) Membaca al-Quran Bersama Di rumah Membaca al-Quran mempunyai pahala yang besar, amalan ini boleh mengukuhkan keimanan seseorang dan mendekatkan diri kepada Allah serta memberi ketenangan kepada hati. Firman Allah di dalam surah ar-Rad ayat 28: Maksudnya: '(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.' Menurut Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM, zikrullah pada ayat ini maksudnya al-Quran al-Karim yang menjadi sebesar-besar mukjizat yang tidak ada tolok bandingnya. Nyatalah bahawa membaca al-Quran itu menjadi ibadat yang sangat berfaedah bagi seseorang muslim yang patut dilakukan pada setiap hari sama ada di waktu pagi, petang ataupun malam. Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat membaca dan menghayati isi al-Quran dengan baik. Sistem pendidikan negara kita membolehkan semua rakyat mampu membaca al-Quran. Oleh kerana membaca al-Quran adalah satu ibadat yang amat penting dan utama dalam kehidupan orang Islam, maka perlulah diikhtiarkan cara yang berkesan supaya amalan ini dapat dihayati dalam kehidupan harian.

Dalam program secara bersama dalam keluarga hendaklah menjadi amalan harian atau sekurang-kurangnya satu kali seminggu. Al-Quran mengandungi 604 halaman, jika dalam masa seminggu dibaca dua halaman, maka dalam tempoh satu tahun hampir separuh dari al-Quran dapat dihabiskan. Amalan ini hendaklah diteruskan sepanjang hayat. (c) Membaca Buku Agama Di Rumah Beramai-ramai Satu lagi amalan dalam rumahtangga yang bahagia ialah mengumpulkan keluarga sekurang-kurangnya satu kali dalam seminggu untuk membaca buku agama. Buku agama ini boleh dipilih dari buku-buku yang terkenal dalam berbagai bidang seperti sejarah Islam, sejarah ulama dan pemikiran Islam, asas-asas fardhu ain, ilmu tauhid, akhlak dan lain-lain. Dengan cara membaca buku agama, secara tidak langsung boleh menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga. Melalui amalan membaca buku di rumah ini juga dapat melatih ahli keluarga khususnya anak-anak yang dalam proses pembelajaran untuk meningkatkan pengetahuan mereka. Dalam hubungan ini kaedah yang boleh digunakan ialah membaca bergilir-gilir di antara ibu, bapa dan anak. (d) Makan Bersama Sekeluarga Keluarga bahagia ialah keluarga yang dapat mewujudkan tradisi makan bersama-sama sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu pada cuti hujung minggu. Malam adalah waktu yang agak sesuai untuk menghadapi makanan secara bersama keluarga kerana semua ahli keluarga di waktu itu telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing di dalam bidang pekerjaan dan pelajaran. Makan bersama keluarga boleh mengeratkan lagi rasa kasih sayang antara anggota keluarga. Ibu bapa harus memainkan peranan bagi mewujudkan suasana yang harmoni ketika makan. Inilah di antara kesempatan terbaik untuk ibu bapa berbicara dengan anak-anak dan dapat memberi nasihat, menanam pendidikan dan memupuk kasih sayang dalam keluarga. Sebagai contoh, semasa menghadapi makanan dinasihatkan membaca bismillah bagi mendapatkan keberkatan terhadap makanan dan minuman tersebut dan sebagai tanda terima kasih terhadap Allah yang telah memberikan rezeki. Semasa hendak menjamah makanan yang dihidangkan seorang ahli keluarga, bapa atau ibu hendaklah membaca doa ringkas iaitu: Maksudnya: Daripada Abdullah bin Amr, daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda membaca doa apabila dihidangkan makanan kepada mereka dengan doa yang bermaksud: 'Ya Allah berkatilah rezeki yang engkau berikan kepada kami dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka, dengan nama Allah'.

