Anda di halaman 1dari 3

Tamadun Melayu adalah satu tamadun yang telah lama bertapak di rantau Asia Tenggara.

Tamadun ini telah berkembang dari kebudayaan orang Melayu, yang tergolong dalam kumpulan penduduk asal rantau ini (Ahmad Hakimi 1998, 2006; Nik Hassan Suhaimi 1994; 1999). Perkembangan kebudayaan Melayu dari zaman batu lama (paleolitik) sehingga kepada kemunculan tamadun Melayu terawal di rantau ini adalah satu perbincangan yang begitu panjang sekali dan tidak akan dibincangkan dalam penulisan ini. Sebaliknya, perbincangan dalam kertas ini lebih tertumpu kepada buktibukti kewujudan tamadun Melayu yang awal dan bagaimana tamadun Melayu memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tamadun Malaysia. Tamadun Melayu adalah satu konsep yang kompleks. Ianya tidak boleh disamakan dengan konsep-konsep yang lain seperti ras, kebudayaan, dan bahasa. Keempat-empat konsep di atas merujuk kepada perkara-perkara yang berbeza dan pada waktu yang sama mempunyai pertalian yang begitu rapat sekali antara satu sama lain. Sebagai contoh, bahasa Melayu tidak semestinya dituturkan oleh orang-orang yang datangnya dari ras dan kebudayaan yang sama. Di Malaysia, terdapat beberapa kumpulan etnik yang berbeza yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Pada waktu yang sama, ada terdapat orang-orang Melayu yang boleh bertutur dalam bahasa-bahasa yang lain seperti bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Perbincangan lanjut tentang keempat-empat konsep di atas akan dibincangkan di bawah ini. Tamadun Melayu telah mengalami proses perkembangan yang lama dan melalui beberapa manifestasi yang berbeza. Manifestasi-manifestasi ini penting dalam pembentukan tamadun Melayu. Penerimaan agama Islam sebagai asas tamadun Melayu merupakan perkembangan yang paling penting dan membentuk sebuah tamadun Melayu Islam yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Tamadun Melayu merujuk kepada sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang secara luasnya digolongkan sebagai kumpulan orang Melayu, tertumpu kepada suatu wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago), gugusan Kepulauan Melayu-

Indonesia, Nusantara, Alam Melayu, dan Tanah Jawi. Dua perkara penting yang mewarnai tamadun wilayah ini ialah bahasa Melayu, yang menjadi bahasa perhubungan luas (lingua franca) di seluruh kawasan ini, dan agama Islam yang menjadi pelengkap kepada pembentukan tamadun Melayu. 3.1.0 Asas Pembentukan Tamadun Melayu Apabila kita cuba menjejaki semula perkembangan kebudayaan Melayu, kita akan dapati bahawa masyarakat Melayu telah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurangkurangnya 5,000 tahun dahulu (Ahmad Hakimi 2006; Bellwood 1997). Jika kita menerima pandangan sarjana-sarjana barat dalam bidang arkeologi (seperti Bellwood 1997 dan von Heine Geldern 1945 terlebih awal) yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu (pada waktu itu dikenali dengan label penutur bahasa Austronesia) datang berhijrah ke kawasan Asia Tenggara mengikuti laluan air dari kawasan utara pada zaman batu baru (neolitik), anggaran kemunculan masyarakat Melayu di kawasan ini adalah sekitar 5,000 tahun dahulu. Akan tetapi, sarjana-sarjana tempatan (seperti Nik Hassan Suhaimi 1993) menolak pendapat tersebut dan mengatakan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal kawasan Asia Tenggara. Pendapat ini mengambil kira bahawa pada satu masa dahulu (sebelum 10,000 tahun dahulu), kawasan Asia Tenggara ini merupakan satu dataran besar yang merangkumi pulau Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Jawa, dan juga Pulau Borneo. Jika kita menerima pendapat tersebut dan menggunakan pentarikhan tapak pra-sejarah yang terawal di Semenanjung Tanah Melayu iaitu tapak Paleolitik Kota Tampan, kita mendapati bahawa orang Melayu telah wujud di kawasan ini lebih daripada 12,000 tahun dahulu, sebelum kenaikan paras laut akibat pencairan glasier dan ais di kawasan kutub-kutub utara dan selatan pada akhir zaman geologi pleistosen (Ahmad Hakimi 1998). Sungguhpun masyarakat dan kebudayaan Melayu mungkin telah wujud lebih awal di kawasan Asia Tenggara, asas kepada kemunculan tamadun (atau perbandaran) dan susunan masyarakat kompleks dibentuk dengan penguasaan teknologi pertanian tetap

pada zaman neolitik (Ahmad Hakimi 2006, 1998). Secara umumnya, zaman neolitik (atau zaman batu baru) memperlihatkan perubahan teknologi yang berteraskan kepada penubuhan tempat tinggal tetap (atau petempatan) sepanjang tahun (untuk menjaga tanaman) dan pertanian tetap (untuk menghasilkan makanan yang mencukupi sepanjang tahun). Kebolehan untuk menghasilkan makanan (tanpa bergantung kepada pengumpulan sumber makanan mengikut musim di tempat-tempat yang berlainan) adalah teknologi yang penting oleh kerana apabila manusia sudah mampu untuk menghasilkan makanan mereka sendiri, langkah seterusnya menujuk tamadun adalah penghasilan makanan yang berlebihan. Sebelum manusia mampu untuk menghasilkan makanan yang berlebihan, setiap orang terpaksa bekerja untuk mendapatkan makanan yang diperlukannya sendiri. Penghasilan makanan yang berlebihan membolehkan sebahagian daripada masyarakat untuk bebas mengkhusus kepada pekerjaan-pekerjaan tertentu tanpa bekerja untuk menghasilkan makanan mereka; mereka boleh mendapatkan makanan dengan memberikan hasil kerja kepakaran mereka kepada petani-petani (sistem barter). Kemunculan pengkhususan pekerjaan sepenuh-masa di kalangan orang-orang sesebuah petempatan mengakibatkan kemunculan susunan masyarakat kompleks yang terdapat di dalam perbandaran. Tamadun atau perbandaran adalah satu cara kehidupan manusia. Terdapat banyak teori yang dikemukakan oleh sarjana-sarajan dari pelbagai bidang pengajian untuk menerangkan tentang sebab-sebab kemunculan tamadun. Pada waktu yang sama, terdapat pelbagai bentuk-bentuk tamadun yang berlainan di dunia ini. Kepelbagaian ini menunujukkan kepelbagaian keperluan dan pengubahsuaian manusia. Setiap satu tamadun adalah satu manifestasi yang unik dan amat sukar untuk membuat perbandingan secara langsung antara tamadun-tamadun yang berlainan. Tidak semua kumpulan atau kebudayaan manusia mewujudkan tamadun.

Anda mungkin juga menyukai