Anda di halaman 1dari 23

Topik 4  Tamadun

Melayu

HASIL PEMBELAJARAN
PEMBELAJARAN
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menjelaskan pembentukan Tamadun Melayu
2. Mengaitkan agama Islam dengan Pembentukan Tamadun Melayu
3. Menyenaraikan ciri-ciri Tamadun Melayu
4. Membuktikan Tamadun Melaysia berasaskan kepada Tamadun
Melayu
5. Membezakan Melayu Dentro dengan Melayu Proto dalam konteks
Tamadun Melayu di alam Nusantara.

 Pengenalan
Tamadun adalah suatu masyarakat yang mempunyai penyusunan stratifikasi
masyarakat yang kompleks mengikut pengkhususan pekerjaan dan tahap sosial
yang berbeza) yang tinggal menetap di sesebuah perbandaran. Memartabatkan
sesebuah tamadun bukan satu usaha yang mudah melainkan memerlukan
kepakaran dan minat yang mendalam. Zaman moden adalah era globalisasi, juga
cabaran baru abad ke 21 di mana jurang antara Tamadun Islam dan Barat semakin
melabar yang tentunya memberi pengaruh serta kesannya terhadap Tamadun
Melayu. Orang Islam di Malaysia berteraskan budaya Melayu dan tentunya
beragama Islam. Dengan itu Tamadun Melayu tidak boleh dipisahkan dengan
Agama Islam. Tamadun Melayu perlu diteruskan kerana sumbangan besamya
terhadap tamadun manusia sejagat yang akan membantu mengangkat tamadun
Islam sedunia.

4.1 KONSEP TAMADUN MELAYU


Tamadun Melayu adalah sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia
yang digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang-orang Melayu dan
bertempat di suatu wilayah di Asia Tenggara. Wilayah ini dikenali dengan pelbagai
nama seperti Gugusan Kepulauan Melayu, gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia,
Nusantara, Alam Melayu dan Tanah Jawi (Azam Hamzah, 1997). Menurut Tenas
Effendy (2004) Istilah Melayu mempunyai maksud yang dalam dan luas.
Sebahagian pengkaji menegaskan, pada istilah Melayu terdapat dua pengertian,
iaitu ‘Melayu’ dan ‘kemelayuan’. ‘Melayu’ dimaksudkan sebagai satu rumpun
bangsa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu, sementara ‘kemelayuan’
mengandungi erti ‘nilai anutan’ dan ‘jati diri Melayu’. istilah Melayu juga boleh
ditakrifkan berdasarkan kriteria mengikut rumpun bangsa dan bahasanya iaitu
Melayu. Pelbagai suku yang tergolong dalam Melayu-Indonesia seperti Jawa,
Sunda, Madura, Aceh, Minangkabau, Bajau, Murut, Bugis, Sasak, Melanau, Iban,
Sulu dan sebagainya.

Bellwood (1997) pula menegaskan Melayu merupakan satu masyarakat peribumi


atau masyarakat asal rantau ini, rantau atau wilayah kebudayaan yang disebut
sebagai Malay Archipelago, Kepulauan Melayu atau Alam Melayu. Kesatuan
Melayu ini hidup aman, damai dan rukun lantaran sifat adaptif, akomodatif dan
assimilatif. Kesatuan Melayu begitu mantap di kalangan masyarakat Melayu kerana
nilai kemelayuan yang dimiliki. Nilai kemelayuan memberi pengertian kehidupan
bangsa Melayu dalam membina jati diri bangsa.

Tamadun Melayu adalah tamadun menyeluruh yang dibangunkan oleh bangsa


Melayu berteraskan bahasa Melayu setelah kedatangan dan penerimaan Islam di
seluruh rantau Alam Melayu. Pemahaman terhadap Tamadun Melayu sebagai satu
tamadun bangsa di rantau Alam Melayu amat bersandar kepada pemahaman
terhadap Tamadun Islam. Ini kerana kemunculan Tamadun Melayu bertitik tolak
dari penerimaan Islam oleh masyarakat rantau Alam Melayu secara
keseluruhannya. Pengajaran akidah Islam oleh para pendakwah Islam di seluruh
rantau Alam Melayu secara bertahap-tahap telah membina asas Tamadun Melayu.
Islamnya Melayu adalah kerana pengislaman sultan dan pembesar istana
berdasarkan ketaatan rakyat terhadap sultan yang memerintah.

Menurut Ismail Hamid (1985) kedatangan Islam ke Nusantara telah membawa


perubahan sehingga menjadikannya bangsa Melayu sebahagian daripada dunia
Islam. Perubahan-perubahan tersebut dapat dilihat daripada semua aspek
kehidupan seperti bidang bahasa, sastera, intelektual, undang-undang, kepercayaan,
politik, adat istiadat dan kesenian.

4.2 PEMBENTUKAN TAMADUN MELAYU

Dari segi kronologi pembentukan Tamadun Melayu dapat diselusuri bermula


daripada zaman Paleotik (zaman batu awal) kira-kira 35,000 tahun yang lalu,
kemudian diikuti oleh zaman Meseolitik (zaman batu tengah) 11,000 tahun yang
lalu, zaman Neolitik (zaman batu baru) 5,000 tahun dahulu seterusnya dari zaman
gangsa-besi kira-kira 2,500 tahun yang lalu dan terakhir zaman kedatangan Islam di
Nusantara kira-kira abad ke 11 Masehi.

Tamadun Melayu terdiri daripada bangsa Melayu yang mendiami kawasan-


kawasan di Asia Tenggara yang dikenali sebagai gugusan kepulauan Melayu (The
Malay Archipelago) meliputi Melayu-Indonesia, Alam Melayu Nusantara atau
dipanggil sebagai Tanah Jawi. Istilah Melayu juga dikenali dengan ciri-ciri bangsa
Melayu, adat Melayu, berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam
(Shaharir Mohamad Zain, 2000).

Bangsa Melayu diperintah oleh kerajaan Melayu. Kerajaan Melayu awal mempunyai
susunan struktur masyarakat yang kompleks dalam bentuk piramid, raja sebagai
pemimpin diikuti oleh pembesar-pembesar istana, dan paling bawah rakyat jelata.
Sarjana-sarjana tempatan (Nik Hassan Suhaimi, 1993) mengatakan bahawa orang
Melayu adalah penduduk asal kawasan Asia Tenggara. Pendapat ini mengambil
kira bahawa pada satu masa dahulu (sebelum 10,000 tahun dahulu), kawasan Asia
Tenggara merupakan satu dataran besar yang merangkumi pulau Sumatera,
Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Jawa dan juga Pulau Borneo. Jika kita menerima
pendapat tersebut dan menggunakan pentarikhan tapak pra-sejarah yang terawal di
Semenanjung Tanah Melayu iaitu tapak paleolitik kota tampan, maka didapati
bahawa orang Melayu telah wujud di kawasan ini lebih daripada 12,000 tahun
dahulu (Ahmad Hakimi, 1998).

