Anda di halaman 1dari 10

PADANAN DALAM TERJEMAHAN TEKS RANG UNDANG-UNDANG BAHASA MELAYU DAN BAHASA INGGERIS

1.0 PENGENALAN Teks undang-undang telah lama digunapakai oleh masyarakat Melayu sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan adanya penggunaan dua teras undang-undang Melaka pada ketika itu yakni Undang-Undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka. Kebanyakkan teks undang-undang ini ditulis dalam bahasa Melayu bermula 600 tahun yang lalu. Namun akibat daripada penjajahan British ke Tanah Melayu keadaan telah banyak berubah. Hal ini kerana banyak budaya barat yang dibawa oleh penjajah telah menular dan meresap malah menjadi pegangan hidup segelintir masyarakat sehingga ke hari ini sama ada dalam bidang ekonomi, pentadbiran, politik dan termasuklah dalam bidang undang-undang. Pada ketika itu, undangundang Inggeris atau Common Law telah diperkenalkan di Persekutuan Tanah Melayu oleh Lord Reid pada tahun 1945. Namun demikian, Pindaan Seksyen 8, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 telah menyebabkan bahasa Melayu perlu diguna kembali dalam semua aspek termasuk segala prosiding di mahkamah. Maka, pada ketika inilah aktiviti penterjemahan mula mendapat tempat dalam bidang undang-undang dan memainkan peranannya sehingga kini dalam usaha untuk menghasilkan bahan undang-undang dalam bahasa Melayu yang bersesuaian dengan kehendak masa dan keadaan. Pada ketika ini, bahasa Melayu telah digunakan di seluruh peringkat mahkamah di Malaysia iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah, Mahkamah Rayuan dan juga Mahkamah Syariah. Sesuai dengan hakikatnya yang bersifat wacana dan mempunyai istilah yang tersendiri, ilmu undang-undang itu perlulah diterjemahkan daripada bahasa sumbernya kepada bahasa sasaran. Pada hari ini, peranan terjemahan untuk memindahkan ilmu undang-undang dari bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu semakin diakui kepentingannya kerana jika tidak ada penterjemah yang menterjemah bidang undang-undang, maka akan timbul bermacam-macam masalah terutama yang melibatkan masalah dari segi pemahaman masyarakat dalam bidang undang-undang itu sendiri. Pelbagai teori telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh dalam bidang ini untuk menerangkan definisi, tujuan, jenis dan kaedah-kaedah terjemahan agar hasilnya nanti bersesuaian dengan

bidang atau laras teks atau bahan yang diterjemahkan ini kerana jika sesuatu bidang itu salah diterjemahkan ia akan menjadi masalah yang lebih rumit dan sukar untuk difahami.

Bidang undang-undang sememangnya mempunyai bahasa dan laras yang tersendiri yang membezakannya dengan bidang yang lain-lain. Jika seseorang tidak mempelajari istilah undangundang, maka agak susah untuk memahami istilah undang-undang tersebut. Menurut Asmah Hj. Omar (1987), laras bahasa ialah ciri-ciri khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya. Laras bahasa undang-undang dikenal pasti berdasarkan perbendaharaan kata, khususnya peristilahan dan struktur tatabahasanya. Sebelum sesuatu undang-undang itu diluluskan, ia dikenali sebagai rang undang-undang. Rang undang-undang perlu dibacakan sebanyak tiga kali semasa persidangan parlimen sebelum dipersetujui oleh dua per tiga siding dewan untuk diluluskan. Rang undang-undang adalah cadangan pembentukan atau penggubalan undang-undang baru yang dibentuk melalui perundangan yang masih belum diluluskan dan diberikan perkenan diraja. Rang undang-undang boleh dibahagikan jenisnya kepada empat jenis iaitu rang undang-undang awam atau umum, yang beraplikasi kepada semua, rang undang-undang persendirian, yang hanya beraplikasi kepada satu orang atau sekumpulan orang. Sekiranya rang undang-undang bersifat menghukum, ia dipanggil bill of attainder. Seterusnya, rang undang-undang hibrid, yang menggabungkan elemen-elemen kedua-dua rang undang-undang awam dan persendirian. Rang undang-undang tidak diiktiraf oleh semua negara dan rang undang-undang tempatan, yang terhad kepada kawasan-kawasan tertentu, dan lazimnya dicadangkan oleh kerajaan tempatan. Kebanyakkan negara di dunia ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam bidang perundangan ini termasuk di Malaysia. Jadi tidak hairanlah sekiranya bahasa yang dilihat dalam teks rang undang-undang banyak dipengaruhi oleh struktur ayat bahasa Inggeris di samping terdapat banyak masalah penyimpangan daripada rumus tatabahasa bahasa Melayu yang sebenar.

