Anda di halaman 1dari 10

Kitab Rahsia Zakat Imam Ghazali

Kandungan Kitab Rahsia Zakat:

1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. 8.

Pendahuluan Menunaikan zakat dan syarat-syaratnya Rahsia zakat sebagai sendi Agama Islam Tugas-tugas mengeluarkan zakat Pembahagian zakat dan asnaf-asnaf penerimanya Tugas-tugas penerima zakat Sedekah tathawwu dan keutamaannya Keutamaan sedekah yang disembunyikan

Kitab Rahsia Zakat Pendahuluan Allah s.w.t. telah menjadikan zakat itu salah satu sendi bagi bangunan Islam, dan diikutkan sertakan sebutan zakat pula dengan sebutan sembahyang yang menjadi setinggi-tinggi panji-panji agama Islam. Allah berfirman: Dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat (al-Baqarah: 110) Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Islam itu didirikan atas lima perkara (1) Penyaksian bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasnya Muhammad itu hambaNya dan RasulNya, (2) mendirikan sembahyang, (3) Mengeluarkan zakat, (4) Berpuasa Ramadhan, dan (5) Berhaji ke Baitullah (Kabah) bagi sesiapa yang berkuasa menuju kepadanya. Allah Taala telah mengancam dengan sekeras-kerasnya terhadap orang-orang yang melalaikan perintah-perintahNya dengan berfirman: Orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tiada membelanjakan pada jalan Allah, maka beritahukanlah mereka itu akan ditimpa azab yang amat pedih. (at-Taubah: 34) Maksud dari membelanja pada jalan Allah ialah mengeluarkan zakat. Al-Ahnaf bin Qais berkata: Pada suatu masa saya sedang duduk-duduk bersama-sama beberapa orang Quraish, lalu Abu Zar melintas seraya berkata: Beritahukanlah kepada orang-orang yang mendamkan hartanya (tiada mengeluarkan zakat) bahawa mereka akan diselar dengan api dari tengkuknya menembusi dahinya pula. Dengan adanya ancaman yang begitu keras itu, maka adalah menjadi satu tugas- yang penting bagi Agama Islam untuk mendedahkan rahsia-rahsia zakat dan maksud-maksudnya yang lahir dan batin. Dalam hal ini ada beberapa fasal.

Menunaikan zakat dan syarat-syaratnya

Ketahuilah bahawa atas orang-orang yang mengeluarkan zakat itu beberapa perkara yang harus diperhatikan: Pertama: Menyegerakan pengeluaran zakat sesudah cukup haulnya (iaitu kiraan setahun) dan di dalam zakat fitrah, tiada boleh ditangguhkan hingga hari terbuka, iaitu Hari Raya. Waktu kewajipan zakat fitrah bermula dari tenggelamnya matahari hari terakhir dari Ramadhan dan boleh disegerakan pengeluarannya pada sepanjang bulan Ramadhan. Orang yang sengaja melambatkan pengeluaran zakatnya padahal ia berkuasa adalah berdosa besar, dan kewajipan itu tidaklah gugur daripadanya sekiranya hartanya binasa sesudah itu. Kiranya ia lambat mengeluarkannya kerana mencari orang-orang yang berhak menerimanya, tidaklah terkira dalam pengertian sengaja melambatkan dan kerana itu tidak ia berdosa. Menyegerakan pengeluaran zakat umumnya adalah harus. Kedua: Tiada boleh memindahkan sedekah atau zakat itu ke negeri yang lain, sebab kaum fakir miskin di setiap negeri sentiasa mengharap-harapkan kepada harta benda dari zakat. Apabila harta benda zakat itu dipindahkan ke tempat lain akan kecewalah harapan mereka itu. Andaikata dipindahkan juga harta benda zakat itu, maka hukumnya sah juga dengan khilaf setengah ulama. Tetapi meninggalkan perkara yang ada khilaf ulama itu adalah lebih utama; iaitu sebaik-baiknya ia mengeluarkan zakat hartanya itu di negerinya sendiri. Dan tiada mengapalah kalau ia memberikan sebahagian dari zakatnya itu kepada orang-orang gharib (orang-orang asing yang datang ke situ) yang berada di negerinya itu juga. Ketiga: Hendaklah ia mengeluarkan kepada sebilangan orang dari asnaf-asnaf delapan yang ada di negerinya itu. Yang biasanya pada tiap-tiap negeri hanya yang ada empat asnaf saja iaitu: (1) Fakir, (2) Miskin, (3) Ghaarim atau orang yang dibebani oleh hutang, dan (4) Orang yang terlantar, yakni Ibnu Sabil yang terkandas di negeri orang. Tiada wajib atasnya untuk membahagikan zakatnya itu sama rata menurut bilangan asnaf. Rahsia zakat sebagai sendi Agama Islam Dalam membincangkan rahsia-rahsia zakat itu ada tiga pengertian: Pengertian 1: Penyebutan dua kalimah syahadat itu mengertikan suatu pengakuan terhadap wajibnya sifat keEsaan bagi Allah s.w.t. dan sebagai penyaksian akan satunya Tuhan yang disembah. Syarat bagi penyempurnaan pengakuan ini, hendaklah jangan sampai ada bagi orang mengEsakan Allah tadi suatu zat lain yang amat dikasihinya atau dicintainya lagi selain dari Zat yang Maha Esa dan Maha Satu itu. Sebab kecintaan yang sempurna itu tidak mengakui adanya persekutuan dengan yang lain. Mengakui keesaan dengan lidah semata-mata kurang kesannya pada diri, akan tetapi seseorang yang mengakui kecintaan itu akan diduga tingkatan kecintaanya dengan terpisahnya orang yang dicintai itu.