Sungguh pun masyarakat dan kebudayaan Melayu mungkin telah wujud lebih awal
di kawasan Asia Tenggara, asas kepada kemunculan tamadun (atau perbandaran)
dan susunan masyarakat kompleks dibentuk dengan penguasaan teknologi
pertanian tetap pada zaman neolitik (zaman batu 5000M) (Ahmad Hakimi 2006).
secara umumnya, zaman neolitik (atau zaman batu baru) memperlihatkan
perubahan teknologi yang berteraskan kepada penubuhan tempat tinggal tetap
(atau petempatan) sepanjang tahun (untuk menjaga tanaman) dan pertanian tetap
(untuk menghasilkan makanan yang mencukupi sepanjang tahun).

Manifestasi Tamadun Melayu yang terawal di kawasan Asia Tenggara adalah dalam
bentuk kerajaan-kerajaan Melayu awal sekurang-kurangnya 2,500 tahun dahulu
(Bellwood, 1997). kerajaan-kerajaan Melayu awal ini adalah kerajaan-kerajaan pra-
Islam yang memerintah di Oc Eo di Funan (sekarang Vietnam), Langkasuka di
Thailand selatan, empayar Srivijaya di Palembang, Kuala Selinsing di Perak, dan
Lembah Bujang di Kedah (Ahmad Hakimi, 2006). Sebahagian besar daripada
kerajaan-kerajaan Melayu awal di kawasan Asia Tenggara lebih tertumpu kepada
aktiviti-aktiviti maritim. Pelabuhan-pelabuhan yang dirikan oleh mereka terlibat
dengan perdagangan jarak jauh. perdagangan jarak jauh menunjukkan rangkaian
perhubungan yang besar dan memerlukan petempatan yang agak lama dan tetap
untuk memudahkan pengekalan perhubungan tersebut. Secara umumnya,
perdagangan jarak jauh dikuasai oleh pemimpin sesebuah kerajaan.

Sarjana-sarjana menjangkakan bahawa lokasi Semenanjung Malaysia pada satu


masa dahulu begitu penting sekali untuk laluan perdagangan yang melalui perairan
selat Melaka (Ahmad Hakimi 2006). pelabuhan-pelabuhan di semenanjung Malaysia
memainkan peranan sebagai tempat berehat yang penting untuk kapal-kapal layar
untuk meneruskan perjalanan samada ke Barat ataupun ke Timur mengikut musim
yang bersesuaian. Pelabuhan-pelabuhan sedemikian berkembang untuk membentuk
tamadun-tamadun (atau perbandaran) Melayu yang awal.

Tamadun Melayu awal yang terbentuk di Kuala Selinsing berbeza daripada yang
terdapat di Lembah Bujang oleh kerana ianya tidak berfungsi sebagai sebuah pusat
keagamaan. pada waktu yang sama, maklumat dari peninggalan arkeologi yang
ditemui di Kuala Selinsing menunjukkan bahawa tamadun ini tidak dipengaruhi
oleh kebudayaan Hindu-Buddha. beberapa artifak yang ditemui di tapak arkeologi
ini menunjukkan bahawa penghuninya menggunakan sistem tulisan Pahlavi (atau
Sanskrit) untuk menulis dalam Bahasa Melayu (Nik Hassan Suhaimi 1991).
Pembentukan Tamadun Melayu awal ditandai dengan wujudnya bandar-bandar,
petempatan yang lebih tersusun, pusat-pusat keagamaan dan pembinaan
monumental (besar) yang menggunakan batu. contoh-contoh kerajaan-kerajaan
Melayu awal yang menunjukkan pengaruh Hindu-Buddha adalah Angkor Wat di
Kampuchea, Borobudur di pulau Jawa, Indonesia dan Lembah Bujang, di Kedah,
Malaysia.

Tamadun-tamadun awal yang terdapat di kawasan Asia Tenggara selalunya


dibentuk oleh orang-orang Melayu. kebudayaan orang-orang Melayu berjaya
menghasilkan tamadun-tamadun awal di rantau Asia Tenggara oleh kerana
teknologi orang Melayu pada waktu itu mampu untuk menguasai laluan-laluan
perdagangan jarak jauh yang melalui kawasan-kawasan perairan kerajaan-kerajaan
Melayu awal. kemampuan ini membezakan masyarakat Melayu daripada
masyarakat-masyarakat lain di rantau Asia Tenggara, yang selalunya lebih tertumpu
ke kawasan pedalaman Asia Tenggara. Selepas kemunculan kerajaan-kerajaan
Melayu awal ini, perkembangan seterusnya dalam tamadun masyarakat Melayu
adalah dalam bentuk kerajaan-kerajaan Melayu Islam. kemunculan kerajaan-
kerajaan Melayu Islam adalah penting dalam perkembangan tamadun masyarakat
Melayu oleh kerana penggabungan antara kebudayaan Melayu dan agama Islam
membentuk satu tamadun Melayu yang baru, satu tamadun yang menjadi asas
kepada identiti kebudayaan Melayu dan yang menjadi teras kepada pembentukan
tamadun Malaysia.

Terdapat kesinambungan dari kerajaan-kerajaan (tamadun) Melayu awal ke


kerajaan Islam Melayu Melaka hingga ke kerajaan Persekutuan Malaysia yang sedia
ada. sistem penyusunan kerajaan Persekutuan Malaysia adalah hasil daripada
kerajaan-kerajaan Melayu Islam yang telah diubahsuai oleh kerajaan penjajahan
Inggeris, satu perkembangan yang mengambil masa lebih 500 tahun. jika kita
mengambil kira bahawa kerajaan-kerajaan Melayu Islam tersebut telah berkembang
dari kerajaan-kerajaan Melayu awal, perkembangan kerajaan-kerajaan Melayu dari
dahulu sehingga ke hari ini telah mengambil masa sekurang-kurangnya 2,000 tahun.

Tamadun Melayu adalah tamadun menyeluruh yang dibangunkan oleh bangsa


Melayu berteraskan bahasa Melayu setelah kedatangan dan penerimaan Islam di
seluruh rantau Alam Melayu. Pemahaman terhadap Tamadun Melayu sebagai satu
tamadun bangsa di rantau Alam Melayu amat bersandar kepada pemahaman
terhadap Tamadun Islam. Ini kerana kemunculan Tamadun Melayu bertitik tolak
dari penerimaan Islam oleh masyarakat rantau Alam Melayu secara
keseluruhannya. Pengajaran akidah Islam oleh para pendakwah Islam di seluruh
rantau Alam Melayu secara bertahap-tahap telah membina asas Tamadun Melayu.
Situasi ini bertambah mantap apabila para pendakwah berjaya menarik minat
pemerintah Melayu khususnya golongan istana. Sedikit demi sedikit pemerintah
Melayu beralih kepada kepercayaan Islam. Penerimaan ini memberi kesan yang
amat besar kepada pembinaan Tamadun Melayu sebagai satu tamadun yang
menghubungjalin suku kaum Melayu yang pelbagai.