1.1 PERMASALAHAN KAJIAN Pada dasarnya, kajian ini dilakukan untuk meneroka padanan dalam terjemahan teks rang undang-undang bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bidang undang-undang merupakan bidang yang sudah menjadi kebiasaan dengan penggunaan bahasa Inggeris dan merupakan bidang yang amat popular pada masa kini. Oleh yang demikian, penggunaan bahasa dalam teks rang undang-undang perlu diambil perhatian kerana kebanyakkan teks undang-undang yang telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu sudah dipengaruhi oleh penggunaan bahasa Inggeris. Kajian ini dilakukan berdasarkan pengamatan penulis terhadap ketepatan padanan dalam terjemahan teks rang undang-undang dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang diterbitkan setelah undang-undang yang telah dipersetujui digubal. Persoalan tentang masalah ketepatan padanan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam teks rang undang-undang untuk mewujudkan pertautan dalam kedua-dua teks bahasa Melayu dan bahasa Inggeris telah menyebabkan kesukaran dalam memahami sesuatu teks rang undang-undang yang betul. Hal ini timbul kerana dikatakan wujudnya penggunaan perbezaan padanan dalam terjemahan teks bahasa Melayu dan bahasa Inggeris antara aspek-aspek linguistik yang ada dalam teks seperti perbezaan dari segi kata, frasa dan ayat. Menurut Barnstone (1993), masalah padanan merupakan bahagian asas dari teori terjemahan dan amalan menterjemahkan sesuatu teks dan proses menterjemah selalu melibatkan pencarian padanan. Benny Hoed (1994) pula mengatakan bahawa masalah utama dalam terjemahan adalah sukarnya mencari padanan antara dua bahas. Sekiranya padanan sudah dijumpai, setiap unsur bahasa yang dipadankan itu pun masih terbuka untuk pelbagai tafsirab. Masalah ini akan menjadi semakin runcing sekiranya para penyelidik terus mengabaikan kajian terhadap ketepatan padanan dalam terjemahan teks rang undang-undang bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan hanya menumpukan kepada kajian yang berkaitan dengan analisis kesilapan teks semata-mata.

1.2 OBJEKTIF KAJIAN Penyelidikan ini bertujuan untuk : a) Mengenal pasti padanan dalam terjemahan teks rang undang-undang bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. b) Menganalisis ketepatan padanan dalam terjemahan teks rang undang-undang bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

1.3 PERSOALAN KAJIAN a) Apakah terdapat padanan dalam terjemahan teks rang undang-undang bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. b) Sejauh manakah ketepatan padanan dalam terjemahan teks rang undang-undang bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

1.4 KEPENTINGAN KAJIAN Kajian dalam bidang terjemahan dan padanan makna dalam teks rang undang-undang ini amat penting kerana sebelum ini masih belum ada kajian dalam teks rang undangundang yang menumpukan kepada aspek padanan makna terutama kajian di peringkat tempatan. Sedangkan kebanyakkan teks rang undang-undang dalam bahasa Melayu yang ada sekarang ini terhasil berdasarkan kepada penterjemahan Undang-Undang Inggeris (English Common Law). Masalah timbul apabila terjemahan teks rang undang-undang dalam bahasa Melayu begitu sukar untuk difahami oleh segelintir khalayak umum kerana terpaksa menyesuaikan teks tersebut dengan laras undang-undang dalam bahasa Inggeris.