(Riwayat Abu Bakar ibn as-Sunni) Semasa makan bersama keluarga, anak-anak hendaklah diperingatkan supaya tidak memulakan makan atau minum

kecuali setelah dimulakan oleh ibu bapa atau orang yang lebih tua. Begitulah juga adab di dalam satu-satu majlis makan yang lain. Ini adalah bertepatan dengan hadith Nabi s.a.w. yang menyebut: Maksudnya: Daripada Huzaifah r.a. katanya: 'Apabila kami bersama-sama Rasulullah s.a.w. menghadapi makanan, kami tidak menghulurkan tangan sehingga Baginda memulakan menjamah makanan tersebut terlebih dahulu.'

(Riwayat Muslim) Ibu bapa juga adalah bertanggungjawab untuk sentiasa mendisiplinkan anak-anak sewaktu makan dengan tidak banyak bercakap tentang perkara-perkara yang tidak berfaedah, melarang makan di tempat-tempat yang tidak sesuai seperti di ruang tamu, di hadapan TV dan di dalam bilik tidur. Memulakan makanan dari sebelah kanan, makan dengan tidak gelojoh dan lain-lain. (e) Memberi Salam Semasa Masuk Atau Meninggalkan Rumah Keluarga bahagia pulang ke rumah dengan keadaan gembira. Apabila samapai ke pintu rumah mereka akan menyampaikan salam dan anggota di dalamnya menjawab salam tersebut dengan jelas. Demikianlah juga apabila mereka meninggalkan rumah untuk pergi bekerja atau ke sekolah. Amalan ini wajar dihayati sebagai amalan harian kerana ia boleh membuatkan hubungan di kalangan semua anggota keluarga terus mesra dan kukuh. Ucapan salam ialah doa seseorang kepada seseorang yang lain supaya sentiasa berada di dalam suasana kebaikan dan keselamatan dan juga merupakan penghubung kasih sayang di antara sesama manusia. Oleh itu ibu bapa wajar mempraktikkan salam ini supaya dapat diikuti anak-anak mereka. (f) Minta Keizinan Masuk Bilik Setiap ibu bapa perlulah melatih anak-anak meminta izin atau kebenaran sebelum mereka masuk ke bilik tidur ibu bapa. Dalam hal ini Allah S.W.T. telah memberi panduan melalui firman-Nya dalam surah an-Nur ayat 58: Maksudnya: 'Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa, (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isya; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kemudian mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-NYA (yang menjelaskan hukum-hukum-NYA); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.'

(An-Nur : 58) 4. Mengekalkan Kedamaian Dan Kerukunan Rumahtangga

Rumahtangga bahagia ialah rumahtangga yang wujud unsur-unsur kedamaian dan keselesaan. Suami sebagai ketua keluarga adalah berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya melalui kehidupan yang diredhai Allah dengan memberi didikan agama dan menyemadikan niali-nilai murni kepada mereka. Antara unsur-unsur kedamaian di dalam rumahtangga ialah: (a) Tolong Menolong dan Bantu Membantu Dalam Keluarga Setiap ahli keluarga berkewajipan untuk mendisiplinkan diri bagi melaksanakan tugas masing-masing. Umpamanya suami atau bapa berkewajipan mencari nafkah atau melakukan kerja-kerja yang memerlukan gerakan fizikal yang lebih, manakala isteri atau ibu melakukan kerja- kerja yang agak ringan dan sesuai dengan kemahiran wanita. Begitu juga dengan anak-anak diberikan tugas-tugas tertentu sesuai dengan peringkat umur dan kesanggupan fizikal mereka. Satu program gotong royong di antara ahli keluarga seperti membersihkan rumah patut diadakan sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ia boleh mewujudkan perasaan kasih sayang dan rasa tanggungjawab di kalangan ahli keluarga. Melalui program ini rumah sentiasa bersih dan kesihatan dapat dijaga. Allah mengasihi orang-orang yang mengamalkan kebersihan. (b) Hubungan Kejiranan Yang Baik Kesejahteraan dalam keluarga bukan hanya diperol

Anda mungkin juga menyukai