Tamadun Melayu terbina dengan nilai falsafah Islam yang tercerna dalam world view
masyarakat Melayu. Setiap gerak, tingkah dan usaha orang Melayu disandarkan
kepada falsafah Islam. Justeru itu, akar umbi bagi Tamadun Melayu adalah
Tamadun Islam. Hal ini menjadi kaitan utama kerana Islam telah berjaya merubah
kepercayaan, pemikiran, budaya dan tingkah laku masyarakat Melayu di negara
dan rantau ini (Mohd Taib Osman, 1989).

Peta alam Melayu


(Sumber : https://www.google.com/#q=image+of+tamadun+melayu)
AKTIVITI 1.1
Buat tiga kumpulan kecil dan bincangkan aspek-aspek berikut:
(a) Maksud Melayu dan Tamadun Melayu
(b) Hubungan Islam dan Tamadun Melayu

4.3 CIRI-CIRI TAMADUN MELAYU

Tamadun Melayu mempunyai ciri-ciri seperti berikut:


(a) wujudnya sistem perundangan yang jelas dan teratur serta sistem
nilai melalui etika dan moral yang berwibawa, dikuatkuasakan untuk
kemakmuran dari semua perlakuan dan tindak tanduk masyarakat
Melayu dalam segala aktiviti.
(b) kemajuan ilmu pengetuahan melalui lahir dan berkembangnya daya
kreativiti dalam pencipataan sains, teknologi, kesenian, kesusasteraan,
falsafah, dan sebagainya.
(c) terdapat penempatan masyarakat Melayu di sesuatu atau beberapa
kawasan yang disatukan menjadi bandar, kota atau negara kota serta
mempunyai pusat pentadbiran yang tersusun.
(d) jangka hayat tamadun Melayu yang stabil dan panjang.
(e) wujudnya sistem organisasi sosial dan institusi sosial yang kukuh
dalam bidang pentadbiran, ekonomi, politik, pendidikan, agama dan
sebagainya.
(f) penggunaan sistem tulisan, komunikasi dan bahasa yang
sama atau serumpun.
(g) peningkatan kualiti hidup melalui pendidikan, kesihatan dan
perekonomian
(h) terdapatnya sistem kepercayaan agama (Islam) dan amalan
beragama.

AKTIVITI 1.2
lakarkan dalam bentuk peta minda ciri-ciri Tamadun Melayu
berdasarkan kreativiti anda.
4.4 HUBUNGAN TAMADUN MELAYU DENGAN ISLAM

Interaksi antara Tamadun Melayu dengan Islam bermula apabila agama Islam mula
berkembang di alam Melayu. Perkembangan Islam di alam Melayu ini mulanya
dibawa oleh orang Arab yang datang ke tanah Melayu pada abad ke-7 masihi. ini
dibuktikan dapat dibuktikan melalui catatan tulisan Arab/Jawi yang dipahat di batu
nisan dan batu bersurat. Selain daripada itu terdapat juga pendapat yang
mengatakan Islam masuk ke Tanah Melayu melalui India dan China. Kedatangan
Islam ke Alam Melayu telah diterima baik oleh orang Melayu kerana faktor ketaatan
mereka terhadap sultan, pembesar Istana dan tok guru, juga kemasukkannya
berlaku secara aman berdasarkan faktor dakwah, geografi, perekonomian,
perkahwinan serta faktor politik dan penaklukan.

Coedes (1968) menjelaskan kedatangan Islam ke alam Melayu telah mengubah


kepercayaan kehidupan beragama daripada dinamisma, anamisme, naturisma,
pluralisme (Hinduasime dan Buddisme) kepada monotisme dengan menyembah
Tuhan yang Esa di samping turut juga mengabah pemikiran orang Melayu terhadap
unsur-unsur relggi dan Meggi. kedatangan Tamadun Islam mengubah corak
pemikiran, akidah dan akhlak Masyarakat Melayu melalui hormat-menghormati
antara manusia, cara berpakaian, cara berpolitik, kebudayaan dan menitik beratkan
soal persamaan taraf.

Biar pun Islam telah mengubah mengubah kepercayaan dan fahaman keagamaan
kepada orang Melayu, namun masyarakat Melayu masih tekal dengan identiti dan
intiti kemelayuan dengan dengan mengekalkan nilai dan struktur yang tidak
berlawanan seperti lemah lembut, sopan santun dan sebagainya. didikan ibu bapa
atau keluarga sangat dalam sehingga nilai-nilai kemelayuan tidak terhapus dengan
kedatangan Islam. secara kebetulan pula nilai-nilai murni orang Melayu selari
dengan nilai Islam, ini yang menyebabkan orang Melayu mudah menerima Islam
dan pada masa yang smaa masih mengekalkan identiti kemelayuan (Buerah
Tunggak & Hussin Salamon, 2011).

Kesimpulannya, interaksi Tamadun Islam dengan Tamadun Melayu memberi kesan


besar dalam pembangunan Tamadun Melayu, terutama dari aspek pembangunan
insan dan kesannya dapat dilihat sehinggalah hari ini.
Topik 5  Sumbangan Dan Hasil
Pencapaian
Tamadun Melayu
Terhadap Peradaban
Dunia
HASIL PEMBELAJARAN
DiPEMBELAJARAN
akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
6. Menjelaskan dengan mengemukakan contoh-contoh pencapaian
Tamadun Melayu dalam pelbagai bidang seperti:
i. Kerajaan dan Sistem Pemerintahan
ii. Ekonomi
iii. Pendidikan
iv. Perundangan
v. Agama Dan Adat Istiadat
vi. Perundangan
vii. Komunikasi
viii. Bahasa, Tulisan, Persuratan Dan Sastera
ix. Kemahiran Pembuatan
x. Kesenian
x. Sains Dan Teknologi

 PENGENALAN

Tamadun Melayu adalah satu tamadun secara keseluruhannya dibangunkan oleh


bangsa Melayu yang berteraskan bahasa Melayu dan budaya Melayu setelah
kedatangan dan penerimaan Islam di seluruh rantau alam Melayu. Kefamahaman
terhadap tamadun Melayu sebagai sebuah tamadun bangsa di rantau alam Melayu
amat bersandar kepada pemahaman terhadap tamadun Islam. ini kerana
kemunculan Tamadun Melayu bertitik tolak dari penerimaan Islam oleh masyarakat
rantau alam Melayu secara keseluruhannya. Hasil pencapaian Tamadun Melayu
terhadap peradaban dunia menjadikan bukti kegemilangan Melayu baik melalui
sejarah silam mahu pun pada abad ini. Pencapaian Tamadun Melayu merupakan
bukti keagongan Melayu pada abad-abad silam. Berdasarkan kegemilangan ini,
bangsa Melayu terus membina tamadunnya sendiri. Pencapaian ini dibuktikan
dalam banyak bentuk seperti melalui bahasa dan seni sastera, budaya, sains dan
teknologi, seni bina, artifak dan sebagainya yang boleh dilihat sehingga hari ini.
Pencapaian ini juga menggambarkan masyarakat Melayu mampu berusaha sendiri
dan berhadapan dengan segala perubahan zaman yang mendatang. Pencapaian
Tamadun Melayu ini boleh dilihat dari pelbagai aspek iaitu merangkumi tiga
elemen penting seperti daripada aspek material (kebendaan), intelektual (ilmu
pengetahuan) dan spritual (agama/kepercayaan).