Harta kekayaan pula adalah barang yang amat dicintai oleh manusia, sebab ia merupakan mata benda yang boleh menyenangkan mereka dalam kehidupan di dunia dan dengan adanya harta kekayaan itu manusia akan merasa kelapangan hidup di dalam alam yang fana ini, dan mereka akan melarikan diri dari maut, padahal hanya dengan maut sajalah akan bertemu pengasih dengan kekasihnya; iaitu Allah s.w.t. lalu mereka itu di duga tentang kebenaran pengakuan mereka terhadap Zat yang dicintainya itu sama ada benar atau palsu; iaitu melalui harta kekayaan yang dikejar dan disanjungnya dalam kehidupan yang fana ini. Allah Taala berfirman: Sesungguhnya Allah Taala telah membeli dari kaum Muminin itu diri mereka dan harta kekayaan mereka dengan janji akan memberikan mereka syurga (at-Taubah: 111) Yang demikian itu akan terhasilnya dengan berjihad; iaitu menukar gantikan dengan nyawa, kerana sangat cinta untuk bertemu dengan Allah yang dicintaiNya itu, tetapi ini hanya menukar ganti dengan harta benda saja, dan ia adalah lebih ringan dari pertama tadi. Apabila pengertian serupa ini diumumkan pada membelanjakan harta kekayaan, maka orang ramai pun terbagi kepada tiga bahagian: Bahagian 1: Suatu puak mengutamakan tauhid atau keesaan Allah, lalu membelanjakan semua harta kekayaan mereka, tiada sedinar ataupun sedirham pun yang tinggal lagi. Termasuk dalam puak ini ialah Saiyidina Abu Bakar as-Sidiq yang telah membawa semua hartanya kepada Rasulullah s.a.w. untuk dibahagi-bahagikan. Bahagian 2: Sepuak lagi yang rendah sedikit tingkatannya dari puak yang pertama tadi; iaitu orang-orang yang menahan hartanya untuk dibelanjakan pada waktu-waktu keperluan dan masa-masa mengeluarkan khairat atau sedekah. Jadi maksudnya menyimpan wang itu adalah untuk membelanjakan ke atas kadar keperluannya saja tanpa bersenang-senang dengannya dan selebih dari kadar keperluannya itu dibelanjakan kesemuanya kepada perkara-perkara kebajikan tidak kira apa saja rupanya. Orang-orang dari puak ini tiada memandang cukup dengan mengeluarkan zakat semata-mata, malah sedekah-sedekah yang lain pun turrut dikeluarkan sama. Sebahagian terbesar dari para tabiin menentukan, bahawa dalam harta benda itu ada hak-hak yang lain selain dari har zakat. Mereka itu termasuklah Imam-imam as NakhaI as-Syabi, Atha dan Mujahid. Lihatlah apa kata as-Syabi apabila ditanya: Apakah dalam harta benda itu ada lagi hak selain zakat, beliau menjawab: Memang ada lagi hak selain zakat, belian menjawab: Memang ada lagi hak yang lain. Tidak pernahkan engkau mendengar firman Allah Taala. Dan dia memberikan pula hartanya yang dikasihinya kepada kaum kerabat. (alBaqarah:177) Dan mereka itu mengambil dalilnya dari: firman Allah Taala