Contohnya seperti dalam isu yang pernah hangat diperkatakan pada suatu ketika dahulu ialah berkaitan dengan pindaan yang dibuat terhadap Rang Undang-Undang Keluarga Islam bagi membela nasib orang-orang yang teraniaya. Perdebatan demi perdebatan berlaku kerana kekeliruan mereka terhadap pindaan yang telah dibuat oleh pihak yang berkaitan. Namun menurut Nor Ashah Md. Den seorang peguam muda, dalam satu artikel yang bertajuk Fahami dan Teliti Laras Undang-Undang (dalam Majalah Aniqah, Feb. 2006), mengatakan pertikaian ini berlaku akibat ramai ahli masyarakat yang tidak memahami istilah-istilah yang terdapat dalam teks undangundang. Seharusnya, mereka yang ingin mengatakan sesuatu apabila berkaitan dengan bidang undang-undang harus berhati-hati dan mempelajari istilah-istilah yang terdapat dalam teks undang-undang tersebut kerana jika tersalah tafsir akan menyebabkan masalah lain yang akan timbul. Hal ini diperjelaskan lagi oleh Nik Safiah Karim dalam bukunya Bahasa dan Undang-Undang susunan Nik Safiah Karim dan Faiza Tamby Chik (1994), yang mengatakan bahawa peristilahan dalam bidang undang-undang moden seperti juga dalam bidang ilmu yang lain, merupakan masalah besar. Hal ini kerana hakikat bahawa bidang undang-undang moden dibawa dari luar, dan belum pernah diperkatakan dalam bahasa Melayu. Oleh itu dikatakan hampir tidak ada istilah bagi konsep undang-undang moden dalam bahasa Melayu moden. Sesungguhnya dengan adanya kajian ini diharap dapat menjadi batu asas kepada kajian-kajian yang akan datang. Melalui kajian ini, diharapkan para pelajar dapat mengambil sedikit sebanyak mengenai padanan makna bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam teks rang undang-undang. Kajian ini juga bakal menghasilkan satu lagi kepakaran dalam bidang ilmu dan ilmu yang baru ini penting untuk disampaikan kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi MARA (UiTM) khususnya dalam menghasilkan graduan yang bukan sahaja mengetahui teori sesuatu pembelajaran tetapi juga graduan yang mampu menterjemahkan teori tersebut dalam kehidupan supaya dapat menjana individu kelas pertama yang lebih berwibawa.

1.5 BATASAN DAN SKOP KAJIAN Ruang lingkup kajian ini adalah terbatas setakat meneliti pengaruh bahasa Inggeris dalam teks ilmiah rang undang-undang. Kriteria pembatasan yang dimaksudkan termasuklah jumlah teks rang undang-undang yang digunakan dan jenis teks rang undang-undang yang dikaji. Sebanyak beberapa teks rang undang-undang dipilih iaitu ---------- dan

-------------. Teks-teks rang undang-undang tersebut ada yang telah diluluskan oleh Parlimen dan ada juga teks yang sedang dalam proses pembacaan. Teks ilmiah rang undang-undang telah dipilih apabila telah diteliti dengan mendalam teks yang manakah yang menerima pengaruh bahasa Inggeris yang lebih banyak.

1.6 DEFINISI ISTILAH Definisi istilah dalam kajian ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu definisi konseptual dan definisi operasional. Definisi konseptual merujuk kepada definisi yang dikemukakan oleh tokoh dalam bidang kajian atau kamus dan buku yang berkaitan manakala definisi operasional pula merupakan definisi yang diberikan untuk menerangkan konsep dalam kajian ini. 1.6.1 Padanan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, padanan bermaksud kata atau rangkai kata dalam sesuatu bahasa yang sama maknanya dengan kata atau rangkai kata dalam sesuatu bahasa yang lain.

Halverson (1997, 207-210) telah mendefinisikan padanan sebagai suatu hubungan sedia ada antara dua entity yang berbeza, dan hubungan tersebut menggambarkan sebagai salah satu persamaan / kesamaan / keserupaan / ekuiti daripada mana-mana aspek yang berpotensi untuk dilakukan padanan. Menurut Pym (1992, 37), padanan itu sepatutnya untuk menentukan tahap sesuatu terjemahan itu, dan terjemahan pula, ditakrifkan sebagai kesepadanan. J. House (1997) pula berpendapat bahawa konsep kesepadanan adalah konsep asas dalam bidang terjemahan dan beliau telah memetik kata-kata daripada Catford yang mengatakan bahawa masalah utama dalam sesuatu amalan terjemahan ialah mencari kesepadanan bahasa sasaran. Nida (1969) telah mengemukakan pendapat bahawa terdapat dua jenis padanan apabila seseorang itu melakukan terjemahan iaitu padanan formal dan padanan dinamik.

1) Padanan Formal Merupakan satu padanan yang menumpukan perhatian pada mesej itu sendiri, dalam kedua-dua bentuk dan kandungan. Padanan ini juga memberitahu dengan jelas bahawa kesepadanan itu tidak sentiasa ada dalam kedua-dua bahasa iaitu bahasa sumber dan bahasa sasaran. Mesej yang dipindahkan ke dalam bahasa sasaran harus sesuai seberapa banyak yang mungkin dengan bahasa sumber. Dalam padanan ini terdapat beberapa elemen formal yang boleh dilakukan iaitu : 1) unit tatabahasa yang terdiri daripada menterjemahkan kata kerja oleh kata kerja, adjektif oleh adjektif, dan lain-lain dengan mengekalkan keseluruhan frasa dan ayat, dan menegakkan penggunaan semua petunjuk rasmi seperti tanda baca dan sebagainya; 2) dengan perkataan penggunaan konsisten, yang dilakukan dengan sentiasa menjadikan istilah tertentu bahasa sumber selari dengan bahasa sasaran (walaubagaimanapun, ia sering memberikan hasil yang tidak boleh memberansangkan); 3) makna dari segi konteks sumber yang

dikembangkan supaya pembaca mungkin dapat membezakan unsur kebudayaan yang digunakan dalam dokumen asal sesuatu bahasa.