5.1 PENCAPAIAN TAMADUN MELAYU

Banyak pencapaian dalam Tamadun Malayu yang boleh dilihat pada hari ini
berasaskan kepada sumbangan para sarjana Melayu pada masa silam. Hasil
meterial, intelektual dan spiritual dalam Tamadun Melayu boleh kita senaraikan
seperti berikut:

(a) Kerajaan dan Sistem Pemerintahan

Tamadun Melayu kaya dengan pelbagai sumber sejarah yang berkesinambungan


melalui pelbagai sumber dari penulisan hingga penemuan-penemuan berbentuk
arkeologi. Menurut Zainal Abidin (2001) dari segi sejarah. terbuktilah bahawa
wilayah politik atau negara bangsa Malaysia merupakan lanjutan dari politik-politik
atau kerajaan-kerajaan Melayu sebelumnya. Sistem berkerajaan dan pemerintahan
Melayu ini juga merupakan kesinambungan dari beberapa buah kerajaan atau
pusat Tamadun Melayu lama seperti Srivijaya, Temasik, Melaka, Johor-Ria,
Lingga dan sebagainya.

Pada hari ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang berparlimen dan
berperlembagaan berbentuk persekutuan yang mengandungi kompenen beberapa
buah negeri Melayu yang pernah menjadi negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-
Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat. Perbezaan antara pecahan
kumpulan negeri-negeri di tanah Melayu terletak kepada wujudnya sistem
kesultanan, sistem Gabenor dan sistem pentadbiran Inggeris bagi negeri-negeri
berkenaan. Lantaran dengan berdasarkan fakta sejarah diatas, maka paksi atau
landasan utama yang menyumbangkan kepada pembinaan dan pemantapan
Tamadun Melayu adalah Islam.

Setiap politik Melayu yang dinyatakan diatas, diperintah oleh raja atau sultan atau
Yang Dipertua yang akhirnya menjadi sistem pemerintahan raja berpelembagaan.
Pelembagaan Malaysia memaktubkan dua intitusi beraja iaitu Yang Di-Pertua
Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai komponen penting
dalam pemerintahan demokrasi berparlimen di negara kita. Yang Di-Pertua
Agong merupakan ketua utama negara negara yang mengetuai tiga buah badan di
dalam kerajaan iaitu badan pemerintahan (eksekutif), badan perundangan
(legislatif) dan badan kehakiman (judikatif). Yang Di-Pertua Agong tidak terlibat di
dalam politik dan pemerintahan negara dan baginda berdasarkan bidang kuasanya
boleh mewakili tugasnya kepada sesiapa atau suruhanjaya yang dilantik atas
perkenan baginda. Baginda merupakan payong dan paksi kepada perjalanan sistem
pemerintahan negara. Inilah hakikat sistem raja berpelembagaan kerana banginda
tidak berkuasa mutlak, sebaliknya baginda bertindak atas nasihat Perdana Menteri
atau jemaah menteri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan
Malaysia (A. Aziz Deraman, 2003).

Daripada aspek sistem pemerintahan di atas, maka dapat dilihat betapa majunya
Tamadun Melayu melalui sistem beraja. Kerajaan dan sistem pemerintahan menjadi
tunggak sebuah masyarakat dan memainkan peranan penting dalam pembinaan
tamadun. Terdapat beberapa 10 buah negeri seperti; Perlis, Kedah, Perak, Selangor,
Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan kelantan yang terus mengekalkan
sistem pemerintahan secara bersultan. Kesultanan Melayu inilah menjadi tunjang
utama dalam kelangsungan Tamadun Melayu sehingga sekarang.

Terdapat banyak kerajaan di alam Melayu yang diasaskan oleh pemerintahan


Melayu dalam siri kegemilangan Tamadun Melayu. Kerajaan-kerajaan ini dikenal di
seluruh alam Melayu mahupun di luar rantau Nusantara. Antara kerajaan -kerajaan
tersebut adalah seperti; kerajaan Sribuza Islam, Palembang, kerajaan Samudera-
Pasai di Pasai, Aceh, Sumatera Utara, kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Islam
Demak, Banten, Ceribon di pulau Jawa, kerajaan Aceh Darussalam, kerajaan Pattani,
Selatan Thailand, kerajaan Buton, Ternate Di Sulawesi, kerajaan MelayuJohor-Riau.

Setiap kerajaan ini mempunyai sistem pemerintahan beraja atau bersultan, masing-
masingnya menggunakan sistem pemerintahan berasaskan perundangan Islam.
Banyak bukti menunjukkan kenyataan ini melalui naskhah-naskhah Melayu yang
ditulis di batu bersurat (prasasti). sebagai contohnya, Undang-Undang Laut Melaka
dan Hukum Kanun Melaka yang memakai syariat Islam diguna pakai dalam sistem
pemerintahan kesultanan Melayu Melaka, juga Kanun Meukuta Alam dilaksanakan
dalam kerajaan Melayu Aceh Darussalam, Undang-Undang Kedah dilaksanakan
dalam kerajaan Melayu Kedah, Hukum Kanun Pahang termaktub dalam sistem
pemerintahan kerajaan Melayu Pahang dan Undang-Undang 99 mengambil
sempena nama al-Asma’ Ulllah diguna pakai dalam kesultanan Melayu Perak.
Kerajaan dan sistem pemerintahan Melayu Melaka
(Sumber http://beta.malaysiakini.com/columns/174272)

(b) Ekonomi

Bermula di pelabuhan Melaka, Acheh dan lain di rantau alam Melayu telah berjaya
menggerakkan ekonomi orang Melayu ke persada serantau Nusantara dan
antarabangsa. walaupun ekonomi kaum Melayu pada awalnya dibuat secara mikro
perdagangan melalui individu, pasar dan bandar-bandar kecil kemudiannya
bergerak ke arah perekonomian makro dengan mengamalkan sistem perindustrian
secara besar-besaran melalui kegiatan perekonomian yang berpusat di pelabuhan-
pelabuhan alam Melayu telah berjaya menjadi pusat import eksport yang maju di
rantau Asia. Antara pelabuhan-pelabuhan yang muncul dalam Tamadun Melayu
ialah Pasai, Melaka, Aceh, Demak, Betawi, Terengganu, Ligor dan Johor. Pelabuhan
ini ditadbir urus dengan baik oleh pemerintah Melayu. Sebagai contohnya, Sultan
Muzaffar Shah dalam kesultanan Melayu Melaka telah menubuhkan satu jawatan
khas untuk memantau kegiatan di pelabuhan menerusi jawatan Shah Bandar serta
membuat peraturan perniagaan serta percukaian.