Dan mereka membelanjakan dari apa yang Kami (Allah) rezekinya kepada mereka. (al-Baqarah: 3) Begitu pula dengan firman yang berikut: Dan belanjakanlah dari apa yang Kami (Allah) memberi rezeki kepada kamu. (alMunafiqun:10) Ayat ini pula umum termasuk dalam hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain. Yakni wajib atas orang yang berkelebihan membantu saudaranya yang berhajat dan menutup keperluannya dari wang yang selain zakat. Bahagian 3: Puak atau golongan yang berpegang dengan yang wajib semata-mata, tiada lebih dan tiada kurang. Mereka inilah yang berada di tingkat yang paling rendah sekali. Kebanyakan orag berada di tingkat yang paling rendah sekali. Kebanyakan orang terkira dalam golongan ini disebabkan mereka itu terlalu lokek dengan harat kekayaan yang mereka amat mencintainya itu, dan oleh kerana lemahnya kecintaan mereka terhadap akhirat. Pengertian 2: Membersihkan jiwa dari sifat lokek dan bakhil kerana ia adalah salah satu dari sifat-sifat yang membinasakan. Allah telah berfirman: Barangsiapa terselamat dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang berbahagia. (al-Hashr: 9) Ketahuilah sifat kikir atau lokek itu tidak akan lenyap dari diri seseorang, melainkan dengan membiasakan diri membelanjakan harta kepada jalan kebajikan, kerana kasih kita kepada sesuatu benda itu tidak akan terputus, melainkan dengan memaksa diri untuk berpisah dengannya, sehingga lama-lama menjadi kebiasaan. Menurut pengertian ini, zakat itu menjadi pensuci diri; iaitu ia akan membersihkan diri seseorang itu dari buruknya sifat lokek atau kikir yang membinasakan itu. Dan kadar pensucian itu adalah diukur banyak sedikitnya dengan kadar perbelanjaannya dari harta itu, dan dengan kadar rasa gembiranya kerana mengeluarkan wang itu, atau merasa puas hati, sebab dia telah membelanjakannya semata-mata kerana mencari keredhaan Allah s.w.t. Pengertian 3: Mensyukuri nikmat, kerana setiap manusia adalah terhutang nikmat kepada Allah s.w.t. pada dirinya dan pada hartanya Oleh itu ibadat yang dilakukan oleh anggota badan ini merupakan suatu kesyukuran terhadap kenikmatan tubuh. Begitu juga membelanjakan wang dalam jalan Allah itu merupakan suatu kesyukuran terhadap kenikmatan harta pula. Alangkah jeleknya seseorang yang melihat si fakir yang sedang dalam kesempitan rezeki dan amat perlu kepada bantuan wang, sedangkan ia tiada mengendahkannya dan tiada memberatkan untuk menunaikan kesyukuran terhadap Allah s.w.t. iaitu dengan menyelamatkannya dari meminta-minta untuk mencukupi keperluannya dan keperluan orangorang yang ditanggungnya, dengan membelanjakan suku persepuluh (2.5%) ataupun sepersepuluh (10%) dari hartanya.

Tugas-tugas mengeluarkan zakat

1. 2. 3. 4. 5. 6. 7.

Menyegerakan pengeluarannya Mengeluarkan zakat secara rahsia Menggalakkan orang lain untuk turut berzakat Janganlah anda rosakkan sedekah itu dengan menyebut-nyebutnya Memandang pemberian itu amat kecil sekali Memilih dari harta yang paling baik Memilih orang yang benar-benar boleh membersihkan hartamu dengan sedekah itu

