Anda di halaman 1dari 3

Kesan negatif cerita hantu

KISAH seram, misteri, mistik, dan hantu tahyul telah kembali mendapat tempat di pelbagai media elektronik dan penyiarannya telah mendapat respons yang cukup baik oleh masyarakat. Pelbagai versi dan variasi cerita hantu tahyul, misteri dan mistik ditonton oleh masyarakat Melayu khususnya dan intipati cerita-cerita genre ini sudah sememangnya memberi kesan negatif kepada emosi dan psikologi penonton khususnya kanak-kanak dan kaum wanita. Penerbit dan pengarah filem atau drama pula cukup pakar dalam mencari elemen-elemen cerita genre ini yang boleh menarik minat penonton daripada hantu melayang atas pokok iaitu pontianak hingga buka botol kicap pun ada hantu, itu belum lagi masuk kisah hantu bawah katil, hantu dalam kereta, hantu atas motor dan hantu mengesot dan mengheret macam hantu Jepun Ju On. Itu belum cakap pasal bab hantu mengilai dengan suara dan bunyi-bunyian serta hantu memanggil nama-nama orang yang 'digilai hantu', memang naik seram, naik takut dan naik bulu roma menonton cerita-cerita hantu ini. Tapi sedarkah kita kesan cerita-cerita misteri, mistik, hantu tahyul ini kepada emosi dan psikologi kehidupan kita seharian terutama anak-anak, remaja dan juga kaum wanita termasuk diri saya sendiri yang saya sifatkan sebagai penakut kerana selalu membaca buku cerita hantu dan menonton cerita-cerita hantu sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja saya. Banyak senario yang menganggu kehidupan kita kesan ketakutan dan kelemahan emosi dan psikologi kesan tontonan cerita-cerita begini, antaranya: n Hendak berjalan seorang-seorang waktu hampir gelap atau malam rasa takut terutamanya di kawasan kampung yang banyak pokok dan belukar kerana takut hantu pocong, pontianak dan hantu raya memanggil dari semak samun. n Hendak buka botol kicap atau jumpa mana-mana botol, takut nak buka dek takut terbuka botol yang ada hantu tinggal di dalam botol. nHendak ke bilik air asrama bersendirian waktu malam rasa takut sebab bimbangkan di cermin nampak hantu rambut panjang mengerbang dan juga takut ada hantu mengesot datang dekat. n Hendak tidur seorang-seorang takut sebab takut ada hantu baring di sebelah dengan muka penuh darah dan ulatulat. n Hendak tinggal rumah seorang lagi takut kerana takut dengar macam-macam bunyi terutama di bilik air dan bilik tidur, takut hantu bersembunyi dalam almari. n Memandu kereta atau motosikal waktu malam seorang-seorang lagi menyeramkan apabila lalu kawasan gelap dan siap berkabus lagi, takut ada hantu bonceng dan hantu tumpang kereta dan boleh nampak dari cermin kereta. Boleh kemalangan jadinya. n Hendak bertegur dengan orang tua atau mana-mana orang yang jalan seorang-seorang dan tahan kereta kita waktu malam pun takut kerana fikir "mana ada orang jalan seorang malam-malam, ini mesti hantu" padahal orang itu mungkin perlu sangat pertolongan kita. n Bila bau wangi pada waktu malam atau lalu di kawasan tertentu, memang cabut lari pucat lesi kerana fikir hantu lalu sebab bau wangi. Itu antara senario-senario yang dihadapi sebahagian besar kanak-kanak, remaja dan juga orang dewasa terutama wanita yang termasuk dalam golongan 'lemah semangat' dan 'lemah lutut' bila bercakap soal hantu dan yang seangkatannya.

Walaupun kita tidak boleh mengatakan kelemahan emosi dan psikologi dari aspek ketakutan dan lemah semangat ini hanya disebabkan oleh kesan cerita hantu tahyul ini tetapi ia sekurang-kurangnya menyumbang kepada keadaan tersebut. Jadi kepada ibu bapa, awasi anak-anak yang menonton, bagi kaum wanita yang lemah semangat macam saya, elakkan menonton secara kerap dan bagi anak-anak remaja pula yang hendak menonton, ajak kawan-kawan dan bincangkan balik cerita yang ditonton itu dengan lebih praktikal. Prof. Madya Dr. Rusinah Siron Kolej Pengajian Siswazah UNITEN, Kampus Putrajaya