Daripada kegiatan perdagangan yang meluas di pelabuhan-pelabuhan alam Melayu


telah memberi kesan kepada terbentuknya bandar dan kota yang lengkap dengan
prasarana. Masyarakat desa tidak juga ketinggalan memanfaatkan kemunculan
pekan-pekan kecil dengan memasarkan komoditi desa seperti hasil pertanian,
ternakan, hasil tangkapan dan hasil kreatif, dari sinilah bermulanya penghijrahan
penduduk desa ke kota dimana masyarakat Melayu telah menuju ke arah
masyarakat bandar yang hidup dengan peraturan dan perundangan seta berdaya
maju dan berdaya saing. Kegiatan ekonomi dalam Tamadun Melayu telah mencapai
tahap cemerlang dengan penggunaan mata wang. pemerintah Melayu telah berjaya
mencipta mata wang yang digunakan dalam perdagangan, terutamanya di
pelabuhan. Antara mata wang yang dapat dikesan ialah mata wang kesultanan
Melayu Melaka dan kesultanan Aceh Darussalam.

Melaka sebagai pusat perdangan


(sumber : https://www.google.com/search?q=emage+tamadun+melayu&rlz)
(c) Pendidikan

Pencapaian Tamadun Melayu dalam bidang pendidikan bermula dengan


kewujudan institusi pendidikan agama Islam. Kedatangan Islam telah banyak
mengubah sistem pendidikan yang diamalkan oleh masyarakat Islam sebelum itu.
Institusi pendidikan agama Islam dimulai melalui istana dan kemudiannya rumah-
rumah ulama atau rumah tok guru, masjid, masid, pondok dan madrasah. Pada
masa itu istana sebagai institusi pendidikan hanya dikhaskan untuk sultan, keluarga
diraja dan ahli istana sahaja. di samping itu, para ulama turut membuka kelas-kelas
pengajian di rumah mereka. kelas-kelas yang dibuka bersedia menerima masyarakat
tanpa kelas. apabila kecenderungan mempelajari Islam semakin berkembang di
kalangan masyarakat awam, maka terbinalah institusi-institusi pendidikan Islam
untuk masyarakat awam.

Sistem pendidikan di kalangan masyarakat Melayu bermula melalui pendidikan


informal yang dibuat secara tradisional melalui pantun, syair, hikayat, gurindam,
seloka, nazam dan sebagainya. melalui tradisi ini juga, masyarakat disindir,
dihukum dan dinasihatkan melalui perumpamaan, perbidalan, peribahasa dan
simpulan. Manakala pendidikan formal pula dibuat secara lebih bersistematik
melalui institusi pondok dan madrasah, dari segi kurikulumnya ia lebih
berfokuskan kepada bidang-bidang pendidikan Islam seperti Tauhid, Fiqah, Akhlak,
Tafsir dan Sejarah Islam. (Mohd Salleh Lebar, 2002).

Pendidikan Melayu yang berteraskan pendidikan Islam berkembang maju apabila


sultan mengetuai sistem pendidikan dalam sesebuah negeri. Sultan telah
mengarahkan ulama menulis dan menterjemah kitab agama Islam dari bahasa Arab
ke bahasa Melayu. penterjemahan ini berfungsi untuk menjelaskan ajaran Islam dan
menjawab permasalahan masyarakat dari perspektif Islam. contoh-contoh berikut
menggambar secara jelas kecenderungan para sultan dalam penterjemahan kitab-
kitab agama seperti kitab Dur Al-Manzum, kitab al-Luma’, kitab Kifayah al-
Muhtajin Ila Mashrab al-Muwahhidin al-Qailin Bi Wahdatal-wujud.

Melalui sistem pendidikan ini telah melahirkan ramai golongan intelektual Melayu
yang berperanan membantu kerancakan, kematangan dan penerusan dalam
memberi ilmu pengetahuan kepada masyarakat Melayu, antara intelek melayu yang
tercatat dalam sejarah ialah: Hamzah Fansuri, Shamsuddinal-Sumatera’i, Nuruddin
Al-Raniri, Abdul Rauf Singkel, Abdul Samad Al-Palembani, Yusuf Tajul Khalwati
Makasar, Muhamad Nafis Al-Banjari, Muhamad Arsyad Al-Banjari, Daud Al-
Fatani Dan Keturunannya.
Tokoh-tokoh dalam kalangan intelektual Melayu inilah yang telah melahirkan karya
dan naskhah-naskhah Melayu atau manuskrip Melayu. Naskhah-naskhah Melayu
yang dihasilkan oleh golongan intelek Melayu merangkumi segala aspek kehidupan
masyarakat seperti perubatan, ilmu falak (astronomi), undang-undang,
pemerintahan (ketatanegaraan), pertanian, pengetahuan Islam, Sejarah Melayu dan
kemasyarakatan. sebagai contohnya, naskhah perubatan berjudul Kitab Tib, naskhah
undang-undang berjudul Hukum Kanun Melaka, naskhah ketatanegaraan berjudul
Bustan Al-Salatin, naskhah pertanian berjudul pembukaan kebun kelapa di Pulau
Kemili, naskhah agama Islam dalam bidang Tauhid berjudul Masa’il Al-Mubtadi’ Li
Ikhwan Al-Mubtadi’.

Naskhah-naskhah Melayu mempunyai keunikan yang menampakkan identiti


bangsa Melayu apabila, ia ditulis dengan menggunakan tulisan jawi yang
berteraskan 30 aksara arab dengan beberapa penambahan 6 abjad Melayu. Naskhah
Melayu mempunyai nilai estetika yang tinggi kerana penulis dan penyalin
memaparkan daya kreatif semasa menghasilkan karya. ini terbukti dengan adanya
ilustrasi dan seni hias pada naskhah-naskhah Melayu.