Pembahagian zakat dan asnaf-asnaf penerimanya Ketahuilah, bahawa tiada berhak untuk menerima zakat itu melainkan seorang Muslim yang ada padanya salah satu dari sifat-sifat asnaf delapan yang tersebut di dalam al-Quran al-Karim: 1. Fakir: iaitu orang yang tiada harta dan tiada mampu pula bekerja. Barangsiapa yang boleh bekerja akan terkeluarlah ia dari kategori seorang fakir. Jika ia sedang menuntut ilmu dan yang demikian itu telah menghalangnya dari bekerja maka dikiralah ia seorang fakir dan kekuasaannya untuk bekerja itu tiada dikira. Tetapi kalau ia seorang abid (beribadat), sehingga ibadatnya itu menghalangnya dari bekerja disebabkan terlalu banyak ibadatnya dan semua waktunya dihabiskan kerana berwirid maka hendaklah ia disuruh supaya bekerja. Sebab membuat pekerjaan untuk mendapatkan sara hidup itu, adalah lebih penting daripada menghabiskan kesemua masanya pada ibadat dan wirid semata-mata. 2. Miskin: iaitu orang yang pendapatannya tidak mencukupi perbelanjaan yang mesti dikeluarkan. Seseorang itu boleh jadi memiliki seribu dirham, padahal ia boleh dikira miskin sedangkan orang yang tidak memiliki apa-apa kecuali sebilah kapak dan sepotong tali, padahal ia boleh dikira kaya. Demikian pula pondok kecil yang dimilikinya dan sepasang pakaian yang membalut badannya sekadar hal saja, itu semua tidak dapat merampas darinya nama seorang miskin. Begitu juga dengan perkakasperkakas rumahtangga yang diperlukan di rumah menurut keadaan atau kebiasaan tidak dapat mengeluarkan namanya dari kategori seorang miskin. Termasuk juga kalau ia mempunyai kitab-kitab fiqh yang banyak, kerana tentulah dia berhajat kepadanya untuk mengetahui hukum-hukum agama. 3. Para amil: iaitu orang-orang yang bekerja untuk mengumpulkan zakat termasuk dalam senarai ini semua orang yang bekerja sebagai kerani, jurukira penyimpan harta zakat dan orang yang bertugas untuk memindahkan harta zakat. 4. Orang yang dibujuk hatinya menganut Islam atau yang dipanggil muallaf; iaitu seorang ketua sesuatu puak yang memeluk Islam, sedangkan ia ditaati oleh kaumnya. Sebab diberikan kepadanya sebahagian daripada zakat, ialah untuk mengukuhkan kepercayaannya kepada Agama Islam dan menggalakkan pula pengikut-pengikutnya dan orang lain sepertinya untuk memeluk Agama Islam. 5. Hamba abdi: iaitu untuk maksud menebus dirinya daripada perhambaan, sama ada dibayarkan harganya kepada tuan punyanya untuk dimerdekakan, ataupun diberikan bahagian zakat itu kepadanya

sendiri supaya ia menebus dirinya daripada perhambaan (sekiranya ia hamba mukatab pent.). 6. Gharim atau orang yang dibebani oleh hutang: iaitu kiranya ia berhutang kerana tujuan-tujuan ketaatan ataupun kerana sebab yang mubah (harus) seperti perbelanjaan ke atas anak-isteri misalnya sedangkan ia di dalam keadaan fakir, tak punya daya untuk membayar hutang itu. Kiranya ia berhutang kerana tujuan maksiat maka tiadalah ia diberikan dari bahagian zakat itu, melainkan jika ia telah bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Kiranya ia seorang yang kaya (misalnya mempunyai harta benda pent.), maka tiadalah boleh ditunaikan hutangnya itu dari bahagian zakat, kecuali jika ia berhutang itu kerana faedah dan maslahat orang ramai, ataupun kerana tujuan memadamkan fitnah dan huru-hara. 7. Orang mujahid atau yang berperang fi-sabilillah: iaitu orang yang tiada menerima apa-apa bayaran berupa upahan atau gaji dari negara, maka diberikan kepada mereka itu satu bahagian dari zakat, meskipun mereka itu tergolong orang-orang yang kaya-raya, kerana pemberian itu adalah untuk menggalakkan mereka supaya terus berperang. 8. Ibnu sabil: iaitu orang yang meninggalkan negerinya untuk mengembara ke negeri orang bukan kerana maksiat, atau kerana terlantar di negeri orang dan tak punya wang untuk kembali, maka bolehlah diberikan kepadanya bahagian zakat, kiranya ia seorang fakir ataupun kiranya ia mempunyai harta di negeri lain, diberikan sekadar belanja untuk sampai ke negeri itu saja. Tugas-tugas penerima zakat Orang yang menerima zakat mempunyai empat tugas: 1. Hendaklah ia mengetahui bahawa Allah Azzawajalla mewajibkan pemberian itu untuk mencukupi keperluannya supaya menjadi pertolongan kepadanya untuk mengerjakan ketaatan. Jika dipergunakannya untuk maksiat, seolah-olah ia telah mengkufuri nikmat-nikmat Allah yang diberikan kepadanya. Dengan itu terjauhlah ia dari rahmat Allah dan mendapat kutukan pula daripadanya. 2. Hendaklah ia mensyukuri orang yang memberikan zakat itu sambil mendoakan baginya dan memujinya tetapi hendaklah jangan sampai terkeluar dari menganggapnya sebagai pengantara saja, atau sebagai jalan di mana menerusinya disampaikan nikmat Allah tadi, tidak lebih dari itu. Sebab bagi pengantara atau jalan atau wasitah itu, ada haknya juga dari segi hanya dijadikan pengantara atau wasitah. Dan tiadalah menafikan bahawa asal nikmat itu daripada Allah s.w.t. Telah bersabda Rasullullah s.a.w. Barangsiapa yang tiada mensyukuri manusia, maka tiadalah ia mensyukuri Allah. Allah s.w.t. juga telah memuji hamba-hambaNya, kerana amalan-amalan baik mereka dalam beberapa ayat di dalam kitabNya, tetapi Dia tetap menentukan bahawa Dialah yang mentakdirkan semua itu, di antaranya firman Allah: Sebaik-baik hamba itu adalah yang banyak taubatnya (Shad: 30) Bersabda Rasulullah s.a.w.:

Barangsiapa memberikan kepadamu sesuatu kebaikan (bantuan), maka hendaklah kamu membalasnya. Kiranya kamu tidak mampu maka doakan baginya (dengan baik) sehingga kamu yakin bahawa kamu telah pun membalasnya. Di antara cara menyempurnakan kesyukuran ialah menutupi aib atau cacat-cacat pemberian itu kalaulah ada cacatnya dan janganlah sampai ia menghina atau mencacinya. Jika ia tiada mahu menerimanya kerana keaiban itu maka janganlah ia mengata nista orang yang memberinya, bahkan hendaklah ia menunjukkan besar hati terhadap pemberian itu dan menganggapnya sangat besar ertinya di hadapan orang ramai. Jelasnya tugas pemberi hendaklah memandang kecil segala pemberiannya, manakala tugas si penerima hendaklah menghargakan kenikmatan itu dan membesar-besarkannya. Dan sewajarnya atas setiap satu dari keduanya menunaikan tugas masing-masing. Semua itu tiadalah berlawanan dengan menganggap bahawa nikmat itu datangnya dari Allah Azzawajalla, sebab barangsiapa yang tiada memandang kepada pengantara atau wasitah, maka orang itu sebenarnya bodoh. Begitu juga orang yang menganggap pemberian itu berasal dari pengantara, maka orang itu telah ingkar. 3. Hendaklah ia meneliti zakat yang diterimanya itu, apakah dari harta yang halal atau tidak. Jika ia bukan dari harta yang halal, maka hendaklah ia bersikap wara. Janganlah menerima zakat dari orang yang kebanyakan perusahaannya dari hasil yang haram, melainkan bila amat terdesak, maka bolehlah diambil sekadar keperluan saja. Ataupun jika zakat yang diberinya itu dari harta yang tidak diketahui pemiliknya yang sah, maka boleh juga ia menerimanya sekadar keperluan sahaja, sebab menurut hukum syara, harta yang serupa itu memang wajib dikeluarkan zakatnya. Pendekata dalam keadaankeadaan seperti di atas boleh diterima zakatnya sekiranya memang sukar untuk mendapat dari yang halal seratus peratus. 4. Hendaklah ia memelihara dari jangan sampai tergelincir ke dalam keraguan dan kesyubahatan dalam kadar zakat yang diambilnya itu, yakni jangan ia menerima, melainkan dalam kadar yang harus diterimanya. Jangan ia menerima juga, melainkan sesudah ia yakin, bahawa ia mempunyai salah satu sifat dari sifat-sifat asnaf yang kedelapan yang telah ditentukan itu. Apabila ia telah meyakini ini, maka hendaklah jangan mengambil atau menerima kadar yang banyak melainkan mengambil sekadar keperluannya saja. Paling banyak boleh diambil untuk menckupi sara hidupnya dalam masa setahun saja. Itulah kadar yang paling tinggi yang dibenarkan oleh syara baginya untuk menerima sebab Rasulullah s.a.w. sendiri hanya menyimpan perbelanjaan untuk tanggungjawabnya hanya untuk masa setahun saja. Ada pendapat setengah ulama pula yang mengharuskan si fakir untuk mengambil dari harta zakat sekadar membolehkan ia membeli sebidang tanah yang sederhana, sehingga dengan tanah itu, ia boleh mendapat hasil untuk menampung sara hidup sepanjang umurnya dan tidak perlu lagi meminta-minta atau mengambil zakat dari orang lain. Ada yang berpendapat boleh juga mengambil sekadar untuk dijadikan modal perniagaan agar ia tiadalah akan menerima zakat lagi sesudah itu, sebab ketika itu ia telah terkira sebagai orang yang tidak memerlukannya lagi. Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a telah berkata: Apabila kamu memberi, maka hendaklah kamu memberi sekadar mencukupi hajat orang itu, sehingga ia tiada memerlukan lagi.

