Anda di halaman 1dari 19

SEDIHNYA………………….

IBU MISALI

PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari


pentas. Di lehernya, telah terkalung pingat "Ibu Misali".
Tangan kanannya menggenggam erat satu sampul dan
segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa
hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.

"Sekarang ...," suara pengacara majlis bergema kembali,


"Tibalah kita kepada penerima anugerah "Ibu Misali" yang
terakhir. Penerima ini agak lain daripada yang lain dan
sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan Afifah
Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah,
untuk tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. "

Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal


mengambil tempat itu. Di barisan penonton paling
hadapan, aku dapati seorang anak gadis berkulit hitam
manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha
memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an
untuk bangun.

Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu


keberatan untuk naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti
tiga orang penerima sebelumnya, yang kelihatan begitu
bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka
dijemput?
Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis
yang memakai sepasang kebarung bertanah ungu dan
berbunga merah jambu serta bertudung ungu kosong,
bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.

Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh


tiga orang penerima sebelumnya. Anak gadis itu
kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih
pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati
lantai pentas.

'Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak


orang yang akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti
seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya
serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap
berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju
kurung biru muda yang dipakainya.'

Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku


sedikit tersentak.
Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku
alihkan pada buku notaku. Aku menconteng-conteng
helaian yang masih putih bersih itu untuk memastikan
penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa
kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat
bertahan.

Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari


syarikat akhbar dan majalah lain yang duduk di kiri
kananku. Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan
masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di
atas pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya
dengan bismillah dan, memberi salam.

Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan


wartawan yang duduk semeja denganku. Tetapi, senyuman
dan anggukanku sudah tidak sempat mereka balas. Aku
lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang paling
selesa.

"Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke


hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak
berada dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Seterusnya,
saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak
penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya
sebagai, salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali"
tahun ini."

Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan


sepenuhnya kepada percakapan gadis itu.

"Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci


mak. Darjah kebencian itu meningkat setelah saya
mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat saya.
Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah anak yang
paling malang, disisihkan oleh ibu sendiri, dan
diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu
menjaga anak-anak kandungnya"

"Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin,


persoalan itu sedang pergi balik dalam benak tuan-tuan
dan puan-puan sekarang. Persoalan itu pasti akan terjawab
sebentar lagi, apakala saya mempertontonkan rakaman
video yang memaparkan kehidupan anakanak kandung mak.
Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak
yang bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada
doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan,
pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-
tiga "Ibu Misali" yang baru menerima anugerah sebentar
tadi."
Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran.

"Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!" suara


hadirin semakin kedengaran. Mereka tidak dapat
membendung rasa kekaguman.

"Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long.


Yang sedang merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak
Ngah. Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu, ialah
Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut pada
dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh
dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak."

"Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap


kecacatan fizikal dan mental abangabang dan, kakak-
kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh
bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru
lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan,
bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau,
dua tahun."
Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam
kembali. Mereka menonton video yang sedang ditayangkan
itu dengan khusyuknya.

"Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak


saya, telah menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun,
meskipun telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka
masih belum pandai mengurus makan minum dan berak
kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak
hendak melayan makan dan, pakai mereka."
"Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya
sering mencemburui abang-abang, dan kakak-kakak kerana
mereka, mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya
iri hati melihat mak memandikan mereka. Saya sakit hati
melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat
semua itu sendiri."

"Mirah dah besar, kan? Mirah dah boleh uruskan diri


Mirah sendiri, kan?" Lembut nada suara mak tiap kali dia
memujuk saya. Namun, kelembutan itu telah
menyemarakkan api radang saya

"Tapi, mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak buat


segalagalanya untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau
untuk Mirah, mak selalu berkira!"

"Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak


secerdas Mirah. Mereka cacat!" Berkali-kali mak
menegaskan kepada saya. "Sebab itulah mak terpaksa
membantu mereka."

"Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata


kepada mak. "Semua anggota mereka cukup. Kaki dan
tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta.
Yang betulnya, mereka malas, mak!"

"Mirah ... Mirah belum faham, sayang." Suara mak akan


menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak
dan abang-abang saya. Tetapi, kesayuan itu tidak pernah
mengundang rasa simpati saya.

"Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya


itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak
pernah kacau saya. Mak pun cuma sekali-sekala saja
meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau
menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah
ikhlas menolong.
Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa
saya melakukan itu. Jika makanan yang saya suap tumpah
atau jika abang-abang dan kakak-kakak terkencing atas
tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin
mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar
mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu
perbuatan jahat saya kepada mak. Ketika itu, memang
saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-
abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka
menyusahkan hidup saya."

"Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah


kebajikan, mak." Saya pernah mengusulkan kepada mak,
ketika saya berusia sepuluh tahun.
"Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang
macam mak dan ayah orang lain. Mirah pun takkan rasa
terganggu lagi."

"Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut


jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan."
Begitu reaksi mak setiap kali saya mencadangkan hal itu.

"Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi


pendirian mak.
Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak
menghargai jalan keluar yang telah sedia terentang di
hadapannya."

"Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa


saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam
teruk hingga tidak dapat bangun. Ayah terpaksa ambil
cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan
untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah.
Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang
lemah, berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya,
agar jangan lupa memberi abang-abang dan kakak-kakak
makan, dan menukar kain lampin mereka."
Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk
mendengar cerita gadis itu.

"Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama


abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima
jam. Jangka masa itu cukup menyeksakan. Kebetulan pada
hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar
mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long
enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan
Kak Ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar
kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air
ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya
dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan
tumpahkan air.
Penat saya membersihkannya. "

"Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain


buruk, tubuh saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya
melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri ke
rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah
mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu
kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan."

"Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. "Kenapa ibu


bagi Mirah kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka
Mirah, bagilah Mirah pada orang lain yang lebih
menyayangi Mirah, bukan mak."

"Mirah!" Ibu merangkul saya. "Kan dah berkali-kali ibu


tegaskan yang ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana
ibu tak sayang Mirah."

"Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah


hidupnya apabila situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak.
Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama
berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah
menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri
betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak
normal.

Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami."

"Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang


anak yang pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu
turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Mirah.
Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu
masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata
ibu, walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari
pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi Mirah
berbanding dengan anak anaknya yang lain."

"Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka


bagi Mirah? Ibu tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti
hamba di rumah tu?"

"Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu


tahu sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan
kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan
kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh
hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan
kakak-kakak kena lempanglah."

"Mak adu semua kepada ibu, Ya?" Saya masih mahu


berkeras meskipun saya tahu saya bersalah.

"Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu.


Ibu sendiri yang kerap mengintai Mirah dan melihat
bagaimana Mirah melaksanakan suruhan mak."

"Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata


ibu."

"Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di


rumah mak kau itu dapat meringankan penderitaan mak.

Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu


menambahkan beban mak."

"Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu."

"Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh
lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya
sendiri. Mirah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-
abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah dapat banyak
pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain
pakaiannya itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya
dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan
meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak
kerana dia nak lihat Mirah terima hadiah."

"Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya,


bukan kerana saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi
kerana saya benar-benar malu."

"Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa


tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa
sebab tidak mendapat pembelaan yang diharap- harapkan.
Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru."
"Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh
selama ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul
sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak
dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke
dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah. Di
dalam bilik, saya terus resah-gelisah. "

"Mirah," panggilan lembut mak seiring dengan bunyi


ketukan di pintu bilik saya. "Mirah."

"Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata,


pura-pura tidur."
"Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya
dibuka. "Mirah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu
Mirah letih menjaga abang-abang dan kakak- kakak
semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak, sayang.
Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban
seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi
tadi, Mirah. Mak janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah
lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga abang-
abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan
rumah"

Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus


mengusap-usap dahi saya. Suara mak tersekat-sekat.
Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak
ketika itu.

"Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama


mak."

Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian,


setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-
titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan
leher saya.

"Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak,


Mirah adalah segala-galanya. Mirah telah menceriakan
suasana dalam rumah ini. Mirah telah menyebabkan mak
berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah telah. .."
"Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian,
tiada kata-kata yang lahir antara kami. Yang kedengaran
hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis.

Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah


mengubah pandangan saya terhadap mak, abang-abang dan
kakak-kakak. Saya mula merenung dan menilai keringat
mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan
abang- abang serta belajar menghormati dan, menyayangi
mereka.

Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak


berpenghuni sejak gadis itu berbicara.

Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan


penilaian darjah lima, saya telah ditawarkan untuk
melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah
sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran
tersebut.

"Kenapa Mirah tolak tawaran itu?"

"Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh


belajar dengan sempurna?"

"Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan


dengan gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak! "
"Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?"

Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak


berkelip-kelip memandang saya.

"Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih


berganti.
"Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus
berdamping dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-
kakak. "

"Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran


di sekolah menengah itu, bukannya senang." Mak masih
meragui keupayaan saya.

"Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan


prestasi Mirah semasa di sekolah menengah nanti," balas
saya penuh yakin.

Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka


terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-
garis kesangsian masih terpamer pada wajah mereka.
Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk
terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak
dan adik yang baik.

Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba


membebaskan saya daripada kerjakerja memasak dan
mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai
abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya
terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri
untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa
tanggungjawab dan timbang rasa.

Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita


dengan penuh semangat, apabila melihatkan hadirin di
dalam dewan itu mendengar ceritanya dengan penuh
minat.

"Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya


melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Di sana saya membuat pengkhususan dalam bidang
pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya pilih kerana saya
ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang
bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah
saya peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk
abang-abang dan kakak-kakak. "

"Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka,


sebagai seorang guru pendidikan khas di kampung saya
sendiri. Saya harus akui,segulung ijazah yang telah saya
miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-
mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang
hayatnya."

"Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk


menjaga abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini
sering tersentuh apabila beberapa kali saya terdengar
perbualan mak dan Ayah."

"Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu


lepas kita tak ada, bang?" suara mak diamuk pilu.

Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, "Entahlah.


Takkan kita nak harapkan Mirah pula?"

"Mirah bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita


tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan
kakak-kakaknya."

"Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan


membela nasib abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak
dan ayah tak ada. Ya, memang mereka bukan saudara
kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh
Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan
yang telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan
yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan mereka,
adalah tangan yang sama, tangan mak."

Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah


jambu itu, tunduk sambil mengesat air matanya dengan
sapu tangannya. Kebanyakan hadirin, khususnya wanita
turut mengesat air mata mereka.

Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya


terbaca mengenai pencalonan anugerah "Ibu Misali" dalam
akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar
pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak
akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak
akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak-
anak mak bukan terdiri daripada orang-orang yang
disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak "Ibu
Misali" yang lain.

"Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti


mak lalui mempunyai banyak duri dan, ranjau berbanding
dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan mak tidak tergugat
biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat.
Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-
menyalahkan antara mak dan ayah."

"Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat


terakhir tadi, mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah
mencalonkan mak, untuk menerima anugerah ini. Mak
merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah
mak mendengar pengisahan "Ibu Misali" pertama, kedua
dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga
anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi
kerana anak-anak adalah amanah Tuhan."

"Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak


untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati.
Saya cuma berharap kegigihan dan ketabahan mak akan
dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda
yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak
mereka yang cornel, segar-bugar serta sempurna fizikal
dan, mental."

"Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam


penghargaan saya kepada pihak penganjur, kerana telah
mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang
penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini. Semoga
pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada
ibu-ibu lain yang senasib dengan mak."

"Sekian, wassalamualaikum warahmatullah. "

Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara.

Penku telah lama terbaring. Buku notaku telah lunyai dek


air mataku sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu-
sedanku. Pandanganku menjadi kabur. Dalam pandangan
yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh pancaran cahaya
kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat
kameraku dan menangkap gambar secara rambang tanpa
mengetahui sudut mana atau, apa sebenarnya yang telah
menarik perhatian wartawan-wartanan lain.

'Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau seharusnya


berusaha mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan
oleh perasaan kau sendiri.'
Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku.

Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku


notaku mencari helaian yang masih belum disentuh oleh air
mataku. Aku capai penku semula.

"Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera


kehidupan yang tidak sunyi dari ombak dan badai.
Sekarang, dijemput Yang Berbahagia Puan Sri Salwa
Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa
Pemilihan "Ibu Misali" untuk menyampaikan anugerah "Ibu
Misali" serta beberapa hadiah iringan kepada Puan Afifah
Rashid. Yang Berbahagia Puan Sri dipersilakan."

Nurul Humairah membantu maknya bangun. Kemudian, dia


memimpin maknya melangkah ke arah Yang Berbahagia
Puan Sri Salwa Najwa. Lutut maknya menggeletar. Namun
begitu kerana dia tidak berdaya menahan perasaannya dia
terduduk kembali di atas kerusi.

Melihatkan itu, Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa


sendiri datang mendapatkan Puan Afifah, lalu
mengalungkan pingat itu. Setelah itu, beliau menyampaikan
beberapa hadiah iringan. Air mata Puan Afifah berladung.

Tepukan gemuruh bergema dari segenap penjuru dewan.


Sejurus kemudian, seorang demi seorang penerima
anugerah "Ibu Misali" sebelumnya, naik ke pentas
bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah.
Bertambah lebatlah hujan air mata penerima anugerah
"Ibu Misali" yang terakhir itu.

Anda mungkin juga menyukai