(d) Perundangan

Perundangan Melayu yang paling awal dikesan adalah melalui perundangan adat
Melayu dan perundangan Islam (hukum syarak). Antara cacatan awal mengenai
undang-undang Islam di Tanah Melayu adalah pada prasasti Terengganu yang
ditemui pada tahun 1899 di Sungai Terasat, Kuala Berang,Terengganu. Batu bersurat
ini bertarikh 17 Rejab 702 H bersamaan dengan 22 Februari1303 M. Ia mengandungi
beberapa cacatan tentang hukum Islam yang perlu dilaksanakan, iaitu tentang
tanggungjawab pemerintahan melaksanakan dan menguatkuasa ajaran Islam,
pemberian dan penerimaan hutang, rejam atau hukum sebat ke atas penzinaan,
hukum menuduh zina dan tenteng ketaksamaan antara semua orang sama ada
orang atasan atau rakyat bawahan. Satu lagi warisan yang membuktikan undang-
undang Islam telah diamalkan dalam kerajaan Melayu ialah Undang-undang
Pahang yang disusun pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Ghafur
Muhaiyuddin Shah (1592 -1614) di bawah pengaruh Undang-undang Melaka.
Hukum Kanun Melaka, undang-undang Laut Melaka, Adat Perpatih dan Adat
Temenggong juga telah dijadikan sistem perundangan di Melaka pada masa
itu (Abdul Monir, 2005).

(e) Agama Dan Adat Istiadat

kedatangan agama Islam di tanah Melayu bukan sahaja telah mengubah sistem
kepercayaan beragama tetapi juga turut mementapkan adat-istiadat Melayu yang
selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Islam dan adat Melayu secara
khususnya talah menjadi salah satu struktur dan elemen penting kemelayuan dalam
Tamadun Malaysia, malah ia merupakan struktur yang saling melengkapi dan
berintergrasi ke wadah kemelayuan. Islam terus menjadi faktor identiti Melayu iaitu
orang Melayu sebagai orang yang mengamal istiadat Melayu, berbahasa Melayu
dan beragama Islam. Pentakrifan Melayu ini telah diletakkan ke dalam
perlembagaan persekutuan yang merujuk takrifan Melayu dari sudut undang-
undang dalam perlembagaan.

Islam menjadi identiti sosial dan budaya orang Melayu. Islam bukan sahaja menjadi
faktor yang mentakrif Melayu, juga dimaktubkan di dalam Pelembagaan
Persekutuan bahawa orang Islam adalah menjadi ketua agama bagi setiap negeri di
dalam Persekutuan Malaysia. peruntukan ini termaktub di dalam persekutuan
Malaysia di dalam perkara 3 (1) perlembagaan persekutuan Malaysia menyebut
pihak kerajaan pusat menerusi jabatan agama Islam bagi setiap negeri boleh
melaksanakan pembangunan agama Islam dan pentadbiran hukum syariah Islam.
dengan termaktubnya agama Islam sebagai agama rasmi bagi persekutuan
Malaysia, tidak bermakna agama-agama lain tidak boleh dianuti atau diamalkan
oleh orang bukan Melayu atau bukan Islam. menurut perlembagaan, wujud
kebebasan beragama tetapi bagi penganut agama Islam, kerajaan boleh mengubal
undang-undang untuk mengawal atau menyekat aliran atau fahaman kepercayaan
yang dianggap menyeleweng atau sesat. manakala dalam konteks pengamal adat
istiadat Melayu dikalangan orang Melayu, menjelaskan bahawa apabila orang
melayu ini menganut agama islam, adat yang lama yang mereka amalkan telah
diubahsuai agar ia selari dengan ajaran Islam. contoh adat istiadat yang dilakukan
oleh masyarat Melayu ialah dalam soal kelahiran, pertunangan, perkahwinan,
berkhatan, pertabalan dan sebagainya (Ahmad Ibrahim, 1987).

Perkahwinan dalam adat tradisi masyarakat Melayu


(sumber : https://www.google.com/search?q=emage+tamadun+melayu&rlz)

AKTIVITI 1.1
(a) Pilih salah satu daripada adat-adat yang terdapat dalam masyarakat
kamu serta kongsikan dengan rakan kamu bagaimana adat istiadat
tersebut dilaksanakan.
(f) Komunikasi

Komunikasi di alam Melayu dijalinkan melalui hubungan diplomatik antara


pelbagai negara di samping perdagangan dan interaksi budaya. Komunikasi yang
dibuat secara harmoni berjalan lancar bagi menghubungkan perpaduan dan
penyampaian sistem maklumat secara berkesan bagi mengukuhkan ikatan pelbagai
bangsa dan negara di alam Melayu. Pada zaman dahulu komunikasi dibuat
berasaskan kepada polisi pemerintahan kerajaan. Hasilnya, para pemerintah Melayu
telah berjaya menjalin kan hubungan antara rumpun Melayu di seluruh wilayah
alam Melayu dengan semangat persahabatan dan permuafakatan yang bermula
melalui peluasan wilayah, sebagai contohnya kerajaan Melaka meluaskan pengaruh
ke negeri-negeri di utara Semenanjung Tanah Melayu hingga ke pulau Sumatera
yang meliputi Inderagiri, Siak, Kampar, Rokan dan lain-lain. Peluasan wilayah ini
memberi laluan kepada masyarakat di semenanjung Tanah Melayu dan pulau
Sumatera menjalin hubungan perdagangan dan budaya secara aman dan harmoni.

Penyampaian sistem komunikasi dibuat melalui perutusan surat antara kerajaan


kepada kerajaan seperti yang dilakuakan oleh kerajaan Melayu Melaka yang
mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan pelbagai kerajaan
sama ada dengan Majapahit di pulau Jawa mahupun dengan Dinasti Ming di tanah
besar Cinaa dan penjajah British. Di samping itu juga hubungan komunikasi dibuat
melalui perkahwinan antara Kerajaan Aceh Darussalam dengan kerajaan Pahang
melalui perkahwinan puteri Iskandar Muda Mahkota Alam bernama Puteri
Safiatuddin dengan putera sultan Pahang bernama Raja Ahmad.

Alat komunikasi yang sangat berkesan pada masa itu dibuat melalui surat-
menyurat. Dalam hal ini kerajaan Melayu telah mengadakan interaksi komunikasi
dengan bukan Melayu khususnya kuasa Eropah. Interaksi ini dibuktikan dengan
adanya surat-surat sultan Melayu kepada pegawai-pegawai British. Contohnya
surat daripada sultan Cakra Adiningrat dari negeri Madura kepada gabenor ganeral
Thomas Stamford Raffles di Betawi, surat sultan ratu Mahmud Badruddin dari
palembang kepada Thomas Raffles Esquire di Melaka, surat sultan Syarif Kasim Ibni
Al-Marhum Sultan Syarif Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Habib Al-Husin Al-Kadri
dari Pontianak kepada Thomas Raffles Esquire, surat sultan Ahmad Tajuddin Halim
Syah dari Kedah kepada Thomas Raffles di Melaka dan surat yang dipertuan negeri
perak kepada Thomas Raffles Esquire di Melaka.