Dengan pengertian ini, ada pendapat yang mengatakan boleh mengambil sekadar yang boleh memulihkan semula keadaan asal orang yang memerlukannya itu, sekalipun ia mengambil sampai sepuluh ribu dirham. Sekali peristiwa Abu Talhah melahirkan keinginannya kepada Rasulullah s.a.w. untuk mendermabaktikan kebun kurmanya, maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Jadikanlah pemberian itu kepada kaum kerabatmu, maka itu adalah lebih utama. Maka Abu Talhah pun memberikannya kepada Hassan dan Abu Qatadah. Sebenarnya sebidang kebun kurma yang didermakan untuk dua orang saja itu adalah suatu pemberian yang besar dan lebih dari mencukupi. Sedekah tathawwu dan keutamaannya Di antara Hadis yang menyebutkan tentang keutamaan sedekah ialah: Bersedekahlah walau dengan sebutir kurma. Dalam riwayat lain: Takutilah api neraka itu (yakni selamatkanlah dirimu dari api neraka), walaupun dengan bersedekah setengah butir kurma. Jika kamu tiada dapat berbuat demikian, maka dengan perkataan yang baik. Sabdanya lagi: Setiap manusia di dalam naungan sedekahnya, sehinggalah saat diputuskan Allah antara sekalian manusia (yakni pada Hari Kiamat). Sabdanya yang lain: Sedekah secara bersembunyi-sembunyi itu memadamkan kemarahan Allah azzawajalla. Apabila Rasulullah s.a.w. ditanya: Mana satu sedekah yang lebih utama? Baginda menjawab: Bilamana engkau bersedekah sedangkan engkau masih sihat, serta kikir, engkau mengharap jadi kaya dan takut jadi miskin. Dan janganlah engkau menangguhkan sedekah itu, sehingga nyawa telah sampai di kerongkong, maka ketika itu engkau katakan untuk si Fulan sekian banyak, dan untuk si Fulan sekian pula, padahal sememangnya semua itu untuk mereka. Yakni: Kalau dia tidak bilang sekian untuk si A. Atau sekian untuk si B. Memang akan menjadi hak mereka bila sudah tercabut nyawanya. Sabdanya lagi: Bukanlah seorang miskin itu yang ditolak ketika meminta sebutir atau dua butir kurma, ataupun yang ditolak ketika sesuap atau dua suap makanan. Tetapi yang dikatakan seorang miskin itu ialah orang yang terlalu susah, malah tidak suka