2) Padanan Dinamik Mesej teks asal dipindahkan ke teks sasaran dengan harapan dan kesan pembacaan terhadap pembaca kedua sama dengan pembaca teks asal. Dalam padanan dinamik konsistensi konteks melebihi konsistensi literal. Ini kerana, apabila perkataan menguasai kerangka makna, pemilihan perkataan dalam terjemahan bergantung kepada konteks. Oleh kerana itu, konsistensi literal yang bermaksud menterjemah satu perkataan dalam bahasa sumber sama dengan satu perkataan dalam bahasa terjemahan ditolak. Nida dan Taber (1969, 200) turut menyatakan : Frequently, the form of the original text is changed; but as long as the change follows the rules of back transformation in the source language, of contextual consistency in the transfer, and of transformation in the receptor language, the message is preserved and the translation is faithful. Dalam konteks kajian ini, padanan ditakrifkan sebagai kata atau rangkai kata dalam teks rang undang-undang bahasa Melayu yang sama maknanya dengan kata atau rangkai kata dalam teks rang undang-undang bahasa Inggeris.

1.6.2

Bahasa

Bloch dan Trager (1942) menyatakan bahasa ialah suatu sistem lambang lambang bunyi vokal yang bersifat arbitrari yang digunakan oleh anggota masyarakat untuk berkomunikasi.

Chomsky (1957) mendefinisikan bahasa ialah suatu set ayat yang mempunyai had panjang dan tersusun dengan menggunakan satu set unsur yang terhad.

Persoalan tentang bahasa telah mendapat perhatian ramai tokoh linguistik, pelbagai definisi telah diberikan berdasar sudut pandangan yang berbeza-beza mengikut perspektif masing- masing daripada hasil kajian mereka, jelaslah bahasa digunakan untuk bergabung atau berhubung sesama manusia. Dalam kontek kajian, bahasa Inggeris merupakan salah satu bahasa yang digunakan oleh penduduk dunia sama ada untuk bertutur atau menulis. Penggunaan bahasa Inggeris dalam kajian ini amat jelas dalam teks rang undang-undang dan kebanyakkan kini teks rang undang-undang tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan pengkaji ingin menganalisis padanan makna dari aspek istilah, frasa dan ayat dalam kedua-dua bahasa, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

1.6.3

Rang Undang-undang

Teks rang undang-undang pula adalah cadangan pembentukan atau penggubalan undang-undang baru yang dibentuk melalui perundangan yang masih belum diluluskan dan diberikan perkenan diraja. Selepas rang undang-undang diluluskan barulah ia menjadi Akta; tetapi dalam penggunaan popular kedua-dua istilah ini sering dikelirukan. Di Malaysia, terdapat lapan sumber undang-undang (Tun Mohamed Suffian, 1990 : 113114), iaitu : a) Perlembagaan (Persekutuan dan Negeri) b) Statut yang dipanggil Akta jika digubal dalam Parlimen dan Ordinan jika digubal oleh Dewan Perundangan negeri atau Enakmen jika digubal di Dewan Perundangan Sabah juga dikenali sebagai badan perundangan utama termasuk

di Sabah, Sarawak, United Kingdom statut am yang dilainkan oleh Seksyen 31, Akta Undang-undang Sivil 1960 bagi tiap-tiap negeri. c) Undang-undang yang digubal oleh badan atau orang perseorangan yang diberi kuasa oleh undang-undang persekutuan atau negeri yang dipanggil dengan pelbagai panggilan seperti peraturan, regulasi dan sebagainya yang dikenali sebagai perundangan subsidiary atau perundangan perwakilan. d) Keputusan hakim, iaitu keputusan terhadap perkara undang-undang yang dibuat oleh hakim. e) Undang-undang Islam. f) Undang-undang Hindu. g) Undang-undang adat termasuk adat Melayu, undang-undang dan adat penduduk pribumi di Sabah dan Sarawak dan undang-undang adat Cina. Dalam kajian ini, teks rang undang-undang merupakan data kajian yang digunakan oleh pengkaji untuk mengenalpasti padanan makna dari aspek istilah, frasa dan ayat teks rang undang-undang bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Anda mungkin juga menyukai