AKTIVITI 1.2
(a) Bincangkan bersama rakan-rakan kuliah anda mengenai beberapa
persamaan istilah-istilah Bahasa Melayu yang digunapakai
berdasarkan negeri masing-masing.
(g) Bahasa, Tulisan, Persuratan Dan Sastera

Bahasa adalah medium yang sentiasa berkembang dan berubah. Suatu masa dahulu
daripada abad ke-14 hingga ke-18M ketika kerajaan Melaka mencapai
kegemilangannya, Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa lingua franca bagi
wilayah kepulauan Melayu dan digunakan oleh pedagang dan pengembara asing
dari China, Eropah dan juga India. Pengaruh Islam sangat dominen menerap masuk
ke dalam Bahasa Melayu sehingga menjadikan kosa-kata bahasa Melayu lebih
meluas serta mampu digunakan untuk membahas perkara ilmiah seperti Tauhid,
Tassauf, Hadis, Fikah dan Falsafah.

Dari segi penulisan Bahasa Melayu bermula dengan penggunaan skrip Sanskrit
(Pahlawi), seterusnya bertukar kepada penulisan dalam skrip Arab (Jawi).
Penggunaan tulisan Jawi telah diperkenalkan dan digunakan oleh orang-orang
Melayu sejak zaman Melaka di abad ke-14 hasil pengaruh Islam sebagai istana.
Perubahan dari segi bahasa boleh dilihat apabila masyarakat Melayu menyesuaikan
perkataan Arab kepada sistem tulisan Jawi Melayu serta menulis kitab-kitab agama,
hikayat-hikayat, undang-undang dan pentadbiran.

Perkembangan bidang persuratan Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa


bahagian seperti sastera rakyat Melayu, sastera pengaruh Jawa dan Hindu serta juga
sastera pengaruh Islam. Terdapat banyak buku-buku kesusasteraan Melayu yang
telah ditulis khususnya cerita-cerita mengenai sahabat nabi dan tokoh-tokoh Islam
seperti; Hikayat Abu Bakar, Hikayat Amir Al-Muminin Umar, Hikayat Hassan Dan
Hussain.

Sastera Melayu berbentuk prosa dan puisi. Prosa merupakan karya dalam bentuk
esei atau karangan untuk menjelaskan satu perkara. Puisi pula merupakan karya
yang memaparkan kemahiran bahasa dan penggunaan bahasa yang indah melalui
rima bunyi yang tertentu. Sastera Prosa Melayu dapat dilihat pada naskhah Melayu.
Penulisannya meliputi pelbagai bidang seperti ketatanegaraan, pemerintahan,
perubatan, undang-undang, agama Islam, ilmu falak, petua dan lain-lain, sebagai
contohnya buku atau Naskah Taj Al-Salatin, Bustan Al-Salatin, Sejarah Melayu,
Hikayat Hang Tuah dan Mir’at Al-Tullab.

Manakala puisi-puisi Melayu terdiri daripada beberapa genre, antaranya syair,


pantun, gurindam, seloka, nazam dan sajak. Syair menghasilkan rima bunyi akhir
yang sama: a,a,a,a. Pantun pula menghasilkan rima bunyi rangkap 1 sama dengan
rangkap 3 dan rangkap 2 sama dengan rangkap 4: a,b,a,b. Pantun-pantun Melayu
terdiri daripada beberapa rangkap, antaranya pantun dua rangkap, ia juga dikenali
dengan pantun dua kerat, pantun empat rangkap juga dikenali dengan pantun
empat kerat, pantun enam rangkap juga dikenali dengan pantun enam kerat dan
pantun lapan rangkap dikenali dengan pantun lapan kerat (Anas Hj. Ahmad, 1982).

Manuskrip lama zaman kegemilangan Melaka


(sumber : https://www.google.com/search?q=emage+tamadun+melayu&rlz)

(h) Kemahiran Pembuatan

Masyarakat Melayu terkenal dengan pelbagai kemahiran pembuatan barang-barang


keperluan. setiap hasil kemahiran disematkan nilai falsafah Melayu yang berteras
kepada agama Islam. Selain itu, hasil-hasil kemahiran masyarakat Melayu juga
dipenuhi dengan nilai estetika yang tinggi. Antara kemahiran-kemahiran tersebut
adalah pembuatan rumah. Kemahiran membuat rumah dalam kalangan masyarakat
Melayu menyebabkan tukang-tukang Melayu mampu memberi identiti pada
rumah-rumah Melayu antara identiti rumah Melayu seperti berikut:
(a) bumbung seperti bumbung limas.
(b) kepelbagaian ruang: ruang induk/ ruang ibu, ruang tengah,
ruang dapur dan serambi atau beranda.
(c) rumah panggung yang dilengkapi dengan seni hias pada
tingkap, dinding, curu atap dan lain-lain.
(d) peralatan kelengkapan rumah.

Rumah tradisional masyarakat Melayu


(sumber : https://www.google.com/search?q=emage+tamadun+melayu&rlz)
Disamping itu juga masyarakat Melayu awal bijak mengolah tanah liat untuk
menghasilkan keperluan rumah seperti pinggan, mangkuk, cawan, periuk, kuali dan
sebagainya. Masyarakat Melayu di Perak sebagai contohnya terkenal dengan hasil
pembuatan labu sayung yang merupakan satu bekas air yang dingin tanpa air batu.
semua keperluan dan peralatan harian dibuat dengan hasil kreativiti dan inovasi
yang diusahakan oleh titik peluh sendiri. Demikian juga alat-alat perabot seperti
almari, meja, kerusi dan sebagainya. Masyarakat Melayu awal juga mampu
menghasilkan sampan, perahu, bot dan kapal untuk meredah lautan mencari rezeki.
Mereka bekerjasama dan berganding bahu menghasilkan keperluan harian (Abdul
Halim Nasir, 1985).

Satu lagi pencipataan masyarakat Melayu ialah dalam mereke bentuk fesyen
pakaian. Masyarakat Melayu juga merupakan pereka fesyen yang mampu bertahan
lama. Fesyen-fesyen pereka Melayu jelas memaparkan identiti dan jati diri bangsa
Melayu, contoh yang jelas ialah seperti baju kurung, baju Melayu, kebaya, dan
busana muslim. (Siti Zainon Ismail).

Mengenai peralatan menulis, masyarakat Melayu juga bijak menggunakan bahan-


bahan tumbuhan di sekeliling mereka bagi menghasilkan kertas dari peralatan tulis
termasuk dakwat. Peralatan penulisan ada yang dibuat daripada batang resam dan
buluh. Walaupun masyarakat Melayu tidak menggunakan teknologi canggih dalam
menghasilkan peralatan menulis tetapi mereka mempunyai daya fikir dan inisiatif
yang tinggi untuk menghasilkan sesuatu barangan.

(i) Kesenian

Perkembangan Tamadun Melayu dapat dilihat melalui manifestasi kesenian orang


Melayu. Kesenian halus yang dihasilkan oleh orang Melayu memainkan peranan
penting dalam melengkapkan kehidupan orang Melayu yang diwarisi sejak beribu-
ribu tahun. kehidupan orang Melayu sangat dipengaruhi oleh kesenian yang
bersumberkan alam semula jadi, sama ada dari segi hubungan masyarakat Melayu
dengan manusia lain dan juga hubungan manusia dengan kepercayaan dan agama
mereka. Pencapaian kesenian dalam Tamadun Melayu mencakupi seni ukir, seni
drama, seni bina, seni hias, seni tulis, seni tari dan seni lagu.