meminta-minta. Jika perlu bacalah: (ayat) mereka tiada meminta-minta orang berulang kali. Sabdanya lagi: Tiada seseorang Muslim yang memberi pakaian kepada Muslim yang lain, melainkan Allah memelihara orang itu, selagi pakaian itu masih digunakan, sekalipun sampai menjadi secarik kain buruk. Dari atsar-atsar cerita lama ialah apa yang dikatakan oleh Urwah; bahawasanya Saiyidatina Aisyah r.a telah bersedekah sebanyak lima puluh ribu dirham, padahal bajunya masih koyak-koyak. Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a pula berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Limpahkanlah kurnia kelebihan itu pada orang-orang yang terbaik di antara kami, moga-moga mereka akan mengembalikan kurniakurnia itu kepada orang-orang yang mempunyai hajat di antara kami. Berkata Ibnu Abil-Jaad: Sesungguhnya sedekah itu akan menolak tujuh puluh pintu dari kecelakaan dan keutamaan mengeluarkannya secara sembunyi-sembunyi adalah tujuh puluh kali lebih utama daripada mengeluarkannya secara terang-terangan. Keutamaan sedekah yang disembunyikan Allah telah berfirman: Jika kamu menampakkan sedekah itu, maka itu pun baik juga. Tetapi jika kamu menyembunyikan sedekah itu dan kamu memberikannya kepada orang-orang fakir, itu adalah lebih utama. (al-Baqarah: 271) Dalam mengeluarkan sedekah secara bersembunyi-sembunyi itu ada lima maksud tujuannya: 1. Memberikannya secara bersembunyi itu akan menutupi rahsia orang yang menerimanya. Jika ia mengambilnya secara terang-terangan akan jatuhlah marwahnya di muka ramai, dan terdedahlah keperluannya di mata merka. Dengan itu terkeluarlah ia dari golongan orang-orang yang hidupnya afif, iaitu tidak suka meminta-minta dan memelihara dri dari menunjukkan kesusahan di hadapan orang ramai sebagaimana yang dianjurkan oleh agama, hingga ke darjat orang yang tak tahu bila melihatnya, disangkanya ia tidak memerlukan apa-apa. 2. Memberikanya secara sembunyi-sembunyi itu akan menyelamatkannya dari sangkaan tak baik di dalam hati orang ramai, atau dari bencana lidah mereka. Sebab mungkin mereka akan menaruh hasad terhadapnya atau mengumpatnya, atau menyangka orang itu berani mengambil meskipun ia tidak perlu. Padahal hasad, sangkaan yang buruk dan mengumpat itu adalah di antara dosa-dosa besar, sedangkan memelihara orang ramai dari dosa-dosa ini adalah lebih utama. Berkata Ayub as-Sakhtiani: Aku tidak suka memakai pakaian yang baru, kerana bimbang kalau-kalau akan berlaku hasad pada diri jiranku. Dan pada riwayat yang lain: kerana takut kalau-kalau saudaramaraku akan berkata: Dari mana dia dapat pakaian baru itu? 3. Menggalakkan si pemberi untuk merahsiakan pemberian itu, sebab keutamaan memberi secara rahsia atau bersembunyi-sembunyi adalah lebih banyak pahalanya dari memberi secara terang-terangan

dan menggalakkan untuk menyempurnakan sesuatu yang baik adalah baik. Adalah diceritakan bahawa ada seorang telah membawa sesuatu pemberian kepada seorang alim dan diberikannya secara terang-terangan maka orang alim itu menolak pemberian itu. Kemudian di masa yang lain, datang pula seorang lain memberinya sesuatu pemberian secara rahsia, dia pun menerimanya. Bila ditanya tentang sebabnya orang alim itu berkata: Orang ini telah menyempurnakan pemberiannya dengan penuh adab, sebab diberinya aku dengan rahsia, maka aku terimalah pemberian itu daripadanya. Tetapi orang yang pertama itu tidak tahu menjaga kesopanan bila dia memberikan pemberiannya di muka ramai maka aku tidak mahu menerimanya. Setengah orang pula, bila diberikan kepadanya sesuatu pemberian secara terang-terangan di muka orang ramai, dia akan mengembalikannya seraya berkata: Engkau telah mengsyariatkan pemberian ini dengan selain dari Allah Azzawajalla dan engkau tidak memadai dengan Allah semata-mata kerana itu aku akan kembalikan kepadamu kesyirikanmu itu. 4. Sesungguhnya mengambil zakat atau sedekah di muka khalayak ramai adalah suatu penghinaan dan kerendahan moral dan tidak seharusnya seorang Mukmin menghina saudaranya dengan pemberian zakat serupa itu. 5. Untuk memelihara diri dari syubahat pengkongsian, kerana ada sebuah Hadis yang berbunyi: Barangsiapa yang menerima sesuatu hadiah di hadapan khalayak ramai, maka orang-orang itu berkongsi dalam hadiah itu. Maksudnya: Memberikannya bukan semata-mata kerana Allah, tetapi meminta kepujian orang ramai. Setiap amalan itu adalah bergantung dengan niat maka sewajarnyalah seseorang yang benar-benar ikhlas di dalam amalanya itu berhati-hati terhadap kelakuan dirinya supaya tidak terkecoh oleh rasa kemegahan yang membendung diri atau terganggu oleh tipu daya syaitan. Kita memohon Allah yang Maha Mulia supaya memberikan kita pertolongan dari taufiqNya yang sempurna, Amin.

Anda mungkin juga menyukai