Henti tayang cerita hantu kerana bertentangan dengan Islam


20/03/2012 8:16pm

KUALA LUMPUR 20 Mac Tayangan filem, drama dan cerita yang berelemenkan hantu puaka dan jembalang pelesit harus dihentikan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan meracuni pemikiran anak-anak bangsa. Sasterawan Negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya Kemala berkata, tindakan itu perlu kerana tayangan cerita sebegini hanya akan terus melemahkan akal budi bangsa, jati diri, ketahanan sahsiah serta ketahanan mental seseorang khususnya generasi muda. Katanya, drama atau cerita-cerita genre sedemikian sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan lagi dalam konteks zaman moden kini. "Mengapakah drama-drama atau cerita kita harus terus dimasukkan dengan elemen hantu-hantu puaka? Tak usahlah meracuni pemikiran anak-anak bangsa kita dengan cerita-cerita sebegini. "Ke manakah hala tuju bangsa kita jika keadaan ini berlarutan? Semua ini akan disoal jawab oleh tuhan di akhirat nanti, katanya. Kemala juga mencadangkan supaya pemimpin politik mengadakan pertemuan dengan Sasterawan negara bagi mengimarahkan peranan tokoh-tokoh sasterawan negara yang telah banyak berjasa kepada dunia kesusasteraan tanah air. BERNAMA

Kawal filem seram, tahyul


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED UPM Serdang Selangor

ISU filem seram dan tahyul kembali bergema apabila Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kelima baru-baru ini memutuskan supaya kerajaan bertindak tegas bagi memastikan filem atau drama tempatan berunsur seram dan hantu tidak lagi memaparkan jalan cerita yang mempersendakan Islam. Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah menzahirkan kerisauannya apabila terdapat lambakan cerita hantu yang ditayangkan di televisyen dan filem ketika ini dikhuatiri boleh mempromosikan

kepercayaan karut yang tidak membantu membina masyarakat produktif termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik. Dalam pada itu, kita juga masih segar dengan pengumuman Lembaga Penapis Filem (LPF) yang tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya peranan tersebut diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem itu sendiri. Keputusan itu juga dikatakan meliputi filem luar negara. Ringkasnya, rata-rata masyarakat kita terutama umat Islam setuju bahawa filem seram itu yang lebih banyak memaparkan unsur tahyul boleh merosakkan akidah umat Islam dan tidak elok dijadikan tontonan umum. Ini kerana, kita khuatir ia boleh membawa pengaruh kurang baik kepada masyarakat kita terutama anak-anak kita. Apakah kita mahu pertontonkan perkara tahyul dan bertentangan dengan ajaran agama Islam kepada anak-anak kita? Walaupun pengarah dan penerbit cuma mengetengahkan dan memperlihatkan kreativiti dan kehebatan masingmasing melalui daya imaginasi yang tinggi dengan menghasilkan filem seperti itu, tetapi mereka perlu sedar juga tentang tanggungjawab sosial mereka dan ia tidak membawa sebarang makna andai akhirnya boleh menjurus ke arah meruntuh dan merosak akidah masyarakat kita. Biarlah kreativiti dan imaginasi itu bertempat dan berpada. Jangan hanya kerana mahu filem keluaran kita laris di pasaran, kita sanggup menggadaikan dan memperjudikan akidah penonton. Tambahan pula, filem seperti itu seperti kata Tun Dr. Mahathir tidak langsung membantu membina masyarakat progresif, maju dan bertamadun. Ia seolah-olah mengajak kita mundur ke belakang. Lebih merisaukan kita apabila LPF pula tidak menapis filem seperti itu yang pasti akan membolehkan filem berkenaan berleluasa di pasaran dengan adengan yang boleh menghanyutkan anak-anak muda kita. Dalam hal ini, kita percaya majoriti rakyat kita yang berfikiran waras masih mengharapkan agar LPF terus memainkan peranan aktif dalam menapis segala unsur-unsur kurang sihat dan tidak sesuai dengan norma kehidupan masyarakat kita baik dalam filem tempatan mahupun luar negara. Walaupun bukan semua filem tempatan mahupun luar negara mempunyai unsur-unsur tersebut, tetapi kebebasan mutlak yang diberikan ini dikhuatiri akan membawa malapetaka besar kepada kehidupan sosial rakyat kita. Kita perlu ingat bahawa selama ini, ketika LPF melaksanakan tapisan yang ketat masih terdapat beberapa adegan dalam filem tempatan mahupun luar negara yang kadangkala terlepas pandang. Ia kemudiannya menjadi isu dalam kalangan masyarakat dan kita tidak dapat bayangkan apa akan terjadi selepas ini tanpa sebarang tapisan. Filem kita adalah wajah kita. Justeru, kita memohon agar pihak kerajaan mengeluarkan garis panduan lebih ketat terhadap pengeluaran filem seram dan tahyul di negara kita. Cukuplah dengan masalah sosial yang sedia ada dalam kalangan umat Islam. Usahlah kita menambah lagi dengan membuka peluang seperti itu yang boleh merosakkan akidah kita pula.

Anda mungkin juga menyukai