Dari segi seni bina masyarakat Melayu setanding dengan arkitektur bangsa-bangsa
lain dalam membina tamadun mereka. Banyak senibina yang berkaitan agama
seperti pembinaan masjid dibangunkan hampir setiap kampung dan bandar.
Kebenyakkan masjid dibina kombinasi senibina Melayu melalui ukiran kayu dipintu
dan mimbar masjid di samping rekebentuk masjid yang diadaptasi daripada
senibina Yaman, Arab Saudi, China, India dan Iran. Sebagai contohnya masjid
Tengkera di Melaka dan masjid kampong laut di Kelantan dikatakan mengandungi
ciri-ciri seni bina daripada China.

Seni ukiran yang dilhamkan oleh masyarakat Melayu dapat dilihat melalui ukiran
batu-batu nisan yang bermotifkan geometri dengan adunan seni tulisan khat seperti
thuluth, nasakh, dan riqa’ah. Begitu juga seni halus tenunan kain dan barang-barang
hiasan rumah. Masyarakat Melayu kaya dengan khazanah seni pembuatan alat-alat
muzik tempatan seperti gambang, rebana, kompang, kecapi, seruling, gambus dan
gong. Tidak kurang juga hebatnya dalam pembuatan senjata dan ukirannya seperti
keris, lembing, tompak dan lain-lain.

Persembahan wayang kulit Kelantan


(sumber : https://www.google.com/search?q=emage+tamadun+melayu&rlz)

(j) Sains Dan Teknologi

kegemilangan sains & teknologi yang dicipta oleh orang Melayu sangat unik kerana
ia mencerminkan keperluan-keperluan serta nilai-nilai kebudayaan yang ada pada
orang-orang Melayu. Antara contoh kemajuan sains dan teknologi yang diwarisi
dari orang Melayu dahulu ialah dalam bidang pertanian seperti peralatan pertanian
seperti parang, cangkul, tajak, sabit dan sebagainya di samping kejayaannya
membangunkan sistem saliran air yang digunakan dalam proses pengairan
pertanian seperti penanaman padi dan sebagainya.

AKTIVITI 1.2

(a) Senaraikan perkataan-perkataan yang diambil daripada bahasa


Arab yang telah lazim digunakan dalam bahasa Melayu.
(b) Apa pendapat kamu apabila orang mengatakan bahawa seni bina
masjid yang banyak terdapat di Malaysia kebanyakannya bercirikan
daripada negara asing seperti Arab, China dan India.
SEMAK KENDIRI 1.2

Sedarkah kita bahawa budaya, peradaban dan tamadun orang


Melayu akan berubah atau terkesan mengikut peredaran masa
pada setiap kali datangnya pengaruh peradaban luar terutamanya
daripada pengaruh tamadun dan peradaban Barat moden. Lihat
sahaja apa yang ada di sekeliling kita baik daripada ideologi,
hiburan, intelektual, makanan, fesyen, kebudayaan, bahasa dan
komunikasi, sosial dan sebagainya. Bagaimanakah untuk
menangkis pengaruh-pengaruh yang negatif ini?, sedangkan
Tamadun Melayu telah menunjukkan aspek-aspek kemajuan yang
telah dibangunkan secara bersepadu antara kekuatan spiritual,
intelektual, emosional dan material. Agama dan negara akan
menjadi kuat, hebat, cemerlang, gemilang dan terbilang apabila
umatnya mencapai tahap gemilang dari segenap aspek. Sebab itu,
Tamadun Melayu akan terhakis dan boleh lenyap daripada dunia
ini jika bangsa Melayu gemar, suka, teruja, cepat meniru dan rela
mengadaptasi pengaruh Barat dalam kehidupan mereka seharian.
Oleh itu marilah kita sebagai bangsa Melayu yang bermaruah
tinggi sentiasa memelihara tamadun dan peradaban Melayu demi
kelangsungan ‘takkan Melayu hilang di dunia – Laksemana Hang
Tuah’.
SEMAK KENDIRI 1.5

Tamadun Melayu mempunyai pelbagai pencapaian yang terbukti melalui catatan


naskhah, binaan atau bangunan, batu bersurat, karya-karya seni dan sastera.
ketinggian tamadunnya memaparkan jati diri dan identiti bangsa Melayu. Kejayaan
masyarakat Melayu silam mencorakkan tamadun dan budaya menyebabkan bangsa
melayu menjadi satu rumpun bangsa yang dikenali, dihormati dan disanjung tinggi.
Tonggak kejayaan ini terletak pada pembentukan modal insan yang berpegang kuat
pada agama, falsafah bangsa, jati diri yang teguh dan budi pekerti yang luhur.
Kekuatan modal insan telah berjaya membina kecemerlangan dan kehebatan
tamadun Melayu.

jati diri serambi


karya prosa
tulisan khat seloka
kombinasi hikayat
manifistasi seni hias
inisiatif ekonomi mikro
identiti ekonomi makro

A. Aziz Deraman. (2003). Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia : Suatu


Analisis Perkembangan Kebudayaan di Malaysia. Edisi Baharu. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anas Hj. Ahmad. (1982). Sastera Melayu Lama dan Baru. Petaling Jaya : International
Book Service.

Abdul Monir, (2005). Islam Hadhari : Himpunan Isu Kontemporari. Kuala Lumpur:
Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Abdul Halim Nasir. (1985). Pengenalan Rumah Tradisional Melayu


Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur : Darul Fikri.

Ahmad Ibrahim. (1987). The Malaysian Legal System. Kuala Lumpur :


Dewan Bahasa Dan Pusataka

Hahim Musa, Zainal Abidin Borhan, Othman Mohd Yatim, Ahmad


Hakimi Khairuddin dan Mohd Taufik Arridzo mohd Balwi. (2006). Konsep,
Latar Belakang dan Pandangan Semesta Masyarakat Melayu, dalam
Tamadun Islam dan Tamadun Melayu. Siri Teks Pengajian Tinggi. Kuala
Lumpur : Penerbit Universiti Malaya.

Mohd Salleh Lebar. (2002), Perancangan Pendidikan : Peringkat Sekolah


dan IPT. Kuala Lumpur : Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd.

Siti Zainon Ismail. (1949), 100 Pepatah Petitih Melayu Alam Tekembang Jadi Guru. Kuala
Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad

Zainal Abidin Borhan. (2001). Peranan Tamadun Melayu Dalam Membina Tamadun
Malaysia. Jabatan Sosio-Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu.
Kuala Lumpur : Universiti Malaya.

(Sumber: Tamadun Islam dan Tamadun Asia, OUM, 2014)

Anda mungkin juga menyukai